Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

Showing posts with label Pengenalan. Show all posts
Showing posts with label Pengenalan. Show all posts

06 January 2009

Wajah-wajah Nabila selepas keluar di NICU.

Beberapa keping gambar saya letakkan di sini. Semuanya gambar selepas Nabila keluar NICU. Saya dikehendaki menjaga Nabila dengan baik kerana doktor telah berpesan sebelum discharge. Kemungkinan serangan sawan akan berlaku lagi. Jadi saya dikehendaki menjaga Nabila dan memerhatikan tindak tanduknya.

~hehe..gambar no.2 ayah Nabila botak..abg nazar botakkan kepala kalau Nabila keluar hospital...~


Nabila di NICU..

Sehari lepas Nabila lahir, saya terus berjumpa Nabila di NICU. Tidak sabar rasanya ingin melihat wajah Nabila adakah menyerupai saya atau menyerupai Abg. Abg membawa saya ke sana dengan menaiki kerusi roda dan sewaktu kaki ini melangkah ke wad NICU, saya berdebar.

Kemudian saya bertanya kepada nurse dimanakah Nabila dan lantas dia menunjukkan kedudukan Nabila. Saya masih ingat Nabila dihujung sekali. Berdekatan dengan sinki. Abg terus menolak saya menuju ke katil Nabila dan bila saya dapat melihat wajah Nabila, terasa seperti ingin menangis kerana melihatkan wayar yang berbelit pada badannya. Kemudian kepala Nabila juga berbalut.

Rupanya Nabila seiras dengan paksunya, Pudin..hehe. Comelnya. Putih betul..tak sia-sia rasanya minum soya setiap hari . Dan inilah wajahnya..

~comel kan..walaupun wayar berbelit kat muka.~

~gambar penuh satu badan. Nabila macam sedar tak sedar. Banyak makan ubat kot~

~Jari jemari saya memegang tangan Nabila~

Saya tidak dapat mendukung Nabila kerana wayar-wayar itu penuh satu badan Nabila. Dan kami dikehendaki membasuh tangan terlebih dahulu sebelum menyentuh Nabila. Saya tidak melepaskan peluang. Saya menyentuh anggota tubuhnya dan Nabila seakan sedar tindakan saya dan Abg. Mungkin Nabila tidak berdaya untuk bergerak. Ubat yang banyak tambahan pula dengan ubat sawan. Melihatkan Nabila saya menjadi sayu. Kecik-kecil lagi sudah kena di duga dengan cabaran di dunia . Tabahkan hatimu wahai anakku..

Kemudian setiap hari saya akan melihatnya di NICU. Abg menyorong perlahan saya ke NICU. Pabila malam saya menangis. Saya melihat sekeliling saya, semuaibu-ibu memeluk anak, sedangka saya? Keseorangan! Dan Nabila pasti perlukan saya ketika ini.

Susu badan hari pertama dan kedua sedikit pun tak keluar. Saya seperti rasa ingin nangis. Nabila pula dikehendaki berpuasa selama 3 hari.

Saya mencari jalan untuk saya keluarkan susu badan ini. Pada awalnya saya hanya memakai pam bateri yang saya beli semasa mengandung dahulu, namun gagal. Saya cuba bertanya pada nurse dan dia menyarankan saya untuk menggunakan pam elektrik di bilik penyusuan. Menurutnya lagi ia akan mendatangkan rasa sakit, namun saya tak ambil kisah Janji susunya keluar!

Hari ke-3, Nabila sudah boleh untuk minum susu, tetapi melalui ryles tube. Saya dikehendaki mengepam dalam 60 ml utk nabila minum sekali. Pada awalnya sakit sewaktu mengepam dan lama-kelamaan bila saya pam susu keluar dengan banyaknya.

Hari ke-5, Isnin 21 April 2008 saya dibenarkan keluar dari hospital. Luka pembedahan saya sudahpun dah kering .Dan Doktor Sarah, yang menyambut Nabila berpesan pada saya andai saya ingin duduk di katil di NICU itu, dia boleh sahaja siapkan. Segalanya memudahkan saya untuk melihat Nabila. Saya gembira dan tengahari saya discharge keluar dan terus duduk di katil di NICU pula.

Entah kenapa badan saya mulai penat. Kemudian breast saya terasa keras. Terasa seperti nak demam susu pun ada. Saya berborak dengan akak di sebelah katil saya. Saya tidak ingat anaknya kenapa dan saya tidak mahu bertanya lebih lanjut. Dia juga pun sudah seminggu berada di situ.

Hujan di luar menambahkan lagi sengsara ini. Saya terasa amat sejuk kerana aircond di NICU kuat. Kemudian saya dapat merasakan dada ni seperti nak semput.

Saya tidak berkesempatan untuk melihat Nabila. Abg pula balik ke rumah sekejap. Saya menelefon Abg untuk datang menyapukan minyak panas ditubuh ini..

Saya sudah terfikir untuk pulang. Sudah lain benar badan ni. Saya menelefon mak dan kata mak adalah baiknya aku menunggu Nabila di rumah sahaja.

Sewaktu pulang ke rumah mak, saya menangis. Saya sedih kerana terpaksa meninggalkan Nabila keseorangan. Sepanjang perjalanan saya menangis saja.


Tiba di rumah mak, mak terus memasak nasi panas ngan goreng ikan bilis dan lada hitam sket. semuanya untuk menghangatkan tubuh ini.

Malam tu saya dan Abg menangis bersama-sama. Tak tertahan rasanya dugaan ini . Saya kaihankan melihat Abg. Katanya sepanjang saya di hospital, dia menangis seorang diri dirumah . Bila mengenangkan aku dengan Nabila, mungkin ni semua Allah nak uji sejauh mana saya dan Abg menghadapi dugaan-Nya.Ni saya letakkan lagi gambar Nabila sepanjang kat hospital..





Kelahiran yang istimewa..

Sambung dari entry sebelum ni. Saya sakit pada subuh 16 April 2008, keluar tanda dan terus ke hospital. Nurse terus menahan saya kerana laluan sudah terbuka sebanyak 1 cm. Pada mulanya saya tak merasa sakit langsung. Saya lihat wanita India di hadapan katil saya itu sudah terjerit-jerit kesakitan.

Lalu saya terfikir sakit sangatkah? Akhirnya saya mulai merasai sakitnya sedari jam 8 pagi. Nurse menyuruh saya mengira kesakitan itu setiap berapa minit. Saya kira-kira ada dalam 10 minit setiap kontraksi tu. Abg ada di ruang menunggu, menantikan saya. Kasihan Abg. Saya menyuruh dia balik. Dan dalam pukul tiga Abg datang semula, tengok saya masih lagi belum bersalin. Bukaan baru 3cm. Lambat sangat dan saya tengok seorang demi seorang sudah memenuhi ruang menunggu bilik bersalin. Semua sedang mengerang kesakitan. Wajah masing-masing berkerut-kerut. Saya cuba untuk berjalan-jalan untuk menghilangkan rasa sakit, namun itulah, nanti tenaga meneran tiada pula.

Malam..

Ayah dan Adik saya datang, Ayah membawakan milo panas untuk saya, tapi ketika itu saya sudah sakit teruk. Kontraksi setiap 5 minit. Perghh...Tak tahan rasanya. Nak duduk rasa tak boleh, berdiri apatah lagi. Saya ke sana dan ke mari menahan kesakitan dan sudahnya saya menyuruh ayah dan adik pulang. Abg masih ruang menunggu dan saya dikehendaki masuk semula kerana risau nurse mencari pula..

Menjelang pukul 1 pagi, saya tidak boleh melelapkan mata. Sakit yang teramat sangat dan saya asyik ke tandas. Di tambah pula saya seperti mahu tidur di dalam tandas terasa seperti mahu membuang. Jam 5 pagi, saya sudah rasa seperti nyawa dicabut. Saya pekup muka saya pada bantal dan kemudian menjerit. Nurse berpesan pada saya untuk tidak melakukannya lagi namun saya buntu. Sudah tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Sudah bermacam-macam potongan ayat saya baca namun itulah, kuasa Allah. Mahu menunjukkan betapa susahnya melahirkan anak.

Akhirnya jam 8 pagi saya ditolak ke bilik bersalin. Itu pun bukaan baru 4 cm. Lamanya untuk sampai 10 cm lagi.Saya sendiri sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana di dalam itu bukannya boleh untuk saya berjalan-jalan seperti di luar. Sentiasa berada di atas katil kerana nurse ingin memantau Nabila.

Tepat jam 2.00 ptg, barulah bukaan 10 cm dan nurse menyuruh saya meneran. Saya cuba untuk meneran namun Nabila tidak keluar juga. Pada mulanya hanya ada 2 org sahaja di dalam bilik saya, dan kemudian semakin lama semakin ramai. Agaknya melihatkan saya sukar untuk meneran dan sudah pelbagai cara dilakukan. Memasang alat di kaki supaya kaki terbuka luas namun Nabila masih belum keluar juga. Dan doktor mengambil keputusan untuk vakum Nabila. Itupun setelah hampir sejam saya meneran.

Kepala Nabila sebenarnya sudah kelihatan , cuma entah kenapa masih tidak boleh keluar. Kemudian doktor cuba untuk vakum sebanyak 2 kali.

Sayangnya selepas vakum, Nabila masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda berjaya keluar. Dan menurut doktor saya terpaksa dibedah. Tatkala saya mendengar kata doktor tersebut membuatkan saya lebih takut.

Doktor terus menolak balik kepala Nabila masuk semula ke dalam rahim dan terus menyiapkan saya untuk masuk ke bilik bedah. Masa itu hanya Tuhan sahaja perasaan saya. Saya tidak menyangka bahawa saya bakal dibedah..

Ketika di bilik bedah,saya sememangnya sudah tiada punya tenaga. Saya kepenatan. Sebaik sahaja di cucuk ubat bius saya terus tidak sedarkan diri. Saya hanya sedar ketika doktor mahu menjahit bahagian bawah yang telah digunting sewaktu vakum tadi. Semua beramai-ramai menolak kaki saya dan pastinya saya tidak merasa langsung kaki ini. Saya sempat bertanya adakah Nabila sudah keluar atau tidak namun nurse hanya mendiamkan diri. Mungkin juga dia tidak mendengar pertanyaan saya.

Selesai semuanya, saya keluar dari bilik bedah dan tidak silap saya, saya sempat melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 6 petang.

Pukul 7 malam, saya dihantar ke wad. Saya seperti separuh sedarkan diri dan kemudian mak saya datang melihat saya. Hanya sekejap sahaja kerana mahu menghantar barang-barang. Dan kemudian Abg pula masuk dan katanya esok dia akan dtg lagi. Menurut Abg, Nabila dimasukkan ke NICU kerana tertelan air ketuban dan najis. Saya menjangkakan kemungkinan Nabila baik-baik sahaja kerana ada juga anak-anak yang tertelan air ketuban dan najis tapi baik-baik saja selepas itu. Namun saya tidak menyangka inilah permulaan kisah duka saya, Abg dan Nabila...

Pengenalan diri saya, suami dan Yasmin Nabilah..

Saya berkahwin dengan suami pada 26/05/2007 setelah kami berkawan hampir 6 tahun. Kami berjumpa ketika sama-sama belajar di Adtec Shah Alam.satu kelas..dalam Teknologi Kejuruteraan Mekatronik..setelah 2 bulan berkahwin..saya disahkan hamil dan kebetulan saya mendapat pekerjaan baru, sektor kerajaan. Mungkin rezeki anak. Yasmin Nabilah dijangka lahir pada 2O April 2008, selang 6 hari sebelum tarikh lahir saya. Seronok kalau Nabila sama hari lahir dgn saya, tapi perasaan bimbang tetap ada..takut2 apa2 jadi pada kandungan saya nanti.

Masa saya mengandungkan Nabila saya tidak pernah rasa mabuk atau loya-loya seperti wanita lain yang mengandung. Entah, nampak elok saja saya ke office. Masa itu pula sibuk dengan persiapan pilihanraya. Sebagai pekerja baru macam-macam juga yang telah saya pelajari. Mengandung tidak menjadi beban pada saya untuk ke kursus atau seminar yang telah diadakan oleh Jabatan. Mungkin Nabila tahu ibunya banyak kerja dan tidak mahu menyusahkan ibunya. Pernah sekali saya pulang dari pejabat jam 12 malam ke Rawang. Kawan-kawan office mahu saya balik ke rumah mak di Gombak, tapi saya malas. Malas untuk mengejutkan mak dan ayah untuk membuka pintu. Alhamdulillah mujur tiada apa-apa yang terjadi. Nasib baik..

Beberapa hari sebelum hari jangkaan bersalin, saya sudah mengambil cuti untuk besiap sedia. Yelah, kalau kerja nanti takut pula bersalin kat office. Susah pula nanti kawan-kawan saya untuk menghantar ke hospital. Abg pula kerja malam pada minggu itu. Dan pada subuh Rabu, 16 April 2008, saya terasa ada sesuatu yang meleleh, Lantas saya terus ke tandas dan saya dapati ada darah keluar. Saya terus menelefon Abg untuk menyuruhnya dia balik ke rumah Dengan perasaan takut, saya dan Abg terus ke Hospital Sungai Buloh. Yang kelakarnya, saya menyuruh Abg membawa kereta perlahan. Tak perlu untuk gopoh sangat kerana aku tak merasa sakit seperti orang yang akan bersalin. Sampai di hospital, Nurse memeriksa saya, dan saya terpaksa di tahan. Nanti saya menceritakan perkara selanjutnya ketika saya berada di hospital. Namun sebelum itu, saya ingin tunjukkan gambar kahwin saya bersama Abg..

~Gambar masa malam berinai~

~Gambar selepas akad nikah..~

~inilah pelamin saya..hehe~