08 May 2015

Melihat kakak...

Assalamualaikum..

Sebelum memulakan cerita, kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Adik Aiman Haziq yang meninggal pagi tadi. Haziq merupakan anak kepada salah seorang sahabat sekasut saya, Kak Siti Suhaila Samian. Haziq dan Nabila sebaya dan seorang kanak-kanak Cerebral Palsy. Sedih pagi ini kerana Haziq meninggal dalam keadaan yang mengejutkan kami semua keluarga anak istimewa. 

Anak syurga..datang dan pergi.. Moga kalian bergembira di taman syurga sana. Menantikan ayah dan ibu mu..

Sungguh hati rasa sedih.. Lepas satu satu anak syurga pergi meninggalkan kami semua. Walaupun Nabila masih disisi saya, melihat anak lain sama seperti anak sendiri. Keadaan kakak sama seperti mereka. Perlukan bantuan untuk makan, minum, mandi, main. Mereka perlukan kasih sayang juga...

Semalam, sewaktu saya mandikan kakak, saya terfikir. Bagaimanakah keadaan anak ini apabila besar kelak. Kakak Nabila cuba berpaling ke belakang, agaknya merasai tangan saya menyapu sabun di badan dan kepalanya. Badannya yang bergerak-gerak agak sukar untuk saya kawal. Manakan tidak, tangan kanan memegang gayung, tangan kiri memegang badannya. Banyak kali juga kakak terduduk di lantai (saya dudukkan dia di bangku kecil) kerana saya terlepas dari pegangan badan Nabila. 

Hati saya berbisik, andai anak ini terus membesar, berikan saya kekuatan untuk menguruskannya. Berikan saya sedikit tenaga untuk mendukung Nabila nanti.

Malam tadi kakak enggan tidur. Sepanjang malam hinggalah ke subuh. Entah apa yang digelisahkan saya tak pasti. Namun dia hanya senyap diam membisu. Hanya sesekali tangan, badannya bergerak bermain. Adakah petanda kakak tahu sahabatnya bakal pergi  nanti? Wallahualam...

Melihat kakak saya jadi takut untuk kehilangan dia..

Namun begitu, Allah telah merancang sesuatu yang terbaik buat saya..

Setiap orang pasti akan rasa kehilangan.. 

Dan andai kita berpisah nanti, kasih ibu pada kakak takkan hilang buat selamanya..




No comments:

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...