28 January 2009

fisioterapi hari ini 28/1/2009

Hari ini Nabila ada appointment dengan Fisioterapi. Serasanya saya kira-kira sudah 11 kali saya membawa Nabila untuk rawatan. Dan saya tidak pernah terlepas 1 temujanji pun.

Alhamdulillah, sejak Nabila melakukan fisioterapi, banyak perubahan yang saya dapat lihat dari Nabila. Seperti kepalanya, bertambah kuat. Nabila juga sudah mahu meniarap (jika dulu asyik menangis bila saya tiarapkan dia). Tangan dan kaki juga semakin lembut dan kuat. Cuma kadang-kadang Nabila tegang-tegangkan tangan dan kakinya.

Nabila juga sudah pandai ketawa bila melihat orang lain. Sudah pandai mahu mengajak kita bermain. Dan yang paling saya tak tahan sekali, Nabila sudah mulai mengeluarkan bunyi-bunyian. Cumanya dalam bahasanya lah. Saya sendiri tak faham..hehe..

Kalau berada di atas katil saya kena pastikan Nabila berada di tengah-tengah katil. Kerana walaupun Nabila terbaring sahaja, dia aktif. Sedar-sedar saja Nabila sudah sampai ke hujung katil. Rocker chair pun Nabila sudah pandai untuk melonjakkan badannya dan sengaja di juntaikan kakinya ke bawah. Boleh tahan lasak anak dara saya ini.

Jika dulu saya pernah menyatakan bahawa ingin attach gambar Nabila semasa dia sedang melakukan fisioterapi. Ini ada sedikit gambar-gambar Nabila semasa dia sedang dalam sesi terapi. Namun seperti biasalah, bila ke fisioterapi pasti saja Nabila menangis. Puan Suhana mula pegang badan Nabila, sudah terjerit-jerit dan menangis.

~Nampak rileks lagi. Kerana baru saja terjaga dari tidurnya. Nabila masih belum sedar lagi bila Puan Suhana memegang kakinya ~


~hua..hua..hua..nangis la apa lagi..~

~Langsung tak boleh nak pujuk bila Nabila bermain diatas bola..hehe~

~Penat mengeluarkan suara yang nyaring. Minum susu sampai meleleh-leleh. Sempat pula menjeling ke arah kamera. Geram betul tengok budak comel ni..~


~tengah rileks kerana Puan Suhana gi attend patient lain dulu..rehat jap..~

Sudahnya duduk dalam bola. Puan Suhana tak suruh pun..tak termasuk dalam terapi hari ini, tapi tangan ibu gatal nak masuk Nabila. Dan bila sudah masuk, baru nampak senyum.~

27 January 2009

Jalan-Jalan di Tahun Baru Cina...

Cuti raya cina saya ambil kesempatan untuk bercuti lama. Saya mula bercuti sedari minggu lepas lagi, dari hari khamis (22/1 ) sehinggalah hari ini. Abang pula kena kerja dan kami tidak dapat untuk pulang ke kampung.Hanya berada di rumah Rawang.

Hari Ahad lepas saya, Abang, Nabila dan 2 orang makcik Nabila, Adah dan Nurul (adik ipar saya) ke One Utama. Kasihankan si Nabila yang sudah lama tidak keluar berjalan-jalan.

Sejak Nabila lahir lagi, kami tidak pernah membawa Nabila berjalan-jalan diwaktu malam. Mak saya tak benarkan. Kini saya rasakan Nabila sudah besar panjang. Jadi apa salahnya kan..

Gambar semasa kami di One Utama..




~Nabila memang tak duduk diam masa dalam kereta. Di OU lagilah. Agaknya Nabila teruja melihat lampu-lampu warna merah yang di pasang di sekitar shopping complex. Tambahan pula di belakang kami di pasang pentas sempena Tahun Baru Cina. Apalagi, makin membulat mata si Nabila ni. hehe.. ~

......................................................................................

Entry kali ini tiada perkara yang menarik cuma semalam (Isnin - 26/1) , saya berjumpa dengan Ita, Farid dan Sarra. Seronok sangat. Kerana akhirnya kami bersua juga. Kami ke Sunway Pyramid, tapi yang tak seronoknya, Nabila menangis sepanjang perjumpaan kami . Geram pun ada bila melihatkan si Nabila. Bukannya tak pernah dia ke sana. Mujur juga Sarra tak ikut menangis sama dengan Nabila. Kelihatan Sarra tidur sepanjang perjumpaan kami. Cuma sesakli matanya terbuka dan tersedar.. :)

Saya tidak sempat untuk mengambil gambar. Mujur Ita yang banyak mengambil gambar kami semua. Mengisahkan ragam si Nabila, sampai ke sudah kami tidak mengeluarkan kamera .

Sebenarnya Nabila merajuk mahu tidur. Agaknya tak selesa barangkali. Itu yang menyebabkan Nabila menangis tanpa henti. Berpeluh-peluh saya dan Abg memujuk Nabila.

Apapun, apabila melihatkan Sarra dan Nabila, rasa sedih mencengkam jiwa ini. Apalah nasib agaknya anak kami berdua. Bila saya memegang kepala Sarra, saya dapat rasakan sakitnya Sarra sewaktu kepalanya di vakum. Ya Allah, Kau permudahkanlah kehidupan anak kami Nabila dan Sarra. Kasihanilah mereka. Kau sembuhkanlah mereka. Kau hilangkanlah derita mereka. Berilah kehidupan yang bahagia buat mereka. Kau tabahkan hatiku dan Ita..agar kami boleh mendidik mereka dengan sabar..Amin..

21 January 2009

Nabila & Sarra

Sebelum ini saya ada menceritakan tentang Ita dan anaknya Sarra. Ini saya ada attach gambar Nabila & Sarra. Ini semua hasil usaha Ita. Dia yang mencantumkan gambar Nabila & Sarra. Dan hasilnya, marvellous. Dahsyat. Serupa betul.. :)

(ita, ina curik jap gambar yang ita buat semalam)
~sama tak...dua2 comel kan..~

20 January 2009

Aksi Nabila..

Gambar-gambar ini saya sengaja ambil. Kerna Nabila belum mahu tidur lagi. Nabila sedang bermain dengan mak di ruang tamu semasa saya menaip entry ini..



~budak gemuks..~


~menggaru hidung... :)~


~muka tercengang! ~

Cubaan makan nasi...Perkenalan bersama Ita & Sarra

Saya ingin mengucapkan terima kepada Putra Mama dan Ami sebab sudi baca blog ini. Apapun saya sebenarnya bukanlah tujuan untuk membuka pekung di dada, mintak simpati pada orang tentang Nabila. Cuma ingin berkongsi pengalaman tentang kehidupan kami tentang anak seistimewa Yasmin Nabilah..

Minggu lepas saya berkenalan dengan seorang kawan baru. Namanya Ita dan anaknya serupa seperti Nabila. Kebetulan pula hari lahir Sarra hanya selang beberapa hari dengan hari lahir Nabila. Comel sungguh bila saya melihat gambar Sarra. Mungkin Allah mahu menduga hati kami. Mahu melihat kesabaran kami dalam mendapat anak istimewa.

Alhamdulillah. Dengan pertemuan ini, Saya dapat kongsi pengalaman saya dengan Ita dari segi penjagaan dan sebagainya. Sedia maklum, saya pada awalnya mengalami kesukaran menjaga Nabila. Tetapi semuanya terjawab bila saya mengenali Ita. Rupa-rupanya anak kami serupa. Kedua-duanya suka menangis.

Ita memberitahu saya mengenai cara makan Nabila. Kerana Nabila, sukar untuk diberi makan. Dan bila diberi makan pastinya Nabila menangis. Seolah-olah Nabila tidak memahami mengapa mesti makan.

Sekarang ini saya hanya memberikan Nestum sahaja kerana Nabila masih belum boleh untuk mengunyah lagi. Cuma kadang-kadang kunyah. Kadang-kadang Nabila terus telan saja makanan yang diberi. Itupun dalam keadaan menangis. Saya takut Nabila tersedak.Saya ada bertanya kepada Ita tentang cara makan Sarra. Katanya, Sarra sekarang sudah bagus jika di beri makan. Bestnya!! Alangkah baiknya andai Nabila juga sama seperti Sarra. Kerana itu saya cuba nak bagi Nabila makan apa jua jenis. Biar Nabila lekas besar.. :)

Apapun, resepi yang Ita bagi semalam,Alhamdulillah.Nabila cuba untuk makan. Cuma mungkin Nabila masih terkejut dan menangis. Saya mencuba lagi sehingga Nabila benar-benar ok. Jika tidak, sampai bila pun Nabila tidak tahu yang dia sepatutnya sudah boleh makan. Seperti yang doktor katakan tempohari, otak Nabila masih tidak tahu fungsi-fungsi anggota badan yang lain. Jadi setiap hari saya dikehendaki mengajar Nabila seiap hari supaya Nabila sentiasa ingat setiap perkara yang dia patut lakukan.. InsyaAllah..

17 January 2009

Nabila sudah 9 bulan

Alhamdulillah.Hari ini genap Nabila berusia 9 bulan. Saya masih ingat lagi ketika ini (waktu saya menulis di blog ni pada jam 11.08pagi) saya sedang berada di bilik bersalin. Tengah sakit yang amat. huhu..

Apapun, saya sentiasa mendoakan Nabila sentiasa dalam keadaan sihat dan ceria. Moga di dalam bulan ini saya alan nampak lagi perubahan Nabila. Mungkin dah boleh meniarap sendiri barangkali? Amin...

16 January 2009

Nabila berwajah baru..

Saya mahu menunjukkan gambar Nabila yang terbaru. :)

2 minggu lepas, saya memotong rambut Nabila. Rambutnya di area dahi sudah panjang. Sepertinya rambut-rambut itu mahu mencucuk mata Nabila. Dan apalagi, saya dengan adik saya, Din melakukan operasi rambut Nabila.

Hasilnya..
Rambut Nabila tinggi rendah..hehe. Senget-benget saya kerjakan. Cuma di dalam gambar ini tidak jelas sangat.
Oleh kerana saya ingin membawa Nabila berjalan-jalan, dan takut pula orang berkata tentang rambut Nabila, saya memotong rambut Nabila sekali lagi. Sebelum ini saya menuruh adik saya memegang kepala Nabila, namun kali ini saya membiarkan Nabila tidur terlebih dahulu. Jika saya biarkannya berjaga, nanti Nabila mengamuk lagi.Agaknya Nabila fikir saya mahu melakukan sesuatu kepadanya.
Dan hasilnya...


~Comel tak Nabila? Rambut ala-ala anak cina, anak patung pun ada..hehe. Sayang Nabila..~

14 January 2009

Temujanji bersama fisioterapi 12/1/2008..

Isnin lepas, saya membawa Nabila ke hospital Sungai Buloh. Seperti biasa, sesi fisioterapi yang sebenarnya sudah lama kami tak pergi kerana Puan Suhana bercuti. Mahu menyelesaikan hal pendaftaran anaknya masuk sekolah.

Ketika kami sampai kelihatan ramai orang di dalam gym. Kerana ada baby yang sepatutnya temujanji bersama Puan Suhana pada pukul 11, tetapi kerana terlambat, terpaksalah menunggu baby itu selesai. Bila semua orang sudah selesai ( ada dalam 5 patient termasuk Nabila), barulah Puan Suhana memanggil Nabila.

Dan seperti biasa, Nabila pastinya menangis apabila sesi terapi bermula. Saya ada bertanya pada Puan Suhana tentang keadaan Nabila. Sejak Nabila memulakan sesi fisioterapi 4 bulan yang lalu saya masih belum mengagak tahap Nabila sama ada teruk ataupun tidak.

Puan Suhana berkata, Nabila adalah Cerebral Palsy jenis Quadriplegia. Tetapi saya tidak ingat pula Nabila jenis dari Spastic atau Athetoid

Apapun Puan Suhana berpesan boleh menjadi lebih baik jika kita rajin melakukan terapi di rumah. Pinggang Nabila juga mulai kuat jika dibandingkan dengan masa dahulu. Imbangan kepala juga semakin baik. Alhamdulillah.

Saya akan cuba berusaha untuk Nabila pulih. Andai tidak dapat menjadi normal sekalipun, sekurang-kurangnya Nabila boleh berdikari untuk diri sendiri. Saya cuma berfikir andai saya sudah tiada di dunia ini. Agaknya siapalah yang mahu menjaga Nabila?

Saya berharap sangat Nabila cepat sembuh. Amin..

...........................................................................................

Minggu hadapan kemungkinan saya dan Abg akan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti yang terletak di Sungai Buaya, Rawang. Saya mahu menghantar Nabila ke situ kerana di rumah pun terapi jarang sekali dapat dilakukan. Dan menurut mereka, mereka boleh menjaga Nabila juga.

Namun saya belum memutusakan akan meninggalkan Nabila di situ atau tidak. Atau mungkin saja saya membawanya untuk terapi sahaja. Saya tidak mahu kejadian di Taska berulang lagi. pedih rasanya meninggalkan anak yang masih kecil atas jagaan orang yang tak dikenali. Aduhai....

08 January 2009

Temujanji bersama fisioterapi, MRI, Ophtalmology dan ENT

Selepas temujanji ke-2 tempohari, Doktor menyarankan Nabila untuk melakukan fisioterapi. Dan temujanji pertama Nabila adalah pada 18 September 2008.

Pada mulanya Nabila kelihatan baik apabila therapist memegangnya. Dan tidak lama selepas itu, tangisan Nabila mula bergema. Sebenarnya Nabila memang tidak suka sembarangan orang memegang tubuhnya atau memaksa untuknya melakukan sesuatu.

Nabila sempat merasai setengah jam terapi. Puan Suhana nama therapist Nabila untuk fisioterapi. Dan saya masih ingat lagi sewaktu di wad NICU, Puan Suhana datang bersama kakitangannya untuk melakukan fisio pada kaki Nabila. kaki Nabila bengkok kerana tidak di bedung kerana Nabila juga jarang bergerak did alam NICU.

Sewaktu di dalam pantang Puan Suhana berpesan agar saya terus menerus melakukan senaman kaki untuk Nabila bagi mengelakkan kakinya keras. Saya buat bersungguh-sunguh kerana takutkan kakinya yang tak sempurna seperti anak lain. Sedih, memang sedih bila saya terpaksa menarik akkinya. Apakan daya saya.. Saya terpaksa melakukannya.

Sewaktu saya di dalam gym, pelbagai jenis orang ada. Dewasa di gym luar dan kanak -kanak pula di dalam bilik khas. Ketika saya datang, ada kanak-kanak sedang melakukan sesi terapi.

Melihatkan kanak-kanak itu saya sayu. Kondisinya agak teruk dan tak mampu untuk mengangkat leher langsung. Saya tidak mahu Nabila saya berkeadaan sebegitu. Saya akan berusaha agar Nabila lekas sembuh.dan boleh mengurus diri sendiri.

..............................................................................................

Tentang temujanji bersama ENT. Saya masih ingat lagi, 22 Oktober 2008, saya membawa Nabila. Pada mulanya kami menunggu giliran. Dan kemudian kami dipanggil masuk satu bilik. Audiologist itu mengatakan bahawa ini ujian saringan. Dan jika Nabila berjaya dalam saringan tersebutia bermaksud Nabila mempunyai deria pendengaran yang baik. Dan jika tidak baik keputusannya, Nabila akan terus disaring bagi menentukan tahap pendengarannya.

Pada awalnya tidak dapat bacaan yang baik kerana si kecil ini tidak mahu duduk diam. Dan sudahnya saya terpaksa menidurkan Nabila.

Faham sajalah si kecil ini, Macam tahu-tahu saja ujian ini akan dilakukan ke atasnya. Langsung tak mahu tidur. Di beri susu pun tak mahu dan sudahnya kata Audiologist itu jika Nabila tidak boleh tidur, dia akan berikan ubat tidur.

Saya cuba memujuk Nabila untuk tidur. Dan kami disuruh bergelap andai Nabila tidak mahu memejamkan matanya. Hampir sejam, dan kelihatan Nabila agak bosan akhirnya Nabila tidur juga.Lantas ujian itu terus dilakukan keatas Nabila.

~Ibu dalam usaha memujuk Nabila untuk tidur~

ALHAMDULILLAH..PENDENGARAN NABILA OK.TAKDE MASALAH.

Mungkin otak Nabila tidak dapat nak menganalisa bunyi. Itulah sebabnya Nabila tidak memandang apabila ada org memangggilnya. Audiologist itu menayatakan bahawa taida temujanji selepas ini. Cuma Nabila tidak boleh discharge dari klinik ENT . Andai peadiatrik mahu appointment lagi, perlu di set semula tarikhnya.

SATU BERITA BAIK BUAT SAYA DAN SUAMI. SEKURANG-KURANGNYA SAYA MASIH ADA PELUANG DAN HARAPAN UNTUK PULIHKAN NABILA. ALHAMDULILLAH

..........................................................................................

Minggu berikutnya pula, saya membawa Nabila untuk ujian MRI . Sepatutnya ianya dilakukan pada 2 minggu lepas. Kebetulan saya ada temuduga bersama SPA jadi saya terpaksa menunda tarikh tersebut.

Temujanji itu pada 29 Oktober 2008 . Nabila dikehendaki berpuasa. Bayangkan saja dari jam 5 pagi saya sudah puasakan Nabila sehingga jam 9 pagi. Saya tahu pada waktu ini Nabila memang mahukan susu.

Ujian MRI dikatakan akan berjalan pada jam 11 pagi . Saya sudah mulai bengang pada kakitangan di situ. Nabila bukannya faham kenapa dia kena berpuasa. Apa lagi si kecil ini menangis mahukan susu.

Tidak lama selepas itu, nurse itu memberikan Nabila ubat tidur. Nabila menangis sewaktu ubat itu masuk ke dalam kakinya. Kemudian, saya nampak matanya layu mahu tido, tetapi kepalanya bergerak tak berhenti. Dipandangnya kiri. Dipandang kanan. Kemudian tiba-tiba, matanya celik semula Nampak cergas. Saya dan Abg berpandangan. kami memanggil semula nurse dan doktor. dan nabila sekali lagi diberi ubat tidur. Nabila menangis. Kedengaran sauara seperti orang mabuk ubat.

Sedih memang sedih. namun saya terpaksa bertahan demi kebaikan dia.

Nabila kemudiannya diangkat masuk ke bilik MRI. Nurse melilit tubuh Nabila dengan selimut.Bagi mengelakkan nabila dari bergerak. Saya nampak Nabila sudah kerimasan. Mata Nabila sepertinya mahu tertutup dan saya dengar suaranya menangis.

Nabila cuba untuk mengeluarkan tangan dia dari selimut itu. Kemudian, mereka terpaksa mengikat Nabila dengan belt pula. Dan terus dimasukkan ke dalam terowong. Saya menunggu Nabila di sebelah mesin.

Saya ternampak Nabila bergerak-gerak. MA itu terpaksa menghentikan semula mesin dan menarik Nabila keluar semula. Rupanya Nabila masih sedar lagi. Dan kali ini, nurse terus memberikan suntikan ketamine. Pengsan terus Nabila. Ya Allah. Kesian benar saya melihat anak ini. Entah berapa dos la agaknya Nabila dicucuk.

45 minit saya menunggu di dalam itu. Selesai urusan MRI, Nabila dibawa keluar. Dibaringkan sementara dikatil. Nabila masih lagi belum sedarkan diri lagi. 1/2 jam kemudian, Nabila bangun. Agaknya nak susu, dan kata nurse, hanya boleh beri Nabila susu sedikit demi sedikit.Takut Nabila muntah.Kemudian nurse memantau keadaan Nabila, dan amemastikan dirinya ok barulah kami dibenarkan balik.

~Nabila selepas MRI~

Sampai rumah Nabila cuba untuk minum susu. Namun dia muntah kembali susu yang diminumnya. Saya dah mulai risau. Dan malam itu saya terus membawa Nabila ke Emergency. Saya menelefon Abg. Menyuruh Abg menanti kami di Emergency.

Sampai sahaja, doktor terus memeriksa keadaan Nabila. Dan kata doktor, lumrah selepas, menjalani MRI pesakit akan muntah. Doktor menyuruh saya untuk menunggu di ruang kecemasan selama 2 jam dan jika Nabila tidak muntah kami dibenarkan pulang.

..............................................................................

Pemeriksaan mata pula, saya membawa Nabila pada 5 November 2008. Tidak lama selepas pendaftaran , nurse itu memanggil Nabila. Ujian cahaya dilakukan. Nabila perlu diletakkan ubat penitik mata untuk membesarkan anak mata. Susah benar nak bagi anak mata Nabila besar. Bila diletakkan ubat mata it, Nabila terasa pedih.

Jam 2 petang barulah besar anak mata Nabila. Nurse menyuruh kami menunggu di hadapan bilik ujian. Doktor datang,dan memanggil kami masuk dan saya meletakkan Nabila di atas katil. Doktor menyuruh kami berdua keluar. Dan tidak lama selepas itu saya terdengar Nabila menangis.

kata doktor..

NABILA NAMPAK CAHAYA, CUMA MUNGKIN NABILA KURANG LATIHAN. DOKTOR MENYARANKAN SAYA UNTUK MEMBELI MAINAN YANG MEMPUNYAI WARNA YANG TERANG UNTUK MELATIH MATANYA. ALHAMDULILLAH. MUJUR NABILA NAMPAK. SAYA TAKUT KALAU-KALAU MATA NABILA BUTA . SEPERTINYA SAYA TIDAK SANGGUP KERANA MATA ITU MERUPAKAN PANCAINDERA YANG SANGAT PENTING.

07 January 2009

Kisah duka Nabila di Taska..

Selepas saya berjumpa doktor pakar untuk kali ke-2, saya terus bercadang untuk memberhentikan Nabila dari Taska.

Sebenarnya, semasa Nabila berusia 3 bulan, saya mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke Taska yang berdekatan dengan rumah kami di Bukit Sentosa. Ini adalah kerana rumah mak yang agak sempit dan saya sendiri tidak mahu menyusahkan mak dan ayah saya. Maka, saya mengambil keputusan untuk pulang semula ke Bukit Sentosa.

Setiap kali saya menghantar Nabila ke Taska, hati saya sayu. Sampai sahaja di Taska, Nabila pasti akan ditempatkan di bawah tangga sementara menanti anak-anak lain datang ke situ. Sementara itu kakitangan Taska tersebut bersiap-siap untuk mengemas Taska tersebut. Pemilik Taska tersebut agak baik, namun kakitangannya yang agak tidak memuaskan hati.

Kadangkala saya terlewat ke pejabat gara-gara mereka yang lambat bersiap. Adakalanya ketika saya sampai..mereka masih berselimut tidur lagi di ruangan bawah. Sungguh tidak senonoh!

Sewaktu mula-mula saya meninggalkan Nabila, saya lihat Nabila menangis. Sepertinya dia tahu bukan neneknya lagi menjaganya. Saya pun sebenarnya kasihan pada mak, yelah, mak bukannya sihat pun. Nak tak nak, saya terpaksa berserah untuk menghantar Nabila ke Taska.

Pernah juga saya terpikir untuk berhenti kerja. Namun jika gaji abg besar bolehlah saya menjadi surirumah. Lagipun andai apa-apa terjadi pada Abg bagaimana? Apatah sekarang ini semua benda memerlukan duit.

Saya menghantar Nabila dalam tempoh 6 minggu. Dan dalam tempoh masa tu saya kerap mengambil emergency leave. Kerana saya sendiri tidak sampai hati untuk menghantar Nabila kesitu. Saya sudah tidak ambil peduli apa kata rakan sepejabat.

Saya teringat satu perkara yang saya rasa tidak boleh saya lupakan sampai bila-bila . Ketika itu saya pulang untuk mengambil Nabila di Taska. Kemudian, saya lihat Nabila menangis. Di dalam kereta juga Nabila masih menangis. Sampai sahaja di rumah saya terus bawa Nabila naik ke tingkat atas untuk mandikannya. Dan saya terbau semacam. Busuk. Rupanya Nabila 'membuang' Terus saja saya mencucinya. Dan rupanya saya tidak perasan bahawa punggung sudah melecet ketika itu. Bila najisnya sudah dibuang, saya lihat punggungnya merah yang amat. Sakitnya hati dan terkejut bila saya melihat punggungnya

Dan ketika itu juga saya menangis. Selesai saya memandikan Nabila, saya letakkan bedak berubat pada bahagian yang melecet. Dan esoknya, saya terus tidak masuk pejabat. Saya trauma untuk menyerahkan Nabila kepada kakitangan Taska tersebut. saya tak pasti berapa lama najis itu berada di punggung Nabila. Dan saya sangat kesal dengan tindakan mereka yang membiarkan Nabila sebegitu. Saya pasti ianya sudah lama Nabila membuang dan mereka tidak mahu membersihkannya.



~Gambar ini saya ingat lagi Nabila baru sahaja tidur selepas keletihan akibat menangis. kalau kalian dapat lihat dengan jelas, kepala Nabila kemek di bahagian dahi. Ketika ini rambut Nabila banyak yang gugur. Saya memang tidak mahu mencukur rambut Nabila kerana saya kasihan melihatkan kepalanya kemek dek di vakum ketika dilahirkan~


~Ketika ini Nabila sudah pandai mahu mengajak ibunya bermain. Pulang saja dari Taska Nabila nampak seronok diletakkan di atas tilam~

Temujanji kali ke 2 bersama Peadiatrik...

Temujanji kali ini sememangnya mendebarkan. Kerana saya tidak pasti apa yang bakal doktor katakan mengenai Nabila. Saya sendiri kurang pasti dengan keadaan Nabila yang ok atau tidak. Apa yang pasti, saya bakal mendapat berita yang kurang baik.

Doktor menyatakan bahawa pergerakan Nabila agak keras. Dan Nabila masih gagal untuk meniarap. Hurm..bukan tidak tahu langsung cuma apabila saya memusingkan tubuhnnya, dia boleh meniarap. Cuma leher Nabila tak kuat. hanya mampu bertahan dalam masa 2-3 saat sahaje. Selebihnya Nabila akan menunduk dan menggosok hidung dia di katil..

Kemudian doktor itu memanggil pakar kanak-kanaknya. Menurut doktor tersebut, kemungkinan Nabila mempunyai masalah dari segi pergerakan. Saya juga turut menyatakanpada doktor tentang masalah Nabila yang kurang memberi respon apabila orang memanggilnya. Nabila sepertinya tidak memandang. Saya risau telinga Nabila ada masalah.

Nabila juga mempunyai masalah mata. Kelihatan Nabila juling sedikit. Kemudian doktor pakar tersebut memberikan pendapata bahawa Nabila perlu melakukan aku fisioterapi.

Doktor juga menyarankan agar Nabila menjalani ujian mata dan telinga bagi mengesahkan hal-hal masalah yang terdapat pada dirinya. Dan yang paling saya takutkan adalah Nabila di kehendaki melakukan ujian MRI. Ia bertujuan untuk melihat kerosakan di dalam otaknya.

Doktor pakar menasihati saya supaya bersedia menghadapi semua ni. Berpunca dari serangan sawan itu, doktor sudah mengagak bahawa Nabila pasti mempunyai masalah di kemudian hari.

Bagi memastikan Nabila berada dalam posisi seperti anak normal, saya dikehendaki melakukan sesuatu. SETIAP MINGGU NABILA PERLU DIBAWA KE JABATAN REHAB. DAN MELAKUKAN FISIOTERAPI DI SANA.

Berat betul dugaanMu Ya Allah. Saya dan abg terduduk dan tak mampu berkata apa-apa.Dalam hati mulai gerimis. Kami menahan air mata di hadapan doktor, namun sampai saja dikereta, saya terus menangis mengenangkan nasib Nabila....

Pertama kali Nabila ke hospital...

Pertama kali Nabila di periksa oleh doktor peadiatrik. Saya tak pasti nama doktor tersebut. Doktor masih belum boleh menyatakan apa-apa kerana masih awal untuk di buat analisis.

Saya memberitahu pada doktor bahawa Nabila masih menyusu badan dan sawannya sudah tidak menyerangnya lagi. Doktor menyarankan saya untuk datang lagi sewaktu Nabila berumur 4 bulan. Doktor tidak memastikan dimanakah bahagian didalam otaknya yang telah rosak.

Maka saya hanya berfikiran positif. Tidak mahu berfikir yang bukan-bukan. Kerana saya tidak mahu menangis lagi.

~wajah yang comel lena dipangkuan saya..~


06 January 2009

Wajah-wajah Nabila selepas keluar di NICU.

Beberapa keping gambar saya letakkan di sini. Semuanya gambar selepas Nabila keluar NICU. Saya dikehendaki menjaga Nabila dengan baik kerana doktor telah berpesan sebelum discharge. Kemungkinan serangan sawan akan berlaku lagi. Jadi saya dikehendaki menjaga Nabila dan memerhatikan tindak tanduknya.

~hehe..gambar no.2 ayah Nabila botak..abg nazar botakkan kepala kalau Nabila keluar hospital...~


Kenangan di NICU..


Saya lupa nak bercerita tentang gambar ini. Selepas saya berurut kerana badan sudah dimasuki angin akibat berada kat NICU, hari yang ke -4 berada di rumah saya terus mengajak Abg melawat Nabila. Itupun selepas saya sudah merasakan badan ini sudah kuat semula.

Doktor ada bertanya kepada Abg mengapa tidak membawa aku. Lantas Abg terus menyatakan kepada saya dan esoknya saya begitu teruja untuk berjumpa dengan Nabila.

Sedih bila melihatkan anak ibu ini. Wajahnya sudah berubah. Serup seperti ayahnya. Danm sewaktu gambar ini diambil ada nurse Cina yang baik hati, bertanya kepada saya sama ada ingin memegang Nabila atau tidak ? Pada awalnya saya tak mahu menyusahkan mereka. Tidak mahu menggangu kerja-kerja mereka untuk menyusun kembali wayar-wayar itu. Dan pabila katanya tiada masalah saya bersetuju..

Saya merasakan susuk tubuhnya . Kecil dan ringan. bau hospital, melekat pada tubuh anak ini. Dan wajahnya comel sungguh. Entah berapa kali saya mencium dahinya. Dan mata Nabila kadangkala terbuka dan kadangkala tertutp. Agaknya dia tahu siapa yang memegangnya. Sepatutnya Nabila sudah berada dalam dakapan saya sekarang. Merasai kasih sayang dari seorang ibu. Apakan daya nak, nasib sudah tertulis begini...

Esoknya hari lahir saya 26 April 2008, saya pergi melawat Nabila lagi. Saya mencari nabila di tempat asalnya semalam. Namun saya lihat bayi lain yang berada di situ. Manakah Nabila ? Salah seorang nurse disitu melihat kami sedang mencari Nabila. Nurse itu menaytakan bahawa Nabila telah dipindahkan ke ruang belakang. Kerana Nabila telahpun stabil.

Lantas saya mencari. Yang kelakarnya. tiba-tiba sahaja saya lupa dengan wajah Nabila. Agaknya saya lihat semua bayi sama, sehingga saya keliru yang mana satu Nabila. :) Kemudian agaknya saya teruja bila nurse kata Nabila sudah stabil.

Akhirnya saya jumpa juga Nabila. Dan seperti biasa saya berbual dengan Nabila. Walaupun mata Nabila pejam, saya pegang jarinya. Saya lapkan bibirnya yang kering. Membersihkan wajahnya. Namun serius, saya masih lagi belum berani untuk memegang Nabila kerana risau wayar-wayar nya tercabut.

27 April 2008, saya melawat Nabila lagi. Dan Nurse memberikan satu berita baik kepada saya. Nabila telah stabil sepenuhnya dan saya dikehendaki untuk masuk semual ke hospital untuk mengajar Nabila breast feeding. Saya sangat gembira kerana inilah masa yangs aya tungu-tunggu. Bersama dengan si kecil ini. :)

Saya dan abg terus pulang ke rumah mak.Dan kami mengemas keperluan untuk dibawa ke sana. Nurse sudahpun menyiapkan katil untuk saya. Mujur juga dapat katil paling hujung.

Jam 6 petang, saya tiba semuala di hospital. Saya membawa Nabila ke katil kami. Saya letakkan nya di katil bayi. Dan malam itu meruapakan malam pertama saya bersama Nabila.

Saya gusar. Risaukan wayar dalam mulutnya. Nurse berpesan bahawa Nabila akan minum susu setiap 3 jam. Jadi saya di kehendaki meminta nurse untuk memasukkan susu dalam tiubnya.

Dan esoknya, saya menyuruh nurse untuk membuka tiub kerana lihat Nabila sukar untuk menghsiap jika tiub itu masih ada di mulutnya.Tiub itu pula asyik bergerak-gerak Bila tiub dibuka, barulah saya nampak wajah comel Nabila.

Pada mulanya Nabila langsung tak tahu untuk menghisap. Dan hanya mengemam sahaja tanpa sebarang hisapan. Nurse berpesan andai Nabila tidak mahu menghisap Nabila terpaksa menggunakan syringe (picagari) untuk menyusu.

Masih ingat lagi sewaktu Nabila dimandikan oleh nurse.Menangis menjerit pabila air terkena pada tubuhnya. Agaknya inilah kali pertama badan Nabila terkena air. Saya pula agak takut untuk menguruskannya. Jika di rumah sudah tentu ada mak yang sedia mengajar vdan membantu saya. Mujur juga saya sudah biasa menjaga adik. Jadi kurang sedikit rasa gentarnya.

Ubat-ubatan Nabila masih lagi diteruskan. Doktor memberikan ubat demam dan ubat sawan. kuat benar ubat itu. Saya masih ingat, Nabila menangis kesaiktan. Saya mencari punca, dan saya lihat kakinya bengkak. Ini kerana jarum dikakinya telah bengkok. Dan ubat juga tidak mahu mengikut salur yang betul. Doktor membetulkan line tersebut. Dan barulah Nabila diam apabila ubat itu masuk melalui kakinya. Sakit sekali saya melihatkan kakinya, lebam dan panuh dengan kesan cucukan jarum.

Selama 5 hari saya berada dihospital bersama Nabila. Menjaganya, mengajarnya menyusu dan menghabiskan antibiotik dan ubat-ubatannya. Ramai baby yang sudah boleh discharge.

Saya mengenali seorang wanita. katil kami bersebelahan. Saya tak ingat pula namanya. Anaknya dilahirkan secara paksa kerana si ibu menghidap darah tinggi. Kecil comel bayinya. Bayi lelaki. Dan saya ingat lagi , setiap kali si ibu ingin menyusukan anak, anaknya sepanjang masa tidur. Dan terpaksa dikejutkan.

Sewaktu saya discharge. si ibu itu masih lagi ada di situ.Mengharapkan tubuh anaknya naik.Dan bayi tersebut masih lagi dalam pemantauan kerana belum lagi boleh menghsiap susu. Saya berdoa agar anak itu terus kuat dan sihat . Saya kasihan melihat si ibu itu.Saya tidak pernah melihat suaminya . Mungkin suaminya kerje dan sibuk menguruskan anak sulungnya.

Nabila di NICU..

Sehari lepas Nabila lahir, saya terus berjumpa Nabila di NICU. Tidak sabar rasanya ingin melihat wajah Nabila adakah menyerupai saya atau menyerupai Abg. Abg membawa saya ke sana dengan menaiki kerusi roda dan sewaktu kaki ini melangkah ke wad NICU, saya berdebar.

Kemudian saya bertanya kepada nurse dimanakah Nabila dan lantas dia menunjukkan kedudukan Nabila. Saya masih ingat Nabila dihujung sekali. Berdekatan dengan sinki. Abg terus menolak saya menuju ke katil Nabila dan bila saya dapat melihat wajah Nabila, terasa seperti ingin menangis kerana melihatkan wayar yang berbelit pada badannya. Kemudian kepala Nabila juga berbalut.

Rupanya Nabila seiras dengan paksunya, Pudin..hehe. Comelnya. Putih betul..tak sia-sia rasanya minum soya setiap hari . Dan inilah wajahnya..

~comel kan..walaupun wayar berbelit kat muka.~

~gambar penuh satu badan. Nabila macam sedar tak sedar. Banyak makan ubat kot~

~Jari jemari saya memegang tangan Nabila~

Saya tidak dapat mendukung Nabila kerana wayar-wayar itu penuh satu badan Nabila. Dan kami dikehendaki membasuh tangan terlebih dahulu sebelum menyentuh Nabila. Saya tidak melepaskan peluang. Saya menyentuh anggota tubuhnya dan Nabila seakan sedar tindakan saya dan Abg. Mungkin Nabila tidak berdaya untuk bergerak. Ubat yang banyak tambahan pula dengan ubat sawan. Melihatkan Nabila saya menjadi sayu. Kecik-kecil lagi sudah kena di duga dengan cabaran di dunia . Tabahkan hatimu wahai anakku..

Kemudian setiap hari saya akan melihatnya di NICU. Abg menyorong perlahan saya ke NICU. Pabila malam saya menangis. Saya melihat sekeliling saya, semuaibu-ibu memeluk anak, sedangka saya? Keseorangan! Dan Nabila pasti perlukan saya ketika ini.

Susu badan hari pertama dan kedua sedikit pun tak keluar. Saya seperti rasa ingin nangis. Nabila pula dikehendaki berpuasa selama 3 hari.

Saya mencari jalan untuk saya keluarkan susu badan ini. Pada awalnya saya hanya memakai pam bateri yang saya beli semasa mengandung dahulu, namun gagal. Saya cuba bertanya pada nurse dan dia menyarankan saya untuk menggunakan pam elektrik di bilik penyusuan. Menurutnya lagi ia akan mendatangkan rasa sakit, namun saya tak ambil kisah Janji susunya keluar!

Hari ke-3, Nabila sudah boleh untuk minum susu, tetapi melalui rest tube. Saya dikehendaki mengepam dalam 60 ml utk nabila minum sekali. Pada awalnya sakit sewaktu mengepam dan lama-kelamaan bila saya pam susu keluar dengan banyaknya.

Hari ke-5, Isnin 21 April 2008 saya dibenarkan keluar dari hospital. Luka pembedahan saya sudahpun dah kering .Dan Doktor Sarah, yang menyambut Nabila berpesan pada saya andai saya ingin duduk di katil di NICU itu, dia boleh sahaja siapkan. Segalanya memudahkan saya untuk melihat Nabila. Saya gembira dan tengahari saya discharge keluar dan terus duduk di katil di NICU pula.

Entah kenapa badan saya mulai penat. Kemudian breast saya terasa keras. Terasa seperti nak demam susu pun ada. Saya berborak dengan akak di sebelah katil saya. Saya tidak ingat anaknya kenapa dan saya tidak mahu bertanya lebih lanjut. Dia juga pun sudah seminggu berada di situ.

Hujan di luar menambahkan lagi sengsara ini. Saya terasa amat sejuk kerana aircond di NICU kuat. Kemudian saya dapat merasakan dada ni seperti nak semput.

Saya tidak berkesempatan untuk melihat Nabila. Abg pula balik ke rumah sekejap. Saya menelefon Abg untuk datang menyapukan minyak panas ditubuh ini..

Saya sudah terfikir untuk pulang. Sudah lain benar badan ni. Saya menelefon mak dan kata mak adalah baiknya aku menunggu Nabila di rumah sahaja.

Sewaktu pulang ke rumah mak, saya menangis. Saya sedih kerana terpaksa meninggalkan Nabila keseorangan. Sepanjang perjalanan saya menangis saja.


Tiba di rumah mak, mak terus memasak nasi panas ngan goreng ikan bilis dan lada hitam sket. semuanya untuk menghangatkan tubuh ini.

Malam tu saya dan Abg menangis bersama-sama. Tak tertahan rasanya dugaan ini . Saya kaihankan melihat Abg. Katanya sepanjang saya di hospital, dia menangis seorang diri dirumah . Bila mengenangkan aku dengan Nabila, mungkin ni semua Allah nak uji sejauh mana saya dan Abg menghadapi dugaan-Nya.Ni saya letakkan lagi gambar Nabila sepanjang kat hospital..





Kelahiran yang istimewa..

Sambung dari entry sebelum ni. Saya sakit pada subuh 16 April 2008, keluar tanda dan terus ke hospital. Nurse terus menahan saya kerana laluan sudah terbuka sebanyak 1 cm. Pada mulanya saya tak merasa sakit langsung. Saya lihat wanita India di hadapan katil saya itu sudah terjerit-jerit kesakitan.

Lalu saya terfikir sakit sangatkah? Akhirnya saya mulai merasai sakitnya sedari jam 8 pagi. Nurse menyuruh saya mengira kesakitan itu setiap berapa minit. Saya kira-kira ada dalam 10 minit setiap kontraksi tu. Abg ada di ruang menunggu, menantikan saya. Kasihan Abg. Saya menyuruh dia balik. Dan dalam pukul tiga Abg datang semula, tengok saya masih lagi belum bersalin. Bukaan baru 3cm. Lambat sangat dan saya tengok seorang demi seorang sudah memenuhi ruang menunggu bilik bersalin. Semua sedang mengerang kesakitan. Wajah masing-masing berkerut-kerut. Saya cuba untuk berjalan-jalan untuk menghilangkan rasa sakit, namun itulah, nanti tenaga meneran tiada pula.

Malam..

Ayah dan Adik saya datang, Ayah membawakan milo panas untuk saya, tapi ketika itu saya sudah sakit teruk. Kontraksi setiap 5 minit. Perghh...Tak tahan rasanya. Nak duduk rasa tak boleh, berdiri apatah lagi. Saya ke sana dan ke mari menahan kesakitan dan sudahnya saya menyuruh ayah dan adik pulang. Abg masih ruang menunggu dan saya dikehendaki masuk semula kerana risau nurse mencari pula..

Menjelang pukul 1 pagi, saya tidak boleh melelapkan mata. Sakit yang teramat sangat dan saya asyik ke tandas. Di tambah pula saya seperti mahu tidur di dalam tandas terasa seperti mahu membuang. Jam 5 pagi, saya sudah rasa seperti nyawa dicabut. Saya pekup muka saya pada bantal dan kemudian menjerit. Nurse berpesan pada saya untuk tidak melakukannya lagi namun saya buntu. Sudah tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Sudah bermacam-macam potongan ayat saya baca namun itulah, kuasa Allah. Mahu menunjukkan betapa susahnya melahirkan anak.

Akhirnya jam 8 pagi saya ditolak ke bilik bersalin. Itu pun bukaan baru 4 cm. Lamanya untuk sampai 10 cm lagi.Saya sendiri sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana di dalam itu bukannya boleh untuk saya berjalan-jalan seperti di luar. Sentiasa berada di atas katil kerana nurse ingin memantau Nabila.

Tepat jam 2.00 ptg, barulah bukaan 10 cm dan nurse menyuruh saya meneran. Saya cuba untuk meneran namun Nabila tidak keluar juga. Pada mulanya hanya ada 2 org sahaja di dalam bilik saya, dan kemudian semakin lama semakin ramai. Agaknya melihatkan saya sukar untuk meneran dan sudah pelbagai cara dilakukan. Memasang alat di kaki supaya kaki terbuka luas namun Nabila masih belum keluar juga. Dan doktor mengambil keputusan untuk vakum Nabila. Itupun setelah hampir sejam saya meneran.

Kepala Nabila sebenarnya sudah kelihatan , cuma entah kenapa masih tidak boleh keluar. Kemudian doktor cuba untuk vakum sebanyak 2 kali.

Sayangnya selepas vakum, Nabila masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda berjaya keluar. Dan menurut doktor saya terpaksa dibedah. Tatkala saya mendengar kata doktor tersebut membuatkan saya lebih takut.

Doktor terus menolak balik kepala Nabila masuk semula ke dalam rahim dan terus menyiapkan saya untuk masuk ke bilik bedah. Masa itu hanya Tuhan sahaja perasaan saya. Saya tidak menyangka bahawa saya bakal dibedah..

Ketika di bilik bedah,saya sememangnya sudah tiada punya tenaga. Saya kepenatan. Sebaik sahaja di cucuk ubat bius saya terus tidak sedarkan diri. Saya hanya sedar ketika doktor mahu menjahit bahagian bawah yang telah digunting sewaktu vakum tadi. Semua beramai-ramai menolak kaki saya dan pastinya saya tidak merasa langsung kaki ini. Saya sempat bertanya adakah Nabila sudah keluar atau tidak namun nurse hanya mendiamkan diri. Mungkin juga dia tidak mendengar pertanyaan saya.

Selesai semuanya, saya keluar dari bilik bedah dan tidak silap saya, saya sempat melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 6 petang.

Pukul 7 malam, saya dihantar ke wad. Saya seperti separuh sedarkan diri dan kemudian mak saya datang melihat saya. Hanya sekejap sahaja kerana mahu menghantar barang-barang. Dan kemudian Abg pula masuk dan katanya esok dia akan dtg lagi. Menurut Abg, Nabila dimasukkan ke NICU kerana tertelan air ketuban dan najis. Saya menjangkakan kemungkinan Nabila baik-baik sahaja kerana ada juga anak-anak yang tertelan air ketuban dan najis tapi baik-baik saja selepas itu. Namun saya tidak menyangka inilah permulaan kisah duka saya, Abg dan Nabila...

Pengenalan diri saya, suami dan Yasmin Nabilah..

Saya berkahwin dengan suami pada 26/05/2007 setelah kami berkawan hampir 6 tahun. Kami berjumpa ketika sama-sama belajar di Adtec Shah Alam.satu kelas..dalam Teknologi Kejuruteraan Mekatronik..setelah 2 bulan berkahwin..saya disahkan hamil dan kebetulan saya mendapat pekerjaan baru, sektor kerajaan. Mungkin rezeki anak. Yasmin Nabilah dijangka lahir pada 2O April 2008, selang 6 hari sebelum tarikh lahir saya. Seronok kalau Nabila sama hari lahir dgn saya, tapi perasaan bimbang tetap ada..takut2 apa2 jadi pada kandungan saya nanti.

Masa saya mengandungkan Nabila saya tidak pernah rasa mabuk atau loya-loya seperti wanita lain yang mengandung. Entah, nampak elok saja saya ke office. Masa itu pula sibuk dengan persiapan pilihanraya. Sebagai pekerja baru macam-macam juga yang telah saya pelajari. Mengandung tidak menjadi beban pada saya untuk ke kursus atau seminar yang telah diadakan oleh Jabatan. Mungkin Nabila tahu ibunya banyak kerja dan tidak mahu menyusahkan ibunya. Pernah sekali saya pulang dari pejabat jam 12 malam ke Rawang. Kawan-kawan office mahu saya balik ke rumah mak di Gombak, tapi saya malas. Malas untuk mengejutkan mak dan ayah untuk membuka pintu. Alhamdulillah mujur tiada apa-apa yang terjadi. Nasib baik..

Beberapa hari sebelum hari jangkaan bersalin, saya sudah mengambil cuti untuk besiap sedia. Yelah, kalau kerja nanti takut pula bersalin kat office. Susah pula nanti kawan-kawan saya untuk menghantar ke hospital. Abg pula kerja malam pada minggu itu. Dan pada subuh Rabu, 16 April 2008, saya terasa ada sesuatu yang meleleh, Lantas saya terus ke tandas dan saya dapati ada darah keluar. Saya terus menelefon Abg untuk menyuruhnya dia balik ke rumah Dengan perasaan takut, saya dan Abg terus ke Hospital Sungai Buloh. Yang kelakarnya, saya menyuruh Abg membawa kereta perlahan. Tak perlu untuk gopoh sangat kerana aku tak merasa sakit seperti orang yang akan bersalin. Sampai di hospital, Nurse memeriksa saya, dan saya terpaksa di tahan. Nanti saya menceritakan perkara selanjutnya ketika saya berada di hospital. Namun sebelum itu, saya ingin tunjukkan gambar kahwin saya bersama Abg..

~Gambar masa malam berinai~

~Gambar selepas akad nikah..~

~inilah pelamin saya..hehe~

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...