Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

09 September 2012

Nabila dan Akupuntur...

Minggu yang agak 'hectic' untuk saya dan Nabila sepanjang bulan September ini. Dan kerana berada di rumah mak, saya tak dapat meng update aktiviti Nabila yang terbaru.

Agak lama juga untuk saya mengambil keputusan menggunakan kaedah akupuntur pada Nabila. Sejak kecil lagi, memang ada berhajat untuk ke pusat yang menjalankan kaedah akupuntur, tapi mungkin juga rezeki Nabila belum sampai tahap untuk mencuba kaedah tersebut.

Tanggal 31 Ogos 2012, sedang sibuk orang melihat perbarisan kemerdekaan, saya sibuk membawa kereta menuju ke Kajang. Dalam fikiran saya hanya satu. Mahu Nabila pulih! Dan seharusnya saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi satu lagi ragam Nabila untuk berterapi...

Apabila sesi penilaian dilakukan, saya terus bersetuju untuk melakukan sesi akupuntur hari itu juga. Nabila perlu untuk menjalani sesi mengeluarkan darah kotor ..saya dah mula seriau. Lebih-lebih lagi ia mengingatkan saya bila saya dikehendaki mengambil ujian darah bagi mengesan tahap kencing manis saya. Saya kena hanya 1 jari, tapi Nabila? 10 jari tangan dan 10 jari kaki....

Sakit usah cerita. Nabila meraung sekuat hati mahu melepaskan diri. Kebetulan saya hanya seorang diri tanpa di temani Abang. Mujur ada Farid Abi Alisya tolong pegangkan Nabila ketika itu. Kalau tak, entahlah...

Disebalik kesakitan itu tusukan jarum rupanya ada yang lebih sakit lagi. Kaki kiri dan kanan digesek pada tikar dan menyebabkan luka kulit kakinya terkoyak. Saya sendiri tidak menyedari sehinggalah Ita menegur luka di kakinya. Masya-Allah.. Tak sangka Nabila boleh gesekkan kakinya di situ. dan sehingga hari ini, luka itu belum benar-benar pulih... :(

Hari kedua, Nabila mula dicucuk hampir 61 batang jarum di tubuhnya. Dimulakan dengan bahagian belakang badan dan kepala.Saya kagum melihat jari doktor yang pantas mencari point-point tertentu pada Nabila sambil menerangkan pada kami pelbagai maklumat mengenai rawatan tersebut. Jauh disudut hati saya, saya hanya mampu berdoa agar semangat Nabila kuat. Bukan mudah untuk saya dan Nabila menghadapi saat-saat ini. Dan kami perlu hadapinya lagi untuk 25 sesi seterusnya dan dilakukan setiap hari...

Kesukaran untuk saya mengambil cuti petang keluar waktu pejabat membuatkan hati saya ralat untuk meneruskan sesi ini. Seeloknya saya harus melakukannya setiap hari. Namun, Allah sekali lagi permudahkan jalan saya dimana adik lelaki saya yang ke-3, berhenti kerja kerana dek tak tahan dengan bebanan tugas. Lantas, saya mengambil keputusan untuk mengupahnya sebagai peneman saya untuk membawa Nabila ke Kajang.

Saya cuba memujuk mak. Mak bersetuju untuk menenami adik lelaki saya bila saya tidak dapat ke Kajang pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat. Namun, insiden pada hari Rabu, Nabila muntah dan diserang sawan selepas sesi rawatan membuat mak takut dan melarang saya meneruskan sesi tersebut. Hati saya tak keruan, apatah lagi saya hanya mampu membawa Nabila ke hospital dan pihak HKL terus menahan Nabila untuk pemerhatian. Saya tahu itu semua adalah kesan dari rawatan tersebut. Saya tidak risau kerana saya telah diberitahu awal-awal tentang simptom-simptom ini sebelum sesi rawatan dimulakan, namun tidak menyangka tubuh Nabila bertindak balas secepat itu terhadap rawatan tersebut.


Dalam hati saya yakin, Nabila sudah mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengannya. Cumanya keadaan mak dan adik-adik yang panik melihatkan Nabila, membuatkan saya bercelaru tambahan pula Abang tiada di sisi saya. Air mata saya mengalir bila saya terpaksa membuat keputusan untuk menghantar Nabila ke hospital. Saya doakan keadaan Nabila kembali pulih seperti biasa dan keesokan harinya, saya dibenarkan pulang ke rumah.

Puas memujuk mak supaya membenarkan saya meneruskan rawatan ini. Pandangan mak penting kerana saya juga mahu dia memenani adik untuk sesi rawatan tersebut. Berpuluh kali saya cuba meyakinkan dia. Dan moga pintu hati mak terbuka untuk membawa Nabila ke sana lagi...

Saya masih mempunyai baki berbelas kali rawatan. Perjuangan Nabila juga masih jauh. Bila saya melihat gambar anak-anak lain yang sudah sembuh membuatkan hati saya bertekad mahu meneruskan rawatan ini juga. 

Buat Nabila sayang, Maafkan ibu kerana terpaksa menyakiti kamu dengan melakukan segala rawatan ini. Ibu mahu kamu dapat yang terbaik dan mahu kamu maju terus ke hadapan. Doa ibu agar jalan kita sentiasa dipermudahkan oleh Allah dan segala pengorbanan kita tak kira dari segi masa, duit , tenaga akan berbaloi bila ibu dapat melihat saat pertama kalinya kamu melangkahkan kaki berjalan dengan ibu dan ayah. Andai kamu dapat membaca coretan ibu, ibu teramat sayangkan kamu...

p/s : Amat mengharukan bila adik baby turut menendang di dalam perut ibu bila mendengar suara kakaknya menangis. Ya Allah..Moga kamu memahami keadaan kakakmu dan mampu untuk menjaganya bila kamu dewasa kelak...Terima kasih sayang kerana kamu memahami keadaan ibu dan kakak Nabila....


1 comment:

Anonymous said...

Salam, akak rasa tindakbalas yang berlaku pada Nabila itu petanda baik. Jangan hentikan rawatan Akupuntur tu. Memang ramai yang sembuh ya dik bila buat Akupuntur tu? Minta pihak Akupunture tu jelaskan pada mak ya. Insyallah dia bole terima dan faham.Minta2 Nabila boleh sembuh.Amin.