Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

06 August 2013

Alkisah.. Tragedi menjelang syawal..

Assalamualaikum..

Sekejap benar masa berlalu. Akhirnya tiba di penghujung Ramadhan. Moga masih diberi kesempatan merasai nikmat bulan Ramadhan di tahun-tahun mendatang.

Semalam, kisah tragik berlaku pada kami. Sungguh saya tak sangka ianya berlaku pada abang. Lebih-lebih lagi ketika hampir menjelang syawal. Selalu, saya yang akan terfikir-fikir setiap kali perayaan, pasti ada kemalangan jalanraya. Dan paling tak sangka, rupanya tahun ini giliran kami menempuh dugaan tersebut. Orang kata cabaran di bulan puasa.

Saya berada di Gombak rumah mak saya ketika kejadian berlaku. Dan Abang sebenarnya dalam perjalanan ke rumah mak untuk menjemput kami pulang. Saya menantinya dari pagi bersama mak. Sedang berbual dengan mak, tiba-tiba terdengar Naufal menyebut "AYAH!!" . Saya dan mak berpandangan. Terkejut bila mendengar Naufal menyebut nama ayahnya. Dan saya terus bercakap pada mak, yang abang masih belum sampai lagi. Dalam hati saya, terasa sesuatu. Terfikir untuk menelefonnya, tapi entah kenapa saya tak lakukan perkara tersebut.

Sungguh terkejut bila mendapat panggilan dari abang sekitar jam 12.30 tengahari yang menyatakan dia kemalangan dan sedang dalam perjalanan ke hospital. Di hujung talian saya pasti abang masih sedar dan keadaan dirinya mungkin tak seserius mana. Namun, bila dikatakan kereta kami terbalik, saya terdiam. Dan ketika itu saya menerima gambar melalui pesanan blackberry saya. Ya Allah. Teruk benar keadaan kereta kami.

Saya hanya bermesej melalui bbm saja bertanyakan keadaan abang. Kerana tidak mahu dia bercakap banyak. Lantas saya menelefon mak mertua saya dan ayah saya. Sebak bila saya menyampaikan berita pada mak mertua saya. Saya pasti mak terkejut..

Saya menelefon ayah saya pula. Kerana mahu bantuan ayah untuk menghantar saya ke Hospital Sungai Buloh. Kalut ayah pulang ke rumah. Saya tak dapat berfikir apa lagi. Dan gambar abang kemalangan tadi saya muat naik ke dalam facebook. Dengan harapan mahu semua sahabat mendoakan keselamatan abang..
Saya bersama ayah, adik lelaki dan Naufal berkejaran ke hospital. Sampai sahaja di bahagian kecemasan, terus saja menghubungi abang. Rupanya abang baru dibenarkan pulang. Dan kami terus sahaja ke bengkel kereta. Dan abang perlu ke balai polis untuk melaporkan kejadian tersebut.

Terasa badan sakit terutama di dada. Kata abang seperti terjerut tali pinggang keledar. Sewaktu abang membuat laporan di balai polis kota damansara, saya, ayah dan adik ke tow truck yang membawa kereta kami untuk mengambil barang yang ada di dalam kereta. Pertama kali saya terpandang WUU, saya terdiam. Sebak. Dalam hati saya mengucap maaf padanya. Kerana beberapa hari sebelum itu, saya dan abang berbincang ubtuk trade in kereta kami dan mencari kereta yang lebih luas sedikit. Segalanya kerna Nabila. Mungkin sepertinya WUU sudah mendengar perbualan kami, bak kata seorang sahabat, WUU 'membunuh diri'. Mungkin tak sanggup bertukar tangan pada pemilik lain.. :(

Ayah dan adik sibuk memunggah barang di dalam kereta. Dan saya hanya mampu memandang sayu. Namun, saya tetap bersyukur kerana perginya WUU tidak membawa abang sekali bersamanya. Dan abang tidak mengalami sebarang kecederaan serius.Alhamdulillah..

Dugaan kami di bulan Ramadhan. Sesungguhnya saya tahu Allah masih memberi kesempatan pada saya dan anak-anak untuk bersama dengan abang. Tak terbayang andai abang pergi meninggalkan kami bertiga..
Kata abang, sewaktu kereta itu terbalik, sempat dia menyebut Allah.. Dan di ruang matanya terbayang wajah Nabila. Dan diikuti wajah saya dan Naufal. Berlinang air mata saya bila mendengar kata abang. Sungguh anak itu telah 'menyelamatkan' nyawa ayahnya. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih Nabila..

Moga kejadian ini menjadi ikhtibar pada kami. Dan saya tahu terselit satu hikmah buat keluarga saya.. Terima kasih pada kawan-kawan yang mengirim sms, private massage di facebook dan komen-komen di dalamnya yang mendoakan keselamatan abang. Dan terima kasih pada yang menelefon bertanyakan tentang abang juga. Sehingga tadi, masih ada lagi yang menelefon bertanyakan keadaan abang. Terima kasih atas doa semua.

InsyaAllah, jika ada kesempatan kemungkinan kami beraya di Ipoh. Mungkin esok, mungkin lusa kami pulang. Doakan perjalanan kami sekeluarga selamat hendaknya pergi dan balik. Dikesempatan ini saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN pada semua pembaca blog Kasihku Buat Nabila. Saya doakan semuanya bergembira di hari raya nanti dan berhati-hati di jalanraya. Saya dan keluarga memohon ampun dan maaf di sepanjang penulisan saya ini, ada kata-kata yang telah menyinggung perasaan hati pembaca semua.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
Ikhlas dari,
Zulhilmi, Noina, Yasmin Nabilah, Yasier Naufal.