30 December 2011

Dalam Kenangan 2011


Rasanya banyak perkara yang terjadi pada saya, Nabila dan Abang sepanjang 2011. Ya, terlalu banyak. Dan 2011 memberi banyak kenangan manis dan pahit buat saya juga..

Tentang saya...

Kalau nak diikutkan, azam saya untuk kurus tahun ini bukanlah termasuk dalam azam 2011. Malah, rasanya azam itu sudah lama bertapak dalam hati saya sejak saya melahirkan Nabila. Namun, Alhamdulillah, dapat juga saya realisasikan pada tahun ini. Lemak-lemak tepu yang melekat pada tubuh saya sudah berkurangan. Namun, masih belum tercapai sepenuhnya target berat badan ideal saya. Tapi, sekurang-kurangnya 15kg sudah hilang dari badan ini. Alhamdulillah.

Dan tahun ini juga, saya berjaya membuang gigi bongsu saya melalui pembedahan kecil. Bertahun lamanya saya terseksa. Akhirnya saya memberanikan diri untuk membuang gigi tersebut. Kata doktor, gigi itu tidak boleh diselamatkan lagi...:(

Tahun 2011 juga menyaksikan penantian saya berakhir dengan tamatnya tempoh penggunaan implan dalam tubuh saya. Dan kini saya dalam usaha untuk menambah ahli keluarga kami. Semuanya kerana Nabila. Mahu Nabila punya kawan untuk bermain...Doakan moga kami dikurniakan seorang lagi anak yang sihat dan mampu untuk menjaga Nabila nanti. InsyaAllah.. :)

Saya juga telah memulakan perniagaan online saya iaitu Bella Closet Craft tahun ini. Sebenarnya saya tak menjangka saya mempunyai minat dalam bidang kraf. Serius bakat memang takde. Entah kenapa, muncul idea ini dan saya ingin mencuba kerana saya tahu, Nabila juga pakai semua aksesori ini. Tak salah kan kalau saya cuba untuk buat sendiri. Dan Alhamdulillah, ada kawan-kawan yang sudi menempah hasil kraf saya.. :)

Begitu juga dengan menjahit. Saya telah mulakan kelas menjahit pakaian baju kurung pada penghujung Jun yang lalu. Alhamdulillah, saya berjaya menjahit beberapa pasang baju. Namun, untuk mengambil tempahan mungkin belum lagi. Hehe...Tunggu sehingga saya ada keyakinan yek.. :)

Tentang Nabila...

Perkembangan Nabila sedikit sebanyak nampak perubahan. Saya dapat melihat pinggang Nabila semakin kuat dan mampu untuk bangun sendiri bila saya cuba untuk memegang sebelah tangannya. Jika dulu, nampak begitu susah untuk Nabila bangun. Lebih-lebih lagi dengan keadaan pinggang dan tulang belakang yang tidak kuat, membuatkan dirinya hanya mampu terbaring dan mengiring sahaja..

Peristiwa Nabila di letakkan di dalam stor sekolah lamanya, membuatkan saya mengambil keputusan drastik untuk memindahkan Nabila ke sekolah lain. Walaupun agak sukar dengan perjalanan jauh dari rumah-sekolah-tempat kerja namun, saya tekad. Saya tak sanggup melihat Nabila terus menangis di sana. Kata Abang, saya keras hati. Ya! Saya harus keras. Sebab semua ini tentang Nabila. Saya tak sanggup melihat Nabila tidak gembira di sekolahnya. Andai diberi pilihan..saya tak perlu bekerja...Alangkah baiknya...huhu...

Dan tahun ini juga, saya kembali semula melakukan rawatan bersama Kak Raw dan juga menambah beberapa rawatan lain untuk Nabila. Cumanya, Nabila kini tidak lagi melakukan terapi di hospital. Saya rasa agak tertekan dengan keadaan hospital yang sering bertukar therapist lebih-lebih lagi di Unit Fisioterapi yang sering kali memberi pelatih-pelatih baru untuk membuat sesi fisioterapi untuk Nabila. Saya rasa agak membuang masa dan pada saya, adalah lebih baik, Nabila berada di IMC sepanjang waktu persekolahannya yang juga melakukan pelbagai aktiviti di situ..

Nabila juga mengalami siri kesakitan dan paling menakutkan adalah serangan sawan yang dihadapi nya kini. Doktor telahpun mulakan ubat sawannya. Saya juga sedang dalam usaha memberikan satu supplement yang telah dicadangkan oleh rakan-rakan saya untuk Nabila makan setiap hari. Alhamdulillah, kesihatan Nabila mulai baik. Cuma saya masih perlu memantau tahap kesihatannya. Moga Nabila terus membesar dengan sihat. Amin.

Tentang Abang...

Alhamdulillah, rezeki Abang tahun ini kerana telah dinaikkan pangkat. Walaupun dalam hatinya agak berat untuk menerima jawatan tersebut, namun saya tahu Allah telah permudahkan jalan kami. Saya tahu Abang boleh jadi ketua yang baik dan bertanggungjawab terhadap anak-anak buahnya. Moga Abang terus maju dalam kerjaya. InsyaAllah..

Abang banyak membantu saya dari segi emosi, faktor kewangan dan juga pembimbing saya dalam mengharungi hidup sebagai seorang isteri dan ibu yang baik. Moga di tahun hadapan Allah permudahkan dan memperluaskan lagi jalan kami untuk menambah rezeki anak kedua. InsyaAllah...

.

Moga tahun 2012 memberikan sinar bahagian buat kami bertiga. Dan moga saya terus maju melangkah demi Nabila. Terima kasih pada semua yang tak putus-putus mendoakan kesejahteraan kami terutama pada buah cinta kami, Yasmin Nabilah. Moga anak ini terus membesar dengan sihat dan mampu untuk berdikari satu masa nanti...

Selamat Tahun Baru dari kami Kasihku Buat Nabila untuk semua pembaca di sini.. :)

2 comments:

Bicara hati ibu aisya said...

Aminn...semoga impian 2012 akan terlaksana dengan jayanya lebih2 lagi tang 'adik' bella tuh ;)

Miss Fadhilah said...

Semoga 2012 membwa seribu kebaikan keberkatan kejayaan dan kebahgian buat kak Noina sekeluarga terutamnya cik Bella comel nih!

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...