29 September 2010

Kalaulah adik suka makan macam-macam..kan bagus....!!

Tadi aku dan Nabila ke hospital lagi. Temujanji bersama Puan Anida untuk speech therapy nya. Agak lewat kami sampai. Lewat setengah jam. Rupanya Puan Anida sudah menunggu kami di kaunter pendaftaran.Bila giliran dipanggil..terus menuju ke bilik no. 9 dan terus minta maaf atas kelewatan kami.

Dan pembelajaran hari ini, Nabila di kehendaki makan jelly di hadapan Puan Anida. Jarang benar aku memberikan makanan ini kerana setiap kali aku memberikannya, sudah pasti Nabila akan mengeluarkannya semula dari mulutnya. Agaknya licin..dan sepertinya tidak pandai mengawal jelly di dalam mulutnya. Padaku, untuk budak normal..sudah pasti sekelip mata sahaja dihabiskan semangkuk jelly. Untuk Nabila..sesuap pun susah. Hurm..entahlah..!!

Sememangnya payah benar untuk anak ini makan. Lagi-lagi makanan yang bukan menjadi kegemarannya. Yang ku tahu hanya satu..Whipped potato..dari KFC..yang tu mmg pantang..sebekas kecil tu boleh habis dia sorang.Hurm..adik..adik...

Dan tadi..aku ingatkan Puan Anida saja-saja nak ckp makan jelly..Rupanya dia bawak jelly betul-betul dan suapkan ke mulut Nabila. Dan si kecik ni pulak..pandai benar berlakon..Depan Puan Anida makan pulak..sikit pun tak terkeluar. Aku pulak terkagum seketika..hehe.. Konon-konon macam Nabila dah pandai la makan jelly..

Balik saja dari hospital,terus sahaja aku singgah ke Grand Union. Supermarket yang paling dekat dengan rumah aku. Hurm..mata ni mulalah mencari jelly dan yogurt untuk Nabila. Dan juga sempat menyambar Nestum yang sudah habis bekalannya. Agak penat juga mendukung si kecil ini yang sedang tidur kepenatan. Juruwang di situ siap tegur lagi..melihatkan Nabila yang nyenyak tidur di bahu aku tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Sampai rumah..Nabila terjaga. Tekak ni pun dah teringin nak makan yogurt jadi aku buka yogurt dulu untuk Nabila. Mula-mula makan macam elok je..dah lama-lama tu tekak naik loya..hehe..

Tadi test makan jelly pulak. Pun sama gak.Terkeluar dari mulut dan mulalah nak menangis. Sudahnya..aku jugak yang habiskan..huhu

Bercerita tentang jelly..teringat aku masa kecil-kecil dahulu. Kata mak..aku suka benar dengan jelly. Tak sampai sehari jelly di dalam peti ais aku habiskan..laju je aku bukak tutup peti ais untuk makan. Sampai mak pun naik pening melihat kerenah aku.

Sehinggalah satu hari, seperti biasa mak membelikan jelly untuk aku. Kali ini mak meletakkan jelly itu di sebelah sotong kurita( ala sotong besar tuh). Aku panggil sotong kurita..hehe..

Nak dijadikan cerita..mak pelik kenapa jelly tu tak habis-habis. Yelah..selalunya aku bukak tutup peti ais tuh..tapi kali ni macam tak jalan. Dan akhirnya mak dapat mengagak kenapa jelly tu tak habis. Rupanya aku takutkan sotong di dalam peti ais tuh..hehe..

Apapun..Hati ini teringin nak dengar Nabila kata.."Ibu..Bella nak makan ni..!". Owh kalau itulah yang keluar dari mulut anakku..Alangkah indahnya.. :) Seronok melihat ibu melayan si anak makan..Senang je anak buka mulut dan makan. Dan aku..masih belum dapat merasai nikmat melayan Nabila makan. Bilakah masa itu akan tiba agaknya?

28 September 2010

Bila memikirkan dua anggota ini..buatku semakin takut...!!!

Aktiviti sepanjang hari ini lebih banyak bertumpu pada tangan dan kaki Nabila. Sedari pagi..aku sudah bersama Nabila untuk straching dan menggerakkan segala anggota tubuh.

Namun, tadi tatkala aku melihatkan tangan Nabila yang masih belum boleh menggenggam sebarang objek membuatkan hatiku gusar. Kebolehan fine motor nya sangat lemah sekali. Mungkin juga masalah penglihatan yang membuatkan Nabila tidak dapat memegang objek.

Puas juga meletakkan mainan di telapak tangan kanannya. Sejak dulu lagi, tapak tangan Nabila sering menggenggam dan hasil usaha mengajarnya untuk membuka tapak tangannya sudah berhasil..tapi kini dia agak sukar untuk menggenggam mainan apabila diletakkan di tapak tangannya. Tapi tadi..aku sengaja meletakkan mainan itik di tapak tangannya. Melihat respon sama ada dia akan menutup tapak tangannya atau tidak. Pada awalnya, dia hanya membiarkan saja tapak tangannya terbuka. Dan setelah 2-3 kali melakukannya, Nabila sudah menggenggam barang di tangannya. Cuma masih tidak berapa mahir lagi. Lantas aku memikirkan bahawa andai di ajar setiap masa, pasti akan membuahkan hasil.. Dan tatkala aku melihat kalendar bahawa cutiku hanya tinggal 19 hari..hati ku resah kembali.

Untuk Nabila..ianya bukanlah semudah yang disangkakan untuk si kecil ini melakukannya. Namun jika diberi peluang dan ruang..pasti dia boleh lakukannya..Tanpa penglihatan, Nabila akan alami kesukaran untuk terus melakukannya..


Untuk kaki..juga anggota yang sangat aku titik beratkan sepanjang cuti ini. Kaki yang kejang tidak boleh memberikan sebarang ruang untuk Nabila terus berdiri tegak dan berjalan.

urat kaki pun boleh jadi pendek bila selalu kakinya begini..

Tiada cara lain melainkan urut, straching, gerak-gerakkan anggota dan juga yang ini..

Berus ni sakit gak..ala berus badan tuh..yang dawai tuh..klu pakai berus lembut..tak jalan..Bila kena berus tajam nih baru Nabila tegakkan tapak kaki dia. Agak kejam..tapi ni lah cara kak Esma ajarkan aku dulu..Nampak berhasil bila guna berus ini..(sila abaikan tangan ibu yang melecur itu)

Apapun yang ku lakukan, perlu ada usaha yang berterusan. Bukan mudah..!! Mungkin ada yang berpendapat, buat apa perlu bersusah payah untuk anak ini. Sudah tersurat nasibnya begitu.. Nak ajar banyak-banyak pun tak guna..huh..!!

Aku bukanlah seorang ibu yang sanggup membiarkan anakku membesar tanpa sebarang perubahan yang boleh mendatangkan kebaikan buatnya. Aku tak mahu Nabila menyalahkan aku nanti kerana aku tidak berbuat apa-apa untuknya.

Cabaran demi cabaran akan aku cuba tempuh..Biarlah bosan tahap dewa sekalipun aku mengajarnya..aku yakin aku boleh membantu Nabila untuk dia meneruskan hidup di bumi Allah ini. Meratap dan menangis bukanlah jalan penyelesaian. Yang penting usaha dengan gigih..Dan pasti hasil usaha itu akan membuahkan hasil nanti.. InsyaAllah..

Melihatkan gayanya seperti pandai melihat buku itu..Namun, hatiku pilu bila mengenangkan dirinya yang masih belum punya kebolehan untuk melihat lagi.. :(


27 September 2010

Terima kasih...Nabila & walker..Rayyan Ariff..

Salam semua...beberapa hari meninggalkan blog dan tak sempat untuk mencoret apa-apa yang berlaku pada minggu lepas.. Entry yang agak panjang..dan mahu rangkumkan semua.. Boleh kan?

Dan pertama sekali..ingin mengucapkan terima kasih pada semua yang hadir ke rumah terbuka tempohari. Cukup berpuas hati kerna akhirnya tercapai jugak hajat nak buat makan-makan di rumah ni. Alhamdulillah..memang ramai yang datang berkunjung namun mohon maaf andai ada yang tak sempat nak berborak panjang. Tak cukup tangan yang membantu. Hanya adik dan kebetulan girlfriend adik ipar pun datang.. mujur juga mereka membantu..

Menunya..Nasi ayam, bihun sup tulang, nasi impit, kuah kacang dan kuah lodeh.. Sangat-sangat menyelerakan namun sebagai tuan rumah..lebih suka melihat tetamu yang menjamu selera dari diri sendiri yang makan..Entah..Mungkin terlalu gembira melihat ramai yang datang.

Mujur juga kami memasang khemah di hadapan rumah. Kalau tidak mau sesak rumah ni..hehe..Apapun..pada yang dah datang..jgn serik ke rumah ini lagi..sampai sesat-sesat pun ada...

Dan rasanya minggu depan..banyak jemputan yang menanti.. InsyaAllah..kalau sempat nak berkunjung ke semua rumah..

................................................................................

Jumaat lepas, Nabila ada appointment dengan physio. Dan seperti biasa..akan disoal siasat dahulu oleh budak-budak praktikal..hurm.sampai bilakah perkara ini akan berterusan? Sepertinya aku sudah fed up setiap kali datang..dan setiap kali itu juga aku akan menceritakan segala permulaan kisah Nabila. Bosan tau tak... Menyampah..!

Dan kemudian, terus saja Nabila di suruh berdiri di standing frame..hurm..Nabila menangis mungkin kerana tidak selesa dengan keadaan standing frame yang alatannya kebanyakkan hilang..entah kemana perginya tali pengikat dan sebagainya. Aku seperti malas nak pergi kesana lagi..dan mahu mencari tempat private atau tempat yang boleh aku belajar tentang fisio..Bukan sebagai tempat untuk diujikaji!!!!!!

Dan therapist menyuruh aku meletakkan Nabila di dalam walker. Hurmm..dulu kata tak boleh..sekarang boleh pulak..dan reason nya supaya mengajar Nabila posisi duduk dan bangun.. Hurm..OCC pulak suruh aku lebihkan practise untuk kepala..Aku pun pening..patutnya satu-satulah..Sian Nabila..pening kepala dia nak belajar semua dalam keadaan serentak..Hurmm..klu budak normal pun pening..!!

Entahlah..sampai bila perkara ini akan berterusan ..aku pun tak tahu..Sudahnya Nabila pun semakin lambat dan jauh ketinggalan nanti..

.....................................................................

Pagi tadi membaca status Jiey..menyatakan bahawa Rayyan Arif dimasukkan ke hospital. Terkejut juga kerana Sabtu lepas, baru saja aku melihat wajah si comel itu ceria di rumah ini. Dan lantas aku YM Ayu dan bertanyakan perihal Rayyan.

Benar.. Rayyan di PMC. Sempat aku mendengar suara Rayyan di dalam telefon..ceria dan kata Jiey..Rayyan tengah sibuk menggeledah beg dompet..Aduhai anak..Aku di rumah sangat risau melihatkan keadaan Rayyan ketika ini..Mahu saja kaki ini melangkah ke sana...

Dan kata Ayu tadi, kemungkinan Rayyan akan pulang ke rumah petang ini. Mahu saja aku menelefon Jiey lagi untuk mengesahkan hal itu..tetapi akalku mengahalang. Mungkin juga Jiey tengah sibuk sekarang ini. Dan pastinya dia tak mahu diganggu.

Kawan-kawan..doakan Rayyan Ariff kembali pulih..Sungguh aku tak mampu untuk melihat wajah anak kecil ini kesakitan lagi.. Cukuplah sekali aku melihatnya menahan kesakitan
sewaktu Rayyan dibedah dulu..

22 September 2010

Marilah beraya di Teratak Nabila..



Salam semua.. Kami sekeluarga ingin menjemput rakan-rakan bloggers beraya di rumah kami. Saja buat makan-makan ni untuk mengeratkan silaturrahim sesama kita. Lagipun majlis hari lahir Nabila tak dapat dilakukan pada bulan April yang lepas. So, kira sekali lah ni. Tapi takde kek pun untuk Nabila..saja ajak kawan-kawan datang beraya ke rumah kami. :)

Pada: 25hb September 2010 (Sabtu)
Jam : 3.00 petang hingga malam..
Alamat : No. 30 Jalan Seroja 3A/3

Seksyen BS6, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor

No. Phone : 012-6347956 (ina)

Pada yang nak datang dan mahukan map..sila beri email yek..nanti ina emailkan peta ke rumah..Jemput datang yek kawan-kawan.. :)

20 September 2010

Analisis yang kurasakan tepat..

Petang tadi Nabila ada temujanji bersama OCCT. Dan hari ini aku ditemani oleh Abg.. :)

Masuk-masuk saja..aku lihat ada seorang pelajar praktikal yang akan dinilai. Pengajarnya sudah berada di hadapan. Agak lemah sebenarnya aku..sebab aku ingatkan di unit fisio saja yang lakukan perkara ini. Rupanya di OCC pun sama gak. Hurm..layankan sajalah..

Pelbagai soalan diajukan.Dan mereka menilai tahap pencapaian Nabila sebenarnya. Dengan usia 2 tahun 5 bulan, dan membandingkan apa yang telah mereka lihat pada Nabila..memang menampakkan Nabila sudah ketinggalan jauh. Kata mereka, gross motor Nabila sepertinya berusia 6 bulan. Fine motor kurang dari 3 bulan. Communication pun sama. Lebih kurang 2 bulan.

Sememangnya hatiku sayu bila mendengar kata pelatih dan pengajar tersebut. Namun, aku akui Nabila memang banyak ketinggalan. Beberapa siri sawan yang berlaku padanya menambahkan lagi masalah 'lambat'nya. Serius, aku tak dapat mengesan saat dan tika Nabila diserang. Kerna ia berlaku dengan pantas.

Tak mengapa. Aku sudah tahu dan sudah boleh menerima semua ini. Sudah pastinya anak ini akan 'delay' . Nasihat pengajar itu..mahukan aku bekerja lebih keras lagi. Menampakkan Nabila boleh berpusing, maka dia mahukan aku mempergiatkan usaha untuk menggalakan Nabila meniarap lebih kerap lagi. Dan juga merangsang bahagian head control.

Dan pabila dia meletakkan Nabila dalam posisi meniarap , Nabila dengan mudah mengangkat kepalanya. Dan katanya, Nabila tampak bagus, namun perlu usaha lagi. Aku tahu kerana sejak 2-3 minggu lepas, Nabila mula mengangkat kepala tatkala berada di posisi meniarap. Kurang menggeselkan hidungnya di tilam saja. Mungkin sudah tahu fungsi-fungsi sebahagian anggota tubuhnya.

Meraka mahu aku lakukan Home Based Programs. Aku tak pasti apa yang aku lakukan selama 4 hari ini adalah perkara yang mereka maksudkan. Dan mereka mahu aku mencatat kiraan saat Nabila menegakkan kepalanya dalam posisi meniarap.

Aku akan cuba mencari maklumat tentang perkara ini.

19 September 2010

Ianya tidak semudah yang disangkakan..

Bercuti untuk Nabila sememangnya perkara yang menyeronokkan. Aku dapat meluangkan masa bersama Nabila.

Namun, ianya tidaklah semudah yang kalian fikirkan. Bukanlah untuk bersenang lenang, malah tenaga yang digunakan juga banyak berbanding ketika di pejabat. Otak ini sentiasa berfikir untuk memberikan rangsangan yang diperlukan oleh Nabila.

Selesai berterapi. Membiarkan Nabila sebentar untuk berehat. Ruang tamu dipenuhi dengan barang-barang Nabila. Dalam kotak juga penuh dengan flash card,berus,buku cerita,torch light dan macam-macam lagi.

Penat. Memang penat. Namun ada beberapa aktiviti yang aku tak dapat lakukan kerna terdapat beberapa aktiviti yang aku mahu tekankan untuk Nabila. Aku telah menyediakan jadual aktiviti untuknya sebelum aku bercuti tempohari. Sebelum ini aku pernah menceritakan tentang jadual ini pada entry lepas-lepas. Namun, aku mengubahsuai sedikit untuk cuti sepanjang sebulan ini.

Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk merangsang anak mereka. Dan ini cara aku..kerna aku kadangkala seorang yang pelupa.

Aku juga tidak pasti adakah cara yang aku lakukan ini akan membawa kesan yang baik untuk Nabila atau tidak. Namun sekurang-kurang aktiviti rutin di sekolah aku laksanakan dan mungkin lebih dari aktiviti di sekolah.

Cumanya waktu renang Nabila masih belum dapat dilaksanakan kerana ayahnya masih belum lagi memasang kolam. Hurm..tak mengapalah, mungkin minggu depan boleh. :)

Sepertinya mempunyai anak istimewa bakal mengajar si ibu untuk lebih berfikiran kreatif. Setiap hari ada saja yang perlu difikir untuk merangsang otak si anak. Untuk anak seperti Nabila, kerosakan otak bukanlah menjadi penghalang untuknya dari terus pulih. Fungsi bahagian yang baik mungkin boleh menggantikan fungsi bahagian yang rosak. Cuma caranya perlu banyak bersabar dan diajar berulang kali sehingga pandai. Tanya sajalah pada mereka yang punya anak istimewa. Pastinya mereka akan menjawab perkara yang sama juga.

Namun apa yang kukatakan tadi bukanlah untuk menunjuk pandai atau sebagainya. Aku juga seperti kalian, yang sedang belajar memahami anak cerebral palsy. Belajar tanpa henti demi anak ini. Agar apa yang diajari bakal membantunya untuk hidup yang lebih baik. InsyaAllah...


17 September 2010

Rupanya mahu menunjukkan lagi skill baru..!!! Alhamdulillah..

Cuti sudah 2 hari berlalu. Aktiviti tetap diteruskan seperti biasa. Adakalanya sempat melakukan 2-3 aktiviti dan kemudiannya, mulalah tak tentu arah. Hurm..sabar!! Mungkin Nabila penat asyik di'uli' oleh ibunya.

Dan hari ini, Nabila tampak keresahan. Dari pagi tangisan bergema diseluruh rumah. Pening juga..dan sudahnya aku letakkan di dalam buai. Tapi bila di dalam buai..dia main pula. Bila aku letakkan di bawah, Nabila menangis. Mak oiii anakku..kenapa nih?

Mujur juga kerja rumah tak banyak macam semalam. Namun ruang tamu ini agak bersepah dengan flash-flash card Nabila. Saja aku biarkan kerana mudah untuk aku mencapainya. Hurm..kalau ada yang datang bertandang..sudah pasti kelam kabut aku dibuatnya.hehe..

Dan petang tadi, Nabila merengek-rengek di dalam buaian. Entah berapa kali aku bawa turun naik dari buaiannya. Dan sudahnya lihatlah..

Tersangat la nakalnya..sengaja dijuntaikan kaki di buaiannya semata-mata nak panggil ibu..aduhai anakku..

Dan geram melihatkan Nabila..aku terus membawanya keluar. Kebetulan pula, angin sedang bertiup di luar. Nyaman sekali. Seronok pula berada diluar. Kalau Ayah Nabila dah pasang balik kolam, sure Nabila boleh berendam sekarang ni. AYAH..Bila nak pasang kolam????!!!!

Bila disuruh senyum..Nabila senyum..hehe..Pandai..!! Dia dah faham apa yang orang katakan padanya. (air liur still jugak meleleh-leleh..huhu..)

Sedang leka berborak dengan jiran depan rumah yang sedang asyik melihat Nabila,tiba-tiba...

"Eh..dia kedepankan badan dia la.." jerit akak tuh..

"heehhhhhh..adikk!!!" aku pulak yang menjerit. Muka aku sama seperti masa mula-mula aku nampak Nabila meniarap sendiri..hehe..

Terkejut sebenarnya. Nabila tak pernah menolak badannya sendiri ke hadapan. Sepertinya mahu duduk tegak dan tidak bersandar. Hish..biar betul mataku ini. Alhamdulillah.. Mungkin juga pinggangnya dah mula menunjukkan perubahan. Serius aku terkejut!!

Dan akan aku usahakan lagi untuk menguatkan pinggangnya. Tanpa pinggang yang kuat, Nabila pasti tidak boleh melakukan apa jua aktiviti.

Syukur... :) Tak sabar nak beritahu Ayah Nabila tentang perkara ni..!!!

Nabila dan anak jiran..

15 September 2010

30 hari mencari kekuatan..

Esok akan bermulalah episod aku berada di rumah bersama Nabila. Ini tidak bermakna kami akan bersenang-lenang. Pelbagai perkara di rancang, semuanya untuk Nabila. Dan harapnya masa tidak terbuang begitu saja..!
30 hari..sepertinya tidak cukup untukku memberikan segala input pada Nabila. Tetapi aku tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya aku masih boleh meluangkan masa dengannya walaupun sekejap. Biarpun aku bakal kehilangan kekananan, namun aku tahu..rezeki ada di mana-mana. Malah aku yakin dengan berbaktinya pada anak ini mungkin pahalanya lebih besar dari ganjaran di dunia ini.
Sepertinya hatiku berdebar. Seakan tidak sabar menantikan esok. Mahu mengulit bersama Nabila. Dan serius aku katakan, aku sangat teruja. Kerana Nabila sudah mula menunjukkan perkara positif. Mulutnya yang semakin banyak bersuara dan sudah mahu berpusing sendiri. Dan kini aku sudah tidak meletakkan Nabila di dalam rockernya. Seeloknya di letakkan di bawah saja. Biar dia meneroka keadaan disekelilingnya.
Makan juga sudah banyak. Rupanya Nabila suka makan dalam posisi di pangku. Dahulunya aku hanya meletakkannya di dalam rocker. Susah benar untuk memberikannya makan ketika itu. Kini tidak lagi. Mudah saja Nabila membuka mulut. Nabila takut barangkali. Mungkin bila aku memeluknya ketika makan, dia berasa selamat.
Dan 30 hari ini juga temujanji bersama hospital tetap diteruskan. Nabila akan ada temujanji lagi bersama physiotherapy, OCC Therapy dan juga Speech therapy. Dan juga temujanji bersama doktor dari HKL. PDK? Masih lagi berjalan seperti biasa. Dan yang pastinya aku takkan meninggalkan terapi mandi jakuzzi nya yang satu ini. Sememangnya ia sangat membantu Nabila. Nabila tampak lebih kuat dan bertambah ceria.
Tasputra? Aku akan menghentikannya buat sementara waktu. Kerana dengan hanya separuh gaji saja yang aku terima, sukar untuk aku berulang dari Rawang ke Ampang setiap hari. Dan rasanya aku akan cuba meminta bantuan kepada seorang rakan untuk membawa Nabila berurut. Masih lagi dalam perancangan. InsyaAllah.
Apapun kadangkala apa yang dirancang mungkin juga ada halangannya. Dan kalau boleh berharap benar agar tiada yang mengganggu kami sepanjang tempoh ini. Aku bermohon agar sentiasa diberikan kekuatan dan semangat untuk Nabila. Dan mudah-mudahan dengan percutian ini, sedikit sebanyak memberikan perubahan yang lebih baik untuk Nabila. InsyaAllah..Amin.. :)

14 September 2010

Andai jiwa ini kuat..

Salam Aidilfitri buat semua. Alhamdulillah..kami selamat tiba di Kuala Lumpur pada Ahad lepas. Kemanakah kami?
Tahun ini giliran aku beraya bersama keluarga di hari raya pertama. Namun, kami masih juga pulang ke Ipoh kerna mak aku hanya beraya di Rembau sehingga raya kedua. Untuk menghabiskan cuti, kami berjalan pula ke rumah sebelah Abg.
Ceria disamping keluarga, namun ada beberapa perkara yang membuatkanku tersentap dan hiba. Seperti biasa, kemana saja ku bawa Nabila, akan ada yang menyapa. Dan kali ini Nabila masih lagi menjadi tumpuan sanak saudara.
Nabila punya seorang makcik yang sebaya dengannya. Alisa..kini sudah petah berkata-kata dan ligat. Namun pabila ku lihat Nabila yang hanya terbaring dan kadangkala cuba memusingkan dirinya, hatiku sayu. Dan kataku..andai anak ini sihat sudah pasti rumah Wan ku riuh dengan suara kedua anak ini. Alisa tak henti-henti mengusik Nabila. Tujuannya untuk bermain bersama. Dipeluk, dicium, diusap pipi Nabila. Dan juga sibuk membantu aku memberi Nabila makan dan minum susu. Aduhai..sememangnya sayu.
Dan saudara-mara masih lagi tidak putus-putus memberi kata semangatku. Aku terharu kerna mereka sedikit pun tidak membezakan Nabila dengan yang lain. Cicit sulung katakan. Namun Wan ku masih lagi tidak mengetahui Nabila tidak punya keupayaan seperti Alisa. Aku sedikit pun tidak berkecil hati. Dan tahu Wan memang tak faham dengan situasi Nabila.
Ada juga saudara mara yang tidak ku kenali cuba memberi kata semangat dan bertanyakan perihal Nabila. Mungkin juga segi fizikal sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa Nabila bukan seperti anak normal yang lain. Aku tak kisah. Janji kami gembira di hari mulia ini.
Di rumah sebelah Abg juga, Nabila punya dua pupu yang sebaya dengannya. Melihatkan Aqila buat aku sayu. Cantik sungguh Aqila. Dengan rambut yang lebat, bijak, cantik..bertambah-tambah hatiku sayu bila mengenangkan nasib Nabila. Memang tak patut aku samakan Nabila dengan Aqila, namun sedikit rasa kesal timbul dalam hati ini.Entahlah..Bukan tidak bersyukur tapi aku kesal kerna tidak dapat menyelamatkan Nabila dulu.
Dan kebetulan kami ke rumah pengasuh yang pernah menjaga Abg dulu. Sememangnya setiap tahun kami akan ke rumah Mak Ami. Dan juga melawat Abg Am. Abg Am merupakan anak istimewa yang kini sudah berusia 37 tahun. Sesungguhnya aku kagum dengan semangat Mak Ami. Dan ketika sampai, terus-terus saja Mak Ami bertanyakan keadaan Nabila . Bertanyakan Nabila boleh duduk atau tidak. Aku hanya menggelengkan kepala. Dan kata Mak Ami, dudukkan Nabila di kerusi dan berikan Nabila adik. ADIK? Aku dan Abg berpandangan. Sungguh..! Memang itu yang kami mahukan namun bukan pada masa terdekat ini.
Dan kata Mak Ami lagi, Nabila perlu ada adik beradik. Selain pemberi semangat, Nabila juga perlu dijaga sehingga ke akhir hayatnya. Kata Mak Ami lagi, sampai bila kita sebagai orang tua mahu menjaganya? Andai nyawa ini panjang, tak mengapa. Andai nyawa ini pendek..bagaimana dengan Nabila?
Entahlah..Aidilfitri kali ini memberi seribu pengertian padaku. Dengan melihat wajah mak ayah dan mertuaku, sudah pastinya mereka sayu melihatkan nasib Nabila. Dan aku tahu gelodak di hati mereka. Mahukan cucu yang sihat. Pilu..sayu, namun hati ini perlu kuat. Menangis keluar darah sekalipun bukannya boleh kembali ke masa ketika aku melahirkan Nabila dulu. Hanya usaha dan tawakal yang perlu untuk aku terus berjuang untuk Nabila.
Jiwa ini kadangkala tampak seperti kuat..namun kadangkala rapuh bila mengenangkan nasib si anak. Dan diri ini sudah berazam untuk terus berusaha untuk Nabila. Ramai juga yang menegur Nabila nampak beberapa perubahan dalam dirinya. Tidak seperti tahun lepas. Alhamdulillah. Dan doakan aku agar terus kuat semangat untuk Nabila. InsyaAllah..Amin..

08 September 2010

Salam Lebaran buat semua

Kepada semua sahabat-sahabat yang mengikuti blog Nabila, kami sekeluarga ingin memohon ampun dan maaf andai sepanjang menulis di dalam Buat Anakku Yasmin Nabilah ada entry-entry yang buat kalian tersinggung atau terasa hati. Sesungguhnya kami semua sangat gembira dapat berkenalan dengan kalian dan tak putus-putus memberi doa dan kata semangat buat Nabila untuk terus berjuang. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin buat semua....

05 September 2010

Rimas!!!!!!!

Rimas dengan mata yang memandang!!!!

Rimas dengan mulut yang berkata-kata..!!!!!!!!!!!!!

Lagi rimas pada mereka yang hanya pandai cakap tapi tak tau hati dan perasaan orang lain!!!!!

Entahlah..bukan malu tapi kadang-kadang cara pandangan mereka buat aku sakit hati. Memandang Nabila seolah-olah Nabila seperti 'alien' baru turun bumi.. Aku tak pasti yang terdetik di hati mereka..namun berpada-padalah. Nak tengok, nak sapa boleh..tapi jangan sampai boleh menyinggung hati dan perasaan kami di sini. Kami juga manusia. Nabila juga manusia. Apa katanya bila dia tidak berasa selesa dengan pandangan itu? Semestinya dia rimas bukan?

Maaf..kami juga mahu jalani hidup seperti insan lain. Yang mahu membawa anak kami berjalan-jalan di shopping complex seperti orang lain. Mahu memberikan ruang pada anak istimewa ini menikmati hidup seperti insan normal yang lain. Tapi jika sering disekat atau terhalang, masakan boleh untuk dia menikmati hidup seperti orang lain.

Sememangnya aku tak peduli apa yang orang lain kata padaku. Apa yang aku lakukan pada anakku. Sesungguhnya..mereka di luar sana yang tidak punya anak seperti aku tidak akan tahu pahit getir, suka dan duka menjaga anak ini. Anugerah yang paling terindah dalam hidup kami dan niat dihati ini tidak mahu mensia-siakan hidupnya di dunia ini.

Maaf sekali lagi andai ada yang tersinggung rasa dengan kata-kata ini..Ini adalah luahan hati seorang ibu yang mahukan hak anaknya sama seperti anak normal yang lain. WALAUPUN DIA TIDAK BOLEH BERKELAKUAN SEPERTI ANAK NORMAL LAIN.

Auntie, salah sayakah dilahirkan begini?

03 September 2010

Alahai Nabila....

Aku membelek-belek gambar-gambar Nabila sewaktu aku dalam pantang..Aduh..terkenang saat-saat itu.. Dan bau badan Nabila ketika itu. :) Damainya hati ketika itu..
Aduh..rindukan Nabila masa baby dulu. Masih ingat lagi, aku berpantang di rumah mak di Gombak. Abg pula berulang dari Gombak ke tempat kerja. Dan malas betul nak masuk kerja semula. Sebab aku tahu..aku akan kurang dapat luangkan masa bersama Nabila...



Masa dalam NICU..Nabila nampak putih..ke pucat sebab tak cukup oksigen..? Hurm..tak nak ingatlah..Sedih tau..Anak orang lain sedap je dalam pelukan ibu.. Nabila pula terpaksa menahan kesejukan tanpa baju, seluar, barut, tuam dan segalanya yang patut dia dapat sebagai seorang bayi. Masih teringat lagi tangisannya bergema di segenap sudut NICU Sg. Buloh bila kami meninggalkannya. Seakan tahu ibunya pergi meninggalkannya.. :(


Tapi serius nih..masa kat umah mak Nabila gelap la..Hitam tau Nabila nih..Muka pun ikut sapa tah..Macam tengah mencari identiti.. lastnya ikut pakcik dia..si pudin gemok tuh..hehe..! Nasib baik putih..tak sia-sia minum soya bergelen-gelen..hehe..

Apapun..Nabila punya cerita tersendiri. Dengan dia juga kami sekeluarga menumpang rezekinya. Dapat rumah baru, kerja baru, kawan-kawan baru dan juga semangat baru. Sebab Nabila juga aku bukan Noina yang dulu..!

Arghhh...rindunya kat Nabila masa baby..rasa nak geget2..jerk budak cantik nih..hehe..! (ibu dah buang tebiat dah....!)

Kakak Karina...

Semalam, selepas selesai urusan di PDK, aku terus menghantar Nabila pulang ke rumah mak. Dan kemudiannya terus bersiap dan menuju ke Hospital Selayang.

Aku diamanahkan oleh Kak Fadilah , penyelia PDK untuk memberikan wang sumbangan kepada Kak Ina, Mama Karina.

Siapa Karina ni?

Karina merupakan jiran rumah mak aku. Berusia 8 tahun dan merupakan anak istimewa. Sama seperti Nabila..Cerebral Palsy. Juga kawan sekolah Nabila di PDK dan Tasputra..

Kini Karina di hospital. Di tahan kerana sawan yang menyerangnya. Pilu aku melihat wajahnya semalam. Betapa kuatnya semangat si ibu menjaga si anak yang kini kesakitan. Dan bukan itu saja. Karina disahkan mengalami masalah enzim di dalam hati. Dan aku bertanya bilakah agaknya Karina akan keluar hospital? Jawab kak Ina, dia sendiri tidak pasti kerana enzim itu masih tidak stabil lagi.

Dan kasihan juga pada Kamelia, kakak Karina. pastinya Kamelia merindui adiknya.

Kawan-kawan..doakan Karina lekas sembuh. Yang pasti aku tak mahu Kak Ina dan Karina beraya di hospital nanti. :(

02 September 2010

Muka Nabila Senget?

Tadi aku ke PDK lagi. Sudah menjadi rutin mingguan, setiap hari Khamis akan ke sana. Dan seperti biasa juga, Nabila akan merasa air tangan Cik Yah. Urutan demi urutan di beri. Dan Alhamdulillah..syukur berjumpa dengan Cik Yah. Banyak yang telah dia lakukan pada Nabila. Urut perut, muka, badan dan segalanya. Dan Cik Yah memang mahir dalam urut untuk mengeluarkan najis Nabila. Pabila Nabila berak keras saja, Cik Yah la yang akan mengurut perut..dan balik saja rumah, 'hasil' nya memang keluar..!
Namun tadi, Cik Yah mengesan sesuatu pada Nabila. Sambil mengurut muka, dia terlihat mulut dan dagu Nabila senget. Aku cuba perhatikan. Namun tidak berjaya. Katanya nampak mulutnya senget bila Nabila membuka mulut seluas-luasnya.
Katanya dulu, dia pun berkeadaan begitu. Dan Cik Yah pergi berurut dan hasilnya, mulutnya tak senget lagi. Hurm..mata orang perurut..Sememangnya nampak saja apa yang tak kena. Aku yang buta bab urut ni..memang tak pandai..! Mujur saja ada Cik Yah. :)
Pernah juga dulu aku tak mahu membawa Nabila berurut. Aku takut orang itu tersalah urut Nabila. Bahaya! Macam-macam lagi tanggapan aku dulu..huhu
Tapi, aku perlu buang tanggapan itu. Cuba dulu, baru tahu kesannya. Dan hatiku terbuka lagi bila melihat bibik Kak Gee..kawan sepejabat Ita, cuba melihat-lihatkan Alisya. Katanya urat Alisya bersimpul. Sangat kagum melihatkan mata-mata perurut2 ini.. :)
Dan rasanya mungkin ada di luar sana yang membawa anak berurut. Mungkin boleh kongsi bersama denganku. Dan mungkin juga boleh menguatkan semangat aku. Atau pandangan tentang urut anak-anak Cerebral Palsy? Boleh tak kita share pengalaman?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...