31 December 2010

Seribu kenangan..

Menjelang tahun baru, aku diserang demam. Sedari semalam, tekak terasa amat perit. Dan pada malamnya, aku sudah mula terasa pening dan selsema. Sudahlah semalam, aku terpaksa pulang lewat dari pejabat, gara-gara membawa Nabila ke PDK. Kemudian berkejaran ke Tasputra pula untuk sesi pendaftaran sekolahnya untuk tahun 2011.

Di PDK, anak ini semakin banyak akal. Seperti biasa aktiviti di dalam jakuzzi diteruskan. Sampai tertidur di dalam bathtub kerana keasyikan tubuhnya berada dalam air suam dan gelombang air yang memukul tubuhnya. Namun berhenti saja mesin itu, terus saja menangis. Mahu duduk lagi di dalam bathtub itu. Puas ku pujuk, tapi faham-faham sajalah perangai Nabila. Mengamuk sakan. Sampaikan bila ku bawa ke bilik snoozelon pun tak mampu untuk memujuknya. Dan sudahnya, terus aku mengangkat beg dan pulang ke rumah mak.

~sikit tak berdecit suara tuh bila dok dalam tub ni ~

Dan petangnya, aku bergegas ke sekolah Nabila. Sesi pendaftaran sudahpun bermula sejak pagi. Namun, aku mengambil keputusan untuk datang pada waktu petang. Selesai membayar yuran pendaftaran, terus berjumpa dengan OT dan Fisio therapistnya. Dan kami berbincang pelbagai perkara tentang Nabila. Macam hari perjumpaan ibu bapa. Cumanya, kami bukanlah berbincang tentang akedemik, tapi bercerita tentang perkembangan fizikal Nabila sepanjang berada di sekolah :)

Dan selesai urusan di Tasputra, aku pulang semula ke pejabat untuk menyiapkan baki-baki kerja sehingga jam 8.30 malam. Dan sewaktu pulang, badan memang dah tak larat nak bawa kereta ke Rawang. Dan sudahnya, aku mengambil keputusan untuk tidur saja di rumah mak.

..........................................................................

Untuk sepanjang 2010 ini, ku rasakan banyak perkara yang berlaku pada kami sekeluarga. Dan beberapa perubahan tentang Nabila tentang keputusan berat yang kami ambil demi kebaikan dia. Bagiku, bukan mudah untukku membuat keputusan ini, namun, demi kebaikan bersama, adalah lebih baik aku lakukannya.

Seperti sedia maklum Nabila sudah memulakan sesi sekolahnya di Tasputra Perkim di Ampang Hilir pada April yang lalu. Pada mulanya hati ini agak berat untuk meletakkannya di bawah jagaan orang lain, namun bila kufikirkan sedalam-dalamnya, sampai bila untuk aku memanjakannya di bawah jagaan neneknya. Sudahlah fisioterapi jarang-jarang sekali diadakan di hospital. Menunggu temujanji dengan Jabatan Rehabilitasi membuatkan masa itu terlalu panjang buatku. Dan aku tekad mahu menghantar Nabila ke sekolahnya.

~hari pertama Nabila di sekolah. Menemaninya untuk 2 hari di sana~

Dan pada tahun ini juga Nabila mendaftar di PDK pada bulan 7. Niatku hanya untuk menambah rawatan sedia ada. Mempelbagaikan cara serta kaedah dan mencari ilmu tentang anak CP untuk kegunaan Nabila. Alhamdulillah. pilihanku tepat. Memasukkan Nabila di PDK Kamii di Gombak satu perkara yang tidak sia-sia kulakukan buat Nabila.. :)

Kenangan manis untuk tahun ini, Nabila sudah boleh memusingkan badannya untuk posisi meniarap pada bulan puasa yang lalu. Berkat bulan puasa, Alhamdulillah, Nabila sudah dapat skill yang satu itu. Sedikit namun aku bersyukur. Sekurang-kurangnya Nabila melakukan sesuatu yang baik untuk tahun ini.

Begitu juga dengan makan. Nabila sudah kurang menangis ketika makan. Malah, aku dapat rasakan Nabila semakin kuat makan. Tubuhnya tampak berisi sedikit berbanding dulu. Syukur .. :)

Untuk pertama kalinya, kami bermalam di HKL. Semua ini gara-gara Nabila yang menangis tak tentu hala membuatkan semua orang tak tahu apa punca yang menyebabkan anak ini menangis berterusan. Namun aku menjangkakan Nabila mempunyai masalah sembelit. Hampir 3 hari juga kami ditahan, dan Alhamdulillah, Nabila semakin pulih. Cuma sejak kebelakangan ini, Nabila dilanda sembelit semula. Dan Selasa lepas, Nabila mengeluarkan najis berdarah. Sangat menakutkan bilamana najis Nabila tersekat di lubangnya. Dan kemudia ku nampak darah mengalir meleleh di celah pehanya. Aku menangis bila melihat keadaan Nabila. Seminggu sebelum itu, Nabila di serang sawan. Pernah kami berkejaran ke Sungai Buloh kerana sawan Nabila menyerangnya kembali. Namun, kami mengambil keputusan untuk tidak ditahan di wad.

Banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun ini, namun semua di atas adalah beberapa perkara yang kurasakan aku tak boleh untuk melupakan setiap detik gembira dan cemas bersama Nabila.

Dan ku harapkan tahun depan lebih menyinar dari tahun ini. Moga perjalanan bersama anak bernama Yasmin Nabilah akan terus lurus dan lancar hendaknya. Moga rezeki yang diberikan bertambah-tambah dan melimpah-ruah buat kami sekeluarga.. Amin..

Selamat Tahun Baru buat semua. Moga kalian diberi keceriaan yang lebih di tahun baru ini. InsyaAllah.. :)

30 December 2010

Kami menangis bersama-sama...

Sudah beberapa hari meninggalkan blog tanpa sebarang update. Entah kenapa jari-jari malas benar untuk menaip. Padahal ada kisah yang ingin ku ceritakan pada semua.

Kejadian yang berlaku pada minggu lepas, bagiku sangat menakutkan. Waktu itu, aku sedang drive untuk pulang ke rumah. Nabila pula ketika itu sedang tenang berada di dalam car seat nya.

Dan bila tiba di satu lampu isyarat, aku berhenti. Dan kemudian aku menarik hand brake . Faham-faham sajalah kereta Abg. Kalau tarik hand brake bunyinya mmg kuat. Entah apa yang melekakan Nabila ketika, membuatkan dia terkejut betul bila mendengar bunyi hand brake tu. Padahal bukannya tak pernah dia mendengarnya. Dan sudahnya, mulutnya mulalah mencebik. Dan diikuti tangisan yang kuat.

Pada mulanya aku memujuk seperti biasa. Tapi bila tangisan Nabila sukar berhenti dan malah lebih kuat lagi, aku terus panik. Dan sempat aku menjeling-jeling pada Nabila dan dalam kesamaran gelap malam pekat, aku dapat lihat Nabila menggenggam kedua tangannya dengan erat ke dadanya. Matanya terkedip-kedip seperti takut untuk memandang dan seperti orang menahan nafas. Aku terus berhenti di stesen minyak dan terus memeluknya. Aku cuba untuk menyedarkan tindakan Nabila, namun raungannya makin kuat. Malah kaki dan tangannya keras kejang. Matanya masih lagi berkeadaan kedip-kedip. Dan perkara itu berlangsung selama setengah jam. Aku sendiri tak tahu apa yang harus ku lakukan, Sudahnya air mata ini mengalir melihatkan keadaan Nabila. Aku peluk Nabila erat.

Puas aku memujuk, namun gagal. Dan lantas aku menghidupkan enjin semula dan terus pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan aku tawakal dan berdoa agar tiada perkara yang buruk berlaku pada Nabila.

Sampai saja dirumah, Abg terkejut melihat keadaan Nabila. Dan kata Abg, dia mahu membawa Nabila ke hospital. Aku melarang kerana aku tak pasti apa yang berlaku pada Nabila. Aku sendiri tidak tahu apa yang harus ku katakan pada doktor. Dan terus aku mencapai telefon dan merakam apa yang berlaku pada Nabila.

Dan hampir sejam juga kami menenangkannya. Dan tak lama selepas itu, Nabila kelihatan tenang semula. Itupun setelah aku berikan ubat demam kerana aku rasa badannya mulai hangat. Dan malam itu Nabila tidur dengan lena.

Esoknya aku memantau keadaan Nabila. Alhamdulillah, Nabila sudah kembali normal. Namun, hati ini masih gusar dan menjadi tanda tanya. Apa yang berlaku pada Nabila sebenarnya? Aku menceritakan keadaan itu kepada Puan Zu, therapist untuk OCCT. Katanya kemungkinan Nabila diserang sawan. Entahlah. Aku sendiri tak pasti. Dan cadangnya, aku akan menunjukkan hasil video yang aku ambil ketika kejadian itu untuk ditunjukkan kepada doktor peads nya nanti.
Risau hati hanya tuhan saja yang tahu........

p/s : Selamat Tahun Baru pada semua rakan-rakan bloggers.. :) Sekejap benar masa itu berlalu. Moga tahun hadapan lebih baik dari tahun ini. InsyaAllah.. :)

25 December 2010

Manakan tahu kesusahan itu akan membawa kesenangan...

Melihatkan kisah Ahmad Albab di TV yang menangis tiada henti mengingatkan aku tentang Nabila sewaktunya kecil dahulu.

Nabila juga dahulunya begitu. Menangis sedari umur 1 bulan sehinggalah berusia 5 bulan. Pantang saja maghrib menjelang, tangisannya kedengaran sehinggalah tengah malam. Pelbagai cara dilakukan, namun tangisannnya sukar dihentikan.

Aku sendiri kurang pasti apa yang tak kena pada anak ini. Sehinggalah aku sendiri menangis tatkala melihat dirinya menangis tak henti-henti. Dan masih ku ingat ketika itu. Bulan puasa tahun 2008. Aku sudahpun pulang ke rumah ku di Rawang. Kononnya mahu hidup sendiri berdikari. Baru saja nak berbuka puasa, Nabila sudah terpekik-telolong. Sampai aku dan Abg terpaksa berbuka puasa secara bergilir kerana terpaksa menjaga Nabila.

Dan, ketika itu juga aku menghantar Nabila ke taska. Akibat penjagaan di taska yang tidak sempurna, aku terus pulang ke rumah mak semula di Gombak. Mak lah yang mengasuh Nabila sehingga Nabila berusia 2 tahun.

Dan tatkala kembali semula ke Gombak, Nabila sudah berhenti dari menangis. Mungkin juga dia tidak mahu berpisah dengan neneknya. Kata adik, mak menangis bila aku mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke Taska. Katanya Nabila masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Tak susuai untuknya dijaga disitu.

Dan kini, usianya hampir menginjak 3 tahun. Segala kenangan tangisan Nabila tetap kukuh dalam ingatan ini. Bagiku kesukaran untuk menjaga Nabila dulu, sudah nampak kesenangannya kini. Rezeki yang melimpah ruah, malah jalan untukku membesarkan anak ini dipermudahkan lagi. Anak ini pembawa rezeki pada kami. Alhamdulillah....

23 December 2010

Kini dia tidak menangis lagi...

Andai ada yang perasan pada sebelah kanan dibahagian 'Label' aku meletakkan label Makan di situ. Sebenarnya sudah lama aku menceritakan tentang cara makan Nabila yang tak sudah-sudah 'sukar' untuknya berbanding dengan anak-anak yang lain.

Dan Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini , cara makannya semakin menyenangkan. Malah, lebih baik berbanding dulu. Jika dulu, waktu makan Nabila keadaannya seperti 'berperang' , namun kini tidak lagi.

Caranya? Hanya dengan kaedah 'SABAR'...

Sebenarnya, aku bukanlah dikategorikan sebagai seorang yang sabar. Sememangnya dulu apabila tiba waktu memberi makan pada Nabila, aku lebih stress berbanding si kecil ini. Dirinya yang sukar untuk menelan dan terlalu memilih makanan menyebabkan aku fed up dengan situasi itu. Malah pernah juga aku kecewa dan berhenti berharap pada Nabila untuk mampu makan semua makanan seperti anak-anak normal yang lain.

Dan aku marah andai ada ibu yang tak suka memberi anak makan bila anak sudah pandai meminta itu dan ini. Bagiku, tak salah bila anak itu ingin merasa dan berpadananlah kuantitinya. Biarlah anak itu tahu rasa dan tekstur makanan itu. Dan bersyukurlah anak sudah pandai meminta makanan, dibandingkan Nabila yang masih belum mengerti apa maksud makanan...

Berbalik pada Nabila, aku sangat-sangat bersyukur bila lihat perubahan ini dalam dirinya. Jika dulu, aku sangat risau bila Nabila menangis ketika makan. Risau andai makanan itu masuk ke dalam paru-parunya. Namun, jika tak diberi makan, apa kesudahannya? Sudah pasti Nabila tidak dapat menguatkan otot mulutnya untuk mengunyah. Malah tiada tenaga untuk melakukan aktiviti seperti fisio dan OT..

Kata mak, dia kini sangat seronok bila memberi Nabila makan. Apa yang diberi semuanya dihabiskan. Dan diselang-seli bersama susu. Terasa badan Nabila semakin berat. Tadi, sewaktu mengangkat Nabila untuk naik ke rumah mak, aku terasa sangat lelah. Aku dapat rasakan tubuhnya semakin berisi.

Cuma satu saja yang masih mengganggu aku. Nabila masih lagi dengan sembelitnya. Lactul sudah sepertinya tidak berfungsi lagi. Kesian Nabila.... :(

Moga perubahan ini kekal dan bertambah baik lagi..Amin.. :)

p/s : Kawan-kawan..Plz vote Nabila.. saja nak test masuk contest ni. Manalah tau ada pulak rezeki si kecil ni..

Klik saja link ini.. http://www.facebook.com/babymanjafansclub#!/photo.php?fbid=179959292023898&set=a.179959028690591.44880.152878094732018

dan kemudian klik 'LIKE' pada gambar Nabila.. :) . Terima kasih.. :)

22 December 2010

Rasa bersalah menyelubungi diri..

Andai di beri pilihan aku tidak mahu menghantar Nabila ke sekolahnya hari ini. Sudah 2 hari Nabila tidak bersekolah. Ini semua gara-gara bercuti pada hujung minggu lepas. Cuaca yang agak mendung dan sejuk menyebabkan Nabila diserang selsema 2 hari ini. Tambah pula aku rendamkan Nabila di laut dan kolam renang. Hanya 2 kali saja ku rendamkannya, dengan alasan mahu menguatkan otot-ototnya. Namun, apa yang aku mahukan tidaklah seperti yang kuharapkan.
Semalam, mak menyalahkan aku dalam hal ini. Katanya, semalam Nabila kelihatan murung. Tidak mahu bergelak tawa seperti selalu. Tiada ukiran wajah ceria diwajahnya. Dan bila aku menyambutnya semalam sebaik pulang dari kerja, Nabila seperti nampak sihat semula. Kata mak, dia memberikan ubat sebanyak 2 kali. Dan bila petang, barulah selera makannya muncul. Lapar barangkali..
Aduhai..serba tak kena aku hari ini. Bertanya pada mak andai ada sesiapa di rumah. Malangnya yang tinggal hanya adik-adik lelaki ku di rumah. Ayah sibuk menguruskan hal sepupuku manakala mak pula ke dylisis. Boleh saja aku berikan Nabila kepada adik-adikku untuk dijaga..tapi faham-faham sajalah budak lelaki. Waktu pagi pastinya masih diulit mimpi. Matahari mencacak diatas kepala, baru nak sedar diri!!
Sudahnya, aku mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke sekolah. Dan pesanku pada staff di situ, andai Nabila berada dalam keadaan tidak selesa, berikan saja ubat yang telah ku bekalkan di dalam begnya. Dan ada pula suara sumbang yang berkata,
"Mesti ko asik nangis je arini. Jangan nangis. mak ko nak gi keje!!"..
Huhu..sebak hati bila dengar kata-kata itu tatkala kaki ini melangkah keluar dari pintu. Mahu saja aku lari mengambil Nabila semula, namun, apakan daya. Dalam hati ini hanya berdoa agar Nabila tidak membuat masalah di sekolah nanti.
Dan di tika ini, hati masih gusar. Hati masih tak senang duduk. Terfikir-fikir apalah yang Nabila lakukan saat ini di sekolah. Aduhai....

20 December 2010

Princess Bella @ Port Dickson..

Hujung minggu bersama keluarga sebelah mak. Bercuti di Port Dickson. Meriah.. :) Hampir semua adik beradik mak berkumpul. Semua ini sempena hadiah dari keluarga sepupuku..Mimi yang berkahwin 2 minggu lepas. Keluarga Mak Long ku sponsor percutian ini kerana semua ahli keluarga telah bertungkus-lumus untuk majlis perkahwinan Mimi yang lalu.. :)

`~luv this pic..Princess Bella in da' house!!~

17 December 2010

Tiba-tiba hati ini rindu..

Entah kenapa pagi ini, tiba-tiba rindu pada Nabila. Semalam, seperti tidak puas memegangnya. Semalam agak lewat aku pulang dari pejabat. Jam menunjukkan angka 9 malam, baru berkemas untuk pulang ke rumah. Hujung tahun, kerja yang banyak hingga tak terkejar dibuatnya. Tambah pula sistem aplikasi yang agak lembap menambahkan lagi bebanan kerja yang sedia ada. Nak tak nak terpaksa pulang lewat kerna selepas jam 6 petang barulah sistem dapat digunakan dengan lancar.

Setibanya di rumah mak, Nabila kelihatan mengantuk. Lantas aku terus memandu pulang ke rumah. Tak sabar rasanya untuk berehat setelah seharian bergelumang dengan masalah-masalah di pejabat. Selang beberapa minit selepas memulakan perjalanan pulang, kulihat Nabila sudah tertidur di dalam car seat nya. Nampak keletihan. Mungkin sepanjang hari tak tidur. Mujur juga tak bersekolah semalam. Kalau tak mesti Nabila lebih letih.

Sampai sahaja di rumah, Nabila tersedar dan cuba mahu tidur kembali. Namun gagal. Nabila merengek kecil, aku cuba meletakkan Nabila atas katilnya tapi matanya sukar untuk dipejamkan. Dan sudahnya aku memeluknya sambil menggoyang-goyangkan tubuhnya. Rupanya Nabila mahu tidur dalam pelukanku. Abg bertanya kenapa tidak diletakkan Nabila di atas katilnya. Dan aku menjawab, mungkin mahu ibu memeluknya.Mungkin dia menunggu ibu balik kerja dari petang tadi. Kecewa agaknya ibu pulang lewat.

Kesian pun ada bila lihat Nabila. Dan sehingga subuh tidur tak bangun-bangun. Nyenyak barangkali. Dan pagi tadi, sewaktu menghantar Nabila ke sekolah, dia tidur lagi di dalam car seatnya. Hanya sedar bila aku meletakkannya di atas kerusi di sekolahnya. Celik tetapi dengan wajah terpinga-pinga. Aku mengambil tangan kanannya, bersalaman dan meletakkan tanganku di bibirnya. Lembut sekali tangannya. Tanpa rasa paksaan. Agaknya mamai baru sedar dari tidur.. :)

Dan sekarang, rindu pula pada si kecil ini. Dan terasa seperti menyanyi kecil lagu ini......

Cinta Untuk Nabila

Cinta untuk Nabila
Aku ciptakan sepanjang hidupku ini
Telah lama aku mencari
Kemana menghilangnya puteri

Apakan daya
Sudah suratan tertulis kita bertemu
Hingga kini setelah berpisah
Salju yang beku terlerai sudah

( korus )
Oh Nabila...
Lambang cintaku kepadamu
Hingga kini oh Nabila takkan lupa
Mengingatimu

Oh Nabila...
Lambang cinta yang telah layu
Hingga kini oh Nabila
Agar kau dapat mengerti
Kepada mu puteri
Kusanjung tinggi

Lagu untuk Nabila
Aku ciptakan bila mata
Kuterpejam lena
Kuutuskan bayu yang bertiup
Menyatakan cinta untuk Nabila

( ulang korus hingga akhir )
Menyatakan cinta untuk Nabila
Takpe dik..sok kita jalan-jalan yek.. :). Gi PD.. leh gi swimming.. :)

15 December 2010

Mahu duit turun jatuh atas bumbung kereta aku!!!

"Masalah tak putus-putus..risau kalau2 nabila x dpt bersekolah pasni klu masih kenakan yuran mahal. adoiyaii..kan bagus klu kaya..tak pening pasal duit..huhu.. "

Kemelut yang melanda aku pagi tadi. Tak senang duduk aku dibuatnya sepanjang hari berada di pejabat. Sampai Abg di rumah pun naik tension dengan aku. huhu....

Sebenarnya ini berkenaan dengan sekolah Nabila. Sedia maklum, sekolah seperti Nabila memang perlukan duit untuk menampung perbelanjaan kakitangan, makan minum, sewaan tempat-tempat terapi dan sebagainya. Namun, pada awalnya, aku tak bersetuju dengan yuran yang dikenakan kepada kami oleh pihak pengurusan. Namun, aku beralah dan bersetuju juga akhirnya kerana tidak mahu permohonan untuk memasukkan Nabila di situ di tolak gara-gara aku tidak dapat menyediakan yurannya.

Untuk 3 bulan pertama, masih boleh digagahkan lagi. Namun, masuk saja bulan keempat, aku mula terasa peritnya. Tambah pula Abg ketika itu kurang membuat OT di tempat kerjanya. Dan terdesak dan tersepit, lalu aku cuba meminta pengurangan pembayaran yurannya. Aku berjumpa sendiri dengan pihak pengurusan. Pihak pengurusan memohon aku agar menulis surat untuk permohonan tersebut. Aku akur dan menulis surat, namun tiada jawapan selepas itu. Pihak pengurusan tidak mengatakan 'Ya' mahupun 'Tidak' . Cuma kata mereka, mereka akan cuba meminta bantuan bagi menampung segala keperluan Nabila di situ. Aku tak pasti sama ada surat aku itu dieksploitasi atau tidak, aku tidak mahu mengambil pusing tentang perkara aku. Janji Nabila boleh berada di sana. Itu sudah memadai buatku.

Namun, pagi tadi, kakitangannya meminta aku membayar yurannya. Dan sudahnya, aku cuba menelefon orang kanannya. Dan rupanya, mereka juga menanti jawapan dariku. Mereka ingin mengetahui jumlah yang mampu ku bayar untuk Nabila terus berada di sana. Alahai..aku ingatkan mereka masih lagi dalam tempoh perbincangan. Rupanya mereka menunggu jawapanku.

Dan kami telah menemui jalan penyelesaian. Dan pengurangan telah berjaya ku minta. Alhamdulillah. Sememangnya aku segan menghantar Nabila sepanjang 4 bulan tanpa sebarang bayaran. Dan pasti, rupa-rupanyanya kedua-dua pihak ' salah faham' .

Dan sedikit sebanyak masih mengganggu perbelanjaan kami. Aku terfikir-fikir, bagaimanakah hidup orang lain yang sudah mempunyai 2-3 anak? Sedangkan aku , baru Nabila seorang pun dah pening kepala. Dan sebenarnya, perbelanjaan untuk anak istimewa sememangnya lebih banyak berbanding dengan anak normal. Rawatan saja sudah memakan belanja ratusan ringgit. Belum dicampur ubat-ubatan dan alat-alat bantuan yang lain. Sememangnya setiap ibu bapa yang punya anak istimewa wajib diberi bantuan. Kerana, kos sara hidup semakin meningkat.

Untuk Nabila, sememangnya aku tidak mendapat mana-mana bantuan. Sungguh!! Kerana kesukaran untuk berurusan dan selebihnya kakitangan yang banyak songeh membuatkan aku meluat untuk berurusan dengan pihak yang berkenaan. Dan sudahnya, sehingga kini aku hanya mengambil insiatif dengan menggunakan duit sendiri andai Nabila memerlukan rawatan. Namun bukit jika sentiasa ditarahnya, pastinya akan habis jua. Mujur juga aku seorang kakitangan kerajaan. Dan Abg juga mempunyai klinik panel andai Nabila sakit demam.

Dan aku berharap Nabila boleh meneruskan persekolahannya di situ. Sebab aku sudah nampak sedikit demi sedikit perubahan Nabila sejak mula bersekolah. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan.. Amin..

~Hari pertama di sekolah..sangat behave dan tahu membawa diri. Dan niat dihati sebaik saja melangkah kaki di sini adalah mahu Nabila mendapat apa saja yang boleh membantunya untuk menjadi lebih baik lagi~


13 December 2010

Banyak benar akalnya..!!

Sejak kebelakangan aku perhatikan Nabila menunjukkan ciri-ciri lebih peka dengan keadaaan sekeliling. Pantang siapa saja yang memegangnya, pasti dia akan mengukir senyuman.


~Ala-ala gedik gitu..hehe.. ~

Aku dapat rasakan Nabila mula berubah sedikit demi sedikit. Mungkin juga kesihatannya agak baik kebelakangan ini. Tiada demam dan selsema.. Alhamdulillah. Dan itu menjadi pendorong buatnya untuk sentiasa ceria bersama aku dan Abg.

~yeah..maintain senyum..sampai ada makcik kat kenduri kawin suka benar tgk muka dia..hehe~


Juga sudah pandai minta untuk bermain. Walaupun Nabila masih lagi di tahap seperti bayi, namun akalnya sudah menunjukkan kematangan sedikit. Yelah..kata pun bayi terlebih matang..hehe.. Lama sangat jadi baby. Hurm..puas juga aku menjaga dia macam baby. Agak-agaknya kalau ada anak sihat..sure sekejap je masa itu berlalu..Tau-tau je dah besar.. :)

Bila dipegang, semahunya dia mahukan aku menggoyangkan tubuhnya. Seakan menari. Dan aku dapat lihat, rupanya Nabila sudah mula sukakan muzik. Yelah, pagi-pagi sudah naik kereta. Ibu pulak pasang radio macam orang pekak..hahaha!! Maunyer si Nabila ni pun menggedik sama. Bila ibu menyanyi dalam kereta, dia pun mulut bising juga..

" waaa...uuuuu...aaaaahhhhhh...wooooorrrrrmmmm"

~pantang orang geletek..sure ketawa mengekek..kihkihkih..~


Itulah Nabila. Kadang-kadang balik keje, badan rasa letih, rasa hilang semua kepenatan bila bermain dan melihat aksinya. Walaupun belum terkinja-kinja melompat sambil menyebut "Ibu.." atau belum berjalan dan berlari mendapatkan aku, aku tetap puas dengan apa yang Nabila peroleh sekarang. Ya, walaupun tak cukup..namun aku bersyukur. Nabila punya kesihatan yang baik dan dia semakin bijak bermain dengan perasaannya dan juga perasaan kami. Sepertinya dia sudah banyak mengetahui butiran percakapan kami walaupun agak sukar baginya untuk membalas kata-kata kami.

Tak mengapalah dik..kita kayuh pelan-pelan..InsyaAllah, pasti akan sampai destinasi kita nanti.. :)

Doakan Aisya..

Aku mendapat berita pagi tadi. Mesej dari Ayue, Ibu Aisya berbunyi gini..
"Ina, doc nak amik air tulang belakang aisya. Doc suspek dia kena meningitis. Apa pendapat ina? nak bagi ke tak?
Ya Allah, lantas aku mesej Dr. Zaahirah, dari PPUM..bertanyakan pendapatnya. Dan kemudian terus saja aku membalas mesej Ayue menyatakan perlu mengambil air tulang belakang.. :(
Dan tadi aku menelefon Ayue. Bertanyakan khabar Aisya. Rupanya Aisya diserang demam Jumaat lepas. Dan diikuti sawan pada hari Sabtu. Serangan sawan yang agak lama dan doktor mengambil keputusan untuk mengambil air tulang belakang Aisya. Ayue sendiri tidak pernah melihat keadaan Aisya diserang sawan.
Tadi sewaktu panggilan dibuat, Aisya masih dalam keadaan mamai. Baru sahaja selesai menjalani LP (ambil air tulang belakang) . Aisya dan Ayue kini berada di Hospital Serdang.
Ya Allah, kuatkan semangat Ayue. Tabahkan hatinya. Kuatkan semangat Aisya untuk meneruskan perjalanan hidupnya di muka bumi ini. Sebak bila aku mendengar suara Ayue tadi. Sungguh aku tak senang duduk aku sepanjang hari ini. Ingin mengetahui khabar berita Aisya.
Kawan-kawan..mohon semua doakan Aisya lekas-lekas sembuh dan tiada serangan sawan lagi. Amin..

08 December 2010

Mimpi..

Semalam, tidur kami sekeluarga sama seperti rutin seharian. Nabila sudah awal-awal lagi melabuhkan tirai walaupun kami sedang sibuk berjalan ke sana ke mari di Tesco malam tadi. Hurm..Nabila..Nabila..Bawak gi jalan-jalan tapi dia tido plak..huhu..
Dan jam 3 pagi, Nabila tersedar dari tidurnya. Sejak dua menjak ni Nabila akan bangun awal pagi untuk minum susu. Dan kemudian pastinya dia sukar untuk tidur kembali. Sudahnya terpaksa aku membawanya ke bawah, tidur di buaian dahulu dan kemudian barulah angkat naik ke bilik tidur.
Jam 5 pagi, aku melelapkan mata sebentar sementara menantikan jam 5.30 untuk bangun dan bersiap. Tetapi, entah kenapa mata bagai di gam-gam. Tak mahu nak bangun. Berat benar dan sudahnya pagi tadi aku terlajak bangun. Terkejut bila melihat jarum jam sudah menunjukkan 6.30 pagi. Kelam kabut aku mengemas beg Nabila, menggosok baju dan memasak air panas untuk Nabila mandi. Dan pastinya aku terlewat ke pejabat hari ini. Adoiyaaiiii..
Sebenarnya sepanjang jam 5.30 hingga ke pukul 6.30 pagi rupanya aku bermimpi. Aku mimpikan Nabila cuba membaling dompet pada aku. Pada mulanya aku cuba minta Nabila baling dan aku percaya Nabila tak boleh melakukannya. Entah kenapa, aku terkejut tatkala Nabila memahami arahanku dan cuba membaling dompet ke arahku. Dan aku cuba mengujinya sekali aku. Ku berikannya duit, dan Nabila boleh memberikannya kepadaku dengan tangannya sendiri. Tak tergambar perasaan ini bila dapat melihat Nabila melakukan perkara itu. Masih terasa kegembiraan itu di dalam hati ketika ini walaupun itu hanyalah mimpi.
Aku juga mimpikan Syafiah, anak Kak Suealeen. Agaknya aku rindukan hasil penulisan Kak Sue dan wajah terbaru Syafiah hingga termimpi-mimpikannya.
Entahlah, sudah acapkali kami sekeluarga mimpikan Nabila semakin pandai dan semakin bijak. Malah perasaan itu sampai terbawa-bawa di alam realiti. Mungkin juga terlalu mengharapkan sesuatu dari Nabila menyebabkan kami sentiasa mimpikan perkara-perkara yang baik tentang Nabila. Ya Allah, andai itu adalah perkara yang bakal berlaku pada anakku, ku mohon Kau jadikanlah ianya di alam realiti ini. Amin..
Andai perlu untukku menunggu..aku akan tunggu dengan sabar sehingga tibanya saat itu.. :)

06 December 2010

Cousin's Wedding..

Selesai sudah majlis perkahwinan sepupuku semalam. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Dan sepupuku tampak cantik dengan busana perkahwinannya.Ringkas tetapi anggun..!!

Imizar & Iqbal.. Moga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.. :)


Dan seperti biasa Nabila pastinya akan menjadi tatapan umum mata yang memandang. Ramai juga yang bertanya bagaimana keadaannya boleh menjadi sebegitu.Aku menjawab seringkas yang boleh. Dan selebihnya mak aku yang menerangkan pada makcik-makcik ini.

Makcik..nanti saya nak pelamin macam Aunty Mimi saya.. :)
Budak yang sangat behave ok..!! Selalu kena cium ngan Makcik Alisa. Nabila suka pulak tu.Yelah..makcik ngan anak buah pun sebaya..Nabila dah tahu nak berkawan.. :)


Huh..Malas benar aku. Sepertinya tak kuasa melayan.Mungkin ada yang bersimpati apa yang telah terjadi pada Nabila. Semuanya berkata..

"Kesiannya.." .

Atau ayat ini...

"Sayangnya!! Orangnya comel!"

Aku tak pasti dengan perasaan ini.Semakin lama mendengar kata-kata orang luar yang melihat Nabila..aku seakan "tebal telinga". Sudah lali. Sepertinya sudah kebal. Namun kadangkala hati tersayat juga.

Biarlah mata yang memandang.Biarlah mulut berkata. Hanya hati ini saja yang mengetahui susah senang pahit getir bersama Yasmin Nabilah..

p/s : Sewaktu meningglkan Nabila di Tasputra tadi..Nabila menangis. Pada mulanya ku kata padanya sewaktu di dalam kereta "Ok sayang,dah sampai sekolah dah. Jangan nangis-nangis yek. Buat exercise tau". Tapi masuk je dalam dan aku cium pipi sambil ucapkan 'bye' pada Nabila, tiba-tiba airmatanya berjurai.Menangis! Aku pulak yang hiba melihatnya..huhu.. Tangisannya seakan memberitahu aku bahawa jangan meninggalkannya.. Aduhai sayang..!

03 December 2010

Kenangan ini..

Beberapa gambar Nabila ku belek. Penuh dalam pendrive. Satu folder. Semuanya gambar-gambar Nabila yang lama. Dan tak sangka..Tahun depan Nabila sudah berusia 3 tahun.

Ya Allah..cepat benar masa itu berlalu. Dari hari pertama ku lihatnya, aku sudah jatuh cinta dengan anak ini. Biarpun lahirnya penuh dengan cubaan dan dugaan..anak ini sememangnya kuat. Mahu terus hidup dan melihat ibu dan ayahnya di dunia ini. Biarpun hidupnya nanti bakal serba kekurangan. Terima kasih Nabila kerana telah hadir dalam hidup ibu dan ayah.. :)

Ketika masih bayi. Kecil..dan sangat fragile..

Dalam pantang lagi..mata yang sangat cantik. Tapi bulu mata tak lebat lagi masa ni... :)

Raya pertama bersama Nabila. Sangat tembam dan gemok..hahaha..!!! Dan kembali duduk bersama mak dan ayah di Gombak setelah mengetahui 'keadaan' Nabila.. :(

Rambut lebat sangat..Semua ikut ayah..ala-ala ikal.. :) Yang tak suka adalah matanya ketika ini. Tapi dah besar-besar ni kurang sket julingnya.. :)

Apapun kekurangan anak ini, ku terima. Namun anak ini sebenarnya tak pernah kurang di mataku. Malah dialah segala-galanya bagiku.

Buat Nabila, ibu akan harungi segala kesusahan kita bersama. Takkan ibu tinggalkanmu sayang. Ibu tahu kamu anak yang kuat. Tabahkan hatimu sayang. Syurga pasti menantimu.. :)

02 December 2010

Tawamu penawar dukaku..

Comel..itu perkataan yang boleh ku katakan dalam gambar itu. Wajah yang sangat suci..persis puteri dari kayangan.. :)
 
Ibu sayang sangat padamu Yasmin Nabilah. Moga dikau menjadi anak yang baik dan terus maju kehadapan.. InsyaAllah..
 
 

Bagaimana untuk menahan diri ini?

Berkali juga aku menceritakan tentang adik Nabila. Berkali juga aku cuba untuk menahan gelodak diri. Peritnya bila sukar sekali untuk menahan diri.
Kali ini bercerita lagi tentang adik Nabila. Gelodak hati tatkala memegang Ra'id..baby yang selalu berkunjung ke rumah mak aku.
Pagi-pagi lagi Ra'id sudah muncul di muka pintu rumah mak bersama neneknya. Sempat aku bermain-main dengan Ra'id sebelum bersiap-siap untuk membawa Nabila ke PDK. Bila ku pegang Ra'id..terbayang-bayang di ruang mata andai Nabila punya adik seperti Ra'id. Sihat dan normal. Memang itu yang diidamkan sedari dulu.
Ku cuba merasai nikmat mempunyai 2 orang anak. Yang istimewa dan normal. Andai diri bisa mampu..boleh saja. Namun beberapa perkara yang mengganggu membuatkan ianya membantutkan hasrat hati.
Kata mak, biarlah dulu. Berilah peluang untuk Nabila membesar. Nabila juga masih seperti bayi. Tunggu sehingga 1-2 tahun lagi untuk berikannya adik lagi.
Aku akur. Memang itu sebenarnya yang dirancang pada awalnya. Tapi bagaimana untuk menahan diri ini?
Dan hati ini berdetik. Sabarlah. Ianya pasti akan muncul jua...
Bila Ra'id disampingku..ku melihat dirinya bermain permainan dihadapannya. Nabila masih belum menguasai skill memegang. Dan aku mula terasa seronok bila Ra'id bermain-main dengan mainan yang ku beri. Ini bukanlah bermakna aku kecewa dengan Nabila yang masih belum menguasai skill itu. Aku berasa bersalah kerana Nabila masih gagal menguasainya. Mungkin masih kurang input yang ku beri pada Nabila..
Sayang..memang sayang..Mungkin kecedaraan otak Nabila di tahap 3 membuatkan aku perlu lebih banyak bersabar dan menanti saat tiba masanya Nabila bermain sendiri. Ya..Nabila perlu lebih lagi. Anak ini ada potensi namun aku perlu banyak usaha dan sabar.
Tadi pun sewaktu berada di PDK, kami duduk di bilik snoozelon. Nabila sepertinya nampak dan cuba memegang lampu-lampu di badannya. Kata Cik Yah, Nabila mungkin nampak cahaya tetapi bukan pada objek. Gusar hatiku bila mendengar katanya. Ya, Nabila akan alert pada cahaya. Tidak pada objek. Tak sabar untuk aku membawa Nabila untuk pemeriksaan matanya. Lambat benar appointment dengan opthalmologist Sg. Buloh. Semahunya cepat masa itu datang. Dan mahu tahu secepat mungkin apa perkembangan penglihatan Nabila...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...