Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

30 August 2010

Air mata ketika berbuka puasa......

Kisah bermula dengan semalam, selepas berbuka puasa bersama Ayu dan Ita sekeluarga. Usai berbuka, Ayu mengajak kami melepak sebentar di rumahnya.

Sedang rehat-rehat dan berbual dengan Ayu, Aku menjeling melihatkan Nabila sedang baring dalam keadaan telentang. Sama seperti biasa.

Leka berbual dengan ayu, dalam tak sedar, aku lihat Nabila sudah mengiring. Sudah biasa melihat perkara itu kerna sejak 2-3 bulan lepas aku membiasakan Nabila tidur dalam posisi mengiring. Dan dia begitu selesa dengan keadaan itu.

Aku hanya melihat tanpa membetulkan apa-apa posisi. Mulut ini masih lagi sibuk tak henti-henti berbual dengan Ayu. Dan tiba-tiba, Nabila memusingkan badannya, dan terus Nabila dalam keadaan posisi meniarap.

Aku menjerit melihat Nabila. Abg, Ayu dan Syarul menjadi saksi Nabila berpusing dengan sendirinya. Nabila pula ketika itu diam. Sedikit suara pun tak keluar dari mulutnya. Aku sememangnya dalam keadaan tergamam dan terus berkata yang aku tak percaya apa yang aku lihat tadi.

Benar..tidaklah sehebat mana meniarap bagi budak normal. Tapi bagi aku..entahlah. Tak tergambar perasaan bila Nabila dapat berpusing dengan sendirinya. Sudah lama aku menantikan saat itu. Namun, selepas kejadian pusing memusing di rumah Ayu, tiada lagi kejadian serupa berlaku pada hari ini....

Sehinggalah pagi selepas aku ke tempat kerja....

Abg seperti memberi laporan apa yang dia dan Nabila lakukan sepanjang hari di rumah. Katanya sudah 2 kali Nabila berpusing sendiri. Dan waktu maghrib..semasa aku sedang berbuka puasa, memang aku pasti Nabila dalam keadaan telentang.

Dan tiba-tiba..dia melakukan lagi aksi itu. Cuma tidak secara terus menerus. Dia mulakan dengan meletakkan badannya dalam keadaan mengiring dan kemudian dia cuba berpusing sekali lagi untuk posisi meniarap. Namun, tersilap langkah kerana tangannya terhimpit di atas badannya. Agak lama juga Nabila cuba mengeluarkan tangannya , namun tidak berjaya. Dan akhirnya ayahnya membantu mengeluarkan tangan di tindih oleh tubuhnya.

Aku ketika itu? Meleleh air mata sambil mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberi peluang pada Nabila untuk terus maju lagi. Namun, ini tidak bermakna Nabila sudah bagus. Nabila masih lagi belum betul-betul mahir untuk berpusing. Dan rasanya tak sabar menanti esok untuk aku mengulit lagi bersama Nabila pabila cuti. sengihnampakgigi

Semalam hatiku di pagut sayu. Mummy Ayu memberikan sesuatu buat Nabila. Carborie powder untuk Nabila. Dan di tin itu tertera tag kepunyaan arwah Alanna Qish yang aku amat aku sayangi. Sayu..memang sayu. Dan tarikhnya ditulis sebelum beberapa hari arwah meninggalkan kami semua.

Aduhai hati..sayu benar. Rindukan si kecil itu. Dan kataku kepada Ayu, seperti sudah lama benar kami berkawan. Padahal, kami baru saja kenal pada bulan Mac yang lalu. Dan kaki ini melangkah ke rumah Ayu buat pertama kalinya kerna menghadiri majlis hari lahir Abg Nadime.

Sungguh..melihatkan Nadime bermain patung pemberianku buat arwah membuatkan hatiku luluh. Betapa Nadime merindu adiknya. Dan tatkala Nabila memeluk 'adik nun' itu, Nadime ketawa girang. Barangkali suka benar dia melihat Nabila memeluk 'adik nun'.

Dan Nabila ketawa girang sepanjang di rumah Ayu. Adakah dia nampak kehadiran Adik Nun? Entahlah..sukar untuk merungkai setiap persoalan itu. Yang aku pasti Adik Nun bahagia di sana..

Apapun..aku gembira dengan perkembangan Nabila. Terubat juga hati dengan apa yang telah aku lalui sepanjnag 2-3 minggu lepas tentang berita yang kurang menyenangkan tentang Nabila. Sekurang-kurangnya, ia memberi semangat untukku terus berjuang untuk Nabila. Kawan-kawan..mohon doakan agar mudahkan perjalanan anak ini. Amin... senyum

29 August 2010

Adoiiii..sangat-sangat penat seminggu ini....!

Maaf sudah beberapa hari tidak berkesempatan untuk mencoret. Banyak yang ingin ku ceritakan tentang Nabila namun masa tak mengizinkan. Sibuk dengan beberapa aktiviti di sana sini..

Rabu lepas, Nabila punya appointment bersama Puan Anida. Speech Therapy ! Dan sebenarnya aku tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengannya. Aku mengesan sesuatu kelainan pada Nabila.

Sejak Nabila dengan aksi 'kamok-kamok' beberapa minggu sudah, aku dapati air liur Nabila kembali meleleh dengan banyak sama seperti ketika mula-mula dia di rujuk pada speech dulu. Sungguh..sehinggakan penuh sehingga ke lehernya jika aku dudukkan atau meniarapkannya. Minggu sebelum Nabila 'kamok-kamok' tu, Nabila masih boleh mengawal air liurnya. Memang keluar, namun kuantitinya tidaklah sebanyak seperti sekarang. Dan perkara ini diakui sendiri oleh Puan Anida.

Dia ada berkata padaku, adakah pihak OCCT komen tentang apa yang telah aku katakan ini. Sememangnya ada. Namun, apa yang dikatakan oleh therapist itu hanyalah fakta semata-mata. Kerna di sendiri tidak tahu perkembangan Nabila sejak mula dulu. Dia hanya menyatakan Nabila kemungkinan tidak bermain atau membuat apa-apa aktiviti. Kerna itu air liurnya meleleh begitu saja.

Puan Anida juga berkata, dia perasan Nabila nampak kembali lemah seperti dulu. Tidak kuat seperti yang dia lihat sebelum temujanji kali ini. Aduhai..aku sendiri buntu. Kenapa dengan Nabila?

Dan akhirnya Puan Anida mencadangkan untukku membeli ini..

Ia berfungsi untuk memekatkan air susu. Puan Anida pernah mencadangkan aku untuk membeli Thixer ini dulu, namun aku memandang sepi. Namun, bila meilhatkan keadaan Nabila begini, aku harus juga mengambil langkah. Manalah tau ianya berkesan. Susah payahnya aku mengendong si Nabila, naik ke farmasi atas untuk membelinya. Huhu..Ada Abg kan senang.. :(

Dan aku juga membeli yang ini..

Enersos MCT oil..

Lama dah nak beli..tapi tak beli-beli..huhu..

Hari Khamis pula, Tasputra mengadakan majlis berbuka puasa di Shangri -La Hotel. Ibu bapa memang tak ikut sekali. Pada mulanya aku memang berat benar untuk membenarkan Nabila pergi. Maklum saja dia paling kecil dan pulak tu 'angin' nya sukar di duga. Namun..pihak sekolah mahu juga dia pergi. Nak tak nak terpaksa juga aku benarnya. Aku bekalkan baju sejuk dan lengan panjang untuk Nabila. Juga stroller untuk memudahkan mereka meletakkan Nabila.

Jam 9 malam, akulah orang pertama yang menunggu untuk menjemput Nabila. Tak sabar!!! Dan kemudian satu persatu kenderaan ibu bapa tiba di sekolah menantikan anak masing-masing. Macam anak-anak gi rombongan pulak. hehe..

Tepat jam 10.30 malam, bas yang membawa anak-anak Tasputra tiba. Nabila turun paling last sekali. Rupanya dia tidur.. Kasihan..sememangya itu memang time Nabila tidur. Namun bila bertukar tangan, Nabila sedar aku mendukungnya, terus celik mata. Tak mahu tidur. Sampai lah ke rumah mak, siap main-main lagi. Aku tanya padanya, " Nabila seronok ke gi sana? best yek..!" Nabila hanya senyum-senyum saja. Seronok la kot..hehe..

Hurm..tak apa lah..Janji Nabila tahu untuk berkawan dan bersosial bersama rakan-rakan. Aku tahu, Nabila mahu berkawan. Pernah sekali di hadapan rumah mak, Nabila mendengar suara anak kecil bermain. Nabila yang berada di dalam rumah seperti teruja mahu keluar dari rumah untuk melihat anak-anak lain bermain. Kasihannya...andai adik sihat..sudah lama ibu bukakan pagar untuk kamu bermain di luar.

Di sekolah Nabila tidak dibiarkan keseorangan. Ada saja anak-anak kecil yang boleh bergerak dan bercakap..mendekati anakku ini. Yelah..katapun paling kecil di sekolah..semuanya menjadi perhatian..!

Dan semalam, pagi-pagi lagi sudah bergerak menuju ke Beranang. Seperti yang kukatakan pada entry lepas, minggu ini Nabila di kehendaki berjumpa sekali lagi dengan Haji Zabir untuk mendapatkan ubat yang telah di siapkan. Dan Alhamdulillah.. urusan kami dipermudahkan sekali lagi. Syukur..!

Dan petangnya..berbuka bersama superkids lagi. Kali ini yang ada hanya family Jiey, Ita, Zali & Faizal. Kali ini makan ala-ala bufet di Seksyen 7 Shah ALam

Selesai makan, kami semua ke PKNS Shah Alam. Jalan-jalan dan terjumpa seorang akak ni. Namanya Kak Laili. Mulanya dia tegur Ita sebab ingatkan Nabila dan Alisya kembar. Kebetulan pula si kembar ni pakai baju yang sama. Ramai juga mata-mata yang memandang. Dan sudahnya kami berbual dengan Kak Laili.

Melihatkan kisah anak berdua ini, hatinya tersentuh. Dan Ita terus saja menceritakan tentang rawatan Kak Raw kepada Kak Laili. Rupanya dunia ini kecil saja. Rumah mak Kak Laili berdekatan dengan rumah kak Raw. Dan pula dia mengajak kami bermalam di rumah nya andai kami ke sana untuk rawatan. Murah betul rezeki budak berdua ni. Ada saja yang membantu memudahkan urusan kami. Alhamdulillah.. :)

Selesai di PKNS, berjalan pula ke SACC Mall. Penuh juga. Sarat dengan lautan manusia yang sibuk membeli barang-barang keperluan hari raya. Tak lama, kami terus keluar..dan melepak di kedai makan di USJ. Dan kemudian Ayu sekeluarga datang dan join bersama-sama kami.. :)

Jam 12.30 malam..barulah semua bergerak ke menuju ke rumah masing-masing. Dan kami sampai di Bukit Sentosa jam 1.30 pagi..hehe..Penat + puas hati. Dapat jugak sambar satu baju melayu untuk Abg. Sebenarnya tak ingat kaler apa baju raya aku tahun ini. Sebab dah lama sangat hantar ke rumah makcik untuk dijahit. Ni pun belum ambil lagi. Harapnya sama la kot kaler dengan baju Abg.. :)

24 August 2010

Nabila & baby Ra'id..

Hampir setiap hari Nabila dikunjungi oleh baby Ra'id. Aku juga suka melayan si kecik ini yang baru berusia 2 bulan. Sudah lama juga Nabila tidak bermain dengan anak-anak jiran rumah mak. Namun kebanyakannya semua dah besar. Yang ada pun dulu, Abg Rayyan dah pun berpindah ke rumah barunya. Dan Alhamdulillah..Nabila ada kawan lagi pengganti Abg Rayyan.

Au membayangkan andai aku punya nak sekecil ini dan Nabila di sisinya. Aduhai..serupa menjaga kembar saja..! Aku dan mak tertawa melihat Nabila yang begitu teruja apabila baby Ra'id berada di sisinya. Seakan tahu si kecil itu akan bermain dengannnya. Begitu juga ketika Abg Rayyan datang ke rumah mak satu ketika dulu. Begitu seronok sekali dia mendengar suara Abg Rayyan. Siap Abang Rayyan tolong dodoikan Nabila tido lagi..hehe..


Tak mengapalah dik..nanti-nanti saja ibu berikan kamu kawan baru. Ibu masih tak puas memanjakan kamu..! senyum

23 August 2010

Gerhana dihati....

Semalam aku lihat Nabila begitu seronok sekali. Ketawa berdekah-dekah..tak henti-henti. Begitu ceria dia semalam. Senyum dan tawa tak lepas dari bibirnya. Sangat-sangat senang melihat keadaannya semalam. Hanya sesekali merengek. Itupun kerna mahu tidur dan minum.

Dan tatkala tangan ini sibuk melipat kain yang menggunung..aku letakkan Nabila bersebelahan denganku. Aku lihat dia main..sambil mulutnya riuh. Entah apa yang dibebelkan..aku kurang pasti. Apa yang aku nampak..sepertinya dia bermain sendirian.

Ku katakan pada Abg, suara Nabila lembut bila berkata-kata..namun pabila menangis..suara seperti aku. Bak petir..hehe..!

Dan melihatkannya bermain sendirian, timbul rasa kasihan. Andai dia punya adik beradik yang lain..pastinya dia sedang bermain dengan adik beradiknya. Namun, akal ini menghalang. Seperti yang kukatakan pada entry yang lepas..kami belum bersedia lagi.

Tetapi, melihatkan suasana sekeliling..rakan-rakan yang rata-ratanya sudah menambah bilangan ahli keluarga membuatkan diri ini dipagut sayu. Lantaran kes Nabila dahulu membuatkan aku takut untuk berhadapan keadaan itu sekali lagi. Aku sendiri tidak yakin sama ada aku mampu untuk menyelamatkan anakku sekali lagi.

Pernah ku suarakan pada Abg, adakah dia benar-benar mahukan anak lagi dalam masa terdekat ini? Abg seakan memahami situasi diri ini. Aku tahu, hati Abg meronta-ronta mahukan anak yang sihat..boleh bermain dengannya, apakan daya..ini saja rezeki kami. Namun aku bersyukur. Nabila hadir membawa seribu rahmat buatku. Lahirnya bagai bintang yang bersinar di kala aku dan abg meraba dalam kegelapan.

Bila hati mahu, aku takut ia tidak berlaku. Dan mengharap pada benda yang tak pasti. Aduhai.......



22 August 2010

Nabila @ Beranang & merambu-ramba bersama superkids...

Salam semua. Semalam, seharian tak buka FB dan blog. Teratak Nabila dikunjungi Ummi, Abi dan Alisya pagi Sabtu. Kesian Alisya, cadang nak gi rumah Acik Raw pada Jumaat malam Sabtu untuk mandi tengah malam, tapi bila Ummi dan Abi Alisya sampai saja umah Acik Raw, nampak gelap je umah Acik Raw. Rupanya takde rawatan. Terus Ummi dan Abi Alisya telefon aku nak tumpang tidur di Teratak Nabila.

Dan semalam, berbual-bual ngan Ummi Alisya tentang badan Nabila yang selalu berangin, terus Ummi Alisya bercadang untuk ke Beranang.

Sudah lama kami berhajat untuk membawa anak-anak berubat di sana. Kata Ita, salah seorang rakannya juga pernah ke sana dan Alhamdulillah, pulih dari sakitnya.

Dimanakah tempat itu? Dan apakah cara perubatannya?

Nama empunya pemilik itu adalah Haji Zabir. Dia pakar dalam perubatan alternatif dan juga pemakanan tambahan yang berasaskan herba. Mungkin ada yang pernah mendengar nama Haji Zabir ini atau lebih dikenali dengan syarikatnya sendiri iaitu MHZ Malay Herbs Zone Sdn. Bhd. Terletak di Kg. Sesapan batu Rembau, Beranang, Selangor.

Pada mulanya, sejak dulu lagi, aku memang ragu-ragu dengan ubat-ubatan yang bukan dari klinik atau hospital. Bukan sombong tak mahu mencuba ubat-ubatan lain, cuma aku mahu lebih berhati-hati. takut ubat-ubat ini akan mendatangkan kesan sampingan pada Nabila. Namun sejak kebelakangan ini, hati aku dah mula terbuka untuk menerima. Namun, aku masih berhati-hati. Keberangkalian untuk mendapat kesan sampingan dari ubat-ubatan yang tidak diiktiraf bakal mengundang bahana pada Nabila nanti.

Menjejakkan kami ke rumah Haji Zabir ini membuatkan aku terpegun. Ada beberapa bangunan dan rumah berada di kawasan rumahnya. Sangat-sangat luas. Dan kata salah seorang kakak yang cuba mendapatkan rawatan di situ, selalunya ramai. Cuma ketika kami tiba semalam, hanya kami dan kakak itu sahaja yang ada. Tak mengapalah, mudah sikit urusan kami.. :)

Hampir sejam menunggu akhirnya kami dipanggil. Dan melihatkan Nabila dan Alisya, terus saja atuk Zabir mengatakan mereka kembar. hehe.. Takpe..memang cam kembar pun..!

Mulanya Haji Zabir melihat Alisya dan kemudian diikuti Nabila. Katanya, Nabila mempunyai masalah tulang belakang yang lembut. Aku sendiri mengakui yang Nabila masih belum berjaya untuk duduk dan berpusing dek pinggangnya yang lemah. Haji Zabir juga menyatakan bahawa, Nabila punya masalah bahagian menelan. Lemah di bahagian otot menelan. Benar.. Apa yang dikatanya semuanya benar dengan hanya memegang saja beberapa anggota tubuh Nabila..

Dan kami disuruh datang kembali pada minggu hadapan untuk mengambil ubat. Dia terpaksa menyediakan herba yang baru untuk kedua anak ini, kerana dia jarang mendapat pesakit seperti Nabila dan Alisya. Tak mengapalah. Nak berubat sememangnya perlukan kesabaran dan pengorbanan. Barulah mujarab.. :)

Selesai berurusan, kami terus pulang ke rumah Ita. Dan menunggu Abg ke rumah Ita. Owh ya, lupa nak cakap.. aku hanya pergi sendirian tanpa Abg ke rumah Haji Zabir. Kerana Abg bekerja. Mengingatkan tentang itu, sudah 3 kali aku memulakan langkah permulaan untuk ke tempat-tempat rawatan tanpa Abg. Agak sukar kerana risaukan pengubat-pengubat ini kemungkinan mereka mahu si ayah yang memegang anak. Bukan si ibu. Tapi Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Tak kisahlah, siapa yang bawa Nabila. Janji Nabila dapat segala rawatan yang diperlukan.

Selepas azan, kami terus menuju ke Rimba Klasik untuk makan. Dan sesudah itu, kami ke uptown Bangi. Aku mencari beberapa helai Busha pants untuk Nabila. Kesian Nabila, lama benar aku tidak shopping baju baru untuk Nabila. Jumaat lepas, aku menghabiskan kupon pemberian Perodua kepada Abg dengan membeli baju dan seluar untuk kegunaan Nabila ke sekolah. Tak mengapalah. Lagipun kebanyakan baju Nabila semuanya sudah sendat! huhu..

Dan semalam aku membeli ini..

tak jumpe torchlight, jumpe yang ini pun jadilah untuk Nabila..

Penat juga semalam, seharian tiada dirumah. Alhamdulillah, urusan kami semalam dipermudahkan walaupun bebarapa halangan yang tiba dan nyaris accident sewaktu dalam perjalanan ke rumah Haji Zabir. Ketakutan kami bertiga bila di dalam kereta Farid semalam. huhu.. Geram betul dekat kereta kembara yang tiba-tiba menukar haluan secara terburu-buru!

p/s: Alhamdulillah, salah seorang mummy superkids kami bakal menimang cahayamata baru. Tahniah buat Zali dan Ieyda ! Aiman dah jadik Abang Long! :)

20 August 2010

Mahu berkongsi, namun....

Sudah 2 hari aku mahu menaip sesuatu di dalam blog, tetapi entah kenapa, bukak saja aku sudah berasa jemu. Adakah aku sudah mula bosan dengan untuk mencoret lagi tentang Nabila?
 
Sungguh..sangat bosan! Tapi bukan bosan dengan kehidupan ini..! Bosan dengan BLOG..! huhu..Padahal macam-macam yang ingin aku tulis di sini berkenaan puteri kesayanganku.
 
Sebenarnya, aku memang mahu berkongsi pelbagai teknik yang telah aku pelajari dengan Kak Esma, namun bila di fikirkan semula, aku tak jadi untuk publish kan entry itu. Abg menghalang kerana takutkan pihak di sana menyaman aku. Hehe.. Yelah blogging pun ada had limit jugak kan.
 
Apapun, Aku sudah mengaplikasikan apa yang telah dipelajari, namun masih berhati-hati kerana kecederaan dan kecelakaan akan berlaku bila-bila masa saja. Sedangkan yang arif tentang terapi pernah membuatkan salah seorang anak istimewa terkehel tulang atau patah..Inikan pulak aku yang tak punya pendidikan dalam bidan fisioterapi.
 
Apapun yang aku lakukan kenalah berhati-hati dan jangan memaksa anak. Memaksa akan membuatkan anak tidak suka dan benci dengan terapi. Aku lakukan mengikut mood Nabila dan sentiasa melakukan dalam keadaan rileks tetapi kerap. Mengharapkan akan berlaku keajaiban nanti. Sedikit pun tak mengapa. InsyaAllah.
 
Surat mengenai permohonan cuti separuh gaji telah pun diluluskan di peringkat Jabatan. Cuma menunggu jawapan dari pihak kementerian saja lagi. Kalau nak diikutkan aku akan bakal bercuti pada 17 Sepetember nanti. Dan selama sebulan, aku akan mengulit bersama Nabila nanti. :) Tak sabar rasanya kerna aku akan menumpukan sepenuh perhatian pada Nabila nanti. Sesi terapi bersama hospital akan diteruskan, begitu juga dengan PDK. Cuma untuk Tasputra, aku tidak menghantarnya ke sana kerana agak jauh dari rumah dan memakan belanja yang banyak untuk berulang alik ke sana. Sepertinya hati ini ingin mencuba di Nury, namun faktor kewangan membantutkan hasrat. Tak mengapalah, mungkin rezeki Nabila di kemudian hari.. :)
 

17 August 2010

Hujung minggu yang penuh dengan warna-warni..

Sudah lama aku, abg dan Nabila tidak bersantai-santai dek kerna 'amukan' Nabila yang melanda seminggu sudah. Sabtu lepas, family superkids datang menjengah ke rumah kami..Dan agenda tidak lain tidak bukan..berbuka puasa bersama.

Hanya family Jiey dan Rayyan sahaja yang tidak dapat menghadirkan diri. Tak mengapa..nanti kita repeat balik yek 28hb nanti..:)

Kebetulan juga hari lahir Abg jatuh pada hari sebelumnya iaitu Jumaat. Sungguh..! Aku sendiri 'blur' untuk membawa Abg ke mana-mana di hari lahirnya. Dan pada hari lahir Abg, kami langsung tidak berjumpa. Hanya ucapan di dalam FB je yang ku luahkan kepadanya. Aduh..siannya Abg..

Dan nasib baik family superkids datang. Boleh juga celebrate sekali. Terus saja aku menempah cheese tart dari Lieza dan juga membeli kek di kedai 'resipi rahsia...' hehe

teramat la sedap..tapi di hidang pada tetamu..kek mencair..huhu..sori kawan2.. :(

Abg malu-malu nak potong kek..hehe..

Thanks yek pada semua superkids datang berbuka puasa walaupun keadaan kat umah ni serba kekurangan..sian korang makan pun dok merata-rata..umah kecik..huhu.. Kepada Lieza..terima kasih sangat sudi dtg Teratak Nabila. Jauh nun disana..sudi datang dan buatkan sekali cheese tart..Hilang mengidam..hehe..


Ahad....

Akhirnya semalam aku berkesempatan untuk berjumpa dengan Kak Esma. Aku menjemputnya datang kerumah dan dia sendiri ingin mengajar ku teknik dan kaedah yang di peroleh semasa di Nury dan juga keadah Sichida (betul ke aku spell nih?) Masih ingatkah kalian pada entry ini ?

Sesungguhnya banyak aku peroleh dari wanita ini. Hatinya yang kental dan kuat membesarkan Irfan dan aku dapat lihat dengan mata kepala ku sendiri. Irfan tidak lagi seperti anak istimewa yang perlu diusung ke sana sini. Dan nampak bijak, dan memang aku rasakan dia seorang anak yang bijak. Melihatkannnya, mungkin ada yang tidak menyangka dia punya sejarah hidup yang pastinya tiada siapa yang menjangka yang dia akan pulih satu hari nanti.

Dan Kak Esma mengajar aku beberapa perkara yang perlu aku lakukan pada Nabila. Dan aku juga membeli sesuatu yang tidak terfikir untuk aku belikan padanya. Mungkin tak logik, tapi demi Nabila, aku cuba. Manalah tau ok pula kan.. :)

Kak Esma memberikan aku satu CD untuk Nabila dengari sewaktu hendak tidur. Bunyi-bunyi ombak dan kicauan burung yang mungkin akan merehatkan otak. Aku siap membelikan Nabila headphone dan MP3 player untuknya. Mungkin juga aku boleh masukkan sekali zikir-zikir di dalamnya. Nampak membazir, tapi tak salah kalau mencuba bukan?


Bulat mata si Nabila sambil menikmati alunan muzik yang melenakan.. hurmm..

Dan 2 hari ini, projek aku adalah menambah lagi koleksi flash card Nabila. Flash card hasil air tangan sendiri. Dulu pun pernah buat juga, cuma kali ini ingin menambah kepada objek-objek yang lain.. :)

Dah lama juga Nabila tak ketawa  Sejak demam, nak mengukir senyuman pun agak susah baginya. Sudah lupakah dia? Namun tadi sewaktu hendak pulang, Nabila ketawa mengekek bila kereta melanggar bonggolan-bonggolan kecil dan menyebabkan kereta bergegar. Masa demam dulu, langgar apapun, langsung tak mahu gelak. Alhamdulillah..Nabila kembali seperti dulu.

p/s: klu nak tgk video Nabila ketawa tuh..klik je kat tajuk entry ni..nanti kuar la dia..hehe..payah nar nak upload..blogspot tgh bengong kot!

13 August 2010

Down

Terasa berat benar kepala hari ini. Sungguh sakit dan berdenyut-denyut tatkala jari ini menaip sesuatu untuk diluahkan di dalam blog ini.

Tadi, aku ke Hospital Sg. Buloh lagi. Nabila ada temujanji dengan physiotherapist nya. Dan kali ini therapist bertukar lagi. Puan Syu, melihatkannya aku fikir dia seorang yang tegas dan serius. Pada mulanya aku ingatkan Puan Siti yang akan 'mengadun' Nabila. Rupanya salah. Dan aku menunggu di ruang gym peadiatrik. Menanti kemunculan therapist baru.

Puan Syu pada mulanya melayan seorang lagi anak yang baru saja menjalani pembedahan di bahagian lututnya. Kata ibunya, anaknya punya masalah untuk berjalan. Masalah di bahagian urat. Terjerit-jerit juga anak itu menahan kesakitan. Sayu pula aku melihatkan anak yang berumur 9 tahun itu menjerit meminta tolong pada ibunya. Mungkin terlalu sakit baginya. Namun Puan Syu masih meneruskan aktiviti straching malah menekan lebih kuat bila anak itu semakin kuat tangisnya.

Kasihan, namun jika berlebih kasihannya, akan memburukkan lagi keadaan anak itu. Lantas aku memandang Nabila yang sedang bermain dengan pelajar praktikal. Begitu banyak siri tangisan Nabila di sini. Dari tangan Puan Suhana ke tangan Puan Siti dan ke tangan Puan Syu, aku fikir episod menangis memang agak sukar di keluarkan dalam kamus hidup Nabila.

Selesai dengan anak itu, Puan Syu terus mendapatkan Nabila. Dan Nabila sudah mula keletihan kerana badannya sudah 'diulit' oleh pelajar praktikal tadi. Nabila tidak memberikan kerjasama yang sepatutnya pada Puan Syu. Aku pula, pelbagai soalan yang ku ajukan padanya. Mahukan pendapat!

Namun, kata Puan Syu tadi sedikit menganggu konsentrasi aku. Katanya aku perlu bertindak cepat. Dia nampak Nabila ada potensi untuk baik, namun aku harus pergiatkan lagi usahaku demi Nabila. Aku berfikir sepanjang perjalanan tadi di dalam kereta. Aku tahu, masih belum cukup untuk Nabila bagus. Aku tahu Nabila masih belum dapat peroleh 'skill' yang diharapkan. Aku terasa seperti 'jatuh' bila mengenangkan segala usaha ku selama ini dipandang sepi. Benar, memang tak cukup pada Nabila..namun apalah dayaku. Aku tak mampu untuk memberikan terbaik buat Nabila.

Saat aku meluah rasa pada rakan pejabat tadi, hampir saja air mata ini menitis jatuh. Sebak bila dikata kurang berusaha untuk Nabila. Di manakah puncanya? Mengapa Nabila masih belum memperoleh apa yang yang telah dipelajarinya?

Bukan tidak bersyukur, namun hati keras ini sememangnya mahukan Nabila dapat apa yang sepatutnya. Namun, untuk aku mendapatkan semuanya, agak sukar kerana bekerja dan mempunyai masa yang kurang bersama Nabila. Sayu mengenangkan pabila Nabila seperti mahu lakukan itu dan ini, namun terhad dek kerna kerosakan di bahagian otaknya. Entahlah..mungkin masih tak cukup..dan mahu menambah lagi. Dan lagi..dan lagi....

Aku mohon kepadaNya agar permudahkan segala urusanku untuk Nabila. Sesungguhnya hati ini ralat bila ada yang memperkatakan keadaan Nabila yang kurang mendapat rawatan yang sewajarnya. Tidak berusahakah aku? Bila ku fikirkan setiap masa, sepanjang hari aku berfikir dan cuba mencari jalan untuk Nabila. Tidak tinggal sedetik pun aku tidak memikirkan hal Nabila. Setiap hari otak ini berfikir cara untuk memulihkan Nabila. Dan cuba mempraktikkan. Masih tidak cukup?

Aduhai hati..terlalu sedih mengenangkan itu semua........

12 August 2010

Aduhai..dugaan yang mencabar di bulan puasa ini...!

Hari-hari yang dilalui di bulan puasa sama seperti di bulan-bulan lain. Sesi terapi Nabila dan kesibukan kerja di pejabat masih lagi berjalan seperti biasa walaupun sudah memasuki bulan puasa. Aku takkan ponteng untuk sesi terapi Nabila walaupun badan ini terasa sangat-sangat penat dek kerna setiap hari pulang lewat ke rumah.

Serius aku katakan..Badan ini sememangnya penat, lesu dan rasa tidak bermaya. Dan juga tidak bertenaga. Walau apapun aku paksakan diri untuk cuba memenuhi setiap tuntuan kerja dan juga masa yang berkualiti dengan Nabila. Namun, kadangkala tersasar jua..

Tadi, aku ke PDK lagi. Dan masih meneruskan sesi merendam Nabila dalam Jakuzzi. Namun kali ini aku tidak keseorangan. Aku ditemani Abg yang mahu melihat sendiri keadaan sekolah anaknya. Terima kasih Abg..!

Nabila yang hampir terlelap dek kerna selesa ngan air di dalam jakuzzi..

Pulang saja dari PDK, badan sudah mula merasa letih. Terkejar-terkejar pula menggosok baju kurung dan bersiap untuk ke pejabat. Dan sampai di pejabat, kerja sudah menanti di atas meja. Aduh..sangat stess hari ini. Mujur juga jalan tak sesak seperti semalam. Cuma jalan sesak ketika di Taman Melati. Aduh..ramai betul yang membeli juadah berbuka. Sampai kereta-kereta nak lalu pun kena perlahan...

Dan tadi, aku berbuka berdua bersama adik aku, Yazid. Di rumah hanya tinggal kami berdua saja. Ayah sudahpun ke tempat kerja..Adik aku, Ain, makan di luar dan mak pula sejak semalam memang tiada di rumah kerana berada di wad sekarang ini atas urusan pembedahan membuang tiroid. Aku masih belum kesempatan untuk melihat mak kerana Nabila tiada siapa yang menjaganya di rumah.

Pulang saja dari rumah mak sudah pukul 10. Kereta meluncur laju kerana jalan yang lengang di bandar Rawang, dan mahu lekas sampai ke rumah. Nabila pula sepanjang hari ini, tidurnya hanya sekali. Entah kenapa sejak demam lepas, Nabila sudah jarang-jarang sekali tidur siang. Dan kata Kak Ina, Nabila menangis semalam di Tasputra. Kerana ada yang memaksanya melakukan terapi. Aku tak kisah..kerana sedia maklum dengan sikap Nabila yang satu ini. Sukar benar mendapat kerjasama ketika terapi. Tapi dengan aku , ok pula..huhu..

Tertido keletihan. Tak faham kenapa Nabila dah sukar tidur diwaktu siang. Agaknya dah besar kot..kurang dah tido siang...asyik main jer..huhu..

Dah angkat, masuk buai..mata bukak besar pulak..aik..tak mo tido ke?

Ralat memikirkan bila aku masih belum punya masa untuk cukup untuk sesi bersama Nabila diwaktu malam. Badan sudah penat, masakan aku mahu memaksa diri. Sukar sungguh untuk mencuri masa untuk Nabila. Sangat cemburu andai ibu-ibu di luar sana yang tidak bekerja dan punya masa yang banyak bersama anak..huhu..!

p/s : masih belum merancang aktiviti untuk Nabila ketika aku bercuti nanti. Aduh..seminggu yang lepas dibuang begitu saja kerana sibuk melayan kerenah Nabila yang menangis tak sudah-sudah. Dan minggu ini, kerja yang sangat banyak..dan banyak yang perlu aku belajar sebelum staf SPS tamat kontrak hujung tahun ini.. Aduiii..

10 August 2010

Alhamdulillah..

Sejak minggu lepas, hidup kami agak serba tak kena. Kelam kabut kerna Nabila. Aku ada menceritakan keadaannya pada entry lepas.

Entah kenapa emosi si kecil ini agak terganggu. Sering menangis. Hari Jumaat lepas, seperti acara kemuncaknya. Sedari pagi, naik saja kereta, Nabila sudah mula melaungkan suara nyaringnya. Sepanjang jalan, puas aku memujuknya. Namun tidak berhasil. Dan akhirnya, sampai saja di pejabat, tak sampai sejam aku melabuhkan punggung di meja, aku mendapat panggilan telefon dari mak. Katanya, Nabila bagai sudah hilang kawalan. Ketika itu, rakan-rakan di pejabat sedang khusyuk mendengar kisah Nabila menangis, sambil memujukku supaya bersabar. Ketika itu, air mataku sudah bergenang. dan sesudah meletakkan telefon, tak tertahan hiba rasa hati. Terus menangis di hadapan rakan-rakan.

Lantas, aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Melihatkan keadaan Nabila, aku terus ke klinik dan meminta surat untuk dirujukkan ke HKL. Dan di HKL, doktor berkerumun melihatkan keadaan Nabila. Sepertinya Nabila menahan kesakitan perutnya. Dan mengambil tindakan untuk x-ray perut Nabila.
Dan kata mereka, nampak seperti ada masalah pada saluran pemakanannya . Aku sendiri tidak pasti apa puncanya dan terus mereka menahan Nabila sementara waktu untuk pemeriksaan lanjut.

Di wad, Nabila diperiksa secara terperinci, dan kata doktor saluran pemakanannya tidaklah serius seperti yang dikatakan oleh doktor di bahagian kec emasan. Dan Nabila diberi ubat dan dipantau juga sistem perkumuhan, bagi memastikan Nabila merasa selesa. Dan juga ulser di mulutnya yang menyebabkan Nabila sakit dan tidak mahu makan. Mungkin juga perut Nabila sudah dimasuki angin dan terasa seperti menyucuk-nyucuk di perutnya.

Sabtu, Nabila demam. Dan masih merengek lagi. Namun tangisannya mulai kurang berbanding Jumaat. Dan Ahad , Nabila mula mengukir senyuman di wajahnya. Alhamdulillah. Memang nampak keadaan Nabila tidak serius. Cuma aku sendiri mahu memastikan Nabila betul-betul tidak sakit. Ibu mana yang tak risau melihat anak yang ceria,tiba-tiba berubah tingkah laku. Mungkin juga Nabila sudah mula menunjukkan perubahan dari segi emosi. Ya, Nabila sudah besar... :)

Apapun, aku sangat takut dengan kejadian yang menimpa kami seminggu lepas. Sehinggakan kerja di pejabat aku abaikan dek kerna risaukan Nabila. Aku syukur Nabila dah kembali seperti sediakala. Alhamdulillah.

...........................................................................................................................

Pejam celik pejam celik, Ramadhan muncul lagi. Tak sangka begitu cepat masa berlalu. Seperti aku masih terasa kehangatan puasa dan raya pada tahun le pas. Dengan teringatkan Nabila berbaju kurung lengkap di pagi raya, dan kami telah kembali semula ke kediaman kami di Rawang, segalanya begitu pantas berlalu.

Dan kali ini, aku berdoa agar aku dapat menjalani ibadah puasa kali ini selengkapnya seperti tahun-tahun lepas. Yang pasti, aku akan berpuasa penuh lagi tahun ini, kerana 'bulan terang' pastinya tidak akan berkunjung tiba untuk tahun ini. Sebenarnya sudah hampir 2 tahun ianya tidak muncul sejak aku memasang perancang 2 tahun lepas.

Kami sekeluarga mengucapkan SELA MAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN kepada semua rakan-rakan yang mengikuti kisah Nabila. :)

Moga kita semua dapat menikmati dan menambah lagi pahala di sepanjang bulan yang mulia ini.. :)

05 August 2010

DIA beri petunjuk pada kami..

Ramai yang mencadangkan kami ke Darussyifa bagi mendapatkan rawatan untuk Nabila. Tentang hal menangis tak henti-henti itu.

Sebenarnya..sudah pelbagai cara kami lakukan termasuk memberikan air penawar kepada Nabila. Di rumah, aku ada menyimpan 3 jenis air penawar untuk Nabila. Dan hasilnya, Nabila masih lagi menagis tanpa sebab..

Dan tadi..gerak hati aku untuk berjumpa salah satu ustaz di situ. Kami ke Darussyifa Rawang selepas solat Maghrib tadi. Petang tadi, abg setkan temujanji bersama Ustaz Ismail. Pada mulanya, mahu bertemu pada waktu petang, tetapi Abg menukar waktu temujanji ke waktu malam. Dan usai solat Maghrib, kami terus ke sana.

Dan Ustaz membacakan beberapa potongan ayat untuk Nabila. Keadaan Nabila ketika itu? Menangis sekuat-kuat hatinya. Ya Allah..tak tertanggung rasa hiba di hati melihat keadaan Nabila sedemikian rupa.

Dan kemudian, ustaz mencampurkan air penawar ke dalam susu Nabila..Dan Nabila minum dengan rakus sekali. Haus barangkali..penat menangis.

Perasaan aku ketika itu..?

Berdebar-debar menantikan apa yang bakal diucapkan oleh Ustaz ismail itu.....

Sebenarnya, menurut kata Ustaz Ismail, tiada 'gangguan' yang mengganggu Nabila. Dan hati aku sebenarnya yakin yang Nabila tidak diganggu. Aku berani menyatakannya kerana mengikut naluri aku sendiri. Aku dapat rasakan saat ustaz cuba 'menarik' dan 'membuang' benda itu, aku tak rasa apa-apa. Aku terasa seperti Nabila 'kosong' . Tiada 'isi' pun. Kalau ikutkan aku pasti akan rasa meremang dan sebagainya. Ini tidak..sepertinya tiada yang 'menumpang' pada Nabila.

Bukan aku tak percaya, aku memang yakin dengan perubatan ini. Mungkin juga naluri keibuan aku kuat menyatakan Nabila sakit sebenarnya. Dan Allah telah menunjukkan sesuatu pada Abg tadi. Sewaktu ustaz sibuk membacakan ayat-ayat suci Al-Quran, Nabila pula menangis dan Abg ternampak sesuatu di dalam mulutnya. 2 bintik hitam yang ada di dinding pipinya. Dan Abg terus memberitahu aku ketika kami berangkat pulang dari Darussyifa. Itupun sesudah aku menyatakan yang Nabila tak apa-apa dan mahu Nabila dibawa ke klinik sekali lagi.

Sebenarnya sudah banyak kali aku memeriksa mulut Nabila. Memang takde apa-apa. Tetapi entah bila masanya mulut Nabila luka..aku tak pasti..

Kami ke klinik Aniza sekali. Dan Doktor Nizam yang merawat Nabila ketika itu. Kami meminta doktor memeriksa mulut Nabila. Ternyata 2 bintik hitam itu jelas kelihatan. Dan kata doktor, mungkin Nabila tergigit dinding pipi dan menyebabkan ia bengkak. Dan doktor telah memberikan ubat sapu untuk mulut Nabila dan juga ubat tahan sakit.

Apapun, Nabila masih lagi dalam pemerhatian aku. Dikhuatiri bintik itu hanya sebahagian dari punca tangisannya. Entahlah.. Aku hanya mampu berusaha dan berdoa agar segalanya pulih kembali sedia kala..Terlalu rindu pada senyuman dan gelak tawanya. Aduhai hati..tenanglah..

04 August 2010

Tiga hari yang penuh dengan dugaan...

Aku tak pasti apa yang berlaku pada Nabila sejak Ahad lepas. Sedia maklum..Nabila demam pada malam Jumaat lepas.Dan esoknya aku terpaksa mengambil cuti kecemasan menjaga Nabila. Suhu badan Nabila yang tak menentu membuatkan aku tak berani meninggalkan dia di Tasputra atau pada mak. Biarlah aku sendiri yang menjaganya.

Ubat yang kuberi mengikut jadual..namun untuk pulih jauh sekali. Entah berapa kali aku membuka bajunya dan mengelap tubuhnya yang panas. Yang pasti aku dapat rasanya bahang tubuhnya pabila aku mendakap tubuhnya. Kebetulan juga Abg ada di rumah kerana bekerja shift malam.Nasib baik Abg membantu aku menjaga Nabila.

Malamnya, badan Nabila panas kembali. Abg sudah ke tempat kerja. Nabila mula merengek kecil. Aku sendiri tak sedar bilakah Nabila terjaga dari tidurnya. Dan aku lihat jam menunjukkan 3 pagi. Nabila ketika itu tidur di buaian. Malas aku naik ke bilik tidur. Senang lagi tidur di bawah. Dan aku memeriksa suhu badannya. Ya Allah..panasnya ! Nabila merengek lagi. Lantas aku bawa dia ke bilik tidur kami..dan menukar pampers nya. Dan selesai itu, aku turun semula ke bawah dan memberikan susu padanya. Habis diminumnya. Haus barangkali. Dan kemudian, aku terus membuka bajunya dan menyapukan air asam jawa ke seluruh badannya. Menangis Nabila dibuatnya dek tak tahan dengan rasa kesejukan air. Namun, aku tak peduli. Aku perlu turunkan suhunya. Dan malam itu juga, Nabila tidur dalam keadaannya hanya memakai pampers saja. Aku hanya selimutkan paras pinggang saja. Dan setelah ubat diberi, Nabila tidur semula.

Sabtu..suhu badan masih tidak menentu. Sekejap panas dan sekejap sejuk. Mahu saja ke hospital, namun akal ini melarang. Kerana masih menunggu andai panas lagi..mungkin akan terus dibawa ke hospital. Namun menjelang malam, suhu Nabila mulai stabil. Dan ku lihat Nabila sudah mahu bermain-main dengan kami. Siap merasmikan lagi bilik barunya itu. Dan malamnya, Nabila tidur dengan lena. Agaknya tubuhnya segar bila diberi sentuhan 'istimewa'. Penat agaknya badan asyik berbaring saja...!

Ahad, Nabila mula meragam. Dari pagi hinggalah ke petang..Tangisan tak henti-henti dan diikuti dengan air mata yang berlinangan. Sakitkah Nabila? Wajahnya begitu sayu aku lihat menagih simpati pada ku. Dan malamnya, sesudah family superkids pulang, baru saja mahu melelapkan mata.. Nabila menangis tak henti-henti. Kali ini agak kuat..dan aku dapat rasakan tangisan Nabila dapat didengari sekitar jiran-jiran aku. Dan akhirnya Abg mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke HSB.

Sampai saja..seperti biasa, di bilik saringan dan juga di kaunter pendaftaran. Menunggu lama tu aku tak ambil peduli. Sememangnya aku tahu keadaan hospital bagaimana, namun bila melihatkan jam menunjukkan angka 5.30 pagi..bukanlah ramai orang di dalam wad kecemasan. Memang takde orang...! Nabila mula merengek. Tapi aku sempat mendiamkan Nabila agar tidak mengganggu suasana di dalam hospital.

Satu insiden yang terjadi pada kami semasa mendapatkan rawatan di sana. Sakit hati aku dan Abg melihatkan kedua pegawai perubatan yang seakan sombong tidak mahu melayan kami. Seolah-olah kami datang sengaja untuk menyusahkan mereka. Aku masih ingat senyuman sinis perempuan beruniform biru itu mengatakan kami seolah-olah terburu-buru menghantar Nabila ke hospital. Kalau kalian berada di tempat kami, sudah pasti melakukan perkara yang sama bukan. Hanya mahu pemeriksaan sama ada anak ini benar-benar sakit atau sebaliknya.

Aku dan abg bukanlah suka nak mengadu hal-hal hospital ni. Tapi bila mengenangkan sudah 2 kali aku terkena, siapapun akan marah. Sekurang-kurangnya , kakitangan itu menenangkan aku yang sedang risaukan Nabila. Ini tidak..menyalahkan orang kerana datang pagi-pagi subuh itu. lagipun ketika kami mendapatkan rawatan, tiada pesakit pun ketika itu.Selepas kami pun memang tiada orang yang mendapatkan rawatan. Jadi, kenapa mesti mahu MALAS?!

Kalaulah diikutkan dek akal ini..Aku sendiri pun tak ingin nak datang. Lebih baik aku ke klinik saja. Tapi faham-faham sajalah. Klinik panel Abg bukannya 24 jam. Dan kalau ada pun klinik 24 jam..aku kurang gemar ngan klinik 24 jam di Bukit Sentosa ini.

Salah aku kah? Aku tak pasti. Apa yang pasti..aku dan Abg marah benar dengan kejadian itu. Sebab Abg tahu dia tak salah. Bukan ke mencegah lebih baik dari mengubati. Sepatutnya prinsip itu dipegang. Bukan susah pun nak suruh periksa Nabila. Serius, aku kesal dengan sikap mereka.

Dan Isnin, aku ke Klinik Kita Wangsa Maju. Kerana aku ke rumah mak untuk mak melihat sendiri keadaan cucunya. Manalah tau juga Nabila merindui neneknya yang sudah 3 hari tidak bersua muka.

Mujur juga doktor memberikan ubat yang ku minta. Kerana Nabila masih lagi selsema dan batuk. Aku minta antibiotik yang berlainan dan dos yang tinggi sedikit berbanding ubat yang aku dapatkan di Klinik Aniza. Kerna aku tahu, tubuh Nabila seakan kebal dengan ubat-ubatan yang rendah dosnya.

Dan sehingga semalam ( Selasa) Nabila masih lagi menangis. Mungkin juga kami perlukan rawatan alternatif. Kata Abg esok dia akan cuba mendapatkan rawatan di Daru'syifa di Rawang. Dan Abg sudah mendapatkan nama-nama orang yang pandai mengubat cara tradisional...

Entahlah..bila difikirkan.. Mungkin juga Nabila mahu pandai sesuatu. Seperti yang aku katakan pada entry lepas.. Nabila perlu 'membayar' untuk mendapatkan kepandaiannya. Sudah masak benar dengan sifat nan satu ini. Namun aku berdoa agar tiada perkara-perkara yang pelik berlaku pada Nabila. Kami cuba mencari salah dan silap kami..sehinggakan kami terpaksa menyimpan semua mainan yang kami letakkan di biliknya. Cuma mahu menyedapkan hati dan tidak mahu berfikir bukan-bukan. Sebab sebelum ini..sememangnya mainan itu aku sentiasa letakkan di dalam bilik. Tak pernah di simpan di dalam kotak. Di letakkan sama seperti yang ada di dalam bilik Nabila. Entahlah..

Mohon pada kawan-kawan mendoakan Nabila lekas sembuh. Tak sangup rasanya melihat Nabila menangis tanpa henti. Kerana aku dengar suara Nabila juga sudah mulai serak dek tangisan yang berterusan....

03 August 2010

Buatku menangis lagi...

Salam..pagi-pagi sudah di pagut sayu. Seorang kenalan dari Indonesia, Husnul telah tag video ini melalui facebook saya.


Kesungguhan wanita ini dalam membesarkan anak Cerebral Palsy. Melihatkan tangisannya saja buat hati ini luluh. Saya membayangkan andai saya berada di tempatnya 20 tahun akan datang. Mengusung dan mendukung Nabila. Aduh...tak terbayang rasanya di ruang mata ini.

Andai ada belum melihat lagi..lihatlah. Inilah realiti kehidupan seorang anak Cerebral Palsy. Apapun yang terjadi..si ibu tidak akan meninggalkan anaknya keseorangan. Akan bersama-sama anak itu sehingga hujung nyawanya.

Dedikasi untuk semua ibu-ibu yang punya anak senasib Nabila.. Cerebral Palsy.. Moga video ini menjadi sumber inspirasi untuk semua yang melihatnya........

02 August 2010

Yeah... bilik sudah bertukar!


Akhirnya berjaya juga aku menyiapkan bilik untuk Nabila. Bukan apa..bilik ini akan menjadi tempat Nabila untuk bermain dan melakukan terapi di situ. Selama ini aku hanya melakukannya di ruang tamu. Kerap kali juga kaki ini tersepak mainan Nabila. Dan nampak ruang tamu kami agak tidak teratur dek kerna barang mainan Nabila.

Tak kisahlah andai bilik ini digunakan. Dan yang pastinya rumah aku kini tiada lagi guest room. Rumah kecil..lagipun jarang benar yang menumpang tidur. Kebanyakan yang datang semuanya mahu tidur di ruang tamu. Sejuk kerna ada air cond. Di bilik sememangnya panas...!

Apapun..aku mahu manfaatkan sepenuhnya bilik ini. Ingin memasukkan TV sekali untuk memudahkan aku menayangkan video-video education untuk Nabila. Bila difikirkan..melihatkan barang-barang banyak ini..perlbagai perkara yang boleh kulakukan dengan Nabila. Kini ku nampak apa yang boleh Nabila bermain.Selama ini..apa saja mainan di depan mata.. ku sambar. Sudahnya ada saja mainan yang tak dapat dimain oleh Nabila.

Kebanyakan mainan adalah sumbangan dari orang-orang tertentu. Dan aku sangat berterima kasih pada mereka. Semuanya jauh-jauh belaka. Dan pastinya aku amat berterima kasih pada seorang insan ini. Dia telah banyak membantu aku. Jauh beribu batu dari Malaysia. Namun hati luhurnya buat aku tersentuh. Tak terbalas jasanya kepada kami sekeluarga. Moga segala dipermudahkan untukmu wahai sahabatku.

Untuk yang lain..andai berkunjung ke rumah kami..bolehlah menggunakan bilik ini untuk anak kalian. Terutama anak yang senasib dengan Nabila. Akan dimanfaatkan untuk semua anak-anak ini. :)InsyaAllah andai di murahkan rezeki Nabila, akan bertambah lagi alat-alat terapi untuk Nabila.

Award dari Mamanurin...



Ni la tuan yang tag ibu ~ Nama dia mamanurin

Thanks Mamanurin.. :)

2. Tag 15 bloggers you've recently discovered and think fantastic
Alamak aiii..banyaknyer..klu nak tag semua boleh ke? tapi banyak sangat la plak. Sebab bagi aku..semuanya menarik..masing-masing ada cerita yang tersendiri.. :)

3. Contact that blogs and let them know they've been tagged
huhu..sapa nak amik la yek.. :)

4. State 7 things bout yourself
1. Tak suka orang kata sombong sebab tengok muka aku yang masam. Memang dah semula jadi muka aku gini..nak wat camner? huhu...
2. Tak suka orang hipokrit..banyak pura2..
3. Suka buat sesuatu yang terbaik untuk Nabila tersayang. mahu segala yang terbaik untuknya
4. Seorang yang mudah mengalirkan air mata.
5. Sensitif andai ada kawan yang suka cakap belakang...
6. Seorang yang gemar berbual andai orang itu serasi dengan aku..
7. Rasanya aku ni tak sombong pun.. semua aku layan :)

p/s : ok..dah siap..so sesiapa nak bleh la tepek kat blog memasing yek.. :) Ikhlas tau!

01 August 2010

Kerna Kasih Giveaway

 Untuk pertama kalinya nak join giveaway dari Jiey . Ini link nyer ..Kerna Kasih Kita Yeah.....

Rules and Giveaway Details:
1) Giveaway is open to all moms/dads/legal guardians having kids aged 0-3 years old.

Owh...Nabila baru saja 2 tahun 3 bulan.. :)

2) Giveaway is open to Kerna Kasih Kita blog’s followers. Be one if you want to join this GA
Sure, of course..!Dah lama dah follow blog Jiey.. :)

3) Giveaway is open to only Malaysian residents (non-Malaysian residents can join this giveaway but need to provide Malaysia address - for prize delivery).
Yes..sure warganegara Malaysia..
 
4) Entry can be written in Bahasa Malaysia or English only
Bahasa Malaysia.. :)


 Nama bayi : Yasmin Nabilah binti Zulhilmi
Nama ibu : Noina binti Ali
Tarikh Lahir : 17 April 2008

Mempunyai anak istimewa merupakan satu cabaran buat saya. Bukan mudah untuk melakukan dua kerja dalam satu masa  iaitu sebagai penjawat awam dan juga seorang surirumah yang memerlukan segala kekuatan dari segi fizikal dan mental bagi membolahkan anak ini terus mendapat apa sahaja keperluan pendidikan yang khusus buatnya.

Sedia maklum Nabila mempunyai masalah dari segi memegang mainan dan sebagainya. Apatah lagi untuk memandang mainan tersebut. Di sini saya memilih rock-a-stack sebagai mainan rutinnya. Melalui mainan ini, Nabila akan cuba belajar memegang sekaligus cuba fokus terhadap sesuatu mainan.Di awal permulaan dahulu, tangan Nabila agak keras dan kekok untuk memasukkan bentuk -bentuk donut ini di dalamnya. Namun, setelah di ajar berulangkali hampir 3 bulan, barulah tangannya lembut dan mudah untuk saya mengajarnya. Namun Nabila masih belum boleh menguasai sepenuhnya permainan ini.

Untuk memenuhi masa berkualiti bersama Nabila, kebanyakannya saya peruntukkan masa di waktu malam. Kerana di sebelah siangnya, Nabila akan ke sekolah. Setelah pulang dari tempat kerja, saya akan ke rumah mak menjemput Nabila pulang.  Dan di sini, saya meluangkan masa hampir setengah jam untuk bermain dengan Nabila sebelum pulang ke rumah kami. Di rumah mak, saya memberikan Nabila permainan yang berbentuk bunyi. Permainan ini menghasilkan bunyi-bunyi haiwan seperti kucing, anjing, ayam dan sebagainya. Permainan ini banyak merangsang deria pendengaran Nabila untuk fokus terhadap perbezaan bunyi-bunyi haiwan itu.Kadangkala mulutnya hampir meniru bunyi-bunyi yang yang terhasil dari mainan tersebut.

Di waktu malam, saya memperuntukkan masa hampir sejam untuk merangsang derianya. Bagi saya tidak cukup.  Kerana Nabila perlu lebih waktu dari yang apa yang telah saya peruntukkan. Namun, sebagai anak kecil, saya faham, Mungkin juga Nabila sudah keletihan dengan aktiviti yang dijalankan di sekolah. Saya melakukan aktiviti mengikut 'mood' Nabila. Andai meragam, saya hentikan awal. Tiada guna memaksa andai anak tidak memberikan perhatian sepenuhnya atas aktiviti yang dilakukan.

Selain dari permainan di atas, beberapa alat mainan yang lain juga saya gunakan. Seperti anak patung yang berbulu, bola berduri dan berus untuk merangsang deria rasanya. Untuk mata, saya memilih untuk memasang lampu kelip-kelip yang terpasang di bilik saya dan lampu yang menyerupai dawai-dawai halus yang mengeluarkan cahaya melaluinya.Saya juga memberikan Nabila buku sambil membacakan untuknya dan juga menonton CD Magic English bersamanya. Tak lupa juga flash card untuk dirinya mengikut kaedah Glenn Doman.

Di samping itu tidak dilupakan sesi terapi fizikal. Saya akan mengurut kaki dan tangan Nabila dengan minyak bayi sebelum memulakan aktiviti fizikal. Antara aktiviti fizikal yang dilakukan seperti menaiki bola dan juga mengunakan booster yang telah saya buat sendiri dengan  menggunakan tin susu. Disamping itu saya melatih Nabila menggunakan tangan untuk merangkak dan juga mengesot. Saya mengajar Nabila duduk dengan menggunakan tangannya untuk support badan dari jatuh. Alhamdulillah, Nabila sudah mula menguasai keadah duduk dan merangkak. Tangannya sudah kuat untuk menampung tubuhnya. Cuma memerlukan masa lebih lagi untuk terus kuat lagi.

Pada hari cuti, masa yang diperuntukkan lebih lagi dari hari-hari biasa. Di waktu pagi, saya akan menyelesaikan segala kerja-kerja rumah dan pada waktu petang sekitar jam 2, saya akan memulakan aktiviti bersama Nabila. Di sini saya tak menghadkan masa kerana saya mahu menggunakan sepenuh masa saya bersama Nabila di waktu ini. Namun seperti yang saya katakan pada awal-awal lagi, saya tidak akan menggunakan konsep paksaan kerana saya tahu , Nabila pastinya akan mengamuk andai dipaksa melakukan itu dan ini.

Berharap agar Nabila mendapat input dari apa yang telah saya ajarkan kepadanya. Segalanya memang memerlukan kesabaran yang tinggi dalam membentuk anak istimewa. Andai segala yang di ajarkan berhasil, ia akan mendatang satu kepuasan yang tak terhingga dalam diri ini.