Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

29 December 2017

Selamat Tinggal 2017

Assalamualaikum..

Selang 2 hari je lagi nak masuk tahun 2018. Pejam celik pejam celik masa berlalu dengan pantas. Dan genap 9 tahun jugak saya menulis di sini.. Walaupun sekarang ni dah kurang menulis tentang Nabila, tapi saya cuba juga isi cerita dalam ni agar menjadi kenangan pada saya nanti.

Alhamdulillah, tahun ini baik-baik saja untuk saya. Walaupun cabaran nya takdelah sehebat orang lain, tapi kalau difikirkan tak sangka saya sampai juga ke akhir pengajian saya. Dan selamat konvo untuk kali ke 2..hehehe..

Kisah anak-anak pulak, Nabila makin membesar. 9 tahun terlantar bukan mudah untuk dia.. malah bukan mudah juga untuk saya menguruskan dia. Jauh disudut hati saya, berharap saya dapat uruskan dia semampu dan sekuat yang boleh. Mengharapkan Allah berikan kekuatan saya untuk uruskan dia dan permudahkan segala urusan saya.

Kakak dah makin besar.. makin cantik.. tapi kurus..huhu

kaki kakak luka asik bergesel dengan permukaan lantai.. macam-macam lah.. sedar2 je dah berdarah.. 

Kaki bengkok...huhu

sengih je baru lepas balik dari hospital

jalan-jalan kat lost world.. seb baik diam je..hehe

Adik tido menghimpit kat katil kakak.

Naufal pulak tahun depan masuk 6 tahun. Alhamdulillah dapat ke Pra tahun depan. Tak tahulah macamana gaya dia kan.. Tapi kenangkan dia, rasa sekejap benar masa berlalu.. dah besar dah anak ibu.. ibu pun dah tua..hahahaha

Ni kes betulkan gigi depan dia.. tumbuh tajam lepas kami decide nak cabut gigi dia yang dah tersompek ke depan..hahah.. tapi nampak pelik sikit la.. doktor tambah simen je.. tunggu sampai gigi tu cabut la kut baru tumbuh gigi kekal..

sibuk main dengan adiknya.. 

Moga terus membesar menjadi anak yang soleh dan dipermudahkan pembelajaran di sekolah baru nanti..



Ini budak kecik ni macam-macam perangai dia buat.. seb baik bongsu dik..boleh la ibu nak layan..hehehe. badan kecik je.. tapi kalau mengamuk, garang cam rimau.. sebijik pulak perangai cam saya..hahahaha.. 

Tahun depan dah 2 tahun dah.. kejap je.. moga membesar dengan sihat ye nak..

last bercuti dengan family.. next year buat lagi jalan-jalan..hehehe..

Ok, bye semua.. InsyaAllah kita jumpe di tahun 2018 ye.. Ampunkan salah silap saya jika ada coretan saya menggangu emosi kalian ke, atau tersilap kata ke..maafkan saya ye.. InsyaAllah, ada masa saya menulis lagi di tahun depan.. 

Bye!!!


07 April 2017

Temubual bersama Rancangan Nona

Assalamualaikum,

17 Februari lepas, saya menerima emel dari penolong penerbit rancangan Nona TV3, mengenai hasrat mereka untuk menemubual saya tentang kisah Nabila, Pada awalnya, agak berat juga tapi memikirkan ianya untuk awareness orang ramai tentang Cerebral Palsy, jadi saya setuju dengan pelawaan mereka untuk menemubual saya di rumah.

25 Februari, mereka datang ke rumah. Mujur suami ada di rumah. yelah, nak interview pun anak-anak kalau tak behave mau naya gak rasanya..hehe.. Alhamdulillah sepanjang rakaman, anak-anak semua baik-baik je perangai.. terutama Yaseera.. Kakak apatah ;agi, masuk TV kan.. baik je perangai tu..hehehe..

12 Mac, siaran di TV3. Gugup berdebar nak tengok rakaman aritu.. tah hapa-hapa merepek depan kamera pun tak tau..hahaha.. apapun, saya masukkan rakaman dalam blog ni untuk tatapan semua dan sebagai kenangan saya dengan Nabila...


Selamat menonton :)

08 January 2015

Tahun Baru, Kisah Baru..

Assalamualaikum semua,

Tak terlambat lagi untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2015 buat semua.. Ni merupakan tahun ke 7 saya menulis di sini. Sorry dah kurang update tentang Nabila. So far Alhamdulillah, Nabila sihat dan makin membesar bak anak dara yang cantik.

Tahun ini merupakan tahun yang sepatutnya Nabila melangkahkan kaki ke Tahun 1 . Bak kata lain, dah mula sekolah. Namun, apakan daya, saya hanya mampu melihat anak-anak lain seusianya bersekolah, tidak pada Nabila.

Nak kata sedih, memanglah sedih. Kalau ikutkan dah pasti saya merupakan orang yang paling kalut sekali menyediakan persiapan dia ke sekolah. Tapi takpelah, rezeki Nabila dah arah lain. Betul tak? Janji dia sihat dan bersama ibu ayah dan adik Naufal sentiasa.

Haritu saya membelek kad imunisasi Nabila. Terbaca pula rekod imunisasi dan laporan perubatan doktor yang dulu. Bila tengok kad imunisasi, baru teringat yang Nabila kena buat suntikan yang 7 tahun tu. Nanti kena jumpa balik doktor nak tanya macamana..

 Tu la kad imunisasi Nabila dulu. kad dulu rasa macam tak detail je kan? Banding rekod kesihatan naufal, beruntung betul si Naufal nampak details rekod kesihatan dia masa baby. Time saya masa baby? lagi lah tak tau camner rupanya.

Seminggu ni, Nabila nampak lain. Sawan kecil menyerang. Tak tido malam dan tak nak minum susu. Minum susu pun guna syringe. Tah apa rasa badan dia agaknya tak cukup tido. Mau pening tu...

Ada kata Nabila dah kurus. Siyes dia mmg nampak kurus dan panjang. Tapi, bila saya angkat badannya, memang terasa berat. Agak sakit juga pinggang dan lenguh kaki bila memangku anak dara ini..

Ok, sampai sini saja coretan kali ini. Harapnyer la saya rajin sikit nak update hal Nabila ni.. Tahun lepas boleh bilang dengan jari entry yang saya tulis dalam blog.. hehehe..

Bye!!

27 November 2013

Betapa comelnya kamu....!!!

Assalamualaikum..






Sungguh saya tersentuh melihat gambar ini. Di pagi suatu hari, Ayah Nabila menghantar gambar ini menerusi BBM.... dan hati saya sebak....

Betapa manisnya wajah puteri ini.. Dan bersamanya ketika itu kawan sejati, Alisya Qaireen.. Ya Allah, melihatkan wajahnya yang tersenyum membuatkan ibu rasa rindu sewaktu Nabila kecil-kecil dulu..

Jika saya belek-belek gambar lamanya pasti segala memori bersamanya datang kembali. Bagaimana saya menjaganya, menyusukannya, memandikannya.. malah bau badannya juga saya ingati..

Andai Nabila diberikan kesihatan yang baik.. Mungkin saya rasa seperti sekejap benar masa berlalu. Sehingga kini Nabila masih seperti bayi. Lagaknya seperti bayi berumur 4 bulan. Takpelah, janji Nabila tetap bersama saya...




Puteri hati saya....

Moga kakak terus diberikan kesihatan yang baik. Wajahnya ceria 2-3 hari ni membuatkan ibu rasa tenang sekali.

Alhamdulillah.. mungkin berkat sesi terapi yang konsisten sejak kebelakangan ini.. Moga ibu sentiasa dimurahkan rezeki untuk membawa kakak ke tempat terapi lagi.. Aamiin...

09 July 2013

Anakku Microcephaly..

Assalamualaikum..

Esok dah mula berpuasa. Alhamdulillah.. Selamat mengerjakan ibadah puasa pada semua yang membaca coretan ini..

Kenapa tajuk saya ni? Tentang microcephaly?

Pada yang tak tahu apa itu microcephaly, meh saya jelaskan. Tapi takdelah keluar perkataan sains bagai.. Apa yang saya faham, kepala bersaiz kecil. Atau lebih tepat lagi saiznya tak mengikut umur yang sepatutnya. Itu yang saya faham dan lihat pada Nabila sekarang..

Akibat dari kekurangan oksigen ketika proses kelahiran, saiz kepala Nabila mengecut dan tak membesar pada hari ke 7 kelahirannya. Ada nurse di NICU bertanya kepada saya ketika sedang mengukur saiz kepala Nabila. Katanya pelik kepala Nabila tak membesar. Saya pulak, takdelah nak gi tanya itu ini. Hanya mendiamkan diri, Yelah, masa tu memang saya tak tau apa-apa. Tambahan pulak masa tu tak pakai handphone canggih-manggih untuk google apa yang terjadi pada Nabila waktu tu.

Bila saya tengok rekod dan surat discharge Nabila, ditulis "HIE STAGE 3 WITH MICROCEPHALY" Serius, saya pelik kut. Start masuk keje, puas saya google tentang penyakit Nabila. Dan waktu itu memang takde blog cam saya tulis ni cerita pasal anak CEREBRAL PALSY. Kalau ada pun tak banyak. Tapi tu pun tak cerita kondisi anak secara terang-terangan.

Memang kalau nak diikutkan saiz kepala Nabila sekarang ni seperti bayi berumur 4-5 bulan. Or maybe lagi kecik lagi. Badannya yang panjang kini memang menampakkan lagi masalah dirinya. Jika dulu masa bayi, memang tak nampak sangat. Dah besar ni, baru nampak jelas sifat-sifat sebagai anak CEREBRAL PALSY.

Kalau di pegang kepalanya, saya memang suka cubit kulit belakang kepalanya.  Serius, terasa macam cubit kulit pada tangan. Lembut dan lembik sedikit. Cuba kalian cubit tangan kalian. Tarik kulit tangan tu. Boleh tarik kan? Macam tulah saya rasa kulit kepala Nabila..

Sedih, memang sedih. Setiap kali melihat dan memegang kepalanya, saya sebak. Air mata bergenang. Kerana itulah anggota tubuh yang paling penting saya rasa. Dan di situ juga saraf matanya berada. Memang tiada pertumbuhan positif untuk bahagian tersebut.

Bila melihatkan keadaannya, saya bersyukur kerana Allah masih memberikan sesuatu yang baik untuk selindungkan kepalanya nan kecik. RAMBUT YANG SANGAT LEBAT. Ya, itulah yang buat saya bersyukur sangat. Bila rambut tebal, memang tak nampak sangat kepalanya yang kecik. Cuma bila saya terpaksa mengambil keputusan untuk memotong rambutnya, saya sedih dan kasihan pada Nabila. Tapi apa boleh buat. Takkan tak potong pulak. Tak kemas!!

Nampak tak kepala dia kecik...?

Ok..ni saya jumpa artikel tentang anak microcephaly. Diambil dari website ini

Microcephaly is a neurological condition that occurs because a child’s developing brain doesn’t grow properly. This causes the disease’s most obvious physical symptom: a head size that is much smaller than normal.

Because the brain does not grow at a normal pace, the skull doesn’t, either. Many (but not all) children with microcephaly also experience cognitive delays and neurological problems as a result.
  • Microcephaly is often (but not always) congenital, meaning it is already present at birth.
  • Other times, a child is born with a normal brain and skull, but then his brain fails to develop properly during his infancy.
  • A traumatic brain injury or infection can also lead to microcephaly.
  • Microcephaly is relatively rare, affecting about 25,000 children in the U.S. each year.
Some children with microcephaly have normal intelligence and experience no particular difficulty with schoolwork, physical activity, relationships or any other aspect of their lives. However, many children with the disease – especially those with more severe cases – face:
  • mild to significant learning disabilities
  • impaired motor functions
  • difficulty with movement and balance
  • speech delays
They can also have other medical problems, like:
Although it’s not possible to restore a child’s brain and skull to normal size and appearance, treatment for microcephaly can make a significant difference in helping him with any medical, neurological and emotional symptoms he might be facing. 

Causes 

What causes microcephaly?
There are a number of possible causes:
  • Most of the time, it happens because of an inherited defect in a gene that interferes with the brain’s maturing and growing.
     
  • There is evidence that, in some cases, microcephaly is caused by something that affects the mother during pregnancy. These factors can include:
  • substance abuse
  • inadequate nutrition
  • untreated phenylketonuria (PKU)
  • exposure to certain viruses – especially chickenpoxrubella (German measles) or cytomegalovirus
  • exposure to toxic chemicals
     
  • A baby can also be born healthy, but then acquire microcephaly because of:
  • brain injury
  • lack of oxygen to the brain
  • an infection in the brain
     
  • Finally, microcephaly can be related to another disorder, such as:
  • Down syndrome and other chromosomal disorders
  • certain neurometabolic disorder

Signs and symptoms

What are the symptoms of microcephaly?
The main symptom of microcephaly is a head size that is much smaller than normal for the child’s age and gender.

Other symptoms can vary widely from child to child. They might include:
  • failure to thrive
  • poor appetite/feeding
  • unusually high-pitched crying
  • spasticity (involuntary muscle contractions)
Not every child with microcephaly will display noticeable symptoms beyond a small head size. You should always seek a diagnosis from a qualified medical professional.

Nabila kena sebab lack of oxygen.. Tu pasal la sel kat kepala dah mati kebanyakannya. Saiz kepala pun tak membesar...

Apapun, biar macamana pun kakak, ibu akan cuba usahakan juga untuk kakak.. kecik pun keciklah..janji kakak sihat... :)

31 December 2012

Tinggal 2012..

Baru selesai bercuti-cutian hujung minggu di Melaka. Sempena hari keluarga rakan-rakan sekerja abang. Alhamdulillah,mujur mood si kakak baik-baik saja. Seperti percutian kami di Jakarta awal tahun dulu. Berjalan dengan lancar,namun kali ini agak berbeza kerana kehadiran Naufal!

Alhamdulillah, kencang surut dada ini menjalani kehidupan penuh liku sepanjang 2012. Pada awal tahun ini dikhabarkan mengandung dan sepanjang tempoh hamil sangat menduga jiwa. Apatah lagi Nabila masih belum dapat membuat kejutan untuk ibu dengan langkah pertamanya. Masih lagi dalam dukungan ibu. Merasai betapa hebatnya dugaan mengandungkan Naufal tatkala Nabila penuh dengan ragamnya dan hanya mahu berdukung di saat Naufal sudah 8 bulan dalam kandungan. Dalam hati hanya mampu berdoa agar bayi yang saya kandung ini sihat dan baik- baik sahaja.

Dan dalam saat mengandung, akhirnya saya mengakui yang saya sudah tidak mampu untuk membawa Nabila ke sekolah lagi. Perjalanan yang jauh tidak berbaloi untuk saya yang ketika itu sudah mengandung 6 bulan. Perut yang kecil,namun 'isinya' padat membuatkan saya termengah-mengah keletihan.

Dan saat saya sarat,saya masih lagi cuba untuk.menjalankan.tanggungjawab saya sebagai ibu untuk memberikan sesi terapi yang terbaik buat Nabila. Bergelut dengan perasaan tatkala tubuh Nabila dicucuk dengan jarum halus hasil rawatan akupuntur,dan saya rasakan kesannya kini pada Naufal pula. Seingat saya,saat Nabila menangis meraung,tendangan kecil di dalam perut saya menandakan Naufal juga turut merasa pedihnya mendengar jeritan kakak di luar. Dan sehingga kini,Naufal menangis sama seperti kakaknya yang sepertinya menjerit kesakitan :(

Ditahun ini juga saya menyaksikan perkahwinan satu-satunya adik perempuan saya. Alhamdulillah,Kanging sudah bertemu jodoh dengan pilihan hatinya dan saya mendoakan agar dirinya kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Selamat tinggal 2012. Selamat datang 2013. Moga kehadiran di tahun baru ini memberikan sinar bahagia buat kami sekeluarga dan rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih pada rakan-rakan yang masih setia mengunjungi blog ini walaupun tak banyak dapat sya coretkan sepanjang 2012 dan perkongsian maklumat mengenai Nabila kepada umum. Moga tahun ke 5 Nabila di dunia ini akan memberikan sedikit cahaya untuk dirinya terus maju lagi. INSYAALLAH.

Dan buat anakku Naufal,moga dikau terus membesar dengan sihat dan harapnya sepanjang 'percutian' ibu dalam membesarkanmu sentiasa dipermudahkan. Agar dirimu dapat yang terbaik dari ibu dan sentiasa dibawah lindungan rahmat-Nya. Amin..

Moga 2013 memberikan sinar bahagia dan apa yang dihajati akan diperoleh dan dipermudahkan segala urusan.

08 November 2012

Nabila @ Wanita Hari Ini TV3

Semalam, wajah Nabila di Wanita Hari Ini. Tajuk Bayi Lemas Dalam Kandungan...

Macamana boleh keluar TV lak neh?!

Sebenarnya, saya dikhabarkan oleh rakan-rakan yang pengacara WHI Hasfizza mencari maklumat mengenai pengalaman ibu yang mempunyai anak lemas dalam kandungan. Teringatkan kisah Nabila, maka saya cuba e-mel pada Hasfizza untuk bercerita mengenai pengalaman saya. Niat hanya mahu memberikan info padanya saja. Tak terlintas langsung untuk masuk tv atau sebagainya. Dan saya selitkan nama blog ini untuk memudahkan beliau mencari maklumat dan pengalaman saya mengenai anak lemas.

Namun, tak sampai 2 minit selesai saya e-mel padanya, telefon saya berbunyi. Private number? Dalam hati meneka-neka lah sapa yang call. Rupanya Hasfizza si pengacara..

Dia bertanya saya tinggal di mana dan kemudian mahu menemubual saya. Katanya mahu mengambil gambar saya dan Nabila sekali. Saya agak terkejut pada awalnya. Namun, bila memikirkan untuk berkongsi pengalaman saya bersama orang lain, tak salah untuk saya menerima pelawaannya. Lantas, saya bersetuju. Cumanya, saya beritahu yang saya masih dalam pantang, dan jika mahu wawancara, hanya di rumah sajalah...

Dan Jumaat 2 November, dia call saya lagi. Kebetulan saya sedang sibuk berada di klinik membawa Naufal untuk pemeriksaan jaundis. Perbualan ringkas dan katanya mahu datang ke rumah pada hari Isnin untuk sesi temubual.

Sebenarnya tiada sebarang persiapan dilakukan. Hatta tiada ayat atau skrip yang saya rangka untuk bercerita. Kerana setiap apa yang berlaku masih kuat utuh dalam ingatan saya. Bagai putaran wayang kembali tatkala saya menutur ayat-ayat penceritaan tentang kisah Nabila. Sayu, sedih, geram usah cerita. Banyak pahit dari manisnya...

Namun, bila melihatkan Hasfizza, dia sepertinya mengerti perasaan saya ketika itu. Tampak dirinya sayu memandang Nabila. Mungkin juga mengerti perasaan saya ketika itu...

Apapun, bukan glamor yang saya kejar. Hanya sedikit kisah saya untuk tatapan semua. Sebagai peringatan dan pengajaran pada mereka yang melahirkan anak-anak nanti. Sungguh hati saya sayu melihatkan nasib Nabila akan datang. Tak tahu apa yang akan terjadi kepada Nabila kelak. Kalau boleh kisah saya dijadikan iktibar pada semua. Teringat sewaktu melahirkan Naufal, saya menceritakan juga kisah saya kepada mereka yang sedang menunggu saat kelahiran anak mereka. Ya, pada mereka amat mengerikan, namun mereka harus tahu kesan-kesan anak lemas dalam kandungan. Agar nasib anak mereka tidak seperti Nabila...


Sedikit video untuk tatapan semua. Sori rakaman tak berapa jelas. Susah nau nak rekod..hehe..

p/s : Nama Abang silap la pulak..huhu...

30 December 2011

Dalam Kenangan 2011


Rasanya banyak perkara yang terjadi pada saya, Nabila dan Abang sepanjang 2011. Ya, terlalu banyak. Dan 2011 memberi banyak kenangan manis dan pahit buat saya juga..

Tentang saya...

Kalau nak diikutkan, azam saya untuk kurus tahun ini bukanlah termasuk dalam azam 2011. Malah, rasanya azam itu sudah lama bertapak dalam hati saya sejak saya melahirkan Nabila. Namun, Alhamdulillah, dapat juga saya realisasikan pada tahun ini. Lemak-lemak tepu yang melekat pada tubuh saya sudah berkurangan. Namun, masih belum tercapai sepenuhnya target berat badan ideal saya. Tapi, sekurang-kurangnya 15kg sudah hilang dari badan ini. Alhamdulillah.

Dan tahun ini juga, saya berjaya membuang gigi bongsu saya melalui pembedahan kecil. Bertahun lamanya saya terseksa. Akhirnya saya memberanikan diri untuk membuang gigi tersebut. Kata doktor, gigi itu tidak boleh diselamatkan lagi...:(

Tahun 2011 juga menyaksikan penantian saya berakhir dengan tamatnya tempoh penggunaan implan dalam tubuh saya. Dan kini saya dalam usaha untuk menambah ahli keluarga kami. Semuanya kerana Nabila. Mahu Nabila punya kawan untuk bermain...Doakan moga kami dikurniakan seorang lagi anak yang sihat dan mampu untuk menjaga Nabila nanti. InsyaAllah.. :)

Saya juga telah memulakan perniagaan online saya iaitu Bella Closet Craft tahun ini. Sebenarnya saya tak menjangka saya mempunyai minat dalam bidang kraf. Serius bakat memang takde. Entah kenapa, muncul idea ini dan saya ingin mencuba kerana saya tahu, Nabila juga pakai semua aksesori ini. Tak salah kan kalau saya cuba untuk buat sendiri. Dan Alhamdulillah, ada kawan-kawan yang sudi menempah hasil kraf saya.. :)

Begitu juga dengan menjahit. Saya telah mulakan kelas menjahit pakaian baju kurung pada penghujung Jun yang lalu. Alhamdulillah, saya berjaya menjahit beberapa pasang baju. Namun, untuk mengambil tempahan mungkin belum lagi. Hehe...Tunggu sehingga saya ada keyakinan yek.. :)

Tentang Nabila...

Perkembangan Nabila sedikit sebanyak nampak perubahan. Saya dapat melihat pinggang Nabila semakin kuat dan mampu untuk bangun sendiri bila saya cuba untuk memegang sebelah tangannya. Jika dulu, nampak begitu susah untuk Nabila bangun. Lebih-lebih lagi dengan keadaan pinggang dan tulang belakang yang tidak kuat, membuatkan dirinya hanya mampu terbaring dan mengiring sahaja..

Peristiwa Nabila di letakkan di dalam stor sekolah lamanya, membuatkan saya mengambil keputusan drastik untuk memindahkan Nabila ke sekolah lain. Walaupun agak sukar dengan perjalanan jauh dari rumah-sekolah-tempat kerja namun, saya tekad. Saya tak sanggup melihat Nabila terus menangis di sana. Kata Abang, saya keras hati. Ya! Saya harus keras. Sebab semua ini tentang Nabila. Saya tak sanggup melihat Nabila tidak gembira di sekolahnya. Andai diberi pilihan..saya tak perlu bekerja...Alangkah baiknya...huhu...

Dan tahun ini juga, saya kembali semula melakukan rawatan bersama Kak Raw dan juga menambah beberapa rawatan lain untuk Nabila. Cumanya, Nabila kini tidak lagi melakukan terapi di hospital. Saya rasa agak tertekan dengan keadaan hospital yang sering bertukar therapist lebih-lebih lagi di Unit Fisioterapi yang sering kali memberi pelatih-pelatih baru untuk membuat sesi fisioterapi untuk Nabila. Saya rasa agak membuang masa dan pada saya, adalah lebih baik, Nabila berada di IMC sepanjang waktu persekolahannya yang juga melakukan pelbagai aktiviti di situ..

Nabila juga mengalami siri kesakitan dan paling menakutkan adalah serangan sawan yang dihadapi nya kini. Doktor telahpun mulakan ubat sawannya. Saya juga sedang dalam usaha memberikan satu supplement yang telah dicadangkan oleh rakan-rakan saya untuk Nabila makan setiap hari. Alhamdulillah, kesihatan Nabila mulai baik. Cuma saya masih perlu memantau tahap kesihatannya. Moga Nabila terus membesar dengan sihat. Amin.

Tentang Abang...

Alhamdulillah, rezeki Abang tahun ini kerana telah dinaikkan pangkat. Walaupun dalam hatinya agak berat untuk menerima jawatan tersebut, namun saya tahu Allah telah permudahkan jalan kami. Saya tahu Abang boleh jadi ketua yang baik dan bertanggungjawab terhadap anak-anak buahnya. Moga Abang terus maju dalam kerjaya. InsyaAllah..

Abang banyak membantu saya dari segi emosi, faktor kewangan dan juga pembimbing saya dalam mengharungi hidup sebagai seorang isteri dan ibu yang baik. Moga di tahun hadapan Allah permudahkan dan memperluaskan lagi jalan kami untuk menambah rezeki anak kedua. InsyaAllah...

.

Moga tahun 2012 memberikan sinar bahagian buat kami bertiga. Dan moga saya terus maju melangkah demi Nabila. Terima kasih pada semua yang tak putus-putus mendoakan kesejahteraan kami terutama pada buah cinta kami, Yasmin Nabilah. Moga anak ini terus membesar dengan sihat dan mampu untuk berdikari satu masa nanti...

Selamat Tahun Baru dari kami Kasihku Buat Nabila untuk semua pembaca di sini.. :)

18 June 2011

Penerimaan anak istimewa...

Sejak kebelakangan ini, saya lihat banyak drama berkisar tentang anak istimewa. Tak kisahlah apa jua jenis keistimewaan anak tersebut, dan jalan ceritanya banyak bertumpu pada penerimaan orang lain terhadap anak-anak seperti ini.

Saya baru sahaja melihat kisah 'Sedepa ke Syurga' . Rasanya cerita ini dah lama ditayangkan di Astro, tapi saya baru ada kesempatan untuk melihat cerita ini. Mungkin ada yang pernah tengok cerita ini kan?

Serius, saya menangis tengok cerita ini. Walaupun jalan ceritanya takdelah buat saya sampai meraung, tapi ianya cukup menyentuh rasa. Sebab saya sendiri tahu bagaimana perasaan anak itu. Ya, bukannya dia mahu untuk lahir ke dunia dengan keadaannya begitu. Dihina dan dicaci.... :(

Kadangkala saya tak faham. Mengapa masih ada lagi diluar sana yang masih belum menerima keadaan anak bila diketahui anak itu anak istimewa? Adakah salah dia lahir berkeadaan begitu? Memang sulit untuk menjaga anak istimewa. Saya akui! Namun, adakah kita patut sebagai insan normal memperlakukan anak seperti itu? Allah berikan kita akal. Harus digunakan sebaiknya dan tahu bagaimana cara untuk handle anak istimewa. Bukan dengan cara marah atau pukul.

Anak istimewa memang perlukan perhatian yang lebih dari kita sebagai ibu bapa. Kerna itu saya memilih untuk tidak memberikan Nabila adik untuk 3 tahun pertama selepas kelahirannya. Kerana saya mahu menumpukan lebih perhatian saya pada Nabila.

Adakalanya saya sendiri sebagai ibu yang melahirkan Nabila tidak memahami kehendak anak itu. Seperti contoh tadi, Nabila mengamuk sakan. Saya puas memujuk dan memeluknya agar dia diam dari menangis. Namun Nabila meronta, malah menunjukkan tanda-tanda marah yang amat pada saya dan Abang. Buntu. Serius saya buntu. Tak tahu apa yang harus dilakukan. Makan, minum, ubat, duduk di luar, naik buai, picit badan dan kepala..segalanya saya buat. Namun entah apa yang dimahukan lagi saya tak pasti.

Memang ada kalanya saya hilang sabar dengan Nabila. Ada juga kadangkala saya 'lepuk' di punggungnya. Kerana geram dengan tingkah lakunya yang suka mengamuk marah bila tak dapat apa yang dihajatinya. Namun, bila sudah marah, saya kesal dengan apa yang saya lakukan. Apalah dia tahu tentang hukuman. Biarpun Nabila sudah berusia 3 tahun, namun akalnya? Seperti bayi lagi...

Anak-anak ini memang perlukan pengorbanan yang lebih dari kita sebagai ibu bapa. Tak kiralah pengorbanan harta, masa dan diri sendiri. Diri sendiri? Yelah, kadangkala kita sendiri perlu masa untuk diri sendiri. Tapi saya? 98% adalah untuk Nabila dan ayahnya. Kira sajalah baki untuk diri sendiri. Sebab itulah 2-3 tahun selepas kelahiran Nabila diri saya kelihatan tidak terurus..

Bila diri dikhabarkan Nabila adalah insan istimewa, saya seperti tidak percaya. Bukan mudah untuk saya menerima keadaan dirinya. Namun, kerana kasih, saya terima semua ini. Dan saya tahu Allah telah merencanakan sesuatu yang terbaik buat saya. Dan hasilnya..Alhamdulillah. Saya lebih positif berbanding saya yang dulu sebelum berkahwin. Sikap saya juga berubah.

Anak ini tidak pernah lahir untuk menyusahkan kita. Malah anak inilah pemberi rezeki kepada kita. Rezeki yang tidak putus-putus. Syukur Alhamdulillah..

Andai ada yang baru tahu anak yang dilahirkan atau dikandung adalah istimewa, jagalah anak itu sebaik mungkin. Kerana mereka adalah sumber kekuatan kita. Walaupun serba kepayahan, hasilnya kita tahu menghargai setiap apa yang kita lakukan demi dirinya.....


~hadiah hari lahir yang terhebat dalam hidup saya. Gambar diambil sehari sebelum hari lahir saya. Untuk pertama kalinya saya memegang Nabila. Sangat syahdu kerana seminggu selepas dilahirkan, barulah saya ada kesempatan untuk memegang Nabila.Terharu... :( ~

14 April 2011

Nabila hampir tiada di dalam rahim ini..

Hati saya sedang risau mengenangkan rakan saya, sedang mengandung 39 minggu dan mengalami pendarahan ketika ini. Di tahan di wad pada Jumaat lepas dan doktor pakar menyarankannya supaya balik ke rumah. Bukaan sudah 3 cm. Semalam, menurutnya bayi tidak bergerak, dan hari ini khabarnya bayi bergerak semula. Namun pabila saya tanya sudah cukup kiraan 10 atau belum, katanya dia tidak pasti. Kini sakit kontraksi tiada, namun hatinya gusar untuk ke hospital semula. Saya doakan rakan saya selamat melahirkan bayinya. Saya pula yang panas punggung bila tahu keadaannya nih..hehe...

Bila cerita tentang mengandung dan bersalin, saya teringat kisah saya yang saya hampir kehilangan Nabila ketika dia berusia 8 minggu di dalam rahim saya.

Saya ingat lagi, saya sedang bekerja. Dan tiba-tiba mahu ke tandas. Dan sewaktu saya membuang air kecil, saya ternampak tompokan darah pada seluar saya, dan saya nampak titisan darah mengalir di celah kelangkang saya. Saya benar-benar panik. Dan semahunya saya berlari menuju ke arah rakan saya, Lisa. Saya berbisik dan pada masa yang sama, saya hampir menangis. Kerana menyangkakan Nabila sudah pergi meninggalkan saya.

Lisa cuba memujuk saya, dan beberapa rakan saya, Lily,Huda dan Aisyah juga menemani saya ke hospital. Sungguh hati saya tak keruan ketika itu. Dan pertama kali itu juga saya diperiksa oleh doktor lelaki. Malu, tersangat malu apatah lagi ramai doktor pelatih turut mengerumuni saya. Dan saya terdengar perkataan polip. Dan kemudiannya saya di suruh berehat di rumah.

Kejadian tersebut tidak mendatang apa-apa yang membahayakan nyawa Nabila ketika itu.
Kejadian kedua terjadi lagi. Dan kali ini sangat menggerunkan saya. Ianya seperti ketulan daging terjuntai di saluran faraj saya. Ya Allah..memang menakutkan ketika itu. Lantas, saya bergegas ke Hospital Kuala Kubu. Dan saya di tahan di sana untuk sehari.

Selepas di periksa oleh doktor di situ, mereka terpaksa memindahkan saya ke Hospital Sungai Buloh kerana di sana peralatannya lebih lengkap. Dan setelah di periksa, ianya adalah 'Threatened Misscarriage' atau dalam bahasa melayunya kehamilan yang hampir gugur. Dan setelah di tahan di wad, dan keadaan saya stabil, saya dibenarkan pulang dan kembali untuk pemeriksaan semula pada kehamilan saya berusia 20 minggu.

Alhamdulillah, Nabila saya masih bernyawa dan keadaannya sangat baik sekali. Namun, bila mengenangkan saat kelahirannya, saya diuji lagi. Dan ujian kali ini benar-benar membuatkan kehidupan kami bertiga berubah sama sekali. Namun saya tahu Allah telah berikan yang terbaik buat saya dan saya redha dengan ketentuan-Nya.

Oleh kerana itu, untuk kelahiran seterusnya, saya harus menjaga sebaik mungkin kesihatan saya. Diebetis yang saya alami ketika hamilkan Nabila membuatkan saya risau andai ianya hadir sekali lagi untuk anak yang kedua. :(

Nabila berusia 7 bulan di dalam rahim saya..:)

p/s: terima kasih pada rakan-rakan yang memberi pendapat tentang keadaan kawan saya di facebook hari ini. Saya sendiri sedang menunggu berita darinya. Doakan segalanya baik untuk kawan saya dan bayinya yek.. Terima kasih..:)

07 March 2011

Saya rindukan bau Nabila ketika bayi!

Benar! Melihatkan wajah-wajah Nabila ketika bayi, menggamit rindu saya pada kenangan lalu.

~Baby Nabila yang sangat tembam!~

~pic feveret saya!~

Selamanya Nabila tetap baby di mata saya....... :)

05 January 2011

Ada apa dengan nama?

Sedari Nabila di dalam perut lagi, kami telah memilih beberapa nama untuk Nabila. Doktor telah mengesahkan bahawa aku mengandung anak perempuan sewaktu Nabila berusia 6 bulan. Hatiku melonjak-lonjak kerana impian untuk memiliki anak perempuan tercapai. Pada mulanya firasatku kandungan ini adalah anak lelaki, akan tetapi, sewaktu doktor mengesahkan dan aku bertanya kepadanya berulang kali, sahih bayi dalam perut ini adalah perempuan.

Nama Yasmin Nabilah bukanlah nama yang menjadi pilihan aku pada awalnya. Namun, terpikat dengan perkataan Yasmin..dan bila disebut bunyinya yang lembut membuatkan aku memilih nama tersebut. Dan aku mula mencari maksudnya.

Yasmin yang bermaksud bunga melur sangat kurasakan sesuai untuk anak ini. Dan terbitnya perkataan Nabila pula pula bila melihat maksudnya yang baik. Nabila bermaksud yang cantik. Dan pabila di gabungkan kedua-dua maksud terhasillah Bunga Melur Yang Cantik.

Ya, aku akui, sememangnya anak ini cantik. Sangat indah dari pandangan mata ini. Walaupun dirinya tak sesempurna insan lain, namun aku bersyukur. Nabila lahir juga ke dunia ini untuk melihat ibu dan ayahnya. Biarlah dirinya serba kekurangan, namun bagiku 'di sana' nanti segalanya akan lengkap untuk dirinya. Tiada perkataan istimewa atau cacat bila dia berada 'di sana' nanti.

Sewaktu aku melihat Nabila untuk kali pertama, aku memanggil nama anak ini Yasmin. Namun, sedikit kejanggalan berlaku kerana bagi Abg, nama Yasmin lebih sesuai bila dipanggil untuk orang dewasa. Kata Abg lagi, baik panggil saja dengan nama Nabila. Dan bagiku, aku tak kisah semua itu. Janji anak itu sihat.

Namun, apa yang diimpikan tidak semuanya terlaksana. Dihari ketiga , Nabila di serang sawan dan itulah bermulanya titik hitam dalam hidup Nabila. Kesal tiada gunanya. Nak tak nak hidup ini mesti diteruskan jua.

Dan kali ini kedengaran, Nabila sudah dipanggil dengan panggilan "Kak Min" di kalangan keluarga dan jiranku. Lagaknya Nabila seperti sudah mempunyai adik. Dan aku mula memasang angan-angan untuk memiliki seorang anak lagi. Benar, hati mana tidak bergelodak melihat anak kecil yang sihat sedang bermain bersama kakaknya. Namun, aku harus bersabar. Sabar itu pastinya akan menghasilkan sesuatu yang indah nanti.

Di sekolah Tasputra, Nabila lebih dikenali dengan nama Yasmin, manakala di PDK pula, Nabila dikenali dengan nama Bella. Untuk kami berdua, lebih gemar memanggil Nabila dengan nama adik. Entahlah. Padaku, Nabila akan menjadi adik kepada adik-adiknya nanti. Dan adik-adiknya lah yang bakal menjaganya seperti Kakak dan Abg. Itulah hasratku.

Apapun, aku sangat suka dengan nama Yasmin Nabilah. Seindah nama, secantik dan seunik orangnya...

31 December 2010

Seribu kenangan..

Menjelang tahun baru, aku diserang demam. Sedari semalam, tekak terasa amat perit. Dan pada malamnya, aku sudah mula terasa pening dan selsema. Sudahlah semalam, aku terpaksa pulang lewat dari pejabat, gara-gara membawa Nabila ke PDK. Kemudian berkejaran ke Tasputra pula untuk sesi pendaftaran sekolahnya untuk tahun 2011.

Di PDK, anak ini semakin banyak akal. Seperti biasa aktiviti di dalam jakuzzi diteruskan. Sampai tertidur di dalam bathtub kerana keasyikan tubuhnya berada dalam air suam dan gelombang air yang memukul tubuhnya. Namun berhenti saja mesin itu, terus saja menangis. Mahu duduk lagi di dalam bathtub itu. Puas ku pujuk, tapi faham-faham sajalah perangai Nabila. Mengamuk sakan. Sampaikan bila ku bawa ke bilik snoozelon pun tak mampu untuk memujuknya. Dan sudahnya, terus aku mengangkat beg dan pulang ke rumah mak.

~sikit tak berdecit suara tuh bila dok dalam tub ni ~

Dan petangnya, aku bergegas ke sekolah Nabila. Sesi pendaftaran sudahpun bermula sejak pagi. Namun, aku mengambil keputusan untuk datang pada waktu petang. Selesai membayar yuran pendaftaran, terus berjumpa dengan OT dan Fisio therapistnya. Dan kami berbincang pelbagai perkara tentang Nabila. Macam hari perjumpaan ibu bapa. Cumanya, kami bukanlah berbincang tentang akedemik, tapi bercerita tentang perkembangan fizikal Nabila sepanjang berada di sekolah :)

Dan selesai urusan di Tasputra, aku pulang semula ke pejabat untuk menyiapkan baki-baki kerja sehingga jam 8.30 malam. Dan sewaktu pulang, badan memang dah tak larat nak bawa kereta ke Rawang. Dan sudahnya, aku mengambil keputusan untuk tidur saja di rumah mak.

..........................................................................

Untuk sepanjang 2010 ini, ku rasakan banyak perkara yang berlaku pada kami sekeluarga. Dan beberapa perubahan tentang Nabila tentang keputusan berat yang kami ambil demi kebaikan dia. Bagiku, bukan mudah untukku membuat keputusan ini, namun, demi kebaikan bersama, adalah lebih baik aku lakukannya.

Seperti sedia maklum Nabila sudah memulakan sesi sekolahnya di Tasputra Perkim di Ampang Hilir pada April yang lalu. Pada mulanya hati ini agak berat untuk meletakkannya di bawah jagaan orang lain, namun bila kufikirkan sedalam-dalamnya, sampai bila untuk aku memanjakannya di bawah jagaan neneknya. Sudahlah fisioterapi jarang-jarang sekali diadakan di hospital. Menunggu temujanji dengan Jabatan Rehabilitasi membuatkan masa itu terlalu panjang buatku. Dan aku tekad mahu menghantar Nabila ke sekolahnya.

~hari pertama Nabila di sekolah. Menemaninya untuk 2 hari di sana~

Dan pada tahun ini juga Nabila mendaftar di PDK pada bulan 7. Niatku hanya untuk menambah rawatan sedia ada. Mempelbagaikan cara serta kaedah dan mencari ilmu tentang anak CP untuk kegunaan Nabila. Alhamdulillah. pilihanku tepat. Memasukkan Nabila di PDK Kamii di Gombak satu perkara yang tidak sia-sia kulakukan buat Nabila.. :)

Kenangan manis untuk tahun ini, Nabila sudah boleh memusingkan badannya untuk posisi meniarap pada bulan puasa yang lalu. Berkat bulan puasa, Alhamdulillah, Nabila sudah dapat skill yang satu itu. Sedikit namun aku bersyukur. Sekurang-kurangnya Nabila melakukan sesuatu yang baik untuk tahun ini.

Begitu juga dengan makan. Nabila sudah kurang menangis ketika makan. Malah, aku dapat rasakan Nabila semakin kuat makan. Tubuhnya tampak berisi sedikit berbanding dulu. Syukur .. :)

Untuk pertama kalinya, kami bermalam di HKL. Semua ini gara-gara Nabila yang menangis tak tentu hala membuatkan semua orang tak tahu apa punca yang menyebabkan anak ini menangis berterusan. Namun aku menjangkakan Nabila mempunyai masalah sembelit. Hampir 3 hari juga kami ditahan, dan Alhamdulillah, Nabila semakin pulih. Cuma sejak kebelakangan ini, Nabila dilanda sembelit semula. Dan Selasa lepas, Nabila mengeluarkan najis berdarah. Sangat menakutkan bilamana najis Nabila tersekat di lubangnya. Dan kemudia ku nampak darah mengalir meleleh di celah pehanya. Aku menangis bila melihat keadaan Nabila. Seminggu sebelum itu, Nabila di serang sawan. Pernah kami berkejaran ke Sungai Buloh kerana sawan Nabila menyerangnya kembali. Namun, kami mengambil keputusan untuk tidak ditahan di wad.

Banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun ini, namun semua di atas adalah beberapa perkara yang kurasakan aku tak boleh untuk melupakan setiap detik gembira dan cemas bersama Nabila.

Dan ku harapkan tahun depan lebih menyinar dari tahun ini. Moga perjalanan bersama anak bernama Yasmin Nabilah akan terus lurus dan lancar hendaknya. Moga rezeki yang diberikan bertambah-tambah dan melimpah-ruah buat kami sekeluarga.. Amin..

Selamat Tahun Baru buat semua. Moga kalian diberi keceriaan yang lebih di tahun baru ini. InsyaAllah.. :)

25 December 2010

Manakan tahu kesusahan itu akan membawa kesenangan...

Melihatkan kisah Ahmad Albab di TV yang menangis tiada henti mengingatkan aku tentang Nabila sewaktunya kecil dahulu.

Nabila juga dahulunya begitu. Menangis sedari umur 1 bulan sehinggalah berusia 5 bulan. Pantang saja maghrib menjelang, tangisannya kedengaran sehinggalah tengah malam. Pelbagai cara dilakukan, namun tangisannnya sukar dihentikan.

Aku sendiri kurang pasti apa yang tak kena pada anak ini. Sehinggalah aku sendiri menangis tatkala melihat dirinya menangis tak henti-henti. Dan masih ku ingat ketika itu. Bulan puasa tahun 2008. Aku sudahpun pulang ke rumah ku di Rawang. Kononnya mahu hidup sendiri berdikari. Baru saja nak berbuka puasa, Nabila sudah terpekik-telolong. Sampai aku dan Abg terpaksa berbuka puasa secara bergilir kerana terpaksa menjaga Nabila.

Dan, ketika itu juga aku menghantar Nabila ke taska. Akibat penjagaan di taska yang tidak sempurna, aku terus pulang ke rumah mak semula di Gombak. Mak lah yang mengasuh Nabila sehingga Nabila berusia 2 tahun.

Dan tatkala kembali semula ke Gombak, Nabila sudah berhenti dari menangis. Mungkin juga dia tidak mahu berpisah dengan neneknya. Kata adik, mak menangis bila aku mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke Taska. Katanya Nabila masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Tak susuai untuknya dijaga disitu.

Dan kini, usianya hampir menginjak 3 tahun. Segala kenangan tangisan Nabila tetap kukuh dalam ingatan ini. Bagiku kesukaran untuk menjaga Nabila dulu, sudah nampak kesenangannya kini. Rezeki yang melimpah ruah, malah jalan untukku membesarkan anak ini dipermudahkan lagi. Anak ini pembawa rezeki pada kami. Alhamdulillah....

03 December 2010

Kenangan ini..

Beberapa gambar Nabila ku belek. Penuh dalam pendrive. Satu folder. Semuanya gambar-gambar Nabila yang lama. Dan tak sangka..Tahun depan Nabila sudah berusia 3 tahun.

Ya Allah..cepat benar masa itu berlalu. Dari hari pertama ku lihatnya, aku sudah jatuh cinta dengan anak ini. Biarpun lahirnya penuh dengan cubaan dan dugaan..anak ini sememangnya kuat. Mahu terus hidup dan melihat ibu dan ayahnya di dunia ini. Biarpun hidupnya nanti bakal serba kekurangan. Terima kasih Nabila kerana telah hadir dalam hidup ibu dan ayah.. :)

Ketika masih bayi. Kecil..dan sangat fragile..

Dalam pantang lagi..mata yang sangat cantik. Tapi bulu mata tak lebat lagi masa ni... :)

Raya pertama bersama Nabila. Sangat tembam dan gemok..hahaha..!!! Dan kembali duduk bersama mak dan ayah di Gombak setelah mengetahui 'keadaan' Nabila.. :(

Rambut lebat sangat..Semua ikut ayah..ala-ala ikal.. :) Yang tak suka adalah matanya ketika ini. Tapi dah besar-besar ni kurang sket julingnya.. :)

Apapun kekurangan anak ini, ku terima. Namun anak ini sebenarnya tak pernah kurang di mataku. Malah dialah segala-galanya bagiku.

Buat Nabila, ibu akan harungi segala kesusahan kita bersama. Takkan ibu tinggalkanmu sayang. Ibu tahu kamu anak yang kuat. Tabahkan hatimu sayang. Syurga pasti menantimu.. :)

30 November 2010

Tiada di Rawang..

Bersiaran dari pejabat..masih belum pulang walaupun jam dah menunjukkan pukul 8.00 malam. Sepanjang minggu ini penuh dengan kerja-kerja yang perlu disiapkan sebelum Jumaat ini. Ada majlis dari kementerian yang perlu kami sertai.
Dan sepanjang minggu..berada di rumah mak. Tak lalu pula rasanya meredah jalan yang gelap pekat ke Rawang. Dan badan ini terasa begitu penat melayan kerenah kereta yang dah semakin semput. Kebetulan pula, Abg bekerja malam sepanjang minggu ini. Sudahpun meminta keizinan untuk bermalam di rumah mak. Mujur Abg faham. Dia juga risau melihat aku berulang alik dan duduk berdua di rumah bersama Nabila pada waktu malam.
Dan 2 minggu ni..2 majlis perkahwinan bakal berlangsung dalam keluarga kami. Satu sebelah aku dan satu lagi sebelah Abg. Kedua-duanya sepupu kami. Dan keadaan agak sibuk. Sepupuku, Mimi sibuk melakukan persiapan akhir sebelum majlisnya. Sempat aku berjumpa dengannya semalam untuk menghantarkan tudung dan selendang yang pernah ku gunakan dulu sewaktu akad nikahku berlangsung. Rupanya sudah 2 pengantin termasuk sepupuku menggunakan tudung dan selendang tersebut. Dahulu sebelum Mimi, pengapitku juga pernah menggunakannya. Dan sayangnya, pengapitku, Ija telah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya setelah berkahwin dengan suaminya genap 2 bulan. Sedih bila mengenangkan saat-saat bersama dengan Ija yang juga kawan baikku sewaktu kecil. :(
Dan minggu ini, aku tak pasti sama ada aku dapat membawa Nabila ke hospital atau tidak. Nabila ada appointment dengan Fisio dan OCC Jumaat ini. Semua ini disebabkan majlis yang bakal berlangsung pada Jumaat ini . Aduhai..Kalau kancil ok, sudah tentu ayah Nabila boleh membawanya ke hospital. Masih terfikir-fikir sama ada mahu menukar appointment atau tidak.
Dan rasanya pasti sekarang ini Nabila sedang mencari aku. Semalam pulang lewat juga, Nabila sudah memanggil-manggil namaku.. "bu..bu..." Dan neneknya pula menjawab.. "Bu tak balik lagi.." Aduhai..kesiannya Nabila.. harap sangat kerja-kerja ini diselesaikan dengan cepat.. :(

23 November 2010

Saat diri ini mula menerima hakikat itu...

Suatu ketika dulu, aku pernah jatuh terduduk bila mengetahui nasib Nabila. Menangis tak henti bila mengenangkan dirinya tidak seperti orang lain. Di pejabat, hati ini tidak tenteram. Tidak dapat fokus kerja-kerja di pejabat dek mengenangkan Nabila.
Dan saat itu juga , aku mula melayari internet. Mencari maklumat tentang cerebral palsy. Dan aku mula menjumpai seorang demi seorang yang senasib dengan Nabila. Rupanya aku tidak keseorangan. Ramai di sana yang mempunyai nasib sepertiku. Dan ketika inilah, aku sudah mula menerima keadaan Nabila.
Semangat demi semangat ku bina demi Nabila. Dan harus tidak boleh merasa diri ini malang. Aku bergaul dengan rakan-rakan yang senasib denganku. Sehinggalah adanya 8 keluarga yang kupanggil Family Superkids.
Setiap mereka yang hadir pemberi semangat padaku. Anak-anak mereka juga adalah anakku. Walaupun bukan lahir dari rahim ini, namun sayangnya pada mereka sama seperti aku menyayangi Nabila. Dan hadirnya keluarga yang lain telah memberi sinar dan harapan untuk kami terus bangkit dan cuba membantu antara satu sama lain.
Bagiku, andai kita dikurniakan anugerah teristimewa ini, tak perlu takut atau bimbang. Banyak peluang untuk anak-anak ini untuk terus hidup dan memperoleh pendidikan khas untuk mereka. Dan sebagai ibubapa, usaha demi usaha berlipat kali ganda untuk anak-anak ini. Sabar serta tabah menghadapi dugaan ini. Memang perit untuk ditelan, namun hidup perlu di teruskan. Anak-anak ini adalah anugerah yang paling bernilai dan berharga yang pernah hadir dalam hidup kita.
Usah gusar atau ragu. Bertanya dan berkawan dengan rakan senasib adalah jalan yang paling tepat sekali untuk kita memperoleh semangat demi anak-anak ini. Padaku, andai aku jatuh hari ini, esok aku akan cuba bangun semula. Biarpun terpaksa merangkak untuk mencari secebis kekuatan demi anak yang bernama Yasmin Nabilah.

13 October 2010

Andai ku tahu apa yang akan berlaku..takkan kubiarkan ianya merosakkan anakku..

Saya membelek-membelek gambar-gambar Nabila sewaktu kecil..Dan mata ini terhenti pada gambar ini..


Seingat saya, gambar ini diambil ketika Nabila berusia 5 bulan. Dan Nabila nampak tegap sekali sewaktu meniarap. Dan saat ini.. Nabila hanya mampu......


......... mengangkat hanya sedikit sahaja kepalanya ketika meniarap. :(

Dimanakah silapnya? Dimanakah hilangnya skill-skill Nabila dahulu.. ?

Entahlah..saya sendiri kurang pasti. Saya sebenarnya kurang mengingati zaman Nabila kecil-kecil dahulu. Sama ada saya memang tak ingat atau saya sendiri tak mahu ingat..saya kurang pasti. Cuma gambar-gambar ini menjadi saksi bahawa Nabila bukan semakin bagus..malah semakin teruk.

Saya ingat suatu ketika dahulu..Nabila demam panas dan matanya terkedip-kedip laju sewaktu Nabila berusia 1 tahun. Mata kedip-kedip itu menunjukkan Nabila di serang sawan sebenarnya. Namun, saya terlambat untuk membawanya berjumpa pakar kerana kejahilan ini tentang penyakit sawannya. Saya kurang mengambil maklumat mengenai sawan..sedangkan saya tahu sawan itu akan meragut sedikit demi sedikit apa yang ada dalam otaknya.

Dan kini..Skill berpusing sudahpun dia kuasai. Cuma kadangkala tersasar kerana bahagian sebelah kirinya belum cukup kuat untuknya berpusing. Melihatkan perbezaan gambar-gambar ini membuatkan hati ini sayu..Andai saya tahu semua ini akan berlaku..pastinya saya akan cuba elak dari Nabila terus menerus di serang sawan. Dan rasanya mungkin juga mampu menyelamatkan Nabila ketika itu.

Sesal tiada gunanya. Saya lemah tak berdaya untuk semua ini. Hanya diri ini mampu mendoakan anak ini sentiasa selamat dari penyakit yang satu itu. Sememangnya ia sangat menakutkan.

12 October 2010

Senyuman itu..

Hati ini terpaut tatkala melihat senyumannya yang ini...

Manis sekali bila melihat wajah anak dara ini. Persis ayahnya..cuma berkulit cerah sepertiku..

...................................................

Pertama kali aku melihatnya tersenyum ketika dirinya berusia hampir 3 bulan...


Tidak pasti bilakah masanya gambar ini diambil..tapi melihatkan tarikh pada gambar..Nabila belum lagi berusia 3 bulan..

.................................................................


Mahu senyuman itu terus kekal diwajahnya. Umpama bulan yang bercahaya di wajah anak ini. Moga keceriaan kekal di dalam dirinya. InsyaAllah..:)

02 October 2010

Pengorbanan si ibu tetapi si anak yang terkorban...

Memikirkan pengorbanan yang telah ku lakukan, rasanya masih kecil jika dibandingkan apa yang Nabila korbankan untuk dirinya bagi untuk terus hidup di bumi Allah ini.

Mengapa pula ku katakan begitu?

Lihat saja sewaktu aku melahirkan Nabila dulu. Susah payah untuk mengeluarkannya melalui cara normal, akhirnya membawa kepada siri pembedahan bagi mengeluarkan si kecil ini. Kadangkala timbul rasa sedih di hati dan tak menyangka bahawa aku telahpun melahirkan Nabila namun gagal menyelamatkannya dari lemas.

Aku sendiri gagal menyelamatkan anakku...!!!

Bila mengenangkan nasib dirinya, aku sendiri tak dapat membayangkan apakah yang akan berlaku pada Nabila 10 atau 20 tahun akan datang. Adakah Nabila sudah berjalan dan pandai menguruskan diri ketika itu? Atau hanya terlantar meraih simpati pada ibunya. Aku tak dapat membayangkan semua itu.

Kelmarin, kata mak, dia termimpikan Nabila berjalan. Katanya nampak seperti berada di realiti. Nabila bangun dan berlari keluar rumah. Dan mak, mengejarnya ke sana dan kemari. Dan mak ternampak Abg sedang tertawa melihat Nabila yang sudah mendapat kaki ketika itu.

Bukan sekali dua kami sekeluarga mimpikan perkara ini. Malah sudah banyak kali. Mak mertua aku juga pernah mimpikan perkara yang sama. Aku? Lagilah banyak..entah berapa kali..aku tak pasti. Yang pasti, aku teruja dan bahagia sangat ketika itu. Mungkin hati ini terlalu inginkan Nabila berjalan, sampai termimpi-mimpi.

Pengorbanan yang aku lakukan sepanjang sebulan ini aku rasakan tidak mencukupi. Malah aku mahu lebih dari itu. Mahu Nabila dapat lebih dari yang harapkan. Namun, aku hanya merancang, tetapi Allah jua yang menentukan.

'Terkorbannya' Nabila sewaktu dilahirkan membawa impak yang besar dalam hidup kami bertiga. Dahulunya, aku tidak ambil pusing tentang penyakit-penyakit atau keadaan sekeliling, namun kehadiran Nabila banyak merubah hidup ini. Tak sia-sia sebenarnya Nabila mengorbankan diri semata-mata untuk mengubah hidup ibunya. Ya..mungkin kalian tak mengerti maksudku. Aku dahulu seorang yang baran. Malah amarahku menakutkan orang. Namun kehadiran Nabila banyak merubah sikapku supaya lebih bersabar dan redha dengan ketentuan-Nya. Dan yang paling penting menjadikan aku seorang yang lebih kuat berusaha. Berusaha memulihkan si anak, seorang Cerebral Palsy.

Aku juga tahu besarnya pengorbanan seorang ibu membesarkan si anak. Melahirkan, membesarkan, mendidik dan memberikan pelajaran yang secukupnya buat anak sememangnya tanggungjawab seoarang ibu. Namun aku dapat rasakan pengorbanan si anak istimewa yang merelakan tubuhnya menjadi ujikaji doktor, di uli setiap hari bagi memastikan dia terus mendapat rawatan yang berterusan.

Andai ku boleh menggantikan tubuh badan ini untuknya, sudah lama aku lakukan. Aku sanggup lakukan semua ini bagi memastikan dirinya sentiasa ceria dan sepatutnya dia sedang bergembira di taman permainan dan bukannya hidup semasa kecil ini dipenuhi dengan temujanji doktor . Namun..itu hanya impian..Dan tak pasti bilakah akan tercapainya impian itu..