28 April 2011

Blog yang agak bercelaru!!

Apahal dengan page kat blog ni? Yang kiri kanan kat blog ni semua dah turun ke bawah..Adoiyaiii..Tak sempat nak edit apa nih..Jgn pelik yek tgk semua nih..Saya pun tak tau kenapa jadi begini..Huwaaaaaa!!!

Abis blog nabila..dah cerca merba dah..huhu... :(

p/s: Tadi Nabila buat adegan mata kedip-kedip. Pastu tahan-tahan nafas. Menangis sebab maybe dia rasa semacam kot badan dia. Jadi macam dulu balik. Saya risau nih. Tadi bunyi kuat kat luar terus dia jadik gitu..huhu....

27 April 2011

Sian Nabilla, tersedu-sedan menangis....

Pagi tadi saya terlewat. Sedar-sedar jam sudah menunjukkan pukul 6.45 pagi. Ya Allah, kelam kabut bangun. Saya tertidur di ruang tamu kerana Nabila mahu tidur di buaiannya. Saya sedar jam handphone berbunyi jam 5.00 pagi, namun saya mengantuk dan keletihan semalam. Saya tutup dan terus tidur kembali. Sudahnya, memang terlambat lah!!

"Nabila, pesan kat ibu jangan bawak kete laju-laju.." Itulah pesan Abang sebelum dia menutup pintu kereta. Huhu..Macam tau-tau je saya nak membezit pagi ni..

Adoiii..Memang lambat. Dahlah semua bawa kereta macam siput. Saya siap mencilok-cilok lagi. Tambahan pula ada sorang mamat ni. Saya cuba potong dari lorong kiri. Alih-alih tak bagi masuk himpit ke kanan. Kalau bawak kereta laju takpe gak. Ni macam nak gi bersantai pulak. Huhu..salah saya jugak. Kalau terlanggar macamana..Tak ke haru.. Ibu Nabila nih dah tak sayang nyawa agaknya..!

Nabila mulalah rasa tak selesa. Senget-senget badan dia duduk dalam car seat (padahal dia memang slalu gitu pun..tak pernah nak duduk betul. Bila dibetulkan mesti senget balik). Alih-alih menangis..Huwaaaa!!!

"Dah jangan nak nangis! Ibu tengah bawak kereta nih. Mana leh nak bagi susu.." Mak aiii..cam ibu tiri pun ada saya nih. Apa lagi..sang puteri melalak la kat dalam kereta bila kena marah..Huwaaaa!!!!

Adoiii..apa nak di buat ni. Serba tak kena dibuatnya. Meleleh-leleh air mata, air hingus..dan sewaktu dengannya...Sayu je tengok budak kecik ni menangis. Konon-konon sedih sangat la ibu marah dia..

"Dah la dik, ibu bukan marah lah. Kan ibu tengah bawak kete ni..Adik tak mo la nangis.."

"Huwaaaaaa...."

Saya kesat la air mata dia. Kesian pulak. Tak pasal-pasal Nabila kena ngan ibu pagi ni. Sori ek sayang. Ibu bukan marah adik pun. Ibu sayang sangat adik. Cuma ibu dah lambat. Adik lak nak wat adegan sayu mayu ni..Mau ibu tak naik hangin..

Sabau jelah pepagi nih. Datang opis..sistem lak wat hal. Lembab cam siput. Adoiii..satu keje pun tak jalan. Geram jer hati nih!!

Kali ni ibu lak rasa nak nangis... Huwwaaaaaa!!!!!!!

26 April 2011

~28 tahun sebagai anak, isteri dan ibu~

Alhamdulillah, Allah masih lagi memberikan peluang untuk saya bernafas di ruang muka bumi ini. Masih lagi menikmati hidup sebagai seorang anak kepada Encik Ali dan Puan Sa'adiah. Masih lagi menikmati hidup sebagai seorang isteri kepada Encik Zulhilmi. Dan masih lagi menikmati hidup sebagai seorang ibu kepada Yasmin Nabilah.

28 tahun? Jika dulu saya fikir jika sampai umur saya di tahap ini, sepertinya sudah besar panjang. Sudah matang dan tahu menilai baik dan buruk sesuatu perkara. Bila mencapai angka 28, saya sudah pastinya mengecapi apa yang saya mahukan dalam hidup saya.

Namun, segala yang dirancang bukanlah semuanya akan menjadi kenyataan. Lainlah kalau saya ada bidadari. Boleh tunaikan segala permintaan saya.. :P

Sepanjang hidup ini, serasa saya hidup ini adakalanya turun. Adakalanya naik. Adakalanya saya gembira. Adakalanya saya sedih. Namun, apapun terjadi, hidup harus diteruskan bukan?

Menjadi anak lebih-lebih lagi anak sulung memang memerlukan pengorbanan yang tinggi. Saya sendiri ada kalanya banyak beralah dengan adik-adik. Malah kadangkala agak garang dengan adik-adik. Kerana saya mahu mereka tahu hidup ini bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Saya pernah menangis kerana merasa ayah dan mak saya tidak adil pada saya jika dibandingkan dengan adik-adik saya yang lain. Kerana saya kakak. Dan saya harus lebih mengutamakan adik-adik berbanding diri sendiri.

Menjadi isteri lebih-lebih lagi kepada insan yang paling saya sayangi, memang tak terjangka dek akal fikiran yang saya akan bersama abang. Namun, masih banyak kekurangan diri dalam ilmu rumah tangga. Mujur abang sangat memahami. Dan doa saya mahu hubungan ini kekal hingga hujung nyawa ini.

Menjadi ibu kepada Yasmin Nabilah lebih banyak mengajar saya erti hidup sebenar. Mengajar saya lebih banyak bersabar dalam hidup ini. Dan mengajar saya lebih untuk mengingati Tuhan.Anak ini telah memberikan sesuatu impak yang besar dalam hidup saya. Benar, jika dulu hidup saya mendatar. Tiada turun naiknya. Segalanya seperti biasa saja. Bersama Nabila mengajar saya erti sayang. Erti kasih demi anak. Erti berkorban.

Banding 28 tahun lepas, andai semua ini tidak terjadi pada saya, sudah tentu saya menjadi insan yang lain. Sudah tentu saya tidak mengenali kalian semua. Sudah tentu hidup saya dalam kebosanan. Kerna tiada turun dan naiknya.

Moga hidup nan indah ini terus di berikan buat saya. Alhamdulillah..


25 April 2011

~Majlis Hari Lahir Yasmin Nabilah~

*sticky post-untuk entry baru sila scroll ke bawah..~




Salam semua,

Kami sekeluarga ingin menjemput rakan-rakan semua ke Majlis Hari lahir Nabila yang ke 3 tahun.

Tarikh : 30 April 2011 (Sabtu)

Masa : 3.00 petang - 10.00 malam

Tempat : No. 30 Jalan Seroja 3A/3
Seksyen BS6, Bukit Sentosa
Rawang.


Jemput datang yek.. :)

p/s : Pada yang ingin peta rumah, boleh email pada saya antu_suci83@yahoo.com atau call saya di 012-6347956

Sungguh emosi itu tidak stabil...!!

Hujung minggu kami dipenuhi dengan aktiviti lagi. Sabtu, kami ke rumah Alisya bagi meraikan majlis hari lahirnya yang ke 3 tahun. Dan sebelum itu, kami ke rumah Ida & Zali melawat si kecil adik aiman yang baru dilahirkan seminggu lepas. Comel! Sebijik muka Aiman!

Dan Ahad, kami sibuk untuk persiapan barang-barang majlis hari lahir Nabila yang bakal diadakan pada minggu ini. Tersangatlah penat semalam kerana mendukung si kecil Nabila yang tidak mahu duduk di dalam strollernya...

Di rumah, Nabila kurang untuk bermain. Menangis walaupun sedang diberi makan. Makan pun sedikit saja. Dan hanya mahu tidur di dalam buaian. Namun bila diletakkan, matanya bulat memandang saya. Dan kakinya menendang-nendang mahu bermain. Kemudian ketawa besar! huhuhu...

Bila di bawa berjalan semalam, Nabila ketawa kuat. Sampaikan cashier dan beberapa pelanggan lain memandang ke arah kami. Agaknya semua pun gelihati melihat Nabila ketawa berdekah-dekah. Saya sibuk mengambil beberapa peket makanan ringan untuk goodies pack Nabila nanti, dan serasa saya dia tahu kami sedang sibuk membeli barang-barang untuk majlisnya nanti. Lagaknya bukan main suka hati sekali. Sehinggakan saya risau pula, takutkan dia mengigau pula bila nak tidur nanti.

Dan telahan saya tepat. Jam 1 pagi, pada awalnya Nabila terlelap, terjaga dari tidurnya. Dan menangis. Aduh..Susah betul hati. Sudahlah esok nak kerja. Mata saya pun mahu terpejam. Badan letih! Saya cuba memujuk, memberikan susu, air kosong dan memasangkan ayat-ayat Ruqyah. Tak jalan jugak!

Saya terdengar bunyi angin dari perutnya. Dan saya rasa Nabila pasti sedang sakit perut. Walhal saya sudah meletakkan minyak di perutnya. Dan Nabila tetap menangis. Sudahnya saya turun ke bawah, membancuh milo panas dan memberikan sedikit roti untuk Nabila makan. Saya suapkan roti tersebut di mulutnya dan Nabila hanya kunyah perlahan. Dan tak sampai setengah keping roti, Nabila kembali diam semula. Dan mahu memejamkan mata. Saya tak ingat ketika itu apa yang saya lakukan. Yang pasti saya masukkannya ke dalam buai dan kami suami isteri terlena di ruang tamu.

Kadang-kadang sukar untuk saya fahami kehendak Nabila yang adakalanya baik moodnya dan adakalanya juga mood seperti 'puting beliung'. Nak tak nak Nabila sudah umpama eksperimen untuk saya belajar mengenal isi hati dan kemahuan si kecil ini.

22 April 2011

Betapa sukarnya untuk menahan rasa hati ini...

Tadi, saya membawa Nabila ke HSB. Temujanji bersama fisioterapinya.
 
Dan seperti biasa juga mood si kecil ni tidak baik. Menangis bila ada budak praktikal memulakan langkah untuk terapi. Pada awalnya perasaan saya seperti biasa..namun entah kenapa, semakin lama saya semakin sedih pula..
 
Tatkala Nabila diletakkan di standing frame, laungannya sangat menusuk jiwa saya. Lama benar Nabila tidak berdiri pada alat itu. Dan tatkala therapist cuba untuk meluruskan kaki kirinya, laungan tangisan semakin kuat. Saya dapat rasakan sakitnya kaki si kecil ini.
 
Saya sedar, kaki Nabila tidak bertambah baik. Kakinya semakin menjengkit dan keras membuatkan dia semakin melawan pabila diperbetulkan kedudukannya. Bukan saya tak khuatir dengan masalah Nabila, malah saya rasa sangat risau dan rasa bersalah padanya. Kerna sudah lama benar Nabila tidak ke Gedangsa dan berurut. Sungguh hati saya sakit!!
 
Hati ibu mana tidak hiba melihat sang anak meraung kesakitan. Semahunya saya cuba menahan hati. Pedih jiwa saya! Sakit hati bagai dihiris-hiris. Air mata sepertinya mahu tumpah, tapi saya cuba untuk menahannya. Bukan mudah untuk saya menahan gelora hati ini.
 
Orang sekeliling yang bersama-sama menghantar anak di situ hanya memandang simpati pada saya dan Nabila. Agaknya entah apalah kata mereka tentang kami. Wajah saya? Tak tahu nak kata apa..Mungkin sudah merah menahan rasa hati.
 
Apa yang boleh saya lakukan? Saya hanya mampu menatap wajah sambil menyapu air mata Nabila. Ya Allah, sesungguhnya saya tak kuat bila melihat anak ini meronta mahu saya melepaskannya dari kesakitan. Air mata ini bergenang bila saya memberinya susu sesudah dilepaskan dari standing frame itu. Saya cuba menahan air mata ini dari menitik. Saya tidak mahu orang mengatakan saya lemah!
 
Namun, sampai di kereta, saya terus memecut laju pulang ke rumah. Dan sepanjang perjalanan, air mata ini tumpah juga. Saya tak dapat lagi menahan rasa hati saya. Mengapa mesti Nabila yang merasai semua penderitaan ini? Kesakitan, kepayahannya harus dilalui sepanjang hidupnya. Saya sayu mengenangkan nasib Nabila ini. Sampai bilakah ianya akan berterusan begini? Sampai satu tahap saya berfikir tadi, saya tidak mahu membawa Nabila ke hospital lagi. Saya tak mahu Nabila menjalani terapi lagi. Kerana semua itu mendatangkan kesakitan buatnya!
 
Saya tahu saya harus kuat, namun kadangkala saya tewas! Tewas dengan perasaan saya sendiri. Kerana Nabila adalah darah daging saya. Seperti orang lain juga, sepertinya tak sanggup darah daging sendiri menghadapi semua ini.
 
Ya Allah, aku tahu aku bukanlah hambaMu yang kuat.Kau berikanlah kekuatan untuk aku menempuhi semua ini. Sesungguhnya aku tak mampu melihat tangisan Nabila lagi.....

20 April 2011

Kasih ibu..Kasih ayah...

Tadi saya menonton satu filem hindustan. Agak lama juga saya tidak menonton filem ini.

Sinopsisnya, Si Ibu meninggalkan anak kerana mahu mengubah cara hidup. Si Ayah lah yang membesarkan anak selama 2 tahun. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh si Ayah.Segalanya demi si anak. Namun si Ibu kembali menuntut hak penjagaan anaknya. Si Ayah berkorban dengan menjualkan hasil karya untuk menampung kos perbicaraan di mahkamah. Si Ayah kalah untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya kerana seperti biasalah, hak penjagaan anak kecil pastinya akan jatuh ke tangan Si Ibu. Akhirnya si Ibu sedar yang si anak lebih bahagia bersama ayahnya berbanding dirinya sendiri..

Sedih bukan? Saya tak henti-henti mengalirkan air mata melihat cerita ini. Kerana saya dapat rasakan pengorbanan demi pengorbanan demi anak tersayang sehingga sanggup menjual segalanya demi kebahagiaan anaknya.

........................
....................
...............
...........
.....
..
.

Jika dulu, saya sedikit pun tidak merasai apa yang dikatakan pengorbanan ibu bapa kepada anak-anak. Apa yang saya ingat, ada satu perkara yang membuatkan saya rasa terharu pada ayah saya.

Pernah ayah menghantar saya untuk menjalani intership (praktikal) di Batu Pahat Johor. Saat itu kami memang hidup susah. Tiada kenderaan untuk ayah menghantar saya ke Batu Pahat. Ayah saya telah meminjam kereta rakannya.

Dan saya sedih bila dikhabarkan ayah dalam kesusahan sewaktu pulang dari menghantar saya. Alat pendingin hawa yang tidak berfungsi di tambah pula keadaan hujan ketika itu menyebabkan sukar untuk ayah saya membawa kereta. Dan pabila ayah memulangkan kereta tersebut pada rakannya, rakannya merungut kerana ada kesan calar di keretanya. Arghh..bukan calar yang ayah buat. Entah calar bila..ayah tak pasti. Tapi ayah dipersalahkan dalam hal ini.

Saya sedih kerana kehidupan kami agak terhimpit ketika itu. Dengan kehidupan di bandar yang agak mencabar ditambah pula dengan anak-anak yang ramai menyebabkan saya kagum dengan ayah saya. Kerana dia sedaya upaya mencari rezeki untuk kami sekeluarga demi sesuap nasi.

Dan kehidupan kami bertambah baik setelah saya dan adik perempuan saya bekerja... :)

Benar, andai kita sebagai ibu bapa, sememangnya kita akan korbankan segalanya demi anak. Tak perlu lihat contoh orang lain. Lihat saja pada diri saya. Sungguh, sebenarnya saya tak pernah menyangka saya akan menjadi seorang ibu kepada anak istimewa yang menuntut untuk saya berkorban lebih banyak masa, waktu dan wang untuk Nabila. Sungguh saya rasakan Nabila adalah segala-galanya buat saya dan Abang. Di tambah pula dengan keadaan Nabila sebegitu menuntut untuk saya berfikir untuk memberikan Nabila adik selepas dirinya dilahirkan.

Pengorbanan seorang ibu dan ayah tak boleh diukur dengan wang ringgit. Kerana setiap pengorbanan itu datangnya dari hati yang luhur. Ikhlas mahu berkorban untuk anak. Kerana mahu dirinya mendapatkan yang lebih baik dari apa yang saya dapat sewaktu saya kecil.

Saya selalu berfikir, saya tidak mahu Nabila merasai saat ketika saya sewaktu kecil. Teringin mahukan mainan seperti anak lain. Teringin untuk makan sedap seperti anak lain. Namun dek kerana kehidupan yang susah, saya terpaksa menahan segala keinginan saya itu. Saya tidak pandai untuk meminta yang bukan-bukan kepada ayah saya. Kerna saya tahu bukan mudah untuk ayah saya mencari duit hatta RM1.

Oleh itu, saya cuba untuk penuhi apa saja permintaan Nabila, biarpun dia sendiri belum pandai untuk meminta itu dan ini. Entahlah..Kadangkala saya rasa tak patut saya lakukan semua ini. Kerna ia akan menjadi sesuatu yang lebih buruk andai di biarkan. Namun, saya tahu mengawal diri. Andai saya tidak sedar, saya masih punya Abang untuk menyedarkan saya. Kerana Abang sering mengingatkan saya tentang perkara-perkara itu.

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Begitu juga dengan saya. Kerana saya tahu, bilakah masanya lagi untuk saya memberikan segalanya untuk anak saya. Andai hidup ini panjang, tak mengapalah..andai pendek? ........................................................................saya sukar untuk jawab soalan itu......!

Kan bagus badan boleh di belah dua...

Rasanya sudah lama tidak bercerita tentang aktiviti Nabila. :(

Sebenarnya, sejak saya sibuk dengan usaha saya untuk mengurangkan berat badan, saya kurang dapat melakukan aktiviti bersama Nabila. Jika dulu, waktu malam saya dapat manfaatkan masa bersama Nabila. Kini rasanya begitu sukar untuk saya bahagikan masa.

Adakah saya mementingkan diri?

Saya rasa kadangkala penat berkejaran ke sana ke mari. Kadangkala juga saya mahu bermalas-malasan. Tiada sesi terapi untuk Nabila dan juga tiada sesi exercise untuk saya (kan bagus badan ni kurus..tak yah la nak susah payah gym..huhu)..

Harapnya Nabila dapat sedikit aktiviti yang dia lakukan di sekolah. Saya tak sempat untuk bertanya lebih lanjut pada therapist dia di sekolah. Faham sajalah Nabila. Ada mood juga kalau nak buat segala mak nenek terapi. Kalau dah suara melaung gajah..manalah nak buat! Habis di keras-keraskan badannya.Adoiyaiii..

Cumanya saya perasan beberapa perubahan si kecil ini. Dia lebih alert dan telah mengenali suara orang di sekelilingnya. Dan lebih cepat respon berbanding dulu. Mulut bising usah ceritalah. Sebut "Aaaaaaaa.." sesaja. Dulu sebut "buuuuuu..." atau "uuuuuuuu..". Sebelum ni sebut "woooorrrrrrmmm.." Huh! apa sajalah dik. Janji kamu happy!

Saya cuba juga untuk penuhi masa malamnya. Tapi kesian juga kalau Nabila nampak keletihan bila pulang ke rumah. Dan terus saja tertidur. Agaknya di sekolah dia tak tidur. Sian anak ibu!

Itulah, bila dah tak dapat lakukan sesuatu untuk Nabila, rasa ralat sangat. Aduhai..kalau lah badan ni boleh dibelah dua kan senang..hehe...

19 April 2011

Sesak..Sesak..Sesak..!!!

*ihsan en.google*

Selalunya saya jarang merungut tentang jalan kat Kuala Lumpur ni. Namun hari ni, saya rasa jemu. Bosan dengan situasi yang sama!.

Kalau ikutkan perjalanan saya dari Rawang ke Ampang untuk menghantar Nabila ke sekolah memakan masa dalam 1 jam 1/2. Dan kemudian berpatah balik ke Jalan Duta selama 1/2 jam perjalanan. Dan kira-kira saya perlukan 2 jam untuk sampai ke tempat kerja.

Namun, bila sesak, semuanya kadangkala memerlukan masa yang lebih dari apa yang telah saya anggarkan. Dan kadangkala juga saya terlewat ke tempat kerja. Dan kerap punch card saya MERAH!!

Selalunya saya akan keluar sesudah subuh. Sekitar jam 6.15 pagi. Fikir sajalah pukul berapa saya sudah bangun dan memandikan Nabila! huhu...

Jalan sesak : Di pekan Rawang saja sudah memeningkan kepala. Dan melalui Templer Park. Walaupun jalan di situ sudah diperbesarkan, namun masih ada lagi pembinaan yang belum siap. Jalannya..? MasyaAllah..berlubang-lubang. Mau rosak tayar..!!

Dan kemudian di Selayang. Huh! Faham sajalah berhadapan Pasar Borong Selayang. Sakit jiwa kalau lalu situ. Tapi apakan daya..Satu je jalan kat situ menuju ke KL.

Dan kemudian saya akan menyusuri Batu Caves. Saya memilih antara dua, sama ada menaiki Highway DUKE atau terus saja melalui Wangsa Melawati untuk ke Jelatek. Tapi sejak kebelakangan ini, saya lihat DUKE sesak. Maka saya terus melalui Wangsa Melawati. Cuma yang tak suka di situ adalah traffic light!

Kenapa tak lalu MRR2? Huh! Lagi sesak sana! Depan Bukit Antarabangsa saje dah sesak! Adoiyaiiii!!

Dan saya menyusuri lagi jalan di hadan LRT Jelatek. Situ pun sesak jugak! Dan terus masuk ke lorong sebelah Perkeso menuju Ampang Hilir. Menghantar Nabila ke sekolah dan meneruskan perjalanan ke Jalan Duta melalui DUKE.
Itulah rutin hari-hari saya. Memang penat. Tapi nak buat macamana. :(

Kadang-kadang rasa nak persalahkan orang yang buat jalanraya kat Malaysia ni. Macam contoh, jalan dari 2 lorong ke 1 lorong. Manalah tak sesak. Tambahan pula, ada kereta-kerata yang menyelit di laluan kecemasan. Sampai penunggang motorsikal nak lalu pun susah. Pernah sekali, saya nampak penunggang motorsikal memaki hamun pemandu wanita yang mengikut laluan kecemasan. Agaknya nyaris nak melanggar penunggang tersebut. Penunggang motorsikal itu berhenti sambil marah-marah pemandu wanita tersebut. Dah jadi kes drama plak di tepi jalan! Huhu..

Lagi satu, sekarang ni kereta dah banyak. Mana ada dah orang buat jalan 1 lorong je. At least mesti ada 2 lorong. Dapat pula orang yang bawa kereta ala-ala siput gitu. Mau tak sesak jalan. Tu yang ada memotong ikut lorong bertentangan. Bila tak dapat potong, bertembung pula dengan kereta dari arah bertentangan. Sudahnya accident! Ha..tak ke naya!

Jalan sesak pun boleh buat kemalangan. Semalam saja, saya ternampak 2 kemalangan di hadapan saya. Yang pertama, penunggang motorsikal. Terjatuh dari motor. Tak pasti langgar apa, tapi tau-tau aje dah tergolek kat atas jalan. Kesian pun ada..huhu.. Lagi satu betul-betul depan saya. Kereta di hadapan saya. Entah apa yang dia lakukan. Waktu itu memang semua berasak-rasak nak pulang dari kerja. Kereta tetap bergerak namun perlahan. Entah apa yang difikir oleh pemandu di hadapan saya, terus-terus saja dia melanggar belakang sebuah Pajero. Huh! Kemek! Pajero tu takde apa. Yelah. Kata pun kereta besar! Mujur saya jarak dengan kereta itu. Kalau tak, mau saya juga terbabit dalam kemalangan tersebut.Huhu..!!

Apapun, KL dan jalan sesak memang tak boleh di pisahkan. Kalau tak sesak bukan KL lah namanya! hehe...

p/s: Nabila seronok semalam kat sekolah. Kata staf kat sekolah, Nabila senyum sepanjang hari. Kawan-kawan siap nyanyikan lagu Birthday untuk dia. Mau tak senyum lebar! Nasib baik goodies pack semalam cukup. Alhamdulillah. Hari ni, Nabila ada check up gigi kat HKL. Staf Tasputra akan bawa Nabila ke sana petang ini. Takpe, gigi anak ibu cantik..:) Sure kena puji lagi nih! hehe...:)

18 April 2011

Birthday Girl tersenyum sepanjang hari...

Semalam, tiada apa yang kami lakukan di rumah. Kerna ayah Nabila bekerja. Jadi yang tinggal hanya kami berdua tanpa sambutan istimewa..

Cumanya, saya sibuk mengemas rumah setelah sekian lama tidak pulang ke Rawang. Habuk bukan main banyak lagi. Jangan harap lah ayah Nabila nak sapu-sapu sampah. Mengemas apatah lagi. huhu...

Tiada gambar birthday girl di hari ulangtahunnya. Saya sedang merangka-rangka untuk melakukan party di rumah kami pada hujung bulan ini. InsyaAllah..Andai ada rezeki, kami akan jemput semua.. :)

Semalam juga, Nabila nampak ceria. Asyik dengan tawanya bilamana saya sibuk mengemas sana-sini. Saya biarkan dia bermain sendirian, dan kadangkala saya terdengar hilai tawanya. Amboi..kemain lagi. Pulak tu saya dah janji dengannya untuk membeli kek dan membuat goodies pack untuk Nabila bawa ke sekolah hari ini. Dan sejurus ayah Nabila pulang dari kerja, terus kami keluar membeli barang-barang yang patut termasuk menempah kek untuk hari istimewanya nanti.

Sewaktu saya sibuk menyiapkan gooodies pack untuk kawan-kawan sekolah Nabila malam tadi, Nabila bukan main seronok. Agaknya dia tahu esok kawan-kawannya nak nyanyi lagu Birthday untuknya. Tadi pun sewaktu saya sampai ke sekolah, saya terus menyerahkan semuanya kepada staf di situ. Kata mereka, tidak mahukah saya menunggu untuk sama-sama menyambutnya. Saya tak dapat nak turut serta memandangkan saya tidak bercuti. Tak sedap pula kalau saya lama-lama di sekolahnya. Itupun sesudah saya mencium Nabila, saya terus bergegas ke pejabat. Takpe kan Nabila. Nabila nyanyi kan kawan-kawan ek..

p/s: Semalam Nabila tidur lewat. 4 pagi baru tidur. Huh! Dah besar umur tidur pun dah lewat ek.. Mana taknyer..asik ketawa mengekek jer..huhu..Nasib baik tak mengigau..hehe

17 April 2011

3 Tahun Bersamamu Nabila...

Nabila Sayang,

3 tahun bukan mudah untuk ibu lalui bersamamu sayang. Banyak yang telah kita lalui. Suka duka pahit getir ibu membesarkanmu tanpa penat dan jemu. Seringkali air mata ini mengalir keranamu. Tak kira air mata sedih atau air mata gembira.

Nabila Sayang

Tak terucap dek kata-kata bahawa ibu teramat sayang padamu. Sungguh hati ibu tak keruan pabila dirimu jatuh sakit atau saat dirimu bersedih. Dan ibu akan pastikan anak ibu ini sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan ceria biarpun hidup ini bukannya seperti insan-insan lain.

Nabila Sayang,

Ibu tidak pasti lama bila lagi ibu akan dapat bersamamu. Andai nyawa ibu ini tak panjang, ibu mahu anak ibu ini boleh berdikari sendiri. Mampu untuk bangun dan makan minum sendiri. Mahu anak ibu ini boleh menguruskan diri tanpa bantuan sesiapa. Ya, kita sedar sayang. Tiada siapa yang suka dirinya terbeban dengan keadaanmu. Kerna itu ibu mahu kita usaha sendiri demi diri kita.

Nabila Sayang,

Biar lelah ibu, biar bergadai harta ibu, namun ibu mahu Nabila sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Ibu mahu Nabila merasai alam persekolahan bersama rakan-rakan biarpun anak ibu ini hanya terlantar dan tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Ibu mahu Nabila merasai nikmat berjalan di tempat awam, membeli pakaian yang cantik, makan makanan yang sedap sama seperti anak lain. Kerna itu adalah hajat ibu. Ibu tak mahu sedikit kekurangan pada anak ibu ini.

Nabila Sayang,

Ibu tahu anak ibu telah lakukan yang terbaik. Ibu tahu kemampuan anak ibu. Ibu tahu sedaya upaya anak ibu cuba untuk bangun dan lakukan segala terapi. Ibu tahu anak ibu cuba bercakap dengan ibu biarpun ibu tak tahu apa yang diucapkan olehmu sayang. Ibu cuba memahaminya sayang.

Nabila Sayang,

Andai ibu terpaksa mendukungmu untuk sepanjang hayat ibu, ibu rela. Andai ibu terpaksa menyuapkanmu makan, ibu masih rela. Dan andai ibu terpaksa memandikanmu untuk selamanya, ibu pastinya rela jua. Kerna ibu tak pasti sampai bilakah anak ibu ini akan dipinjamkan oleh Allah. Dan ibu juga tidak pasti adakah nanti ibu masih punya kesempatan untuk lakukan semua itu untuk Nabila.Semuanya kerana kasih ibu pada Nabila yang tiada penghujungnya

Nabila Sayang,

Duniamu tidak gelap. Ibu akan sentiasa memimpin tanganmu. Ibu akan sentiasa menyokongmu. Ibu akan sentiasa menjagamu. Ibu tahu Allah telah berikan yang terbaik buat ibu. Iaitu kamu sayang. Allah pasti akan membantu kita walau kita berada dalam keadaan sulit sekalipun. Ibu yakin tentang itu. Anak ibu ini adalah anugerah terindah yang pernah terjadi dalam hidup ibu.


Selamat Hari Lahir yang ke 3 sayang. Moga pelangi nan indah akan terus menyinari hidup kita. Moga anak ibu ini terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam hidup ini. InsyaAllah..

Salam sayang buat Nabilaku,

IBU

16 April 2011

Kadang-kadang ibu pelik....

Ibu selalu perhatikan Nabila..
Nabila suka pandang atas...
Mata hitamnya ke atas..
Ibu tak tahu apa yang Nabila cuba pandang..
Tapi ibu tahu mata Nabila tidaklah sebaik mata anak berusia 3 tahun..
Dan ibu tahu pandangan Nabila kabur semata-mata..
Tapi mengapa Nabila pandang atas..
Ada apa-apakah di atas itu..
Nabila nampak sesuatu kah..?

Ibu selalu perhatikan Nabila..
Nabila suka ketawa seorang diri..
Ibu tak tahu siapa yang geletek Nabila..
Yang ibu pasti Nabila akan tersenyum seorang diri..
Sambil memandang satu arah..
Kadangkala ketawa mengekek..
Sampai ibu rasa gelihati..
Namun, ibu fikir kembali..
Kenapa Nabila ketawa?
Adakah Nabila sedang bermain dengan seseorang..?

Ibu selalu perhatikan Nabila...
Nabila bangun tidur..
Tiba-tiba Nabila menangis..
Ibu cuba pujuk..
Tapi Nabila tetap menangis..
Ibu peluk Nabila erat-erat..
Ibu usap belakang Nabila..
Ibu cuba tenangkan Nabila..
Dan Nabila terlena kembali di bahu ibu..
Anak ibu mimpi burukkah?
Siapakah yang mengganggu tidur Nabila..?

..........................
.....................
.................
..........
....
.

Kadangkala ibu pelik..Ibu cuba untuk fahami dirimu sayang. Ibu tetap akan cuba walaupun ianya sukar untuk ibu fahami....

14 April 2011

Nabila hampir tiada di dalam rahim ini..

Hati saya sedang risau mengenangkan rakan saya, sedang mengandung 39 minggu dan mengalami pendarahan ketika ini. Di tahan di wad pada Jumaat lepas dan doktor pakar menyarankannya supaya balik ke rumah. Bukaan sudah 3 cm. Semalam, menurutnya bayi tidak bergerak, dan hari ini khabarnya bayi bergerak semula. Namun pabila saya tanya sudah cukup kiraan 10 atau belum, katanya dia tidak pasti. Kini sakit kontraksi tiada, namun hatinya gusar untuk ke hospital semula. Saya doakan rakan saya selamat melahirkan bayinya. Saya pula yang panas punggung bila tahu keadaannya nih..hehe...

Bila cerita tentang mengandung dan bersalin, saya teringat kisah saya yang saya hampir kehilangan Nabila ketika dia berusia 8 minggu di dalam rahim saya.

Saya ingat lagi, saya sedang bekerja. Dan tiba-tiba mahu ke tandas. Dan sewaktu saya membuang air kecil, saya ternampak tompokan darah pada seluar saya, dan saya nampak titisan darah mengalir di celah kelangkang saya. Saya benar-benar panik. Dan semahunya saya berlari menuju ke arah rakan saya, Lisa. Saya berbisik dan pada masa yang sama, saya hampir menangis. Kerana menyangkakan Nabila sudah pergi meninggalkan saya.

Lisa cuba memujuk saya, dan beberapa rakan saya, Lily,Huda dan Aisyah juga menemani saya ke hospital. Sungguh hati saya tak keruan ketika itu. Dan pertama kali itu juga saya diperiksa oleh doktor lelaki. Malu, tersangat malu apatah lagi ramai doktor pelatih turut mengerumuni saya. Dan saya terdengar perkataan polip. Dan kemudiannya saya di suruh berehat di rumah.

Kejadian tersebut tidak mendatang apa-apa yang membahayakan nyawa Nabila ketika itu.
Kejadian kedua terjadi lagi. Dan kali ini sangat menggerunkan saya. Ianya seperti ketulan daging terjuntai di saluran faraj saya. Ya Allah..memang menakutkan ketika itu. Lantas, saya bergegas ke Hospital Kuala Kubu. Dan saya di tahan di sana untuk sehari.

Selepas di periksa oleh doktor di situ, mereka terpaksa memindahkan saya ke Hospital Sungai Buloh kerana di sana peralatannya lebih lengkap. Dan setelah di periksa, ianya adalah 'Threatened Misscarriage' atau dalam bahasa melayunya kehamilan yang hampir gugur. Dan setelah di tahan di wad, dan keadaan saya stabil, saya dibenarkan pulang dan kembali untuk pemeriksaan semula pada kehamilan saya berusia 20 minggu.

Alhamdulillah, Nabila saya masih bernyawa dan keadaannya sangat baik sekali. Namun, bila mengenangkan saat kelahirannya, saya diuji lagi. Dan ujian kali ini benar-benar membuatkan kehidupan kami bertiga berubah sama sekali. Namun saya tahu Allah telah berikan yang terbaik buat saya dan saya redha dengan ketentuan-Nya.

Oleh kerana itu, untuk kelahiran seterusnya, saya harus menjaga sebaik mungkin kesihatan saya. Diebetis yang saya alami ketika hamilkan Nabila membuatkan saya risau andai ianya hadir sekali lagi untuk anak yang kedua. :(

Nabila berusia 7 bulan di dalam rahim saya..:)

p/s: terima kasih pada rakan-rakan yang memberi pendapat tentang keadaan kawan saya di facebook hari ini. Saya sendiri sedang menunggu berita darinya. Doakan segalanya baik untuk kawan saya dan bayinya yek.. Terima kasih..:)

12 April 2011

Mahu pendapat kalian...

Sebenarnya saya memang perlukan pendapat kawan-kawan semua. Saya ada bertanya pada Abang perkara ini. Tapi bila di tanya, dia tanya kita balik..siap kata "confirm ke nak bukak?"..

Huh..bukak apa tu?

BUKAK IMPLAN!

Sebenarnya saya bukan sengaja nak mengada-ngada untuk buka alat perancang ini. Semua ini gara-gara saya ke gym baru-baru ini. Dan apabila saya melakukan exercise yang berkaitan dengan lengan..saya akan terasa sakit di bahagian bawah lengan di mana alat itu berada. Walhal pada area lengan lah yang paling penting untuk saya kecilkan . (faham sajalah..lengan je dah sebesar betis..huhu).

Dan saya ke gym memang tidak menggunakan khidmat trainer(mahal ok!). So saya tak pasti ianya adalah baik atau sebaliknya.

Saya telah menggunakan implan tersebut sejak 2008 lagi. Dan dijangka dibuka pada bulan 11 tahun ini. Namun apa yang saya khuatiri adalah keberangkalian untuk mengandung sebelum saya berjaya menurunkan berat badan mungkin ada. Dan rasanya nak kata saya bersedia dari segi mental juga nampaknya mungkin belum ada.

Apa pendapat kawan-kawan? Adakah saya patut tanggalkan saja alat perancang ini atau membiarkan sehingga tarikh yang telah ditetapkan untuk menanggalkannya? Buntu juga memikirkannya. Lagi-lagi saya sedang teruja untuk menurunkan berat saya apatah lagi baru 3 minggu di gym saya sudah turun sebanyak 6 kg. Adoi..tak tahu yang mana 1 pilihan hati..:(

Bila rasa gelodak hati mahu anak lagi..

Sewaktu Nabila berada di wad, saya nampak pelbagai gelagat anak-anak kecil yang kesemuanya mempunyai masalah hampir sama dengan Nabila. Semuanya berpunca dari demam. Melihatkan satu persatu wajah anak-anak itu, rasa kasihan melihat mereka. Ada yang sedang bermain, ada yang terbaring lesu kerana cirit birit dan muntah-muntah. Ada yang baru lepas dibedah dan banyak lagi.

Hati saya tersentuh bila melihat jiran sebelah katil saya. Dimasukkan ke hospital kerana sudah sebulan demamnya on dan off. Dan menurut ibunya, sakitnya tiba dikemuncak apabila nanah mengalir keluar dari telinganya. Kata doktor, mungkin sudah dijangkiti kuman, dan yang pasti terus saja doktor memberikan antibiotik dan di tahan beberapa hari untuk pemerhatian.

Melihatkan telatah anak itu, walaupun sakit, namun lihat sangat cergas dan sangat bijak. Saya turut memujuk si kecil itu pabila dia menangis merengek mahukan mainan. Dan mata saya tak lepas memandang kedua beranak itu sedang sibuk makan dan berbaring di atas katilnya. Saya berbual dengan si ibu sambil menghilangkan rasa bosan berada di wad.

Saya sempat berbisik pada Abang, betapa seronoknya melihat si ibu melayan kerenah si anak. Kebetulan sekumpulan pelajar praktikal (maybe doktor) sedang melakukan beberapa kajian dan praktikal terhadap anak-anak di situ. Praktikal tentang kelakuan anak-anak mengikut peringkat umur.

Teruja melihat salah seorang pelajar memberi arahan pada si ibu dan si ibu pula cuba memberi arahan kepada si anak . Entahlah..apa yang saya fikirkan ketika itu saya tak pasti. Walhal dahulu, bukan tak pernah saya menjaga kanak-kanak tipikal. Oh ya, baru saya teringat. Saya pernah rasa teruja dulu bila melihat adik lelaki saya sudah boleh berjalan. Dan pabila saya tahu dia boleh melangkah setapak dua, saya akan mengajarnya berjalan lagi sehingga pandai. Hati saya sangat gembira ketika itu.

Untuk sekarang, saya masih lagi belum merasai nikmat mempunyai anak normal. Namun, kata orang, untuk sekali dua memang seronok melayan anak-anak ini. Namun, bila sudah jemu, pastinya kita tak mampu melayan kerenah mereka.

Benarkah ia begitu? Saya tidak pasti tentang itu, namun apa yang saya rasakan, saya begitu gembira jika apabila si anak dapat bermain dengan baik dan bijak menggunakan idea kreativiti mereka. Entahlah..mungkin juga saya belum merasainya. Kalau sudah merasa nanti pasti saya sama seperti ibu-ibu lain. Hurm...mungkin.. :)

Saya menyatakan hasrat pada Abang untuk membuka perancang yang saya gunakan ini lebih awal dari tarikh yang telah ditetapkan. Tetapi, saya punya objektif lain untuk dicapai sebelum saya mengandung lagi. Iaitu menurunkan sedikit berat badan ini. Namun, saya tak pasti bilakah ianya akan tercapai. Mungkin memakan masa yang agak lama. Saya juga harus bersiap sedia dari segi kewangan dan mental saya sendiri. Bersedia untuk anak kedua dengan keadaan Nabila yang masih belum berjalan, adakah mampu untuk saya lakukan?

Maka, saya hanya berbisik di dalam hati supaya bersabar. Pastinya ia akan menjadi satu kemanisan yang paling bermakna dalam hidup saya dan keluarga andai saya bersiap sedia dari awal dan tidak tergopoh-gopoh untuk menurut kata hati ini.. :)

11 April 2011

Teruja melihat aksinya..

Sebenarnya saya dalam perasaan keterujaan. Semua kerana kisah semalam...

Semalam pada awalnya saya dan Abg memang tidak bercadang untuk membawa Nabila ke mana-mana. Dan kemudian saya membaca mesej di facebook dan rupanya Nabila ada jemputan ke majlis hari lahir Hazim, anak kak Faizah. Berkali juga Kak Faizah menelefon saya menjemput datang ke rumah, makanya saya mengambil keputusan untuk datang bertemu Hazim.

Dan selesai di majlis Hari Lahir Hazim, kami ke Sunway Pyramid. Bertemu Ummi Alisya. Rindu pada di kecil itu dan menurut Ita, Alisya sudah mulai bersuara. Alhamdulillah. Saya sendiri nampak Alisya menggerakkan mulutnya, seolah-olah mahu bercakap dengan saya..Aduhai..comelnya.. :)

Nabila pula, sepanjang perjalanan ke Sunway, asyik tersenyum dan ketawa berdekah-dekah. Dia sudah mendapat satu lagi skill baru. Mengajuk cakap ibu! hehe..

Nabila suka benar sebut "Aaaaaaaaa...." Dan kemudian dia akan ketawa. Entah apa yang menggelikan hatinya , saya tak pasti. Dan saya cuba mengajuk kembali katanya.. "Aaaaaaaaa..." Dan kemudian saya tak sangka rupanya Nabila juga menyebut kembali perkataan yang sama. Dan kemudian kami ketawa bersama. Sangat comel sekali... :)

Entah berapa kali dia lakukan perkara tersebut, saya tak kira pula. Tapi memang banyak! Seolah-olah dia tahu apa yang diucapkan dan tahu perasaan gelihati. Saya tak sempat merakamnya, kerana terlalu teruja bermain dengan Nabila.

Mungkin inilah yang Nabila bayar sewaktu dia demam sebelum ini. Saya tidak pasti adakah perkara ini akan berterusan, namun saya gembira dengan perubahannya. Tidak banyak, sedikit pun membuatkan hati saya cukup-cukup gembira. Alhamdulillah...:)

Doa kalian amat saya hargai..Terima Kasih..

Salam semua. Selepas membaca komen-komen semua, terasa berat hati pula untuk saya menutup pintu blog ini. Benar..Atas doa kalianlah Nabila saya semakin kuat untuk meneruskan hidupnya. Sungguh saya terharu dengan apa yang di tulis oleh pembaca di sini. Mungkin juga saya tidak patut berfikiran singkat untuk menutup segalanya. Entahlah..mungkin fikiran saya bercelaru. Apatah lagi minggu lepas saya diuji dengan keadaan Nabila yang demam dan meragam!

Bercakap tentang demamnya, sedia maklum, Nabila telah di masukkan ke hospital Kuala Lumpur pada Rabu lepas. Itupun sesudah 3 antibiotik dan ubat demam yang bersilih ganti dimakannya. Sungguh saya risaukan keadaannya. Mak saya sudah bising-bising mahu saya membawanya ke hospital. Dan akhirnya saya akur juga.

Saya sebenarnya tidak menyangka Nabila akan di tahan ke wad. Ujian menunjukkan Nabila di serang viral fever. Pada awalnya doktor menyangkakan Nabila di serang denggi. Namun selepas ujian di buat, ujian denggi adalah negatif.
Hari pertama dan kedua, ragam Nabila serba tak kena. Sehinggakan rakan sepejabat datang melawat Nabila, Nabila masih lagi menangis. Aduhai.. Tak tertahan rasa hati melihat dirinya merengek sepanjang hari. Puas saya berbisik pada Nabila, kata saya " Dik, adik jangan nangis. Cuba tengok orang lain. Dorang sakit lagi teruk.Tapi dorang tak nangis pun!". Entah Nabila faham atau tidak, saya tak pasti.

Di hari kedua, Nabila langsung tidak mahu menyusu. Makan juga kurang. Air kosong apatah lagi. Dan sudahnya, petang itu Nabila dimasukkan air. Aduhai..Sudahlah sebelum itu, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana keadaan Nabila dicucuk bagi mencari urat untuk diambil sampel darahnya. Nabila menangis sambil menarik baju saya menahan kesakitan. Dan hampir 7 kali cubaan cucukan jarum menusuk di tangan dan kakinya. Saya seperti mahu menangis melihatnya.

Dan esoknya, Nabila mulai tersengih-sengih. Senyum. Dan saya rasa lega sekali. Alhamdulillah. Saya mengangak petang itu saya dan Nabila akan discharge, namun entah mana silapnya, Nabila tiba-tiba demam. Dan sudahnya kami tidak dibenarkan balik sehingga ujian air kencing di lakukan. Dan saya terpaksa bermalam lagi di hospital.

Dan Sabtu, selesai result ujian air kencing dikeluarkan, barulah kami pulang. Alhamdulillah, tiada jangkitan kuman dan keadaan Nabila bertambah baik dan ceria.

Sungguh saya rasa amat-amat lega. Dan pabila pulang, Nabila cuba untuk mengangkat punggung untuk mengesot dan mulutnya sangat riuh sekali. Ketawa besar pabila saya mengajuk cakapnya. Sangat bijak. Alhamdulillah..

Terima kasih pada semua yang tak putus-putus bertanya khabar tentang Nabila. Dan juga sentiasa mendoakan Nabila. Tak terbalas rasanya jasa semua kerana sentiasa menyokong dan memberikan sumbangan dan doa pada Nabila.

06 April 2011

Berhenti mencoret di sini...

Sejak kebelakangan ini, saya banyak memikirkan tentang blog ini. Tentang segala cerita perihal Nabila...

Pernah terdetik, saya mahu menutup blog ini. Atau saya private kan saja entry-entry saya. Bukan memilih 100 pembaca saja, malah saya mahu ianya hanya untuk tatapan saya saja.

Adakah saya kedekut untuk share semua apa yang saya tahu mengenai anak Cerebral Palsy? *tak kedekut ok..sapa-sapa email atau chat ngan saya, pasti saya balas*

Entahlah..saya tak rasa pula blog ini banyak input jika dibandingkan dengan blog-blog rakan-rakan saya yang lain yang lebih bermaklumat dan berinfomasi.. :)

Pernah saya klik tab permissions dan memilih button only author untuk seketika. Tapi ianya hanya seminit dua. Kemudian,saya membukanya kembali untuk tatapan umum. Entah apa yang membuatkan saya agak gila ketika itu, saya tidak pasti. Adakah saya sudah jemu..? Mungkin.... :)

Mungkin nanti saya akan buat perkara itu. Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi mahu ianya menjadi sesuatu yang boleh di privasi kan antara saya, Abang dan Nabila.

04 April 2011

Sendu di hati ini..

Rasa nak menangis tadi. Bila melihatkan Nabila menangis tanpa henti.. :(

Sepertinya jadi seperti dulu semula. Masih ingatkah semua yang Nabila pernah menangis tanpa henti. Rasanya ini kali yang ke 3 terjadi pada Nabila.

Saya memecut laju pulang ke rumah mak sewaktu rehat jam 1.00 tadi. Itu pun saya lewat masuk ke pejabat. Saya terus menerpa ke arah Nabila bila sampai di rumah mak. Dan saya lihat Nabila menangis.

Sungguh rasa pilu hati ini. Sebak rasa bilamana memujuk si kecil ini.

Saya cuba mengingat apa yang berlaku pagi tadi. Saya tidak tahu apa salah saya menyebabkan Nabila menangis. Abang dan mak juga turut runsing dengan perilaku Nabila. Ya Allah, air mata ini bergenang bila saya cuba memujuknya. Saya meminta maaf pada Nabila andai ada yang saya lakukan buatnya terasa hati.

Sungguh anak ini sangat sensitif. SUNGGUHHHHH!!!

Ya Allah, berikanlah keceriaan di wajah Nabila. Kembalikan senyumannya kepada saya.. Sungguh saya rindukan senyumannnya... :(

Sakit sebab nak naik umurkah?

Rasa pelik hari ini kerana saya ke pejabat tanpa Nabila di sisi saya. Selalunya saya akan mengendong si kecil ini untuk ke sekolah. Namun, dek kerana demamnya yang masih belum surut, batuk yang nampak masih belum hilang, membuatkan saya mengambil keputusan untuk memontengkan Nabila.

Subuh tadi, Nabila menangis tanpa henti. Entah kenapa hatinya sayu, saya tak pasti. Adakah dia tahu saya tidak bersamanya pagi ini?

Saya tinggalkan Nabila bersama ayahnya. Ayahnya yang bekerja malam akan menjaganya sehingga tengahari sementara menantikan mak saya pulang dari dylisis. Saya tidak mahu membawa virus selsema demam Nabila ke sekolah. Kesian pada anak-anak lain yang sihat-sihat, habis berjangkit dengan Nabila nanti.

Bila memikirkan tentang sakit demam Nabila, saya rasa sepertinya saya menjangkakan tatkala umurnya bakal menginjak ke usia 3, pastinya dia akan demam. Seperti tahun-tahun lepas, bila masuk saja April, pastinya dia akan sakit dahulu sebelum hari lahirnya.

Jika saya dahulu sewaktu kecil, tak pasti pula bulan April saya akan sakit seperti Nabila. Apa yang saya ingat, saya memang jarang sakit. Alhamdulillah. Ya, umur saya bakal naik lagi ke satu anak tangga..iaitu 28 tahun pada hujung bulan ini. Aduhai..kami berdua sedang berperang dengan demam selsema kami.. :(

Tapi, tak boleh nak salahkan nak naik umur ni. Mungkin juga cuaca yang agak panas kebelakangan ini menyebabkan sistem imun tidak dapat melindungi tubuh badan ini. Kesian pula melihat si kecil Nabila menangis merintih pabila tidak selesa. Semalam, sempat saya mengambil lagi suhu badannya. Ianya mencecah 39 darjah. Dan saya terus meletakkan ubat punggung. Menanggalkan baju dan tuala basah tak lepas-lepas dari tubuhnya. Kesian Nabila.

Saya tahu ramai anak-anak lain di luar sana yang sedang sakit demam juga. Aduhai..pastinya serba tak kena dibuatnya. Moga Nabila dan anak-anak lain lekas-lekas sembuh. Tak sanggup melihat air matanya lagi menahan kesakitan.... :(

03 April 2011

Bahana ibu sakit...

Semalam, Nabila merengek sepanjang hari. Kebetulan mak saya tiada di rumah kerana menziarahi saudara yang telah meninggal dunia. Tinggal saya, Nabila dan ayah saja di rumah. Merengek sepanjang hari membuatkan hati saya tak keruan.

Dan petang itu juga saya mengambil keputusan untuk pulang ke Rawang. Mahu ke klinik sekali lagi. Dan mahu mengambil ubat untuk saya. Batuk dan selsema saya juga tidak hilang malah lebih melarat lagi. Dan saya ingin mengambil antibiotik baru untuk Nabila. Abang juga turut sama dengan kami berdua tidak sihat. Tekaknya sangat-sangat perit dan merah.

Nabila sedari semalam tidak mahu makan dan minum. Semua ditolaknya. Barangkali tekaknya perit dan seleranya kurang. Tambahan pula Nabila mengalami cirit-birit. Kerap pula tu. Suhu badan tak berganjak. Masih 38 darjah.. :(

Malam, demam saya makin melarat. Saya tertidur setelah makan ubat batuk. Mujur Abang banyak membantu menjaga Nabila. Nabila pula asyik batuk dan muntah. Kahak yang banyak menyebabkan semuanya keluar membuak dari mulutnya. Serius. Nabila memang jarang muntah. Sekali dia muntah memang banyak. Habis lencun semuanya.

Entah berapa kali saya terjaga. Nabila yang tidur di buaian beberapa kali tersedar kerana batuk. Abang lah yang terkejar-kejar bangun melihat Nabila. Saya? Memang tak larat. Penangan ubat batuk membuatkan saya lalok. Serius..menyesal pula makan ubat batuk malam tadi. Tak sedar apa yang dah terjadi semalam. Abang sempat mengejutkan saya untuk bangun membantunya menukarkan baju Nabila yang habis basah terkena muntah. Dan 2 kali Nabila 'membuang' semalam. Badan? Hangat-sehangatnya...

Saya memujuk abang untuk tidak ke kilang hari ini. Tapi kata abang hari ini dia PIC (Person incharge) Nak tak nak terpaksa dia bekerja. Ketika entry ini di taip Nabila sedang lena. Baru lepas makan ubat...

Serius saya katakan, rasa menyesal pula saya sewaktu saya dijangkiti batuk minggu lepas. Saya memberikan Nabila makan sambil cuba merasai makanannya. Menggunakan sudu yang sama lah yang menyebabkan Nabila dijangkiti demam. Malah dia nampak lebih teruk dari saya. Aduhai...

Pagi tadi nampak Nabila menggigil sewaktu saya memandikannya. Badan dan kepalanya hangat, namun dia menggigil seluruh badannya. Kesian Nabila. Dan sepanjang tadi saya hanya memakaikan 'seluar keciknya' tanpa baju. Biar suhu badannya turun. Padahal saya tahu dia nampak 'sejuk' . Saya khuatir sawannya menyerang. :(

~demam yang tak sudah-sudah~

01 April 2011

Juling?

Semalam saya membelek gambar lama Nabila. Gambar sewaktu dirinya masih kecil lagi. Belum pun mencecah umur setahun. Dan sebenarnya hati saya sakit melihat gambar ini...

Jelas kelihatan mata Nabila yang sedikit juling pada sebelah kiri. Eh..bukan sedikit..tapi banyak!! Saya tahu Nabila mempunyai masalah ini, dan pernah dulu saya utarakan masalah ini kepada doktor mata. Namun faham sajalah. Mereka tidak mengendahkan sangat mata Nabila itu. Yang penting mata itu mampu untuk melihat!

Puas saya mencari maklumat bagaimana untuk membantu memulihkan mata Nabila yang juling. Anak-anak Cerebral Palsy memang selalu dengan keadaan mata sedemikian. Saya tidak pasti mengapa namun apa yang saya tahu semuanya berkaitan dengan aktiviti otak mereka.. :(

Kini saya dapat melihat juling Nabila agak kurang. Kadangkala saya nampak kedua matanya tepat memandang saya atau objek lain. Saya tidak pasti apa aktiviti yang saya lakukan kerana saya melakukan aktiviti untuk Nabila secara random. Tidak bertumpu pada satu bahagian sahaja. Dan saya juga tidak pasti apakah aktiviti yang telah memulihkan matanya.

Mungkin juga lampu-lampu yang saya selalu mainkan..atau Nabila bermain dengan flash card..atau atas rawatan bersama Kak Raw. Wallahualam... Saya hanya mencuba apa yang saya tahu ianya bakal membawa kebaikan kepada Nabila..

Syukur kerana matanya tidak lagi seperti dulu. Saya juga perasan dia sudah mulai respon tatkala saya dan keluarga memanggil namanya. Dia cuba untuk memandang. Namun kadangkala tersasar juga. Ya saya tahu, anak microcephaly memang perlukan banyak kesabaran dan tekun dalam mendidiknya. Kerana perkembangan mereka memang lambat mengkut tahap perkembangan otak mereka. Kadangkala saya sendiri menilai tahap Nabila. Adakah dia sudah mencapai tahap umur 1 tahun? atau masih lagi hanya berusia 2-3 bulan..? Entahlah..

Untuk anak sebegini saya harus terus dan terus lagi usaha. Mungkin saya perlu bersabar lagi dalam jangka masa yang panjang. :)

Bila berada dalam keadaan terpaksa..

Saya baru selesai pulang dari hospital. Membawa Nabila ke fisioterapi. Lama benar kami tidak ke situ.Kali terakhir adalah pada bulan 1 lepas. Dan sepatutnya temujanji berlangsung pada bulan 2. Namun ada perkara yang menghalang jadi terpaksa reschedule semula tarikh temujanji..

Sebenar-benar Nabila masih belum sihat sepenuhnya dari demam. Begitu juga dengan saya. Selsema dan batuk menyerang kami berdua selama seminggu masih belum pulih lagi. Dan semalam acara kemuncaknya. Iaitu demam bersama-sama. Kedua-dua kami tidur bagai tak sedar diri malam tadi.

Sebetulnya pagi ini memang malas sekali untuk ke fisio. Tambahan pula jam 5 pagi tadi , badan Nabila panas sangat. Saya membuka semua helaian bajunya dan hanya memakaikan pampers. Dan saya lap tubuhnya yang panas sesudah saya berinya ubat. Nabila pada awalnya merengek namun sesudah itu matanya layu. Mengantuk dek penangan ubat demam. Dan akhirnya dia terlena.

Lantas saya mengambil keputusan untuk ke hospital juga. Kerana tiada siapa yang ada di rumah mak pagi tadi. Saya tidak mahu menghantarnya ke sekolah. Kesian pula bila dah demam tapi kena pergi sekolah pulak. Saya sendiri batuk,selsema dan demam. Namun saya gagahkan juga untuk ke hospital dan tempat kerja. Kerana sepanjang minggu ini saya banyak bercuti dan bekerja separuh hari. Rasa kurang enak pula bila hari ini mengambil cuti sakit. Bos saya juga bukanlah seorang yang suka pabila stafnya kerap cuti sakit. Ala kalau tanya mana-mana bos pun, semuanya tak suka orang bawahan kerap cuti sakit..

Rasa bersalah juga tadi bila membawa Nabila ke HSB. Hanya sempat melakukan 1-2 aktiviti. Selebihnya Nabila nenangis meraung. Tak selesa barangkali. Maafkan ibu sayang. Ibu terpaksa. Kalau ada orang kat rumah pasti ibu akan suruh adik berehat saja dirumah...

Kalau selalu berkeadaan ini,pastinya sukar buat saya untuk mengurus semuanya dalam masa serentak.Hati berbelah bagi rasanya..

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...