24 September 2013

Kakak Nabila dan Hidrotherapy...

Assalamualaikum..

Hujung minggu yang agak sibuk sebenarnya. Dan saya cuba luangkan masa untuk mencoret disini agar entry ini tak lapuk.

Alhamdulillah, rezeki Nabila lagi. Saya berpeluang membawa Nabila ke Greatlife Bangi untuk sesi hidrotherapy nya. Mungkin ada yang belum pernah mendengar tempat ini. Actually, tempat ini dah ada beberapa cawangan baru termasuk di Kota Damansara dan Shah Alam. Nabila pernah ke Kota Damansara dan dia bersama physiotherapist di sana, iaitu Miza. Cumanya di Kota Damansara tiada hidroterapi. Makanya, saya terpaksa mencari alternatif lain untuk teruskan sesi ini.

Jika dulu di IMC, hampir setiap minggu Nabila akan ada sesi hidroterapi di sekolah. Cumanya sejak Nabila berhenti dari IMC, saya tidak lagi melalukan rutin bermain air bersamanya. Ya, disebabkan saya mengandung dan melahirkan Naufal, makanya sesi hidroterapi Nabila terhenti...

So far Alhamdulillah, di Greatlife Physiotherapy Bangi nampak tempatnya mudah untuk dicari. Luas dan mempunyai 3 tingkat. Dan kolam yang sangat besarrrrrrrr!!!

Gambar atas : Nabila ready dengan swimming suits nak masuk kolam...
Gambar bawah : Sesi hidroterapi sedang berlangsung. Kakak NANGISSSS!! sebab dah lama tak berendam + kolam sejuk sikit..hehe...

Apapun, saya sedang cuba untuk arrange balik jadual aktiviti Nabila. Cuma saya sedang mempertimbangkan untuk mencari dana atau duit lebih untuk menampung perbelanjaan Nabila. Terapi nya bukan murah. Dan saya terpaksa lakukannya setiap minggu bagi memastikan tubuh Nabila mendapat rawatan sewajarnya. 

Saya risaukan ini..

Kaki kakak susah nak dibengkokkan... :(

Jika ada yang mengikuti page Nabila di dalam facebook iaitu https://www.facebook.com/KasihkuBuatNabila , saya ada luahkan tentang kaki Nabila beberapa hari lepas...

"Lama tak update tentang Yasmin Nabilah kan. Actually saya mmg tgh bimbangkan ttg dirinya. Kurang fisioterapi buat kakinya kembali kejang keras. Nak bengkok untuk bersila pun agak payah. Saya tahu sendi sudah mulai ketat. Harap sangat dapat lakukan rutin dulu, lakukan fisioterapi sekerap mungkin. Skrg Nabila pun tak gi sekolah dah. Maka, sesi terapi setiap hari pun dah takde. Kalaulah ibu kaya, leh upah fisiotherapist dtg rumah lakukan sedikit exercise utk kakak. Ibu dah tak boleh nak keluar waktu opis macam dulu nak.. Sedih bila pikir semua ni.. Moga Allah sentiasa permudahkan jalan ibu utk kamu sayang..


Luahan hati saya seorang ibu. Mana tak gusar melihat kakinya kini semakin sukar untuk dibengkokkan. Bukan kerana saya sengaja tidak membawa Nabila ke tempat terapi.. semuanya kerana DUIT !!  Saya bukan nak minta simpati pada kalian yang membaca coretan ini, cuma mahukan jadikan tempat ini sebagai tempat saya meluah rasa tentang keadaan negara ini yang serba susah untuk mencari wang untuk menampung perbelanjaan menjaga anak istimewa. Ya, cakap saya ini bukan omongan kosong. HANYA MEREKA YANG SEKASUT DAN SEDANG MENGALAMINYA SAHAJA MENGETAHUI PERIT JERIH KEHIDUPAN KAMI LALUI. 

Saya tetap bersyukur Nabila diberi peluang untuk mengikuti kelas terapi berbanding rakan-rakan saya yang duduk di luar bandar. Cuma saya berharap peluang ini akan datang lebih lagi. Anak istimewa juga manusia yang perlukan perhatian dan jagaan yang baik. Agar mereka terus diberikan kesihatan yang baik, dan siapa tahu mungkin satu hari nanti, anak-anak ini berpeluang untuk menjadi anak yang mampu berdikari. LEBIH BERDIKARI DARI ANAK TIPIKAL DI LUAR SANA....

Pada yang ingin mencuba hidroterapi dan terapi-terapi lain, bolehlah ke tempat ini dan setkan appt sebelum datang ek...

Greatlife Physiotherapy Centre
No 61G JALAN KAJANG IMPIAN 1/11, TAMAN KAJANG IMPIAN, 43000 BANDAR BARU BANGI, SELANGOR..seksyen 7


Call dulu sebelum nak datang ek.. Puan Fazilah 017-3985214 atau hotline mereka 017-2997966 . Boleh je cakap tau tempat ni dari blog Bella.. kompem kak Fazilah ni kenal..hehe...




15 September 2013

Dugaan demi dugaan..

Assalamualaikum..

Maaf lama menyepi. Tak pasti sama ada kalian menanti coretan di ruangan ini atau tidak. Agak ke'busy'an sebulan selepas kejadian menimpa Abang..

Sungguh berat untuk saya mencoret apa yang berlaku dalam hidup kami sekeluarga sebulan ini. Pelbagai cabaran saya tempuhi. Mungkin ada yang membaca di facebook saya. Ya, Alhamdulillah, saya masih bertahan. Saya tahu dugaan ini mengajar saya lebih matang dan sabar dalam menjalani kehidupan sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja.

Sehari selepas kejadian kemalangan suami, saya diberi ujian sekali lagi. Kakak Nabila dimasukkan ke hospital akibat serangan sawan selama 30 minit yang saya fikir sangat menakutkan saya dan suami. Sungguh saya menangis tidak keruan melihat Nabila menggeletar, matanya ke atas dan bibirnya mengeluarkan buih. Waktu itu saya baru sahaja selesai bersahur (sahur hari terakhir di bulan ramadhan).

Pada awalnya, saya menjangkakan kakak hanya mendiamkan diri di dalam buai. Saya tahu kakak tidak tidur semalam. Namun saya cuba tidak mahu berfikir buruk.

Namun, sangkaan saya meleset. Saya mengangkat kakak turun dari buaian dan kemudian saya melihat kakak hanya memandang melalui satu arah saja. Saya cuba membetulkan kepalanya, namun dia kembali toleh ke arah yang sama. Saya mengejutkan Abang yang ketika itu sedang berbaring di sebelahnya. Abang masih mengantuk ketika itu (mungkin masih kesakitan akibat hentakan ketika kemalangan 2 hari sebelumnya) hanya mengangguk kecil bila saya katakan padanya keadaan kakak berlainan.Kemudian saya nampak kakak diam dan rileks. Saya memadam lampu dan bermain telefon.

Tiba-tiba Abang bangun dan melompat untuk memetik suis lampu. Dan saat itu saya nampak kakak sudah menggeletar. Mulutnya berbuih dan matanya memandang satu arah sahaja. Abang memangku kakak dan cuba menyedarkan kakak, namun tidak berhasil. Kami cuba merakam saat itu, namun hati merasa tidak sedap. Lantas saya mengajak Abang ke hospital.

Terkejut mak dan ayah saya bila saya memberitahu kakak diserang sawan ketika itu. Mak memangku kakak dan cuba memanggil namanya. Kakak masih belum sedarkan diri. Dan ketika itu sudah 10 minit berlalu.

Kami mengejutkan adik saya untuk memandu ke HKL. Mujur ada kereta ayah ketika itu. Keadaan tanpa kenderaan sendiri sangat menyukarkan saya dan suami ketika itu. Adik membawa kereta agak laju sambil memberikan isyarat lampu kecemasan dan lampu tinggi kepada pemandu lain agar memberi laluan pada kami menuju ke hospital. Mujur waktu subuh, jalan lengang. Sungguh kalut ketika itu. Saya mengheret Naufal sama di subuh hari. Kerana takutkan dia meragam mahukan saya siang nanti.

Sampai sahaja di hospital, kami terus berlari di bahagian kritikal. Kakak masih dalam keadaan sawan. Sudah lebih 30 minit kakak berkeadaan begitu. Air mata saya mengalir laju. Ya Allah, selamatkan anakku...

Letak sahaja kakak di katil, saya nampak kakak bagai tersentak-sentak. Kelam-kabut doktor dan nurse memberikan bantuan menyelamatkan kakak. Ubat punggung diazepam tak dapat menenangkan kakak. Dan akhirnya doktor terpaksa memberikan ubat melalui salur darahnya. Dan kemudian, barulah kakak tenang.

Selesai itu, kakak dimasukkan ke wad KK2. Kakak tidak sedarkan diri. Terbaring kaku dengan bantuan oksigen. Abang menawarkan diri untuk menjaga kakak di hospital. Saya tidak dapat menemani kakak kerana risaukan Naufal mencari saya nanti.

Gambar diambil oleh Ummi Alisya. Terima kasih Ummi, Abi dan Alisya datang melawat Nabila time ni..Dan terima kasih pada geng superkids atas sumbangan ihsan kalian.. Terharu sangat..

Dan ketika itu..sememangnya saya dan Abang tiada mood untuk beraya. Sungguh tak sangka, ianya terjadi pada kami tahun ini. Beraya di hospital adalah kenangan yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Syahdu bila tidak dapat mengucup jari Abang memohon maaf dan anak-anak tidak berbaju raya di pagi raya...

 Ketika ini ubat sudah di off kan. Kakak masih belum sedar mungkin keletihan selepas serangan sawan tersebut.

 Kami di pagi raya. Sebak.. Namun masih tersenyum kerana tidak mahu bersedih dengan apa yang berlaku. Ya, Allah sayangkan kami. Oleh kerna itu diberi dugaan ini...Alhamdulillah...

Menunggu masa untuk discharge. Dua beradik dalam baby coat. Si adik memberi semangat kepada kakak untuk lekas pulih.. Dan boleh balik kampung lepas tu..

Dan raya kedua, kami selamat pulang ke Ipoh meraikan Aidilfitri bersama keluarga mertua saya di sana... :)

2 minggu selepas raya, saya dihubungi oleh rakan sepejabat. Katanya saya perlu pulang semula ke pejabat bagi menggantikannya yang akan menunaikan haji pada awal bulan 9 nanti. Sungguh saya tak bersedia pada awalnya. Bagaimana untuk saya meninggalkan Naufal dan kakak pada pengasuh mereka nanti? Sempatkah untuk Naufal dan Nabila membiasakan diri di rumah pengasuh?

Pada awalnya, rancangan saya, saya mahu kakak dan adik dijaga oleh bibik. Namun bila ayah mengatakan tidak mahu bibik di rumahnya, saya buntu. Lantas dalam masa singkat saya mencari pengasuh untuk kakak dan adik. Mujur jiran mak mahu menjaga dua beradik ni. Jika tidak, tak tahulah keadaan kami..

Memang sukar untuk Naufal melepaskan saya. Apatah lagi sudah terbiasa selama 10 bulan dalam dakapan saya. Lebih-lebih lagi tiada lagi sesi 'mengempeng' bersama ibu. Syahdu tatkala kali pertama saya melepaskan Naufal atas jagaan orang lain. Untuk kakak, saya tidak khuatir kerana sudah biasa meninggalkan kakak di sekolah dahulu. Kini perasaan sebak syahdu datang kembali. Bilamana Naufal menjerit mahukan saya. Oh anak!! Maafkan ibu. Ibu terpaksa keluar mencari rezeki. Andai kita orang berada, pasti ibu akan membesarkanmu dengan tangan ibu sendiri. Maafkan ibu sayang..

Seminggu selepas Naufal dan Nabila di rumah pengasuh, Naufal diserang demam selsema yang maha hebat. Suhu badan amat panas dan susah untuk turun. Dan hati saya bimbang serangan sawan akan berlaku pada Naufal andai saya biarkan ianya berlanjutan. Saya ke klinik sebanyak 2 kali dan akhirnya hari ke-4 demam, Naufal di masukkan ke hospital kerana suhu badan yang tak turun dan agak tinggi.

Hari kedua demam.. Suhu badan masih tidak turun walaupun sudah diberi antibiotik, ubat pcm supp, air kelapa, air badak, air barli dan segala jenis mak nenek punya airlah..huhu...

10 minit selepas dimasukkan ke wad. Muka tetap senyum walaupun kepala tu panas ya amattttt!! 

Hari ke 4 demam barulah kebah. Itupun doktor HKL bagi ubat demam. Adik Naufal dimasukkan ke wad KK1 . Ya Allah, baru perasan. Adik Naufal masuk wad genap-genap sebulan selepas kakak Nabila dimasukkan ke wad KK2 kerana sawan. Sudahlah wad mereka bersebelahan. Adakah ianya secara kebetulan..?

Alhamdulillah, 3 hari 2 malam saya menemani Naufal di dalam wad. Cergas bukan main lagi pakcik kecik ni. Mengalahkan orang sakit. Doktor siap tanya, betul ke Naufal ni demam. Sebab Naufal nampak ceria. Ye, anak ibu kuat semangat. Siap kagum tengok dia minum air garam (sebab ada cirit sikit) sampai habis sebotol tu dia bedal sorang. Kalau budak lain menjerit-jerit tak mahu minum.

Sempat juga si Naufal didukung oleh doktor dan nurse. Alahai anak.. macam-macam hal kamu ni dik...

Sehari sebelum Naufal dimasukkan ke wad, kereta saya kemalangan lagi. Dan ketika itu pemandunya adalah saya. Dilanggar lori yang membawa durian dari kampung. Kemalangan berlaku berhadapan susur keluar dari plaza tol Gombak (Karak) . Dan paling menyedihkan pemandu lori itu melarikan diri sebaik sahaja melihat saya seorang perempuan yang membawa kereta.

Waktu kejadian, saya dalam perjalanan dari pejabat ke rumah kerana mahu melihat Naufal yang ketika itu sedang demam. Mujur hanya kemalangan kecil. Andai kemalangan yang dasyat, mungkin saya tak sempat untuk melihat Naufal dan kakak Nabila. Berdebar hati saya tatkala kereta saya dihentam kuat dari arah belakang. Dan sempat saya kerling pada cermin belakang. Dan nampak lori itu sudah melekat di belakang kereta saya. Saya memandang sisi cermin. Nampak ada lampu pecah berderai di jalanan. Saya tetap meneruskan perjalanan untuk mencari tempat sesuai untuk berhenti. Namun bila saya berhenti dan melihat pemandu lori itu meneruskan perjalanan, buat saya geram. Saya mengejar pemandu lori tersebut sehingga ke Cheras (melalui MRR2) untuk mendapatkan nombor plat lori, namun tidak berjaya. Akhirnya saya berpatah pulang ke Gombak dengan perasaan sayu. Sebak, air mata saya mengalir. Mengapa semua ini berlaku pada saya..?

Kesan kemalangan tersebut. Calar dan kemek .. 

Pulang saja dari kemalangan itu, Naufal masih lagi demam ketika itu. Dan esoknya, Naufal di masukkan ke hospital Kuala Lumpur...

Selang sehari selepas Naufal keluar dari hospital, saya diduga sekali lagi. Kali ini Nabila pula yang sakit. Sungguh saya tak sangka kakak akan sakit. Kerana semasa Naufal sakit sebelum itu, Nabila memang kelihatan sihat walafiat. Sedikit pun tak berjangkit dari adiknya. Rupanya bila saya fikir semua apa yang berlaku, ada hikmahnya. Andai Naufal dan Nabila sakit serentak, pasti saya tidak dapat handle kedua-duanya.. Ya, Allah tahu kemampuan saya...

Kakak Nabila diserang sawan pada awalnya, dan diikuti demam. Saya standby kan ubat demam pada babysitter pada pagi sebelum saya ke tempat kerja. Dan pukul 10, saya menerima mesej dari babysitter mengatakan kakak diserang sawan. Babysitter cuba mengejutkan kakak Bella dan Alhamdulillah, serangan hanya berlaku sekejap saja seperti kebiasaan. Saya menyuruh ayah saya yang ketika itu ada di rumah memberikan ubat sawan kakak kepada babysitter (rumah mak ngan rumah babysitter selang satu pintu je..). Pada awalnya saya tak bercadang untuk memberikan ubat sawan kepada kakak, namun bila memikirkan takut kakak diserang lagi dan babysitter tak dapat nak handle, maka saya mengambil keputusan untuk berikan ubat tersebut. Dan kemudian selepas itu badan kakak mulai panas. Demam. Suhu naik sehingga 37.4

Saya sudah panas punggung di pejabat. Kebetulan ada taklimat 5S ketika itu. Selesai taklimat, saya terus ke pejabat dan meminta kebenaran pada bos untuk keluar pejabat. Serasa mahu terbang ke rumah ketika itu. Dan setibanya di rumah, badan kakak semakin panas. 

Pada awalnya saya masih berkira-kira untuk ke klinik. Buku klinik panel abang di tangannya kerana perlu diganti buku baru dek kehabisan mukasurat (banyak sangat gi klinik..huhu). Jika tiada buku klinik, saya terpaksa membayar tunai. Saya melihat dalam dompet saya. Not RM 50 sahaja yang ada. Sedih. Mak saya mula bising suruh saya membawa kakak ke klinik. Saya cuba mesej pada abang. Abang juga buntu tak tau apa yang dilakukan. Serius saya katakan bulan ini memang saya 'agak kekeringan' kerana sudah mula kerja dan berbagai perkara yang terjadi menyebabkan kami agak kesempitan duit ketika itu. 

Saya meminjam duit ayah dengan perasaan sebak. Dan di dalam kereta, saya menangis. Sedih kerana terpaksa meminta bantuan untuk membawa anak saya ke klinik. Maafkan ibu nak.. 

Kakak di klinik. Nampak bengkak sedikit di bibir bawahnya. 

Sampai di klinik, saya perasan ulser mulai tumbuh di bibir kakak. Dan suhu ketika itu sudah mencecah 38.6 darjah. Doktor menyuruh saya ke hospital kerana Nabila tidak mahu makan dan minum. Mungkin pedih sangat mulut dia sehinggakan dia menolak untuk makan dan minum. Saya mengambil keputusan untuk menunggu sahaja di rumah. Andai malam nanti Nabila masih tidak dapat makan dan minum dengan baik, saya akan terus bawa Nabila ke hospital.

Sampai di rumah, saya perasan lagi, rupanya makin banyak ulser yang tumbuh di mulutnya. 2 hari Nabila tidak mahu minum susu melalui botol. Makannya hanya sedikit. Badan Nabila mula susut. Bila ubat oral aid tak berapa nak berkesan, saya cuba kaedah memberi aiskrim vanila. Alhamdulillah terus surut kesakitan ulser dimulutnya. Dan pagi Sabtu, Nabila sudah mula minum melalui botol semula. Alhamdulillah..

Harapnya semua kembali pulih selepas ini. Tuntutan insurans kereta saya yang kemalangan tempohari juga hampir selesai. Dan kereta itu terpaksa kami isytihar sebagai total loss.. Dan tiba-tiba rindu pada WUU saya :( 

Maaf entry yang agak panjang kali ini. Terima kasih pada rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan, bantuan kewangan, kata-kata semangat serta doa untuk anak-anak saya sepanjang kami melalui dugaan ini. Alhamdulillah...





Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...