Saya tetap berjaga-jaga. Sentiasa memantau pergerakan adik baby. Ruang semakin sempit dan mungkin adik baby makin sukar untuk bergerak. Namun, pergerakannya tetap aktif. Kadang kala terasa seperti kakinya menolak kuat sampaikan perut ini bergerak ke kiri dan kanan. Mungkin dia sedang mencari keselesaan di dalam perut ibu.
Wahai hati..kuatkan semangat ini. Ya Allah, berikan kekuatan untuk ku terus menjaga diri, adik baby dan juga kakaknya Nabila. Sungguh hati saya ralat tidak dapat menjaganya seperti dulu. Pergerakan terhad, membuatkan hati saya sayu melihat Nabila hanya terbaring bermain seorang diri. Saya cuba memangku Nabila sambil mengambil tangan kanannya mengusap perut saya. Kata saya, "adik baby dalam perut ni.. Nanti kakak Nabila sayang adik baby..Adik baby pun sayang kakak Nabila". Dan tak disangka..tendangan kecil dalam perut. Sepertinya adik baby mendengar apa yang saya ucapkan. Ya Allah betapa besarnya kuasaMu. Berikanlah kesempatan kepada kedua adik beradik ini merasai nikmat untuk bersama dan menyayangi antara satu sama lain.
Kelmarin, saya perasan tentang sesuatu pada Nabila..
Kelihatan seperti bengkak di kaki. Abang cuba untuk memotong sedikit kuku dan dapati sedikit nanah keluar melalui celah kuku tersebut. Aduhai anak. Pastinya sudah beberapa hari kamu menanggung kesakitan ini. Maafkan ibu sayang kerana tak perasan akan kakimu ini. Dan bila dibuang nanah tersebut, nampak wajah Nabila sedikit tenang..
Sudah ke klinik tadi dan diberi antibiotik serta ubat sapu untuknya. Harapnya makin surut. Tadi pegang pun dia tak menangis sakit. Hanya diam dan memandang saya. Mungkin kesakitan sudah hilang...
Dan kelmarin, saya mengambil kerusi ini dari Mummy Rizki. Memikirkan jika saya berpantang nanti, susah untuk Nabila makan dalam keadaan baring. Cukup merisaukan lagi..Nabila kembali dengan perangai dulu. Mudah tersedak! Perkara yang paling saya bimbangkan sekarang ini. Entah kenapa masalah menelan kembali semula. Jika dulu, saya nampak perbezaan, tapi kini sepertinya Nabila sudah lupa menelan makanan dan minum susu dengan betul. Adakah kerana serangan sawan baru-baru ini...? Entahlah..saya kurang pasti. Saya cukup berjaga-jaga kali ini. Tidak mahu Nabila tersedak seperti dulu.. :(
Moga perjalanan di hari mendatang lebih baik sepanjang bulan Oktober. Dan saya berdoa agar berita baik saya perolehi bulan ini terutama mengenai kehadiran adik baby nanti..Amin....
No comments:
Post a Comment