Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

Showing posts with label Kelahiran Nabila. Show all posts
Showing posts with label Kelahiran Nabila. Show all posts

08 November 2012

Nabila @ Wanita Hari Ini TV3

Semalam, wajah Nabila di Wanita Hari Ini. Tajuk Bayi Lemas Dalam Kandungan...

Macamana boleh keluar TV lak neh?!

Sebenarnya, saya dikhabarkan oleh rakan-rakan yang pengacara WHI Hasfizza mencari maklumat mengenai pengalaman ibu yang mempunyai anak lemas dalam kandungan. Teringatkan kisah Nabila, maka saya cuba e-mel pada Hasfizza untuk bercerita mengenai pengalaman saya. Niat hanya mahu memberikan info padanya saja. Tak terlintas langsung untuk masuk tv atau sebagainya. Dan saya selitkan nama blog ini untuk memudahkan beliau mencari maklumat dan pengalaman saya mengenai anak lemas.

Namun, tak sampai 2 minit selesai saya e-mel padanya, telefon saya berbunyi. Private number? Dalam hati meneka-neka lah sapa yang call. Rupanya Hasfizza si pengacara..

Dia bertanya saya tinggal di mana dan kemudian mahu menemubual saya. Katanya mahu mengambil gambar saya dan Nabila sekali. Saya agak terkejut pada awalnya. Namun, bila memikirkan untuk berkongsi pengalaman saya bersama orang lain, tak salah untuk saya menerima pelawaannya. Lantas, saya bersetuju. Cumanya, saya beritahu yang saya masih dalam pantang, dan jika mahu wawancara, hanya di rumah sajalah...

Dan Jumaat 2 November, dia call saya lagi. Kebetulan saya sedang sibuk berada di klinik membawa Naufal untuk pemeriksaan jaundis. Perbualan ringkas dan katanya mahu datang ke rumah pada hari Isnin untuk sesi temubual.

Sebenarnya tiada sebarang persiapan dilakukan. Hatta tiada ayat atau skrip yang saya rangka untuk bercerita. Kerana setiap apa yang berlaku masih kuat utuh dalam ingatan saya. Bagai putaran wayang kembali tatkala saya menutur ayat-ayat penceritaan tentang kisah Nabila. Sayu, sedih, geram usah cerita. Banyak pahit dari manisnya...

Namun, bila melihatkan Hasfizza, dia sepertinya mengerti perasaan saya ketika itu. Tampak dirinya sayu memandang Nabila. Mungkin juga mengerti perasaan saya ketika itu...

Apapun, bukan glamor yang saya kejar. Hanya sedikit kisah saya untuk tatapan semua. Sebagai peringatan dan pengajaran pada mereka yang melahirkan anak-anak nanti. Sungguh hati saya sayu melihatkan nasib Nabila akan datang. Tak tahu apa yang akan terjadi kepada Nabila kelak. Kalau boleh kisah saya dijadikan iktibar pada semua. Teringat sewaktu melahirkan Naufal, saya menceritakan juga kisah saya kepada mereka yang sedang menunggu saat kelahiran anak mereka. Ya, pada mereka amat mengerikan, namun mereka harus tahu kesan-kesan anak lemas dalam kandungan. Agar nasib anak mereka tidak seperti Nabila...


Sedikit video untuk tatapan semua. Sori rakaman tak berapa jelas. Susah nau nak rekod..hehe..

p/s : Nama Abang silap la pulak..huhu...

14 April 2011

Nabila hampir tiada di dalam rahim ini..

Hati saya sedang risau mengenangkan rakan saya, sedang mengandung 39 minggu dan mengalami pendarahan ketika ini. Di tahan di wad pada Jumaat lepas dan doktor pakar menyarankannya supaya balik ke rumah. Bukaan sudah 3 cm. Semalam, menurutnya bayi tidak bergerak, dan hari ini khabarnya bayi bergerak semula. Namun pabila saya tanya sudah cukup kiraan 10 atau belum, katanya dia tidak pasti. Kini sakit kontraksi tiada, namun hatinya gusar untuk ke hospital semula. Saya doakan rakan saya selamat melahirkan bayinya. Saya pula yang panas punggung bila tahu keadaannya nih..hehe...

Bila cerita tentang mengandung dan bersalin, saya teringat kisah saya yang saya hampir kehilangan Nabila ketika dia berusia 8 minggu di dalam rahim saya.

Saya ingat lagi, saya sedang bekerja. Dan tiba-tiba mahu ke tandas. Dan sewaktu saya membuang air kecil, saya ternampak tompokan darah pada seluar saya, dan saya nampak titisan darah mengalir di celah kelangkang saya. Saya benar-benar panik. Dan semahunya saya berlari menuju ke arah rakan saya, Lisa. Saya berbisik dan pada masa yang sama, saya hampir menangis. Kerana menyangkakan Nabila sudah pergi meninggalkan saya.

Lisa cuba memujuk saya, dan beberapa rakan saya, Lily,Huda dan Aisyah juga menemani saya ke hospital. Sungguh hati saya tak keruan ketika itu. Dan pertama kali itu juga saya diperiksa oleh doktor lelaki. Malu, tersangat malu apatah lagi ramai doktor pelatih turut mengerumuni saya. Dan saya terdengar perkataan polip. Dan kemudiannya saya di suruh berehat di rumah.

Kejadian tersebut tidak mendatang apa-apa yang membahayakan nyawa Nabila ketika itu.
Kejadian kedua terjadi lagi. Dan kali ini sangat menggerunkan saya. Ianya seperti ketulan daging terjuntai di saluran faraj saya. Ya Allah..memang menakutkan ketika itu. Lantas, saya bergegas ke Hospital Kuala Kubu. Dan saya di tahan di sana untuk sehari.

Selepas di periksa oleh doktor di situ, mereka terpaksa memindahkan saya ke Hospital Sungai Buloh kerana di sana peralatannya lebih lengkap. Dan setelah di periksa, ianya adalah 'Threatened Misscarriage' atau dalam bahasa melayunya kehamilan yang hampir gugur. Dan setelah di tahan di wad, dan keadaan saya stabil, saya dibenarkan pulang dan kembali untuk pemeriksaan semula pada kehamilan saya berusia 20 minggu.

Alhamdulillah, Nabila saya masih bernyawa dan keadaannya sangat baik sekali. Namun, bila mengenangkan saat kelahirannya, saya diuji lagi. Dan ujian kali ini benar-benar membuatkan kehidupan kami bertiga berubah sama sekali. Namun saya tahu Allah telah berikan yang terbaik buat saya dan saya redha dengan ketentuan-Nya.

Oleh kerana itu, untuk kelahiran seterusnya, saya harus menjaga sebaik mungkin kesihatan saya. Diebetis yang saya alami ketika hamilkan Nabila membuatkan saya risau andai ianya hadir sekali lagi untuk anak yang kedua. :(

Nabila berusia 7 bulan di dalam rahim saya..:)

p/s: terima kasih pada rakan-rakan yang memberi pendapat tentang keadaan kawan saya di facebook hari ini. Saya sendiri sedang menunggu berita darinya. Doakan segalanya baik untuk kawan saya dan bayinya yek.. Terima kasih..:)

20 April 2009

Warkah buat Nabila...(4)

Assalamualaikum wahai anakku sayang..inilah warkah terakhir buatmu..Dan nanti jika ada lagi perkara yang ibu ingin sampaikan buatmu akan ibu coretkan nanti..

Dan warkah kali ini agak lewat ibu coretkan kerna ibu, ayah dan Nabila baru sahaja pulang dari kampung atuk dan opah Nabila di Ipoh.Sebab apa?Ibu dan ayah telah berhajat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat buat Nabila.Dan berkat semua yang membantu terutama opah Nabila yang tak henti-henti melakukan persiapan, amat ibu hargai.Tanpa opah Nabila, tentu hajat ibu dan ayah tak kesampaian.

Warkah yang ibu titipkan buatmu kali ini adalah untuk menceritakan keadaan mu sewaktu di NICU.Selepas Nabila dilahirkan..Ibu tidak mempunyai kesempatan langsung untuk menyentuhmu sayang.Bayangkan betapa sayunya hati ibu tatkala melihat orang dihadapan dan disebelah ibu memegang anak mereka masing-masing.Menitis air mata ini bila mengenagkan semua itu.Tapi apakan daya..keadaan telah memisahkan kita sayang.Ibu sayu kerna sepatutnya Nabila sudah mula menyusu dan berada dalam dakapan ibu.Tapi yang ada hanyalah pakaian Nabila yang menemani ibu.Dan ibu masih lagi tidak dapat mengeluarkan susu dan Nabila pula masih lagi berpuasa.Terasa sakitnya dada ibu bila dada semakin keras dan ibu semakin lemah kerana tidak dapat mengepam susu dengan baik.Mujurlah ada nurse yang baik hati menyuruh ibu mengepam susu dengan pam yan disediakan hospital.

Bila ibu berjaya mengeluarkan susu,air mata ibu mula menitis.Lajunya air mata ibu selaju itulah air susu yang ibu perahkan untukmu sayang.Sayang sekali ibu tak dapat memerah dengan banyak kerana tiada rangsangan darimu.Setiap titik yang tumpah akan ibu manfaatkan dan setiap titik itu ibu berdoa agar dikau cepat-cepat sembuh.

Hari ketiga Nabila di NICU, barulah doktor membenarkan Nabila minum.Nabila terpaksa berpuasa selama 2 hari untuk pemeriksaan lanjut.Ibu tak dapat menyaksikan aksi Nabila minum susu buat kali pertama..Tapi naluri ibu tahu yang Nabila sememangnya dahagakan susu ibu.

Hari yang ke 4..Ibu dibenarkan keluar dari hospital.Tapi ibu seolah-olah mahu duduk lagi di katil itu.Mudah untuk ibu melihat Nabila.Mujurlah Doktor Sarah(yang menyambut Nabila dulu) menyarankan ibu supaya duduk dia ward NICU.Mudah untuk ibu melihat Nabila.Mendengar perkara tersebut ibu seakan tak sabar pula untuk di pindahkan ke NICU.Menjelang tengahari segala proses untuk keluar ward telah dilakukan oleh ayah, ibu dibawa keluar dengan harapan akan dapat dekat denganmu.Namun harapan ibu tak kesampaian.

Ibu diletakkan di katil bahagian belakang.Disitu terdapat 2 orang kawan ibu dan kedua-duanya masih lagi mengendong anak mereka.Menurut salah seorang kawan ibu,dia sudah berada di situ selama 1 minggu.Tentang penyakit anaknya..ibu kurang pasti.Dan ibu seakan tidak percaya yang dia kerap membawa anaknya pulang ke NICU.Mungkin sakit anaknya kronik.Dan terus ibu berdoa minta dijauhkan perkara-perkara yang sama menimpa Nabila.

Petang.Hujan turun dengan lebatnya.Dan ibu mahukan ayah Nabila ada di sisi ibu.Badan ibu terasa sejuk.Dan dada ibu terasa sakit.Ibu menelefon ayah dan menyuruhnya datang malam nanti dengan membawa baju sejuk dan selimut tebal buat ibu.Ibu cuba makan tapi nasi yang sejuk buat ibu semakin tidak berselera.Ibu cuba mengepam susu menggunakan pam hospital namun tidak berjaya kerna pamnya sudah rosak.Ibu menggunakan pam bateri dan hasilnya juga tidak memberangsangkan.Dan ibu semakin sakit.Menitis air mata ibu tidak tahan menanggung kesakitan.Lantas ibu menelefon ayah supaya cepat-cepat datang dan membantui ibu menyapukan minyak panas di belakang ibu.

Ayah Nabila tiba di hospital hampir jam 8 mlm.Nampak sahaja kelibat ayah,air mata ibu terus berguguran..Ibu sedih sebab tidak dapat melihat Nabila walaupun Nabila berada dekat dengan ibu.Dan ibu menangis sebab tidak tahan menanggung sakit.Lantas ayah menyapu minyak panas di belakang badan ibu.Namun ia masih lagi belum mengurangkan sakitnya.Ibu rasakan dada ibu semakin sempit.Dan ibu rasa sukar untuk bernafas.Ayah terus menyarankan ibu menelefon nenek di rumah.Nenek terus menyuruh ibu pulang ke rumah dahulu.Kata nenek,ibu terpaksa tinggalkan Nabila kerana tubuh ibu sudah dimasuki angin.Ibu menangis tidak mahu pulang.Ayah terus memujuk ibu dan akhirnya ibu pulang.

Sebelum pulang ibu sempat berjumpa denganmu sayang.Bukan niat ibu untuk meninggalkanmu.Ibu akan kembali setelah ibu pulih.Ayah terus memberitahu nurse yang ibu akan pulang.Dan nurse itu membenarkan.Ibu di pimpin oleh ayah ke kereta.Dan bila ibu masuk ke dalam kereta,Ibu terus menangis sambil memandang ke pintu hospital.Dan ibu berkata pada ayah yang ibu sedih dan ibu nak bersama dengan Nabila.Ayah melarang kerana ibu sedang sakit dan ibu perlu berehat dulu.Doktor akan menjaga Nabila nanti.Dan jika ibu masih lagi disitu, sudah tentu ibu akan semakin sakit dan kesudahannya ibu takkan dapat jumpa Nabila nanti.

Ibu pergi dengan linangan airmata.Sepanjang jalan ibu menangis mengenangkanmu nak.Ibu tak dapat pulang membawamu bersama.Tiada ketawa riang di bibir ibu.Tiada apa yang nak dikendong di tangan ini sewaktu ibu pulang ke rumah.Dan setibanya di rumah nenek ibu diberi nasi panas dan ikan bilis digoreng bersama lada hitam.Lega rasanya bila dapat makanan panas.

Malam itu ibu menangis bersama ayah mengenangkan Nabila yang berada di hospital keseorangan.Ibu tidak boleh melelapkan mata..tapi entah kenapa mungkin kerana letih akhirnya ibu tertidur juga.

Selama 3 hari ibu berurut dan ibu semakin pulih.Setiap hari ibu memerah susu dan ayah membeli bekas khas untuk mengisi susu yang dibekalkan untuk di bawa ke hospital.Setiap hari ayah datang menjenguk Nabila dan bertanya khabar.Pada hari yang ketujuh Nabiladi NICU, Doktor yang merawat Nabila, berkata pada ayah, "Mengapa tidak bawa mama baby?Kalau selalu bawak, mesti baby akan bersemangat lihat mama dia datang".Dan ayah terus memberitahu hal itu pada ibu.Doktor itu juga memberi kebenaran pada ayah mengambil gambar Nabila.Selama ini kami hanya mengambil gambar-gambar Nabila dalam NICU secara senyap-senyap.Ibu pernah menyuarakan hasrat pada ayah supaya mengambil gambar Nabila secara sembunyi.Kerana ibu terlalu rindukan wajahmu sayang.Ayah terus mengambil beberapa keping gambar Nabila dengan niat untuk menunjukkan semuanya pada ibu.

Esoknya ibu terus di bawa ke hospital.Nenek Nabila tidak melarang asalkan ibu berhati-hati kerana ibu masih lagi dalam keadaan berpantang.Ibu dapat juga berjumpa dengan Nabila dan air mata ibu berguguran.Ibu membelai Nabila dan ibu masih ingat lagi bau badan Nabila ketika itu.Wajah Nabila nampak lain jika dibandingkan dengan wajah ketika ibu tinggalkan Nabila dahulu. Apapun perasaaan ibu hanya tuhan sahaja yang mengetahui bahawa ibu terlalu ingin sekali memelukmu.Dan sehari sebelum Ulangtahun kelahiran ibu yang ke -25,ibu telah mendapat sebuah hadiah ang teramat istimewa.Ini semua adalah belas ihsan seorang nurse cina.Dia melihat faham akan perasaan ibu.Dan atas pertolongan dia, ibu dapat juga memegang Nabila buat kali pertama, walaupun wayar berselirat, ibu tetap tersenyum memandangmu.Dan Nabila pula seolah-olah lena dalam pelukan ibu.Beberapa kali ibu mencium dahimu.Ada juga mata-mata nurse yang menjeling tapi ibu tidak ambil peduli itu semua.Mereka tak paham perasaan seorang ibu!

Dan hari itu ibu rasa berat hatinya untuk pergi meninggalkanmu.Ayah memujuk kerana esok masih lagi ada.Esoknya ibu melawat lagi Nabila,Nabila telah dipindahkan ke bahagian yang tidak kritikal.Alhamdulillah..Aku bersyukur padamu.Dan itu satu petanda yang baik buat Nabila.Dan ibu pergi lagi keesokannya dan mendapati katil Nabila tiada.Sudah diletakkan bayi lain.Ibu terus berjumpa dengan nurse dan bertanyakan padanya,dimanakah Nabila.Dan ibu sangat-sangat teruja bahawa Nabila telahpun dikeluarkan dari katil khasnya dan diletakkan dalam katil bayi.Nurse menyarankan ibu supaya tinggal bersama Nabila malam ini untuk mengajarnya Nabila menyusu badan.Ibu sangat-sangat teruja mendengar hal itu dan terus bergegas pulang ke rumah mengemas barang-barang yang diperluakan untukmu sayang.

Dan setibanya di hospital,nurse telah menyediakan satu katil untuk ibu.Berdekatan dengan tingkap.Alhamdulillah..Akhirnya ibu dapat juga bersama-sama denganmu sayang.Ibu memelukmu sepanjang masa sehingga tidak sampai hati ibu meletakkanmu di dalam katil bayi .Ayah Nabila juga telah bernazar akan menyiapkan pulut kuning dan membotakkan kepala jika Nabila keluar hospital nanti.

Ibu bersama dengan Nabila selama 5 hari di hospital.Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, cuma saiz kepala Nabila semakin mengecil.Tak mengapa.Nabila akhirnya pandai menghisap susu dan ibu sudah dibenarkan membawa Nabila pulang ke rumah.Hampir 2 minggu Nabila di hospital dan doktor memberi kad temujanji untuk pemeriksaan selanjutnya.Ibu sudah tidak pandang semua itu.Yang ibu tahu hanyalah ibu akan membawa Nabila pulnag ke rumah.Itu sahaja yang terlintas di fikiran ibu ketika itu.

Dan setelah pulang kerumah, ramai yang menjengah dan melihat sendiri Nabila.dan ibu bersyukur Nabila akhirnya menjejakkan kaki ke rumah dan ibu takkan benarkan kaki Nabila jejak ke NICU lagi.Itu azam ibu.

Dan kini Nabila sudahpun berusia setahun.Segala kenangan ibu bersama Nabila terpahat kukuh dalam ingatan ibu.Segala perkara yang terjadi menjadi sejarah dalam hidup ibu,ayah dan Nabila.Dan ibu redha dengan apa yang telah tersurat dan apa yang telah terjadi dalam hidup kita.Dan ibu pasti ada hikmah disebalik semua yang berlaku dan pasti ada sinar yang menanti dalam hidup kita nanti.

Ibu mendoakan semoga anak ibu sentiasa sihat dan cepat-cepat pulih.Kalau tak dapat pulih sepenuhnya, sekurang-kurangnya ada sedikit yang boleh buat ibu bangga dengan menjadi ibumu sayang.Dan Ibu berharap Nabila akan menjadi insan yang berguna nanti.

Sekian.Salam sayang dari ibumu.

Yang benar

(Noina binti Ali)

17 April 2009

Warkah buat Nabila...(3)

Assalamualaikum Yasmin Nabilah sayang,

Selamat Ulang Tahun yang Pertama.Ibu sangat-sangat bersyukur Nabila diberi kesihatan yang baik sepanjang setahun yang lalu.Alhamdulillah.Dan doa ibu tak akan putus mendoakan kesejahteraan kamu sayang.

Ibu telah melahirkan Nabila pada jam 4.45 petang setelah ibu tewas dalam melahirkan Nabila secara normal.Ibu mula meneran untuk melahirkan kamu sejak dari jam 2 petang lagi.Sejam berlalu,dari seorang sahaja nurse yang menjaga ibu sehingga ramai yang memenuhi bilik ibu, Nabila masih lagi belum menjengah keluar.Ya Allah, tak dapat ibu bayangkan keadaan ibu pada waktu itu.Dan kesemua nurse dan doktor memberi sokongan pada ibu untuk melahirkan kamu.Pelbagai cara digunakan.Dan setelah sejam berlalu, Doktor Sarah mengambil keputusan untuk mengeluarkan Nabila dengan kaedah 'Vakum'. Namun setelah 2 kali kepala Nabila 'divakum',Doktor Sarra terus mengambil keputusan untuk membedah ibu.Ibu yang ketakutan pada waktu itu dan Doktor memberitahu yang dia terpaksa menolak kepala Nabila ke dalam semula untuk memudahkannya untuk proses pembedahan.Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya pabila doktor menolak kepala kamu kedalam semula.Dan ibu menjerit sekuat hati ibu!

Nurse dan pembantunya beramai-ramai mengalihkan ibu dari katil ke katil yang beroda.Disitu ibu ternampak darah penuh membasahi tilam yang ibu baring tadi.Sangat mengerikan dan ibu terus mengerang kesakitan kerana kontraksi.Ibu terus di tolak ke bilik bedah.Dan ibu marah pada nurse yang menolak ibu kerana lambat.Kasihan mereka.Namun apakan daya ibu yang menanggung sakitnya.

Di bilik bedah, Pakar bius mengambil masa hampir setengah jam untuk memberi ibu ubat tahan sakit.Dan doktor itu sempat berpesan supaya menguruskan badan apabila mengandung untuk kali yang kedua.Ibu sebenarnya dah tak larat mendengar apa yang dikatakan oleh doktor itu.Setelah selesai semuanya ibu tertidur kerana keletihan.Ibu cuba membuka mata dan ibu ternampak bayang-bayang peralatan-peralatan besi yang bakal menusuk ke perut ibu nanti.Dan akhirnya ibu tertidur juga.

Selepas selesainya ibu tersedar.Ibu cuba memegang perut ibu tapi tak berdaya.Dan terdengar bahawa doktor sarah ingin menolak kaki ibu untuk menjahit bahagian 'bawah' yang telah digunting sewaktu vakum tadi.Anak ibu dah keluarkah?Ibu bertanya namun tiada seorang nurse pun menjawab soalan ibu.Selesai semuanya,Ibu ditolak ke ward.Ibu sempat mengucapkan terima kasih pada nurse yang bertungkus lumus menyelamatkan ibu dan Nabila.

Kemudian setelah ibu dialihkan ke katil,Ayah Nabila tiba dan memberikan beg pakaian pada ibu.Dan ayah berkata yang nenek akan masuk sebentar lagi untuk berjumpa dengan ibu.

Pada waktu itu, ibu seperti berada di kayangan.Mungkin kerna ubat pelali yang diberikan dan ibu tak merasa apa2 pada tubuh ibu.Ayah menceritakan keadaan kamu lepas dilahirkan.Ibu tak menyangka yang kamu telah lemas akibat tertelan air dan najis sewaktu dalam proses kelahiran.Hati ibu bagai tersayat pabila mendengar Ayah berkata yang kamu berada di NICU.Dan ibu terus berdoa agar kamu tidak apa-apa di sana.

Dan nenek datang menjengah ibu walaupun pada waktu itu adalah bukan waktu pelawat.Pengawal keselamatan telah memberi kebenaran untuk masuk namun itu hanyalah sekejap sahaja.Dan apabila nenek dan ayah Nabila pulang, ibu terus tidur dalam keletihan.

Esoknya pabila ibu bangun, Ibu rasakan kepala ibu pening sangat-sangat.Dan apabila ibu bangun, ibu muntah.Nurse mengejutkan ibu supaya bangun dan membersihkan diri.Pada mulanya ibu memang tak berdaya.Mungkin kesan ubat yang terlalu kuat.Dan Ibu terpaksa gagahkan diri juga apabila nurse mengatakan doktor akan datang memeriksa nanti.Nurse itu memegang ibu untuk ke tandas.Mujurlah tandas hanya bersebelahan dengan katil.

Kawan ibu yang berada dikatil sebelah ibu juga baru bangun.Dia juga seperti tidak berdaya.Dan rupanya dia juga menjalani pembedahan kerana anaknya songsang.Nurse terus membantu ibu membersihkan diri dan menukar baju ibu.Ibu sangat berhati-hati kerana takut luka pembedahan terbuka atau berdarah lagi.Dan Tidak lama selepas itu, Doktor datang membuat pemeriksaan.

Doktor memberitahu yang Nabila telah dimasukkan ke NICU kerana lemas ketika dilahirkan.Dan tangisan Nabila pada ketika itu tidak kedengaran dan seperti orang lemas.Dan tidak lama selepas itu, Nabila diserang sawan.Ibu ketakutan mendengar penerangan doktor.Dan Doktor memberi kebenaran pada ibu untuk melihat Nabila jika ibu benar-benar pulih dari pening dan beg kencing ibu di keluarkan.Ibu menjadi bersemangat semula dan terus mengajak ayah menjenguk Nabila ke NICU.

Kisah selanjutnya akan ibu ceritakan keadaan Nabila di hospital pada warkah selanjutnya.Salam sayang dan rindu ibu buat anakku Yasmin Nabilah.

Yang benar,

(Noina binti Ali)

16 April 2009

Warkah buat Nabila...(2)

Assalamualaikum buat anakanda ku..Yasmin Nabilah binti Zulhilmi.Warkah yang ibu layangkan pada Nabila ini adalah sempena mengingati kelahiranmu sayang.Dan esok merupakan hari yang paling bersejarah buat Ibu dan Ayah kerana dari detik ini pada tahun lepas, Ibu telah lahirkan seorang ahli syurga yang amat ibu sayangi.Nabila adalah harta yang paling bernilai dan tidak boleh di tukar ganti dengan apa jua benda dalam dunia ini.

Pagi itu, Ibu dah mula terasa sakit.Dan Ayah Nabila masih lagi menanti Ibu di luar.Dan ibu sempat berkenalan dengan kawan ibu berbangsa India.Katanya itu anak dia yang ketiga.Dan perutnya sangat besar dan dikhuatiri kawan ibu itu akan menjalani pembedahan.

Ibu masih lagi tidak dapat berjumpa dengan ayah Nabila.Nasib baik Ibu ada membawa handphone bersama.Dan Ibu menelefon Ayah dan menyuruhnya pulang dulu untuk mandi.Kasihan Ayah..

Dan ibu dipanggil oleh nurse beberapa kali.Untuk diperiksa.Namun hampa apabila nurse itu mengatakan yang ibu masih lagi belum boleh di tolak ke bilik bersalin. Sehingga ke petang masih tetap begitu.

Ibu sebenarnya rasa kurang selesa di situ.Ibu mahukan Ayah disisi ibu.Apakan daya ibu tidak boleh berbuat demikian.Dan pada waktu petang ibu hanya menjamah sedikit sahaja makanan.Ibu tak berselera.Ibu lihat ramai kawan-kawan ibu juga begitu.

Malam.Atuk Nabila dan Pak Su Nabila datang.Bawakan air milo yang dibancuh oleh nenek untuk Ibu.Tapi ketika itu, kesakitan yang amat sangat sehinggakan ibu tak boleh nak duduk.Ibu meminta kebenaran pada nurse untuk keluar dari bilik dan duduk di ruang menunggu pelawat.Ibu berbual-bual dengan Atuk dan Ayah Nabila.Dan tak lama selepas itu ibu menyuruh atuk pulang kerana Ibu ingin berehat.Ayah Nabila pula ingin tidur di ruang menunggu itu.Kasihan Ayah Nabila.Pendingin yang dipasang di hospital tu terlalu kuat sehingga sejuknya menikam ke tulang.

Tengah malam.Ibu masih lagi dalam bilik dan tidak boleh melelapkan mata.Sudah beberapa kali ibu ke tandas.Yang menghairankan ibu, ibu sememangnya suka duudk di tandas dari baring di atas katil.Kesakitan yang amat menyebabkan ibu cuba melelapkan mata di tandas.Lega.Cuma ibu khuatir kalau-kalau nurse memanggil ibu.Ibu cuba pula tidur di bilik yang dipenuhi majalah tu.Mulanya nampak baik.Tapi lama kelamaan keadaan ibu semakin teruk.Nama ibu dipanggil oleh nurse.Dan ibu diperiksa sekali lagi.

Degupan jantung Nabila di ambil.Ibu tak mahu baring.Sakitnya sehingga ibu memekup muka ibu dengan bantal dan menjerit.Ayah yang berada di luar mendengar jeritan ibu dan hanya mampu berdoa.Dan menjelang subuh ibu masih belum lagi boleh melelapkan mata ibu.

Pagi keesokannya jam 8 barulah ibu ditolak ke bilik bersalin.Segala-galanya bermula disitu.Badan ibu sangat-sangat letih dan nurse mengatakan yang ibu akan di jangka bersalin pada jam 2 petang.Aduhai.Ibu sangat penat sekali.Letih menunggu masa kerna tak sabar melihat wajahmu sayang.Begitu panjangnya detik masa untuk kita bersua.Namun ibu tidak menyangka ada sesuatu yang akan bakal berlaku pada kita berdua.

Dan warkah untuk esok bermulalah detik ibu menjadi seorang 'ibu' kepada Yasmin Nabilah.Akan ibu ceritakan nanti.

Salam sayang buat permata hati ibu dan ayah.

Yang benar,

(Noina bt Ali)

15 April 2009

Warkah buat Nabila...

Assalamualaikum wahai anakku Nabila sayang..

Warkah ini ibu tujukan khas buat anak ibu..sempena hari kelahiran Nabila yang akan tiba tidak lama lagi.andainya Nabila dapat membaca warkah ini..hari ini merupakan hari yang bersejarah buat Nabila..Jam 4 pagi nanti..Nabila telah mula beri isyarat pada ibu yang Nabila akan lahir ke dunia ini..pada waktu itu..ibu keseorangan..kerana ayah Nabila kerja pada malam itu..Ibu masih ingat lagi..ibu sedang nyenyak tidur..tiba-tiba tanda darah turun..dah ibu pada waktu itu gugup..takut..gembira..dan macam-macam perasaan yang melanda dalam diri ibu ini..

Ibu telefon ayah.Dan menyuruh ayah Nabila segera pulang.Ayah yang kelam kabut dan terkejut ketika itu, terus bergegas pulang ke rumah.Risaukan ibu yang keseorangan di rumah.Dan selepas itu ibu terus bersiap-siap.Memakai baju mengandung warna biru (baju kegemaran ibu) dan tudung serta di tangan ibu,ibu menjinjit beg pakaian Nabila dan barang-barang keperluan yang lain.Ibu buka dan periksa sekali lagi kandungan di dalam beg itu sama ada mencukupi atau tidak.Hati ibu berdebar.Tapi ibu tangkis semua benda-benda itu dengan harapan dan doa agar Nabila dan Ibu selamat nanti.Dan 10 minit kemudian ayah Nabila sampai.

Ibu berpesan pada ayah,jangan kelam kabut.Sebab ibu tak rasa sakit lagi.Jadi ayah dengan tenangnya membawa kereta dan ibu dapat rasakan ayah Nabila berdebar-debar ketika ini.Begitu juga dengan ibu.Ibu tak dapat membayangkan macamana perjuangan kita nanti.

Tibanya di hospital, ibu terus ke kaunter pendaftaran.Kebetulan ada jururawat dan seorang pesakit di kaunter.Ibu menunggu pesakit itu selesaikan urusannya.Dan selepas itu, jururawat itu bertanya pada ibu.Dan ibu menceritakan padanya apa yang telah terjadi di rumah sebentar tadi.Jururawat itu menyuruh ibu masuk untuk dibuat pemeriksaan.Ibu meninggalkan ayah keseorangan di luar sementara menunggu ibu untuk diperiksa.

Pada waktu itu hanya Allah sahaja yang mengetahui perasaan ibu.Takutnya ibu pabila mendengar rintihan kawan-kawan ibu di atas katil mengerang kesakitan.Ketika itu ibu masih lagi belum terasa sakit.Dan ibu tertanya-tanya dalam hati, "Sakit sangat mereka?Bagaimana sakitnya?Bolehkah aku bertahan?".Dan jururawat tadi masih lagi mencari-cari katil kosong untuk ibu baring dan di buat pemeriksaan.Sebenarnya ibu pernah masuk ke ruang menunggu untuk ke bilik bersalin.Masa itu Nabila berusia5 bulan dalam rahim ibu.Sebab Nabila hampir-hampir keguguran sewaktu Nabila berusia 3 bulan.Dan pada umur Nabila 5 bulan,ibu dikehendaki datang ke Sg.Buloh untuk pemeriksaan lanjut.Melihat keadaan Nabila sama ada sihat atau tidak.

Tidak lama selepas itu, ada satu katil kosong dan jururawat itu menyuruh ibu baring di situ.berhadapan dengan ibu ada 3 orang pesakit dan yang ibu pasti ada seorang India di hadapan ibu.menjerit-jerit mengerang kesakitan yang amat.Ibu hanya mendiamkan diri kerana ibu masih lagi tidak merasa apa-apa kesakitan.Ibu diberi alat untuk mengesan degupan jantung Nabila dan dikehendaki baring dalam keadaan diam.Ibu keresahan kerana ibu ingin beritahu pada ayah Nabila yang Ibu mungkin lama lagi di dalam.Kasihan ayah Nabila.Dan ibu tak keluar-keluar dari ruang itu sehingga jam 8.00 pagi.

Ibu akan sambung lagi kisah Nabila.Dan selepas ini ibu akan ceritakan bagaimana Nabila dilahirkan..Salam sayang dari ibu buat anakku tersayang..Yasmin Nabilah..


Yang benar,

(Noina Ali)

01 April 2009

Memory bulan April...

Assalamualaikum..pembuka bicara bulan 4 nih..entry arinih tak de apa cuma arini hari lahir atuk Nabila a.k.a ayah aku.."SELAMAT HARI LAHIR AYAH"..takde apa yang aku nak beri pada ayah kali ni..Almaklumlah..aku tak gaji lagi..nantilah..dah gaji sok..leh la beli apa2 untuk ayah!
Cuma entry kali ni aku nak kongsi memori aku pada tahun lepas..bulan yang sama..emmm...rasanya ada yang dah agak kan apa dia?..Nabila lahir bulan ni....!dan pastinya aku masih ingat lagi tahun lepas..aku dah sarat sgt2..dan rasa mcm tak berdaya nak bawak badan..dan kaki bengkak sgt2..muka naik sembab..dan pastinya aku masih lagi berulang alik ke opis dengan kereta kecek aku nih..huhu...penatnya..hanya tuhan yang tahu..jauh..!
Dan aku ingat lagi aku last keje pada 11/4/2008..aku amik cuti seminggu..standby kelahiran Nabila..yelah..takut 'terberanak' pulak kat dlm kete..hehe..dan akhirnya Nabila lahir seminggu sebelum Hari Lahir aku yang ke 25... hehe
Yang pastinya dalam umah nih ada 3 org yang celebrate besday bulan April..Ayah..Nabila..dan Aku sendiri! Dan tak lupa juga pada Pakcik EE a.k.a bapa sedara Nabila a.k.a adik ipar aku! hehe..ramai tul bulan 4 nih!..Ada rezeki sok leh la celebrate sesama!...hehe..
* nak letak gambar masa sarat..masa tuh sehari sebelum Nabila lahir..tapi segan lah..buruk nar muka nih..hehe..

06 January 2009

Wajah-wajah Nabila selepas keluar di NICU.

Beberapa keping gambar saya letakkan di sini. Semuanya gambar selepas Nabila keluar NICU. Saya dikehendaki menjaga Nabila dengan baik kerana doktor telah berpesan sebelum discharge. Kemungkinan serangan sawan akan berlaku lagi. Jadi saya dikehendaki menjaga Nabila dan memerhatikan tindak tanduknya.

~hehe..gambar no.2 ayah Nabila botak..abg nazar botakkan kepala kalau Nabila keluar hospital...~


Kenangan di NICU..


Saya lupa nak bercerita tentang gambar ini. Selepas saya berurut kerana badan sudah dimasuki angin akibat berada kat NICU, hari yang ke -4 berada di rumah saya terus mengajak Abg melawat Nabila. Itupun selepas saya sudah merasakan badan ini sudah kuat semula.

Doktor ada bertanya kepada Abg mengapa tidak membawa aku. Lantas Abg terus menyatakan kepada saya dan esoknya saya begitu teruja untuk berjumpa dengan Nabila.

Sedih bila melihatkan anak ibu ini. Wajahnya sudah berubah. Serup seperti ayahnya. Danm sewaktu gambar ini diambil ada nurse Cina yang baik hati, bertanya kepada saya sama ada ingin memegang Nabila atau tidak ? Pada awalnya saya tak mahu menyusahkan mereka. Tidak mahu menggangu kerja-kerja mereka untuk menyusun kembali wayar-wayar itu. Dan pabila katanya tiada masalah saya bersetuju..

Saya merasakan susuk tubuhnya . Kecil dan ringan. bau hospital, melekat pada tubuh anak ini. Dan wajahnya comel sungguh. Entah berapa kali saya mencium dahinya. Dan mata Nabila kadangkala terbuka dan kadangkala tertutp. Agaknya dia tahu siapa yang memegangnya. Sepatutnya Nabila sudah berada dalam dakapan saya sekarang. Merasai kasih sayang dari seorang ibu. Apakan daya nak, nasib sudah tertulis begini...

Esoknya hari lahir saya 26 April 2008, saya pergi melawat Nabila lagi. Saya mencari nabila di tempat asalnya semalam. Namun saya lihat bayi lain yang berada di situ. Manakah Nabila ? Salah seorang nurse disitu melihat kami sedang mencari Nabila. Nurse itu menaytakan bahawa Nabila telah dipindahkan ke ruang belakang. Kerana Nabila telahpun stabil.

Lantas saya mencari. Yang kelakarnya. tiba-tiba sahaja saya lupa dengan wajah Nabila. Agaknya saya lihat semua bayi sama, sehingga saya keliru yang mana satu Nabila. :) Kemudian agaknya saya teruja bila nurse kata Nabila sudah stabil.

Akhirnya saya jumpa juga Nabila. Dan seperti biasa saya berbual dengan Nabila. Walaupun mata Nabila pejam, saya pegang jarinya. Saya lapkan bibirnya yang kering. Membersihkan wajahnya. Namun serius, saya masih lagi belum berani untuk memegang Nabila kerana risau wayar-wayar nya tercabut.

27 April 2008, saya melawat Nabila lagi. Dan Nurse memberikan satu berita baik kepada saya. Nabila telah stabil sepenuhnya dan saya dikehendaki untuk masuk semual ke hospital untuk mengajar Nabila breast feeding. Saya sangat gembira kerana inilah masa yangs aya tungu-tunggu. Bersama dengan si kecil ini. :)

Saya dan abg terus pulang ke rumah mak.Dan kami mengemas keperluan untuk dibawa ke sana. Nurse sudahpun menyiapkan katil untuk saya. Mujur juga dapat katil paling hujung.

Jam 6 petang, saya tiba semuala di hospital. Saya membawa Nabila ke katil kami. Saya letakkan nya di katil bayi. Dan malam itu meruapakan malam pertama saya bersama Nabila.

Saya gusar. Risaukan wayar dalam mulutnya. Nurse berpesan bahawa Nabila akan minum susu setiap 3 jam. Jadi saya di kehendaki meminta nurse untuk memasukkan susu dalam tiubnya.

Dan esoknya, saya menyuruh nurse untuk membuka tiub kerana lihat Nabila sukar untuk menghsiap jika tiub itu masih ada di mulutnya.Tiub itu pula asyik bergerak-gerak Bila tiub dibuka, barulah saya nampak wajah comel Nabila.

Pada mulanya Nabila langsung tak tahu untuk menghisap. Dan hanya mengemam sahaja tanpa sebarang hisapan. Nurse berpesan andai Nabila tidak mahu menghisap Nabila terpaksa menggunakan syringe (picagari) untuk menyusu.

Masih ingat lagi sewaktu Nabila dimandikan oleh nurse.Menangis menjerit pabila air terkena pada tubuhnya. Agaknya inilah kali pertama badan Nabila terkena air. Saya pula agak takut untuk menguruskannya. Jika di rumah sudah tentu ada mak yang sedia mengajar vdan membantu saya. Mujur juga saya sudah biasa menjaga adik. Jadi kurang sedikit rasa gentarnya.

Ubat-ubatan Nabila masih lagi diteruskan. Doktor memberikan ubat demam dan ubat sawan. kuat benar ubat itu. Saya masih ingat, Nabila menangis kesaiktan. Saya mencari punca, dan saya lihat kakinya bengkak. Ini kerana jarum dikakinya telah bengkok. Dan ubat juga tidak mahu mengikut salur yang betul. Doktor membetulkan line tersebut. Dan barulah Nabila diam apabila ubat itu masuk melalui kakinya. Sakit sekali saya melihatkan kakinya, lebam dan panuh dengan kesan cucukan jarum.

Selama 5 hari saya berada dihospital bersama Nabila. Menjaganya, mengajarnya menyusu dan menghabiskan antibiotik dan ubat-ubatannya. Ramai baby yang sudah boleh discharge.

Saya mengenali seorang wanita. katil kami bersebelahan. Saya tak ingat pula namanya. Anaknya dilahirkan secara paksa kerana si ibu menghidap darah tinggi. Kecil comel bayinya. Bayi lelaki. Dan saya ingat lagi , setiap kali si ibu ingin menyusukan anak, anaknya sepanjang masa tidur. Dan terpaksa dikejutkan.

Sewaktu saya discharge. si ibu itu masih lagi ada di situ.Mengharapkan tubuh anaknya naik.Dan bayi tersebut masih lagi dalam pemantauan kerana belum lagi boleh menghsiap susu. Saya berdoa agar anak itu terus kuat dan sihat . Saya kasihan melihat si ibu itu.Saya tidak pernah melihat suaminya . Mungkin suaminya kerje dan sibuk menguruskan anak sulungnya.

Nabila di NICU..

Sehari lepas Nabila lahir, saya terus berjumpa Nabila di NICU. Tidak sabar rasanya ingin melihat wajah Nabila adakah menyerupai saya atau menyerupai Abg. Abg membawa saya ke sana dengan menaiki kerusi roda dan sewaktu kaki ini melangkah ke wad NICU, saya berdebar.

Kemudian saya bertanya kepada nurse dimanakah Nabila dan lantas dia menunjukkan kedudukan Nabila. Saya masih ingat Nabila dihujung sekali. Berdekatan dengan sinki. Abg terus menolak saya menuju ke katil Nabila dan bila saya dapat melihat wajah Nabila, terasa seperti ingin menangis kerana melihatkan wayar yang berbelit pada badannya. Kemudian kepala Nabila juga berbalut.

Rupanya Nabila seiras dengan paksunya, Pudin..hehe. Comelnya. Putih betul..tak sia-sia rasanya minum soya setiap hari . Dan inilah wajahnya..

~comel kan..walaupun wayar berbelit kat muka.~

~gambar penuh satu badan. Nabila macam sedar tak sedar. Banyak makan ubat kot~

~Jari jemari saya memegang tangan Nabila~

Saya tidak dapat mendukung Nabila kerana wayar-wayar itu penuh satu badan Nabila. Dan kami dikehendaki membasuh tangan terlebih dahulu sebelum menyentuh Nabila. Saya tidak melepaskan peluang. Saya menyentuh anggota tubuhnya dan Nabila seakan sedar tindakan saya dan Abg. Mungkin Nabila tidak berdaya untuk bergerak. Ubat yang banyak tambahan pula dengan ubat sawan. Melihatkan Nabila saya menjadi sayu. Kecik-kecil lagi sudah kena di duga dengan cabaran di dunia . Tabahkan hatimu wahai anakku..

Kemudian setiap hari saya akan melihatnya di NICU. Abg menyorong perlahan saya ke NICU. Pabila malam saya menangis. Saya melihat sekeliling saya, semuaibu-ibu memeluk anak, sedangka saya? Keseorangan! Dan Nabila pasti perlukan saya ketika ini.

Susu badan hari pertama dan kedua sedikit pun tak keluar. Saya seperti rasa ingin nangis. Nabila pula dikehendaki berpuasa selama 3 hari.

Saya mencari jalan untuk saya keluarkan susu badan ini. Pada awalnya saya hanya memakai pam bateri yang saya beli semasa mengandung dahulu, namun gagal. Saya cuba bertanya pada nurse dan dia menyarankan saya untuk menggunakan pam elektrik di bilik penyusuan. Menurutnya lagi ia akan mendatangkan rasa sakit, namun saya tak ambil kisah Janji susunya keluar!

Hari ke-3, Nabila sudah boleh untuk minum susu, tetapi melalui ryles tube. Saya dikehendaki mengepam dalam 60 ml utk nabila minum sekali. Pada awalnya sakit sewaktu mengepam dan lama-kelamaan bila saya pam susu keluar dengan banyaknya.

Hari ke-5, Isnin 21 April 2008 saya dibenarkan keluar dari hospital. Luka pembedahan saya sudahpun dah kering .Dan Doktor Sarah, yang menyambut Nabila berpesan pada saya andai saya ingin duduk di katil di NICU itu, dia boleh sahaja siapkan. Segalanya memudahkan saya untuk melihat Nabila. Saya gembira dan tengahari saya discharge keluar dan terus duduk di katil di NICU pula.

Entah kenapa badan saya mulai penat. Kemudian breast saya terasa keras. Terasa seperti nak demam susu pun ada. Saya berborak dengan akak di sebelah katil saya. Saya tidak ingat anaknya kenapa dan saya tidak mahu bertanya lebih lanjut. Dia juga pun sudah seminggu berada di situ.

Hujan di luar menambahkan lagi sengsara ini. Saya terasa amat sejuk kerana aircond di NICU kuat. Kemudian saya dapat merasakan dada ni seperti nak semput.

Saya tidak berkesempatan untuk melihat Nabila. Abg pula balik ke rumah sekejap. Saya menelefon Abg untuk datang menyapukan minyak panas ditubuh ini..

Saya sudah terfikir untuk pulang. Sudah lain benar badan ni. Saya menelefon mak dan kata mak adalah baiknya aku menunggu Nabila di rumah sahaja.

Sewaktu pulang ke rumah mak, saya menangis. Saya sedih kerana terpaksa meninggalkan Nabila keseorangan. Sepanjang perjalanan saya menangis saja.


Tiba di rumah mak, mak terus memasak nasi panas ngan goreng ikan bilis dan lada hitam sket. semuanya untuk menghangatkan tubuh ini.

Malam tu saya dan Abg menangis bersama-sama. Tak tertahan rasanya dugaan ini . Saya kaihankan melihat Abg. Katanya sepanjang saya di hospital, dia menangis seorang diri dirumah . Bila mengenangkan aku dengan Nabila, mungkin ni semua Allah nak uji sejauh mana saya dan Abg menghadapi dugaan-Nya.Ni saya letakkan lagi gambar Nabila sepanjang kat hospital..





Kelahiran yang istimewa..

Sambung dari entry sebelum ni. Saya sakit pada subuh 16 April 2008, keluar tanda dan terus ke hospital. Nurse terus menahan saya kerana laluan sudah terbuka sebanyak 1 cm. Pada mulanya saya tak merasa sakit langsung. Saya lihat wanita India di hadapan katil saya itu sudah terjerit-jerit kesakitan.

Lalu saya terfikir sakit sangatkah? Akhirnya saya mulai merasai sakitnya sedari jam 8 pagi. Nurse menyuruh saya mengira kesakitan itu setiap berapa minit. Saya kira-kira ada dalam 10 minit setiap kontraksi tu. Abg ada di ruang menunggu, menantikan saya. Kasihan Abg. Saya menyuruh dia balik. Dan dalam pukul tiga Abg datang semula, tengok saya masih lagi belum bersalin. Bukaan baru 3cm. Lambat sangat dan saya tengok seorang demi seorang sudah memenuhi ruang menunggu bilik bersalin. Semua sedang mengerang kesakitan. Wajah masing-masing berkerut-kerut. Saya cuba untuk berjalan-jalan untuk menghilangkan rasa sakit, namun itulah, nanti tenaga meneran tiada pula.

Malam..

Ayah dan Adik saya datang, Ayah membawakan milo panas untuk saya, tapi ketika itu saya sudah sakit teruk. Kontraksi setiap 5 minit. Perghh...Tak tahan rasanya. Nak duduk rasa tak boleh, berdiri apatah lagi. Saya ke sana dan ke mari menahan kesakitan dan sudahnya saya menyuruh ayah dan adik pulang. Abg masih ruang menunggu dan saya dikehendaki masuk semula kerana risau nurse mencari pula..

Menjelang pukul 1 pagi, saya tidak boleh melelapkan mata. Sakit yang teramat sangat dan saya asyik ke tandas. Di tambah pula saya seperti mahu tidur di dalam tandas terasa seperti mahu membuang. Jam 5 pagi, saya sudah rasa seperti nyawa dicabut. Saya pekup muka saya pada bantal dan kemudian menjerit. Nurse berpesan pada saya untuk tidak melakukannya lagi namun saya buntu. Sudah tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Sudah bermacam-macam potongan ayat saya baca namun itulah, kuasa Allah. Mahu menunjukkan betapa susahnya melahirkan anak.

Akhirnya jam 8 pagi saya ditolak ke bilik bersalin. Itu pun bukaan baru 4 cm. Lamanya untuk sampai 10 cm lagi.Saya sendiri sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana di dalam itu bukannya boleh untuk saya berjalan-jalan seperti di luar. Sentiasa berada di atas katil kerana nurse ingin memantau Nabila.

Tepat jam 2.00 ptg, barulah bukaan 10 cm dan nurse menyuruh saya meneran. Saya cuba untuk meneran namun Nabila tidak keluar juga. Pada mulanya hanya ada 2 org sahaja di dalam bilik saya, dan kemudian semakin lama semakin ramai. Agaknya melihatkan saya sukar untuk meneran dan sudah pelbagai cara dilakukan. Memasang alat di kaki supaya kaki terbuka luas namun Nabila masih belum keluar juga. Dan doktor mengambil keputusan untuk vakum Nabila. Itupun setelah hampir sejam saya meneran.

Kepala Nabila sebenarnya sudah kelihatan , cuma entah kenapa masih tidak boleh keluar. Kemudian doktor cuba untuk vakum sebanyak 2 kali.

Sayangnya selepas vakum, Nabila masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda berjaya keluar. Dan menurut doktor saya terpaksa dibedah. Tatkala saya mendengar kata doktor tersebut membuatkan saya lebih takut.

Doktor terus menolak balik kepala Nabila masuk semula ke dalam rahim dan terus menyiapkan saya untuk masuk ke bilik bedah. Masa itu hanya Tuhan sahaja perasaan saya. Saya tidak menyangka bahawa saya bakal dibedah..

Ketika di bilik bedah,saya sememangnya sudah tiada punya tenaga. Saya kepenatan. Sebaik sahaja di cucuk ubat bius saya terus tidak sedarkan diri. Saya hanya sedar ketika doktor mahu menjahit bahagian bawah yang telah digunting sewaktu vakum tadi. Semua beramai-ramai menolak kaki saya dan pastinya saya tidak merasa langsung kaki ini. Saya sempat bertanya adakah Nabila sudah keluar atau tidak namun nurse hanya mendiamkan diri. Mungkin juga dia tidak mendengar pertanyaan saya.

Selesai semuanya, saya keluar dari bilik bedah dan tidak silap saya, saya sempat melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 6 petang.

Pukul 7 malam, saya dihantar ke wad. Saya seperti separuh sedarkan diri dan kemudian mak saya datang melihat saya. Hanya sekejap sahaja kerana mahu menghantar barang-barang. Dan kemudian Abg pula masuk dan katanya esok dia akan dtg lagi. Menurut Abg, Nabila dimasukkan ke NICU kerana tertelan air ketuban dan najis. Saya menjangkakan kemungkinan Nabila baik-baik sahaja kerana ada juga anak-anak yang tertelan air ketuban dan najis tapi baik-baik saja selepas itu. Namun saya tidak menyangka inilah permulaan kisah duka saya, Abg dan Nabila...