Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

06 May 2020

Salam Ramadhan & Tentang Pembedahan Kaki Nabila..

Assalamualaikum wbt..

Salam 13 Ramadhan semua.. Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk bertemu ramadhan tahun ini. Cuma Ramadhan kali ini lain sedikit banding tahun-tahun sebelumnya.. Kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan jadi aktiviti ramadhan banyak berlangsung di rumah je.

Kalau dulu kat office, siap ada tadarus, ceramah, berbuka puasa dan macam-macam lagi lah. Tapi tahun ni memang takde la merasa nak berbuka puasa di luar. Apapun rasanya ada baiknya juga. Saya banyak memasak di rumah. Dan waktu persiapan tu lebih rileks dan santai. Sebab tak kerja kan.. So takde terkejar-kejar balik rumah untuk memasak.

Awal ramadhan aritu sempat juga sambut hari kelahiran saya yang ke 37. Dulu selalu fikir, tahun 2020 saya berusia 37 tahun. Siapakah saya ketika itu. Now dah sampai waktunya.. saya tersenyum sendiri bila ingat apa sedang saya lalui sekarang. Alhamdulillah, segalanya baik-baik sahaja dan urusan dipermudahkan.

Dalam beberapa hari ini, saya terfikir tentang pembedahan kaki kakak. Pada asalnya, memang tak nak buat. Sebab tahu sakitnya selepas pembedahan tu. Tambah pulak saya memang tak sanggup nak hadap keadaan selepas operation. Tahu kakak confirm akan tantrum. Tambah pulak tak selesa dengan keadaan kaki bersimen.

Oh ya lupa.. ni nama istilah prosedur yang kakak kena lalui nanti..


Entah kenapa, saya fikir balik, saya perlu buat keputusan muktamad tentang kaki kakak. Sebab sebelum ini, keputusan tentang pembedahan ni selalu berubah-ubah. Dan kelmarin, saya nekad. Saya perlu tetapkan pendirian saya. 

Saya ada bertanya pada rakan berkenaan keadaan anaknya yang telah lalui prosedur ini. Setelah istikharah, saya rasa saya tak patut teruskan prosedur ini pada kakak. Saya kena terima hakikat bahawa prosedur ini tidak membawa kebaikan sepenuhnya pada kakak. Malah saya rasa ia akan menyakitkan kakak lagi. Cukuplah sekarang ni pun dia dah sakit. Takkan saya nak tambah lagi kesakitannya?

Kalian doakan Nabila ye. Moga dia sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik. Dan dalam lindungan Allah swt.. Doakan urusan saya dipermudahkan dan saya tidak mengalami kesukaran menjaga kakak. Aamiin.. 

Ok, belanja jap muka kakak latest..


Bye.. 



16 April 2020

Menjelang Hari Lahir Kakak Nabila ke 12 Tahun..

Assalamualaikum semua,.

Hari ni dah hampir 1 bulan dah rakyat Malaysia berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari ini hari kedua PKP fasa ke 3. Sebulan juga berada di rumah dan hanya seminggu sekali saya masuk ke pejabat atas urusan kerja. Encik Zul pun kerja hanya 2 kali dalam seminggu (lebih kurang) sebab tak digalakkan berada di luar. Yelah kerja macam dia lagi mudah terdedah dengan Covid-19.. 

Apapun memang tak percaya semua ini akan terjadi kan.. Tapi nak tak nak kena teruskan juga kehidupan walaupu rasa susah. Tak dapat jumpa family, kawan-kawan. Seera dan Naufal pun tak dapat nak main kat luar. Sebulan terkurung dalam rumah. Kesian sangat. Tambah pulak minggu depan dah nak start puasa. Lagilah sayu rasa... 

Ok, sebenarnya nak cerita tentang kisah kakak Nabila.. Yelah esok 17 April.. Hari keramat kakak.. Alhamdulillah, kakak Nabila genap 12 tahun sudah... Macam tak percaya pun ada. Tapi inilah hakikat. Allah masih pinjamkan kakak untuk ibu, ayah, adik Naufal dan adik Seera.. 

Kalau nak cerita sedih, rasanya tak nak lah kut. sebab every year nak kena throwback pulak cerita sedih kakak kan. Tapi, Alhamdulillah sebenarnya tahun ni kami dikejutkan dengan berita gembira tentang kakak. Apapun, harapnya segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan berkaitan kakak.. Aamiin.. Doakan kami ye.. 

Cabaran membesarkan anak dara ini memang bertambah. Ada masa saya masih gagal meneka apa kehendaknya. Kadang terpaksa bertanya dengan Encik Zul. Yelah dah nama sama-sama jaga kan.. 

Apapun kakak, terima kasih kerana masih lagi bersama dengan ibu. Maafkan ibu jika ibu salah menjaga kakak, angkat kakak sampai kakak rasa sakit. Kadang nak terkucil gak angkat kakak.. Ibu rasa kakak dah lebih 25kg kut.. Terasa gak la berat nak ampung kakak. huhuhu..

Happy 12th birthday kakak Nabila. Walaupun tahun ni kakak tak dapat ambil UPSR, tapi ibu ingat ibu yang rasa sedih sorang sebab kakak tak dapat amik UPSR. Rupanya, semalam beratus-ratus ribu ibu ayah sedih sebab anak mereka tak dapat ambil UPSR. Sedihnya rasa.. Nanti habis PKP nanti, kita terus buat IC kakak ye.. Ya Allah, terasa sungguh kalau bab buat IC nih.. Ibu tak caya kakak dah besar....


Moga virus jahat ni berlalu pergi ye kakak.. Boleh la jumpa nenek atok, balik kg opah, pastu jalan-jalan macam dulu.. huhuhu..


Sampai sini dulu..Belanja jap gambar kakak Nabila...

Cakkk.. jeling ibu dengan sebelah mata je.. 
Sayang kakak dunia akhirat.. 
Happy Birthday sayang...

07 March 2020

Perjalanan sebagai pesakit Follicullar Thyroid Carcinoma

Assalamualaikum semua..

Bersua lagi kita.. 😅 Alhamdulillah, saya sihat-sihat saja.. Just nak maklum, saya baru je discharge dari hospital semalam.. Warded dari 2 Mac 2020 hingga 6 Mac 2020 sebab kena buat rawatan Radioactive Iodine (RAI) di HKL..

Semua ni gara-gara saya seorang penghidap kanser thyroid..ada entry lepas saya ceritakan tentang hal ni kan..so saya ambil keputusan untuk ikut saja rawatan yang telah dicadangkan oleh pihak hospital.

Lepas admitted isnin pagi, dalam jam 4.30 ptg camtu, saya dipanggil oleh nurse utk minum RAI tu. Berdebar usah cerita la sebab saya tahu dah kesan selepas minum. Harap badan dpt bertahan bila air tu masuk dlm badan saya..so saya minum dlm 87mci waktu tu.. 

Lepas minum, saya terus balik bilik kat wad radioiodine.. Maka bermulalah tempoh kuarantin saya hingga jumaat semalam, dan bersambung pula di hotel sehingga isnin 9 Mac nanti.. Mujur dalam bilik ada TV. Pastu dlm bilik pun ada kawan bilik yang suka borak. So hilanglah sikit rasa bosan ni.. Kawan bilik saya nama dia kak siti zaharah.. Macam2 kisah dia.. Dia merupakan pesakit kanser thyroid jenis papillary stage 3.. 😔

Nurse nak dtg bilik tanya keadaan kitorg pun jauh je hujung pintu.. Yelah.. Kadar radiasi kami tgh tinggi. So mmg bahayalah kalau org lain dtg dekat dengan kitorg... Doktor pun sama.. Jauh je cakap..😅 Sampah makan dlm bilik semua kena buang sendiri.. Pastu bekas makanan kitorg semua jenis pakai buang.  Memang pengalaman sungguh bab-bab ni..

Dalam tempoh kuarantin, kami digalakkan makan benda masam utk galakkan pengeluaran air liur. Pastu mandi banyak kali. Sama gak buang air besar dan air kecil. Minum air pun kena banyak utk untuk buang radiasi tu. 

So hari khamis petang, kami dipanggil oleh ahli fizik utk ukur tahap radiasi kami.. Alhamdulillah.. Radiasi saya dah turun bawah 50.. So saya dibenarkan balik esok. Tak lama lepas tu, saya dipanggil sekali lagi naik ke bilik scan untuk proses Whole Body Scan (WBS). Proses ni penting untuk lihat sama ada sel-sel kanser masih banyak atau dah berkurangan. Tapi macam kes saya, doktor nak kesan sel-sel kanser yang masih ada dlm badan lepas operate tempohari. 

Hari jumaat saya masih standby takut-takut kena panggil lagi utk scan. Alih-alih betul. Semalam lupa nak tanggalkan baju dalam sebelum scan.. So scan kat area dada tak nampak sangat. So doktor suruh repeat balik. Bila buat statik scan, rupanya tak nampak gak.. Kenalah scan secara SPECT-CT pulak.. Lepas scan, saya balik bilik wad semula sebab tak dibenarkan utk berlegar-legar di ruang awam.

Tak lama camtu, saya dipanggil naik oleh doktor ke klinik nuklear. Masa tu memang berdebar sebab doktor akan bagitau result scan dan hasil dari minum RAI tempohari. Sebelum tu, kak siti dah nangis pulak kat wad, sebab dia sedih kanser dia jenis agresif dan dia perlu ke Institut kanser negara pulak selepas ni utk buat PET SCan. 

Utk saya pula, berita agak mengejutkan juga.. Selain masih ada sel kanser di bahagian leher.. Terdapat sel kanser telah merebak di tulang rangka ke 9 saya sebelah kiri belakang. Sedih tak payah nak cerita lah.. Sebab tak sangka bendanya jauh dah jalan ke tubuh saya..

Balik dari wad, tak tau apa rasa feeling tu. Saya nak nangis tapi nangis dlm hati jelah.. Kemudian saya diberi surat untuk discharge dan bersedia utk kuarantin di rumah. Tapi saya tak kuarantin di rumah lah sebab anak-anak kompem nak kat saya lagi. So saya dah book bilik hotel kat area jalan ipoh ni utk menginap 4 hari 3 malam sebagai langkah kuarantin..

Saya dah ambil keputusan untuk stop belajar. Sebab pada saya dlm keadaan saya skrg ni, belajar mungkin akan mengganggu kesihatan saya. Faham kan, pesakit kanser tak boleh stress.. So saya tak nak amik risiko.. Saya tanya pendapat encik zul, ayah saya, adik saya, kawan semua minta saya fikirkan kesihatan saya terlebih dahulu.. So dengan berat hati, saya akan tinggalkan UUM..takpelah... Takde rezeki...

Pada mereka yang sama cam saya, kuatkan semangat k.. Kita orang-orang terpilih.. Dan ujian ini tanda Allah sayang pda kita..

Maka, bersangka baik, teruskan perjuangan utk matikan sel kanser tu.. 


01 March 2020

Kisah Yasier Yaseera..

Assalamualaikum..

Sibuk cerita pasal kakak Nabila kan.. Entry kali ini nak cerita pasal adik-adiknya pulak..
Bukan tak sayang tau.. sayang sangat kat budak berdua ni.. 
Tapi bila masa ibu nak cerita hal mereka berdua ini, ada benda lain yang menghalang.. hehehe..
Untuk anak-anak ibu Yasier dan Yaseera.. maafkan ibu ye nak.. 
Lupa dan coret hal kamu berdua.. 
Cuma ada kenangan jelah dalam facebook dan instagram.. 

Ok, ibu coret sikit lah ye.. 

Alhamdulillah.. dua-dua anak ibu membesar dengan jayanya.. Lengkap perkembangan seperti anak normal yang lain. Sama seperti anak orang lain lebih tepatnya.. Yelah, dengan keadaan kakak, tak sama seperti kalian berdua.. Terima kasih atas pengalaman indah ini dalam membesarkan kamu berdua. Harapnya umur ibu panjang.. dapat lihat anak-anak ibu membesar dan menjadi dewasa.. berkahwin dan punya anak dan cucu.. 

Yasier Naufal dah berusia 8 tahun.. Cepat kan masa berlalu.. Ingat dulu masa dikhabarkan dia ada dalam perut ibu memang mengujakan. Yelah.. tak sangka setelah 4 tahun dengan kekalutan mengisahkan hal kakak, akhirnya ibu dapat kamu.. Dan tahun ini, Naufal dan darjah 2. 

Tahun lepas, masa lepas ibu discharge keluar dari hospital sebab operate thyroid tu, ibu dikhabarkan Naufal dilantik sebagai Pengawas Sekolah. Alhamdulillah.. tapi hati ibu terdetik.. mampukah dia? Baru tahun 2 kut.. camner cikgu boleh lantik dia? Masa perjumpaan guru kelas pada akhir tahun lepas, ibu bertanya kepada guru kelasnya, bagaimana dia boleh terpilih. Rupanya Naufal ada melalui satu temuduga dan dalam kelas nya da beberapa orang lain turut ditemuduga, malangnya tak dapat. Rezeki anak ibu dapat jadi pengawas sekolah. Ibu ingat dulu, ibu jadi pengawas pun masa form 1. Ketua Kelas pun masa darjah 6 waktu tu. Mana ada rasa nak pegang jawatan masa sekolah dulu. Sebab tak menyerlah sangat..hahahaha.. Bila ibu tanya dia, nak jadi pengawas ke? dia kata nak.. So, ibu turutkan sajalah. Cuma pesan kat dia, jadi pengawas kena disiplin tinggi dan jadi contoh pada pelajar lain. So dia angguk tu, maknanya faham la kan.. 

Abam Naufal bergaya di hari pertama persekolahan tahun 2020.. Tie dengan nametag tak dapat lagi..

Ok lah nak.. Moga Allah sentiasa lindungi kamu dan melapangkan dada kamu dalam menuntut ilmu.. Aamiin.. 

Ok.. Kisah Yaseera Naurah pula.. 

Yang si bongsu ini (kompem eh bongsu..hahaha) dah pun berusia 4 tahun. So far, tahun ini saya masih belum masukkan dia ke mana-mana tadika pun walaupun ramai anak kawan semua masukkan  anak mereka ke tadika. Kira anak-anak yang lahir tahun 2016 lah. Tapi entah, saya tak bercadang nak buat begitu.. Tahun depan la kut baru betul-betul sekolah. 

Setakat nak kira 1-100 selamba je dia.. Cakap pun ada certain words memang ibu tak tercakap lah sebab bahasa inggeris kan. Ibu masa umur besar dia ni rasanya tak bercakap sangat kut..hahaha.. Tapi budak UM ni otaknya memang ligat. Korang kalau nak anak bijak, mengandunglah masa belajar..hahaha.. kompem anak korang cerdik lain macam..hahahaha.. Yelah kita belajar, dia pun belajar dalam perut..hahaha

Sekarang umur 4 tahun ini fasa sibuk nak jaga baby lah.. nak adik lah.. Aritu adik ipar saya selamat melahirkan anak perempuan. Si Yaseera ni punya excited, tak habis nak cium baby adheena.. aduhai nak, maaf la ye. Kilang ibu dah tutup dah.. Tak larat la nak tanggung operate csear dulu. Cukup lah rasa korang bertiga dalam perut ibu. Ibu sekarang plan nak besarkan kalian je.. 

Meh belanja sikit gambar budak bernama Yaseera Naurah ni.. 

Tengok.. dengan baby Adheena.. Kemain lagi.. 

Ok, sampai sini dulu.. Moga anak-anak ibu menjadi anak-anak yang soleh dan solehan dan sentiasa dalam lindungan Allah swt.. Aamiin... 

Ok, sampai sini dulu.. Bye...

21 February 2020

Welcome 2020.. Kisah Kasihku Buat Nabila

Assalamualaikum..

Maaf la lama menyepi.. memang tak sempat nak jengah blog.. Tambah pula masuk tahun 2020 ni.. banyak agenda dan perkara yang berlaku dalam kehidupan kami sekeluarga.

Anakanda Yasmin Nabilah masih sihat. Alhamdulillah tahun ni usianya mencecah 12 tahun..

Dah boleh buat IC dah..hehehe..

Dan paling penting UPSR dan UPSRA.. hanya angan-angan ibu jelah kan nak tengok kakak ambil exam besar tahun ni.. Takpelah kakak, exam tu susah.. kakak duduk rumah pun ok dah. Asalkan kakak sihat dan happy..

Untuk kakak, moga kakak terus dalam lindungan Allah swt selalu. Berada dalam kesihatan yang baik dan Allah sentiasa permudahkan urusan ibu dan ayah dalam menguruskan kakak..

Makin kakak besar, cabarannya pasti akan bertambah bukan? Ye.. terutama bab nak menguruskan kakak.

Sehingga kini tiada pengasuh pengganti untuk kakak. Kami pun dah membiasakan diri menjaga kakak sendiri di rumah dengan bantuan adik ipar dan ayahnya jika bekerja malam. Memang lah susah hati, tapi apakan daya.. Tunggu lah 3 tahun lagi.. Ada rezeki, ibu pencen.. Yeeehhhhhhaaaaa...

Untuk tahun 2020 ni, ada beberapa perkara berlaku dalam hidup kami. Antaranya...

1. Ibu telah mendaftar semula sebagai pelajar di Universiti Utara Malaysia. Dalam bidang Pengurusan Awam. Entah kenapa beria benar nak sambung belajar lagi walhal dah tau apa pengakhirannya nanti. Takpelah, kejar impian yang tak kesampaian dulu lepas SPM. Walaupun rasa berat sangat nak sambung belajar, tapi cuba jelah kan.. kayuh pelan-pelan kut-kut sampai destinasinya... Alhamdulillah 1st class pada pertengahan Januari lalu. Cuma yang tak best, saya tak dapat nak transfer kredit sebab jam kredit tak cukup. Aduhai.. nak tak nak adalah beberapa subjek yang terpaksa saya ambil semula untuk degree ni. Lama gak nak habis ni. Pengajian dalam 4 1/2 tahun.. So bertabah lah ye..

2. Bad news di awal tahun aritu. Hasil ketulan thyroid yang telah dibuang tempohari menyatakan ada kanser rupanya.. Follicullar Thyroid Carcinoma.. itulah diagnosis pada kertas laporan makmal tempohari. Bila tau diri ada kanser, rasa gelap sekejap dunia. Yelah, takut kan.. sebab sakit yang tak dijangka ada dalam badan ni. Tapi ramai yang beri sokongan. Keluarga, rakan semualah yang cuba menguatkan semangat saya. Tambah bila tengok Nabila, lagilah rasa sayu. InsyaAllah 2 Mac ini saya akan melakukan prosedur yang dinamakan Radioactive Iodine (RAI). Dikuarantin selama 5 hari di wad kanser di HKL. Dan tambah 3 hari lagi kuarantin di rumah. Tapi saya tak bercadang untuk kuarantin di rumah dengan anak-anak. Saya akan bermalam di tempat lain dan menghabiskan sisa-sisa kuarantin yang ada (berbaki 3 hari selepas keluar wad). Nak kuarantin kat rumah boleh. Tapi boleh ke anak-anak terutama si Yaseera menengok ibu dok diam dalam bilik tak layan dia? kompem la tak kan.. so, saya terpaksa ambil pendekatan lain untuk jauhkan diri dengan mereka semua. Doakan saya ye. Harap tiada lagi sel kanser yang aktif dalam badan ni. Teruk tau, sebab saya kena pantang makan semua dalam tempoh 1 bulan. Letih nak control tak boleh makan seafood dan semua yang berunsurkan susu. Mana tahan woooo...huhuhu..

3. Alhamdullillah, satu berita gembira untuk saya dan suami. Akhirnya kami dapat juga tahu punca terjadinya kejadian kakak menjadi kanak-kanak CP. Ya, sememangnya kami tidak mengetahui punca mengapa kakak menjadi anak CP. Kami hanya diberitahu oleh doktor yang kakak hanya lemas masa dilahirkan. Kurang oksigen. Namun puncanya, hospital tak bagitau pulak.. Memang sedih waktu tu, tapi kami ni redha dengan apa yang telah terjadi. Tapi dalam keadaan redha, jauh sudut hati meronta-ronta nak tau kenapa kakak jadi begini. Dan akhirnya kami dapat juga jawapannya.

Apapun yang berlaku pada tahun ini harapnya lebih baik banding tahun sebelumnya. Moga saya juga terus kuat, tambah pulak tahun ni umur sudahpun menginjak ke usia 37 tahun. Dulu selalu berangan, tahun 2020 berapakah umur saya ketika itu. Bila dikira sendiri.. umur 37 tahun, saya membayangkan kehidupan saya di saat umur 37 tahun. Adakah baik? atau sebaliknya. Apapun, setelah melaluinya tahun ini, rupanya Allah dah pinjamkan umur saya selama 37 tahun untuk menikmati hidup bersama keluarga tercinta. Alhamdulillah..Cuma kesihatan agak membimbangkan, namun saya cuba untuk tidak berfikir lanjut berkenaan hal kanser itu. Asalkan saya positif dan melakukan rawatan yang sewajarnya, InsyaAllah, niat untuk membesarkan Nabila mungkin akan tercapai..

Ok, sampai sini dulu.. InsyaAllah ada kesempatan saya akan menulis lagi.. Bye...


17 November 2019

Menguruskan Haid Anak Istimewa..

Assalamualaikum..

Lama kan tak cerita pasal kakak Nabila kan? Bila belek-belek balik post-post lama tahun ni, terperasan saya tak cerita satu hal tentang anak dara saya.

Anak dara.. ye Nabila dah anak dara tau.... tengok tajuk macam wow... berani saya nak cerita hal ni kan.. Tapi untuk knowledge juga. So saya berpegang pada satu perkara itu. UNTUK KNOWLEDGE..

Jangan terkejut anak-anak seperti Nabila akan datang bulan, sama seperti kita yang normal. Tak semua, tapi Nabila antara segelintir anak-anak OKU yang agak cepat juga datang tempoh matang nya..hehehe..

Memang saya dah duga beberapa tahun ni. Perubahan pada tumbesaran Nabila kearah kewanitaan makin terserlah. Malah doktor juga meminta saya bersiap sedia tentang ini. So, memang dijangka juga sebab dia ikut saya..huhuhu.. datang awal haid pada darjah 5 yakni 11 tahun. Memang benar, Nabila datang bulan pada sehari selepas hari lahir dia.. Ngam-ngam umurnya 11 tahun.

Pada saya ada baik dan buruk. Walaupun pada asasnya ia akan lebih menyukarkan saya dalam menguruskannya, tapi yang baiknya, tumbesaran dia bagi proses kitaran haid adalah normal. Kita pun rasa normal bila period ikut waktu dan tiada masalah kewanitaan. Ini bermaksud rahim kakak dalam keadaan baik bagi menghasilkan kitaran haid.

Biasanya sebelum datang bulan, Nabila akan emosi.. Ye sama macam kita.. cuma dia menangis dalam keadaan tidak selesa. Saya memang dah catat kedatangan haidnya, jadi mudah nak tau punca kenapa kakak tantrum menangis tak selesa.

Kami dinasihatkan agar memberi ubat tahan sakit, jika Nabila tak mampu menahan kesakitan itu. Pada saya itu saja cara yang terbaik, kerana dengan keadaan dia yang terlantar, tak mungkin Nabila boleh menonggeng atau buat apa saja yang boleh dibuat oleh kita yang sihat ni bila kesakitan datang bulan menyerang. Kadangkala, terpaksa letakkan dia di dalam buai dengan harapan kesakitan itu akan hilang.

Untuk membersihkannya pula, kami memang tak pakaikan pad wanita sebab Nabila memang pakai pampers. Jadi pampers ditukar dengan kerap dibersihkan. Dalam beberapa bulan ini, memang boleh dikira haidnya berat. Selebihnya, hanya sedikit sahaja. Yang penting saya catat masa kehadiran darah haid tersebut. Dan beberapa perubahan lain juga.

Bila menguruskan hal begini. teringat anak-anak OKU yang mild, tidak terlantar seperti Nabila. Yelah, bila dah period ni, confirm nafsu tu ada. Betul, anak-anak ini memang kita kena selalu tengok. Mereka bukannya tahu pun betapa perkara ini serius dan mereka juga perlu dilindungi.

Moga yang menjaga Nabila terhindar dari sikap yang buruk dan Allah sentiasa lindungi mereka dari pandangan ghairah terhadap Nabila. Aaamiin..

Ok, jumpa lagi ye.. Aamiin...

12 November 2019

Pembedahan Total Thyroidectomy

Assalamualaikum semua..

Tengah bukak laptop ni, alang-alang cerita la satu perkara yang terjadi pada diri saya dalam seminggu dua ni.

Susah benar nak ambil keputusan untuk buat pembedahan ini. Bukan pembedahan untuk Nabila tau. Ni pembedahan saya. Ye SAYA...

Asalnya memang sihat. Memang tak rasa sakit pun. Perasan ada ketulan pada leher pada tahun 2012. Masa tu tengah mengandungkan si Naufal. Tu pun jiran yang tegur. Katanya, leher nampak besar.

Memang tak fikir apalah waktu tu, sebab tak rasa apa-apa. Sakit pun tak. Tapi saya maklumkan juga pada nurse masa buat check up kandungan ketika 8 bulan. Dan ujian darah diambil. Tapi Ujian darah tu boleh hilang pula.

Sebelum nak buat pembedahan csearean (elective) sebab fobia tak nak bersalin normal lagi, saya bagitau pada pakar di Hospital Sungai Buloh. Tapi disebabkan doktor kata ada risiko kalau ada ketulan di leher ni, jadi pembedahan csearean saya ditanggunhkan sehari sebab kena jalani ujian ultrasound dan darah untuk mengesan thyroid.

Tapi hasil ujian, memang ada ketulan, cuma tak membahayakan. Dan jika saya ada masalah ketika bersalin nanti dan perlu full bius, tiada masalah akan timbul kerana saluran trakea saya masih ok.

Bila dah selesai urusan kelahiran Naufal, saya dirujuk sekali lagi ke Jabatan Pembedahan Am, bagi konsultansi berkaitan thyroid saya. Dan doktor mencadangkan agar saya membuat pembedahan bagi membuang throid saya. Setelah diteliti, saya menoak cadangan doktor tersebut memandangkan saya masih sihat dan keadaan anak-anak yang masih kecil dan perlukan saya.

2016, saya mengandungkan Seera pula. Di situ, saya dapati pembengkakan leher makin ketara. Tambah pula, dengan keadaan stress belajar, lagi nampak besar. Risau tetap risau, tapi saya buat biasa je. Sebab tak rasa sakit. Cuma doktor O&G sentiasa memantau keadaan Seera dalam kandungan kerana penghidap thyroid ni, boleh effect pada kandungan.

Setelah Seera di lahirkan, dia diperiksa juga untuk Ujian TFT (tak tau nama penuhnya apa) untuk tentukan paras thyroid Seera normal atau tidak. Alhamdulillah, hormon thyroid Seera normal dan saya pula masih berfikir-fikir untuk check up semula masalah thyroid saya.

2017, saya join group geng Thyroid di Facebook. Dan banyak info saya dapat di sana. Yelah, selama ni banyak benar cerita-cerita kurang enak di dengari. Tapi Bila join suuport group, baru ada kekuatan untuk teruskan pembedahan. Dan hampir 2 tahun, saya buat keputusan untuk lakukan pembedahan ini.

Pada asalnya saya dibedah pada bulan Februari 2019 yang lalu. Tapi Kuasa Allah, kebetulan saya dapat pula jawatan Penolong Pegawai Tadbir tu, terus saya decide untuk tangguhkan dulu pembedahan. Bagi menyelesaikan hal-hal berkaitan penempatan, kursus dan exam saya.

Selesai semuanya, jumpa semula doktor dan terus set tarikh untuk pembedahan. Terfikir juga, adakah betul tindakan saya ini. Tapi kali ni saya tekad. Dan niat untuk sihat kerana Yasmin Nabilah. Even sebelum pejam mata di bilik pembdeahan, wajah yang saya bayang adalah wajah Nabila. dan diikuti wajah Naufal, Seera dan Encik Suami.

Alhamdulillah, 5 November (Selasa) saya dimasukkan ke hospital. dan 6 November jam 5 petang saya disorong ke bilik pembedahan bagi membuang terus kesemua thyroid saya. Rasa nak lari time tu, tapi fikir untuk sihat, saya tekad. Sedar dari pembedahan jam 10 malam, itu pun dikejut oleh nurse yang menjaga. Kemudian sedar Encik Zul ada disebelah, dan tak lama selepas itu, dia pulang ke rumah.

Selang 2 hari, saya dibenarkan pulang. dan kini saya sedang cuti sakit. Kesakitan itu, masih lagi terasa, tapi saya tetap makan ubat tahan sakit seperti yang diarahkan. Dan dah menjadi rutin sekarang ni, saya dikehendaki makan ubat throxine sepanjang hayat saya bagi menggantikan thyriod yang telah dibuang.

Alhamdulillah, saya masih belum merasa sakit. Dan kerana sakit ini juga, saya belajar untuk minum susu. Sebelum ni memamg tak suka betul minum susu. Tapi kali ni, saya tak nak tinggalkan dah. Sebab tak nak rasa kejang atau kebas-kebas, atau sakit yang membataskan saya untuk menguruskan Nabila dan bekerja.

Doakan saya sentiasa sihat ye. Pada mereka yang mempunyai masalah sama, pergilah jumpa doktor. Bila dah buang semua tu, memang rasa lega. Lagi lega kalau hasil keputusan pembedahan itu kita bebas KANSER. Betul. Simpan lama-lama boleh jadi kanser. Sebab itu, saya ambil keputusan untuk buang.Takuttttttt..

Masa ni baru tukar uniform. Takut susah cakap lah. Tapi debar tu lagi dasat bila tengok gambar bawah ni...

Bila nurse kata, puan ni baju untuk esok ye. Serius takut tangok baju ni.. Saya terus bukak handphone, layan cerita korea...huhuhu

Ni alat untuk tadah darah yang keluar pada leher selepas pembedahan. Memang panjang la wayar dia berbelit-belit dalam baju ni. Dan bekas ni saya masuk dalam poket baju hsopital..hahahaha..
masuk hari kedua, darah pun kering dan tiub ditanggalkan. Rasa ngilu pun ada, tapi rasa lega lah sebab dah takde darah dah kat leher ini. 

Ada gambar lain, tapi tak nak lah tunjuk Kang ada yang seriau. Lagipun aurat lah..hahaha.. kalau nak gambar boleh je google ye. 

Ok, sampai sini saja ye.. InsyaAllah ada masa saya update lagi.. Byyyeeeee!!!!