30 September 2012

Aiman..kami sayang kamu...

Mata ini sukar untuk lelap..terjaga dari tidur dan hati terus teringatkan kisah hari ini. Sangat meruntun hati.. :(

Kisah keluarga superkids kami..

Pagi jam 8, saya membuka handphone dan membaca BBM dari Ita Ummi Alisya yang mengatakan Aiman dimasukkan ke emergency kerana kesukaran bernafas. Lantas, saya membuka facebook dan melihat status babah Aiman, Zali berbunyi begini...

"Aiman di wad ICU hospital serdang..tolong doakan kesihatan dia..plzz...plz..."

Berderau darah saya. Mengapa dengan Aiman? Pelbagai soalan bermain di minda. Saya terus berbalas BBM dengan Ita. Dan katanya lagi, Farid sedang menuju ke Hospital Serdang menemui Babah Aiman.

Saya terus mesej pada Abang. Call tak angkat..rupanya abang dah masuk kerja. Terus Abang keluar dari kilang dan datang ke rumah mak untuk mengambil saya dan Nabila.

Kami berkejaran ke hospital. Setibanya di sana, terjumpa Jiey bersama Rayyan, Rifa dan Alimin. Kami sama-sama naik ke wad ICU bagi menemui Ida dan Zali. Melihatkan mereka menangis, hati saya sayu. Pilu mengenangkan Aiman. Menurut Ida, Aiman demam dan tiba-tiba subuh tadi Aiman susah bernafas dan bila lampu dibuka, Aiman sudah biru.

Kata Ida, Aiman langsung tak mahu menyusu semalam. Kerana badannya kurang sihat. Dan Aiman muntah beberapa kali. Bila pemeriksaan dilakukan oleh doktor, paru-paru Aiman sudah dimasuki sesuatu. Dan kata Ida, kemungkinan muntah Aiman masuk kembali ke dalam paru-parunya.

Hati kami meronta mahu melihat Aiman. Doktor tidak membenarkan pelawat masuk kerana Aiman masih dalam keadaan tidak stabil. Kata Zali, buah pinggang Aiman sudah tidak berfungsi. Sepertinya anggota organ dalaman shut down . Aiman tak sedar walaupun bantuan pernafasan diberikan. Mendengarkan perkara itu, lagi hati kami tak keruan..

Petang, kami terpaksa pulang kerana waktu melawat sudah tamat. Saya dan Abang ke Putrajaya. Pada awalnya mahu singgah ke rumah Put namun saya menerima panggilan dari maksu saya dan menjemput kami ke rumahnya sempena hari lahir Nina.

Nabila pula mengamuk sepanjang di rumah maksu. Sakit perut kerana mahu membuang. Kami bergegas pulang dari rumah maksu kerana amukan Nabila sukar dikawal. Singgah membeli pampers kerana bekalan sudah habis, berhenti di stesen minyak dan selesai semua, barulah Nabila diam. Kesian anak ibu, tak pasal-pasal kena marah sebab ibu tak tahan melihat amukan mu sayang..

Kemudian kami bergegas kembali ke hospital. Ramai rakan sudah pulang setelah selesai meilhat Aiman. Dan saya adalah orang terakhir yang dapat masuk melihat Aiman tadi. Menitis air mata melihat keadaannya. Saya dan Abang memanggil Aiman. Menyatakan Nabila juga ada disini menanti Aiman. Saya melihat mata Aiman bergerak bila saya sebut nama Nabila. Ya, Aiman tahu ibu, ayah dan Nabila datang menjenguknya...

Aiman..ibu dan ayah mendoakan kamu agar kembali pulih dan dapat bersama babah, mama dan adik Aina semula. Ya Allah..berikan kekuatan pada kedua sahabat kami, Zali dan Ida dalam menempuh dugaan-Mu ini. Kembalikan senyum tawa Aiman. Kembalikan Aiman kepada kami Ya Allah..

Melihatkan Aiman tadi, hati saya bertambah pilu. Saya memeluk Nabila. Ya, anak ini hanya pinjaman buat kami. Izinkan kami terus menjaga amanah-Mu ini. Andai tiba saatnya Kau mahukannya kembali, aku redha ya Allah...

Aiman ketika berusia 2 tahun..

Aiman..kami rindukan senyumanmu nak.. :(

24 September 2012

Berdandan & Kembali dengan rutin dulu...

Hujung minggu saya habiskan masa bersama Nabila. Agak letih kerana ragam si kecil ini sangat menduga hati dan perasaan saya.

Mungkin kerana hanya beberapa minggu sahaja lagi Nabila bakal menerima kehadiran seorang adik. Kata mak, adik nak ambil tempat dia..tu yang banyak ragam tu. Sungguh hati saya tak keruan melihat dirinya menangis dan cuba untuk menunjukkan 'protes' kepada saya,. Ya Allah, berikan diri ini kekuatan...

Sabtu : Saya dan Abang membawanya keluar berjalan. Dengan harapan dirinya akan diam dan tidak merajuk lagi. Namun sangkaan saya salah. Tak sampai 20 minit di shopping mall (mmg ini tempat kegemaran dia..) , suaranya kedengaran lantang memekik menangis. Banyak mata yang memandang.. Dan kami terus mengangkat kaki!

Dalam hati bercampur geram. Apalah saya bersalah dalam hal ini? Nabila, ibu hanya ingin menenangkan perasaanmu. Kenapa kamu nak?

Dan sudahnya, kami hanya berhenti makan di R&R , Itupun membeli di kaunter pandu lalu dan menikmati makanan di dalam kereta :(

Lantas saya mengambil keputusan untuk memotong rambutnya...Mungkin kerana kepanasan dan rambut yang sangat panjang (pada saya) merimaskan dirinya....

Di dalam cermin baru kelihatan Nabila disebalik ayahnya. Ayah sibuk bertanya nak potong gaya macamana..

Selesai memotong rambut, terus kami pulang. Dan Nabila...

..masih lagi begini...
 
Ahad : Saya membawanya berjalan lagi. Kali ini bersama adik perempuan dan mak ke Jusco Wangsa Maju. Mujur diam dan hanya memerhati keadaan keliling...
 
Dan malamnya, saya 'berterapi' bersama Abang. Hilangkan rasa tekanan dengan menonton wayang bersama. Yelah..sok nak bersalin..tak dapek la nak tengok wayang dah..hehe...
 
cerita ini.. Agak ganazzz..Sempat pesan pada adik baby.."No..no...no..Ibu just tengok cerita ni ek dik..Jangan contohinya..hehe..Jadi judge yang baik..hehe...*terbaik la cerita nih..!*
 
Isnin : Sehingga tadi, waktu sesi fisioterapi bersama Miza..Nabila sepertinya teringat perihal rawatan 2-3 minggu lepas yang saya rasa membuatkan dirinya trauma...

Di saat ini masih lagi menangis kerana risau apa orang yang akan lakukan padanya. Serius Nabila jarang menangis bila bersama Miza... *kredit pic to Mama Put..Kebetulan jumpa Abg Lope handsome sedang fisio juga.. :)*

Emosi kian stabil. Mungkin baru teringat apa yang selalu menjadi rutin mingguan di greatlife setelah beberapa minggu tidak hadir kerana memberi laluan kepada rawatan akupuntur....

Moga diri ini terus di beri kekuatan sehingga waktu bersalin tiba untuk sesi terapi Nabila seterusnya.. Amin...

21 September 2012

Splint baru...

Alhamdulillah..nampak segalanya berjalan lancar dalam minggu ini. Dan kembali ke rutin yang normal bermula minggu depan... :)

Rabu lepas, Nabila berjumpa dengan pakar rehab. Berkaitan dengan suntikan botox di kaki dan hal-hal berkaitan yang telah dibincangkan ketika temujanji bersama pakar peadiatrik. Untuk pertama kalinya Nabila bertemujanji di bahagian Rehab. Hurm..patutnya dah lama kena refer..tapi entah apalah nasib Nabila tak berkesempatan untuk berjumpa doktor rehab... :(

Apapun, keputusan untuk suntikan botox telah ditangguhkan sehingga ke suatu masa yang akan ditentukan kelak. Doktor Kavitha  menyarankan kami terus menerus melakukan stimulasi pada kaki Nabila. Dan beliau yakin, kaki Nabila boleh dipulihkan semula.

get ready nak masuk bilik Dr. Kavitha..

Dan yang paling bagus sekali adalah Nabila dapat splint baru bagi menggantikan splint lama yang telah rosak talinya..



Bulan 12 nanti appointment semula dengan OT Puan Diana. Pada awalnya nak set balik appointment setiap sebulan sekali. Last saya kata tak perlulah. Hanya nak review penggunaan splint saja. Tak perlu banyak-banyak appointment. Letih mak!!

Apapun..moga semua kembali baik seperti sediakala. Walaupun sejak 2-3 hari ni 'peel' Nabila tak terjangkau dek akal saya. Rasanya seperti dia tahu bakal menjadi seorang kakak dalam beberapa minggu saja lagi. Dan ibu juga pastinya sudah tidak sabar melihat adik baby. Faham sajalah keadaan dalam kandungan berusia 34 minggu. Perut semakin berat. Part bawah memang terasa sakitnya bila berjalan. Dan pastinya badan ni dah termengah-mengah untuk lakukan apa saja perkara... Tapi yang paling penting, saya dah tak sabar untuk mula cuti bersalin.. :)


17 September 2012

Antara Kakak dan Adik..

Antara kakak dan adik..
Dua-dua ibu sayang..
Dua-dua ibu cinta..
Mungkin ibu tidak boleh terus berkeras lagi..
Ada hikmah disebalik apa yang berlaku..
Doa ibu agar kedua anak ibu sihat dan mampu menjaga sesama sendiri kelak..
Maafkan ibu kakak..
terpaksa memutuskannya untuk kebaikan semua..
Maafkan ibu adik..
kerana ibu juga teramat menyayangimu..dan ibu perlukan kamu demi kakakmu..
Maafkan ibu, ayah ..
Kerana diri ini begitu lemah di hadapanmu..

Ya Allah..permudahkan jalan ibu..
Kuatkan semangat ibu..
Agar kaki ini terus melangkah...

10 September 2012

Persiapan untuk si kecil

Rasa lama pulak tak update tentang adik baby. Alhamdulillah..sudah 32 minggu berada di dalam perut ibu. Bila mengingatkan tentang masa, terasa kecut perut pulak. Yelah..menantikan kehadiran si kecil ni memanglah sesuatu yang mengujakan, namun bila mengenangkan prosedur yang bakal saya lalui..perghhhh...berpeluh dahi... :)

Semalam, Abang mengambil keputusan untuk tidak bekerja, walaupun ada perkara penting yang perlu di buat di kilang. Dan dikesempatan ini, saya dan Nabila mengajak Abang shopping barang adik baby. Walaupun tak banyak benda untuk ditambah, namun perasaan kekok mencari baju bayi terasa jugak! Dan kali ni, saya awal-awal lagi senaraikan barang-barang yang perlu sahaja. Kerana banyak barang kakaknya yang masih boleh di pakai.. :) Sudah jimat wang!!

sebahagian baju kakak Nabila yang perlu dibasuh dan boleh digunakan semula...Tak yah bazir-bazir yek dik..nanti dah besar ibu beli baju santek-santek...

Walaupun 2 doktor confirm yang adik baby adalah boy...namun, hati saya tetap was-was. Saya hanya memilih baju berwarna 'neutral'. Hehehe..kelakar pulak rasanya bila mengenangkan hal semalam..Puas bertanya Abang baju warna apa, tapi biasalah orang lelaki..bukan mudah untuk bagi pendapat kalau bab-bab begini. Lastnya saya jugak yang kena decide apa yang perlu di beli.

Kata mak, tak perlu banyak-banyak. Hanya keperluan ketika bersalin. Nanti baby dah keluar, baru beli betul-betul. Yelah mak..!! hehe....

Keperluan masa bersalin je nih..baju, stokin, barut, napkin semua tengah basuh :)

Penat jugak berjalan dalam keadaan perut yang membesar. Kejap-kejap suruh Abang berhenti duduk. Sakit pinggang weiiii....Tak terdayo nak jalan lama-lama. Ada juga beberapa benda yang masih belum saya cari. Tapi kesemuanya barangan untuk saya. Untuk Adik baby, InsyaAllah dah cukup kut...hehe...

Breastpump pun saya dah order. Memang niat saya untuk menyusukan adik baby secara ekslusif. Cukuplah rasa sedih saya tak dapat menyusukan Nabila selama mungkin semasa dia kecil. Hanya sempat 3 bulan, dan kemudian, sibuk nak susu lembu...huhu...

idaman hati kalbu..hehe...

Dan kini, saya hanya menunggu masa sahaja. Terasa cepat pula masa berlalu. Adik baby juga sangat aktif. Alhamdulillah, serasa saya dia sihat dan baik-baik saja di dalam perut ini. Moga segalanya selamat bila diizinkan Allah untuk dia lihat dunia ini bersama Ibu, Ayah dan Kakak Nabila.. :) Doakan untuk saya dan adik baby yek...


09 September 2012

Nabila dan Akupuntur...

Minggu yang agak 'hectic' untuk saya dan Nabila sepanjang bulan September ini. Dan kerana berada di rumah mak, saya tak dapat meng update aktiviti Nabila yang terbaru.

Agak lama juga untuk saya mengambil keputusan menggunakan kaedah akupuntur pada Nabila. Sejak kecil lagi, memang ada berhajat untuk ke pusat yang menjalankan kaedah akupuntur, tapi mungkin juga rezeki Nabila belum sampai tahap untuk mencuba kaedah tersebut.

Tanggal 31 Ogos 2012, sedang sibuk orang melihat perbarisan kemerdekaan, saya sibuk membawa kereta menuju ke Kajang. Dalam fikiran saya hanya satu. Mahu Nabila pulih! Dan seharusnya saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi satu lagi ragam Nabila untuk berterapi...

Apabila sesi penilaian dilakukan, saya terus bersetuju untuk melakukan sesi akupuntur hari itu juga. Nabila perlu untuk menjalani sesi mengeluarkan darah kotor ..saya dah mula seriau. Lebih-lebih lagi ia mengingatkan saya bila saya dikehendaki mengambil ujian darah bagi mengesan tahap kencing manis saya. Saya kena hanya 1 jari, tapi Nabila? 10 jari tangan dan 10 jari kaki....

Sakit usah cerita. Nabila meraung sekuat hati mahu melepaskan diri. Kebetulan saya hanya seorang diri tanpa di temani Abang. Mujur ada Farid Abi Alisya tolong pegangkan Nabila ketika itu. Kalau tak, entahlah...

Disebalik kesakitan itu tusukan jarum rupanya ada yang lebih sakit lagi. Kaki kiri dan kanan digesek pada tikar dan menyebabkan luka kulit kakinya terkoyak. Saya sendiri tidak menyedari sehinggalah Ita menegur luka di kakinya. Masya-Allah.. Tak sangka Nabila boleh gesekkan kakinya di situ. dan sehingga hari ini, luka itu belum benar-benar pulih... :(

Hari kedua, Nabila mula dicucuk hampir 61 batang jarum di tubuhnya. Dimulakan dengan bahagian belakang badan dan kepala.Saya kagum melihat jari doktor yang pantas mencari point-point tertentu pada Nabila sambil menerangkan pada kami pelbagai maklumat mengenai rawatan tersebut. Jauh disudut hati saya, saya hanya mampu berdoa agar semangat Nabila kuat. Bukan mudah untuk saya dan Nabila menghadapi saat-saat ini. Dan kami perlu hadapinya lagi untuk 25 sesi seterusnya dan dilakukan setiap hari...

Kesukaran untuk saya mengambil cuti petang keluar waktu pejabat membuatkan hati saya ralat untuk meneruskan sesi ini. Seeloknya saya harus melakukannya setiap hari. Namun, Allah sekali lagi permudahkan jalan saya dimana adik lelaki saya yang ke-3, berhenti kerja kerana dek tak tahan dengan bebanan tugas. Lantas, saya mengambil keputusan untuk mengupahnya sebagai peneman saya untuk membawa Nabila ke Kajang.

Saya cuba memujuk mak. Mak bersetuju untuk menenami adik lelaki saya bila saya tidak dapat ke Kajang pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat. Namun, insiden pada hari Rabu, Nabila muntah dan diserang sawan selepas sesi rawatan membuat mak takut dan melarang saya meneruskan sesi tersebut. Hati saya tak keruan, apatah lagi saya hanya mampu membawa Nabila ke hospital dan pihak HKL terus menahan Nabila untuk pemerhatian. Saya tahu itu semua adalah kesan dari rawatan tersebut. Saya tidak risau kerana saya telah diberitahu awal-awal tentang simptom-simptom ini sebelum sesi rawatan dimulakan, namun tidak menyangka tubuh Nabila bertindak balas secepat itu terhadap rawatan tersebut.


Dalam hati saya yakin, Nabila sudah mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengannya. Cumanya keadaan mak dan adik-adik yang panik melihatkan Nabila, membuatkan saya bercelaru tambahan pula Abang tiada di sisi saya. Air mata saya mengalir bila saya terpaksa membuat keputusan untuk menghantar Nabila ke hospital. Saya doakan keadaan Nabila kembali pulih seperti biasa dan keesokan harinya, saya dibenarkan pulang ke rumah.

Puas memujuk mak supaya membenarkan saya meneruskan rawatan ini. Pandangan mak penting kerana saya juga mahu dia memenani adik untuk sesi rawatan tersebut. Berpuluh kali saya cuba meyakinkan dia. Dan moga pintu hati mak terbuka untuk membawa Nabila ke sana lagi...

Saya masih mempunyai baki berbelas kali rawatan. Perjuangan Nabila juga masih jauh. Bila saya melihat gambar anak-anak lain yang sudah sembuh membuatkan hati saya bertekad mahu meneruskan rawatan ini juga. 

Buat Nabila sayang, Maafkan ibu kerana terpaksa menyakiti kamu dengan melakukan segala rawatan ini. Ibu mahu kamu dapat yang terbaik dan mahu kamu maju terus ke hadapan. Doa ibu agar jalan kita sentiasa dipermudahkan oleh Allah dan segala pengorbanan kita tak kira dari segi masa, duit , tenaga akan berbaloi bila ibu dapat melihat saat pertama kalinya kamu melangkahkan kaki berjalan dengan ibu dan ayah. Andai kamu dapat membaca coretan ibu, ibu teramat sayangkan kamu...

p/s : Amat mengharukan bila adik baby turut menendang di dalam perut ibu bila mendengar suara kakaknya menangis. Ya Allah..Moga kamu memahami keadaan kakakmu dan mampu untuk menjaganya bila kamu dewasa kelak...Terima kasih sayang kerana kamu memahami keadaan ibu dan kakak Nabila....


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...