31 December 2010

Seribu kenangan..

Menjelang tahun baru, aku diserang demam. Sedari semalam, tekak terasa amat perit. Dan pada malamnya, aku sudah mula terasa pening dan selsema. Sudahlah semalam, aku terpaksa pulang lewat dari pejabat, gara-gara membawa Nabila ke PDK. Kemudian berkejaran ke Tasputra pula untuk sesi pendaftaran sekolahnya untuk tahun 2011.

Di PDK, anak ini semakin banyak akal. Seperti biasa aktiviti di dalam jakuzzi diteruskan. Sampai tertidur di dalam bathtub kerana keasyikan tubuhnya berada dalam air suam dan gelombang air yang memukul tubuhnya. Namun berhenti saja mesin itu, terus saja menangis. Mahu duduk lagi di dalam bathtub itu. Puas ku pujuk, tapi faham-faham sajalah perangai Nabila. Mengamuk sakan. Sampaikan bila ku bawa ke bilik snoozelon pun tak mampu untuk memujuknya. Dan sudahnya, terus aku mengangkat beg dan pulang ke rumah mak.

~sikit tak berdecit suara tuh bila dok dalam tub ni ~

Dan petangnya, aku bergegas ke sekolah Nabila. Sesi pendaftaran sudahpun bermula sejak pagi. Namun, aku mengambil keputusan untuk datang pada waktu petang. Selesai membayar yuran pendaftaran, terus berjumpa dengan OT dan Fisio therapistnya. Dan kami berbincang pelbagai perkara tentang Nabila. Macam hari perjumpaan ibu bapa. Cumanya, kami bukanlah berbincang tentang akedemik, tapi bercerita tentang perkembangan fizikal Nabila sepanjang berada di sekolah :)

Dan selesai urusan di Tasputra, aku pulang semula ke pejabat untuk menyiapkan baki-baki kerja sehingga jam 8.30 malam. Dan sewaktu pulang, badan memang dah tak larat nak bawa kereta ke Rawang. Dan sudahnya, aku mengambil keputusan untuk tidur saja di rumah mak.

..........................................................................

Untuk sepanjang 2010 ini, ku rasakan banyak perkara yang berlaku pada kami sekeluarga. Dan beberapa perubahan tentang Nabila tentang keputusan berat yang kami ambil demi kebaikan dia. Bagiku, bukan mudah untukku membuat keputusan ini, namun, demi kebaikan bersama, adalah lebih baik aku lakukannya.

Seperti sedia maklum Nabila sudah memulakan sesi sekolahnya di Tasputra Perkim di Ampang Hilir pada April yang lalu. Pada mulanya hati ini agak berat untuk meletakkannya di bawah jagaan orang lain, namun bila kufikirkan sedalam-dalamnya, sampai bila untuk aku memanjakannya di bawah jagaan neneknya. Sudahlah fisioterapi jarang-jarang sekali diadakan di hospital. Menunggu temujanji dengan Jabatan Rehabilitasi membuatkan masa itu terlalu panjang buatku. Dan aku tekad mahu menghantar Nabila ke sekolahnya.

~hari pertama Nabila di sekolah. Menemaninya untuk 2 hari di sana~

Dan pada tahun ini juga Nabila mendaftar di PDK pada bulan 7. Niatku hanya untuk menambah rawatan sedia ada. Mempelbagaikan cara serta kaedah dan mencari ilmu tentang anak CP untuk kegunaan Nabila. Alhamdulillah. pilihanku tepat. Memasukkan Nabila di PDK Kamii di Gombak satu perkara yang tidak sia-sia kulakukan buat Nabila.. :)

Kenangan manis untuk tahun ini, Nabila sudah boleh memusingkan badannya untuk posisi meniarap pada bulan puasa yang lalu. Berkat bulan puasa, Alhamdulillah, Nabila sudah dapat skill yang satu itu. Sedikit namun aku bersyukur. Sekurang-kurangnya Nabila melakukan sesuatu yang baik untuk tahun ini.

Begitu juga dengan makan. Nabila sudah kurang menangis ketika makan. Malah, aku dapat rasakan Nabila semakin kuat makan. Tubuhnya tampak berisi sedikit berbanding dulu. Syukur .. :)

Untuk pertama kalinya, kami bermalam di HKL. Semua ini gara-gara Nabila yang menangis tak tentu hala membuatkan semua orang tak tahu apa punca yang menyebabkan anak ini menangis berterusan. Namun aku menjangkakan Nabila mempunyai masalah sembelit. Hampir 3 hari juga kami ditahan, dan Alhamdulillah, Nabila semakin pulih. Cuma sejak kebelakangan ini, Nabila dilanda sembelit semula. Dan Selasa lepas, Nabila mengeluarkan najis berdarah. Sangat menakutkan bilamana najis Nabila tersekat di lubangnya. Dan kemudia ku nampak darah mengalir meleleh di celah pehanya. Aku menangis bila melihat keadaan Nabila. Seminggu sebelum itu, Nabila di serang sawan. Pernah kami berkejaran ke Sungai Buloh kerana sawan Nabila menyerangnya kembali. Namun, kami mengambil keputusan untuk tidak ditahan di wad.

Banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun ini, namun semua di atas adalah beberapa perkara yang kurasakan aku tak boleh untuk melupakan setiap detik gembira dan cemas bersama Nabila.

Dan ku harapkan tahun depan lebih menyinar dari tahun ini. Moga perjalanan bersama anak bernama Yasmin Nabilah akan terus lurus dan lancar hendaknya. Moga rezeki yang diberikan bertambah-tambah dan melimpah-ruah buat kami sekeluarga.. Amin..

Selamat Tahun Baru buat semua. Moga kalian diberi keceriaan yang lebih di tahun baru ini. InsyaAllah.. :)

30 December 2010

Kami menangis bersama-sama...

Sudah beberapa hari meninggalkan blog tanpa sebarang update. Entah kenapa jari-jari malas benar untuk menaip. Padahal ada kisah yang ingin ku ceritakan pada semua.

Kejadian yang berlaku pada minggu lepas, bagiku sangat menakutkan. Waktu itu, aku sedang drive untuk pulang ke rumah. Nabila pula ketika itu sedang tenang berada di dalam car seat nya.

Dan bila tiba di satu lampu isyarat, aku berhenti. Dan kemudian aku menarik hand brake . Faham-faham sajalah kereta Abg. Kalau tarik hand brake bunyinya mmg kuat. Entah apa yang melekakan Nabila ketika, membuatkan dia terkejut betul bila mendengar bunyi hand brake tu. Padahal bukannya tak pernah dia mendengarnya. Dan sudahnya, mulutnya mulalah mencebik. Dan diikuti tangisan yang kuat.

Pada mulanya aku memujuk seperti biasa. Tapi bila tangisan Nabila sukar berhenti dan malah lebih kuat lagi, aku terus panik. Dan sempat aku menjeling-jeling pada Nabila dan dalam kesamaran gelap malam pekat, aku dapat lihat Nabila menggenggam kedua tangannya dengan erat ke dadanya. Matanya terkedip-kedip seperti takut untuk memandang dan seperti orang menahan nafas. Aku terus berhenti di stesen minyak dan terus memeluknya. Aku cuba untuk menyedarkan tindakan Nabila, namun raungannya makin kuat. Malah kaki dan tangannya keras kejang. Matanya masih lagi berkeadaan kedip-kedip. Dan perkara itu berlangsung selama setengah jam. Aku sendiri tak tahu apa yang harus ku lakukan, Sudahnya air mata ini mengalir melihatkan keadaan Nabila. Aku peluk Nabila erat.

Puas aku memujuk, namun gagal. Dan lantas aku menghidupkan enjin semula dan terus pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan aku tawakal dan berdoa agar tiada perkara yang buruk berlaku pada Nabila.

Sampai saja dirumah, Abg terkejut melihat keadaan Nabila. Dan kata Abg, dia mahu membawa Nabila ke hospital. Aku melarang kerana aku tak pasti apa yang berlaku pada Nabila. Aku sendiri tidak tahu apa yang harus ku katakan pada doktor. Dan terus aku mencapai telefon dan merakam apa yang berlaku pada Nabila.

Dan hampir sejam juga kami menenangkannya. Dan tak lama selepas itu, Nabila kelihatan tenang semula. Itupun setelah aku berikan ubat demam kerana aku rasa badannya mulai hangat. Dan malam itu Nabila tidur dengan lena.

Esoknya aku memantau keadaan Nabila. Alhamdulillah, Nabila sudah kembali normal. Namun, hati ini masih gusar dan menjadi tanda tanya. Apa yang berlaku pada Nabila sebenarnya? Aku menceritakan keadaan itu kepada Puan Zu, therapist untuk OCCT. Katanya kemungkinan Nabila diserang sawan. Entahlah. Aku sendiri tak pasti. Dan cadangnya, aku akan menunjukkan hasil video yang aku ambil ketika kejadian itu untuk ditunjukkan kepada doktor peads nya nanti.
Risau hati hanya tuhan saja yang tahu........

p/s : Selamat Tahun Baru pada semua rakan-rakan bloggers.. :) Sekejap benar masa itu berlalu. Moga tahun hadapan lebih baik dari tahun ini. InsyaAllah.. :)

25 December 2010

Manakan tahu kesusahan itu akan membawa kesenangan...

Melihatkan kisah Ahmad Albab di TV yang menangis tiada henti mengingatkan aku tentang Nabila sewaktunya kecil dahulu.

Nabila juga dahulunya begitu. Menangis sedari umur 1 bulan sehinggalah berusia 5 bulan. Pantang saja maghrib menjelang, tangisannya kedengaran sehinggalah tengah malam. Pelbagai cara dilakukan, namun tangisannnya sukar dihentikan.

Aku sendiri kurang pasti apa yang tak kena pada anak ini. Sehinggalah aku sendiri menangis tatkala melihat dirinya menangis tak henti-henti. Dan masih ku ingat ketika itu. Bulan puasa tahun 2008. Aku sudahpun pulang ke rumah ku di Rawang. Kononnya mahu hidup sendiri berdikari. Baru saja nak berbuka puasa, Nabila sudah terpekik-telolong. Sampai aku dan Abg terpaksa berbuka puasa secara bergilir kerana terpaksa menjaga Nabila.

Dan, ketika itu juga aku menghantar Nabila ke taska. Akibat penjagaan di taska yang tidak sempurna, aku terus pulang ke rumah mak semula di Gombak. Mak lah yang mengasuh Nabila sehingga Nabila berusia 2 tahun.

Dan tatkala kembali semula ke Gombak, Nabila sudah berhenti dari menangis. Mungkin juga dia tidak mahu berpisah dengan neneknya. Kata adik, mak menangis bila aku mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke Taska. Katanya Nabila masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Tak susuai untuknya dijaga disitu.

Dan kini, usianya hampir menginjak 3 tahun. Segala kenangan tangisan Nabila tetap kukuh dalam ingatan ini. Bagiku kesukaran untuk menjaga Nabila dulu, sudah nampak kesenangannya kini. Rezeki yang melimpah ruah, malah jalan untukku membesarkan anak ini dipermudahkan lagi. Anak ini pembawa rezeki pada kami. Alhamdulillah....

23 December 2010

Kini dia tidak menangis lagi...

Andai ada yang perasan pada sebelah kanan dibahagian 'Label' aku meletakkan label Makan di situ. Sebenarnya sudah lama aku menceritakan tentang cara makan Nabila yang tak sudah-sudah 'sukar' untuknya berbanding dengan anak-anak yang lain.

Dan Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini , cara makannya semakin menyenangkan. Malah, lebih baik berbanding dulu. Jika dulu, waktu makan Nabila keadaannya seperti 'berperang' , namun kini tidak lagi.

Caranya? Hanya dengan kaedah 'SABAR'...

Sebenarnya, aku bukanlah dikategorikan sebagai seorang yang sabar. Sememangnya dulu apabila tiba waktu memberi makan pada Nabila, aku lebih stress berbanding si kecil ini. Dirinya yang sukar untuk menelan dan terlalu memilih makanan menyebabkan aku fed up dengan situasi itu. Malah pernah juga aku kecewa dan berhenti berharap pada Nabila untuk mampu makan semua makanan seperti anak-anak normal yang lain.

Dan aku marah andai ada ibu yang tak suka memberi anak makan bila anak sudah pandai meminta itu dan ini. Bagiku, tak salah bila anak itu ingin merasa dan berpadananlah kuantitinya. Biarlah anak itu tahu rasa dan tekstur makanan itu. Dan bersyukurlah anak sudah pandai meminta makanan, dibandingkan Nabila yang masih belum mengerti apa maksud makanan...

Berbalik pada Nabila, aku sangat-sangat bersyukur bila lihat perubahan ini dalam dirinya. Jika dulu, aku sangat risau bila Nabila menangis ketika makan. Risau andai makanan itu masuk ke dalam paru-parunya. Namun, jika tak diberi makan, apa kesudahannya? Sudah pasti Nabila tidak dapat menguatkan otot mulutnya untuk mengunyah. Malah tiada tenaga untuk melakukan aktiviti seperti fisio dan OT..

Kata mak, dia kini sangat seronok bila memberi Nabila makan. Apa yang diberi semuanya dihabiskan. Dan diselang-seli bersama susu. Terasa badan Nabila semakin berat. Tadi, sewaktu mengangkat Nabila untuk naik ke rumah mak, aku terasa sangat lelah. Aku dapat rasakan tubuhnya semakin berisi.

Cuma satu saja yang masih mengganggu aku. Nabila masih lagi dengan sembelitnya. Lactul sudah sepertinya tidak berfungsi lagi. Kesian Nabila.... :(

Moga perubahan ini kekal dan bertambah baik lagi..Amin.. :)

p/s : Kawan-kawan..Plz vote Nabila.. saja nak test masuk contest ni. Manalah tau ada pulak rezeki si kecil ni..

Klik saja link ini.. http://www.facebook.com/babymanjafansclub#!/photo.php?fbid=179959292023898&set=a.179959028690591.44880.152878094732018

dan kemudian klik 'LIKE' pada gambar Nabila.. :) . Terima kasih.. :)

22 December 2010

Rasa bersalah menyelubungi diri..

Andai di beri pilihan aku tidak mahu menghantar Nabila ke sekolahnya hari ini. Sudah 2 hari Nabila tidak bersekolah. Ini semua gara-gara bercuti pada hujung minggu lepas. Cuaca yang agak mendung dan sejuk menyebabkan Nabila diserang selsema 2 hari ini. Tambah pula aku rendamkan Nabila di laut dan kolam renang. Hanya 2 kali saja ku rendamkannya, dengan alasan mahu menguatkan otot-ototnya. Namun, apa yang aku mahukan tidaklah seperti yang kuharapkan.
Semalam, mak menyalahkan aku dalam hal ini. Katanya, semalam Nabila kelihatan murung. Tidak mahu bergelak tawa seperti selalu. Tiada ukiran wajah ceria diwajahnya. Dan bila aku menyambutnya semalam sebaik pulang dari kerja, Nabila seperti nampak sihat semula. Kata mak, dia memberikan ubat sebanyak 2 kali. Dan bila petang, barulah selera makannya muncul. Lapar barangkali..
Aduhai..serba tak kena aku hari ini. Bertanya pada mak andai ada sesiapa di rumah. Malangnya yang tinggal hanya adik-adik lelaki ku di rumah. Ayah sibuk menguruskan hal sepupuku manakala mak pula ke dylisis. Boleh saja aku berikan Nabila kepada adik-adikku untuk dijaga..tapi faham-faham sajalah budak lelaki. Waktu pagi pastinya masih diulit mimpi. Matahari mencacak diatas kepala, baru nak sedar diri!!
Sudahnya, aku mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke sekolah. Dan pesanku pada staff di situ, andai Nabila berada dalam keadaan tidak selesa, berikan saja ubat yang telah ku bekalkan di dalam begnya. Dan ada pula suara sumbang yang berkata,
"Mesti ko asik nangis je arini. Jangan nangis. mak ko nak gi keje!!"..
Huhu..sebak hati bila dengar kata-kata itu tatkala kaki ini melangkah keluar dari pintu. Mahu saja aku lari mengambil Nabila semula, namun, apakan daya. Dalam hati ini hanya berdoa agar Nabila tidak membuat masalah di sekolah nanti.
Dan di tika ini, hati masih gusar. Hati masih tak senang duduk. Terfikir-fikir apalah yang Nabila lakukan saat ini di sekolah. Aduhai....

20 December 2010

Princess Bella @ Port Dickson..

Hujung minggu bersama keluarga sebelah mak. Bercuti di Port Dickson. Meriah.. :) Hampir semua adik beradik mak berkumpul. Semua ini sempena hadiah dari keluarga sepupuku..Mimi yang berkahwin 2 minggu lepas. Keluarga Mak Long ku sponsor percutian ini kerana semua ahli keluarga telah bertungkus-lumus untuk majlis perkahwinan Mimi yang lalu.. :)

`~luv this pic..Princess Bella in da' house!!~

17 December 2010

Tiba-tiba hati ini rindu..

Entah kenapa pagi ini, tiba-tiba rindu pada Nabila. Semalam, seperti tidak puas memegangnya. Semalam agak lewat aku pulang dari pejabat. Jam menunjukkan angka 9 malam, baru berkemas untuk pulang ke rumah. Hujung tahun, kerja yang banyak hingga tak terkejar dibuatnya. Tambah pula sistem aplikasi yang agak lembap menambahkan lagi bebanan kerja yang sedia ada. Nak tak nak terpaksa pulang lewat kerna selepas jam 6 petang barulah sistem dapat digunakan dengan lancar.

Setibanya di rumah mak, Nabila kelihatan mengantuk. Lantas aku terus memandu pulang ke rumah. Tak sabar rasanya untuk berehat setelah seharian bergelumang dengan masalah-masalah di pejabat. Selang beberapa minit selepas memulakan perjalanan pulang, kulihat Nabila sudah tertidur di dalam car seat nya. Nampak keletihan. Mungkin sepanjang hari tak tidur. Mujur juga tak bersekolah semalam. Kalau tak mesti Nabila lebih letih.

Sampai sahaja di rumah, Nabila tersedar dan cuba mahu tidur kembali. Namun gagal. Nabila merengek kecil, aku cuba meletakkan Nabila atas katilnya tapi matanya sukar untuk dipejamkan. Dan sudahnya aku memeluknya sambil menggoyang-goyangkan tubuhnya. Rupanya Nabila mahu tidur dalam pelukanku. Abg bertanya kenapa tidak diletakkan Nabila di atas katilnya. Dan aku menjawab, mungkin mahu ibu memeluknya.Mungkin dia menunggu ibu balik kerja dari petang tadi. Kecewa agaknya ibu pulang lewat.

Kesian pun ada bila lihat Nabila. Dan sehingga subuh tidur tak bangun-bangun. Nyenyak barangkali. Dan pagi tadi, sewaktu menghantar Nabila ke sekolah, dia tidur lagi di dalam car seatnya. Hanya sedar bila aku meletakkannya di atas kerusi di sekolahnya. Celik tetapi dengan wajah terpinga-pinga. Aku mengambil tangan kanannya, bersalaman dan meletakkan tanganku di bibirnya. Lembut sekali tangannya. Tanpa rasa paksaan. Agaknya mamai baru sedar dari tidur.. :)

Dan sekarang, rindu pula pada si kecil ini. Dan terasa seperti menyanyi kecil lagu ini......

Cinta Untuk Nabila

Cinta untuk Nabila
Aku ciptakan sepanjang hidupku ini
Telah lama aku mencari
Kemana menghilangnya puteri

Apakan daya
Sudah suratan tertulis kita bertemu
Hingga kini setelah berpisah
Salju yang beku terlerai sudah

( korus )
Oh Nabila...
Lambang cintaku kepadamu
Hingga kini oh Nabila takkan lupa
Mengingatimu

Oh Nabila...
Lambang cinta yang telah layu
Hingga kini oh Nabila
Agar kau dapat mengerti
Kepada mu puteri
Kusanjung tinggi

Lagu untuk Nabila
Aku ciptakan bila mata
Kuterpejam lena
Kuutuskan bayu yang bertiup
Menyatakan cinta untuk Nabila

( ulang korus hingga akhir )
Menyatakan cinta untuk Nabila
Takpe dik..sok kita jalan-jalan yek.. :). Gi PD.. leh gi swimming.. :)

15 December 2010

Mahu duit turun jatuh atas bumbung kereta aku!!!

"Masalah tak putus-putus..risau kalau2 nabila x dpt bersekolah pasni klu masih kenakan yuran mahal. adoiyaii..kan bagus klu kaya..tak pening pasal duit..huhu.. "

Kemelut yang melanda aku pagi tadi. Tak senang duduk aku dibuatnya sepanjang hari berada di pejabat. Sampai Abg di rumah pun naik tension dengan aku. huhu....

Sebenarnya ini berkenaan dengan sekolah Nabila. Sedia maklum, sekolah seperti Nabila memang perlukan duit untuk menampung perbelanjaan kakitangan, makan minum, sewaan tempat-tempat terapi dan sebagainya. Namun, pada awalnya, aku tak bersetuju dengan yuran yang dikenakan kepada kami oleh pihak pengurusan. Namun, aku beralah dan bersetuju juga akhirnya kerana tidak mahu permohonan untuk memasukkan Nabila di situ di tolak gara-gara aku tidak dapat menyediakan yurannya.

Untuk 3 bulan pertama, masih boleh digagahkan lagi. Namun, masuk saja bulan keempat, aku mula terasa peritnya. Tambah pula Abg ketika itu kurang membuat OT di tempat kerjanya. Dan terdesak dan tersepit, lalu aku cuba meminta pengurangan pembayaran yurannya. Aku berjumpa sendiri dengan pihak pengurusan. Pihak pengurusan memohon aku agar menulis surat untuk permohonan tersebut. Aku akur dan menulis surat, namun tiada jawapan selepas itu. Pihak pengurusan tidak mengatakan 'Ya' mahupun 'Tidak' . Cuma kata mereka, mereka akan cuba meminta bantuan bagi menampung segala keperluan Nabila di situ. Aku tak pasti sama ada surat aku itu dieksploitasi atau tidak, aku tidak mahu mengambil pusing tentang perkara aku. Janji Nabila boleh berada di sana. Itu sudah memadai buatku.

Namun, pagi tadi, kakitangannya meminta aku membayar yurannya. Dan sudahnya, aku cuba menelefon orang kanannya. Dan rupanya, mereka juga menanti jawapan dariku. Mereka ingin mengetahui jumlah yang mampu ku bayar untuk Nabila terus berada di sana. Alahai..aku ingatkan mereka masih lagi dalam tempoh perbincangan. Rupanya mereka menunggu jawapanku.

Dan kami telah menemui jalan penyelesaian. Dan pengurangan telah berjaya ku minta. Alhamdulillah. Sememangnya aku segan menghantar Nabila sepanjang 4 bulan tanpa sebarang bayaran. Dan pasti, rupa-rupanyanya kedua-dua pihak ' salah faham' .

Dan sedikit sebanyak masih mengganggu perbelanjaan kami. Aku terfikir-fikir, bagaimanakah hidup orang lain yang sudah mempunyai 2-3 anak? Sedangkan aku , baru Nabila seorang pun dah pening kepala. Dan sebenarnya, perbelanjaan untuk anak istimewa sememangnya lebih banyak berbanding dengan anak normal. Rawatan saja sudah memakan belanja ratusan ringgit. Belum dicampur ubat-ubatan dan alat-alat bantuan yang lain. Sememangnya setiap ibu bapa yang punya anak istimewa wajib diberi bantuan. Kerana, kos sara hidup semakin meningkat.

Untuk Nabila, sememangnya aku tidak mendapat mana-mana bantuan. Sungguh!! Kerana kesukaran untuk berurusan dan selebihnya kakitangan yang banyak songeh membuatkan aku meluat untuk berurusan dengan pihak yang berkenaan. Dan sudahnya, sehingga kini aku hanya mengambil insiatif dengan menggunakan duit sendiri andai Nabila memerlukan rawatan. Namun bukit jika sentiasa ditarahnya, pastinya akan habis jua. Mujur juga aku seorang kakitangan kerajaan. Dan Abg juga mempunyai klinik panel andai Nabila sakit demam.

Dan aku berharap Nabila boleh meneruskan persekolahannya di situ. Sebab aku sudah nampak sedikit demi sedikit perubahan Nabila sejak mula bersekolah. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan.. Amin..

~Hari pertama di sekolah..sangat behave dan tahu membawa diri. Dan niat dihati sebaik saja melangkah kaki di sini adalah mahu Nabila mendapat apa saja yang boleh membantunya untuk menjadi lebih baik lagi~


13 December 2010

Banyak benar akalnya..!!

Sejak kebelakangan aku perhatikan Nabila menunjukkan ciri-ciri lebih peka dengan keadaaan sekeliling. Pantang siapa saja yang memegangnya, pasti dia akan mengukir senyuman.


~Ala-ala gedik gitu..hehe.. ~

Aku dapat rasakan Nabila mula berubah sedikit demi sedikit. Mungkin juga kesihatannya agak baik kebelakangan ini. Tiada demam dan selsema.. Alhamdulillah. Dan itu menjadi pendorong buatnya untuk sentiasa ceria bersama aku dan Abg.

~yeah..maintain senyum..sampai ada makcik kat kenduri kawin suka benar tgk muka dia..hehe~


Juga sudah pandai minta untuk bermain. Walaupun Nabila masih lagi di tahap seperti bayi, namun akalnya sudah menunjukkan kematangan sedikit. Yelah..kata pun bayi terlebih matang..hehe.. Lama sangat jadi baby. Hurm..puas juga aku menjaga dia macam baby. Agak-agaknya kalau ada anak sihat..sure sekejap je masa itu berlalu..Tau-tau je dah besar.. :)

Bila dipegang, semahunya dia mahukan aku menggoyangkan tubuhnya. Seakan menari. Dan aku dapat lihat, rupanya Nabila sudah mula sukakan muzik. Yelah, pagi-pagi sudah naik kereta. Ibu pulak pasang radio macam orang pekak..hahaha!! Maunyer si Nabila ni pun menggedik sama. Bila ibu menyanyi dalam kereta, dia pun mulut bising juga..

" waaa...uuuuu...aaaaahhhhhh...wooooorrrrrmmmm"

~pantang orang geletek..sure ketawa mengekek..kihkihkih..~


Itulah Nabila. Kadang-kadang balik keje, badan rasa letih, rasa hilang semua kepenatan bila bermain dan melihat aksinya. Walaupun belum terkinja-kinja melompat sambil menyebut "Ibu.." atau belum berjalan dan berlari mendapatkan aku, aku tetap puas dengan apa yang Nabila peroleh sekarang. Ya, walaupun tak cukup..namun aku bersyukur. Nabila punya kesihatan yang baik dan dia semakin bijak bermain dengan perasaannya dan juga perasaan kami. Sepertinya dia sudah banyak mengetahui butiran percakapan kami walaupun agak sukar baginya untuk membalas kata-kata kami.

Tak mengapalah dik..kita kayuh pelan-pelan..InsyaAllah, pasti akan sampai destinasi kita nanti.. :)

Doakan Aisya..

Aku mendapat berita pagi tadi. Mesej dari Ayue, Ibu Aisya berbunyi gini..
"Ina, doc nak amik air tulang belakang aisya. Doc suspek dia kena meningitis. Apa pendapat ina? nak bagi ke tak?
Ya Allah, lantas aku mesej Dr. Zaahirah, dari PPUM..bertanyakan pendapatnya. Dan kemudian terus saja aku membalas mesej Ayue menyatakan perlu mengambil air tulang belakang.. :(
Dan tadi aku menelefon Ayue. Bertanyakan khabar Aisya. Rupanya Aisya diserang demam Jumaat lepas. Dan diikuti sawan pada hari Sabtu. Serangan sawan yang agak lama dan doktor mengambil keputusan untuk mengambil air tulang belakang Aisya. Ayue sendiri tidak pernah melihat keadaan Aisya diserang sawan.
Tadi sewaktu panggilan dibuat, Aisya masih dalam keadaan mamai. Baru sahaja selesai menjalani LP (ambil air tulang belakang) . Aisya dan Ayue kini berada di Hospital Serdang.
Ya Allah, kuatkan semangat Ayue. Tabahkan hatinya. Kuatkan semangat Aisya untuk meneruskan perjalanan hidupnya di muka bumi ini. Sebak bila aku mendengar suara Ayue tadi. Sungguh aku tak senang duduk aku sepanjang hari ini. Ingin mengetahui khabar berita Aisya.
Kawan-kawan..mohon semua doakan Aisya lekas-lekas sembuh dan tiada serangan sawan lagi. Amin..

08 December 2010

Mimpi..

Semalam, tidur kami sekeluarga sama seperti rutin seharian. Nabila sudah awal-awal lagi melabuhkan tirai walaupun kami sedang sibuk berjalan ke sana ke mari di Tesco malam tadi. Hurm..Nabila..Nabila..Bawak gi jalan-jalan tapi dia tido plak..huhu..
Dan jam 3 pagi, Nabila tersedar dari tidurnya. Sejak dua menjak ni Nabila akan bangun awal pagi untuk minum susu. Dan kemudian pastinya dia sukar untuk tidur kembali. Sudahnya terpaksa aku membawanya ke bawah, tidur di buaian dahulu dan kemudian barulah angkat naik ke bilik tidur.
Jam 5 pagi, aku melelapkan mata sebentar sementara menantikan jam 5.30 untuk bangun dan bersiap. Tetapi, entah kenapa mata bagai di gam-gam. Tak mahu nak bangun. Berat benar dan sudahnya pagi tadi aku terlajak bangun. Terkejut bila melihat jarum jam sudah menunjukkan 6.30 pagi. Kelam kabut aku mengemas beg Nabila, menggosok baju dan memasak air panas untuk Nabila mandi. Dan pastinya aku terlewat ke pejabat hari ini. Adoiyaaiiii..
Sebenarnya sepanjang jam 5.30 hingga ke pukul 6.30 pagi rupanya aku bermimpi. Aku mimpikan Nabila cuba membaling dompet pada aku. Pada mulanya aku cuba minta Nabila baling dan aku percaya Nabila tak boleh melakukannya. Entah kenapa, aku terkejut tatkala Nabila memahami arahanku dan cuba membaling dompet ke arahku. Dan aku cuba mengujinya sekali aku. Ku berikannya duit, dan Nabila boleh memberikannya kepadaku dengan tangannya sendiri. Tak tergambar perasaan ini bila dapat melihat Nabila melakukan perkara itu. Masih terasa kegembiraan itu di dalam hati ketika ini walaupun itu hanyalah mimpi.
Aku juga mimpikan Syafiah, anak Kak Suealeen. Agaknya aku rindukan hasil penulisan Kak Sue dan wajah terbaru Syafiah hingga termimpi-mimpikannya.
Entahlah, sudah acapkali kami sekeluarga mimpikan Nabila semakin pandai dan semakin bijak. Malah perasaan itu sampai terbawa-bawa di alam realiti. Mungkin juga terlalu mengharapkan sesuatu dari Nabila menyebabkan kami sentiasa mimpikan perkara-perkara yang baik tentang Nabila. Ya Allah, andai itu adalah perkara yang bakal berlaku pada anakku, ku mohon Kau jadikanlah ianya di alam realiti ini. Amin..
Andai perlu untukku menunggu..aku akan tunggu dengan sabar sehingga tibanya saat itu.. :)

06 December 2010

Cousin's Wedding..

Selesai sudah majlis perkahwinan sepupuku semalam. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Dan sepupuku tampak cantik dengan busana perkahwinannya.Ringkas tetapi anggun..!!

Imizar & Iqbal.. Moga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.. :)


Dan seperti biasa Nabila pastinya akan menjadi tatapan umum mata yang memandang. Ramai juga yang bertanya bagaimana keadaannya boleh menjadi sebegitu.Aku menjawab seringkas yang boleh. Dan selebihnya mak aku yang menerangkan pada makcik-makcik ini.

Makcik..nanti saya nak pelamin macam Aunty Mimi saya.. :)
Budak yang sangat behave ok..!! Selalu kena cium ngan Makcik Alisa. Nabila suka pulak tu.Yelah..makcik ngan anak buah pun sebaya..Nabila dah tahu nak berkawan.. :)


Huh..Malas benar aku. Sepertinya tak kuasa melayan.Mungkin ada yang bersimpati apa yang telah terjadi pada Nabila. Semuanya berkata..

"Kesiannya.." .

Atau ayat ini...

"Sayangnya!! Orangnya comel!"

Aku tak pasti dengan perasaan ini.Semakin lama mendengar kata-kata orang luar yang melihat Nabila..aku seakan "tebal telinga". Sudah lali. Sepertinya sudah kebal. Namun kadangkala hati tersayat juga.

Biarlah mata yang memandang.Biarlah mulut berkata. Hanya hati ini saja yang mengetahui susah senang pahit getir bersama Yasmin Nabilah..

p/s : Sewaktu meningglkan Nabila di Tasputra tadi..Nabila menangis. Pada mulanya ku kata padanya sewaktu di dalam kereta "Ok sayang,dah sampai sekolah dah. Jangan nangis-nangis yek. Buat exercise tau". Tapi masuk je dalam dan aku cium pipi sambil ucapkan 'bye' pada Nabila, tiba-tiba airmatanya berjurai.Menangis! Aku pulak yang hiba melihatnya..huhu.. Tangisannya seakan memberitahu aku bahawa jangan meninggalkannya.. Aduhai sayang..!

03 December 2010

Kenangan ini..

Beberapa gambar Nabila ku belek. Penuh dalam pendrive. Satu folder. Semuanya gambar-gambar Nabila yang lama. Dan tak sangka..Tahun depan Nabila sudah berusia 3 tahun.

Ya Allah..cepat benar masa itu berlalu. Dari hari pertama ku lihatnya, aku sudah jatuh cinta dengan anak ini. Biarpun lahirnya penuh dengan cubaan dan dugaan..anak ini sememangnya kuat. Mahu terus hidup dan melihat ibu dan ayahnya di dunia ini. Biarpun hidupnya nanti bakal serba kekurangan. Terima kasih Nabila kerana telah hadir dalam hidup ibu dan ayah.. :)

Ketika masih bayi. Kecil..dan sangat fragile..

Dalam pantang lagi..mata yang sangat cantik. Tapi bulu mata tak lebat lagi masa ni... :)

Raya pertama bersama Nabila. Sangat tembam dan gemok..hahaha..!!! Dan kembali duduk bersama mak dan ayah di Gombak setelah mengetahui 'keadaan' Nabila.. :(

Rambut lebat sangat..Semua ikut ayah..ala-ala ikal.. :) Yang tak suka adalah matanya ketika ini. Tapi dah besar-besar ni kurang sket julingnya.. :)

Apapun kekurangan anak ini, ku terima. Namun anak ini sebenarnya tak pernah kurang di mataku. Malah dialah segala-galanya bagiku.

Buat Nabila, ibu akan harungi segala kesusahan kita bersama. Takkan ibu tinggalkanmu sayang. Ibu tahu kamu anak yang kuat. Tabahkan hatimu sayang. Syurga pasti menantimu.. :)

02 December 2010

Tawamu penawar dukaku..

Comel..itu perkataan yang boleh ku katakan dalam gambar itu. Wajah yang sangat suci..persis puteri dari kayangan.. :)
 
Ibu sayang sangat padamu Yasmin Nabilah. Moga dikau menjadi anak yang baik dan terus maju kehadapan.. InsyaAllah..
 
 

Bagaimana untuk menahan diri ini?

Berkali juga aku menceritakan tentang adik Nabila. Berkali juga aku cuba untuk menahan gelodak diri. Peritnya bila sukar sekali untuk menahan diri.
Kali ini bercerita lagi tentang adik Nabila. Gelodak hati tatkala memegang Ra'id..baby yang selalu berkunjung ke rumah mak aku.
Pagi-pagi lagi Ra'id sudah muncul di muka pintu rumah mak bersama neneknya. Sempat aku bermain-main dengan Ra'id sebelum bersiap-siap untuk membawa Nabila ke PDK. Bila ku pegang Ra'id..terbayang-bayang di ruang mata andai Nabila punya adik seperti Ra'id. Sihat dan normal. Memang itu yang diidamkan sedari dulu.
Ku cuba merasai nikmat mempunyai 2 orang anak. Yang istimewa dan normal. Andai diri bisa mampu..boleh saja. Namun beberapa perkara yang mengganggu membuatkan ianya membantutkan hasrat hati.
Kata mak, biarlah dulu. Berilah peluang untuk Nabila membesar. Nabila juga masih seperti bayi. Tunggu sehingga 1-2 tahun lagi untuk berikannya adik lagi.
Aku akur. Memang itu sebenarnya yang dirancang pada awalnya. Tapi bagaimana untuk menahan diri ini?
Dan hati ini berdetik. Sabarlah. Ianya pasti akan muncul jua...
Bila Ra'id disampingku..ku melihat dirinya bermain permainan dihadapannya. Nabila masih belum menguasai skill memegang. Dan aku mula terasa seronok bila Ra'id bermain-main dengan mainan yang ku beri. Ini bukanlah bermakna aku kecewa dengan Nabila yang masih belum menguasai skill itu. Aku berasa bersalah kerana Nabila masih gagal menguasainya. Mungkin masih kurang input yang ku beri pada Nabila..
Sayang..memang sayang..Mungkin kecedaraan otak Nabila di tahap 3 membuatkan aku perlu lebih banyak bersabar dan menanti saat tiba masanya Nabila bermain sendiri. Ya..Nabila perlu lebih lagi. Anak ini ada potensi namun aku perlu banyak usaha dan sabar.
Tadi pun sewaktu berada di PDK, kami duduk di bilik snoozelon. Nabila sepertinya nampak dan cuba memegang lampu-lampu di badannya. Kata Cik Yah, Nabila mungkin nampak cahaya tetapi bukan pada objek. Gusar hatiku bila mendengar katanya. Ya, Nabila akan alert pada cahaya. Tidak pada objek. Tak sabar untuk aku membawa Nabila untuk pemeriksaan matanya. Lambat benar appointment dengan opthalmologist Sg. Buloh. Semahunya cepat masa itu datang. Dan mahu tahu secepat mungkin apa perkembangan penglihatan Nabila...

30 November 2010

Tiada di Rawang..

Bersiaran dari pejabat..masih belum pulang walaupun jam dah menunjukkan pukul 8.00 malam. Sepanjang minggu ini penuh dengan kerja-kerja yang perlu disiapkan sebelum Jumaat ini. Ada majlis dari kementerian yang perlu kami sertai.
Dan sepanjang minggu..berada di rumah mak. Tak lalu pula rasanya meredah jalan yang gelap pekat ke Rawang. Dan badan ini terasa begitu penat melayan kerenah kereta yang dah semakin semput. Kebetulan pula, Abg bekerja malam sepanjang minggu ini. Sudahpun meminta keizinan untuk bermalam di rumah mak. Mujur Abg faham. Dia juga risau melihat aku berulang alik dan duduk berdua di rumah bersama Nabila pada waktu malam.
Dan 2 minggu ni..2 majlis perkahwinan bakal berlangsung dalam keluarga kami. Satu sebelah aku dan satu lagi sebelah Abg. Kedua-duanya sepupu kami. Dan keadaan agak sibuk. Sepupuku, Mimi sibuk melakukan persiapan akhir sebelum majlisnya. Sempat aku berjumpa dengannya semalam untuk menghantarkan tudung dan selendang yang pernah ku gunakan dulu sewaktu akad nikahku berlangsung. Rupanya sudah 2 pengantin termasuk sepupuku menggunakan tudung dan selendang tersebut. Dahulu sebelum Mimi, pengapitku juga pernah menggunakannya. Dan sayangnya, pengapitku, Ija telah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya setelah berkahwin dengan suaminya genap 2 bulan. Sedih bila mengenangkan saat-saat bersama dengan Ija yang juga kawan baikku sewaktu kecil. :(
Dan minggu ini, aku tak pasti sama ada aku dapat membawa Nabila ke hospital atau tidak. Nabila ada appointment dengan Fisio dan OCC Jumaat ini. Semua ini disebabkan majlis yang bakal berlangsung pada Jumaat ini . Aduhai..Kalau kancil ok, sudah tentu ayah Nabila boleh membawanya ke hospital. Masih terfikir-fikir sama ada mahu menukar appointment atau tidak.
Dan rasanya pasti sekarang ini Nabila sedang mencari aku. Semalam pulang lewat juga, Nabila sudah memanggil-manggil namaku.. "bu..bu..." Dan neneknya pula menjawab.. "Bu tak balik lagi.." Aduhai..kesiannya Nabila.. harap sangat kerja-kerja ini diselesaikan dengan cepat.. :(

28 November 2010

Montessori...

Sabtu dan Ahad lepas, saya berpeluang untuk pergi menuntut ilmu di Park Royal Hotel. Mungkin ada yang pernah dengar tentang Montessori Technology..

Alhamdulillah..segalanya dipermudahkan. Sehinggalah akhir bengkel, terasa seperti sayu untuk berpisah dengan peserta kursus yang lain. Rata-rata mereka bukanlah orang tempatan. Datang dari jauh seperti dari China, Filipina, Thailand, Nepal, India dan Afghanistan. Wakil dari Malaysia adalah dari Tasputra dan juga dari negeri Sarawak.

Saya cuba untuk merangka apa yang perlu dikatakan di dalam blog..namun setelah diteliti halus..sepertinya tidak sesuai untuk menerangkan segala apa yang telah saya pelajari di sini. Takut di saman pula oleh pihak IMS. Hehe..

Namun, pengalaman bersama Mr. Lee Havis, CEO Institute Montessori Society, banyak mengajar saya pelbagai perkara. Sepertinya, tidak boleh mengatakan "TIDAK" kepada anak. Dan beliau telah mengajar pelbagai teknik untuk 'tackle' anak-anak ini.

Namun, ilmu ini lebih kepada anak yang normal. Pada pendapat saya, ianya boleh diaplikasikan kepada anak istimewa, namun perlu juga melihatkan kemampuannya di dalam teknologi ini. Semuanya perlulah sesuai mengikut kebolehannya.

Dan apa yang saya boleh katakan untuk anak istimewa, perlu lebih kepada sentuhan tatkala memberi arahan pada anak-anak ini . Dan 'eye contact' sangat-sangat penting. Berkata pada anak sambil merenung tepat ke matanya. Dan pastinya anak-anak akan rasa lebih dihargai dengan cara ini.

Namun, untuk anak normal, sebolehnya diberikan ruang untuk anak itu bermain. "Minimun Supervision" adalah ayat paling tepat untuk menggambarkan keadaan kita ketika melihat anak bermain. Biarkan anak meneroka dunianya tanpa gangguan dewasa.

Apapun , saya sangat berpuas hati dengan kursus ini. Banyak pengalaman dan ilmu yang saya kutip sepanjang kursus ini. Terima kasih pada Mamanurin yang telah memberikan peluang ini kepada saya untuk menimba ilmu ini.

27 November 2010

Kaki kecil ini melangkah..

Tadi..aku dan Nabila melakukan satu aktiviti yang dahulunya kerap aku lakukan selepas Nabila mandi. Berdiri..!!

Agak lama Nabila tidak berdiri di sisi katil. Kerana tiada peralatan yang sesuai untuk Nabila berdiri, aku sandarkan Nabila di sisi katil. Agar dia boleh mengawal pinggangnya dan mengawal head controlnya.

Dulu, Nabila langsung tak boleh berdiri. Dilepaskan hanya 2-3 saat, Nabila sudah jatuh kebelakang.

Kini, jika aku lepaskan dalam 1-2 minit, Nabila sudah boleh menahan diri. Namun, ianya masih tidak cukup. Namun aku syukur. Sekurang-kurangnya Nabila ada peningkatan berbanding dulu.

Tak cukup dengan itu, selesai saja 20 minit aku berdirikan Nabila, aku cuba mengajarnya melangkah. Part yang aku rasa agak sukar untuk Nabila. Biarpun dia boleh berdiri, tetapi bila melangkah, Nabila gagal untuk melakukankannya. Sehinggalah aku terpaksa menolak kakinya untuk bergerak.

Aku cuba mambawa Nabila menuruni tangga. Ku pegang erat Nabila, kerna aku risau Nabila terlepas dari pegangan tanganku. Mulutnya bising. Seolah-olah mengomel dan membebel kepadaku. Aku hanya ketawa dan terus lakukan dari satu langkah ke satu langkah.Ku pujuk Nabila untuk cuba melangkah lagi. Namun..kakinya masih belum mahu berganjak. Dan sudahnya, tangan ini membantunya untuk turun.

Sedikit keras. Bila kaki satu di anak tangga atas, dan kaki lagi satu di anak tangga bawah. Aku tahu betapa sukarnya kaki kecil ini melangkah. Ya Allah, kuatkan semangat ini. Pedih bila Nabila masih jauh ketinggalan. Aku tahu, Nabila juga mencuba. Ya, otaknya semahunya cuba menerima input ini.

Saat ini aku terbayang. Andai Nabila masih jua belum boleh menguasai untuk menaiki tangga, akan harus ku ubahsuai rumah ini. Dan rancangannya, satu bilik tidur berada di tingkat bawah untuk Nabila. Aku cuba membayangkan bilik yang penuh dengan kesesuaian kebolehannya. Namun, harapan ini masih mahu Nabila lebih baik dari apa yang kubayangkan tadi.

Maafkan ibu sayang, Betapa ruginya ibu, kerana lambat melakukan terapi untukmu. Andai ibu tahu, sudah awal-awal lagi ibu cuba daftarkan kamu ke sekolah. Terapi di hospital sahaja tidak mencukupi. Andai ibu tidak bekerja, sudah pastinya ibu akan lakukannya semuanya sendiri. :(

26 November 2010

Alah bisa tegal biasa...

Sepanjang minggu ini, Nabila berada di sekolah. Tidak ke PDK dan tiada appointment di hospital. Dan pastinya minggu yang sangat memenatkan buat aku.

Cuti sekolah, memang tiada makna untuk jalan lengang. Ya! Pagi memang lengang. Namun petang, agak meletihkan. Sudah 2 hari aku pulang lewat. Semalam saja, aku pulang dari rumah mak jam 10. Dan sampai di Rawang hampir jam 12 malam. Itupun mak yang kejutkan aku kerana tertidurdi bilik adik dek keletihan. Letih sepanjang hari dengan bebanan tugas dipejabat yang banyak. Faham-faham sajalah hujung tahun. Banyak yang perlu disiapkan.

Dan hari ini, aku pulang dari pejabat jam 6.30 petang. Ada beberapa perkara yang masih belum siap dan semahunya hari Isnin nanti, ianya mudah untuk aku menyelesaikannya. Namun, dek kerna takut tinggal keseorangan di pejabat, terus sahaja mengemas beg dan pulang. Nampak di luar pun gelap. Kaki pun cepat saja menuju ke pintu keluar.

Sepanjang minggu ini kereta Abg pula sudah menunjukkan tanda-tanda 'jahanam'. Cluth plate dah haus. Hurm..faham sajalah kereta nasional. Cukup saja 5 tahun..serba-serbi mahu bertukar. Aku hanya tawakal saja membawa kereta itu ke pejabat dan berulang alik menghantar Nabila ke Ampang.

Tak silap, hari Isnin malam, jalan sesak ya amat. Dan pagi selasa, sewaktu ke tempat kerja, gear kereta buat hal. Tak boleh nak masuk gear 1. Aku dah menggelabah, namun masih berhati-hati. Mahu menelefon Abg untuk membawa kereta pulang, namun mengenangkan tidak berbaloi untuk aku pulang, aku gagahkan juga untuk membawa kereta itu. Jika dibawa pulang pun, pastinya kereta tidak boleh dibaiki. Sesak dek kerna gaji Abg yang belum masuk lagi dan aku pula, gaji lambat lagi...semuanya faktor kewangan yang agak menghimpit, lalu aku tak mahu berpatah balik. Namun nasib baik menyebelahi aku. Kereta kembali ok, walaupun nampak gear dah rasa lain macam. Aku hanya berdoa sepanjang jalan tiada perkara tak baik berlaku. Alhamdulillah, Allah permudahkan jalan ini.

Dan hari-hari seterusnya aku sengaja pulang lewat. Namun, jalan Templer Park - Rawang, tetap juga sesak walaupun jam menujukkan angka 11 malam. Huhu..Tak boleh nak buat apa. Agaknya cuti sekolah, ramai yang bercuti dan keluar berjalan-jalan atau orang yang bekerja pulang lewat. Saban hari, hampir setiap malam, aku menyuruh Abg mengurut pinggang dan kaki dek lenguh asyik menekan cluth. Maklum saja manual. Mau saja hati bertukar ke auto, namun akal ni menghalang. Belum masanya untuk membeli kereta baru. Baru nak merasa tiada bebanan hutang kereta :)

Bila melihatkan Nabila, kesian juga padanya. Yelah..setiap hari pulang lewat. Pagi-pagi pula sudah bangun untuk mandi dan bersiap-siap. Inilah pengorbanan yang terpaksa aku lakukan untuk melihat Nabila pulih. Berulang alik setiap hari, pada mulanya agak membebankan. Dengan jauh serta kos minyak saja sudah cukup memeningkan. Namun, aku puas. Aku dapat juga duduk di rumah sendiri bersama Abg jika dibandingkan orang lain yang tak dapat bersama suami dan anak-anak atas sebab tugas. Bagiku, andai aku susah..ada lagi yang lebih susah dariku. Hurm..layankan saja semua ini.. :)

Dan harapnya badan ini boleh bertahan untuk semua ini. Hurm..sejak-sejak Nabila lahir, stamina aku pun dah tak cukup kuat. Berjalan sikit sudah termengah-mengah dek badan yang naik mendadak sejak memakai alat perancang. Itulah perkara yang harus 'kubayar' untuk memastikan diri ini bersedia mendapatkan anak lagi. Trauma dan takut masih menghantui diri walaupun diri ini membuak-buak mahu menambah lagi. Sabar..itulah kata kuncinya. InsyaAllah..ada rezeki, pasti Nabila akan dapat adik nanti.. :)

23 November 2010

Saat diri ini mula menerima hakikat itu...

Suatu ketika dulu, aku pernah jatuh terduduk bila mengetahui nasib Nabila. Menangis tak henti bila mengenangkan dirinya tidak seperti orang lain. Di pejabat, hati ini tidak tenteram. Tidak dapat fokus kerja-kerja di pejabat dek mengenangkan Nabila.
Dan saat itu juga , aku mula melayari internet. Mencari maklumat tentang cerebral palsy. Dan aku mula menjumpai seorang demi seorang yang senasib dengan Nabila. Rupanya aku tidak keseorangan. Ramai di sana yang mempunyai nasib sepertiku. Dan ketika inilah, aku sudah mula menerima keadaan Nabila.
Semangat demi semangat ku bina demi Nabila. Dan harus tidak boleh merasa diri ini malang. Aku bergaul dengan rakan-rakan yang senasib denganku. Sehinggalah adanya 8 keluarga yang kupanggil Family Superkids.
Setiap mereka yang hadir pemberi semangat padaku. Anak-anak mereka juga adalah anakku. Walaupun bukan lahir dari rahim ini, namun sayangnya pada mereka sama seperti aku menyayangi Nabila. Dan hadirnya keluarga yang lain telah memberi sinar dan harapan untuk kami terus bangkit dan cuba membantu antara satu sama lain.
Bagiku, andai kita dikurniakan anugerah teristimewa ini, tak perlu takut atau bimbang. Banyak peluang untuk anak-anak ini untuk terus hidup dan memperoleh pendidikan khas untuk mereka. Dan sebagai ibubapa, usaha demi usaha berlipat kali ganda untuk anak-anak ini. Sabar serta tabah menghadapi dugaan ini. Memang perit untuk ditelan, namun hidup perlu di teruskan. Anak-anak ini adalah anugerah yang paling bernilai dan berharga yang pernah hadir dalam hidup kita.
Usah gusar atau ragu. Bertanya dan berkawan dengan rakan senasib adalah jalan yang paling tepat sekali untuk kita memperoleh semangat demi anak-anak ini. Padaku, andai aku jatuh hari ini, esok aku akan cuba bangun semula. Biarpun terpaksa merangkak untuk mencari secebis kekuatan demi anak yang bernama Yasmin Nabilah.

21 November 2010

Kami bukan suka meminta-minta..!!

Maaf..entry yang agak emo.

Saya bukanlah seorang yang suka untuk menceritakan masalah saya pada orang lain. Namun kebetulan saya sangat buntu dengan beberapa kejadian yang berlaku pada saya 2 minggu ini. Maaf andai ada yang terasa..namun kalian harus mengerti..Saya bukanlah menulis blog untuk mendapatkan duit atau meminta simpati kepada sesiapa saja yang membacanya.

Sungguh saya terasa..

Saya meluahkan rasa isi hati saya pada blog ini. Dan sikit pun ayat di dalamnya untuk meminta bantuan kepada sesiapa. Malah ada yang cuba memberi..saya cuba menolak dengan cara yang baik. Terima kasih pada kalian yang sudi membantu Nabila. Saya sangat hargai..tetapi sesetangah orang yang tidak faham atau mungkin tidak tahu apa yang saya alami..

Sungguh saya terasa..

Segala hak Nabila, saya simpan dengan baik. Malah ada separuhnya saya gunakan untuk dia. Terapi..ke hospital..sekolah..segalanya memerlukan wang. Dan jauh terlintas di hati ianya digunakan untuk perkara seperti bersuka-ria . Mungkin diluar sana nampak kami berjalan beramai-ramai bawa anak masing-masing untuk bersuka ria. Salahkah kami bersuka ria? Salahkah kami membawa anak-anak kami berjalan sama seperti anak normal yang lain?

Maaf sekali lagi. Saya ingin membetulkan persepsi semua diluar sana tentang kami yang punya anak istimewa. Niat kami menulis cerita tentang anak kami di blog adalah untuk berkongsi pengalaman tentang anak kami yang mungkin bukan semua boleh merasainya. Bukan untuk meminta-minta orang simpati pada kami..menangis membaca di blog kami atau meminta sesen duit dari kalian. Sedikit pun tidak. Malah kami sebolehnya mahu berusaha sendiri untuk anak kami.

Terima kasih pada mereka yang tak putus-putus membantu kami. Walaupun tak berkaitan dengan duit, seperti yang lain..doa, nasihat dan sebagainya..sangat kami hargai. Tanpa kalian, mungkin Nabila tidak akan dapat terapi yang sepatutnya. Maafkan saya......

19 November 2010

Berdebar...

Sepanjang minggu ini kekalutan menguasai diri. Cuti sehari ketika AidilAdha yang lalu sepertinya tidak membawa erti yang besar kepadaku. Namun aku tetap bersyukur dipanjangkan umur dan diberi peluang sekali lagi untuk merayakan Hari Raya AidilAdha bersama keluarga.
Aku ada menyatakan tentang rasa gusarku terhadap kursus Montessori yang bakal diadakan esok. Gusar kerana tidak dapat menimba ilmu di sana. Namun, aku bersyukur, Allah telah memberi jalan kepadaku. Terima kasih tak terhingga kepada Mamanurin kerana sanggup membiayai aku untuk kursus ini. Ya Allah, tak terhingga ucapan syukur ini kepadaMu. Yang telah memberikan laluan ini kepadaku. Dan kepada Mamanurin juga, hanya Allah saja yang dapat membalas jasa mama kepada Nabila. Sungguh aku rasa terharu dengan kemuliaan hati wanita ini. Walaupun kami tak pernah bersua, hanya mendengar suara melalui telefon, cukup menggambarkan hati ini sayang pada Mamanurin. Terima kasih mama atas support dan semangat yang diberikan kepada diri ini. Ina sentiasa mendoakan agar apa yang mama hajati tercapai...Amin.
Dan harapnya , aku mendapat ilmu agar dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Doakan segalanya berjalan lancar dan niat untuk aku berkongsi ilmu dengan rakan-rakan yang lain tercapai. Amin....
Untuk Nabila, tiada apa yang ibu harapkan selain mendapatkan ilmu itu untukmu sayang. InsyaAllah, ibu akan cuba apa saja yang terbaik buatmu.

15 November 2010

Pertemuan bermakna...

Sabtu, aku dan Nabila bertemu seorang sahabat. Sudah sekian lama aku ingin sekali bertemu dengannya, namun jarak jauh telah membataskan kami untuk bertemu. Dan akhirnya sahabat ini mengambil keputusan untuk berjumpa setelah cuba mencuri masa untuk bersua muka.

Alhamdulillah, pertemuan 4 mata ini sangat mengujakan. Faezah sememangnya seorang ibu yang kuat semangat. Dan juga aku mengagumi kejelitaannya. Sebelum ini aku hanya dapat melihat wajahnya dan anaknya Zara dan Ary di dalam FB, namun kini dapat melihat sendiri di hadapan mataku. Anak-anak yang cantik dan kedua-duanya bijak. Alhamdulillah..

Panjang sungguh perbualan kami. Dari satu kisah ke satu kisah. Ku dapat lihat raut wajah ibu ini sangat tenang. Walaupun badai melanda dalam kehidupannya, tampak Faezah tenang melayan Zara yang kini di sahkan istimewa. Zara masih lagi belum mendapat tahu penyakitnya, dan Faezah kini dalam usaha untuk memulihkan anaknya disini. Dan awal Disember, mereka akan kembali semula ke Qatar di samping suami tercinta.

Faezah telah banyak membantu kami dalam hal-hal berkaitan Nabila. Sesungguhnya aku sangat terhutang budi pada wanita ini. Entah bila aku dapat membalasnya nanti. Syukur diri ini dipertemukan dengannnya.

Buat Faezah, terima kasih atas segala-galanya. Dan Ina doakan segala apa yang Faezah usahakan untuk Zara akan membuahkan hasil. Doa buat Zara tak putus-putus dari kami sekeluarga agar anak ini sentiasa diberi kesihatan yang baik dan ceria disamping Faezah, suami dan Ary tercinta. Dan Ina harap persahabatan ini akan kekal buat selamanya. Terima kasih sahabatku... :)


p/s : Sudah jatuh cinta pada Zara dan Ary.. :) Pasti Aunty akan rindukan kalian berdua nanti....

12 November 2010

Kusut...

Short entry today..!! Sangat kusut selepas menerima panggilan dari Tasputra.

Tadi selesai makan bersama Ayu ibu Aisya, saya menerima panggilan telefon dari Tasputra. Berkenaan kursus Montessori yang akan diadakan 20 & 21 November. Minggu hadapan. Dan yuran sebanyak RM 608 untuk kursus tersebut...

Aduhai..mana nak kucari duit sebanyak itu? Sudahlah minggu depan pulak tu. Dan mereka menyatakan andai tak dapat menghadirinya, dikehendaki menulis surat menyatakan sebab untuk tidak menghadirkan diri. Sah-sah memang kena pergi gak kan. Sememangnya kalau boleh mereka mahu pergi kursus tersebut.

Saya memang nak ikuti.Kerna bukan mudah untuk dapatkannya. Tetapi masalah kewangan pula menghimpit. Aduhai...!! Alangkah bagusnya kalau duit sekoyan. Boleh buat apa saja untuk Nabila.

Ralatnya rasa. Kusut. Dan Abg tadi sepertinya marah bila saya menyatakan berita tersebut padanya. Sudah tentu dia pening mana nak cari duit sebanyak itu. Aduhai....!!!!!!

10 November 2010

Banyak hal pula hari ini..semuanya tentang Nabila...

Sepanjang hari..semuanya berkisar tentang Nabila..

Pagi-pagi menapak saja di depan pintu Tasputra, sudah bercerita tentang Nabila..

Tengahari..ketika mengambil Nabila di Tasputra, pun cerita tentang baiknya Nabila 2 hari ini ketika di sekolah..

Petangnya di Klinik ENT, speech therapist bercerita tentang Nabila yang sudah bertambah bagus dalam segi pertuturan..

Malamnya, Nabila dengan sesi urutan bersama kak Yusnita berjalan seperti yang dirancang pada minggu lepas..

Banyaknya tentang Nabila..!!

Hurm...pagi tadi, physiotherapist Nabila di Tasputra, Siti ada bertanyakan padaku siapakah therapist Nabila di Sg. Buloh. Aku menyebut nama Puan Syu dan lantas dia mahu bertanya pada Puan Syu berkenaan Nabila.

Bercanggah pendapat mengenai kaedah terapi yang dilakukan di sekolah Nabila. Seorang mahu begini..dan seorang lagi mahu begitu..Malas mahu mengulas lebih panjang hal demikian. Sebab ini perihal sekolah Nabila. Yang aku mahu..mereka menjalankan tugas mereka dengan baik. Melakukan terapi yang bersesuaian untuk Nabila.

Cuma aku dapat berita baik. Kata therapist di sekolahnya, Nabila sudah mula menunjukkan tanda-tanda positif. Datang ke sekolah dengan angka 0 dan kini Nabila boleh dianggap sederhana dan boleh kearah lebih baik lagi. Aku juga nampak tanda positif itu sejak Nabila bersekolah. Alhamdulillah..

Tengahari, tatkala aku mengambilnya di sekolah, Nabila sedang lena tidurnya. Kata mereka, Nabila baru lepas makan. Dan moodnya sangat baik sekali. Semalam pun sama. Ketika sesi terapi berlangsung, moodnya pun sangat baik. Diam pabila badannya disentuh untuk exercise. Kerna itu aku ralat untuk 'memontengkan' Nabila di sekolah hari ini, walaupun ada temujanji di hospital. Biarlah dia di sekolah. At least, sesi terapinya tak tertinggal biar sehari...

Petang di ENT Sg. Buloh, Nabila juga terut menunjukkan sifat yang baik. Tak meragam. Cuma di saat-saat akhir, dia sudah mula bosan. Aku dan speech therapist Nabila berbual pelbagai perkara. Rupanya dia pernah membaca blog Jiey dan turut menjumpai gambar Nabila ketika kami semua ke Teluk Senangin.

Dan aku bercerita pada speech therapistnya tentang Nabila yang sudah semakin riuh mulutnya. Dan sempat therapist itu mendengar Nabila menyebut beberapa bunyi. Katanya Nabila sudah mula mengeluarkan bunyi. Katanya lagi itu satu perkembangan yang baik untuk Nabila. Cuma ianya agak lambat..sepertinya bayi berumur 7-8 bulan. Takpelah dik..janji berbunyi.. dari senyap je..ibu pun risau..!!

~Santeknyer anak dara ni tido ngan gaya terkangkang gini..adoiyaiii penat sangat la tuh sampai tak sedar kaki dah camtuh..~

Malam..aku dan Nabila bertemujanji dengan kak Yusnita. Yang urut Nabila sewaktu aku bercuti separuh gaji tempohari. Aku mulakan sesi urut ini dari hari ini dan akan berlangsung setiap hari Rabu malam setiap minggu. InsyaAllah jika tiada halangan untuk aku menjemput kak Yusnita datang mengurut Nabila di rumah.

~ aksi mengamuk..bukannya sakit pun dik..pegang-pegang je..~

Moga segalanya bertambah baik dan dipermudahkan..Amin..

09 November 2010

Tangisan si kecil ini...

Anak ini sudah pandai merajuk! Sudah pandai mengamuk! Aduhai..dari mana dia belajar, aku kurang pasti. Yang aku pasti..amukannya akan membuatkan semua orang terpana melihat suaranya yang nyaring....!! hehe..

Mungkin juga mewarisi aku yang 'agak kuat mengamuk'..haha!! Bila kehendak tak dapat dituruti, habis semua dimarahnya. Puas memujuk cara baik..tak jalan..!! Mau saja di babap punggungnya..Geram..!! Tapi apakan daya. Marah pun tak guna. Apalah sangat si kecil ini tahu tentang hukuman.

Mohon diberi kesabaran bila melayan kerenah anak ini. Semahunya ingin sentiasa menjaga emosi anak ini. Tak mahu dia menangis keterlaluan. Bimbang akan timbul perkara negatif pula.

p/s : Agaknya kalau Nabila ni sihat, mau berguling-guling kat lantai marahkan ibu. Sedangkan sekarang ini, sudah melentik-lentik badannya, meneran-neran suara marahkan ibu.. Aduhai anakku!!

08 November 2010

Sayu bila melihat detik itu.....

Sepanjang minggu lepas, rutin seharian masih sama seperti sebelum-sebelumnya. Cuma aku ada membawa Nabila mencuba satu terapi baru. Diperkenalkan oleh makcik aku, dan serasa mahu mencuba tatkala mendengarnya bercerita tentang kaedah rawatan itu. Namun, akan kuceritakan pada entry kemudian nanti.

Seminggu kurasakan lelah. Ke sana kemari bersama Nabila tercinta. Dan kurasakan kehidupan ini sangat berbeza dengan orang lain. Bersama insan istimewa menjadikan diri ini lebih bersyukur dengan apa yang ada. Dan diri ini penuh dengan keinsafan tatkala mata ini terpandang insan istimewa lain yang senasib dengan Nabila. Melihatkan kesusahan ibu dan ayah membawa anak-anak ke pusat terapi atau kemana sahaja memberikan satu rahmat yang besar buatku. Kerna ku fahami hati mereka. Ku fahami segala yang tersirat di dalam diri mereka.

Dan sabtu lepas, mata ini terpandang satu detik indah saat seorang ayah bersama anaknya. Di rumah Kak Raw, ianya menjadi saksi kasihnya ayah pada anaknya. Sungguh aku sayu, melihatkan sang ayah mengusap lembut wajah si anak sambil matanya menatap tepat kearah si anak. Dan si anak seakan mengerti pandangan si ayah.

Di dalam hati, terdetik, dimanakah ibunya? Adakah ibunya tidak mahu bersama anaknya? Namun, kubuang jauh-jauh prasangka itu. Masakan si ibu tidak menyayangi anaknya? Ahh..tak mungkin. Pastinya ibunya tidak sihat barangkali. Dan mata ini sesekali melirik ke arah si ayah dan anak tadi.

Aku tidak mahu memandang lebih lanjut, kerna ku tahu pandangan itu akan mengundang tidak selesa pada mereka. Namun, hati ini terus berkata-kata..alangkah syahdu melihat moment tadi. Sungguh! Jarang sekali aku melihat ayah-ayah yang mahu melayan anak sedemikian rupa. Mungkin ada, mungkin aku tak sedar..tapi mata ini mengagumi saat-saat itu.

Melihatkan keadaan anak, pastinya mengundang seribu kesakitan di mata ini. Bagaimanakah hari-hari yang dilaluinya? Adakah baik atau sebaliknya? Bila melihatkan keadaan anak itu, aku terus memandang Nabila. Insaf! Bila mengenangkan anak sendiri yang sakit, aku tahu di luar sana lebih ramai yang sakit dan menderita lebih hebat dari Nabila. Sungguh ku kagumi semangat si ibu dan ayah yang membesarkannya.

Ku bermohon agar Allah memberi kekuatan kepada semua ibu bapa yang punya anak istimewa. Berikanlah kehidupan yang paling indah dalam hidup anak istimewa ini sebelum mereka menutup mata. Mereka juga mahu hidup bahagia seperti insan normal yang lain. Mereka berhak mendapat kasih sayang yang secukupnya dari keluarga dan rakan-rakan yang lain. Permudahkanlah jalan hidup mereka. Berikanlah senyuman diwajah mereka. Agar mereka tahu erti bahagia.. Amin Ya Rabbal Alamin.....

03 November 2010

Sudah kembali senyuman itu..

Sudah 2 minggu aku tak dapat melihat senyuman Nabila. Sungguh aku rindukan senyumannya. Gelak tawa dan riuh mulutnya bercerita.. :)
Segalanya sudah kembali seperti biasa sesudah kami pulang bercuti dari Melaka tempohari. Alhamdulillah. Nabila sudah kembali pulih dari segala kesakitan, dan sudah mula bermain seperti biasa.
Semalam, seperti biasa, aku menghantarnya ke sekolah. Dan dalam minggu ini, Nabila hanya dapat bersekolah selama sehari sahaja. Pada mulanya, aku katakan yang Nabila akan bersekolah pada hari Jumaat, tetapi sekolahnya tutup pada hari Jumaat ini. Kenapa? Ya Allah, aku terlupa..Rupanya Jumaat ini cuti umum sempena Deepavali. Terlalu banyak perkara yang ku fikirkan sehingga cuti umum pun terlupa. Mujur juga ada yang kakitangan sekolah yang mengingatkanku.Jika tidak, maunya aku terpacak seorang diri di pejabat pagi Jumaat itu..hehe..
Dan semalam, sampai saja di rumah mak, terus ku menerpa ke arah Nabila. Kata mak, Nabila diam saja di dalam van sekolahnya. Baik sekali. Hurm..emosi tak berantakan..!!hehe.. Dan pabila ku pegang, riuh mulutnya. "Auuuu...uuu..oooo..wooorrmmmm" . Mak aku kata, nak mengadu kat ibu la tu sepanjang hari kat sekolah. Apa-apa saja lah dik..janji kamu ok di sana.
Bila dah tahu ibunya ada, mulalah tak nak baring. Nak duduk saja. Rupanya nak main sambil duduk. Di gerakkan kakinya seperti mengayuh basikal. Semua ahli keluarga ku ketawa melihat telatahnya. Berpeluh-peluh seperti berbasikal berbelas batu. Kuyup!! Dan sudahnya, selesai maghrib, aku terus membawanya pulang. Di dalam kereta juga nampak baik. Main sampai riuh mulutnya. Sampai di rumah, letak saja di katil..aku terus menuju ke bilik air untuk mandi. Dan selesai mandi, tengok-tengok Nabila sudah tertidur dalam keadaan meniarap. Keletihan!! Alahai syahdunya..Baru je plan nak main flash card..dah tertidur.. :(
p/s : Sudah set semula appointment bersama kak Yusnita..dan Nabila akan diurut setiap hari Rabu malam. Moga segalanya berjalan lancar. Amin ..:)

01 November 2010

Dibumi Melaka...

Hujung minggu lepas, kami sekeluarga bersama superkids ke bumi Melaka. Telah merencanakan segala aktiviti 2 minggu sebelum tarikh.. :) Dan sangat-sangat teruja walaupun pelbagai halangan timbul. Hanya 5 keluarga yang dapat bersama kali ini.

Jumaat malam, aku sekeluarga sudah bermalam di rumah Ita ummiAlisya. Dan Sabtu, kami gerak terus menuju ke bumi Melaka. Dan tempat pertama yang kami kunjungi adalah Wonderland..

Dan sibuk merendam anak masing-masing..aku juga tak lepaskan peluang merendam Nabila (walaupun Nabila masih lagi tak sihat ketika itu) . Hehe..Apalagi si kecik itu..menangis melolong-lolong bila air terkena badan..

Selesai di Wonderland, kami pulang ke rumah mak Ita untuk berehat. Dan acara malamnya, kami ke rumah Kak Ros yang tidak jauh dari rumah mak Ita.

Inilah kali pertama aku bersua dengan Kak Ros. Sungguh aku kagum dengan semangat ibu ini. Membesarkan anak istimewa selama 13 tahun. Amri, sangat bijak, aktif dan pandai berkomunikasi. Melihatkan Amri, aku dapat lihat disebalik kejayaan Kak Ros yang tak putus asa demi anak tercinta. Dan semangatku berkobar-kobar demi Nabila. Mahu jadi sama seperti Kak Ros. Terima kasih Kak Ros, sudi berkongsi pengalaman yang sangat-sangat bernilai buat Ina. Moga kita berjumpa lagi di lain masa.. :)

Dan kejutan buat Farid, Abi Alisya sempena hari lahirnya. Kami bersama-sama Ita merancang majlis ini. Seronok bila melihat wajah-wajah ceria sang suami yang mengusik Farid di hari lahirnya.. Farid, maafkan kami yek.. :) (tapi mmg syok tgk ko kena lauk..hehe..)

Esoknya, kami ke Bandar Hilir. Berjalan-jalan di sana..Menaiki River Cruise menyusuri Sungai Melaka. Sangat mengujakan!! Dan lepak-lepak sambil bergambar kenangan di sana. Mujur cuaca tak panas terik. Disertai dengan angin, memang seronok berjalan. Kata Abg, berkat anak-anak ini berada di bumi Melaka. Cuaca sangat elok sekali untuk kami bersantai-santai di sana.

Selesai di Bandar Hilir, kami pulang ke rumah mak Ita, dan bersiap untuk ke Senawang. Dan kali ini ke rumah mak Farid pula. Dan sampai sahaja segalanya sudah siap. Hidangan untuk makan malam dan juga tempat tidur. Berbual bersama sebelum masing-masing melabuhkan tirai kerana keletihan sepanjang hari di bandar Melaka.

Dan esoknya kami pulang semula ke destinasi masing-masing. Memang seronok berjalan bersama kerana masing-masing memahami keadaan anak. Terima kasih keluarga superkids yang banyak membantu dan bersabar dengan kerenah Nabila sepanjang kita bersama. Hurm...Mujur juga keadaan semakin baik. risau kot-kot Nabila semakin tak sihat. Namun, Alhamdulillah..berkat jalan di atas sungai Melaka agaknya..hehe..

Terima kasih pada Ita dan Farid yang bertungkus lumus memberikan layanan yang istimewa kepada kami. Serius..hotel pun kalah tau!! Best!! Sure tak serik la nak gi lagi umah Ita dan Farid.. :) Buat family Zali Ida, Zura Syah , dan Faizal kak Noni..Terima kasih atas setiap kenangan ini. Akan ku ingat moment ini sampai bila-bila.. (hehe..serius..tak terkata seronoknya)

28 October 2010

Bagaimana hari-hari yang dilalui sejak lahirnya anak ini?

Sebenarnya, ramai yang bertanyakan soalan ini..

"Nabila macamana? Ok ke dia? Dia buat terapi kat mana? Bagaimana hari-hari yang dilalui bersama dengan Nabila? Susah tak nak jaga dia? Tak penat ke bawa Nabila kesana-kemari?"

Dan bila bercerita, akhirnya jawapan ini akan keluar...

"Kalau berada di tempat kau..pastinya aku tak sekuat kau..."

Aku bukanlah hebat..Aku bukanlah kuat..Aku hanya ikut flow yang telah ditakdirkan untukku..

Andai Nabila lahir, pastinya aku sama seperti insan-insan yang lain yang punya anak normal. Tak tahu bagaimana caranya untuk membesarkan anak istimewa.

Tapi..Nabila tetap Nabila. Andai menangis air mata darah sekalipun, bukan boleh mengembalikan Nabila kepada keadaan asal. Dan aku harus menerima hakikat, andai Nabila boleh berkelakuan seperti anak normal, ianya tetap jadi anak istimewa. Pastinya kesan kerosakan otak tetap meninggalkan kesan kepada dirinya.

Ini bukanlah entry nak melemahkan semangat. Entry ini adalah untuk peringatan kepadaku untuk berpijak pada bumi yang nyata. Bukan menyesali apa yang telah terjadi. Aku telah redha dengan apa yang ditentukan oleh-Nya.

Sebenarnya, kehendak Nabila sama seperti anak normal yang lain. Mahu makan, minum susu, bermain, menyatakan rasa tidak selesa dan sebagainya. Namun kaedah yang dilakukan berbeza dengan anak normal.

Sebagai contoh, untuk minum dan makan, Nabila akan memberi isyarat mulut yang mengumat-ngamit untuk makan dan minum. Dan aku pastinya sudah tahu berapa jam sepatutnya Nabila diberi makan dan minum.

Begitu juga dengan waktu bermain. Dia akan merengek, dan bila aku datang dekat, dia akan tersenyum bila aku memanggil namanya. Masalah mata yang dialami menjadikan deria yang lain seperti sentuhan dan pendengaran sangat-sangat bekerja keras bagi menggantikan fungsi mata. Betapa ku dapat membayangkan bagaimana keadaan Nabila untuk mengecam setiap apa yang berbunyi di hadapannya.

Dan pabila tidak selesa, Nabila akan menangis. Namun part ini sememangnya aku tak dapat sedari dulu lagi. Dan sudah 3 hari tangisan Nabila berkumandang bagai radio yang rosak di telinga ini. Sakit, pedih hati ini pabila tidak tahu apa yang dimahukan oleh anak ini.

Dan, setiap hari, hari yang dilalui sama seperti anak yang lain. Cuma, Nabila sedari awal sudah diberi latihan senaman fizikal. Tidak pada budak normal yang sudah tentu tahu untuk 'bersenam' sendiri.

Segala kelengkapan Nabila juga sama seperti anak normal. Katil bayi, rocker, jumperoo, walker, mainan..semuanya ada. Sama seperti anak normal. Mengapa aku perlu bazirkan duit untuk semua peralatan itu sedangkan Nabila bukanlah pandai untuk bermain pun?

Salah ye..!! Aku sedikit pun tak mahu Nabila rasa ketinggalan untuk mainan yang sama seperti anak normal.Dan aku tak mahu berasa ralat tidak membelikan untuk Nabila sedangkan aku tidak punya anak sama seperti orang lain. Padaku Nabila pandai main atau tidak, itu menjadi soal ke 2. Yang pasti hatiku puas bila Nabila dapat bermain sama seperti anak normal.

Rutin kami berdua sebagai ibu dan ayah hampir sama dengan orang lain yang punya anak normal. Orang lain sibuk mencari tempat untuk anak bersekolah atau tadika..aku juga sibuk mencari sekolah istimewa untuk Nabila. Orang lain sibuk mencarikan buku untuk anak belajar.. aku juga sibuk mencari cloth book untuk Nabila mengenal warna dan objek. Orang lain sibuk memberikan pelbagai tekstur makanan kepada anak..aku juga sibuk memberikan pelbagai makanan untuk menguatkan otot mulut Nabila.

Namun, aku dan Abg bukanlah ibubapa yang baik buat Nabila. mMasih banyak kekurangan dalam diri kami. Kadangkala rasa seperti seorang ibu yang jahil dengan kehendak anak sendiri. Tindak tanduk Nabila sukar diramal. Benar..itulah kata-kata therapist Nabila di Tasputra.

Tak kisahlah berapa ramai yang mahu bertanya tentang Nabila. Kerna aku tahu mungkin ada yang tidak pernah tahu tentang Cerebral Palsy. At least, aku dah bantu sedikit sebanyak dalam bab ilmu ini. Dan ianya sebagai panduan pada mereka agar berhati-hati dan juga peka dengan perkembangan anak....

27 October 2010

Adoiiyaii..Nabila nanes-nanes lagi..!!

Sedari semalam mood anak daraku tak berapa nak baik..puting beliung..Yang selalu ku katakan pada Nabila.." Nabila peod yek..asik nanes jerk.."

Huhu.... :(

Hari ini Nabila ada appointment dengan Pediatrik di HSB. Dan pagi-pagi tadi sudah menangis sakan. Gara-gara aku mengejutnya bangun pagi untuk mandi. Alahai anakku..bukan tak biasa mandi pagi. Malah mandi lebih awal dari hari ni. Selalu ok jerk..tapi entahlah..tak pasti apa yang dimarahkannya sangat..

Jam 9, sudah terpacul depan HSB. Parking punyalah penuh. Hurm..dah agak..sure penuh..!!

Melangkah masuk ke Klinik Pakar, mak aiiii..ramainya orang. Masing-masing dengan urusan sendiri. Dan aku, sibuk memujuk Nabila. Tangisnya tak henti-henti sehingga orang keliling memandangku. Aduhai...lambat pulak ayah Nabila yang sedang sibuk mencari parking. Sudahnya aku keluar dari Klinik Pakar dan berdiri di hadapan pintu utama. Hurm..pujuk punya pujuk..masih lagi tak jalan..Puas kubelek badannya. Rasanya takde tanda-tanda kelainan pada tubuhnya.

Tak lama, giliran dipanggil dan selesai pendaftaran, terus masuk ke Klinik Pediatrik. Pun ramai juga orang. Mata-mata memandang Nabila, namun aku tak peduli. Kepala ini sibuk memikirkan bagaimanakah cara untuk memujuk Nabila dari terus menangis.

Tak lama kemudian, nama Nabila dipanggil untuk diambil ukuran berat badan, tinggi dan ukur lilit kepala. Berat..aku malas nak komen..sebab tau berat Nabila tak naik..atau masih di takuk angka 8. Tinggi..pun tak ambil peduli lagi sebab tau Nabila masih ketinggalan dari ikut umur sebenar. Dan paling aku ambil berat adalah ukur lilit kepalanya. Alhamdulillah..ukuran naik 2 cm berbanding 4 bulan lepas. Dahulu hanya 38cm..dan kini sudah naik ke 40 cm.. Siap aku suruh nurse pelatih tu ambik ukuran 2 kali untuk confirm..Dan aku keluar dengan senyuman di bibir.

Mungkin ada yang pelik melihat aku gembira dengan kenaikan ukuran lilit kepala Nabila yang hanya 2 cm. Untuk anak Microcephaly..ianya sangat-sangat penting. Sedikit pun sudah melegakan hati sang ibu.

Agak lama menanti giliran Nabila kali ini. Nabila pula angin peting beliung..semua orang dah dok pandang-pandang aku dan Nabila. Naik segan pun ada. Dan tangisannya berlanjutan sehingga giliran di panggil.

Doktor turut panik melihatkan keadaan Nabila. Sehinggakan dia terpaksa memanggil doktor yang lebih senior untuk melihat sendiri keadaan Nabila (tak ingat lak nama kedua-dua doktor ni..). Dan kami merumuskan bahawa kemungkinan Nabila sakit perut. Sama seperti insiden 2 bulan lepas sehingga menyebabkan Nabila di tahan di wad HKL.

Dan lantas, doktor menyuruh kami berlari ke Unit Pengimejan untuk x-ray. Kata doktor..tinggal 15 minit lagi untuk mereka tutup. Apa lagi..kelam kabut juga aku dan Abg ke sana. Mujur belum tutup lagi..

Selesai urusan x-ray..terus kami ke pediatrik untuk mengambil tarikh temujanji baru. Dan temujanji telah disetkan kepada minggu hadapan untuk melihat perkembangan Nabila. Dan kami dibekalkan dengan ubat-ubat ini...

banyak giler ubat..macam nak membunuh lak makan ubat-ubat ni..

Dos yang diberikan agak meragui..kami dibekalkan ubat Mixture Magnesium Trisilicate (kata abg tu ubat gastrik..), Anema (sampai 2 kotak..banyak giler..) , Lactul , dan Paracetamol. Yang menghairankan Abg dan Pharmacist, ubat gasrtik tu disuruh makan sebanyak 15 ml. Biar betul..Siap call balik confirm..dan kata doktor..betul. Dia arahkan memberikan sebanyak 15 ml. Dan aku takdelah sampai lurus bendul nak ikut cakap doktor tu. Takut pulak aku nak bagi banyak-banyak sebab tu ikut dos orang dewasa. Hanya beri 5ml petang tadi setelah melihatkan Nabila masih tak tentu arah.

Pulang saja rumah, aku urut perut Nabila dengan minyak yang diberi oleh Kak Yusnita (yang urut Nabila masa cuti dulu..). Nampak ok sedikit. Dan ku berikan paracetamol untuk mengurangkan kesakitan. Dan tadi, Aku nampak kembali senyuman Nabila yang aku rindui. Serius..2 hari Nabila tak senyum. Menangis je. Naik pening dibuatnya. Serba tak kena aku dibuatnya.

Harapnya Nabila akan ok besok..Dan cakap dengan Nabila, dia kena sihat jugak menjelang Jumaat ini sebab nak gi jenjalan ke Melaka hujung minggu ini bersama superkids. Hurm..Moga Nabila kembali pulih seperti sediakala... Amin..

26 October 2010

Dilema...

Aduhai anakku...
Mengeluh bukanlah penyelesaian..Namun kadangkala lelah bila memikirkan perihal si kecil ini. Mahu lakukan yang terbaik buatnya namun kadangkala ada sahaja halangan..
Tadi, seperti biasa, aku menghantar Nabila ke sekolah. Dan kulihat keadaan Nabila baik-baik sahaja. Begitu juga semalam. Tiada masalah ketika berada di sekolah, tetapi hari ini....
Hurm..entahlah..aku mendapat panggilan telefon dari salah seorang kakitangan sekolahnya. Katanya Nabila menangis tak henti-henti. Susu sudah diminum..makan sudah diberi, entah kenapa tiba-tiba menangis. Kata mereka Nabila 'membuang' sedikit saja tadi. Barangkali sakit perut.
Bergegas dari dari pejabat ke Ampang melihatkan keadaan Nabila. Sewaktu sampai, Nabila sedang berbuai di bilik gym. Dan seorang kakitangan sedang menemaninya. Matanya merah seperti baru lepas menangis. Kata kakitangan itu, Nabila sudah berhenti menangis. Aduhai anakku...Ibu ingatkan kamu sakit...
Mungkin juga tak selesa dengan perutnya. Lantas, aku membuat keputusan untuk membawanya pulang ke rumah mak. Dan sebelum itu, aku menyuruh therapist melakukan sedikit terapi untuknya. Supaya tidak rugi datang tanpa sebarang terapi dari sekolah.
Menangis usah cerita. Tak henti-henti. Aku sempat berbual dengan kakitangan di situ. Kata mereka, Nabila sudah menunjukkan perkembangan yang baik. Head control sudah pandai sedikit jika dibandingkan ketika mula-mula masuk dulu. Ya, aku akui.. Nabila sudah pandai sedikit tentang itu. Cuma kadangkala tampak masih belum kuat sepenuhnya.
Mereka semahunya meminta aku menghantar Nabila setiap hari di sana. Ya, aku tahu tentang itu. Namun, apakan daya. Bukannya di sekolah saja Nabila terpaksa hadiri. PDK juga dia harus hadir. Begitu juga dengan temujanji di hospital. Hampir setiap minggu pasti ada sesi terapi di hospital. Dan pabila adanya temujanji dan kelas di PDK, aku terpaksa pontengkan Nabila dari sekolah. Aku tahu, tak guna memaksa..kerna latihan-latihan di tempat lain juga akan memenatkannya.
Sememangnya aku mahu Nabila ke sekolah setiap hari.Seminggu hanya 4 hari saja Nabila akan bersekolah. Hari khamis merupakan hari Nabila ke PDK. Mengharapkan hari-hari lain untuknya ke sekolah. Aduh..sangat-sangat pening..!!
Dan mereka menggesa aku melakukan terapi di rumah. Ya, aku lakukannya andai Nabila tidak tidur lagi ketika sampai di rumah. Andai di dalam kereta sudah tidur sehingga ke pagi, takkan pula aku mengejutkannya untuk melakukan aktiviti di waktu malam. Kadangkala aku kasihan melihatnya. Contohnya semalam. Sebaik saja naik kereta untuk pulang, Nabila sudah tertidur di car seatnya. Sehingga sudah Nabila tak bangun-bangun..sehinggalah pagi tadi, aku mengejutkannya untuk mandi dan bersiap-siap ke sekolah. Mungkin keletihan sepanjang hari di sekolah membuatkannya dia nyenyak tidur sepanjang malam tadi.
Entahlah..berat benar rasanya untuk anak sekecil ini melaluinya. Aku sememangnya mahu dia hadir dalam setiap sesi terapi yang telah di tetapkan. Kerna pabila pulang ke rumah, Nabila jarang punya kesempatan untuk bermain dan melakukan aktiviti yang sama seperti di sekolah. Sayangnya kurasakan pabila setiap sesi tidak dapat dihadiri atau tidak dilaksanakan sepenuhnya.. :(

25 October 2010

Kehendak si Ayah....

Tadi aku pulang lewat. Sengaja aku rehatkan badan sebelum pulang ke Rawang. Jam menunjukkan angka 9 malam. Terasa malas untuk bangun, dan tiba-tiba ayah aku berkata..

"Balik ke? Tak payah balik la..dah malam dah ni..kesian kat Nabila.."

" Mana ada baju keje sok.."

" Napa tak tinggalkan sehelai kat umah ni..tak yah susah nak balik malam-malam ke sana.."

" Malas la ayah..Ayong dah siap gosok baju untuk seminggu.."

" Yelah..tinggalkan jela sepasang. Manalah tau nak tido sini ke.."

Huhu.... Tak boleh nak cakap apa bila ayah dah kata gitu. Dan last sekali aku kata..

" Bukan la yah..takpelah..dulu dah setahun lebih ayong dok sini..dah tak larat dah nak dok sini lagi. Sian kat Kanging (adik perempuan aku) . Dia nak tido gak kat bilik tu..."

Bukan mahu melawan. Tapi itulah hakikatnya. Sudah setahun lebih aku duduk bersama mak dan ayah. Rasanya tak sanggup nak susahkan mereka lagi. Adikku pun mahu tidur di bilik kami. Bilik yang pernah kami kongsi bersama suatu ketika dulu. Namun keadaan rumah yang sempit membuatkan aku berfikir untuk terus pindah ke Rawang. Kasihan melihat adik..Biarlah aku berulang alik..Ku tahu ia jauh. Biarlah penat badan ini..asalkan dapat berada di rumah sendiri.

Bukan tak selesa. Aku sangat sukakan rumah mak. Namun..pabila sudah berkahwin, aku terasa lain. Mungkin kerna sudah menjadi isteri..dan seeloknya aku berada di sisi Abg. Bukan di sisi mak dan ayah lagi.

Sebenarnya sudah berkali-kali mak mengajak aku untuk kembali ke rumah mak, dan pulang ke Rawang bila hujung minggu. Namun kasihan pula melihat Abg. Dulu sewaktu kami duduk berasingan, Abg sepertinya tak terurus. Rumah juga tidak dikemas. Sepertinya tiada mood untuk pulang ke rumah. Yelah, orang lain pulang ke rumah ada anak bini yang menyambut di rumah. Ini tidak..hanya keseorangan. Pernah juga Abg bercerita yang dia seperti orang bisu ketika di rumah. Yelah..takkan nak bercakap sorang-sorang. Nanti kata gila pulak...!!

Aku tak pasti ayah terasa dengan apa yang aku katakan tadi, namun aku tiada pilihan. Adakah ayah sedih dan rasa masih tak dapat menerima hakikat bahawa anak daranya sudah berkahwin atau kerana dia tak sanggup melihat cucunya berulang alik setiap hari dari Rawang ke KL?

Aku tahu, sayangnya ayah pada Nabila. Juga sayangnya dia padaku. Dia semahu-mahunya anak-anaknya bahagia, tidak susah seperti keadaannya mula-mula kahwin bersama mak dahulu. Aku masih teringat, Ayah memberikan deposit kereta kancil sewaktu aku mula-mula mendapat pekerjaan. Dia tak mahu aku susah payah ke tempat kerja dengan menaiki kenderaan awam. Mahu aku senang ke mana-mana dengan kenderaan yang dibelinya.

Kerna itu aku selesa untuk mengadu masalah dengan ayah berbanding dengan mak. Mak akan membebel terlebih dahulu..sedangkan ayah, dengan nada lembut akan cuba membantu aku menyelesaikan masalah. Namun kehendaknya kali ini sepertinya tidak dapat ku tunaikan. Entahlah..Bukan tak suka, tapi aku mahu berdikari. Aku mahu rasa kesusahan itu sendiri. Aku mahu rasa susahnya membesarkan Nabila. Membawa ke sekolah setiap hari, membawa ke hospital dan menguruskan segala hal-hal rumah ini sendiri. Sudah cukup aku berehat dari menjadi isteri kepada Abg. Kini rasanya sudah tiba masanya aku tidak meninggalkan Abg lagi seorang diri di rumah kami...

24 October 2010

Pulih seperti sediakala...

Semalam, kami menerima undangan ke rumah Jiey. Sempena majlis kesyukuran untuk Rayyan yang sudah kembali pulih seperti biasa. Alhamdulillah..melihat anak ini kembali ceria seperti sediakala.

Nabila masih lagi dalam mood demam. Hanya berbaring dan meminjam sebentar rocker Rayyan. Hanya gara-gara mahu kelihatan seperti buaian di rumah.

Hanya sedikit sahaja susu dan nasi dijamahnya. Mungkin tekak perit..ditambah selesema, namun pabila diperiksa oleh doktor, katanya Nabila hanya demam biasa. Tiada kahak dan tekak tak merah. Mungkin juga Nabila dah lama tak kena demam...merengek saja sepanjang hari.

Dan hari ini, Nabila sudah kembali ceria. Mungkin juga antibiotik yang dibekalkan oleh doktor telah memulihkannya. Alhamdulillah..:)

Dan ini wajahnya ketika bermain di luar petang tadi...


Alhamdulillah.. :)

22 October 2010

Sememangnya bukan mudah..

~tidur yang nyenyak..syahdu melihat wajah tulus anak ini..~


Semalam..sempat berbual dengan Jiey, Mama Rayyan. Memang banyak perkara yang kami bualkan sehingga sejam lebih bergayut telefon..!! hehe..Lama benar aku tak mendengar suara Jiey.. :)

Tadi Jiey ada mencoret entry terbarunya.. Dan segala yang dicoret itu ada benarnya. Bukan mudah kejayaan itu hadir tanpa sebarang usaha. Andai kita hanya berdoa tanpa sebarang usaha juga pasti kita tidak dapat hasil yang baik.

Terus terang ku katakan..Jiey merupakan salah seorang sumber inspirasi aku sedari dulu lagi. Melihatkan usahanya, aku sangat kagum. Ku kenal Rayyan, kutahu keadaannya sedari dulu..Dan kini, aku tersenyum bangga melihat kejayaan Mama ini dalam memberikan segala yang terbaik buat Rayyan.

Pernah aku down satu ketika dahulu. Pernah juga keliru dalam membuat keputusan. Dan segalanya ku rujuk pada Jiey. Bertanya pendapatnya. Dan Alhamdulillah..aku syukur kerana sahabat ini banyak membantu aku dalam urusan hal yang berkaitan Nabila.

Segala yang ku usahakan pada Nabila, Alhamdulillah..mula menampakkan hasil. Biarpun sedkit, aku syukur. Kerna aku masih mampu dan punya kudrat untuk membawanya menjalani rawatan. Benar kata Jiey..sedikit pun rangsangan yang kita lakukan, jika kerap dilakukan pasti anak itu akan mendapat inputnya.

Contohnya flash card. Sebulan aku mempraktikkannya.. Alhamdulillah..Nabila sudah mula memandang. Walaupun tidak sebagus mana..tetapi..matanya aku lihat dia memandang sekali sekala kad-kad di hadapannya. Cumanya aku terkilan. Tak dapat melakukannya sekerap sewaktu bercuti dulu. Hanya mampu lakukannya di waktu malam.Itupun andai Nabila masih belum tidur. Jika Nabila sudah tidur sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah..tak dapatlah aktiviti -aktiviti itu dilakukan olehnya.

Aku juga sudah tidak mahu membandingkan Nabila dengan anak-anak yang lain. Ita dan Jieylah yang banyak menyedarkan aku tentang perbandingan ini. Kini, aku jadikan anak-anak yang lebih bagus dari Nabila sebagai pemberi semangat kepadaku untuk aku terus memberikan input-input untuk Nabila.

Dan pastinya diri ini takkan lokek dalam memberi apa sahaja yang rakan-rakan seperjuangan mahukan untuk anak mereka. Lebih banyak berkongsi lebih banyak yang aku dapat. Sungguh!! Melalui blog inilah aku jumpa ramai rakan-rakan di luar sana yang tak putus-putus memberikan maklumat dan rawatan anak-anak mereka.Alhamdulillah..

Apapun, usaha itu tangga kejayaan.. :) Usaha selagi nyawa dikandung badan untuk anak istimewa ni.. :)

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...