22 April 2011

Betapa sukarnya untuk menahan rasa hati ini...

Tadi, saya membawa Nabila ke HSB. Temujanji bersama fisioterapinya.
 
Dan seperti biasa juga mood si kecil ni tidak baik. Menangis bila ada budak praktikal memulakan langkah untuk terapi. Pada awalnya perasaan saya seperti biasa..namun entah kenapa, semakin lama saya semakin sedih pula..
 
Tatkala Nabila diletakkan di standing frame, laungannya sangat menusuk jiwa saya. Lama benar Nabila tidak berdiri pada alat itu. Dan tatkala therapist cuba untuk meluruskan kaki kirinya, laungan tangisan semakin kuat. Saya dapat rasakan sakitnya kaki si kecil ini.
 
Saya sedar, kaki Nabila tidak bertambah baik. Kakinya semakin menjengkit dan keras membuatkan dia semakin melawan pabila diperbetulkan kedudukannya. Bukan saya tak khuatir dengan masalah Nabila, malah saya rasa sangat risau dan rasa bersalah padanya. Kerna sudah lama benar Nabila tidak ke Gedangsa dan berurut. Sungguh hati saya sakit!!
 
Hati ibu mana tidak hiba melihat sang anak meraung kesakitan. Semahunya saya cuba menahan hati. Pedih jiwa saya! Sakit hati bagai dihiris-hiris. Air mata sepertinya mahu tumpah, tapi saya cuba untuk menahannya. Bukan mudah untuk saya menahan gelora hati ini.
 
Orang sekeliling yang bersama-sama menghantar anak di situ hanya memandang simpati pada saya dan Nabila. Agaknya entah apalah kata mereka tentang kami. Wajah saya? Tak tahu nak kata apa..Mungkin sudah merah menahan rasa hati.
 
Apa yang boleh saya lakukan? Saya hanya mampu menatap wajah sambil menyapu air mata Nabila. Ya Allah, sesungguhnya saya tak kuat bila melihat anak ini meronta mahu saya melepaskannya dari kesakitan. Air mata ini bergenang bila saya memberinya susu sesudah dilepaskan dari standing frame itu. Saya cuba menahan air mata ini dari menitik. Saya tidak mahu orang mengatakan saya lemah!
 
Namun, sampai di kereta, saya terus memecut laju pulang ke rumah. Dan sepanjang perjalanan, air mata ini tumpah juga. Saya tak dapat lagi menahan rasa hati saya. Mengapa mesti Nabila yang merasai semua penderitaan ini? Kesakitan, kepayahannya harus dilalui sepanjang hidupnya. Saya sayu mengenangkan nasib Nabila ini. Sampai bilakah ianya akan berterusan begini? Sampai satu tahap saya berfikir tadi, saya tidak mahu membawa Nabila ke hospital lagi. Saya tak mahu Nabila menjalani terapi lagi. Kerana semua itu mendatangkan kesakitan buatnya!
 
Saya tahu saya harus kuat, namun kadangkala saya tewas! Tewas dengan perasaan saya sendiri. Kerana Nabila adalah darah daging saya. Seperti orang lain juga, sepertinya tak sanggup darah daging sendiri menghadapi semua ini.
 
Ya Allah, aku tahu aku bukanlah hambaMu yang kuat.Kau berikanlah kekuatan untuk aku menempuhi semua ini. Sesungguhnya aku tak mampu melihat tangisan Nabila lagi.....

3 comments:

grow2g3th3r said...

salam.. akk harap awak bersabar dan kuatkan semangat.... memang benar, berat mata memandang, berat lagi bahu yg memikul.. tetapi yakinlah bahawa awak dan Nabila adalah hamba-NYA yang terpilih yang mampu menerima dugaan ini dengan penuh rasa taqwa dan iman.

Memang sedih tengok nabila menangis.. tapi kena redha.... Kuatkan semangat yer dik kerana Nabila sangat membutuhkan semangat dari ibunya.

~~~Luv Harraz~~~ said...

salam kenal... tersentuh hati saya baca kisah nabila... hati ibu mane tak tersentuh bila anak tersayang terpaksa lalui semua nie... dalam usia yang masih kecil... dia terpaksa lalui semua nie.. saya doakan nabila terus kuat tuk hadapi dugaan ini...

~~~Luv Harraz~~~ said...

salam kenal...tersentuh hati saya baca kisah nabila... hati ibu mana yang tak tersentuh bila anak tersayang terpaksa lalui semua nie....saya doakan nabila terus kuat tuk hadapi semua nie....

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...