Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

Showing posts with label pertumbuhan Nabila. Show all posts
Showing posts with label pertumbuhan Nabila. Show all posts

15 December 2020

Hoist - Alat Bantu Untuk Angkat Pesakit

 Assalamualaikum semua.. 

Alhamdulillah kita dah nak sampai penghujung tahun 2020 dah kan. Sekejap sangat masa berlalu. Duduk rumah saja masa PKP tempohari pun rasa alahai, cepat pulak sehari-hari masa berlalu. 

Alhamdulillah, kakak Nabila sihat-sihat je. Badan pun membesar dengan jayanya. Yelah happy sebab ibu banyak ada masa kat rumah mengadap dia kan..hahaha..

Sebenarnya untuk entry kali ni nak cerita tentang satu alat yang baru je kakak terima. Alhamdulillah permohonan pembelian Hoist melalui JPA diluluskan lagi. Macam biasalah permohonan tu, lepas dah lengkapkan borang, hantar untuk kelulusan MOH lagi, baru dapat beli barangnya. 

surat kelulusan pembelian hoist

Ok, mana yang tak tau macamana rupa alat ni.. meh share gambar kakak jap.. 

cakkkkk.. kakak ada kat sini..

Sebenarnya memang dah lama nak ada alat ni kat rumah. Kakak makin berat sekarang So bila nak angkat tu, memang terasa betul beban beratnya itu. Nak angkat anak Cerebral Palsy ni bukan boleh main angkat sembarangan je. Sebab kena fikir gak posisi anak itu kena betul. Kita yang mengangkat dia pun nak kena betul jugak cara dan kaedahnya. Silap-silap boleh kena slip disk tau.. So pada mereka yang ada orang-orang yang sakit terlantar tak boleh bangun macam kakak, elok la ada benda ni kat rumah. At least memudahkan kita untuk angkat dan uruskan mereka. Macam contoh, nak angkat dari katil ke wheelchair.. Boleh je guna alat ni. Mudah dah..
 
Alat kakak ni pun guna kuasa elektrik gak. So kena charge dulu baterinya. Dan dah penuh, baru boleh guna. Dan alat ni boleh angkat individu yang mempunyai berat sehingga 180kg dan menggunakan kuasa hidraulik. Tu yang tertera kat hoist ni lah. tak tipu tau..hahaha.. 


ni kakak dalam hoist. Ibu tengah nak turunkan dia dari atas katil ke lantai bawah. Tapi sebab dia tengah ketawa mengada-ngada tu, so tgk jelah gaya dia ketawa seronok tu. 


ok.. ni cara untuk gunakan hoist ni. 

Ok, sampai sini dulu ya. Moga entry ni bermanfaat pada anda.. 

Bye...


17 November 2019

Menguruskan Haid Anak Istimewa..

Assalamualaikum..

Lama kan tak cerita pasal kakak Nabila kan? Bila belek-belek balik post-post lama tahun ni, terperasan saya tak cerita satu hal tentang anak dara saya.

Anak dara.. ye Nabila dah anak dara tau.... tengok tajuk macam wow... berani saya nak cerita hal ni kan.. Tapi untuk knowledge juga. So saya berpegang pada satu perkara itu. UNTUK KNOWLEDGE..

Jangan terkejut anak-anak seperti Nabila akan datang bulan, sama seperti kita yang normal. Tak semua, tapi Nabila antara segelintir anak-anak OKU yang agak cepat juga datang tempoh matang nya..hehehe..

Memang saya dah duga beberapa tahun ni. Perubahan pada tumbesaran Nabila kearah kewanitaan makin terserlah. Malah doktor juga meminta saya bersiap sedia tentang ini. So, memang dijangka juga sebab dia ikut saya..huhuhu.. datang awal haid pada darjah 5 yakni 11 tahun. Memang benar, Nabila datang bulan pada sehari selepas hari lahir dia.. Ngam-ngam umurnya 11 tahun.

Pada saya ada baik dan buruk. Walaupun pada asasnya ia akan lebih menyukarkan saya dalam menguruskannya, tapi yang baiknya, tumbesaran dia bagi proses kitaran haid adalah normal. Kita pun rasa normal bila period ikut waktu dan tiada masalah kewanitaan. Ini bermaksud rahim kakak dalam keadaan baik bagi menghasilkan kitaran haid.

Biasanya sebelum datang bulan, Nabila akan emosi.. Ye sama macam kita.. cuma dia menangis dalam keadaan tidak selesa. Saya memang dah catat kedatangan haidnya, jadi mudah nak tau punca kenapa kakak tantrum menangis tak selesa.

Kami dinasihatkan agar memberi ubat tahan sakit, jika Nabila tak mampu menahan kesakitan itu. Pada saya itu saja cara yang terbaik, kerana dengan keadaan dia yang terlantar, tak mungkin Nabila boleh menonggeng atau buat apa saja yang boleh dibuat oleh kita yang sihat ni bila kesakitan datang bulan menyerang. Kadangkala, terpaksa letakkan dia di dalam buai dengan harapan kesakitan itu akan hilang.

Untuk membersihkannya pula, kami memang tak pakaikan pad wanita sebab Nabila memang pakai pampers. Jadi pampers ditukar dengan kerap dibersihkan. Dalam beberapa bulan ini, memang boleh dikira haidnya berat. Selebihnya, hanya sedikit sahaja. Yang penting saya catat masa kehadiran darah haid tersebut. Dan beberapa perubahan lain juga.

Bila menguruskan hal begini. teringat anak-anak OKU yang mild, tidak terlantar seperti Nabila. Yelah, bila dah period ni, confirm nafsu tu ada. Betul, anak-anak ini memang kita kena selalu tengok. Mereka bukannya tahu pun betapa perkara ini serius dan mereka juga perlu dilindungi.

Moga yang menjaga Nabila terhindar dari sikap yang buruk dan Allah sentiasa lindungi mereka dari pandangan ghairah terhadap Nabila. Aaamiin..

Ok, jumpa lagi ye.. Aamiin...

28 October 2016

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum..

Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final.. buat research paper lagi.. huhu.. 

Lately ni ramai yang mesej saya.. bertanya macam-macam tentang Nabila. Nak tanya pendapat itu ini..macam-macam lah..hehe.. so untuk nak senang.. meh saya ringkaskan dalam entry kali ini.. Nak baca semua tak boleh kan..hahaha.. so ni yang latest sampai hari inilah perkembangan cik kak cantik Yasmin Nabilah... 

Ok, soalan yang selalu ditanya..

Macamana Nabila boleh jadi Cerebral Palsy?


Nabila lemas ketika dilahirkan. Saya sakit bersalin hari pagi rabu.. membawak ke hari khamis.. hari khamis 17.4.2008 jam 8.30 pagi baru ditolak ke labour room. Sebab dah bukak 4cm waktu tu. Bukaan 10cm pada jam 2 petang. Push sampai jam 3 petang, nabila still tak keluar. Doctor decide guna vaccum.. tapi tak keluar jugak.. Doctor push kepala Nabila masuk ke dalam dan saya kena c-sear. Sakitnya hanya Allah saja yang tahu waktu tu.. Jam 4.30 saya di OT Room.. dan jam 4.45, saya selamat melahirkan Nabila..

sehari lepas dilahirkan..

Doctor kata Nabila menangis perlahan sangat masa keluar. Kiranya dah lemas waktu tu. Doctor bawak dia ke NICU. Saya pulak sedar tak sedar ketika tu.. Penat sebab push Nabila. Saya ditolak masuk ke wad dalam jam 7 malam waktu tu. 

Hari ke 7.. Baru dapat pegang dia.. kebetulan waktu ni birthday saya.. sayu betul waktu ni... :(

Dah balik rumah dah.. 2 minggu lepas lahir..

Bila Nabila disahkan menjadi Cerebral Palsy?

Nabila disahkan CP masa umur 4 bulan. Masa dalam pantang dia nampak ok. Tapi banyak tidur waktu siang, dan malam menangis tak henti-henti. Sampai umur 2 bulan, saya pulang ke rumah saya di Rawang dan tinggalkan dia di Taska. Masa tu tak tau dia CP. Kalaulah saya tau dia bukan macam baby lain, saya tak tinggalkan dia di situ. Sedih tengok keadaan Nabila waktu tu.. Insiden punggung lecet teruk takkan saya lupa sampai bila-bila. Terus esoknya saya tak hantar Nabila dah. Saya pindah rumah mak dan mak menjaga Nabila sampai umur 2 tahun. 

Masa umur 4 bulan tu, doctor tanya Nabila boleh meniarap sendiri ke tak? saya kata Nabila belum boleh meniarap, mata pun tak fokus sangat. Nampak masalah mula timbul ketika itu. Dan rasa beratnya saya menerima berita yang Nabila menjadi anak Cerebral Palsy, kesan dari proses kelahiran dia dulu.. 

Doctor terus setkan appointment dengan pakar mata dan telinga , set test MRI dan buat appointment dengan Fisioterapi. Bermula dari umur 4 bulan, Nabila berulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan..

Fisioterapi kat Hospital Sungai Buloh

Lepas buat rawatan MRI.

Apa jenis rawatan yang pernah Nabila cuba dulu?

Nabila dulu takdelah banyak sangat rawatan dia penah cuba.Yelah, nak pergi pun kena ada duit kan. Bila kenangkan kewangan memang susah hati rasa sebab tak dapat bagi yang terbaik untuk Nabila.. 

Nabila pernah buat rawatan dengan Kak Raw di Behrang, Rawatan fsioterapi dengan Dr. Sham di Plaza Pekeliling KL, Akupuntur dengan Woo Young dari Korea, Stimulatherapy dengan Kak Ija di Klang dan sekejap di Alam Impian Shah Alam, Fisioterapi di GreatLife Physiotherapy di Kota Damansara. Ada juga rawatan kecik-kecik yang kitorg pergi tapi tak ingat dah..hahahaha...

So semua ni banyak la membantu dalam perkembangan Nabila. Cuma skrg ni progress Nabila tak berapa nak memberangsangkan sebab lama dah tak pegi terapi.. Sedih part ni lah sebab tak boleh nak bagi komitmen lagi sejak-sejak Nabila dah beradik...

Rawatan dengan Kak Raw

Fisoterapi dengan Dr. Sham


Fisioterapi dengan GreatLife

Terapi sendiri kat rumah. hasil tunjuk ajar Dr. Sham

Perkembangan Nabila sekarang?

Nabila masih terlantar dan perlu bantuan untuk makan dan minum serta urus dirinya. Sawan still tetap ada dan masih diberi ubat sawan. Ubat yang dia makan sekarang ialah Epilim syrup 4 ml x 2 kali sehari , Clonazepam 1/2 pil x 2 kali sehari, Benzhexol 1 pil x 2 kali sehari, Lactulus 5ml x 2 kali sehari. Makan ubat tanpa gagal disamping sapu Essential Oil Young Living setiap hari. 

Mata Nabila disahkan corticall blindness dan apa yang boleh saya buat hanya rangsang matanya supaya tak jadi 'lazy eyes'. Klinik mata pun dah discharge dah. Takde apa yang boleh membantu Nabila sebab punca Nabila tak fokus atau nampak disebabkan oleh kerosakan pada saraf mata di otak. Bukan mata yang problem. 


So ini saja yang dapat saya kongsikan.. tentang Nabila.. kalau nak tau lebih lanjut boleh je emel kat saya.. noinaali@gmail.com





01 April 2016

Bila Anak Cerebral Palsy Cabut Gigi..

Assalamualaikum..

Entry dah basi sebenarnya.. Kisah 1 Februari lepas.. Dek kerana tak berkesempatan untuk mencoret, saya terlupa terus tentang kisah kakak Nabila mencabut gigi..

Alkisahnya, Doktor Peads Dental mengesan beberapa geraham Nabila yang telah rosak dan bakal mengganggu untuk dia makan dan mungkin akan menimbulkan ketidakselesaan. Jadi tahun lepas, doktor mencadangkan agar pembedahan dilakukan untuk membuang sebahagian gigi yang telah rosak.

Lama juga menunggu giliran. Sampai saya menelefon hospital bertanyakan giliran Nabila untuk mendapatkan rawatan. Selang beberapa minggu, saya menerima panggilan dari hospital dan mereka menetapkan tarikh pembedahan adalah pada 1 Februari 2016.

Serius!! Mulanya nak sangat.. Bila dah dapat tarikh, tetiba rasa cuak pulak.. Tak tau apa yang bakal dirasai oleh kakak Nabila nanti.

Sehari sebelum itu, Nabila di tahan di wad bagi memastikan kesihatan dia dalam keadaan baik. Nabila ditemani oleh ayahnya memandangkan saya berbadan dua dan takut tak selesa di wad nanti. Jadi ayah Nabila menawarkan diri untuk menjaga anak dara ini.

Sebak juga rasa melihat Nabila , bila malamnya, Nabila mengamuk nakkan buai. Biasalah dia.. Nak tido kena berdodoi-dodoi dulu. Sudahnya, ayahnya menelefon saya. Saya hanya mampu memujuk Nabila dihujung talian. Kata ayahnya, tak lama selepas meneletakkkan telefon, terus Nabila tido. Ayahnya bertanya apa yang saya bualkan bersama Nabila? Syaa hanya memujuknya sahaja..hehe.. Mungkin dia dapat rasakan debaran sepertimana apa yang saya rasa malam itu di rumah..

Esoknya pagi-pagi terus saya ke hospital. Menanti Nabila di ruang legar dewan pembedahan. Agak lama juga menunggu. Hampir 2 jam lebih baru selesai. Sampai di wad, Nabila masih lagi tidur kerana penangan ubat bius. Doktor mahu Nabila bangun dan diberikan ubat penahan sakit. Sudahnya tak sampai 30 minit, Nabila mula merengek. Mungkin sakit dan ubat bius telah hilang. Berlari ayahnya ke bawah mendapatkan aiskrim. Dapat aiskrim, barulah diam... Dna kemudian terlelap.

Petang tu juga kami dibenarkan pulang. Dan sekali lagi terpaksa berikan aiskrim dan ubat penahan sakit. Dan malamnya merengek sekali lagi, begitu juga pagi sesudah bangun tidur. Dan setelah itu, barulah berhenti darah mengalir di dalam mulutnya.. 

Gigi sebanyak 4 batang dicabut dan 1 batang lagi di pasang crown. Ngeri pula bila melihat giginya yang telah hilang..hehe..


Hasil cabutan.. besar jugak giginya..huhu..

Darah yang masih mengalir di dalam mulutnya..huhu..


Alhamdulillah, hanya menanti gigi baru tumbuh nanti.. insyaAllah..

18 July 2014

Hilang gigi...

Assalamualaikum semua..

Tengah malam tadi saya dikejutkan dengan insiden MH17 yang terhempas di Ukraine. Sungguh sayu melihat bangkai pesawat yang hancur berkecai. Dan di fikiran ini terbayang-bayang sanak-saudara kenalan yang telah kehilangan ahli keluarga yang mereka sayangi. Lebih-lebih lagi kita bakal menghampiri Syawal..

Al-fatihah dan salam takziah buat semua..

Bercerita tentang kakak Nabila. Alhamdulillah, anak itu sihat-sihat sahaja. Cuma kejadian 2 minggu ini membuatkan saya terfikir sejenak tentang dirinya yang sudah semakin membesar. Baru-baru ini suami saya mengesan sebanyak 3 batang gigi susu Nabila goyang. Sedia maklum, gigi Nabila memang cantik. Hanya ada masalah pada geraham kerana dia suka menggesekkan giginya. Sudah menjadi habit pula sewaktu dia kecil dulu.

Nabila yang sentiasa tersenyum.. :)

Dan pada awalnya, saya sudah menghubungi pihak hospital bagi meminta mereka mempercepatkan temujanji bersama doktor gigi. Namun, entah kenapa nurse yang menjawab panggilan itu seolah-olah tidak tahu apa yang perlu dibuat dan sudahnya saya mengambil keputusan untuk ke klinik gigi swasta untuk proses cabutan.

Pertama kali Nabila cabut gigi di klinik di Rawang. Doktor hanya memulas sedikit sahaja gigi Nabila di bahagian bawah dan proses cabutan itu sangat cepat. Agak ngeri saya melihat Nabila. Dan kemudian Nabila menangis kesakitan. 

Doktor menyarankan saya agar memberikan aiskrim sejurus sahaja cabutan dibuat. Dan kembali semula ke klinik untuk proses cabutan 2 batang gigi di sebelah atas pula. 

Dan Selasa lepas, Nabila tidak mahu minum susu. Sakit barangkali dan sewaktu saya memberinya makan nampak sedikit darah di keliling giginya. Terus saja mengajak Abang ke klinik gigi yang berdekatan (area Gombak- sebab lepas tu nak gi rumah mak). Sampai saja, doktor bertanya mengapa saya tidak membawa dia ke hospital sahaja. Kerana memandangkan nabila adalah anak istimewa dan saya perlu membawanya ke hospital untuk cabutan gigi tersebut.

Namun setelah berbincang, akhirnya doktor itu bersetuju mencabut gigi Nabila dengan charge bayaran sebanyak RM 100 untuk 2 batang gigi. Agak melampau juga. Mujur boleh claim dengan Perodua..

Dan kini, selamat tinggal gigi cantik Nabila. Yang tinggal hanya rongak di hadapan dan pastinya Nabila kelihatan lain menjelang syawal nanti. Alahai, tak comey dah anak ibu tak de gigi nak amik family photo nanti..

Gambar semalam.. :)

Owh ye..Nabila masuk newspaper tau hari Rabu lepas. Dalam Berita Harian... :)

Glem kakak dan ayah..hihi..

Ok, sampai sini saja.. Daa.. 

28 January 2014

Epilim, Clonazepam dan Lactul

Assalamualaikum w.b.t ..

2 minggu lepas, saya ada bercerita tentang ubat sawan Nabila yang telah diubah dos nya oleh doktor pakar Neuro di HKL. Sejak 2 minggu lepas juga, saya menampakkan sedikit demi sedikit perubahan pada tubuhnya.

Pada awalnya, memang saya tidak mahu memberikan ubat sawan kepada Nabila. Oleh kerana penyakit sawannya masih belum berkesudahan, lebih-lebih lagi menjadi lebih teruk, jadi saya ambil keputusan untuk memberikan ubat itu semula kepada Nabila. Bersama juga ubat Lactul yang perlu Nabila ambil bagi mengatasi masalah sembelitnya.

Sungguh sayu hati ini bila terpaksa memberikannya pelbagai ubat. Cukuplah sedari lahir tubuh Nabila dipenuhi ubat. Kini, masih lagi bergantung pada ubat sepenuhnya.. Tiada pilihan !! Maka, saya terpaksa teruskan juga.

Namun, bila melihatkan tubuh dan keadaan Nabila ketika ini, sepertinya saya harus mengucapkan tanda syukur. Kerna apa yang saya lihat kali ini, masalah sembelit Nabila sudah HILANG.. Setiap hari dia akan membuang. Nak kata ubat Lactul tu berkesan atau tidak, seingat saya, saya pernah memberikan sebanyak 20ml sehari bagi mengatasi masalah sembelitnya. Namun masih TAK BERJAYA. Bezanya kali ini, dos yang doktor berikan adalah HANYA 10ml sehari.

Berbalik pada kisah ubat sawannya, Epilim dan Clonazepam. Jika dulu, Nabila pernah makan Epilim sebanyak 8ml (dos paling tinggi pernah dia makan dulu - diberikan oleh doktor HSB) namun masalah sawannya tetap ada. Sebelum ini juga Nabila pernah makan Clonazepam sahaja sebanyak 8ml sehari namun, sawan tetap ada. Oleh kerana itu, doktor Neuro HKL telah modified  kuantiti ubat yang Nabila ambil kini. Pengambilan Epilim sebanyak 4 ml (dos tertinggi setakat kini) dan Clonazepam sebanyak 2.5ml telah diambil Nabila setiap hari sebanyak 2 kali. Dan alhamdulillah, jerking dan spasm Nabila juga turut hilang.

Dan harapan saya, agar sawannya pulih dan dos ubat dikurangkan atau lebih senang, terus dihentikan. Kalau nak diikutkan hati, tak nak bagi dah..tapi bila memikirkan kalutnya saya ketika Nabila diserang sawan pada hari Krismas lepas, membuatkan saya jadi fobia.

Apapun, saya hanya merancang dan cuba memberikan yang terbaik pada anak saya. Memang banyak kaedah perubatan kini, namun saya perlu memikirkan pula kos dan keadaan yang sememangnya sedikit sebanyak memberi impak kepada kami sekeluarga. Ramai yang cuba mencadangkan beberapa rawatan kepada saya, namun saya terpaksa menolak dengan baik. Terima kasih pada mereka yang tak putus-putus mendoakan kesejahteraan dan kesihatan anak saya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian..

wajah ceria anak ini pengubat hati saya di kala sedih dan pilu mengenang nasibnya akan datang..


04 August 2012

Belajar untuk mengatakan TIDAKKKKK!!!

Saya mula perasan perkara nan satu ini. Mungkin ini juga salah satu perkembangan terbaru si kecil Nabila. Belajar untuk mengatakan TIDAK MAHU!

Kadang-kadang memang sukar untuk memahami anak Cerebral Palsy. Lebih-lebih lagi seperti Nabila yang belum mampu untuk bertutur dengan baik. Hanya tangisan menunjukkan tanda ketidakselesaan. Ketawa bila saat dirinya gembira. Saya sebagai ibu yang melahirkannya pun memang sukar menduga sikap anak dara saya ini. Apatah lagi orang luar yang menjaganya bukan?

Saya mula perasan, bila dia sudah kenyang sama ada minum susu atau makan, Nabila tahu untuk berkata isyarat gelengan kepala tanda tidak mahu meneruskan makan atau minum.  Pada saya, itu suatu tanda yang baik. Bukan mudah untuk dirinya berkata tidak.

Alhamdulillah.. sedikit pun perkembangannya membuatkan hati saya terharu. Sungguh saya langsung tak mengajarnya untuk menggeleng. Namun saya tak pasti dari manakah dia tahu tanda gelengen itu.

Memang lambat bila anak seusia Nabila hanya mengetahui maksud gelengan. Tapi pada saya Nabila sudah pandai menunjukkan ekspresi perasaannya.

Doa saya agar anak ini terus maju. Terus melangkah ke hadapan. Walaupun lambat, ibu akan tunggu sayang.. InsyaAllah.. :)

17 June 2012

Dimana Nabila...?

Salam semua... Lama benar tak update! Serius, memang takde kesempatan nak berblog menulis tentang Nabila..Kadang-kadang tu ada je benda nak tulis, tapi entah jari jemari ni malas betul..hehe...

Alhamdulillah, adik baby sudah berusia 20 minggu yakni sudah 5 bulan. Hanya menanti 20 minggu saja lagi untuk keluar melihat ibu, ayah dan kakak Bella. Keadaan saya? Pinggang yang sering sakit dek selalu mendukung kakaknya dan ibu semakin kuat makan. Entah kenapa sentiasa lapar. Berat pun naik mendadak tak ingat ni. Adoiyyaiii..kompem kena marah dengan nurse!

Activity Nabila berjalan seperti biasa. Cuma sesi terapinya tak seperti dulu. Saya hanya buat mana yang termampu. Selesai buat satu sesi, mulalah pinggang ni sakit. Kadang-kadang kesian kat dia sebab merengek panggil ibu ajak main. Aduhai nak..kalaulah boleh dibelah badan ni..mesti ibu lakukan aktiviti dengan kamu...

Saya sedang berusaha mencari sekolah lain untuk Nabila. Keadaan yang jauh ke Subang membuatkan keadaan kewangan kami semakin menghimpit. tambahan pula keadaan saya yang tak berapa mengizinkan membuatkan hati saya sedang berbelah bagi untuk meneruskan persekolahan Nabila di situ. Doakan urusan saya dipermudahkan ye kawan-kawan...

Actually, entry ni saje je nak suruh kawan-kawan cari Nabila kat mana...Cubalah tengok keadaan dia ni....

hehe..kolam bola... :)

Teringat dulu masa kat hospital..Takut benar dia dengan kolam ni..Sekarang siap senyum dalam kolam ni. tak takut dah.. Tadi tah berapa kali tenggelam di lautan bola.. puas ibu cari. takdelah dia menjerit kelemasan..hehe...

Aktiviti pun tak banyak buat..sempat gak la lepas letak kat kolam bola..letak pulak kat kolam air..hehe..


Muka senyum sengih je hari ni. Agaknya dengan cuaca panas, seronok pulak dia berendam. Siap kepala tegak tadi. Saya dan Abang menjerit seronok tengok Nabila main hari ni. Sebab tak sangka pulak dia main kuis-kuis kaki ala-ala terapi dalam air. Selalu statik je bila letak dalam kolam. Bila tengok..rupanya saya sedar, anak ini sudah semakin bijak. Sempat tadi ambil video, tapi tak sempat nak upload..Nantilah saya tunjuk yek..

Ok..mahu ke rumah mak selepas ni. Sibuk dengan persiapan kenduri perkahwinan adik saya yang bakal menjelang lagi 2 minggu. Pada semua, jangan jemu untuk singgah di sini.. Sorry tak update tak bermakna kami sekeluarga tak sihat. Kami baik-baik saja.. :) Cuma masa tak mengizinkan diri untuk mencoret untuk tatapan kalian.. :)

24 April 2012

Bila Nabila jumpa dentist...

Pagi tadi, kami ke Hospital Sungai Buloh lagi. Temujanji bersama Pakar Pergigian Pediatrik. Rasanya unit ni memang baru lagi kat HSB. Nampak orang renovate ruang bilik untuk unit ni tempoh hari.

Nabila di rujuk ke sana bukanlah ada masalah gigi yang serius. Cuma sebagai pemeriksaan biasa. Dan rupanya kami baru tahu bahawa gigi geraham Nabila berkemungkinan akan rosak jika tidak digosok 2 kali sehari. Selalu saya hanya berkesempatan menggosok gigi Nabila sekali sehari sahaja :(

Doktor berkata, rupanya ubat lactul yang Nabila makan setiap hari itu sebenarnya manis dan menggalakkan kerosakan gigi lebih teruk lagi. Oleh kerana itu, beliau menyarankan saya membersihkan gigi Nabila sebelum tidur. Dan juga menukar ubat gigi Nabila kepada ubat gigi yang mempunyai florida...

Betul jugak! Lama dah saya pakai ubat gigi yang tanpa florida ni. Sebab Nabila kan tak reti nak buang ubat gigi dalam mulut. Doktor kata, tak payah nak letak banyak-banyak. Sikit-sikit sudah!!!

Ok. 6 bulan akan ada temujanji lagi. Jika doktor melihatkan gigi Nabila kurang memuaskan hatinya, dia akan seal atau tampal untuk ratakan gigi supaya mudah untuk saya gosokkan gigi. Yang bagusnya seal gigi ni, mungkin bila Nabila main gigi (mengetap dan melagakan gigi sampai rasa ngilu kalau kita dengar) kurang sikitlah bunyinya. Huhu..

So, nak tak nak ibu kena gosok gigi Nabila 2 kali setiap hari. Mujur hasil usaha saya tak jemu mengajarnya menggosok gigi membuatkan Nabila menjadi biasa dengan perbuatan menggosok gigi setiap hari walaupun dulu meraung-raung tak mahu gosok. Sekarang ni, terus je bukak mulut bila berus gigi dah kat mulut! Pandai!!!

Sempat gak tanya doktor, tumbesaran gigi Nabila normal atau tidak. Alhamdulillah, katanya 20 batang gigi adalah normal untuk kanak-kanak seusia dia. So ibu kena jaga elok-elok sebab anak istimewa memang mudah mengalami kerosakan gigi. Misi lepas ni, cari ubat gigi dulu ek.. :)

santek tak gigi saya? hehe...

17 April 2012

Apa yang Nabila rasa..?

Sebelum tu, nak tunjuk ini..

*mood sedih : Tak dapat belikan kek untuk Nabila hari ini*
Hadiah dari ayah..
sepotong, tapi bermakna pada hari ini...
 Alhamdulillah..daripada takde langsung kan.. :)

Dan saya mahu menunjukkan gambar ini pula...

 *gambar ni baru kena dengan tajuknya..hehe..*

Mengajar Nabila mengenai sensory. Bila saya letakkan tangannya di dalam botol yang berisi kapas ini, saya cuba melihat wajahnya melalui cermin di hadapan saya. Saya mendiamkan diri. Nabila apatah lagi. Hanya senyap terpaku merasai kelembutan kapas itu.

Dalam hati saya terfikir. Apakah yang difikirkan oleh Nabila? Bagaimana perasaannya hanya dapat merasa tanpa dapat melihat kapas itu?

Benda yang lembut tanpa membuatkan tangannya merasa sakit bila dipegang membuatkan dirinya tenang. Cuba bayangkan mata kita terpejam dan cuba merasai kapas di tangan kita. Tentu rasa selesa bukan? Saya andaikan jika tangan Nabila sedang memegang benda yang tajam. Confirm dia akan cuba melarikan tangannya dari menyentuh benda tajam tersebut. Dan dalam pada masa yang sama, Nabila akan takut untuk memegangnya lagi.

Beginilah perkara yang Nabila lalui sekarang. Setiap tindak tanduknya, Nabila akan rasai ketakutan yang amat. Kerana apa? Matanya..... :(

Andai mata itu mampu melihat, pastinya ketakutan itu akan hilang. Malah mungkin dia akan cuba merasai apa saja benda di sekelilingnya. Dalam hati saya tak mahu ianya berterusan. Sebolehnya saya mahu Nabila melihat keadaan sekelilingnya.

Mungkin ada yang membaca entry ini bertanya, Nabila butakah? 

No!!! Nabila hanya mempunyai masalah di bahagian saraf matanya. Objek yang di pandang tidak dapat di analisis oleh otaknya sekaligus memberitahu apa objek yang dipandang. Bagaimana saya nak betulkan saraf matanya sedangkan sedia maklum bila melibatkan saraf, kerjanya pasti lebih sukar!

Dengan hanya melakukan perkara seperti gambar di atas saja yang dapat membantu Nabila. Bak kata Dr. Sham, Nabila perlu banyak buat sensory. Berikan semua perkara disekelilingnya untuk dirasai bagi mengurangkan rasa takutnya. Benar! Itulah cara sebaiknya... :)

Bila umur sudah 4 tahun ini, tiada apa yang saya harapkan melainkan penglihatan Nabila pulih sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, jika dulu matanya langsung tidak fokus pada cahaya, kini sudah pandai kecilkan mata atau larikan mata jika terkena cahaya terang. Moga penglihatan Nabila terus pulih lagi dan mampu melihat perkara sekelilingnya.. InsyaAllah.. Doakan untuk Nabila yek..

04 September 2011

Saya perasan sesuatu...

*Entry 2 kali dalam masa satu hari..wah..banyak sangat ke idea tuh..!*

Tadi, Nabila masih lagi dengan pe'el nya. Tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Letak di buai ikannya juga tidak mahu. Menangis entah apa yang dia mahukan, saya tak pasti. Bila saya dekat, tahu pulak senyap. Aik..main-main la Nabila ni...

Apa yang ingin saya cerita bukanlah perangai Nabila sepanjang hari ini. Cuma saya catatkan kisah ini di dalam blog saya ini. Hanya untuk simpanan kenangan saya terhadap perkembangan Nabila.

Bila Nabila menangis, saya cuba mendukungnya. Dan kalau di pujuk di dalam rumah pun seperti tiada gunanya. Kaki saya melangkah keluar rumah. Bermain buai seperti selalu. Kerana mahu memujuk agar Nabila tenang. Faham sajalah kalau anak dara ni mengamuk... :(

Bila duduk di luar, Nabila akan diam. Saya terlupa untuk mengambil saputangannya, lantas kaki saya melangkah masuk ke dalam rumah semula walaupun punggung ini sudah duduk berbuai di luar.

Tau apa Nabila buat...?

Menangis....... :(

Saya pernah cerita yang Nabila memang punya masalah dari segi penglihatannya dan masih lagi di pantau oleh pakar mata. Namun, bila melihatkan kejadian tadi, saya membuat kesimpulan mudah. Serasa saya Nabila bukanlah tidak nampak langsung seperti yang dikatakan oleh doktor. Malah saya rasa penglihatannya jauh lebih baik berbanding dulu.

Ya, NABILA TAHU DIA ADA DI DALAM RUMAH ATAU DI LUAR RUMAH!DIA TAHU CAHAYA TERANG DAN CAHAYA GELAP KETIKA DI DALAM ATAU DI LUAR RUMAH

Sekarang sudah pandai bosan. Sudah pandai untuk minta saya membawanya keluar bermain. Dan tahu orang ada atau tidak di sekelilingnya. Dulu, Nabila langsung tak peduli. Orang ada atau tidak disebelahnya, dia hanya berada di dalam dunianya saja. Suara tak berdecit pun. Menangis kerana mahu minum susu atau mahu tidur. Itu saja yang dirinya tahu.

Bila melihatkan semua ini, saya rasa syukur. Saya tahu saya perlu bersabar lagi untuk semua ini. Saya perlu yakinkan diri bahawa Nabila boleh lakukan semua itu. Cuma saya perlu berinya masa. Dan peduli kata orang andai ada yang kata Nabila lambat atau lewat melakukan apa jua perkara mengikut usianya. Yang penting saya perlu usaha lagi. InsyaAllah....

~mata yang semakin elok. Jarang sekali untuk juling. Cuma saya perasan matanya nampak juling kedalam. Kata Abang, mungkin Nabila sedang fokus untuk memandang dalam jarak yang dekat. Ketika gambar ini diambil, saya tahu Nabila sedang memandang aksi saya yang sedang mengambil gambarnya.. :)~

20 April 2011

Kan bagus badan boleh di belah dua...

Rasanya sudah lama tidak bercerita tentang aktiviti Nabila. :(

Sebenarnya, sejak saya sibuk dengan usaha saya untuk mengurangkan berat badan, saya kurang dapat melakukan aktiviti bersama Nabila. Jika dulu, waktu malam saya dapat manfaatkan masa bersama Nabila. Kini rasanya begitu sukar untuk saya bahagikan masa.

Adakah saya mementingkan diri?

Saya rasa kadangkala penat berkejaran ke sana ke mari. Kadangkala juga saya mahu bermalas-malasan. Tiada sesi terapi untuk Nabila dan juga tiada sesi exercise untuk saya (kan bagus badan ni kurus..tak yah la nak susah payah gym..huhu)..

Harapnya Nabila dapat sedikit aktiviti yang dia lakukan di sekolah. Saya tak sempat untuk bertanya lebih lanjut pada therapist dia di sekolah. Faham sajalah Nabila. Ada mood juga kalau nak buat segala mak nenek terapi. Kalau dah suara melaung gajah..manalah nak buat! Habis di keras-keraskan badannya.Adoiyaiii..

Cumanya saya perasan beberapa perubahan si kecil ini. Dia lebih alert dan telah mengenali suara orang di sekelilingnya. Dan lebih cepat respon berbanding dulu. Mulut bising usah ceritalah. Sebut "Aaaaaaaa.." sesaja. Dulu sebut "buuuuuu..." atau "uuuuuuuu..". Sebelum ni sebut "woooorrrrrrmmm.." Huh! apa sajalah dik. Janji kamu happy!

Saya cuba juga untuk penuhi masa malamnya. Tapi kesian juga kalau Nabila nampak keletihan bila pulang ke rumah. Dan terus saja tertidur. Agaknya di sekolah dia tak tidur. Sian anak ibu!

Itulah, bila dah tak dapat lakukan sesuatu untuk Nabila, rasa ralat sangat. Aduhai..kalau lah badan ni boleh dibelah dua kan senang..hehe...

11 April 2011

Teruja melihat aksinya..

Sebenarnya saya dalam perasaan keterujaan. Semua kerana kisah semalam...

Semalam pada awalnya saya dan Abg memang tidak bercadang untuk membawa Nabila ke mana-mana. Dan kemudian saya membaca mesej di facebook dan rupanya Nabila ada jemputan ke majlis hari lahir Hazim, anak kak Faizah. Berkali juga Kak Faizah menelefon saya menjemput datang ke rumah, makanya saya mengambil keputusan untuk datang bertemu Hazim.

Dan selesai di majlis Hari Lahir Hazim, kami ke Sunway Pyramid. Bertemu Ummi Alisya. Rindu pada di kecil itu dan menurut Ita, Alisya sudah mulai bersuara. Alhamdulillah. Saya sendiri nampak Alisya menggerakkan mulutnya, seolah-olah mahu bercakap dengan saya..Aduhai..comelnya.. :)

Nabila pula, sepanjang perjalanan ke Sunway, asyik tersenyum dan ketawa berdekah-dekah. Dia sudah mendapat satu lagi skill baru. Mengajuk cakap ibu! hehe..

Nabila suka benar sebut "Aaaaaaaaa...." Dan kemudian dia akan ketawa. Entah apa yang menggelikan hatinya , saya tak pasti. Dan saya cuba mengajuk kembali katanya.. "Aaaaaaaaa..." Dan kemudian saya tak sangka rupanya Nabila juga menyebut kembali perkataan yang sama. Dan kemudian kami ketawa bersama. Sangat comel sekali... :)

Entah berapa kali dia lakukan perkara tersebut, saya tak kira pula. Tapi memang banyak! Seolah-olah dia tahu apa yang diucapkan dan tahu perasaan gelihati. Saya tak sempat merakamnya, kerana terlalu teruja bermain dengan Nabila.

Mungkin inilah yang Nabila bayar sewaktu dia demam sebelum ini. Saya tidak pasti adakah perkara ini akan berterusan, namun saya gembira dengan perubahannya. Tidak banyak, sedikit pun membuatkan hati saya cukup-cukup gembira. Alhamdulillah...:)

01 April 2011

Juling?

Semalam saya membelek gambar lama Nabila. Gambar sewaktu dirinya masih kecil lagi. Belum pun mencecah umur setahun. Dan sebenarnya hati saya sakit melihat gambar ini...

Jelas kelihatan mata Nabila yang sedikit juling pada sebelah kiri. Eh..bukan sedikit..tapi banyak!! Saya tahu Nabila mempunyai masalah ini, dan pernah dulu saya utarakan masalah ini kepada doktor mata. Namun faham sajalah. Mereka tidak mengendahkan sangat mata Nabila itu. Yang penting mata itu mampu untuk melihat!

Puas saya mencari maklumat bagaimana untuk membantu memulihkan mata Nabila yang juling. Anak-anak Cerebral Palsy memang selalu dengan keadaan mata sedemikian. Saya tidak pasti mengapa namun apa yang saya tahu semuanya berkaitan dengan aktiviti otak mereka.. :(

Kini saya dapat melihat juling Nabila agak kurang. Kadangkala saya nampak kedua matanya tepat memandang saya atau objek lain. Saya tidak pasti apa aktiviti yang saya lakukan kerana saya melakukan aktiviti untuk Nabila secara random. Tidak bertumpu pada satu bahagian sahaja. Dan saya juga tidak pasti apakah aktiviti yang telah memulihkan matanya.

Mungkin juga lampu-lampu yang saya selalu mainkan..atau Nabila bermain dengan flash card..atau atas rawatan bersama Kak Raw. Wallahualam... Saya hanya mencuba apa yang saya tahu ianya bakal membawa kebaikan kepada Nabila..

Syukur kerana matanya tidak lagi seperti dulu. Saya juga perasan dia sudah mulai respon tatkala saya dan keluarga memanggil namanya. Dia cuba untuk memandang. Namun kadangkala tersasar juga. Ya saya tahu, anak microcephaly memang perlukan banyak kesabaran dan tekun dalam mendidiknya. Kerana perkembangan mereka memang lambat mengkut tahap perkembangan otak mereka. Kadangkala saya sendiri menilai tahap Nabila. Adakah dia sudah mencapai tahap umur 1 tahun? atau masih lagi hanya berusia 2-3 bulan..? Entahlah..

Untuk anak sebegini saya harus terus dan terus lagi usaha. Mungkin saya perlu bersabar lagi dalam jangka masa yang panjang. :)

06 March 2011

Kesabaran harus dipupuk lagi!

*Mood Nabila tak stabil..Agaknya mahu keluar berjalan-jalan!huhu..~

Sepanjang hari berada di rumah. Sudah tentu membosankan buat si kecil ini. Namun apakan daya, si ayah sibuk nak gi kenduri kahwin kawan sekerja. Saya? Duduk diam-diam saja di rumah. Malas benar untuk ke kenduri. Cuaca yang panas bukanlah sesuatu yang baik untuk Nabila. Cukuplah minggu lepas kami menghadiri satu majlis perkahwinan kawan sekerja Abg juga. Penat ditambah dengan amukan Nabila yang menggila. Huh! Baik saja saya duduk diam-diam di rumah, dan lakukan stimulasi untuk Nabila.. :)

Sepanjang 3 hari saya ke Cherating, Nabila nampak baik bersama neneknya. Alhamdulillah. Mujur Nabila tak kisah jika ditinggalkan. Cuma kata mak, hari Jumaat (malam) Nabila tidur nyenyak bersama adik saya, Ain. Agaknya dia rindukan saya. Dia menyangkakan Ain adalah saya. Tubuh kami yang hampir serupa..hehe..

Dan hari ini, saya kembali melakukan rutin biasa ketika bercuti. Bermain dan melakukan beberapa aktiviti untuk Nabila. Habis bersepah mainan di ruang tamu.

~adoii..ni rumah ke hapa nih? Ni bukan budak kecik yang sepahkan..ni ibu dia yang sepahkan..hehehe~

Dalam banyak-banyak toys yang saya sepahkan kat gambar atas ni..ada satu toys yang sangat mencabar kesabaran saya untuk mengajar Nabila. Wooden Motor Skill Board (yang bulat-bulat warna warni atas board tu..) membuatkan saya perlu menanam lebih banyak kesabaran dalam mengajar motor halusnya.

Sebenarnya, Nabila memang memerlukan perhatian lebih dari segi motor halusnya. Nabila sendiri masih belum mampu untuk memegang sebarang benda. Hanya mampu untuk meraba-raba jika diberi sesuatu untuk dipegang. *semuanya bergantung pada matanya juga.. * :(

Jari-jemari halusnya agak sukar untuk saya bentukkan untuk memegang bulat-bulat kecil itu. Tapi kata orang, practice makes perfect! Makanya..berusahalah selagi mampu.. :)

Begitu juga dengan yang lain. Bertahun lamanya saya mengajar Nabila untuk duduk tanpa sokongan. Namun, Nabila masih lagi belum menguasainya. Cumanya jika dulu, Nabila langsung tidak tahu bagaimana untuk menggunakan tangan sebagai support. Namun kini, jika saya kata..

"Adik..Ibu nak pinjam tangan boleh..?"

..terus saja dia melembutkan tangannya untuk membolehkan saya membetulkan posisinya. :)

...................................................................................

Perjalanan anak ini jauh! Benar. Saya merasakan begitu lama sekali saya menjaganya seperti bayi. Mendidiknya untuk pandai dalam sesuatu perkara. Bagi saya, sememangnya Nabila banyak ketinggalan jauh. Namun, jauh disudut hati saya, saya tahu Nabila telah sedaya upaya mencuba. Bukan mudah untuk mengajar brain injured child !

Sabar dan terus sabar..Hanya itu sahaja kunci saya untuk Nabila... :)

21 February 2011

Nabila saya sudah kembali..!! Alhamdulillah... :)

Ya, balik saja dari pejabat, saya nampak Nabila sedang duduk di dalam Bumbo. Dan bila saya memanggil namanya di muka pintu, dia memandang tepat ke arah saya.Wah!! Anak ibu dah ok dah.. :) Pagi tadi cukup buat ibu risau!

Bermain dengannya membuatkan hati saya lega. Saya nampak Nabila senyum, dan apabila digeletek, dia ketawa. Ya Allah.. Nabila dah kembali.. :) Saya sangat rindukan tawanya!

Dan dirinya sangat baik. Tiada lagi tangisan. Dan senyuman menghiasi bibirnya. Tak sabar untuk pulang ke rumah. Kerana saya telah membelikan sesuatu untuknya semalam. Dan semalam tak sempat untuk bermain. Nabila tidur awal .

Sampai saja, saya terus membuka flash card yang baru saya beli semalam. Dan saya nampak Nabila memandang ke arah flash card tu sambil tersenyum. Aduhai anak! Adakah kamu sudah memahaminya.. ?

~Antara flash card yang saya beli dan buat sendiri..hurm..tak banyak koleksinya..~

Dan sempat saya melakukan pelbagai aktiviti dengan Nabila. Serius..mood Nabila sangat baik sekali. Saya banyak melakukan rangsangan motor halusnya..

~Nabila kena banyak praktis main ni..Chain linkers~

Saya dapat tahu dari blog rakan-rakan, membeli barang-barang ini di Summit USJ. Semalam, selepas kami ke KLCC, kami terus ke Subang Jaya. Pada awalnya kami makan terlebih dahulu di MacD. Nabila mengamuk sakan di sana. Lantas, kami makan selaju yang boleh (sampai saya bisik kat Abg, kata kami makan dah macam ular..main telan tak kunyah..hehe..)

Jumpa saja kedai, saya melangkah masuk, Nabila terus diam. Dan saya mencari permainan yang sesuai untuk Nabila. Hurm..kedai yang agak bagus..dan saya seperti rambang mata. Cuma saya harus pilih mengikut kesesuian Nabila. Cuma 2 permainan terpaksa menunggu stok lain. Sudah habis! 
~Chain linkers dengan puzzle je saya beli. Tambah dengan flash card. Puzzle tu sebenarnya nak beli yang lain. Nak beli yang jenis shape punya..tapi dah habis. Hurm..jadi beli jelah yang ni..hehe.Yang kayu kayan tu bukan ek..tu beli dah lama dah..~
Abg tanya, saya ada janji dengan Nabila nak beli barang mainan dia ke? Sampai tak kasi chance ayah dan ibu nak makan dulu. Menangis dalam Mall .Tapi bila sampai kedai, terus-terus diam kat kedai tuh!
Saya kata tak..tapi tak taulah kalau Nabila tahu niat hati saya..

Hehe.....

Nampak tadi, Nabila bermain atas bola, seronok bukan main lagi. Siap angkat-angkat kepala lagi. Selalu kalau nak main..mesti saja mulutnya bising. Ni entah apa hanginnya..baik sangat..!! Saya pun tak nak lepaskan peluang ni. Lama benar Nabila berehat. Kali ni nak pulun Nabila habis-habisan.. :)

 ~saya yang dah baik..~

Alhamdulillah..Terima kasih pada semua yang tak putus-putus mendoakan Nabila :)

14 February 2011

Akhirnya berhenti juga!

Alhamdulillah..beberapa hari kami 'berperang sesama sendiri'. Akhirnya Nabila berhenti juga..

Berhenti apa?

Apa lagi..Menangis lah!!!

Huhu..Sedih memang sedih bila melihat sang anak merintih sayu. Mujur mak dan ayah mertua datang ke rumah Sabtu lepas. Opah Nabila dah susah hati bila menelefon Abg, katanya Nabila menangis tak henti-henti.

~Opah dan Atuk dah nak balik dah...~

Dan Sabtu, saya memujuk Nabila...

" Dik, adik janganlah menangis. Ok, Ibu promise..esok ibu bawak adik gi KLCC ek. Kita jalan-jalan kat sana.."

Tapi pujukan itu sedikit pun tak memberikan ketenangan buat Nabila. Dan saya makin runsing. Dan tiba-tiba saya teringatkan kak Yusnita..

Pada mereka yang ingat, Kak Yusnita merupakan salah seorang pengamal perubatan Darusyifa. Dan Kak Yusnita banyak membantu saya dalam bab-bab hal Nabila selain Kak Raw. Mujur juga Kak Yusnita takde hal malam sabtu itu. Terus saja dia membalas mesej, katanya akan datang selepas waktu Maghrib.

Dan harapan saya, mahu Kak Yusnita membantu dalam hal Nabila kali ini. Dan soalan pertama yang keluar dari mulutnya sesudah memegang Nabila..

" Dia ada jatuh ke?"

Entahlah..saya tak pasti. Sepanjang menjaganya, tak pernah pula Nabila jatuh. Tak tahu pula kalau-kalau keadaan Nabila di sekolah.Huhu...

Dan kata kak Yusnita lagi, dia mahu Nabila memotong rambut. Takut panas katanya. Saya baru saja menyimpan hasrat untuk memanjangkan rambut Nabila. Dan ayah Nabila menyampuk. Takut Nabila seperti dirinya. Tak boleh berambut panjang sedikit. Akan sakit kepala jika membela rambut panjang..

Aduhai...andai benar..tak berpeluang la ibu nak merasa mengikat rambut Nabila cantik-cantik. Kalau nak lepas gian pun ibu kenalah beli patung Barbie kalau nak main sikat-sikat rambut..huhu...

Dan sesudah kedua ibu dan ayah mertua saya pulang, terus kami ke kedai gunting rambut. Sesi pemotongan di mulakan. Dan Nabila seolah-olah mengerti rambutnya bakal digunting. meronta-ronta mahu melepaskan diri..Adoiii adik!!!

Selesai menggunting, Nabila saya bawa pulang ke rumah mak. Mandikan dan berehat sebentar sementara menantikan cuaca redup untuk ke KLCC. Dan cadangan kami adalah untuk menaiki train ke sana...

Wow, lama betul tak naik train . Putra LRT pun dah lain. Huhu...

~ibu bisik kat Nabila..Nabila cam Halle Berry..hehe~

Nabila senyap ketika berada di dalam train. Agaknya pelik..rasanya selalu dia akan menaiki kereta, dan kali ini mukanya sedikit berkerut. Saya dapat rasakan Nabila cuba mengecam bunyi bising keretapi tersebut.. Matanya meliar melihat orang-orang asing di sekelilingnya.. :)

Dan rasanya hajat Nabila sudah sampai untuk ke KLCC..Dan aku mahu mood Nabila kembali seperti dulu. Senyum dan ketawa bila bermain dengannya.


p/s: Tadi kat sekolah, ada org call..kata Nabila menangis lagi..Mak aii..pening la ibu dik..susah hati Nabila masih lagi menangis bila dipujuk berulang kali oleh staff. Hari Sabtu lepas..mak, ayah dan adik-adik menjerit kesukaan melihat Nabila angkat punggung dan tangannya mengesot ke hadapan sebanyak 3 kali.. Seronok bila lihat Nabila cuba menunjukkan perubahan untuk dirinya. Alhamdulillah..Dan malam tadi sempat tgk Nabila senyum tadi. Yeah..Nabila sudah kembali.

11 February 2011

Ibu cengeng hari ini!!!

Ini status di FB hari ini...

"Kesabaran diuji lagi hari ini..Sabar..sabar dan terus sabar..."

Benar! Kesabaran ini diuji lagi. Dan agaknya entah berapa kali saya menangis. Melihatkan perilaku Nabila sangat menguji kesabaran ini.

Entah serba tak kena pada hari ini. Pada awalnya saya menyiapkan Nabila untuk ke sesi fisioterapinya. Temujanji pada jam 8.30 pagi. Dan semahunya saya tidak mahu lewat pada temujanji kali ini. Sudah menyiapkan Nabila, mahu menggosok baju kurung pula, Nabila dah mula buat hal. Menangis tak henti-henti. Dalam buai pun tak mahu tidur. Padahal saya tahu matanya memang mengantuk sangat ketika itu.

Puas memujuk dan sudahnya saya mengambil keputusan untuk tidak ke pejabat hari ini. Sebab tiada siapa di rumah mak dan kalau ditinggalkan di sekolah sudah pasti haru biru lagi. Jangkaan saya tepat. Rupanya Nabila masih lagi mahu menguji saya.

~tangisan ini..~

Entah berapa kali hati ini 'panas' melihatkan Nabila yang merengek. Bagai setan merasuki jiwa, hinggap juga se'das' dua tangan ini ke punggung Nabila. Menjerit sakit anak itu..dan kemudian, saya menangis sama bila Nabila menunjukkan rasa sakitnya. Merajuk. Ya Allah...apa yang dah saya buat!!!!

Kesabaran di tahap puncak..dan kasihan abg. Beberapa kali saya mengejutkannya supaya membantu untuk memujuk Nabila. Serius..kalau tak, rasanya mungkin kesabaran akan terbang melayang nanti...

Abg cuba memujuk. Dan saya berkata pada Abg supaya mengikuti langkah yang telah dikatakan oleh Kak Ieda, mama Nabila. Hampir berjaya, namun rontaan Nabila mulai kuat kembali. Dan saya terus membawa Nabila keluar dari rumah. Cuba berbuai di luar rumah..dan tiba-tiba kata Abg, mahu mengajak saya membeli makanan di luar. Ya, saya tak sempat untuk melakukan sebarang kerja rumah hari ini. Rumah tunggang langgang dek kerana cuba memujuk Nabila sepanjang hari.

Kami singgah sebentar di kedai ikan..dan membeli ikan baru untuk akurium kami. Dan Nabila senyap ketika berada di dalam kedai ikan. Dan pabila kaki ini melangkah keluar dari kedai..Nabila mula menangis semula.

Selesai di kedai ikan, kami terus pulang dan Abg memulakan operasi membersihkan akurium..sementara saya, memandikan Nabila. Sewaktu Abg sibuk mencuci akurium di luar, datang jiran yang menegur Abg. Katanya dia terdengar suara Nabila menangis sepanjang hari. Dan suara Nabila sayu saja kedengaran di rumahnya. Aduhai...!!!

Dan sewaktu entry ini di taip, saya lihat mood Nabila mulai baik. Sedang menonton TV dan bermain seorang diri. dan sempat mengambil gambar ini..

~nampak tak mulut Nabila ternganga..dia tgh ketawalah tuh..~

Saya dudukkan Nabila..dan bermain dengannya. Saya nyanyi lagu "Tepuk amai-amai" . Nampak muka dah mula nak senyum..tapi senyuman tak selebar selalu. Mungkin masih marah lagi..

Dan saya memanggil nama Nabila..di telinga kanan dan telinga kiri. Telinga kanan, cepat saja dia berpaling ke kanan.Dan memandang tepat ke arah saya. Saya cuba sebelah kiri pula. Agak lambat namun kepalanya berpusing dan menjeling ke arah saya. Dan saya nampak anak matanya tepat memandang ke arah saya. Tidak juling dan tidak merata-rata bebola matanya. Sangat tepat!!..Dan ketika itu air mata ini tumpah lagi..syahdu bila melihat momen tadi. Jarang benar dia memandang tepat ke arah mata ini..

Benarlah, hari ini rasanya saya memang banyak menangis hari ini..entahlah..hal anak..memang sayu!!

p/s: Moga esok Nabila kembali tersenyum semula..Amin.

02 February 2011

Tepuk amai-amai...

" Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu
Tepuk Nabila pandai siang malam upah susu
Susu lemak manis santan kelapa muda
Nabila jangan menangis ibu nak buat kerja.."

Lagu yang sering kunyayikan untuk Nabila. Sangat klasik!!

Sedari dulu aku mengajar Nabila bertepuk tangan. Pada awalnya keras bila kedua tangannya disatukan. Namun, bak kata orang, latihan berulang kali untuk anak brain injured ini pasti akan membuahkan hasil. Cuma kesabaran dalam diri ini perlu ditingkatkan lagi.

Sememangnya aku bukanlah penyabar orangnya. Namun, bila memikirkan kondisi Nabila itu, membuatkan aku cuba menguatkan diri. Dan sentiasa ingat hasil usaha sahabat ini. Jiey Mama Rayyan selalu menjadi sumber inspirasi aku. Aku selalu mengingati setiap keazamannya demi Rayyan.

Kebelakangan ini aku menyedari tangan Nabila sentiasa berpegangan antara satu sama lain. Dan pabila aku menyanyikan lagu tepuk amai-amai, Nabila cuba memegang tangan kanan dan kirinya seolah-olah seperti mahu bertepuk tangan. Dan semalam, ianya lebih nampak ketara. Mak juga perasan tentang perkara itu.

Tanpa aku sedar, air mata ini bergenang bila melihatkan telatahnya itu. Sayu namun aku gembira. Sekurang-kurangnya Nabila cuba melakukan sesuatu yang telah ku ajari dulu. Biarpun orang kata ianya hanyalah pencapaian kecil..namun aku gembira sangat. Bukan mudah untuk seorang anak brain injured melakukan perkara sedemikan rupa.

Alhamdulillah..Dan semalam, aku mencari sesuatu untuk Nabila. Aku cuba mencari toys yang boleh membantu dari segi skill motor halus. Dan sampai saja di rumah aku terus mencuba permainan tersebut untuk Nabila. Pada mulanya tangan keras dan agak sukar untuk membantunya memegang bola-bola tersebut. Dan berulang kali kucuba, akhirnya tangannya sudah mahu mengikut rentak permainan tersebut.

Permainan yang mudah. Bola-bola dipegang dan diletakkan di dalam bekas yang disediakan. Dan selesai bermain, puji-pujian ku berikan padanya sambil bertepuk tangan. Mulanya mulutnya muncung panjang, dan setelah 2-3 kali dipuji, Nabila tersenyum lebar. Anak ini sudah pandai!, bisik hatiku.

Dan hati ini akan cuba dan cuba lagi berusaha untuk anak ini. Moga perjalanan anak ini dipermudahkan. InsyaAllah..Amin..

20 January 2011

Membayangkan dirinya yang semakin besar!

Minggu lepas semasa di PDK, aku bersua dengan beberapa ibu yang senasib denganku. Punya anak Cerebral Palsy. Cuma bezanya,anak-anak mereka sudah hampir meningkat remaja..dan aku begitu kagum melihat mereka.

Serius aku katakan..mereka punya semangat kental. Anak yang sudah berubah corak fizikal tubuh,namun mereka masih gagah mendukung anak mereka. Dan contoh terdekat adalah Kak Ina,Mama Karina.

Siapa sangka seorang pramugari Garuda Indonesia..terpaksa meninggalkan pekerjaan glamour semata-mata mahu menjaga puteri tersayang.Kemana saja dikendong Karina. Kak Ina sendiri pernah memberitahu aku bahawa dia tak sanggup membiarkan Karina di bawah jagaan orang lain hatta dari staff Tasputra sendiri.Bagiku,menjaga sendiri adalah satu keputusan yang tepat!

Aku mendengar butiran perbualan mereka. Maklum saja kami semua mempunyai anak perempuan maka banyak perkara yang kudengari dari mulut mereka. Berkenaan perubahan fizikal,emosi,dan juga cara penjagaan.

Sedikit sebanyak aku dapat rasakan kesulitan menjaga anak istimewa perempuan berbanding lelaki. Kalau perempuan, kita akan melakukan "extra job" berbanding anak lelaki yang penjagaan dan cara mengurusnya lebih mudah. Aku rasa kalian mengerti maksud ayatku diatas mengenai "extra job" itu.

Namun,segala kesulitan yang mereka lalui akan bakal aku lalui jua 4-5 tahun lagi.Dan aku yakin Allah itu Maha Pengasih. Dia tahu setakat mana kemampuanku.Dan moga aku terus diberi kekuatan demi Nabila tersayang.