30 January 2011

Kekuatan diri datangnya dari anak!

Semalam kami ke rumah Ita Ummi Alisya. Dan turut bersama adalah Zali, Ieyda & Aiman. Dan kemudian Le' Bastion di kunjungi oleh Ayu Ibu Aisya bersama kedua anaknya dan adik-adiknya.

Banyak perkara yang kami bualkan. Dan sebenarnya aku amat merindu anak-anak ini. Alisya,Aiman dan Aisya.

Alisya kini ku dapat rasakan perubahannya. Tubuhnya semakin lembut bila dipeluk. Syukur! Dan sedikit pun tak menangis merengek semalam.. Agaknya tahu Nabila datang berkunjung ke rumahnya :) Dan pabila berbual aku melihat wajahnya. Matanya yang merenung dan cuba memahami apa yang ku sampaikan kepadanya.

Aiman pula sudah berambut lebat. Sangat comel! Jarang sekali aku melihat Aiman berambut. Dan lagaknya sudah seperti seorang abang. Perut Ieyda juga sudah semakin membesar. Dan katanya Aiman bakal dapat adik lelaki. Alhamdulillah.

Aisya yang agak lama ku tak ketemu. Sangat comel dengan sepit riben di kepala. Dan tak disangka-sangka Aisya melangkah setapak demi setapak untuk berjalan. Kata Ayu, di rumah dia langsung tak mahu untuk berjalan. Ya..pastinya dia ingin menunjuk pada semua bahawa dia anak yang kuat semangat! Terharu aku bila melihat Aisya melangkah berjalan ke seluruh rumah. Alhamdulillah.. :)

Melihatkan anak-anak ini membuatkan aku sedar tentang kebesaran-Nya. Ya, benar kata Ita semalam. Allah tahu kemampuan kita untuk anak-anak ini. Allah tahu kekuatan kita untuk menghadapi segala yang telah ditakdirkan. Ya..segalanya mempunyai hikmah yang tersembunyi di sebalik kehadiran anak-anak ini!

Kekuatan itu tidak datang bergolek. Kesungguhan demi anak bukannya datang sekelip mata. Hanya masa yang menentukan segalanya. Air mata? Tadah saja mungkin sudah sebaldi air mata ini luruh. Namun hidup tetap diteruskan. Dan menjaga anak-anak ini selagi Allah masih mahu meminjamkannya buat kita. Berbakti kepada mereka selagi daya.

Biarlah seribu mata memandang pada anak-anak kami..kami tidak ambil peduli. Tolehlah kepala itu sampai terteleng sekalipun..kami tak kisah. Muncungkanlah mulut itu sambil berkata tentang anak kami..kami dah tak heran. Ini hidup kami . Dan kami tahu apa yang terbaik buat anak-anak kami.

Usah risau..usah ragu bila melihat anak kami. Anak kami bukanlah pembawa virus yang boleh menjangkiti sesiapa. Andai anak ini ada penyakit berjangkit sekalipun kami rela. KERANA KAMI IBU BAPANYA. KAMI AKAN MENJAGA SEHINGGA HUJUNG NYAWA KAMI..

Syurga menanti di sana untuk anak-anak kami. Itu sudah pasti ! Kita? Entah dapat atau tidak melangkah ke situ. Selagi mereka bersama kita..selagi itulah kita harus melakukan yang terbaik buat anak-anak ini.

Kekurangan diri sendiri bukanlah penghalang. Ya, kita manusia biasa yang punya kelemahan. Seperti aku, yang inginkan terbaik untuk Nabila, namun kadangkala tewas dengan percaturan hidup ini. Adakalanya dapat ku atasi..dan ada kalanya aku jatuh terduduk.

Dan ku mendoakan agar semua rakan-rakan ini terus diberi kekuatan untuk anak-anak ini. InsyaAllah..Amin...

29 January 2011

Ni jer ruang yang ada...!!

Modem internet kat rumah dah kembali pulih. Entah kenapa boleh rosak sampai line telefon pun takde. Pulak tu menunggu hampir 2 minggu menunggu technician Telekom datang..huhu..Update yang sebelum-sebelum ni hanya menggunakan telefon dan melalui email. Gambar pun tak tau nak upload camner..

Seperti yang dikatakan pada entry lepas, aku ingin menunjukkan ruang yang telah diubahsuai olehku khas untuk Nabila...

~Takpelah korbankan ruang tamu ni untuk Nabila..Lagipun memamg kat sini jer tempat slalu kami berdua buat aktiviti. Nasib baik masih ada ruang untuk tetamu duduk bertandang. Kalau tak..mau sofa tu kena jual..hehe..Hurm..rak yang hujung tu pada mulanya almari kasut..sudahnya situ aku letak semua mainan Nabila. Hurm..nak buek camno..rumah sempit~

Dan aku beli ini untuk Nabila...

~sian kat anak dara nih..asyik terbaring je..kalau duduk pun asik menunduk jer..Bila dapat duduk ngan meja nih..boleh la letak mainan depan dia..~

Takpelah dik..ibu cuba buat yang terbaik untuk adik. Kecik pun keciklah ruangnya..Janji kita boleh buat aktiviti kan.. :)


~ni frust ke penat dik oiii..~

Dan salah satu adegan yang aku ingin tunjukkan pada kalian adalah ini...

~apa nih dik..!!~

Masa ni..aku kat atas..tengah mandi..Abg pula tinggalkan Nabila sebab nak pergi kedai..dia mainlah sorang-sorang kat bawah. Mula-mula cantik je ayah dia letak dia kat atas tilam tu.Siap berbantal lagi. Alih-alih bila aku selesai mandi..turun bawah tengok dia dah terbaring macam tuh..Mak aiiii..camner ko gerak dik? Ni mesti kes berpusing-pusing sampai dah tergolek kat tikar tuh..Punya sedap ayah letak kat tilam..nak jugak baring kat tikar tuh..adik..adik..huhu..!

28 January 2011

Tidak pantas dalam membuat keputusan!!

Aku menerima surat dari sekolah Nabila. Dan aku sudah mengagak perkara ini berlaku. Kerna telah diberi 'hint' oleh Kak Ina. Dan petang tadi, mereka ada menelefonku. Mungkin untuk mengatakan tentang perjumpaan ibu bapa tentang hal itu.

Hal apa?

YURAN SEKOLAH NABILA LAH!! APA LAGI..!!

Sewaktu entry ini di taip..aku belum menceritakan hal ini kepada Abg. Dan aku tahu pastinya dia akan melenting! Huh! Kalian rasa agak-agak aku nak pergi ke sekolah Nabila untuk perjumpaan itu?

Hurm...Macam berat hati pula untuk aku pergi ke sana. Sebetulnya boleh saja aku jadi antara parents yang tak dengar kata pihak pengurusan. Tapi bila memikirkan pihak pengurusan meminta perkara yang bukan-bukan..aku jadi panas!

Huh! kata untuk low income! Tapi main bantai jer semua. Geramnyer..!!

Sebenarnya tak tahu nak luah kat siapa. Dalam blog jelah yang boleh untuk aku meluahkan segalanya. Dan sekarang ini aku sedang cuba menilai baik buruk Nabila di situ? Nampak ada perubahankah dia? Entahlah...Mungkin juga dapat berpusing dan gelak tawanya makin kuat menunjukkan sedikit perubahan. Tapi, bila semalam bosan-bosan kat office di Kuching haritu, aku sempat membelek video lama Nabila. Rindulah katakan. Tapi yang aku dapat perhatikan, Nabila boleh saja ketawa dan respons sebelum dia dimasukkan ke dalam sekolah.Hurm..entahlah dik!!

Dan sekali lagi doa untuk Nabila. Moga ianya memudahkan kami untuk membuat keputusan demi Nabila!!

Alhamdulillah...

Pagi tiba di pejabat, perkara pertama yang akan ku lakukan adalah berkaitan dengan masalah untuk ke kursus pada 9-11 Februari nanti. Aku ada menceritakan masalah itu pada entry lepas. Dan hati ini berat untuk melangkah ke Bahagian Sumber Manusia untuk berjumpa sendiri dengan pegawai yang berkenaan untuk memaklumkan ketidakhadiran ke Pahang nanti. Dan telah ku ceritakan padanya tentang keadaan Nabila. Dan katanya, aku perlu bertanya kepada urusetia (pihak kementerian) untuk memaklumkan tentang hal aku itu.

Baru sahaja mencari ayat-ayat sesuai untuk aku menulis emel kepada pihak urusetia, aku tergerak untuk melihat sistem fail di dalam komputer. Rupanya, sudah ada surat baru sampai semalam. Kebetulan aku tiada di pejabat semalam maka pegawai aku tidak memaklumkan bahawa nama kakitangan yang dikehendaki pergi itu telahpun bertukar.

Setiap ayat di dalam surat ku baca..Dan laungan Alhamdulillah bergema satu pejabat. Syukur sangat-sangat. Cumanya kesian juga melihat kakitangan SPS terpaksa menggantikan aku. Maafkan aku Myra..Kalau takde appointment, boleh je aku pergi. Anyway..terima kasih banyak-banyak.

Lega. Memang lega. Barulah aku boleh menumpukan perhatian aku tentang kerja dan perkara yang ingin ku sampaikan kepada doktor tentang keadaan Nabila. Serius! Aku dalam hati mahu berita baik..namun andai perkara tak baik berlaku, aku redha.

Semalam, aku tiba di Kuala Lumpur dari Kuching pada jam 6 petang. Alhamdulillah, perjalanan pergi dan balik selamat. Seronok dapat menjejakkan kaki ke sana. Kakitangan yang baik dan harapnya aku tak kekok lagi bila berhadapan dengan mereka. Maklum saja, selalu hanya mendengar suara mereka di telefon kerana pelbagai masalah sistem namun kini dapat bersua muka. Alhamdulillah..segala pengalaman di kutip dan segala hal yang berkaitan dengan kerja nampak lebih baik sebelum ini.

Nabila dan ayahnya menjemput aku di LCCT. Rupanya ayah Nabila berhenti di tepi jalan kerana si kecil itu menangis mahukan susu. Sampai saja, aku terus memeluk Nabila. Aku rindu. Hampir saja menitik air mata ini bila dapat memeluk dan mencium Nabila. Namun, Nabila meragam sewaktu dalam kereta kerana mahu tidur. Rupanya, kata neneknya, Nabila tengah tidur sewaktu ayahnya mengangkatnya masuk ke dalam kereta. Puas juga aku memujuknya dan akhirnya Nabila tidur tertiarap diatas pangkuanku. Entah apa punya style tidur..aku tak pasti..hehe..

Dan semalam pulang dalam keadaan keletihan. Tak sempat mengemas beg. Rasanya esok baru mula tugas-tugas mengemas beg. Mujur juga Abg ke Bangkok Ahad ini hanya membawa beg kecil. Katanya malas nak bawa beg besar-besar. Tak lama pun. Hanya 3 hari di sana dan dijangka pulang pada hari Rabu nanti. Hurm..tinggallah aku dan Nabila. Mungkin kami berdua bermalam di rumah mak sehingga Abg pulang dari Bangkok nanti.

25 January 2011

Adik..ibu rindu kamu!!

Petang jam 5.30 tadi,aku selamat tiba di Kuching.Penat + kepala pening sebab plane tadi asyik bergegar je. Di tambah pula badan yang letih setelah bertungkus lumus selama 2 hari menyiapkan kerja-kerja di Arkib Kota Kinabalu..Stress bekerja tapi malamnya kami enjoy dan sempat jugak bershopping di sana.

Untuk di Kuching juga sama bebann kerjanya dan aku dapat rasakan ianya lebih hebat dari KK. huhu..Sabar jelah!!

Rindu pada Nabila memang tak tertanggung. Saban malam aku menelefon mak bertanyakan Nabila. Dan anak itu memang bijak! Tersenyum bila mendengar suara ini dihujung talian. Bak kata..suara ini yang dirindui Nabila.

Tadi neneknya report..Nabila agak riuh mulutnya patang tadi. Asyik menyebut "uuuuu..wwuuuuu" . Agaknya pelik kenapalah dah lama tak ke sekolah dan tak naik kereta pagi-pagi. Alahai dik..tungu ibu balik hari khamis ni yek. Nanti kita gi jalan-jalan.Ajak nenek dok depan rumah ek..

Serius dik,ibu dah rindu giler kat adik..nanti kita jumpe khamis nanti ek..

23 January 2011

Sayang anak tinggal-tinggalkan..

Bersiaran di Kota Kinabalu..

Pertama kali aku menjejakkan diri ke sini. Teruja namun sedih bila terkenangkan Nabila dan ayahnya di Semenanjung. Nak buat macamana..tuntutan kerja yang memaksa aku ke sini.

Nak je tadi aku sumbat si Nabila masuk dalam beg..Eiii..kejamnyer! Aku nak angkut dia datang sini. Malam-malam ni kalau peluk si budak kecik tu best gak. Huhu..alamatnya malam ni ibu bertemankan gambar dan video adik jelah..

Sayu je hati ini meninggalkan Nabila tadi.Tapi Nabila terseyum sengih tengok aku masa nak keluar tadi. Pasti Nabila sibuk mencari aku malam ini.Eh yeke? Tah-tah adik tengah seronok ngan nenek..huhu..Adik, ibu rindu!!!!!!!!!

Selasa aku akan bertolak ke Kuching pula dan pulang ke KL semula pada hari khamis nanti. Doakan aku selamat pergi dan balik.

p/s: insiden tertinggal flight tadi akan dikenang sampai bila2.hehe..bila ingat kelakar la plak..hehe..

21 January 2011

Antara anak & kerjaya..

Argghhhh..Aku buntu....!!!

Susah benar untuk aku membuat keputusan..Dan sering juga tersepit di antara dua perkara ini.

Hal ini berkaitan dengan apointment Nabila bersama doktor peadiatrik dan jugakursus ke Pahang 2 minggu lagi. Kedua-duanya berlaku dalam tarikh yang sama dan semahunya aku tak ingin mengambil keputisan untuk hadir ke salah satu perkara tersebut. Sebetulnya kedua-dua sangat penting buatku..

PENTING BILA PERGI PEADS KERANA:

1. Aku ingin memceritakan kepada doktor tentang keadaan yang berlaku pada Nabila sebulan yang lepas (jika ada yang masih ingat tentang kejadian kami berdua menangis di dalam kereta sewaktu pulang ke rumah). Aku mahukan kepastian doktor mengenai kes sawannya itu.Adakah ianya menyerang ketika itu?

2.Berkaitan dada Nabila yang sering berbunyi.Walaupun pemeriksaan akan dilakukan pada 23hb Feb nanti..namun aku mahu doktor menjelaskan keadaan yang menyebabkan Nabila berkeadaan demikian.

3.Mahu info berkaitan dengan suntikan botox untuk mengawal lelehan air liur. Ini atas permintaan speech therapist Nabila mengenai aliran air liur yang meleleh meskipun mulutnya tertutup rapat.

PENTING KE PAHANG UNTUK KURSUS KERANA :

1.Mungkin ada beberapa info tentang bidang tugas yang perlu aku tahu. Maklum saja selepas ini aku seorang saja staff tetap yang akan mengendali dan perlu mengetahui semua tentang tugas itu.

2.Tak mahu orang berfikir aku tak mahu ke kursus tersebut atas alasan anak. Sebenarnya aku tak tegar meninggalkan Nabila namun kerna kerja itu satu kewajipan dn aku mahu jadi pekerja yang bertanggungjawab membuatkan aku tersepit antara Nabila dan tugas.

Andai diberi pilihan,kedua-duanya ingin aku pergi. Kedua-duanya sangat penting buatku. Aku buntu dan tak mahu di tuduh sebagai sengaja menggunakan alasan Nabila itu dan ini. Mungkin ada yang tak faham dengan situasi begini. Bukan mudah untuk ku melakukan kedua tugas ini serentak. Dan serius aku katakan..aku sangat cemburu andai ada ibu yang berhenti kerja dan menjaga anak sendiri.Bagiku ianya satu kepuasan! Alangkah indah ibu-ibu boleh berada di rumah disamping anak tanpa rasa ragu
dan curiga kerana semuanya ada di depan mata.

Alahai kawan-kawan..tolong aku. Mokcik pening dah ni tak leh lolap mato ni..huhu..

20 January 2011

Membayangkan dirinya yang semakin besar!

Minggu lepas semasa di PDK, aku bersua dengan beberapa ibu yang senasib denganku. Punya anak Cerebral Palsy. Cuma bezanya,anak-anak mereka sudah hampir meningkat remaja..dan aku begitu kagum melihat mereka.

Serius aku katakan..mereka punya semangat kental. Anak yang sudah berubah corak fizikal tubuh,namun mereka masih gagah mendukung anak mereka. Dan contoh terdekat adalah Kak Ina,Mama Karina.

Siapa sangka seorang pramugari Garuda Indonesia..terpaksa meninggalkan pekerjaan glamour semata-mata mahu menjaga puteri tersayang.Kemana saja dikendong Karina. Kak Ina sendiri pernah memberitahu aku bahawa dia tak sanggup membiarkan Karina di bawah jagaan orang lain hatta dari staff Tasputra sendiri.Bagiku,menjaga sendiri adalah satu keputusan yang tepat!

Aku mendengar butiran perbualan mereka. Maklum saja kami semua mempunyai anak perempuan maka banyak perkara yang kudengari dari mulut mereka. Berkenaan perubahan fizikal,emosi,dan juga cara penjagaan.

Sedikit sebanyak aku dapat rasakan kesulitan menjaga anak istimewa perempuan berbanding lelaki. Kalau perempuan, kita akan melakukan "extra job" berbanding anak lelaki yang penjagaan dan cara mengurusnya lebih mudah. Aku rasa kalian mengerti maksud ayatku diatas mengenai "extra job" itu.

Namun,segala kesulitan yang mereka lalui akan bakal aku lalui jua 4-5 tahun lagi.Dan aku yakin Allah itu Maha Pengasih. Dia tahu setakat mana kemampuanku.Dan moga aku terus diberi kekuatan demi Nabila tersayang.

18 January 2011

Ubahsuai untuk Nabila..

Salam..Maaf beberapa hari tiada updates. Internet di rumah tak boleh nak on. Dah report kat TM untuk datang..Hurm..tapi faham-faham sajalah bilalah agaknya diorang nak datang repair.
Minggu lepas, aku melakukan beberapa perubahan di dalam rumah. Masih ingatkan kalian mengenai bilik terapi untuk Nabila? Pernah aku angan-angan mahukan bilik terapi untuk Nabila, namun rasanya hajat belum kesampaian. Dan faham sajalah rumah yang kecil ini. Andai ada tetamu yang datang, terpaksa menumpang tidur di ruang tamu. Kasihan bukan. Jadi, bilik terapi Nabila terpaksa di tutup. Dan sudahnya, ruang tamu pula menjadi ruang untuk Nabila membangunkan diri.
Aku cuba untuk set up agar nampak kemas supaya ruang tamu kami yang kecil ini mampu menampung jumlah tetamu yang hadir dalam satu-satu masa. Maklum saja, rumah ini sering dikunjungi rakan-rakan dan keluarga. Alhamdulillah. Sememangnya aku suka ramai-ramai datang ke Teratak Nabila. Murah rezeki orang kata.. :)
Sebenarnya perihal meletakkan semua alat terapi di ruang tamu pernah disuarakan oleh Kak Esma. Kak Esma menyatakan ketidaksetujuan aku meletakkan semua alat-alat terapi Nabila di bilik khas. Namun, bila aku melihat kesannya, aku sudah tahu maksud Kak Esma. Katanya lagi, lebih baik segala alat mainan dan rangsangan untuk Nabila di letak di tempat selalunya kami melepak. Dan tempat paling sesuai adalah DIHADAPAN TV!
Dan aktiviti Sabtu Ahad, nampaknya sangat berkesan untuk kami bila aku mengubah cara kedudukan tersebut. Dan Alhamdulillah..Allah telah permudahkan jalanku. Rasanya tak susah lagi selepas ini untuk aku melakukan semua aktivti untuk Nabila. Dan moga Nabila mendapat segala manfaatnya. InsyaAllah..
p/s : pic ada..tapi pasal update kat opis..lupa nak bawak gambar kat dlm memory card..So..next time jelah update gambar k.. :)

13 January 2011

Bukan mudah melepaskan anak kepada orang lain!

Berlanjutan dari entry sebelum ini, sangat berat kurasakan bila memikirkan tentang perkara ini. Aku dan Jiey (mama Rayyan) masing-masing di dalam dilema untuk meneruskan persekolahan anak-anak kami.
Aku menerima sms dari Jiey berkenaan dengan entry sebelum ini. Dan lantas aku menelefon Jiey untuk meluahkan rasa terbuku di hati. Sungguh! Hati sebak menceritakan perkara yang berlaku pada Jiey. Dan mata ini terbayang wajah Nabila yang sedang menangis.
Hati ibu, siapa mahu melihat anaknya menangis. Biar kutanya sejuta ibu-ibu di luar sana, pastinya mereka akan menjawab..
"AKU TAK MAHU SETITIK AIR MATA PUN JATUH DARI PIPIMU WAHAI ANAKKU"..
Bagiku, melepaskan anak dibawah jagaan orang lain sememangnya satu keputusan yang sukar dibuat. Aku beberapa kali menangis tatkala melepaskan Nabila kepada orang lain. Sungguh aku tiada pilihan. Jika diberi pilihan aku tidak mahu Nabila di letakkan di sekolah dan sebagainya. Aku mahu dia disamping ku sentiasa. Aku akan rasa lebih selamat bila Nabila di samping ku.
Aku terpaksa melakukannya. Andai pihak hospital kerap melakukan sesi terapi, sudah pasti Nabila tiada di sekolah. Aku menghantarnya ke sekolah hanya dengan alasan mahu Nabila dapat segala aktiviti terapi fizikal untuknya. Dan Nabila berkembang melalui cara kemahiran sosialnya bersama rakan senansibnya. Berdikari? Di rumah juga Nabila boleh berdikari jika kena dengan caranya!
Jiey ada menyatakan tentang segilintir ibu bapa yang menghantar anak hanya untuk sebagai penjagaan. Tidak mahu ambil pusing tentang perihal anak yang semakin bagus atau semakin merosot ketika di sekolah. Yang mereka tahu, pagi hantar, petang ambil . Perkembangan? Langsung tidak ambil peduli !
Bagiku, alangkah bagusnya jika setiap ibu istimewa ini berada di rumah di samping anak-anak. Memberikan sepenuh kasih sayang dan penjagaan yang baik untuk mereka. Namun, kehidupan kita bukanlah semuanya datang dari keluarga yang mampu. Para isteri terpaksa keluar bekerja membantu sang suami mencari pendapatan tambahan untuk keluarga. Bagi yang punya anak istimewa, tersepit dengan situasi ini adalah suatu perkara yang menyakitkan!
Doaku pada semua, moga segala urusan kita dipermudahkan. Dan kuatkanlah semangat kami agar kami terus melangkah demi anak kami..InsyaAllah...

Gelora di hati..

Tadi, aku membawa Nabila ke PDK. Dan seperti dijangkakan, cikgunya telah bertukar. Jika dulu Cik yah, kali ini Cikgu Ayu pula. Nabila? Tersenyum sengih bila kakinya dipegang oleh Cikgu Ayu. Dan bila mandi di tub jakuzzi, matanya tak lepas memandangku sambil senyum. Dan bila berhenti, menangis mahu mandi lagi. Sudahnya aku memujuknya di bilik Snoozelen. Dan akhirnya tertidur dek leka memandang lampu-lampu dan bunyi lagu di dalam bilik itu.
Aku sempat berbual dengan Kak Ina, Mama Karina. Berkenaan sekolah Nabila. Rupanya banyak cerita yang aku tak tahu. Sedikit kesal dalam hati ini. Semahunya ingin menjerit mahu menyatakan apa yang dilakukan itu salah. Satu persatu Kak Ina cerita padaku. Dan dalam hati, ingin membawa Nabila jauh dari sekolahnya!
Kemungkinan yurannya akan dinaikkan lagi. Aku tidak pasti sama ada yuran Nabila dinaikkan lagi atau tidak, dan aku akan menunggu surat dari pihak pengurusan nanti. Andai benar, kemungkinan aku terpaksa mencari alternatif lain. Berhenti ? Kemungkinan besar YA!
Entahlah..kalaulah duit sekoyan, sudah lama Nabila tidak berada di situ. Mungkin di tempat yang lebih selesa. Atau aku sendiri berhenti kerja dan menjaganya di rumah saja.
Itupun kalau duit sekoyan la... Tapi sekarang berpijaklah di bumi yang nyata! Berangan saja tiada gunanya!
Rasa dalam hati mahu jerit. Mahu menangis kerna tidak dapat menjaga Nabila dengan baik. Hati yang mula gerimis tadi, kini sudah basah dan hampir banjir! Ya Allah, permudahkan jalan kami...!!

12 January 2011

Penuh !!

Petang tadi, aku dan Nabila ke HSB. Temujanji bersama speech therapist, Puan Anida. Kali terakhir kami bertemu pada bulan 11 yang lalu. Sengaja mengambil tarikh appointment yang agak jauh. Kerana temujanji hanya berkisar tentang perkembangan si kecil ini..

Namun, pelbagai perkara dibincangkan. Dan bertalu-talu soalan di keluarkan. Semuanya berkisar tentang Nabila. Tentang sekolah, tentang cara makan, tentang skill menelan dan macam-macam lagi.

Temujanji sebelum ini , pernah ku utarakan tentang hearing test untuk Nabila. Bukan tak pernah melakukannya, cuma aku mahukan kepastian. Nabila pernah menjalani ujian ini ketika dia berusia 6 bulan. Dan keputusannya, Nabila tiada masalah pendengaran. Sawan yang dialami ketika lahir tidak menjejaskan pendengarannya. Namun, sejak usia Nabila menginjak ke 2 tahun, Nabila terlalu peka dengan bunyi. Andai bunyi kuat saja, pasti terkejut. Mungkin tiada faktor yang mengatakan Nabila ada masalah pendengaran, namun langkah berjaga harus diambil. Tak mengapa jika ujian itu dilakukan berulang kali!

Aku turut menceritakan keadaan Nabila yang masih lagi mengalami masalah penelanan air liur yang kurang baik. Kata Puan Anida,dia pernah terdengar tentang suntikan botox yang di cucuk di mulut bagi mengurangkan masalah air liur meleleh. Namun dia tidak memberikan fakta yang tepat. Dan cadangannya, dia mahu aku bertanya kepada doktor peadiatrik berkenaan hal tersebut. Nabila juga tidak pernah dirujuk ke doktor Rehab. Mungkin aku perlu lakukan sesuatu tentang hal ini. Harapnya aku akan ingat tentang perkara itu ketika berjumpa doktor kelak.

Nabila perlu menjalani satu ujian lagi. Pada mulanya, aku menceritakan tentang keadaan nafas Nabila yang sering berbunyi dan ianya kelihatan seperti asma. Masalah ini juga pernah diutarakan oleh kedua-dua therapist Nabila di sekolahnya. Mereka bimbangkan Nabila. Bimbang andai anak ini benar-benar asma. Ayah aku juga pernah menyatakan tentang hal ini juga. Namun pabila diperiksa oleh doktor, katanya paru-paru Nabila ok. Aku masih tidak berpuas hati dengan kenyataan ini. Jika bukan asma, mengapa Nabila sering mengeluarkan bunyi di dadanya ketika bernafas?

Dan doktor di ENT menyatakan simptom-simptom..
1) Adakah Nabila selalu gatal di bahagian hidung ? YA !

2) Adakah Nabila sering bersin ? YA!

3) Selalu menahan nafas? YA!

Aku tak pasti apa yang menyebabkan perkara semua di atas berlaku, jadi aku mengambil keputusan untuk melakukan ujian tersebut. Cuma aku khuatir dengan kata-kata Puan Anida tadi. Katanya kemungkinan Nabila ada resdung. Hurm..sekecil -kecil anak pun ada resdung kah? Aku tak pasti..

Kedua-dua ujian ini akan berlaku pada bulan February nanti!

Bagi temujanji peadiatrik dan mata juga akan berlaku pada bulan yang sama! Semua temujanji berhampiran antara satu sama lain. Dan semuanya pada bulan February. Dan yang pasti bulan February antara bulan yang penuh dengan temujanji sana sini. Dan aku mengharapkan semuanya baik-baik saja. Tiada perkhabaran yang mengejutkan. Terutama dari Ophthalmology & Otolaryngology.

10 January 2011

Masih dalam mood nangis!!

Pagi tadi, Nabila sempat melelapkan mata sementara menantikan aku bersiap untuk ke tempat kerja. Dan, Nabila masih lagi lena bila aku mengangkatnya masuk ke dalam kereta.

Sampai di Selayang, dia terjaga. Dan tiba-tiba muntah. Nampak kesan-kesan susu yang diminumnya subuh tadi. Dan dia mula menunjukkan tanda-tanda mahu menangis.

"Dik, ibu tgh bawak kete nih..jalan sesak ni..kejap ek..adik dok diam-diam"

Puaslah aku mengulang ayat itu berulang kali sambil tangan kiri menepuk-nepuk tanda pujuk pada Nabila. Tangisannya tidak juga reda, malah bertambah kuat lagi. Bayangkan sajalah, dari Selayang ke Ampang. menangis tak henti-henti. Sudahlah hari Isnin, jalan amatlah sesak. Highway DUKE tu jarang sesak..tapi entah kenapa, sepertinya semua berpusu-pusu ke pejabat dalam waktu serentak. Dan tangan kiri masih lagi menepuk-nepuk Nabila dan kadangkala berubah untuk menukar gear. Faham sajalah kete manual!

Dan sudahnya, tiada lagi bunyi lagu di radio. Tiada suara Farah Fauzana, FBI dan AG..yang tinggal hanya suara tangisan Nabila. Meleleh-leleh air mata. Apa yang tak kena, aku tak pasti.

Sampai di sekolah, jam sudah menunjukkan angka 8.30 pagi. Memang dah lewat sangat. Dan Nabila pula bila diletak tak mahu dipujuk. Tangisan semakin kuat mengisi segenap ruang dalam sekolah. Yang lain hanya memerhatikan Nabila. Aduhai..!!

" Tengok kakak..baik je baring sebelah. Tak nangis pun.."

"Huuuuuuuwwwwwwwwaaaaaaaaaaaaaaaaa"

Kakak yang ada di sebelah Nabila tersenyum bila aku menegurnya. Manis dan baik sekali. Anak Cerebral Palsy..terbaring dan nampak anak mata saja yang bergerak. Namun dia faham kataku. Timbul rasa terharu bila melihat senyuman anak itu tadi.

Dan aku membancuh susu untuk Nabila. Pekerja sekolah cuba menawarkan diri untuk memujuk, namun aku dapat rasakan pastinya Nabila akan meraung lebih kuat lagi. Sudahnya aku memberitahu rakan sepejabat, menyatakan aku lewat sedikit masuk ke pejabat.

Bila dipujuk masih belum berhenti, aku terus membawa Nabila ke ruang Gym. Di situ ada satu buai dan selalunya bila Nabila meragam, mereka akan meletakkannya di situ. Berbuailah Nabila sehingga tangisannya reda.

Dan hati ini berat meninggalkan Nabila dalam keadaan matanya bengkak. Kerja tetap kerja. Mana nak cekau duit kalau tak kerja adik oiii!!

Balik saja dari kerja, mak menyatakan ada bungkusan di dalam beg Nabila. Dan aku terus membukanya. Dan tak sangka pula Nabila dapat hadiah. Champion menangis kat Tasputra.. So dapat hadiah lah..


hahahahahahahhahahahahaha...Percaya ke?

Tak lah..


~Laptop mini. Hadiah sempena sambutan krismas di sekolah. Tak tau pulak sapa yang dermawan belikan hadiah ni.Mesti semua anak-anak dapat sorang satu~

09 January 2011

Menangis senjata utama untuk melepaskan diri..!!

Benar! Sudah ku fahami apa yang tersirat di hati Nabila..

Memula..buat sedikit regangan pada kaki. Dan bila makin di tolak kaki itu, semakin Nabila melawan dan aku mengambil keputusan untuk memakaikannya ini..

~silalah melihat punggung Nabila..huhu..~

Tau Nabila tengah buat apa?

~bunyinya "huuuuuuuuuu.."~

Bila dipusingkan badannya..

~huwaaaa..Menangis!!!~

Sampaikah hati bila tengok dia menangis begini...?

??????????????????????????????????????????????????????????????????

Kalaulah namanya ibu, pastinya tak sampai hati kan?

~Tenang..Selepas meraung dan upahnya.. SUSU!!~

p/s : hati mula gusar melihat anak ini. Sudah pandai menolak untuk tidak mahu exercise. Baru pegang sikit dah melaung gajah! Agaknya inilah dikomen oleh therapist di sekolah Nabila agaknya. Hadoiiiiii!!!

07 January 2011

Bila sudah sibuk..masalah lain pula yang timbul...

Untuk seketika, aku menghela nafas panjang untuk menaip entry ini. Entahlah..sejak dua menjak ni, bebanan kerja bertambah dan aku mula mengabaikan seseorang..

Siapa lagi kalau bukan...


Hurm..entahlah..sekarang ni balik keje pun dah lewat. Selalu 6.30 baru pulang. Kadang-kadang 7 malam. Tapi tak berani pula nak tinggal sorang-sorang kat pejabat. Sunyi kalau dok sorang-sorang. Dan lepas tu mulalah hati tak sedap. Paling lama pun pukul 7. Sebelum maghrib mesti balik.

Dan sebenarnya, hampir sebulan lebih Nabila tak melakukan apa-apa aktiviti di rumah. Jika dulu, flash card, toys dan sebagainya tak tinggal. Tapi kini...

Badan dah letih, Nabila pula sekarang ni dah tidur awal. Pukul 9 dah tido. Macamana nak buat?

Hanya harapkan kat sekolah je untuk aktiviti-aktiviti ini. Tapi banyak manalah yang sekolah buat? Dah sebulan juga aku tak panggil Kak Yusnita datang urut ke rumah. Mesti akak tu pelik, kenapalah aku tak call dia. huhu..

Tadi, Nabila ada appointment dengan physiotherapist. Dan mereka bertanya apa perkembangan Nabila sekarang ni. Susah nak jawab sebab Nabila masih belum ada perkembangan terbaru. Dan ketika itu rasa mahu tampar je pipi ni. Kenapa aku tak buat apa-apa macam dulu kat Nabila? Nak biarkan anak tu keras balik ke? Biarkan tanpa sebarang perkembangan? Mana jadual yang slalu ko buat tuh? Dah tak buat jadual baru dah? Ke dah bosan dengan semua ni?

Adoiyaaiiii...Maafkan ibu Nabila. Ibu leka dengan kerja-kerja ibu. Sampai ibu mengabaikanmu... :(

Ni, macam semangat la nak buat aktiviti Nabila semula. Tapi, tgk Nabila dah tido, lemah semangat ni. Macamana? Takkan nak kejut pulak dia? Aduhai..pening mokcik!

06 January 2011

Perginya sahabat ini...

Semalam satu office menerima perkhabaran, salah seorang rakan kami mendapat surat pertukaran ke Jabatan lain. Zharif, merupakan salah seorang kakitangan khidmat singkat di Jabatan aku. Dia berada di sini hampir setahun setengah. Dan kehadiran kakitangan SPS ini banyak membantu aku dalam melakukan kerja-kerja di unit aku. Serius aku katakan, kalaulah takde dorang ni..sure tak siap-siap kerja aku...!!

Sebenarnya jauh di sudut hati aku, berat untuk aku melepaskan Zharif pergi. Begitu juga dengan yang lain seperti Myra dan Akim. Besar jasa mereka pada aku dan Jabatan sendiri. Aku dapat rasakan kelainan bila melihat Zharif tiada di tempatnya. Suasana agak suram..dan kadangkala kami menyebut kembali kenangan bersama Zharif. Ketawa seketika namun jauh disudut hati terasa seperti tidak lengkap. Selalunya ketawa Zahrif lah yang paling kuat bunyinya di dalam unit aku. Memang meriah!!

Beberapa perkara yang aku suka tentang Zharif. Dia seorang yang tak lokek tentang duit, seorang yang bekerja dalam keadaan cepat dan boleh melakukan keputusan dengan cepat. Adakalanya matang dan kadangakala nampak kebudak-budakkan. Namun, apapun aku tetap senang dengan cara dia bekerja dan selagi boleh mahu terus bekerja dengan dia.

Kadangkala, rasa seperti tak patut bilamana Zharif, Myra dan Hakim di letakkan dalam posisi sementara. Kalaulah aku ada kuasa, dah lama dah aku serap mereka dalam jawatan tetap. Takpelah, mungkin belum rezeki lagi agaknya. Aku doakan agar ketiga-tiganya dipermudahkan urusan pencarian pekerjaan tetap mereka.


Untuk Zharif, Aku mintak maaf andai sepanjang perkenalan kita, ada kata-kata yang buat ko terasa hati. Dan kalau boleh, janganlah lupakan kami di sini. Rajin-rajinlah jenguk akak ko yang dah tua nih...hahaha!! Aku sedih woo..asik ingat kat ko..tadi pun aku makan nasi ayam kegemaran ko kat Tesco..huhu..!! Myra ngan Kim cam dah patah kaki sejak ko takde. Tak best dah cam dulu..huhu.. Apapun aku doakan segalanya yang terbaik buat ko. Dan jangan lupa, kalau kawin..jemputlah aku ek. Terima kasih atas segala kerja-kerja yang ko buat sepanjang berada di TM. Memang syukur sangat dapat jumpe ko. Terima kasih untuk segalanya.. :)
~kenangan makan di Royal Chulan~


05 January 2011

Ada apa dengan nama?

Sedari Nabila di dalam perut lagi, kami telah memilih beberapa nama untuk Nabila. Doktor telah mengesahkan bahawa aku mengandung anak perempuan sewaktu Nabila berusia 6 bulan. Hatiku melonjak-lonjak kerana impian untuk memiliki anak perempuan tercapai. Pada mulanya firasatku kandungan ini adalah anak lelaki, akan tetapi, sewaktu doktor mengesahkan dan aku bertanya kepadanya berulang kali, sahih bayi dalam perut ini adalah perempuan.

Nama Yasmin Nabilah bukanlah nama yang menjadi pilihan aku pada awalnya. Namun, terpikat dengan perkataan Yasmin..dan bila disebut bunyinya yang lembut membuatkan aku memilih nama tersebut. Dan aku mula mencari maksudnya.

Yasmin yang bermaksud bunga melur sangat kurasakan sesuai untuk anak ini. Dan terbitnya perkataan Nabila pula pula bila melihat maksudnya yang baik. Nabila bermaksud yang cantik. Dan pabila di gabungkan kedua-dua maksud terhasillah Bunga Melur Yang Cantik.

Ya, aku akui, sememangnya anak ini cantik. Sangat indah dari pandangan mata ini. Walaupun dirinya tak sesempurna insan lain, namun aku bersyukur. Nabila lahir juga ke dunia ini untuk melihat ibu dan ayahnya. Biarlah dirinya serba kekurangan, namun bagiku 'di sana' nanti segalanya akan lengkap untuk dirinya. Tiada perkataan istimewa atau cacat bila dia berada 'di sana' nanti.

Sewaktu aku melihat Nabila untuk kali pertama, aku memanggil nama anak ini Yasmin. Namun, sedikit kejanggalan berlaku kerana bagi Abg, nama Yasmin lebih sesuai bila dipanggil untuk orang dewasa. Kata Abg lagi, baik panggil saja dengan nama Nabila. Dan bagiku, aku tak kisah semua itu. Janji anak itu sihat.

Namun, apa yang diimpikan tidak semuanya terlaksana. Dihari ketiga , Nabila di serang sawan dan itulah bermulanya titik hitam dalam hidup Nabila. Kesal tiada gunanya. Nak tak nak hidup ini mesti diteruskan jua.

Dan kali ini kedengaran, Nabila sudah dipanggil dengan panggilan "Kak Min" di kalangan keluarga dan jiranku. Lagaknya Nabila seperti sudah mempunyai adik. Dan aku mula memasang angan-angan untuk memiliki seorang anak lagi. Benar, hati mana tidak bergelodak melihat anak kecil yang sihat sedang bermain bersama kakaknya. Namun, aku harus bersabar. Sabar itu pastinya akan menghasilkan sesuatu yang indah nanti.

Di sekolah Tasputra, Nabila lebih dikenali dengan nama Yasmin, manakala di PDK pula, Nabila dikenali dengan nama Bella. Untuk kami berdua, lebih gemar memanggil Nabila dengan nama adik. Entahlah. Padaku, Nabila akan menjadi adik kepada adik-adiknya nanti. Dan adik-adiknya lah yang bakal menjaganya seperti Kakak dan Abg. Itulah hasratku.

Apapun, aku sangat suka dengan nama Yasmin Nabilah. Seindah nama, secantik dan seunik orangnya...

03 January 2011

Hasrat terpendam..

Hujung minggu kami sekeluarga menghabiskan masa bersama keluarga Abg Long, Ita & Farid dan Zali & Ieyda sekeluarga di Tapah. Pada mulanya rancangan aku untuk ke Hot Spring untuk merendam Nabila. Dan sudahnya Abg Long mengajak kami ke terataknya. Kami bermalam di rumah ladang semalaman.

Hasrat terpendam sudah sekian lama untuk aku membawa Nabila ke Hotspring. Pernah menjejakkan kaki disitu pada tahun 2009. Itupun Nabila bersama kawan-kawannya Alisya, Aiman dan Irfan. Namun kali ini, Nabila keseorangan.

Pada mulanya Nabila menangis tatkala pakaiannya dibuka. Dan bila di celup pelahan-lahan oleh ayahnya, terus saja diam. Sedap tubuh itu bila terkena air panas. Dan lagaknya seperti orang bijak!

~bagai princess sedang bersiram bersama dayang-dayangnya..~

~sepertinya mahu sentiasa wajah ceria pada anak ini~

Dan malam, tuan rumah Abg long menyiapkan makanan dan BBQ skali. Terima kasih buat Abg Long dan Kak Noni. Dan terima kasih pada Ita, Farid, Zali dan Ieyda yang sudi menemani.. :) Hilang rindu pada anak2 ini..





Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...