31 May 2010

Bodohkah aku?

Aku sememangnya berasa sangat bersalah pada Nabila. Aduh..kenapalah aku boleh benarkan semua itu berlaku pada Nabila..Sangat-sangat rasa bersalah..

Mungkin ada yang fikir perkara yang berlaku petang tadi tidak lah seberat yang di tanggung oleh anak lain. Tapi ia sangat berat pada Nabila. Sebab mungkin juga aku tak pernah melihat dengan mata kepala aku sendiri keadaan Nabila yang teruk tadi.

Petang tadi, aku terpaksa mengambil Nabila dari sekolah sendiri. Nabila tidak menaiki van untuk balik ke rumah nenek kerana tertinggal. Aduh..tak pasti atas kecuaian siapa yang menyebabkan Nabila ketinggalan van. Menyebabkan aku terpaksa keluar awal dari pejabat untuk mengambil Nabila di sekolah. Lantas aku mengambil keputusan untuk terus pulang sejurus mengambil Nabila nanti.

Sampai sahaja aku lihat Nabila sedang diletakkan dalam keadaan telangkup. Terus aku berlari anak mendapatkannya. Rupanya Nabila baru lepas menangis. Nampak kesan matanya yang bengkak dek menangis yang aku rasakan agak lama. Mungkin juga Nabila tak selesa.

Dan terus mengucapkan terima kasih pada mereka yang menjaga Nabila, aku terus menuju ke rumah. Sesekali aku mendengar Nabila batuk. Batuknya masih ada. Sejak Sabtu lepas dan semakin melarat sehingga semalam. Nabila menangis sepanjang masa semalam sehingga kami terpaksa membatalkan hasrat untuk keluar ketika itu. Batuk Nabila agak berlainan kali ini. Selalunya aku rasakan batuk yang bunyinya agak ringan. Tapi kali ini disertai dengan kahak dan bunyi yang agak kering di sekitar tekaknya.

Terus tangan mendail menelefon Abg, dan menyuruh Abg bersiap sedia untuk membawa Nabila ke klinik. Di sini terserlah kebodohan aku. Aku sepatutnya membawa Nabila ke klinik minggu lepas, namun aku hanya mengambil enteng perkara itu. Dan kesannya melarat hingga ke hari ini.

Memberi ubat biasa tidak cukup untuk Nabila. Harus diberi antibiotik. Dan aku harapkan doktor akan memberi ubat yang terbaik buatnya.

Sampai di klinik, Aku menyatakan Nabila batuk dan selsema serta di datangi demam semalam. Bila diperiksa dadanya, doktor terus menyuruh aku masuk ke ruang emergency. Klinik ini disertai dengan ruang emergency nya sendiri. Dan kata doktor itu, Nabila perlu diberi nabulizer.

Aduh..berat sangatkah? Sampai diberi alat itu? Bermacam-macam yang aku fikirkan. Namun melihatkan wajah Nabila yang tenang sambil tersenyum, membuatkan hati aku tenang sedikit.

Dan hampir 10 minit juga Nabila diberi gas. Mulanya meronta-ronta kerana dia menahan sendiri nafasnya. Dan akhirnya Nabila tenang.

Selesai sahaja, Dr. Aniza masuk. Dan terus mendapatkan Nabila.Dan terus memeriksa kahak di dalam dadanya. Aku di beri pilihan sama ada mahu Nabila di suction atau tidak..

Aku sememangnya kelihatan bodoh ketika itu. Menurut doktor, dia memberi pilihan kepadaku untuk membuat keputusan kerana merasakan tindakan suction itu mungkin tidak elok untuk anak-anak kecil seperti Nabila. Juga mahukan Nabila belajar untuk mengeluarkan kahaknya sendiri.Tetapi memandangkan Nabila sendiri tidak pandai mengeluarkan kahaknya, aku terus bersetuju Nabila di suction oleh Dr. Aniza. Tujuan aku hanya untuk melegakan Nabila.

Pertama kali tiub itu di masukkan ke dalam lubang hidungnya saja, Nabila sudah terpekik-pekik. Tiga pasang tangan memegang dan menenangkan Nabila. Dan pada kali pertama tidak berjaya kerana mesin itu tidak berjaya menyedut kahak Nabila. Di keluarkan kembali dan cuba memasukkannya. Kali ini agak berjaya. Dan tiub itu keluar lagi dari lubang hidung Nabila.

Aku sememangnya sudah tidak ingat apa-apa. Mataku hanya bertumpu pada hasil yang keluar dari tiub itu. Dan terkejutnya aku melihatkan darah yang keluar dari tiub itu.

Terus saja mata ini membayangkan wajah Alanna Qish. Nabila semakin kuat raungannya dan doktor melihat aku yang agak kaget dan terkejut, terus berkata ianya perkara normal jika Nabila di suction begitu.

Aduhai.. Sedikit yang keluar buat aku serba tak kena. Inikan pulak Ayu yang selalu menghadapinya tatkala melihat Alanna di suction selalu. Sungguh aku lemah ketika itu. Yang aku tahu..hanya berdoa agar perkara itu berlaku dengan pantas dan tidak menyakitkan Nabila.

Sudahnya Dr. Aniza beralih posisi. Menjolok ke dalam mulut pula. Dan dari situ, beberapa kali juga Nabila hampir muntah, namun dia berjaya menelan kembali kahak dan muntah tersebut. Aduh anakku.. lekas keluarkan kahak itu. Dan entah kali keberapa, Nabila cuba muntah sekali lagi, dan kahirnya berjaya juga. Keluar lendir bercampur darah di dalam muntahnya.

Panik juga aku dibuatnya. Dan terus sahaja Dr. menghentikan mesin. Dan terus memeriksa dada Nabila. Katanya agak berkurangan berbanding tadi. Alhamdulillah. Aku dan Abg tidak berkata apa bila melihatkan perkara itu. Aku takut Abg marah kerana aku yang bersetuju untuk memberikan kebenaran Nabila untuk di suction.

Selesai di emergency room, kami keluar dan terus menunggu untuk mengambil ubat. Tangisan Nabila sudah kembali reda. Kesan darah jelas kelihatan di dalam lubang hidungnya. Sesekali aku kesat. Aku dapat rasakan sakitnya hidung Nabila ketika itu.

Dan sesudah mengambil ubat, kami terus berjalan menuju ke kereta. Kami berdua hanya mendiamkan diri. Rupanya, Abg juga takut melihatkan keadaan Nabila ketika itu. Masing-masing tak mampu berkata-kata. Andai perkara yang seperti ini berlaku lagi..aku tak tahu apa yang akan aku lakukan selepas itu. Aku seakan trauma mendengar suction machine. Melihatkan keadaan Alanna dan juga Nabila tadi membuatkan hati aku sayu. Sedih bila anak menahan kesakitan. Mahu saja diri ini di menjadi galang ganti kepada kesakitanmu nak..

Sewaktu entry ini ditulis, Nabila sedang nyenyak tidur. Sesekali Nabila batuk dan terkejut-kejut mendengar sesuatu. Mungkin juga trauma dengan kejadian petang tadi. Mandi tadi pun menangis. Takut agaknya. Takut perkara itu terjadi kepadanya sekali lagi...

Gas diberi sampaikan aku sendiri merasakan gas itu melalui hidungku..

Tenang ketika ini, keadaan selepas di beri nabulizer..

p/s : Terasa sangat bodoh. mahu di ketuk je kepala ini. Aduh....

30 May 2010

Potluck di rumah Mummy Alanna..

Semalam, kami beramai-ramai ke rumah Mummy Alanna . Family aku, Ita, Ieda dan Zura bersama berkumpul untuk melawat anak bongsu kami.. Alanna Qish.

Bagai sebuah keluarga, kami berkumpul, bercerita, sampai tak sedar jam menunjukkan angka 12. Itupun masing-masing seperti berat untuk meninggalkan Ayu sekeluarga. Dan maklum juga..masing-masing kekenyangan dek penangan masakan Chef Farid yang sangat menyelerakan itu. (aduh..mahu booking kek incik payed! ..Sodap!..)

okey..tak nak cerita banyak..Layankan saja gegambar ini ya.. !

Kek sempena hari lahir Nabila, Alisya dan Habib. Dan juga bakal besday Aiman..hehe.Hasil air tangan Incik Farid.. Sedap betul..Kalau bukak kedai ni..bankrup la kedai 'resepi rahsia' tuh..hehe.


Kepada Ayu & Syahrul..terima kasih atas jemputan. Maaf yek kami sepah2kan umah..Enjoy sangat semalam.. :) Harap ada lagi nanti.. :) Jangan serik yek jemput kami ke De' Rozelle lagi yek..

26 May 2010

Therapist lain pulak..!

Agak lama juga tidak ke hospital. Lebih-lebih lagi untuk ketiga-tiga terapi Nabila. Dan hari ini terapi cara kerja...

Sampai saja, aku dapat rasakan agak pelik situsi di hospital. Selalunya..sampai saja aku terus di suruh masuk ke bilik rawatan. Entah kenapa hari ini aku terpaksa menunggu agak lama di luar. Dan apabila di suruh masuk, agak terkejut juga bila melihat orang lain yang ada di dalam. Bukan Puan Rokiah..

Tak pasti nama therapist baru Nabila. Yang aku pasti, Puan Rokiah telah pun berpindah ke HKL. Dinaikkan pangkat.. :) Tapi yang tak seronoknya begitulah.. asyik bertukar therapist je. Adui..sakit jiwa pulak rasa.. :(

Dan kali ini, Nabila agak meragam. Dek kerna tak cukup tidur.. Bantai menangis dari mula sesi hingga tamat sesi. Sampai di kaki lima menuju ke tempat letak kereta, Nabila masih lagi menangis. Ramai juga mata memandang. Agaknya orang ingat aku dera anak kut..hehehe..

Aduhai Nabila.. Ibu dah rasa tak semangat untuk membawa kamu ke hospital. Rasa seperti tiada perubahan jika ke situ. Hanya membuang masa. Patutkah aku berfikir begitu? Aku tidaklah berputus asa.. Tapi bila memikirkan pihak hospital yang kerap menukar therapist buat aku terpaksa bermula sekali lagi setiap kali bercerita tentang Nabila.. Sungguh bosan!

Patutkah untuk aku tidak membawa Nabila ke terapi hospital lagi? Aku rasa down sangat bila memikirkan hal ini. Aduh..tolong!!!!!!!

Aku Cinta Padamu..

Masih teringat lagi saat bagaimana aku berkenalan dengan Abg. Pernah di 'reject' kerana tidak menepati ciri-ciri yang aku mahukan. Pernah juga kami tidak bertegur sapa kerana Abg ketika itu masih mempunyai girlfriend di Ipoh. Bergaduh besar ketika itu. Langsung tak bertegur walaupun sekelas..!

Namun..hati sudah terpaut dengan kesabaran Abg. Sabar menanti si dara ini... :)

Bukan mudah untuk kami bersama. Banyak rintangan yang terpaksa kami tempuh sepanjang perhubungan kami. Dan berkat sabar dan usaha..kami bersatu jua.

Buat Abg, tiada yang terindah dalam hidup ini selain dapat bersamamu. Bersama mengharungi onak ranjau penuh liku dalam membesarkan benih cinta kita. Terima kasih Abg..sudi menerima kekurangan diri ini. Kadangkala diri ini sungguh tak sempurna di hadapanmu. Terima kasih kerana tak jemu-jemu melayan isterimu ini.

Selamat Ulangtahun Perkahwinan kita yang ke 3 sayang..Moga mahligai yang kita bina kukuh dah utuh sehingga ke akhir hayat kita.. Amin.. :)

sangat indah moment ini..masih manis begelar sang isteri.. :)

p/s : tiada celebration untuk anniversary kali ini. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Aku sendiri tiada rancangan untuk itu. Tak ralat rasanya kalau tak celebrate pun. Hanya mahu Abg ada di sisi aku esok !

25 May 2010

Tak Nak Gi Sekolah..!

Hurm.. pagi tadi aku menerima panggilan telefon dari Tasputra. Di hujung suara kedengaran suara Kak Zakiah menyebut nama aku..

Kak Zakiah : Ina, akak nak cakap ni.. Yasmin dari tadi asyik nangis je. Akak pun dah tak tau nak buat apa dah.. selalu ok je..

Aku : Yeke ke kak.. Kenapa pulak tuh?

Kak Zakiah : Entahlah.. Akak bagi susu tadi..tapi menangis-nangis. Takut tersedak pulak. Akak siap masuk buai lagi.. Tak nak tido pun dia..

Aku : Dia tak sihat kot kak.. Sebab kan selsema lagi tuh.. Abis tu akak nak ina amik dia balik ke?

Kak Zakiah : Tak delah..akak risau je tengok dia..Tengok..dengar tak suara dia menangis..?

Aku : ( Tak berapa jelas sgt suara Nabila..) Takpelah kak.. Saya bawak balik.. Tak sedap badan kot.. Jap lagi saya sampai yek kak..

Kak Zakiah : ok..

Sampai saja di Tasputra, aku lihat Nabila sedang dipegang oleh kakitangan di situ. Masih memujuk Nabila berhenti menangis. Dan aku lihat matanya bengkak sekali.

"Aduii..napa ni sayang..Tak nak gi sekolah ke?"

Nabila menangis lagi. Dan terus aku menukarkan pakaiannya kerana kakitangan di situ tersalah pakai baju. Mungkin juga kelam kabut mereka tak perasan yang mereka dah tersalah ambil beg rupanya..hehe..

Aku dukung Nabila dan terus mengucapkan terima kasih kepada mereka yang cuba memujuk Nabila. Hampir semua staff menegur si anak kecil ini. Kenapa?

Nabila diam rupanya bila dalam dukungan aku. Amboi..takkan la ibu nak duduk kat situ pulak. Tengok tak menangis bila diletakkan di dalam kereta. Staf di situ hanya menggelengkan kepala melihat telatah si kecil ni. Sangat pandai bermain dengan perasaan orang lain..!

Dan sudahnya aku menelefon mak, meninggalkan Nabila pada mak. Sampai di rumah.. Nabila senyum..! Aduh..nakal sungguh anak ini !

"oooo..dah pandai ponteng sekolah ye..." kata neneknya.

Aku hanya menggelengkan kepala melihat kerenah Nabila hari ini. Tak tahu nak cakap apa bila mengenangkan kejadian pagi tadi.. ! adusss....!

24 May 2010

Demam Lagik..!

Semalam..Nabila sudah menunjukkan tanda-tanda untuk selsema. Aku sudah mengangak melalui cara Nabila bersin. Sangat-sangat kerap.

Dan aku mula mencari punca. Dan rasanya aku tahu.. Sudah duduk di rumah neneknya, sudah pasti ramai yang menciumnya. Dan yang pasti 2-3 hari sebelum Nabila dijangkiti selsema , adik-adikku juga telah dijangkiti selsema juga.

Dan kemuncaknya pada malam tadi. Kesukaran untuk Nabila tidur buat aku terpaksa meninggikan kepalanya dengan bantal. Tidur seakan-akan duduk. Dan kadang-kadang Nabila terjaga kerana selsema yang menyumbat hidungnya.

Nak sedut dengan mulut, aku sememangnya penggeli. Jadi, aku hanya dapat memberikan ubat selsema pada Nabila. :(

Pagi, Nabila tak mahu bangun. Aku mahu mengejutkannya untuk mandi, namun melihatkan keadaanya yang agak malas nak membuka mata, dan juga memikirkan yang Nabila pasti akan meragam di sekolah, aku membuat keputusan untuk E.L pada hari ini. Dan jam 7, aku dapat rasakan badan Nabila mulai hangat. Dan Abg mencadangkan aku untuk membawa Nabila ke klinik.

..........
.......
....
..
.

Bila memikirkan demam Nabila ini, aku dapat rasakan anak ini akan ada lagi perubahan dalam dirinya. Bak kata orang dulu-dulu, " Demam nak pandai..!"

Hurm..bercerita tentang pandai, Aku rasa Nabila masih ada lagi kekurangan yang ada dalam dirinya untuk umur sepertinya. Bak kata Abg tadi, Andai Nabila sihat, sudah pasti mulutnya bising minta macam-macam pada ibu dan ayahnya. Namun..pada umur ini, Nabila masih lagi bising mulutnya, cuma masih lagi dalam bahasa bayi..

Cuma yang dapat aku coretkan pada perkembangan Nabila ketika ini, Nabila sudah mula respon dengan apa yang ada di sekelilingnya. Cuma caranya mungkin berlainan. Sama seperti bayi berumur 4-5 bulan. Senyum bukanlah menjadi perkara yang sukar baginya. Sejak bersekolah dan pulang dari Teluk Senangin, Nabila tak henti-henti senyum. Sangat bijak dan manis sekali wajahnya!

Dan sudah pandai mengeluh! Entah apa yang difikirkan..aku sendiri kurang periksa. Dan mulutnya seolah-olah membebel seperti tidak puas hati!

Apapun..aku dapat fikirkan yang Nabila belajar semua itu dari sekolahnya. Dan juga pada kawan-kawan 'superkids' nyer.. Mungkin anak-anak ini berkomunikasi dengan cara di luar jangkaan kita.. Kata pun anak SUPERKIDS kan.. :) SEGALANYA SUPER SAJA!

22 May 2010

ACCIDENT!

Maaf..entry yang sudah lapuk sebenarnya. Sejak Selasa lepas, aku berada di rumah mak. Rumah mak pula tiada line internet. Jadi aku terpaksa menunggu hingga ke hari ini untuk menulis sesuatu di dalam blog ini.

Sungguh tak sangka , kejadian pagi Rabu itu membuat aku sedikit takut untuk berhadapan dengan penunggang motorsikal. Sememangnya bahaya. Jika kita sebagai pemandu kereta tidak salah ketika kejadian, kita tetap akan dipersalahkan kerana melanggar mereka. Begitulah kejadian yang berlaku pada aku pagi Rabu itu.

Sememangnya sedia maklum Jalan Ampang sememangnya sesak di waktu pagi. Semua orang seakan berlumba-lumba mahu ke tempat kerja. Aku tidak terkecuali dengan situasi itu. Cuma pagi itu aku dapat rasakan sesuatu akan berlaku pada aku. Cuma aku masih tetap meneruskan perjalanan dengan penuh debaran untuk ke tempat kerja.

Selesai menghantar Nabila ke Tasputra, aku terus keluar menuju ke jalan utama. Namun..aku tidaklah seperti terkejar-kejar masa ketika itu. Sebab aku tahu sememangnya aku sudah lambat ketika itu. Aku biarkan saja masa itu.. dan tak mahu apa-apa perkara yang tak baik berlaku pada aku.

Sampai saja di simpang..ada kereta yang baik hati telah memberi ruang pada aku untuk melintas. Aku masih ingat kereta itu..Proton Waja berwarna biru. Sangat baik hati. Aku mengangkat tangan untuk mengucapkan terima kasih padanya. Aku berhenti dan menjenguk kepala ke hadapan sedikit untuk melihat samaada ada motor atau tidak. Lihat saja seperti tiada motor atau kenderaan lain, aku menekan sedikit pedal minyak..tiba-tiba datang sebuah motor..terus melanggar kereta aku. Tergamam.. Dan aku terus menepuk dahi. Aduiii..kenapa mesti dia langgar nih..?!

Dan aku terus keluar mendapatkannya. Bertanyakan sama ada ok atau tidak. Dan aku lihat lelaki itu memegang tangannya. Mengaduh sakit. Dan dia menyuruh aku melihat kereta. Aku sememangnya tidak melihat langsung kereta aku. Yang aku nampak hanya lelaki itu saja ketika itu.

Dan apabila aku toleh melihat kereta aku..Ya Allah..Aku ingatkan sikit saja kerosakannya. Rupanya teruk. Sedangkan aku dapat rasakan lelaki itu tidaklah terlalu kuat dentuman motorsikalnya melanggar kereta aku. Dan enjin kereta masih lagi berbunyi. Alhamdulillah..hanya bumper dan lampu sebelah kanan saja yang pecah. Dan lelaki itu mahu mengangkat motornya. Kesian pula, lantas aku terus memanggil beberapa orang untuk membantu lelaki itu mengangkat motornya. Dan aku pula..terpaksa ketepikan kereta terlebih dahulu untuk memberi laluan pada orang lain.

Terketar-ketar kaki dan tangan aku menelefon ayah dan abg untuk memaklumkan kejadian ini. Dan juga menelefon pejabat yang mengatakan aku kemalangan pagi itu. Sementara menantikan ayah untuk datang, aku berbual dengan lelaki itu.

Nasib baik juga dia tak menyalahkan aku. Dia juga mengaku salahnya. Dia juga sebenarnya tidak pernah melalui jalan itu. Hanya mahu melihat sama ada jalan itu sesak atau tidak..dan tidak menyangka kejadian seumpama itu berlaku padanya.

Dia sememangnya sudah nampak kereta aku. Cuma kemungkinan brek tak berfungsi dan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk melanggar aku. Sungguh risaunya dia pada kereta. Aku hanya menyatakan bahaya tangannya lebih penting dari kereta. Aku tak kisahkan sangat kereta aku sebab sememangnya kereta ini sudah banyak kali accident. Dan akhirnya kami tidak bercadang untuk melaporkan perkara ni kepada pihak polis.

Rasanya lelaki itu sudahpun keluar dari hospital. Ada juga aku sms dengannya bertanyakan keadaannya. Sebenarnya bersimpati padanya. Tapi apakan daya, motornya ok, kereta aku pula yang teruk. Dan yang pasti aku akan mengmbil jalan lain untuk menghantar Nabila ke Tasputra. Tidak lagi melalui simpang itu lagi!

Bahana dilanggar motor. Motor ok..kete ni yang teruk..huhu..! nasib baik tiada kematian..kalaulah ada kematian..mampus..mmg tak bawak langsung la kot lepas ni.

p/s : Ada kata aku ni tak serik. Huh..Dah serik dah.. Ingat aku ni suka sangat ke nak bawak laju2..eleh..kalau takde lesen lagi bleh la cakap..sok klu ko dah pegang streng..huh..ko pun mcm aku gak..'bezit' tak hengat punya..!

17 May 2010

Nabila yang menggedix....

Semalam ke rumah Alisya.. Saja mahu menjenguk Ummi dan Abi dan jugak memberi bungkusan baju yang telah dikirim oleh Ita. Sempat juga merendam Nabila semalam. Babah Aiman pula nak test pelampung baru Aiman..hehe..nampak cute sgt pelampung tuh ngan Aiman.. Hurm..nak cari satu jugak la yang macam tuh untuk Nabila..hehe.. :)

Buat pertama kalinya..Nabila tak menangis langsung bila di 'celup' masuk ke kolam. Agak pelik juga..sebab sememangnya sudah tahu Nabila pasti akan 'meraung gajah' bila bab main air ni. Tapi semalam alhamdulillah..baik benar anak ibu ni.. Hurm..kalau la umah ni besar dah tentu akan ku siapkan kolam untuk Nabila buat hydrotherapynya.. :)

Layankan saja gambar2 ini yek..


p/s : niat mahu membeli ini..

cita-cita besar sgt..huhu..mesti ayah Nabila tak bagi punya..huhu..Dari pagi asyik dok belek website yang jual pool ni..hurm..kan bagus kalau ruang kat belakang tu besar sket..Sibuk dok congak2 berapa keluasan belakang umah ni. Dari terbiar saja ruang di belakang umah..ada baiknyer aku buat kolam untuk Nabila..hehe..

Incik Zul, Ada brani ka?

16 May 2010

Ayah & Nabila..

Sebetulnya hari ini hari rehat kami sekeluarga. Namun..sejak semalam abg sudah merayu pada aku untuk membantunya membuat kek batik. Katanya nak jual..! Apa kes la cik Abg ni tetiba nak berniaga nih..?

Huhu..layankan saja. Pagi-pagi sudah terpacak di dapur menyiapkan sarapan. Huh ! lama benar tak ke dapur. Sejak balik dari kursus, dapur jarang benar berasap. Balik keje pun dah malam..memang takde mood nak masak.

Nabila pula..bila ibunya sibuk di dapur..dia pun sibuk jugaklah merengek. Hurm..nak mandi barangkali.. Dan aku menyuruh Abg memandikan Nabila.

Dan sewaktu mereka berdua di tingkat atas, Nabila menangis bila ayahnya mula menyiram air ke tubuhnya. Aku sedia maklum Nabila sememangnya begitu setiap kali mandi. MEMANG TAK SUKA AIR !

Dan terus teringatkan kisah Abg dan Nabila semasa kami masih lagi duduk bersama mak. Ketika itu, aku dan abg terpaksa ' berpisah' sementara kerana Nabila. Hanya seminggu sekali Abg menjengah melihat kami kerana tuntutan kerja yang menghalang Abg untuk berulang alik dari rumah mak ke tempat kerja.

Aku pernah berasa hampa pada Abg. Sebetulnya Nabila memang agak sukar untuk dimandikan. Dengan keadaan tubuh yang lembik, pastinya Abg gerun memegangnya. Hatta sekalipun tak pernah mengusik Nabila untuk mandi atau mencuci najis. Takut katanya. Sedih juga ketika itu. Kataku..itu adalah anaknya. Andai anak itu tahu..sudah pastinya akan kecil hati.

Agak lama juga aku memujuk Abg. Dan akhirnya Abg mahu juga. Mungkin juga Abg tak mahu memandikan Nabila kerna takutkan aku yang agak cerewet ini. Hehe.. biasalah..aku mahukan segalanya baik dan bersih untuk Nabila.

Dan sekarang ini..Abg tidak lagi seperti itu. Pernah aku memberi pilihan padanya minggu lepas..sewaktu aku sibuk untuk bersiap ke tempat kerja. Kebetulan, baju kurung belum digosok dan Nabila juga belum dimandikan. Aku memberi pilihan pada Abg. Sama ada mahu menggosokkan pakaian aku atau memandikan Nabila.

Apa yang anda fikir? Adakah Abg akan memilih untuk menggosok baju?

Tidak..Aku sangkakan Abg akan memilih untuk lebih rela menggosok baju dari memandikan Nabila. Ternyata sangkaan aku meleset. Abg pilih untuk memandikan Nabila. Dan dalam hati aku mengucapkan syukur. Akhirnya Abg sudah benar-benar berani untuk memandikan Nabila.

Dan rasanya mungkin juga Abg tidak kekok lagi untuk memandikan Nabila lagi selepas ini.. :)

p/s : Selamat hari Guru buat semua guru-guru di Malaysia. Khas ucapan kepada Kak Nani dan juga Farahanum. Tak lupa juga pada adik iparku.. Adilah yang mengajar di Sek. Sains Bagan Datoh. Kebetulan juga hari lahirnya jatuh pada Hari Guru. Dan juga untuk adikku..Ariff Shah..yang sudah menginjak ke usia 18 tahun. Selamat hari lahir.. :)

13 May 2010

Moody..

Pagi-pagi tadi aku sudah hilang mood. Sedih melihatkankeadaan Nabila sebenarnya..

Sudah 3 hari Nabila tak' membuang' Dan sudahnya terpaksa beri ubat untuknya. Aku terpaksa. Aku tau benda tu tak elok..tapi aku tak mahu Nabila menanggung kesakitan.

Selesai saja semua, terus Nabila diam. Lega barangkali. Lantas aku bersiap untuk ke tempat kerja. Dalam kereta, fokus yang aku berikan kurang ketika memandu. Di kepala hanya memikir sama ada hari ini aku patut menghantar Nabila ke sekolah atau tidak. Melihatkan Nabila merengek dalam kereta, dan kasihan melihatnya yang sering keletihan bila pulang dari sekolah, terus sahaja aku memberikan Nabila 'cuti' pada hari ini. Bolehkah gitu? Hurm..takpelah..hari ini anak ibu rehat yek..

Terus sahaja aku menelefon mak. Bertanyakan sama ada mak ada di rumah atau tidak. Kebetulan hari ini khamis, mak tidak ke Dylisis, bolehlah aku menghantar Nabila ke rumah mak sepanjang hari ini.

Sampai saja, Nabila menangis. Rupanya dia membuang lagi.. hurm..takpe..dah banyak hari tersimpan semuanya.. Baik saja dikeluarkan sebelum menjadi 'toksik'..hehe..

Dan selesai urusan Nabila di rumah mak, aku terus bergerak menuju ke pejabat. Kepala ini masih memikirkan tentang Nabila. Memikirkan baik buruk duduk di Tasputra. Sedih sebenarnya hendak meninggalkan Nabila di situ. Dan aku tak henti-henti memikirkan perkara itu sehinggalah petang tadi..

Sudah tak tahan bila masalah itu bergolak dalam jiwa ini..terus aku mencari kawan-kawan untuk bercakap. Dan terus aku teringatkan Ita. Bertanyakan padanya sama ada dia sibuk atau tidak. Nasib baik juga Ita sanggup melayan gelora hati aku ini tadi. Thanks Ita.. :)

Kenapa aku berfikiran negatif tentang Tasputra..?

Sebenarnya tiada yang negatif di situ.. kakitangan yang baik..kemudahan yang mencukupi.. segala keperluan di jaga. Baik makan dan minum. Cuma Nabila ini. Aku risaukannya..sebab sejak Isnin lepas, kakitangan Tasputra mengatakan Nabila agak meragam sepanjang minggu ini. Kurang makan dan minum susu. Adakah Nabila sudah tahu kenapa dia di hantar ke situ? Aduhai anakku.. Ibu amat risaukan mu nak.. Sudahlah kamu 'membuang' pun susah.. Sampai ibu berpesan pada kak Zakiah agar memberikan air kosong yang banyak untukmu. Mungkin juga kakitangan di situ terlupa untuk memberikan air kosong padamu.

Bila berbual dengan Kak Ina, Mama Karina, yang juga jiran aku di Gombak.. dia mengatakan Isnin lepas, anak-anak yang datang ramai..dan kekurangan kakitangan di situ pada waktu itu. Nabila pula asyik meragam setelah dua hari bersama ibunya. Mungkin juga Nabila sudah 'sedap' bersama ibu..dan tak mahu ke sekolah. Di sekolah, tidak di layan manja seperti berada di rumah. Tak boleh begitu sayang. Nabila di sekolah kena belajar. Mana boleh manja. Mana boleh asyik nak berdukung saja. Adui..Nabila buat ibu serba-salah.

Pernah juga terlintas di hati untuk tidak menghantar Nabila sekerap yang boleh. Namun pihak Tasputra menghalang. Mereka mahukan anak-anak ini biasa dengan keadaan di situ. Jika selalu cuti, bagaiaman anak itu akan belajar berdikari nanti?

Agak berat sebenarnya.. Namun setelah berbincang dengan Abg, aku cuba juga teruskan walaupun hati ini berat. Akan ku buang jauh-jauh segala prasangka buruk kerna segalanya ini adalah untuk kebaikan Nabila. Mungkin juga akan membuahkan hasil nanti bila Nabila berada lebih lama di situ.

Dan juga sebagai peringatan untukku..aku tak boleh mengharapkan mereka melayan Nabila seperti neneknya melayannya di rumah. Ramai lagi anak-anak yang perlu di jaga. Semua ini untuk kebaikan nya juga..

p/s : doakan agar hati saya tetap dan teguh pendirian untuk Nabila bersekolah disitu.. :)

12 May 2010

Check up gigi...

Semalam..mahu saja menaip entry ini. Namun entah kenapa letih sangat barangkali..tertidur aku di ruang tamu. Nabila sudah ' lebuh' bersama buaiannya. Letih di Tasputra barangkali.

Begitu juga hari ini. Penat dengan aktiviti seharian..Nabila sudah 'melabuh tirainya' jam 8.30 tadi. Sejak ke sekolah, Nabila kerap tidur awal. Dan kadangkala saja bangun tengah malam untuk menyusu. Sian Nabila..

Semalam sebenarnya Nabila punya temujanji dengan speech therapy nya. Agak lama juga tidak ke HSB. Dek kerna sibuk dengan kursus dan kemasukan Nabila ke sekolah membuatkan hasrat untuk ke hospital terbantut. Sudahnya tadi terpaksa menelefon ketiga-tiga therapist untuk menetapkan semua temujanji.

Apa yang saya kesalkan layanan panggilan telefon oleh segelintir kakitangan. Hurm..klu nak cerita panjang pun tak guna..sebab memang dah sedia maklum 'perangai' mika-mika ni mmg cam gituh.. Layan kan ajelah..pekakkan telinga dan buat tak reti je ngan dorang nih.

Arghh..persetankan tentang perkara itu.. Yang mahu diceritakan adalah pemeriksaan gigi semalam. Sekolah Nabila memang menyediakan khidmat pemeriksaan gigi percuma kepada semua anak-anak di situ. Dan semalam giliran Nabila. Aku dikehendaki menemani Nabila sekali. Dan bukan pergi sendiri..dengan menaiki kenderaan Tasputra.

Tak jauh mana pun.. Pemeriksaan hanya dilakukan di HKL di bahagian padiatrik. Aduh..teringat pula aku kepada Alanna. Saat-saat berjumpa Ayu di ICU..saat ternampak Nadim bersama daddy nyer..dan juga saat air mata ini jatuh apabila melihat keadaan Alanna. Sedih.. Dan semua itu hanya tinggal kenangan. Alanna masih berjuang tetapi dengan cara yang lain pula.

Berbalik pada Nabila. Aku yang sangat teruja melihat Nabila bakal diperiksa giginya buat kali pertama. Risau bersarang di hati..andai Nabila tidak memberi kerjasama yang sepatutnya kepada doktor. Dan sesudah hampir 1/2 jam menunggu, akhirnya giliran Nabila tiba. Hati ini berdebar seperti aku pula yang mahu diperiksa giginya. Adui..harap Nabila ok..

Dan aku di suruh membaringkan Nabila di atas dadaku. Dan seperti biasa jugaklah..Nabila sememangnya pantang bila ada orang yang mengusik mukanya. Seorang nurse memegang kepala, dan aku pula bertindak dengan memegang kedua tangannya. Nabila meronta dan menangis. Tapi mujur juga Nabila menangis. Mudah untuk melihat semua giginya.

" cantik gigi dia.. "

Semua dok memuji Nabila. Dan bertanya cara penjagaan gigi Nabila.

" Tak buat apa pun. Hanya gosok gigi setiap hari. Tapi kadang-kadang skip jugak.."

Itu lah perkara yang aku katakan pada doktor semalam. Mungkin juga amalan meminum air kosong sesudah minum susu yang aku amalkan selama ini memberi kesan pada gigi Nabila.. Mungkin juga...

Dan Nabila agak meragam ketika di klinik gigi. Mahu tidur..namun..bila di dodoi..tak mahu pejam mata pula. Ni lah gelagatnya ketika di dalam van dan juga di klinik..

Dan yang pastinya next check up 6 bulan kemudian.. :)

p/s : membeli 'sesuatu' untuk Nabila minggu lepas. Terpikat pada pandangan pertama. Boleh digunakan sehingga Nabila mempunyai berat sehingga 30kg.. Wow..best..memang best.. Apa dia tuh..tgk la sini..

Doomoo Chair..sangat lembut..Selesa untuk duduk dan baring.. :)

09 May 2010

Macam-macam hal..semua sebab Nabila yang comel nih!

(apehal la tajuk pepanjang nih.. )

Khamis lepas..Aku terpaksa mengambil Nabila dari Tasputra lebih awal dari biasa. Nabila agak kurang sihat ketika itu. Sejak pagi sebelum aku menghantarnya, Nabila sudah menunjukkan tanda-tanda untuk selsema.

Tapi aku masih juga mahu menghantarnya ke Tasputra. Sebab aku rasakan Nabila nampak ok pada pagi itu. Tak bersin..tapi sampai saja simpang depan Tasputra..bersin Nabila kembali menyerang..

Nak hantar ke tidak si Nabila nih?

Puas la membuat keputusan. Dan sudahnya aku hantar juga Nabila ke situ. Dan aku berpesan pada pekerja di situ yang aku akan mengambil Nabila setelah selesai terapi dan makan tengahari nanti.

Sampai sahaja di Tasputra, aku bertanyakan pada kakitangan di situ..adakah Nabila menangis atau meragam sepanjang pagi. Tak pula kata mereka. Nabila nampak baik pagi itu. Mungkin juga tak larat. Hanya baring diam sahaja.

Dan terus aku membawa Nabila pulang ke rumah. Mengejutkan ayah Nabila yang sedang nyenyak tidur untuk ke klinik. Dan kata doktor..Nabila demam sikit. Tak mengapa..janji ada bekalan ubatnyer.. :)

Dan kemudian kami ke Ambank.. Atas urusan mengambil geran kereta kerana kereta kancil ku sudah selesai hutangnya.. :)

Sampai di bank..aku terus mengambil nombor. Dan aku di sapa oleh salah seorang kakitangan kaunter di bank itu. Akak tu terus ambilkan belon dan gula untuk Nabila. Dia ingat Nabila tidur.

Dan terus mulutnya bertanya tentang Nabila.

Akak tu : Berapa bulan umur baby?

Aku : Bulan? bukan bulan la kak..dah tahun dah..dah 2 tahun..

Akak tu : yeke? (akak tu pandang cam pelik la kat Nabila..)

Aku : (aku yang perasan keadaan tu terus saja berkata..) Kak, dia special..

Akak tu : Special? Special kat tang mana tuh.. (lagilah mata dia dok pandang Nabila..bulat tul mata akak tuh..)

Aku : (jawab sambil senyum la.. ) Akak cuba tengok betul-betul.. kan nampak special dia tuh..

Akak tu : ( buat muka blur lagi..berkerut-kerut tengok Nabila.. )

Aku : Dia lemas masa lahir kak.. Sekarang ni development dia delay sikit.. ( malas nak guna terms cerebral palsy..kang bertambah pening akak tuh.. )

Akak tu : haah la dik..klu adik tak cakap akak pun tak perasan.. Takpelah..tu rezeki adik.. serius la..klu cakap mmg akak tak perasan. Sorry yek dik..akak ingat dia nak tidur..sebab tu akak bagi belon ngan gula-gula..ingat dia boleh main..

Aku : takpe kak..takde hal la kak..

Dan kami terus berbual lagi..berkisar tentang Nabila. Abis semua kaunter dok pandang Nabila. Semua seakan terdiam mendengar cerita aku dan akak tu. Telinga pasang..tapi tangan dok buat keje..hehe..

Apapun aku tak marah apa yang akak tu buat tadi. Bukan salah dia pun. Yelah..anak-anak Cerebral Palsy ni banyak jenis. Nabila pulak Microcephaly.. memang nampak macam baby lagi la..hehe..Orang kata muka awet muda.. :)

p/s : kat klinik pun doktor tu sibuk tanya aku ada bawak tak Nabila gi rawatan..ceh..cakap mcm kami ni tak buat apa-apa untuk Nabila. Bila cakap je aku dah start bawak Nabila gi sekolah..terus doktor tu diam..Mungkin juga dia ingat aku dan abg tak tahu apa yang perlu di buat jika dapat anak CP.. :) macam-macam ragam sekarang nih.. hehe..

08 May 2010

Mother's Day..

Bila mengenangkan Hari Ibu..sudah pasti yang terlintas dek fikiran ini adalah pengorbanan seorang ibu..

Sesungguhnya aku sangat bertuah.. Telah menjadi ibu kepada insan istimewa ini..

(credit pic to Mama Put.. :) )

Bukan mudah sebenarnya menjadi seorang ibu. Lebih-lebih lagi untuk anak seperti Nabila. Harus lebih memahami anak ini dari anak yang normal.

Segala pengorbanan yang telah di lakukan sememangnya tidak mahu balasan dari anak ini. Hanya doa yang mengiringi setiap langkah anak ini. Moga hidupnya sentiasa ceria dan terus maju kehadapan.

Dan ucapan Hari Ibu juga pada kedua untuk kedua ibu ini..

Puan Sa'adiah dan Puan Atun..Sungguh aku sangat bertuah dapat kedua-dua mak ini. Sangat-sangat memahami kami sekeluarga dan sangat-sangat supportive dalam hal Nabila. Terima kasih mak..Mak adalah tulang belakang kami..

Ucapan Hari Ibu juga pada semua Increadible Mother.. Sungguh teruja bila bersama kalian.. Semangat berkobar-kobar demi anak tercinta..

Dan tak lupa juga pada semua ibu-ibu dalam bloglist Yasmin Nabilah..atau yang selalu mengikuti perkembangan Nabila. Anda juga ibu yang hebat di mata saya!

* Sememangnya kasih ibu memang sampai ke syurga.. :) Baru ku sedar penangan kasih ibu dalam diri ini..

05 May 2010

Kebizian melanda..plus sikap M dah datang.. :

Aduiii...ralat rasa. Sebenarnya sejak bulan lepas aku dah tak bawak Nabila ke hospital. Apa lagi kalau bukan Physio + OCC therapy + speech therapy..

Tadi baru je tengok buku appointment..Ini bermakna aku terpaksa set semula appointment dengan therapist-therapist untuk Nabila. Sejak-sejak Nabila dan duduk kat Tasputra..hal ke hospital aku dah mula abaikan. bukan sengaja..tapi sibuk dengen beberapa perkara yang berlaku sepanjang bulan lepas.

Tadi sempat juga aku membelek kad appointment Nabila. Sudah masuk 4 kad di 'stappler' bersama..namun aku rasa Nabila hanya menunjukkan beberapa 'percent' sahaja kemajuan hasil dari terapi-terapi tersebut. Mungkin ada terapi yang telah membantu Nabila..namun bagi aku tak cukup.

Dan semalam..aku hampir saja merungut dan putus asa dek kerna yuran di Tasputra yang agak mahal untuk kami yang berpendapatan kecil. Adui..sedih..namun demi Nabila..akan kami berdua cuba juga mencari duit demi rawatannya.

Ayah aku memujuk agar aku tidak menarik Nabila untuk tidak ke sekolah. Kata ayah..cuba sehingga hujung tahun ini. Manalah tau ada kebaikan yang bakal di peroleh nanti.

Berkata-kata sememangnya senang untuk semua. Tapi yang merasa dan menanggung hanyalah diri sendiri. Aku sendiri tak sampai hati untuk meletakkan Nabila di situ. Dengan Nabila seawal pagi sudah bangun untuk mandi..keadaan Nabila ketika minum susu amat aku khuatiri. Di pejabat..aku seolah-olah tidak mahu berfikir apa-apa tentang Nabila..tapi hati ini terus menerus mengusik aku. Mohon saja Nabila baik-baik di situ.

Buat Nabila..ibu sentiasa berdoa Nabila dapat peroleh perkara yang baik di sekolah. Bukan letakkan Nabila di situ bukan kerna ibu tak sayangkan Nabila..Sebab Ibu sayanglah , ibu tinggalkan Nabila di situ. Ibu mahu anak ibu dapat apa yang sepatutnya bagi seorang nak kecil yang bijak. Waluapun ibu tahu kekeuranagn Nabila di situ..tapi ibu yakin denganmu nak. Senyum..geak tyawamu amat menghiburkan hati ibu petang tadi. Senyuman itu seolah-olah membawa terbang segala keresahan hati ibu. Sayang ibu..sememangnya kamu sangat bermakna buat ibu..

04 May 2010

Angka 27 , Induksi Umum & Teluk Senangin...

Salam..lama sungguh tidak mencatat apa-apa di dalam blog ini. Seperti mana yang semua ketahui..aku menjalani Kursus Induksi Umum di Felda Residence sejak Jumaat lepas. Aktiviti yang agak meletihkan sebenarnya bagi aku yang berbadan besar ini..hehe.. Dan rasa seperti kelainan melakukan segala aktiviti yang telah di atur oleh urusetia. Sungguh..Badan yang terasa berat..agak sukar untuk aku melakukan aktiviti seperti mengimbang badan dan aktiviti yang lasak. Hurm..harus lakukan sesuatu selepas ini.. Mungkin juga harus kurus sikit.. Eh..bukan kurus sikit..tapi kena kurus banyak..hehe...

Dan di sana..sedikit sebanyak mengajar aku sabar. Bukan sabar dengan aktiviti..Sabar menanti untuk berjumpa Nabila. Beberapa kali juga aku menangis tatkala mendengar suara Nabila atau pabila mak berkata Nabila tersenyum bila mendengar suara aku. Teramat sangat merinduinya..

Dan segalanya yang berlaku di kursus berakhir dengan kenangan di situ.. Alhamdulillah..segalanya berjalan lancar dan dalam keadaan baik-baik sahaja.. :)

Namun..satu perkara yang tak seronok untuk aku. Tarikh induksi pula kebetulan jatuh pada hari lahir aku..Hurm.. Angka 27.. Sangat bererti bagi aku. Tak sangka..masih hidup dan bernafas di muka bumi ini. Dan masih dapat bersama Abg, Nabila , kedua orang tua aku , keluarga mentua dan semua rakan-rakan yang menyayangi aku. Sedih sebenarnya tak dapat bersama pada Abg sewaktu hari lahir ini. Tiada hadiah atau jambangan bunga seperti orang lain. Hanya kedengaran jauh suara Abg yang menyanyikan lagu Selamat Ulang Tahun di dalam telefon. Nasib baik la room mate takde ketika itu. Sebak.. tapi apakan daya.. Kursus ini lagi penting dari segalanya..

Selesai sahaja majlis penutup kursus..Abang tiba bersama Nabila. Menjemput aku untuk meneruskan perjalanan ke Teluk Senangin pula. Terus berlari aku mendapatkan Nabila. Dan entah berapa kali juga bibir ini singgah ke pipi Nabila. Aku peluk Nabila seerat-eratnya. Rindu pada anak melebihi segalanya. Nabila seakan terdiam dan cuba mengenali suara aku. Dan ternyata Nabila masih ingat pada suara ini.. :)



Perjalanan di teruskan ke Teluk Senangin pula. Berkumpul di rumah Faizal..dan terus ke rumah homestay di situ. Sabar menanti family Ita+ Farid , Zali+ Ieyda dan juga Zura+Shah yang masih lagi dalam perjalanan ke Tapah.

Angka jam menunjukkan pukul 6..terus kami bergerak menuju ke destinasi yang dah lama di rancang itu. Masing-masing jelas kelihatan sangat teruja.. Sempat juga mengusik kawan-kawan untuk memasang sticker pemberian Faizal tempohari.


Sampai di Teluk Senangin sudah pukul 9. Makan dan mandi..dan kemudian berehat..kerana ada aktiviti yang bakal kami lakukan esok paginya..

Dan pagi Sabtu..celik mata saja terus mencari makanan untuk sarapan pagi. Dan aku pula..sibuk memandikan Nabila. Bersiap-siap untuk ke pantai. Dan tak lama, apa bila semua selesai makan, terus saja memulakan game yang pertama. Boling pantai namanya..hurm..lihat saja aksi kami ini..

Indah betul kenangan ini.. Masing-masing bekerjasama..walaupun suami dan isteri berlainan kumpulan.. masing-masing saling membantu untuk kumpulan sendiri..Sungguh aku kagum dengan semangat keluarga ini..


Dan selesai main..baru saja merangka-rangka game yang kedua..hujan turun dengan lebatnya.. Adui..potong betul lah.. Apakan daya..ingatkan hujan akan berhenti..tapi lihat saja awan..memang sampai sudah tak berenti. Terus kami bergerak menuju ke chalet bersama anak. Risau juga andai terkena hujan..demam..Memang itu yang kami mintak dijauhkan pada anak-anak ini..

Lihat saja bapak-bapak ini...Seperti sudah 10 tahun tak jumpa air hujan.. :)


Hidangan tengahari yang sanagt menyelerakan..Ketam masak lada, Ketam masak lemak cili api versi Negeri Sembilan dan Kedah , Ikan panggang , Nasi goreng dari air tangan Jiey..sangat-sangat menyelerakan.. :)


Dan malamnya..kami mengadakan dinner dan juga sesi tukar-tukar hadiah. Namun hati kami tersentuh tatkala Farid mahu beramai-ramai mendoakan kesihatan anak kami yang masih lagi berjuang di HKL. Alanna yang kami kasihi..Sesungguhnya..kami tidak melupakan mu sayang.. Sentiasa ingin mengetahui keadaanmu. Berat untuk kami berhibur sebenarnya bila mengenangkan ahli keluarga kami masih dalam keadaan sedih. Hanya doa yang kami kirim buat Ayu, Syarul, Alanna dan Nadim..

Sesi malam itu di teruskan dengan telatah masing-masing yang menghiburkan. Dan hidangan pada malam itu sangat-sangat 'superb' . Tahniah buat Incik Farid dan juga kawan-kawan Faizal yang bertungkus lumus menyediakan juadah malam itu. Sangat-sangat menyelerakan dan masing-masing dok usap perut dek kerna kekenyangan.. Alhamdulillah.. :)

Hidangan kami di malam dinner.. :)

Riuh rendah suara kami dengan gelak tawa usik mengusik sepanjang malam dinner itu..pasti menjadi kenangan terindah buat kami semua nanti..




Pagi yang tenang..Tiada hujan..cerah.. :)







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...