30 November 2010

Tiada di Rawang..

Bersiaran dari pejabat..masih belum pulang walaupun jam dah menunjukkan pukul 8.00 malam. Sepanjang minggu ini penuh dengan kerja-kerja yang perlu disiapkan sebelum Jumaat ini. Ada majlis dari kementerian yang perlu kami sertai.
Dan sepanjang minggu..berada di rumah mak. Tak lalu pula rasanya meredah jalan yang gelap pekat ke Rawang. Dan badan ini terasa begitu penat melayan kerenah kereta yang dah semakin semput. Kebetulan pula, Abg bekerja malam sepanjang minggu ini. Sudahpun meminta keizinan untuk bermalam di rumah mak. Mujur Abg faham. Dia juga risau melihat aku berulang alik dan duduk berdua di rumah bersama Nabila pada waktu malam.
Dan 2 minggu ni..2 majlis perkahwinan bakal berlangsung dalam keluarga kami. Satu sebelah aku dan satu lagi sebelah Abg. Kedua-duanya sepupu kami. Dan keadaan agak sibuk. Sepupuku, Mimi sibuk melakukan persiapan akhir sebelum majlisnya. Sempat aku berjumpa dengannya semalam untuk menghantarkan tudung dan selendang yang pernah ku gunakan dulu sewaktu akad nikahku berlangsung. Rupanya sudah 2 pengantin termasuk sepupuku menggunakan tudung dan selendang tersebut. Dahulu sebelum Mimi, pengapitku juga pernah menggunakannya. Dan sayangnya, pengapitku, Ija telah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya setelah berkahwin dengan suaminya genap 2 bulan. Sedih bila mengenangkan saat-saat bersama dengan Ija yang juga kawan baikku sewaktu kecil. :(
Dan minggu ini, aku tak pasti sama ada aku dapat membawa Nabila ke hospital atau tidak. Nabila ada appointment dengan Fisio dan OCC Jumaat ini. Semua ini disebabkan majlis yang bakal berlangsung pada Jumaat ini . Aduhai..Kalau kancil ok, sudah tentu ayah Nabila boleh membawanya ke hospital. Masih terfikir-fikir sama ada mahu menukar appointment atau tidak.
Dan rasanya pasti sekarang ini Nabila sedang mencari aku. Semalam pulang lewat juga, Nabila sudah memanggil-manggil namaku.. "bu..bu..." Dan neneknya pula menjawab.. "Bu tak balik lagi.." Aduhai..kesiannya Nabila.. harap sangat kerja-kerja ini diselesaikan dengan cepat.. :(

28 November 2010

Montessori...

Sabtu dan Ahad lepas, saya berpeluang untuk pergi menuntut ilmu di Park Royal Hotel. Mungkin ada yang pernah dengar tentang Montessori Technology..

Alhamdulillah..segalanya dipermudahkan. Sehinggalah akhir bengkel, terasa seperti sayu untuk berpisah dengan peserta kursus yang lain. Rata-rata mereka bukanlah orang tempatan. Datang dari jauh seperti dari China, Filipina, Thailand, Nepal, India dan Afghanistan. Wakil dari Malaysia adalah dari Tasputra dan juga dari negeri Sarawak.

Saya cuba untuk merangka apa yang perlu dikatakan di dalam blog..namun setelah diteliti halus..sepertinya tidak sesuai untuk menerangkan segala apa yang telah saya pelajari di sini. Takut di saman pula oleh pihak IMS. Hehe..

Namun, pengalaman bersama Mr. Lee Havis, CEO Institute Montessori Society, banyak mengajar saya pelbagai perkara. Sepertinya, tidak boleh mengatakan "TIDAK" kepada anak. Dan beliau telah mengajar pelbagai teknik untuk 'tackle' anak-anak ini.

Namun, ilmu ini lebih kepada anak yang normal. Pada pendapat saya, ianya boleh diaplikasikan kepada anak istimewa, namun perlu juga melihatkan kemampuannya di dalam teknologi ini. Semuanya perlulah sesuai mengikut kebolehannya.

Dan apa yang saya boleh katakan untuk anak istimewa, perlu lebih kepada sentuhan tatkala memberi arahan pada anak-anak ini . Dan 'eye contact' sangat-sangat penting. Berkata pada anak sambil merenung tepat ke matanya. Dan pastinya anak-anak akan rasa lebih dihargai dengan cara ini.

Namun, untuk anak normal, sebolehnya diberikan ruang untuk anak itu bermain. "Minimun Supervision" adalah ayat paling tepat untuk menggambarkan keadaan kita ketika melihat anak bermain. Biarkan anak meneroka dunianya tanpa gangguan dewasa.

Apapun , saya sangat berpuas hati dengan kursus ini. Banyak pengalaman dan ilmu yang saya kutip sepanjang kursus ini. Terima kasih pada Mamanurin yang telah memberikan peluang ini kepada saya untuk menimba ilmu ini.

27 November 2010

Kaki kecil ini melangkah..

Tadi..aku dan Nabila melakukan satu aktiviti yang dahulunya kerap aku lakukan selepas Nabila mandi. Berdiri..!!

Agak lama Nabila tidak berdiri di sisi katil. Kerana tiada peralatan yang sesuai untuk Nabila berdiri, aku sandarkan Nabila di sisi katil. Agar dia boleh mengawal pinggangnya dan mengawal head controlnya.

Dulu, Nabila langsung tak boleh berdiri. Dilepaskan hanya 2-3 saat, Nabila sudah jatuh kebelakang.

Kini, jika aku lepaskan dalam 1-2 minit, Nabila sudah boleh menahan diri. Namun, ianya masih tidak cukup. Namun aku syukur. Sekurang-kurangnya Nabila ada peningkatan berbanding dulu.

Tak cukup dengan itu, selesai saja 20 minit aku berdirikan Nabila, aku cuba mengajarnya melangkah. Part yang aku rasa agak sukar untuk Nabila. Biarpun dia boleh berdiri, tetapi bila melangkah, Nabila gagal untuk melakukankannya. Sehinggalah aku terpaksa menolak kakinya untuk bergerak.

Aku cuba mambawa Nabila menuruni tangga. Ku pegang erat Nabila, kerna aku risau Nabila terlepas dari pegangan tanganku. Mulutnya bising. Seolah-olah mengomel dan membebel kepadaku. Aku hanya ketawa dan terus lakukan dari satu langkah ke satu langkah.Ku pujuk Nabila untuk cuba melangkah lagi. Namun..kakinya masih belum mahu berganjak. Dan sudahnya, tangan ini membantunya untuk turun.

Sedikit keras. Bila kaki satu di anak tangga atas, dan kaki lagi satu di anak tangga bawah. Aku tahu betapa sukarnya kaki kecil ini melangkah. Ya Allah, kuatkan semangat ini. Pedih bila Nabila masih jauh ketinggalan. Aku tahu, Nabila juga mencuba. Ya, otaknya semahunya cuba menerima input ini.

Saat ini aku terbayang. Andai Nabila masih jua belum boleh menguasai untuk menaiki tangga, akan harus ku ubahsuai rumah ini. Dan rancangannya, satu bilik tidur berada di tingkat bawah untuk Nabila. Aku cuba membayangkan bilik yang penuh dengan kesesuaian kebolehannya. Namun, harapan ini masih mahu Nabila lebih baik dari apa yang kubayangkan tadi.

Maafkan ibu sayang, Betapa ruginya ibu, kerana lambat melakukan terapi untukmu. Andai ibu tahu, sudah awal-awal lagi ibu cuba daftarkan kamu ke sekolah. Terapi di hospital sahaja tidak mencukupi. Andai ibu tidak bekerja, sudah pastinya ibu akan lakukannya semuanya sendiri. :(

26 November 2010

Alah bisa tegal biasa...

Sepanjang minggu ini, Nabila berada di sekolah. Tidak ke PDK dan tiada appointment di hospital. Dan pastinya minggu yang sangat memenatkan buat aku.

Cuti sekolah, memang tiada makna untuk jalan lengang. Ya! Pagi memang lengang. Namun petang, agak meletihkan. Sudah 2 hari aku pulang lewat. Semalam saja, aku pulang dari rumah mak jam 10. Dan sampai di Rawang hampir jam 12 malam. Itupun mak yang kejutkan aku kerana tertidurdi bilik adik dek keletihan. Letih sepanjang hari dengan bebanan tugas dipejabat yang banyak. Faham-faham sajalah hujung tahun. Banyak yang perlu disiapkan.

Dan hari ini, aku pulang dari pejabat jam 6.30 petang. Ada beberapa perkara yang masih belum siap dan semahunya hari Isnin nanti, ianya mudah untuk aku menyelesaikannya. Namun, dek kerna takut tinggal keseorangan di pejabat, terus sahaja mengemas beg dan pulang. Nampak di luar pun gelap. Kaki pun cepat saja menuju ke pintu keluar.

Sepanjang minggu ini kereta Abg pula sudah menunjukkan tanda-tanda 'jahanam'. Cluth plate dah haus. Hurm..faham sajalah kereta nasional. Cukup saja 5 tahun..serba-serbi mahu bertukar. Aku hanya tawakal saja membawa kereta itu ke pejabat dan berulang alik menghantar Nabila ke Ampang.

Tak silap, hari Isnin malam, jalan sesak ya amat. Dan pagi selasa, sewaktu ke tempat kerja, gear kereta buat hal. Tak boleh nak masuk gear 1. Aku dah menggelabah, namun masih berhati-hati. Mahu menelefon Abg untuk membawa kereta pulang, namun mengenangkan tidak berbaloi untuk aku pulang, aku gagahkan juga untuk membawa kereta itu. Jika dibawa pulang pun, pastinya kereta tidak boleh dibaiki. Sesak dek kerna gaji Abg yang belum masuk lagi dan aku pula, gaji lambat lagi...semuanya faktor kewangan yang agak menghimpit, lalu aku tak mahu berpatah balik. Namun nasib baik menyebelahi aku. Kereta kembali ok, walaupun nampak gear dah rasa lain macam. Aku hanya berdoa sepanjang jalan tiada perkara tak baik berlaku. Alhamdulillah, Allah permudahkan jalan ini.

Dan hari-hari seterusnya aku sengaja pulang lewat. Namun, jalan Templer Park - Rawang, tetap juga sesak walaupun jam menujukkan angka 11 malam. Huhu..Tak boleh nak buat apa. Agaknya cuti sekolah, ramai yang bercuti dan keluar berjalan-jalan atau orang yang bekerja pulang lewat. Saban hari, hampir setiap malam, aku menyuruh Abg mengurut pinggang dan kaki dek lenguh asyik menekan cluth. Maklum saja manual. Mau saja hati bertukar ke auto, namun akal ni menghalang. Belum masanya untuk membeli kereta baru. Baru nak merasa tiada bebanan hutang kereta :)

Bila melihatkan Nabila, kesian juga padanya. Yelah..setiap hari pulang lewat. Pagi-pagi pula sudah bangun untuk mandi dan bersiap-siap. Inilah pengorbanan yang terpaksa aku lakukan untuk melihat Nabila pulih. Berulang alik setiap hari, pada mulanya agak membebankan. Dengan jauh serta kos minyak saja sudah cukup memeningkan. Namun, aku puas. Aku dapat juga duduk di rumah sendiri bersama Abg jika dibandingkan orang lain yang tak dapat bersama suami dan anak-anak atas sebab tugas. Bagiku, andai aku susah..ada lagi yang lebih susah dariku. Hurm..layankan saja semua ini.. :)

Dan harapnya badan ini boleh bertahan untuk semua ini. Hurm..sejak-sejak Nabila lahir, stamina aku pun dah tak cukup kuat. Berjalan sikit sudah termengah-mengah dek badan yang naik mendadak sejak memakai alat perancang. Itulah perkara yang harus 'kubayar' untuk memastikan diri ini bersedia mendapatkan anak lagi. Trauma dan takut masih menghantui diri walaupun diri ini membuak-buak mahu menambah lagi. Sabar..itulah kata kuncinya. InsyaAllah..ada rezeki, pasti Nabila akan dapat adik nanti.. :)

23 November 2010

Saat diri ini mula menerima hakikat itu...

Suatu ketika dulu, aku pernah jatuh terduduk bila mengetahui nasib Nabila. Menangis tak henti bila mengenangkan dirinya tidak seperti orang lain. Di pejabat, hati ini tidak tenteram. Tidak dapat fokus kerja-kerja di pejabat dek mengenangkan Nabila.
Dan saat itu juga , aku mula melayari internet. Mencari maklumat tentang cerebral palsy. Dan aku mula menjumpai seorang demi seorang yang senasib dengan Nabila. Rupanya aku tidak keseorangan. Ramai di sana yang mempunyai nasib sepertiku. Dan ketika inilah, aku sudah mula menerima keadaan Nabila.
Semangat demi semangat ku bina demi Nabila. Dan harus tidak boleh merasa diri ini malang. Aku bergaul dengan rakan-rakan yang senasib denganku. Sehinggalah adanya 8 keluarga yang kupanggil Family Superkids.
Setiap mereka yang hadir pemberi semangat padaku. Anak-anak mereka juga adalah anakku. Walaupun bukan lahir dari rahim ini, namun sayangnya pada mereka sama seperti aku menyayangi Nabila. Dan hadirnya keluarga yang lain telah memberi sinar dan harapan untuk kami terus bangkit dan cuba membantu antara satu sama lain.
Bagiku, andai kita dikurniakan anugerah teristimewa ini, tak perlu takut atau bimbang. Banyak peluang untuk anak-anak ini untuk terus hidup dan memperoleh pendidikan khas untuk mereka. Dan sebagai ibubapa, usaha demi usaha berlipat kali ganda untuk anak-anak ini. Sabar serta tabah menghadapi dugaan ini. Memang perit untuk ditelan, namun hidup perlu di teruskan. Anak-anak ini adalah anugerah yang paling bernilai dan berharga yang pernah hadir dalam hidup kita.
Usah gusar atau ragu. Bertanya dan berkawan dengan rakan senasib adalah jalan yang paling tepat sekali untuk kita memperoleh semangat demi anak-anak ini. Padaku, andai aku jatuh hari ini, esok aku akan cuba bangun semula. Biarpun terpaksa merangkak untuk mencari secebis kekuatan demi anak yang bernama Yasmin Nabilah.

21 November 2010

Kami bukan suka meminta-minta..!!

Maaf..entry yang agak emo.

Saya bukanlah seorang yang suka untuk menceritakan masalah saya pada orang lain. Namun kebetulan saya sangat buntu dengan beberapa kejadian yang berlaku pada saya 2 minggu ini. Maaf andai ada yang terasa..namun kalian harus mengerti..Saya bukanlah menulis blog untuk mendapatkan duit atau meminta simpati kepada sesiapa saja yang membacanya.

Sungguh saya terasa..

Saya meluahkan rasa isi hati saya pada blog ini. Dan sikit pun ayat di dalamnya untuk meminta bantuan kepada sesiapa. Malah ada yang cuba memberi..saya cuba menolak dengan cara yang baik. Terima kasih pada kalian yang sudi membantu Nabila. Saya sangat hargai..tetapi sesetangah orang yang tidak faham atau mungkin tidak tahu apa yang saya alami..

Sungguh saya terasa..

Segala hak Nabila, saya simpan dengan baik. Malah ada separuhnya saya gunakan untuk dia. Terapi..ke hospital..sekolah..segalanya memerlukan wang. Dan jauh terlintas di hati ianya digunakan untuk perkara seperti bersuka-ria . Mungkin diluar sana nampak kami berjalan beramai-ramai bawa anak masing-masing untuk bersuka ria. Salahkah kami bersuka ria? Salahkah kami membawa anak-anak kami berjalan sama seperti anak normal yang lain?

Maaf sekali lagi. Saya ingin membetulkan persepsi semua diluar sana tentang kami yang punya anak istimewa. Niat kami menulis cerita tentang anak kami di blog adalah untuk berkongsi pengalaman tentang anak kami yang mungkin bukan semua boleh merasainya. Bukan untuk meminta-minta orang simpati pada kami..menangis membaca di blog kami atau meminta sesen duit dari kalian. Sedikit pun tidak. Malah kami sebolehnya mahu berusaha sendiri untuk anak kami.

Terima kasih pada mereka yang tak putus-putus membantu kami. Walaupun tak berkaitan dengan duit, seperti yang lain..doa, nasihat dan sebagainya..sangat kami hargai. Tanpa kalian, mungkin Nabila tidak akan dapat terapi yang sepatutnya. Maafkan saya......

19 November 2010

Berdebar...

Sepanjang minggu ini kekalutan menguasai diri. Cuti sehari ketika AidilAdha yang lalu sepertinya tidak membawa erti yang besar kepadaku. Namun aku tetap bersyukur dipanjangkan umur dan diberi peluang sekali lagi untuk merayakan Hari Raya AidilAdha bersama keluarga.
Aku ada menyatakan tentang rasa gusarku terhadap kursus Montessori yang bakal diadakan esok. Gusar kerana tidak dapat menimba ilmu di sana. Namun, aku bersyukur, Allah telah memberi jalan kepadaku. Terima kasih tak terhingga kepada Mamanurin kerana sanggup membiayai aku untuk kursus ini. Ya Allah, tak terhingga ucapan syukur ini kepadaMu. Yang telah memberikan laluan ini kepadaku. Dan kepada Mamanurin juga, hanya Allah saja yang dapat membalas jasa mama kepada Nabila. Sungguh aku rasa terharu dengan kemuliaan hati wanita ini. Walaupun kami tak pernah bersua, hanya mendengar suara melalui telefon, cukup menggambarkan hati ini sayang pada Mamanurin. Terima kasih mama atas support dan semangat yang diberikan kepada diri ini. Ina sentiasa mendoakan agar apa yang mama hajati tercapai...Amin.
Dan harapnya , aku mendapat ilmu agar dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Doakan segalanya berjalan lancar dan niat untuk aku berkongsi ilmu dengan rakan-rakan yang lain tercapai. Amin....
Untuk Nabila, tiada apa yang ibu harapkan selain mendapatkan ilmu itu untukmu sayang. InsyaAllah, ibu akan cuba apa saja yang terbaik buatmu.

15 November 2010

Pertemuan bermakna...

Sabtu, aku dan Nabila bertemu seorang sahabat. Sudah sekian lama aku ingin sekali bertemu dengannya, namun jarak jauh telah membataskan kami untuk bertemu. Dan akhirnya sahabat ini mengambil keputusan untuk berjumpa setelah cuba mencuri masa untuk bersua muka.

Alhamdulillah, pertemuan 4 mata ini sangat mengujakan. Faezah sememangnya seorang ibu yang kuat semangat. Dan juga aku mengagumi kejelitaannya. Sebelum ini aku hanya dapat melihat wajahnya dan anaknya Zara dan Ary di dalam FB, namun kini dapat melihat sendiri di hadapan mataku. Anak-anak yang cantik dan kedua-duanya bijak. Alhamdulillah..

Panjang sungguh perbualan kami. Dari satu kisah ke satu kisah. Ku dapat lihat raut wajah ibu ini sangat tenang. Walaupun badai melanda dalam kehidupannya, tampak Faezah tenang melayan Zara yang kini di sahkan istimewa. Zara masih lagi belum mendapat tahu penyakitnya, dan Faezah kini dalam usaha untuk memulihkan anaknya disini. Dan awal Disember, mereka akan kembali semula ke Qatar di samping suami tercinta.

Faezah telah banyak membantu kami dalam hal-hal berkaitan Nabila. Sesungguhnya aku sangat terhutang budi pada wanita ini. Entah bila aku dapat membalasnya nanti. Syukur diri ini dipertemukan dengannnya.

Buat Faezah, terima kasih atas segala-galanya. Dan Ina doakan segala apa yang Faezah usahakan untuk Zara akan membuahkan hasil. Doa buat Zara tak putus-putus dari kami sekeluarga agar anak ini sentiasa diberi kesihatan yang baik dan ceria disamping Faezah, suami dan Ary tercinta. Dan Ina harap persahabatan ini akan kekal buat selamanya. Terima kasih sahabatku... :)


p/s : Sudah jatuh cinta pada Zara dan Ary.. :) Pasti Aunty akan rindukan kalian berdua nanti....

12 November 2010

Kusut...

Short entry today..!! Sangat kusut selepas menerima panggilan dari Tasputra.

Tadi selesai makan bersama Ayu ibu Aisya, saya menerima panggilan telefon dari Tasputra. Berkenaan kursus Montessori yang akan diadakan 20 & 21 November. Minggu hadapan. Dan yuran sebanyak RM 608 untuk kursus tersebut...

Aduhai..mana nak kucari duit sebanyak itu? Sudahlah minggu depan pulak tu. Dan mereka menyatakan andai tak dapat menghadirinya, dikehendaki menulis surat menyatakan sebab untuk tidak menghadirkan diri. Sah-sah memang kena pergi gak kan. Sememangnya kalau boleh mereka mahu pergi kursus tersebut.

Saya memang nak ikuti.Kerna bukan mudah untuk dapatkannya. Tetapi masalah kewangan pula menghimpit. Aduhai...!! Alangkah bagusnya kalau duit sekoyan. Boleh buat apa saja untuk Nabila.

Ralatnya rasa. Kusut. Dan Abg tadi sepertinya marah bila saya menyatakan berita tersebut padanya. Sudah tentu dia pening mana nak cari duit sebanyak itu. Aduhai....!!!!!!

10 November 2010

Banyak hal pula hari ini..semuanya tentang Nabila...

Sepanjang hari..semuanya berkisar tentang Nabila..

Pagi-pagi menapak saja di depan pintu Tasputra, sudah bercerita tentang Nabila..

Tengahari..ketika mengambil Nabila di Tasputra, pun cerita tentang baiknya Nabila 2 hari ini ketika di sekolah..

Petangnya di Klinik ENT, speech therapist bercerita tentang Nabila yang sudah bertambah bagus dalam segi pertuturan..

Malamnya, Nabila dengan sesi urutan bersama kak Yusnita berjalan seperti yang dirancang pada minggu lepas..

Banyaknya tentang Nabila..!!

Hurm...pagi tadi, physiotherapist Nabila di Tasputra, Siti ada bertanyakan padaku siapakah therapist Nabila di Sg. Buloh. Aku menyebut nama Puan Syu dan lantas dia mahu bertanya pada Puan Syu berkenaan Nabila.

Bercanggah pendapat mengenai kaedah terapi yang dilakukan di sekolah Nabila. Seorang mahu begini..dan seorang lagi mahu begitu..Malas mahu mengulas lebih panjang hal demikian. Sebab ini perihal sekolah Nabila. Yang aku mahu..mereka menjalankan tugas mereka dengan baik. Melakukan terapi yang bersesuaian untuk Nabila.

Cuma aku dapat berita baik. Kata therapist di sekolahnya, Nabila sudah mula menunjukkan tanda-tanda positif. Datang ke sekolah dengan angka 0 dan kini Nabila boleh dianggap sederhana dan boleh kearah lebih baik lagi. Aku juga nampak tanda positif itu sejak Nabila bersekolah. Alhamdulillah..

Tengahari, tatkala aku mengambilnya di sekolah, Nabila sedang lena tidurnya. Kata mereka, Nabila baru lepas makan. Dan moodnya sangat baik sekali. Semalam pun sama. Ketika sesi terapi berlangsung, moodnya pun sangat baik. Diam pabila badannya disentuh untuk exercise. Kerna itu aku ralat untuk 'memontengkan' Nabila di sekolah hari ini, walaupun ada temujanji di hospital. Biarlah dia di sekolah. At least, sesi terapinya tak tertinggal biar sehari...

Petang di ENT Sg. Buloh, Nabila juga terut menunjukkan sifat yang baik. Tak meragam. Cuma di saat-saat akhir, dia sudah mula bosan. Aku dan speech therapist Nabila berbual pelbagai perkara. Rupanya dia pernah membaca blog Jiey dan turut menjumpai gambar Nabila ketika kami semua ke Teluk Senangin.

Dan aku bercerita pada speech therapistnya tentang Nabila yang sudah semakin riuh mulutnya. Dan sempat therapist itu mendengar Nabila menyebut beberapa bunyi. Katanya Nabila sudah mula mengeluarkan bunyi. Katanya lagi itu satu perkembangan yang baik untuk Nabila. Cuma ianya agak lambat..sepertinya bayi berumur 7-8 bulan. Takpelah dik..janji berbunyi.. dari senyap je..ibu pun risau..!!

~Santeknyer anak dara ni tido ngan gaya terkangkang gini..adoiyaiii penat sangat la tuh sampai tak sedar kaki dah camtuh..~

Malam..aku dan Nabila bertemujanji dengan kak Yusnita. Yang urut Nabila sewaktu aku bercuti separuh gaji tempohari. Aku mulakan sesi urut ini dari hari ini dan akan berlangsung setiap hari Rabu malam setiap minggu. InsyaAllah jika tiada halangan untuk aku menjemput kak Yusnita datang mengurut Nabila di rumah.

~ aksi mengamuk..bukannya sakit pun dik..pegang-pegang je..~

Moga segalanya bertambah baik dan dipermudahkan..Amin..

09 November 2010

Tangisan si kecil ini...

Anak ini sudah pandai merajuk! Sudah pandai mengamuk! Aduhai..dari mana dia belajar, aku kurang pasti. Yang aku pasti..amukannya akan membuatkan semua orang terpana melihat suaranya yang nyaring....!! hehe..

Mungkin juga mewarisi aku yang 'agak kuat mengamuk'..haha!! Bila kehendak tak dapat dituruti, habis semua dimarahnya. Puas memujuk cara baik..tak jalan..!! Mau saja di babap punggungnya..Geram..!! Tapi apakan daya. Marah pun tak guna. Apalah sangat si kecil ini tahu tentang hukuman.

Mohon diberi kesabaran bila melayan kerenah anak ini. Semahunya ingin sentiasa menjaga emosi anak ini. Tak mahu dia menangis keterlaluan. Bimbang akan timbul perkara negatif pula.

p/s : Agaknya kalau Nabila ni sihat, mau berguling-guling kat lantai marahkan ibu. Sedangkan sekarang ini, sudah melentik-lentik badannya, meneran-neran suara marahkan ibu.. Aduhai anakku!!

08 November 2010

Sayu bila melihat detik itu.....

Sepanjang minggu lepas, rutin seharian masih sama seperti sebelum-sebelumnya. Cuma aku ada membawa Nabila mencuba satu terapi baru. Diperkenalkan oleh makcik aku, dan serasa mahu mencuba tatkala mendengarnya bercerita tentang kaedah rawatan itu. Namun, akan kuceritakan pada entry kemudian nanti.

Seminggu kurasakan lelah. Ke sana kemari bersama Nabila tercinta. Dan kurasakan kehidupan ini sangat berbeza dengan orang lain. Bersama insan istimewa menjadikan diri ini lebih bersyukur dengan apa yang ada. Dan diri ini penuh dengan keinsafan tatkala mata ini terpandang insan istimewa lain yang senasib dengan Nabila. Melihatkan kesusahan ibu dan ayah membawa anak-anak ke pusat terapi atau kemana sahaja memberikan satu rahmat yang besar buatku. Kerna ku fahami hati mereka. Ku fahami segala yang tersirat di dalam diri mereka.

Dan sabtu lepas, mata ini terpandang satu detik indah saat seorang ayah bersama anaknya. Di rumah Kak Raw, ianya menjadi saksi kasihnya ayah pada anaknya. Sungguh aku sayu, melihatkan sang ayah mengusap lembut wajah si anak sambil matanya menatap tepat kearah si anak. Dan si anak seakan mengerti pandangan si ayah.

Di dalam hati, terdetik, dimanakah ibunya? Adakah ibunya tidak mahu bersama anaknya? Namun, kubuang jauh-jauh prasangka itu. Masakan si ibu tidak menyayangi anaknya? Ahh..tak mungkin. Pastinya ibunya tidak sihat barangkali. Dan mata ini sesekali melirik ke arah si ayah dan anak tadi.

Aku tidak mahu memandang lebih lanjut, kerna ku tahu pandangan itu akan mengundang tidak selesa pada mereka. Namun, hati ini terus berkata-kata..alangkah syahdu melihat moment tadi. Sungguh! Jarang sekali aku melihat ayah-ayah yang mahu melayan anak sedemikian rupa. Mungkin ada, mungkin aku tak sedar..tapi mata ini mengagumi saat-saat itu.

Melihatkan keadaan anak, pastinya mengundang seribu kesakitan di mata ini. Bagaimanakah hari-hari yang dilaluinya? Adakah baik atau sebaliknya? Bila melihatkan keadaan anak itu, aku terus memandang Nabila. Insaf! Bila mengenangkan anak sendiri yang sakit, aku tahu di luar sana lebih ramai yang sakit dan menderita lebih hebat dari Nabila. Sungguh ku kagumi semangat si ibu dan ayah yang membesarkannya.

Ku bermohon agar Allah memberi kekuatan kepada semua ibu bapa yang punya anak istimewa. Berikanlah kehidupan yang paling indah dalam hidup anak istimewa ini sebelum mereka menutup mata. Mereka juga mahu hidup bahagia seperti insan normal yang lain. Mereka berhak mendapat kasih sayang yang secukupnya dari keluarga dan rakan-rakan yang lain. Permudahkanlah jalan hidup mereka. Berikanlah senyuman diwajah mereka. Agar mereka tahu erti bahagia.. Amin Ya Rabbal Alamin.....

03 November 2010

Sudah kembali senyuman itu..

Sudah 2 minggu aku tak dapat melihat senyuman Nabila. Sungguh aku rindukan senyumannya. Gelak tawa dan riuh mulutnya bercerita.. :)
Segalanya sudah kembali seperti biasa sesudah kami pulang bercuti dari Melaka tempohari. Alhamdulillah. Nabila sudah kembali pulih dari segala kesakitan, dan sudah mula bermain seperti biasa.
Semalam, seperti biasa, aku menghantarnya ke sekolah. Dan dalam minggu ini, Nabila hanya dapat bersekolah selama sehari sahaja. Pada mulanya, aku katakan yang Nabila akan bersekolah pada hari Jumaat, tetapi sekolahnya tutup pada hari Jumaat ini. Kenapa? Ya Allah, aku terlupa..Rupanya Jumaat ini cuti umum sempena Deepavali. Terlalu banyak perkara yang ku fikirkan sehingga cuti umum pun terlupa. Mujur juga ada yang kakitangan sekolah yang mengingatkanku.Jika tidak, maunya aku terpacak seorang diri di pejabat pagi Jumaat itu..hehe..
Dan semalam, sampai saja di rumah mak, terus ku menerpa ke arah Nabila. Kata mak, Nabila diam saja di dalam van sekolahnya. Baik sekali. Hurm..emosi tak berantakan..!!hehe.. Dan pabila ku pegang, riuh mulutnya. "Auuuu...uuu..oooo..wooorrmmmm" . Mak aku kata, nak mengadu kat ibu la tu sepanjang hari kat sekolah. Apa-apa saja lah dik..janji kamu ok di sana.
Bila dah tahu ibunya ada, mulalah tak nak baring. Nak duduk saja. Rupanya nak main sambil duduk. Di gerakkan kakinya seperti mengayuh basikal. Semua ahli keluarga ku ketawa melihat telatahnya. Berpeluh-peluh seperti berbasikal berbelas batu. Kuyup!! Dan sudahnya, selesai maghrib, aku terus membawanya pulang. Di dalam kereta juga nampak baik. Main sampai riuh mulutnya. Sampai di rumah, letak saja di katil..aku terus menuju ke bilik air untuk mandi. Dan selesai mandi, tengok-tengok Nabila sudah tertidur dalam keadaan meniarap. Keletihan!! Alahai syahdunya..Baru je plan nak main flash card..dah tertidur.. :(
p/s : Sudah set semula appointment bersama kak Yusnita..dan Nabila akan diurut setiap hari Rabu malam. Moga segalanya berjalan lancar. Amin ..:)

01 November 2010

Dibumi Melaka...

Hujung minggu lepas, kami sekeluarga bersama superkids ke bumi Melaka. Telah merencanakan segala aktiviti 2 minggu sebelum tarikh.. :) Dan sangat-sangat teruja walaupun pelbagai halangan timbul. Hanya 5 keluarga yang dapat bersama kali ini.

Jumaat malam, aku sekeluarga sudah bermalam di rumah Ita ummiAlisya. Dan Sabtu, kami gerak terus menuju ke bumi Melaka. Dan tempat pertama yang kami kunjungi adalah Wonderland..

Dan sibuk merendam anak masing-masing..aku juga tak lepaskan peluang merendam Nabila (walaupun Nabila masih lagi tak sihat ketika itu) . Hehe..Apalagi si kecik itu..menangis melolong-lolong bila air terkena badan..

Selesai di Wonderland, kami pulang ke rumah mak Ita untuk berehat. Dan acara malamnya, kami ke rumah Kak Ros yang tidak jauh dari rumah mak Ita.

Inilah kali pertama aku bersua dengan Kak Ros. Sungguh aku kagum dengan semangat ibu ini. Membesarkan anak istimewa selama 13 tahun. Amri, sangat bijak, aktif dan pandai berkomunikasi. Melihatkan Amri, aku dapat lihat disebalik kejayaan Kak Ros yang tak putus asa demi anak tercinta. Dan semangatku berkobar-kobar demi Nabila. Mahu jadi sama seperti Kak Ros. Terima kasih Kak Ros, sudi berkongsi pengalaman yang sangat-sangat bernilai buat Ina. Moga kita berjumpa lagi di lain masa.. :)

Dan kejutan buat Farid, Abi Alisya sempena hari lahirnya. Kami bersama-sama Ita merancang majlis ini. Seronok bila melihat wajah-wajah ceria sang suami yang mengusik Farid di hari lahirnya.. Farid, maafkan kami yek.. :) (tapi mmg syok tgk ko kena lauk..hehe..)

Esoknya, kami ke Bandar Hilir. Berjalan-jalan di sana..Menaiki River Cruise menyusuri Sungai Melaka. Sangat mengujakan!! Dan lepak-lepak sambil bergambar kenangan di sana. Mujur cuaca tak panas terik. Disertai dengan angin, memang seronok berjalan. Kata Abg, berkat anak-anak ini berada di bumi Melaka. Cuaca sangat elok sekali untuk kami bersantai-santai di sana.

Selesai di Bandar Hilir, kami pulang ke rumah mak Ita, dan bersiap untuk ke Senawang. Dan kali ini ke rumah mak Farid pula. Dan sampai sahaja segalanya sudah siap. Hidangan untuk makan malam dan juga tempat tidur. Berbual bersama sebelum masing-masing melabuhkan tirai kerana keletihan sepanjang hari di bandar Melaka.

Dan esoknya kami pulang semula ke destinasi masing-masing. Memang seronok berjalan bersama kerana masing-masing memahami keadaan anak. Terima kasih keluarga superkids yang banyak membantu dan bersabar dengan kerenah Nabila sepanjang kita bersama. Hurm...Mujur juga keadaan semakin baik. risau kot-kot Nabila semakin tak sihat. Namun, Alhamdulillah..berkat jalan di atas sungai Melaka agaknya..hehe..

Terima kasih pada Ita dan Farid yang bertungkus lumus memberikan layanan yang istimewa kepada kami. Serius..hotel pun kalah tau!! Best!! Sure tak serik la nak gi lagi umah Ita dan Farid.. :) Buat family Zali Ida, Zura Syah , dan Faizal kak Noni..Terima kasih atas setiap kenangan ini. Akan ku ingat moment ini sampai bila-bila.. (hehe..serius..tak terkata seronoknya)

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...