28 February 2010

Apa yang anak kau boleh buat sekarang nih?

Heh..Kasar giler tajuknya..

Acapkali juga aku ditanya soalan begini..Nak jawab susah..tak jawab pun susah. Bukan tak mahu berkongsi..atau malu..tapi agak susah bagi aku memperkatakan tentang 'kehebatan' Nabila.

Jika Nabila membaca coretan ini nanti, ibu sememangnya mengagumi Nabila. Semangat kental untuk terus hidup, cuba melakukan sesuatu walaupun agak sukar baginya untuk melakukan apa yang disuruh.

Namun untuk bercerita tentang kehebatan anak ini di depan orang..agak sukar. Aku takut andai orang kata 'cakap tak serupa bikin' bila melihat keadaan Nabila. Hanya aku sahaja yang tahu apa yang Nabila telah capai buat setakat ini.

Entry ini bukan untuk menunjuk-nunjuk..cuma berharap agar mereka di sana memahami keadaan Nabila dan juga situasi aku untuk bercerita tentang keadaan Nabila. Bukan malu..tapi khuatiri dianggap 'poyo' oleh sesetengah pihak. Niat ingin menjaga hati semua orang..

Aku tahu bukan mudah untuk aku melatih anak 'brain injured' ini. Segala tindakannya akan memakan masa untuk Nabila melakukannya. Baginya tidak mudah. Kerosakan otak bukan boleh diganti dengan otak lain. Kalau boleh..dah lama aku buat dah.. Perangai seperti anak kecil..tak sepadan dengan usia.

Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi untuk memajukan Nabila. Terpaksa menebal muka..bertanya pada orang-orang yang lebih berpengalaman atau yang faham tentang Cerebral Palsy. Hanya yang menjaganya saja tahu apa yang Nabila lalui sepanjang usia 1 tahun 10 bulan ini.

Mengharapkan sesuatu keajaiban pada anak ini..sememangnya impian aku sejak mula dulu lagi. Ya..sejak Nabila disahkan 'anak istimewa' . Usaha dan kekuatan ini menjadi pendorong untuk aku terus membantu Nabila. Tak mahu menjadikan Nabila sebagai beban kepada orang lain.

Namun kini..Alhamdulillah..Nabila ada menunjukkan sedikit perubahan. Walaupun tidak besar, namun berpuas hati dengan keadaannya. Jika dibandingkan dengan dahulu..keadaan Nabila amat teruk sekali. Saban hari menitis air mata ini bila mengenangkan nasib anak ini. Segala usaha yang dilakukan sudah ada yang menunjukkan hasilnya. Tak besar..tapi aku syukur sangat. Allah telah memberi aku jalan sepanjang aku membesarkan Nabila. Bergelumang bersama 'temujanji' hospital yang kerap.. bersama dengan rawatan Kak Raw..dan berkongsi rasa bersama rakan-rakan bloggers yang selama ini tak ku jangka hubungan kami akan sebegini erat..buat aku semakin bersemangat. Dan hati ini cuba ingin membantu yang lain yang masih belum menemui jalan untuk membantu anak mereka.

Mohon saja niat ini suci. Membantu dan dibantu adalah perkara yang baik. Dan sekali lagi jika ditanya keadaan Nabila sekarang..pasti aku hanya tersenyum dan menjawab perkara yang penting saja.. :)

26 February 2010

Bila duit berlonggok kat depan mata..

Wow..alangkah baiknya ada pencuri tertinggal seguni duit kat depan umah aku..( hehe..dah merepek meraban ibu Nabila nih)

Apa yang aku nak klu aku dapat duit tuh..

a) Nak hired therapist untuk Nabila.

b) Nak sediakan satu bilik khas untuk Nabila wat terapi

c) Nak labur duit main saham untuk Nabila. Pastu simpan dalam akaun dia..

d) Nak belikan dia baju yang cantik-cantik..

e) Nak beli kete baru..bagi Nabila selesa..takdelah naik iswara bergegar tuh!

f) nak renovate rumah..tambah bilik lagi..khas untuk Nabila..

g) Nak bawak Nabila gi jenjalan..merata-rata..(anak dara aku ni suka jalan tau)

h)Upah acik raw datang umah...balut Nabila tiap2 ari..keh..keh..keh..

Yang (h) aku rasa klu cakap ngan Nabila mesti dia tak mau.. Biarlah duit tu tak berlonggok depan umah. Biar takde duit . Janji tak kena balut tiap2 ari..boleh ke gitu.. :)

Semuanya untuk Nabila..takde untuk ibu pun..hehe..

24 February 2010

Tak cukup 24 jam!

Huh..entry ini saja buat tergesa-gesa. Kalau boleh tak nak la bersawang aje. Kadang-kadang ada je benda aku nak cerita..tapi bila depan komputer je terus takde idea..huhu..

Tapi bukan itu perkara utama yang aku nak cerita. Kali ini cerita tentang kehidupan kami.

Bila memikirkan..aku seperti tak cukup masa. Berilah 24 jam satu hari. Masih tak cukup juga. Mungkin juga aku tak pandai nak membahagikan masa dengan betul. Tapi bila difikirkan..kalau ditanya semua orang pun..pasti ada yang menyokong aku. TAK CUKUP MASA. Lebih-lebih lagi sang isteri yang bekerja. Tujuan membantu sang suami. Tapi sang isteri dah buat kerja yang berganda. Rumah dan Pejabat. Belum campur anak lagi.

Bukan nak merungut..tapi itulah hakikatnya. Rutin aku di rumah tak seperti yang orang lain sangkakan. Melihat Facebook yang sentiasa online..tu tak bermakna aku sentiasa mengadap komputer. Sengaja aku membiarkan ia terpasang.

Dulu masih teringat sewaktu aku dan Nabila masih duduk di rumah mak, ringan sedikit rasa beban. Jika penat pulang dari tempat kerja, ada saja yang melayan Nabila. Adik-adik, mak dan ayah rajin benar melayan Nabila. Cuma bila dah duduk di Rawang, penatnya hingga ke malam. Kadang-kadang kalau terlalu letih, aku tak buat langsung terapi untuk Nabila.Sian Nabila.

Mungkin juga perjalanan yang jauh buat aku letih. Dipadankan lagi dengan jalan sesak dari KL ke Rawang (sapa-sapa yang dok Rawang..mesti paham). Balik saja dari rumah, jam sudah menunjukkan angka 6. Mandikan Nabila, beri susu, bermain, exercise dan menemani Nabila menonton video pembelajaran. Tu antara rutin aku buat untuk Nabila. Kalau untuk kerja rumah pula, memasak, membasuh, menyidai kain, melipat baju, mengemas beg Nabila untuk esoknya..huh..banyak lagi. Mujur juga Abg banyak membantu aku. Mungkin juga kasihan aku yang pulang dari tempat kerja dalam keadaan keletihan.

Mujur juga Abg tak kisah andai aku tak sempat memasak untuknya. Lagi-lagi jika abg masuk shift malam. Hanya sempat jumpa abg selama 2 jam saja. Sedih..tapi itulah yang kami lalui.

Kalau ada yang berkata " Alah..Nabila baring je..bukan buat apa pun, senang la kau nak buat kerja" atau "Anak sorang..apa ada kisah. Rumah tak bersepah pun".. memang cari nahas la orang tuh. Datang dulu rumah..baru tau camner !

Menjadi ibu kepada anak istimewa..bukan mudah. Segala masa , tenaga kerahan dicurah pada anak. Beri segala yang terbaik. Namun..Aku hanyalah insan biasa. Yang belajar dari kesalahan diri dan pengalaman orang lain. Tekanan-tekanan yang sering aku hadapai buat aku semakin matang. Senyum itulah pengubat hati aku. Mungkin tak nampak senyuman dari luaran..namun dalam hati aku..Ada sapa yang tahu?


p/s : Esok last day kawan se'opis' dengan aku. Akan di transfer ke tempat lain. Mungkin juga beban kerja akan bertambah. Ani..seronok dapat berkenalan dengan ko. Apapun yang terjadi, sabar lah. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang terjadi dalam kehidupan ko. Seperti yang aku katakan dulu..Dugaan dari Allah untuk kita berbeza.. Ko dengan masalah ko. Aku dengan masalah aku. Ko doakan Nabila sentiasa sihat k. Doakan aku sentiasa diberi ketabahan buat Nabila. Mungkin jugak nanti kita jumpe..Nabila dah leh jalan ke..doakan untuk aku yek.. :) Aku doakan agar ko dapat jodoh yang baik..dan segala apa nasihat yang aku berikan amik la yang baik je..yang buruk2 tu jangan. Moga hidup ko akan lebih ceria dan bahagia, lepas keluar dari Arkib nanti. :)

23 February 2010

50 Blog Terbaik Malaysia Pilihan InTrend ..Pediatrik..



Majalah InTrend? Saya sendiri jarang membaca majalah ini. Entah bagaimana seorang pelajar praktikal majalah memberi email kepada saya. Ingin tahu serba sedikit tentang blog ini. Saya bertanya sebabnya. Dan rupanya blog ini terpilih untuk antara blog terbaik pilihan majalah itu. Hurm.. pada awalnya saya memang malas nak layan. Tapi bila difikirkan saya kesian pula. Lantas terus saya menjawab beberapa soalan yang mereka emailkan beserta gambar. Dan menurutnya artikel itu akan di siarkan pada bulan Mac nanti.

Semasa di kedai buku di hospital tadi, saya ternampak majalah InTrend. Terus saja saya mencapainya. Saya lihat cover depan. Dan ternampak tulisan tentang 50 blog terbaik! Hati saya berdebar. Mana lah tau ada pulak wajah saya. Sekali betul sangkaan saya. Alamak..Malunya!!. Ingatkan ada budak main-main.Rupanya betul.

Alahai, blog Nabila ni biasa saja jika nak dibandingkan dengan blog orang lain yang lebih cantik dan menarik. Isi-isi yang padat. Blog Nabila ni berkisar tentang anak Cerebral Palsy. Sapa nak baca..!

Dah.. tutup pasal Intrend..

Tentang Paediatrik..

Tadi Nabila ada appointment dengan peadiatrik. Agak terlewat juga sebab saya yang terbangun lewat. Nabila terjaga malam.Kemudian dia tak boleh nak tidur. Huhu..mengantuk betul.

Sampai saje, seperti biasalah orang ramai. Dan selesai pendaftaran saja saya terus masuk klinik peadiatrik. Ramai sungguh di dalam klinik.

Berat Nabila di timbang dan ketinggiannya diambil serta ukur lilit kepala turut di ambil. Saya tahu Nabila mengalami masalah untuk duduk pada penimbang tersebut.Kemudian Nabila di suruh baring pula. Dan kemudian barulah dapat mengukur namun tak dapat ukuran yang tepat. Hanya 7.6kg. Naik beberapa titik perpuluhan kg je. Ukur lilit kepala juga baru naik 1 cm berbanding dengan 3 bulan lepas.Takpelah, janji naik sket.

Dan sementara menunggu sempat jugasaya berbual dengan seorang kakak ini. Sedih dengar kisah dia. Dia ada mengambil seorang anak angkat. Anak yangtelah dibuang oleh ibu bapanya. Wajahnya comel dan tembam. Geram betul melihat tubuhnya. Kakak itu tidak menyangka anak angkatnya itu mempunyai masalah sedari kecil lagi. Dan menurut doktor yang menyambut anak itu, keadaanya baik. Tiada masalah. Rupanya ibu anak itu mengalami sawan sewaktu melahirkan anak itu. Dan kesannya pada anak itu.

Dan ketika ini,kakak itu ke peadiatrik untuk mengambil result MRI nya. Dan kemungkinan akan menjalani sesi fisioterapi. Sempat juga saya memberi kata-kata semangat untuk kakak itu. Mungkin juga dia tak sangka jadi begini.

Melihatkan anak itu, mengingatkan saya kepada Nabila. Ya, kami juga pernah melalui perasaan itu. Sedih, pilu, serba tidak kena dibuatnya. Namun kini kami sudah bisa melalui apa jua yang mendatang. Mungkin juga dah lali barangkali..

Dan giliran Nabila di panggil. Berjumpa dengan doktor ini yang saya tak pasti namanya, membuatkan saya tergelak. Entahlah. Mungkin saja niat doktor ini baik. Mahu menambah ilmu pengetahuannya. Bermacam juga ditanya tentang Nabila.

Pada mulanya bertanya tentang kasut yang Nabila pakai. Saya memakaikan Nabila special shoes yang telahb saya tempah di Chow Kit tempohari. Dan dia bertanyakan di mana saya tempah kasut tersebut. Dia ingin mencadangkan pada ibu bapa yang punya anak Cerebral Palsy untuk menempah kasut itu. Dan saya memberi segala info-info yang diperlukan. Dia menyalahkan Jabatan Rehab kerana tiada insiatif untuk membantu ibu bapa membeli kasut itu. Entahlah. Saya sendiri juga berusaha untuk dapatkan kasut ini. Mungkin juga mereka di Rehab tak ambil berat!

Begitu juga dengan maklumat tentang Tasputra. Bermacam yang ditanya tentang pusat jagaan itu. Dan saya memberikan segala apa yang saya tahu tentang Tasputra. Dan diselangi dengan kata-kata semangat. Kata-kata yang sudah biasa telinga ini mendengarnya.

Tadi doktor juga menyarankan agar Nabila ke Jabatan Dietetik. Mana yang tak tahu kisah saya ke dietetik, ini entrynya.. Saya terus saja mengatakan KETIDAKSETUJUAN saya untuk ke situ. Terus terang saya katakan saya sudah tawar hati. Saya berterus terang dengan doktor mengenai apa yang telah berlaku pada kami. Ada sedikit kekesalan di wajah doktor itu. Maafkan saya doktor. Bukan saya degil tetapi saya sudah tawar hati. Noktah.

Teringat saya dengan kata Kak Raw, tak mengapa jika Nabila kurus. Mudah untuk dia memusingkan badan. Mudah untuk memegang dan dukung. Janji Nabila mahu makan nasi dan minum susu itu pun sudah cukup bagus.

Dan bermacam-macam perkara yang kami bincangkan. Agak lama juga di bilik doktor.Sehingga bila keluar semua sudah selesai urusan temujanji. Doktor cuba memegang dan mendukung Nabila. Doktor mengakui Nabila nampak ok berbanding dengan anak-anak CP yang pernah dia jumpa. Mungkin juga dia pernah jumpa lagi teruk. Namun tak pula beri harapan pada kami. .

Apapun, hidup ini ada onak dan ranjaunya. Dulu hidup saya mendatar. Bosan. Bila Nabila lahir, barulah saya tahu rasa cabaran untuk hidup. Benar. Hidup ini bukan mudah. Lagi-lagi demi satu nyawa yang lahir dari perut ini. Segala nasibnya bergantung pada kita.

Doktor bertanya soalan cepu mas pada saya. Adakah kami akan menambah ahli keluarga lagi? Seperti entry lepas-lepas..saya tidak berani untuk mengakuinya. Jika ada rezeki adalah adik untuk Nabila. Cuma kini , Nabila masih memerlukan saya. Saya tidak mahu menyesal kerana sibuk mengejarkan anak lagi dan mula mengabaikan Nabila.

Banyak perkara yang berlaku hari ini. Macam-macam ragam. Itulah lumrah kehidupan kami.. :)


p/s: esok dah mula kerja, hurm, rasa lama-lama cuti dah naik lemak lak badan nih..hehe

22 February 2010

Ophthalmology..

Hari ini, Nabila ada appointment dnegan Klinik Mata di hospital. Pada mulanya agak kemalasan juga aku untuk pergi. Memandangkan inilah satu-satunya temujanji yang aku rasa agak penting..sifat malas tu terus aku tolak tepi.

Dan pagi-pagi lagi aku dan abg sudah bersiap. Tidak mahu terlambat ke Hospital Sg. Buloh. Faham-faham sajalah keadaan parking. Sampai saja..sah..parking penuh. Abg terpaksa drop kan aku kat ruang menunggu sementara dia mencari parking. Dan tak lama selepas itu..kaki ini melangkah dengan penuh debaran ke Klinik Mata.

Sampai saja, tengok ramai orang. Memang dah agak dah..lagi-lagi hari Isnin pulak tu. Masuk saja ke klinik, terus mencari posisi yang sesuai untuk Nabila. Nabila merengek pada mulanya. Entah napa tah. Aku kurang periksa. Merengek suruh aku berdiri. Tak nak dok dalam stroller.

Sudahnya nama Nabila dipanggil. Dan seperti biasa jugak la ophthalmologist dok periksa mata dia. Bagi cahayalah. Dan malangnya, Nabila langsung tak nak respon. Yang dia tahu..nangis..huhu.. Apasal anak ibu nih.. Dan staf itu terus saja meletakkan eye drop untuk Nabila. Seperti biasalah tujuan nak besarkan anak mata. Huh..mata dah besar..anak mata pun nak besar gak..hehehe..

Apalagi..dah letak je eye drop tu.. terpekik terlolong la Si Nabila nih. Puas gak la pujuk. Sudahnya tidur. Ngantuk kot. Orang kat depan aku dok perhati je..huhu..nak wat camner..budak tecit tonet nih tak henti menangis. Pedih woo..Cuba klu ko yang kena..sure nangis cam anak aku..huhu..

Sudahnya tido dalam stroller.Aman sket la. Bukan apa..aku pening betul ngan klinik mata nih. Ramai tul budak praktikal.Plak tu orang asyik lalu lalang je depan aku. Naik pening pun ada. Kelam kabut pun iya..huhu.Lantak korang lah..!

3 kali gak la Nabila kena letak eye drop tu. Dan last kali bila panggil..aku suruh ayah Nabila yang bawak dia jumpe ophthalmologist tu. Malas aku. Ingat nak letak eye drop lagi. Rupanya nak check power. Mulanya aku tunggu gak Ayah Nabila..napa tak kuar-kuar lagi dari bilik no. 8. Rupanya tengah check power. Aku terus la masuk. Tgk camner. Nasib baik time tuh Nabila dah bangun. Nampak jugak la mata Nabila merah sket. Pedih sgt kot. Nabila senyum-senyum. Entah apa yang dia seronok sangat aku pun tak tahu.

Nasib baik jugaklah Nabila beri kerjasama semasa checking power itu berlangsung. Dan khabar baiknya..mata Nabila normal. Tiada tambahan power atau yang pelik-pelik berlaku. Nasib baik jugaklah. Power dia kira standard la dengan power budak seusia dengannya. Hurm..takpelah..Itu pun dah kira ok. Cuma yang merisaukan aku adalah fokus!

Tak lama selepas itu, Nabila kena jumpa doktor pulak. Dan kata-kata sama seperti tahun lepas.. mata semuanya ok..cuma yang pasti masalah pada saraf di otak Nabila. Dan aku ada juga menceritakan tentang mata Nabila yang juling. Dan kata-kata doktor tadi buat aku rasa tak seronok sket. Mana taknya, Dia sendiri tidak pasti dan jugak terpaksa menunggu sehingga tahun depan untuk memastikan hal itu. Aku faham dan apa yang penting sekarang ini..aku perlu usaha untuk stimulate mata Nabila.

Apapun..sepanjang hari ini..aku dah tak rasa effect apa-apa dengan apa yang doktor katakan pada aku tadi. Entah..macam dah lali pun ada. Huhu.. Mungkin juga aku dah bersedia dengan apa yang dikatakan oleh doktor tadi. Sudah mengagak perkara ini berlaku.

Sempat juga seorang perempuan, agak-agak baya aku dan seorang makcik menegur aku dan Nabila sewaktu menunggu ayah Nabila amik kereta. Sempat juga perempuan itu berkata.."Sabar..mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku". Aku hanya tersenyum saja. Aku takdelah nak bercerita panjang. Cuma dari mimik muka dorang..aku yakin dorang ikhlas. Dan mungkin juga tak menyangka Nabila adalah anak Cerebral Palsy.

Esok ada appointment dengan pediatrik pulak. 2 hari aku cuti. Hurm..Agak bosan sebenarnya..asyik ayat yang sama..Apapun..telan jelah apa yang dorang nak cakap.. huhu..

21 February 2010

Genting Highland..

Gambar aksi sepanjang berjalan di sana..huh! macam2 perangai..Gambar kabur sket pasal guna camera Hp je..kamera bawak..alih2 tgk dalam..memory kad tertinggal kat rumah..huhu


Petang tadi kami ke Genting. Agak gila jugak..Entah tiba-tiba agak bosan duduk di rumah dan terus ajak abg. Dan kata abg..OK!

Sewaktu hendak keluar..nampak langit macam gelap. Tanda nak hujan. Dan setibanya di Batang Kali..hujan turun mencurah-curah. Hampir saja mahu berpatah balik..namun sewaktu ingin membelok, aku lihat di hadapannya cuaca nampak cerah. Dan aku terus menyarankan abg untuk meneruskan perjalanan. Dan setibanya di Sky Way.. Tak hujan langsung. Nasib baik..Risau jugak naik Sky Way time ujan-ujan.. Bahaya wooo..!

Dan sewaktu membeli tiket..tak pulak kelihatan orang ramai. Naik saja untuk beratur naik cable car..MasyaAllah..Panjangnya barisan. ramai pulak tuh.. Huh! Apa saja dibuatkan di Genting ini! Ramai betul orang.

Nak tak nak beratur je lah. Nasib baik Nabila tak mengamuk. Mulanya aku dukung Nabila. Dan melihatkan matanya hampir saja kuyu..terus letakkan Nabila ke dalam stroller. Sebelum itu..ada juga mata-mata yang memerhati Nabila. Sempat juga tangan budak India mencuit pipi Nabila. Geram barangkali. Dan ada juga orang-orang Cina dan Melayu yang melihat Nabila..sambil-sambil menunjuk pada Nabila. Tak tau dorang cakap apa..pasal cakap bahasa mandarin kan..jadik aku buat derk je..mana yang senyum tu aku senyum la. Agaknya geram ngan mata Nabila kot..hehe..

Dan ketika naik cable car..Nabila nyenyak tidur di pangkuan aku. Sedar-sedar 5 minit kemudian..dia bangun. Agaknya rasa pelik. Terus celik dan senyum. Wah..kemain lagi anak dara aku nih..

Sampai je kat atas sana..terus saja berjalan. Lama benar kami menjejakkan kaki ke situ. Last pegi pun time sebelum kawin. Lepas kawin terus tak gi. Plus-plus tengah ngandung plak tuh..Huhu..malas benar. Ada jugak yang aku lihat..anak masih merah lagi dah bawak gi Genting. Tak sejuk ke? Aku nak bawak Nabila ni pegi pun pikir dua tiga kali. Tempat-tempat ni(paham2 jelah) rasanya kurang sesuai untuk anak kecil cam Nabila. Lalu hutan..tempat-tempat judi..huh..sangat tak sihat..! ( Tapi gi gak..hehe.)

Nabila nampak enjoy jugakla walaupun sekejap. Malas nak lama-lama kat situ. Jalan-jalan ada la dalam 1 1/2 jam..tgk macam dah nak pukul 7..kami terus berangkat pulang.

Dan nak balik pun ramai jugak orang. Ada pasangan cina ni..dok tegur Nabila..kata "haii..haii.." sambil melambai-lambai kat Nabila.Abg diam je tengok Nabila. Mulanya Abg pikir mesti Nabila tak respon. Sekali tengok Nabila jeling kat perempuan Cina tuh..kemudian senyum. Abg terkejut beruk la. Yang perempuan Cina tu pulak..melompat-lompat cakap kat suaminya yang Nabila respon kat dia..hehe..Kalau la dia tau Nabila tu camner..apalah respon dia agaknya?

Berjalan memang seronok. Cuma aku terfikir-fikir, bila Nabila dah besar nanti..agaknya macamana lah orang pandang kat dia kan. Hurm..klu masa baby ni mmg la comel bila tgk..tgk dah besar sok..entahlah..takut juga aku nak membayangkan. Tak payah nak tgk contoh jauh2..tadi saja sudah cukup. Kebetulan ada orang istimewa nak turun tangga. Terpaksa menggunakan mesin untuk turunkan dia dari tangga. Dan orang-orang yang sedang naik tangga pulak..sibuk tgk. Tengok macam pelik. Huh..! sibuk betul nak tengok apa benda nyer tuh..Bukan alien ke apa nak tgk orang tuh turun tangga. Abg kata dia sibuk dok tgk gelagat orang ramai yang memerhati insan istimewa tu turun..huhu..sedih..sedih..

Apapun..jalan-jalan kali ni..best jugak la..walaupun sekejap. Saja nak bagi Nabila cuci mata...hehe. Next time leh gi lagi. :)

p/s : esok ada appointment dengan pakar mata. Hurm..cam tak sanggup pun ada nak gi..sian kat Nabila..Tak tau la apa cerita esok..harap-harap benda yang baik-baik aje..

17 February 2010

Ya Allah..Tingkatkan lagi kesabaran aku..!

Ni bukan entry sedih..Tak nak sedih-sedih pun..

Teringatkan kisah semalam. Tentang Nabila..

Semalam Nabila menangis. Merengek. Panas barangkali. Hurm..entah bila nak pasang air cond kat ruang tamu pun tak tau. Bila panas je..kami dua beranak lari ke bilik. Dan bila dah sejuk..kami keluar semula..Macam main nyorok-nyorok pulak.

Memang cuaca agak panas semalam. Dan Nabila mula menunjukkan taringnya. Makan pun tak mahu. Habis di sembur-sembur ke muka aku. Hurm..sapa saja yang tak naik geram. Mula dah naik seh.. namun sabar..!

Bila petang, sesudah mandikan..barulah nampak Nabila tersenyum. Cuaca sudah redup..Namun air di bilik air tetap panas. huhu..Macam pakai hot shower pulak..Dan malam itu..makan agak banyak. Lapar barang kali.

Itu kisah semalam..

Bila difikir-fikir..

Kadangkala baran Nabila tiba-tiba muncul..Entah apa yang tak kena..hangin satu badan. Habis semua di amuk nya. Kadangkala..singgah juga tangan di punggung. Bunyi macam kejam tapi itulah caranya. Mungkin ada yang fikir aku tak patut meletakkan tangan di punggungnya..namun itulah cara mengajar. Ada juga fikir..tak waraskah aku memukul anak sekecil itu? Bagi aku, Nabila normal atau istimewa, dia perlu tahu hukuman yang menanti bila sikap-sikap yang agak keterlaluan di tonjolkan dalam dirinya. Aku tak mahu Nabila menjadi seorang perengus atau pemarah. Mungkin dengan hukuman kecil itu akan buat Nabila belajar tentang kehidupan.

Bagi aku..Hidup ini tidak semudah yang disangkakan. Dan aku tak mahu Nabila hidup dalam kesenangan atas ihsan orang lain. Aku mahu dia berusaha sendiri demi dirinya. Manakan juga jika aku tiada di dunia ini..bagaimana kehidupannya tanpa aku? Adakah Nabila mampu berdikari?

Ada juga yang melihat aku ini seorang yang agak tegas dan garang. Ya..Aku akui, aku sememangnya garang. Namun sejak kelahiran Nabila..panas baran aku bagaikan hilang. Ada hikmah di sebalik kelahiran Nabila. Membuatkan aku lebih sabar dalam mendidiknya.

Bila wajah garang..tak semestinya garang. Terselit juga hati yang lembut dan mudah simpati dengan orang lain. Mudah menitis air mata jika mendengar cerita sedih. Sungguh..Jika ada yang mengenali aku lebih rapat..pasti akan faham dengan sikap aku yang satu ini.

Apapun..Aku berdoa agar Allah beri aku kekuatan dan kesabaran dalam mendidik Nabila. Anak istimewa..mana mungkin kita faham dengan kehendaknya. Tanyalah mana-mana ibu anak istimewa, kadangkala mereka juga tidak mengerti dengan kehendak anak mereka. Namun..demi anak sanggup lakukan apa sahaja..Cuba memahami kehendak anak itu. Nyamuk seekor tak sanggup dibiar mengigit tubuh si kecil..inikan pula memukul. Tak sanggup. Bila Nabila kena hukuman itu, terus saja aku memeluknya. Aku sendiri menangis tatkala melihatkan Nabila menangis sedih di hadapanku. Sedih....

Untuk anakku Nabila..Kasih ibu pada Nabila tiada penghujungnya...Sungguh!! Ibu teramat sayang padamu..

15 February 2010

Jemputan sempena Super Sunday English Lunch..

Wow..dengar tajuk je mmg dah best..Makanan yang superb..!

Semalam kami dijemput ke rumah Ummisarra..Tujuan asalnya untuk keluar berjalan-jalan sudah bertukar ke melepak-lepak di teratak UmmiSarra..

Makanan yang sedap..adan aku sendiri tak henti2 makan..hehe..sampai nak balik pun sempat sambar ayam KFC lagi dan whipped potato yang farid buat..haha! Makin tembam la Puan Noina nih!

Apapun layan kan aje gambar2 yang ada..tak banyak amik gambar pun sebab sibuk mengisahkan Nabila yang terpekik-pekik nangis kat kolam..haha! tak nak mandi lah konon..Lastnya diam gak..Tapi lepas keluar dari kolam..bantai menangis..merajuk ngan ibu lah tu..

14 February 2010

Tag Love Finding..

Tag jauh dari brunei..Siapa lagi klu bukan Intan..hehe..hurm..lama dah tak jawab tag nih..cube la k..
Ni kira sempena Valentine day la tuh..

1). First time jumpa your hubby bila dan kat mana?

Kami sama-sama belajar di Adtec Shah Alam. Sekelas. Pada tahun 2001.

2). Love at first sight?

Hurm..kata abg, dia yang jatuh cinta pandang pertama dekat aku..haha! Aku pulak pandang 2-3 kali pun tak jatuh cinta gak..hehe..

3). Who is he when the first time you met him?

Seorang pelajar Tekonologi Kejuruteraan Mekatronik Di ADTEC Shah Alam..

4). How long it takes for him to ask you out for a date?

Lama jugak. mulanya jual mahal..Kuar ramai-ramai. yang aku ingat..Abg ajak aku keluar..dan aku ajak kawan aku..Ain. Dan kitorg dating kat Mydin Klang..hehe. Dan kat situ gak aku reject dia buat pertama kalinya. Tapi lepas tu..Aku pulak yang angau kat dia..dan amik masa setahun gak baru kitorg keluar dating..hehe

5). First place dating?

Kat Klang..huhu..tak romantik langsung! (takde tempat lain nak gi..huhu)

6). How he proposed?

Nak kata proposed macam ala2 Romeo Juliet tu takdelah..Cuma katanya dia dah bersedia untuk kawin dengan aku. Dan masa tu rasa amat bahagia sekali.. :) hati ni berbunga riang..

7). Special date with your hubby?

Couple buat pertama kalinya..20.5.2002
Bertunang pada..19.8.2006
Berkahwin pada ..26.5.2007
dan dapat Nabila pada ..17.4.2008

8). Changes that he asked you to do?

Agaknya suruh kurus kot..hehe..Tapi susah benar nak kurus. Suh sponsor treatment kat Slim World..tak nak pulak..hehe..

9). What is about him that you love so much?

Sabar. Tu sikap yang paling suka sepanjang aku berkenalan dengan abg. Tak gelojoh. Nampak rileks je walaupun penah kena reject dengan aku dulu..haha!

10). What is about him that you wish he would change?

Merokok..tak suka la bau rokok tuh..rasa nak lemas..huwaaaa!

11). You will lose your mind and crack your head when he..

cari orang lain ganti aku..haha!

12). You will smile through your eyes for the whole day when he..

Habiskan masa bersama aku dan Nabila di rumah..rasa mcam lengkap je..klu dia gi keje..cam tak lengkap pun ada..hehe

13). Complete below sentences, "My love towards my hubby is as big as..

bak seluas lautan pasifik..hehe..Kasih yang tiada hujungnya..dan jika abg tiada disisi..pincanglah badan ni..separuhlah jiwa kau pergi..(bak kata anang..hehe..) Apapun..Ibu tetap sayang kan ayah sampai biler2..yolah..ibu nih garang..garang2 manje gitew... Jangan marah yek Ayah.. :)

13 February 2010

Sahabat ini..

Entah kenapa pagi tadi sepanjang jalan ketika aku dalam perjalanan ke rumah Kak Raw..aku teringatkan insan ini..


Norhasniza Mat Dom..yang telah meninggalkan kami buat selama-lama.Bila teringatkan nama Ita..hampir sama ngan nama sahabat aku ini..cuma Z dan T sahaja bezanya.

Ija..sahabat aku sejak kecil lagi. Kami berkawan sejak aku berumur 11 tahun lagi. Bermain bersama, berkongsi rasa sehinggalah masing-masing berkahwin. Ketika gambar ini dirakam..Ija sedang melangsung majlis pertunangan bersama insan tersayang. Dan aku pula ketika ini sedang mengandung 5 bulan.


Pun pernah menjadi pengapit aku satu ketika dulu.. :)

Kehilangannya amat besar erti pada aku. Ija adalah antara sahabat yang paling rapat dengan aku. Segala masalah dikongsi bersama..

Namun..jodoh persahabatan kami tak lama. Ija menghidap sejenis penyakit (sehingga kini aku tak pasti apa punca kematiannya). Yang aku pasti Ija sudah lama menghidap penyakit itu. Sering batuk dan muntah darah. Badannya sangat kurus. Bertambah kurus bila menjelang majlis perkahwinannya.

Pernah aku menyatakan pada Ija yang dia harus ke hospital. Namun jawapannya sangat mengecewakan. Doktor tidak pasti apa penyakitnya. Yang aku tahu..Ija berjumpa dengan seorang pakcik untuk berubat. Katanya mandi wap. Dan ketika itu aku mengharapkan agar dia lekas-lekas sembuh..

Namun..ajalnya tiba begitu cepat. Genap usia 25 tahun..Ija telah pergi mengadap Ilahi. Ija hanya sempat merasai nikmat alam perkahwinan selama 2 bulan sebelum dijemput Tuhan. Sedih..pilu ketika aku tahu berita kematiannya. Terkejut yang amat-amat.Sebab selepas majlis perkahwinannya..belum pernah ada kesempatan untuk berjumpa walaupun rumah kami hanya selang 7 buah rumah. Dan ketika itu juga..saat dia dikebumikan..air mataku mengalir laju..

Sempat juga aku melihat suami Ija ketika itu. Sedih melihatkan keadaanya agak kusut ketika itu. Mungkin saja tidak menyangka perkara ini bakal terjadi padanya.

Apapun..sudah setahun perkara itu berlalu. Dan sebagai kawan, aku sedekah Al-Fatihah buat Arwah Ija. Moga rohnya dicucuri rahmat dan berada dalam golongan orang-orang yang beriman.
Amin.

10 February 2010

Sudah lama tiada aktiviti untuk Nabila!

Hurm..nampak sangat aku sudah lama 'merehatkan' badan untuk terapi Nabila. Ini tidak bermakna aku tak gi semua terapi di hospital. Yang aku maksudkan adalah terapi di rumah.

Sejak-sejak kaki Nabila melecur tempohari, aku menghentikan seketika segala aktiviti yang melibatkan exercise. Tak sampai hati sebenarnya. Aku dapat rasakan kakinya pedih dan sakit lagi akibat luka tempohari.

Dan pula diikuti dengan demam minggu lepas, maka lebih lama aku 'rehatkan' Nabila dari sebarang aktiviti. Yang aku buat hanya yang ringan-ringan saja.

Cuma sepanjang Nabila demam, aku risaukan satu perkara. Takut sawannya menyerang dan dia lupa segalanya..Ya lupa segala apa yang telah aku ajarkan kepadanya. Aku khuatir akan jadi lagi perkara itu seperti mana ketika Nabila berusia hampir setahun. Demam yang di alami membuatkan Nabila lupa untuk mengangkat kepala ketika meniarap. Walaupun ketika itu Nabila masih lagi belum boleh memusingkan badan, tapi mengangkat kepala itu sudah cukup buat aku gembira.

Seperti yang diketahui..keadaan Nabila masih belum mencapai apa yang diharapkan. Aku faham dengan keadaannya. Aku nampak kesungguhan Nabila untuk cuba melakukannya, cuma pergerakannya terbatas. Dan bagi aku..aku takkan memaksanya. Andai letih, aku rehatkan saja Nabila seketika. Memaksa tiada gunanya. Akan buat Nabila menangis tak selesa..dan sudahnya terapi tak dapat dijalankan secara tenang dan aman..

Dan semalam, aku berfikir-fikir lagi. Serba salah kerana merehatkan Nabila terlalu lama. Dan semalam juga..aku cuba memulakan semula sesi terapi aku bersama Nabila. Tak berat dan ringkas sahaja. Kerana waktu tidur Nabila telahpun berubah sejak Nabila demam tempohari. Waktu tidur yang agak awal dan pada waktu siangnya lebih banyak bermain, membuatkan Nabila cepat letih ketika exercise bersama aku.

Aku ingin fokus pada satu perkara terlebih dahulu sekarang ini. Aku ingin menguatkan pinggang Nabila. Seperti yang dikatakan oleh Puan Rokiah, terapi di bahagian pinggang amat penting untuk Nabila mendapatkan posisi duduk dan memusing. Dan dia telah tunjukkan caranya kepadaku ketika kami bersamanya khamis lepas. Dengan hanya menegakkan peha dan menarik sedikit lutut kehadapan, ia perlu dilakukan setiap hari. Aku dapat rasa Nabila cuba mengangkat punggungnya.Kata Puan Rokiah, jika Nabila mengangkat punggung, itu satu petanda baik.

Nabila, ibu akan keluarkan sepenuh tenaga dan usaha ibu untukmu sayang. Maafkan ibu andai kadang-kadang sifat MALAS ibu datang secara tiba-tiba. Bila mengenangkan masa itu musuh kita, adalah lebih baik kalau ibu buangkan saja sifat MALAS itu. Ibu harap Nabila juga begitu. Rajin melakukan terapi bersama ibu..Amin..

08 February 2010

teringat dolu-dolu..

cettt..apsal tah teringat masa dulu-dulu nih..Masa ngandungkan Nabila pulak tuh..huhu..


Ni antara gambar ketika mengandungkan Nabila dulu. Tak silap Nabila masa ni dah 7 bulan. Amik gambar ni kat Melaka...Ikut Abg ada Family Day kat sana.. :) Aku nampak sembab ketika ini..Badan naik bagai di pam-pam..ahaksss!

Bila dikenangkan..saat ni memang manis. Kalau nak diikutkan Nabila sememangnya sihat dalam perut sepanjang aku mengandungkan dia. Tiada alahan..tiada mabuk..dan segalanya baik..Gerak Nabila juga cukup..Terasa indah bila kaki kecil Nabila menendang-nendang perut ini. Aktif. Tersangat aktif. Sehinggakan sukar untuk tidur dalam keadaan menelentang atau mengiring ke kanan.. Mesti nak mengiring sebelah kiri saja..sebab terasa Nabila berat di sebelah kanan.

Dan bila terkenang saat melahirkan Nabila..aku rasa sayu. Aku tak menduga semua ini akan terjadi pada Nabila. Sedih..pilu.. Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan aku ketika itu.

Seminggu aku berperang dengan perasaan. Terpaksa meninggalkan Nabila di NICU buat hati ini terasa bagai dihiris dengan pisau..Terpaksa menjaga emosi demi anak tersayang. Itupun hanya mampu bertahan 3 hari. Hari ke empat aku meninggalkan Nabila..jiwa dah mula meracau. Nasib baik juga Abg membawa aku ke NICU..itupun setelah pulih akibat demam susu ketika itu.

Apapun..untuk mengandung kali kedua buat aku trauma. Lidah kelu bila mengatakan perkara yang satu ini. Ketakutan masih menghantui diri. Mahu saja memberanikan diri..cuma adakah aku bersedia? Mungkin sekarang belum lagi. Aku akan tunggu setahun dua lagi. Aku perlu betul-betul bersedia. Luka di perut juga perlu pulih sebaik-baiknya..Badan perlu sihat (yakni kurus..haha) dan Nabila juga perlu betul-betul 'bersedia' ketika itu. Teringin memang teringin..tapi takut..huhu..seronok tgk org lain dah sibuk menambah lagi..cuma aku je yang masih fobia lagi..huhu..

02 February 2010

Kekuatan sahabat ini!


Aku kagum dengan semangat seorang sahabat ini. Namanya Nurul. Aku dan Nurul berkenalan ketika kami sama-sama melapor diri di Kementerian. Orangnya kecil molek..namun punya semangat yang kental. Tidak menghiraukan apa orang sekeliling pandang dan lihat pada dirinya.

Berjumpa dengan Nurul buat aku rasa bersemangat. Menempuh hidup bersama Yasmin Nabilah. Banyak perkara yang aku dapat kongsi bersama Nurul. Semangat dan kecekalan demi untuk mencari sesuap nasi di Kuala Lumpur. Ibu dan ayahnya berada di Temerloh. Pada mulanya mak Nurul agak keberatan untuk meninggalkannya sendirian. Hampir 3-4 bulan juga mak Nurul menemaninya di Kuala Lumpur. Dan kini, Nurul tinggal bersama salah seorang kakitangan Arkib.

Sudah beberapa kali kami keluar bersama. Ada juga mata yang memandang ke arahnya. Pernah juga aku marah pada orang yang memandang Nurul. Tak suka! Itu kata aku. Ingat pelik sangat ke? Aku paling tak suka bila mana orang memandang orang-orang istimewa berjalan di tempat awam. Aku faham perasaan itu. Aku juga mengalami nasib yang sama tatkala Nabila dibawa berjalan. Pelik sangatkah?

Aku tak pernah melihat Nurul menangis atau sedih. Ketawa ceria sentiasa berada di wajahnya. Membuatkan aku senang bila berkawan dengannya. Aku juga mahukan Nabila begitu pabila usianya menginjak dewasa. Ceria dan bersemangat. Dan paling penting adalah pelajaran buatnya. Aku tak mahu dia terus bergantung hidup pada aku. Cuma yang aku khuatir..adakah aku sudah bersedia dengan itu semua? Adakah aku mampu menjadi seperti mak Nurul yang mahukan apa sahaja yang terbaik buat anaknya?



Bila di pandang wajah ini..hati bertambah sayu. Mampukah dia terus berjuang di bumi ini? Kasih ayah dan ibu tiada penghujungnya buat anak ini. Kasih itu akan sampai ke syurga wahai anakku. Maafkan ibu dan ayah jika ada kekurangan untukmu. Akan ibu berikan segalanya hatta nyawa ibu ditukar ganti...

Kepada Nurul..terima kasih atas semangat telah diberikan. Walaupun tanpa sedar, kau punya karisma yang buat aku kagum sangat pada kau. Terus berjuang wahai sahabatku. Moga segalanya dipermudahkan buatmu..Nurul..

Kasut baru..!

Pada entry lepas aku ada bercerita tentang kasut yang aku tempah di Chow Kit tempohari. Dan kasut itu dah siap pada Jumaat lepas.

nilah dia kasutnya.. :)

nice..

Moga dengan kasut ini ada harapan baru untuk Nabila.. Amin.. :)

01 February 2010

Serabut!

Serabut dengan rumah..

Serabut dengan keadaan demam Nabila yang tak kebah-kebah..

Serabut tengok ruang tamu yang bersepah..

Serabut tgk diri sendiri yang tak terurus..

Serabut esok nak exam..

Mak aii..tolong aku..!

huhu..


Sejak Khamis lepas, tidur aku tak lena. Dek kerana Nabila yang merengek dan menangis tak henti-henti. DEMAM..itulah puncanya.

Semenjak Isnin lepas, Nabila sudah menunjukkan tanda-tanda selsema. Maaf pada Jiey..Ian demam maybe berjangkit dengan Nabila tempohari..huhu..Sorry yek Ian.. Nabila asyik bersin je masa jumpe aituh!

Dan hari Khamis adalah kemuncaknya. Bantai menangis malam tu..sehingga aku sendiri nak menangis. Abg pulak takde time tuh. Keje. Kebetulan aku duduk rumah mak ketika itu kerana majlis ulang tahun mak yang ke 49 tahun. (Buat kecil-kecilan je..)

Aku tak boleh tidur malam tu. Dan esoknya aku ada kursus di BERNAMA lagi. Jam 11 pagi, adik aku telefon. Katanya sudah tidak tahan melihat Nabila menangis tak henti-henti. Mak aku pun begitu juga. Memaksa aku memberitahu pada urusetia untuk pulang lebih awal. Adui..rugi betul!

Dan ketika itu..bawak kereta pun dah macam tak jejak jalan tar dah.. Pecut sehabis mungkin. Dan sampai di rumah, mak kata Nabila baru sahaja tidur.Aku mengeluh juga..tapi bila mendengar cerita mak, aku jadi takut. Takut sawannya datang lagi. Kata mak, tangisannya sudah lain. Meneran-neran seperti marah dan sakit. Macamana nih.. Aku kemas barang dan terus pulang ke Rawang.

Dan petang tu, abg agak terkejut melihat kami pulang. Dan terus aku mengajak abg ke klinik. Nabila menangis lagi ketika itu. Dan doktor hanya memberi ubat pada Nabila. Katanya, demamnya sudah surut.

Namun sampai di rumah, Nabila tak boleh tidur. Dan suara mula serak. Sian..Tekak perit barangkali.

Aku tak keruan. Melihatkan Nabila yang menangis buat aku rasa hilang sabar. Dan sudahnya kami ke klinik sekali lagi, dan Nabila terus diperiksa sekali lagi. Kali ini doktor lain. Sebab doktor yang pertama tadi sudah balik. Dan kali ini kami menyarankan doktor untuk memberikan surat untuk kami rujukkan Nabila ke Emergency. Tak tahan melihatkan Nabila menangis seperti kesakitan lah yang buat aku terdesak untuk ke situ.

Setibanya di hospital, Nabila terus diperiksa dan darah di ambil. Tapi seperti biasa juga, urat pada tangan Nabila sukar dicari. Sudahnya terpekik pekik Nabila apabila dipaksa memberikan lengannya untuk dicucuk.

Selesai saja, aku dipanggil (sebab kena dok disebalik tirai..tak bagi tengok konon)..Aku lihat Nabila sudah berbogel. Tinggal pampers saja. Sejuk..dan kata nurse..biarkan Nabila berkeadaan begitu. Dan ditepeknya air pada badan Nabila. Menjerit-jerit Nabila..!

Dan kami menunggu sehingga suhu badan Nabila turun. Jam 9 kami terus bergerak pulang ke rumah kerana Nabila dikatakan stabil. Itu kata mereka...

Sampai rumah, Nabila menangis lagi. Kali ini lebih kuat lagi. Dan sudahnya kami berjaga malam . Bergilir-gilir. Tak larat betul. Esok paginya juga masih begitu. Dan petangnya Sabtu itu, aku mengambil keputusan untuk ke rumah mak. Manalah tau Nabila ok nanti di sana.

Diberi air badak, air kelapa, tuam dengan air asam jawa..semuanya tak mendatangkan kesan pada Nabila. Dan malam Sabtu itu, aku masih lagi keletihan. Tidak tidur malam. Dan pagi Ahad, jam 5, aku mengejutkan emak. Sudah tak larat badan ini. Dan mak terus membantu aku . Kasihankan melihat aku yang berjaga sepanjang malam.

Dan petang, kami keluar sebentar ke Sunway. Ingatkan suhu badan Nabila dah stabil ketika itu..malangnya tidak. Kami terus bergegas pulang. Kali ini kami ke Klinik Kita di Wangsa Maju. Kebetulan orang takde..Alhamdulillah, tak lama menunggu..terus saja di panggil masuk. Dan aku menceritakan segalanya kepada doktor. Dan aku mintak ubat yang dosnya agak tinggi sedikit banding ubat sebelum ini. Aku sedia maklum tubuh Nabila memang tak lut ubat. Kalau setakat ubat demam 120 mg je memang tak jalan. Dan aku mintak 250 mg. Begitu juga dengan ubat antibiotik dan selsema. Bukan apa..aku mahu Nabila tidur. Peti suara Nabila perlu rehat. Aku begitu takut mendengar suaranya. Perit..dan tatkala Nabila menangis..suaranya hilang. Aduhai..sakitnya hanya tuhan saja yang tahu.

Dan hari ini, Nabila lebih bertenaga berbanding semalam. Suara masih lagi belum pulih, namun demamnya sudah hilang. Alhamdulillah..

p/s: Untung orang demam ni..macam-macam dapat. Stroller dan buai baru. Nabila punya peel baru dah sekarang ni..Dah pandai nak berbuai pulak..huhu..jenuh la nak gi memana ni..!
Kasut dah siap..nanti cerita pada next entry yek.

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...