Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

08 November 2012

Nabila @ Wanita Hari Ini TV3

Semalam, wajah Nabila di Wanita Hari Ini. Tajuk Bayi Lemas Dalam Kandungan...

Macamana boleh keluar TV lak neh?!

Sebenarnya, saya dikhabarkan oleh rakan-rakan yang pengacara WHI Hasfizza mencari maklumat mengenai pengalaman ibu yang mempunyai anak lemas dalam kandungan. Teringatkan kisah Nabila, maka saya cuba e-mel pada Hasfizza untuk bercerita mengenai pengalaman saya. Niat hanya mahu memberikan info padanya saja. Tak terlintas langsung untuk masuk tv atau sebagainya. Dan saya selitkan nama blog ini untuk memudahkan beliau mencari maklumat dan pengalaman saya mengenai anak lemas.

Namun, tak sampai 2 minit selesai saya e-mel padanya, telefon saya berbunyi. Private number? Dalam hati meneka-neka lah sapa yang call. Rupanya Hasfizza si pengacara..

Dia bertanya saya tinggal di mana dan kemudian mahu menemubual saya. Katanya mahu mengambil gambar saya dan Nabila sekali. Saya agak terkejut pada awalnya. Namun, bila memikirkan untuk berkongsi pengalaman saya bersama orang lain, tak salah untuk saya menerima pelawaannya. Lantas, saya bersetuju. Cumanya, saya beritahu yang saya masih dalam pantang, dan jika mahu wawancara, hanya di rumah sajalah...

Dan Jumaat 2 November, dia call saya lagi. Kebetulan saya sedang sibuk berada di klinik membawa Naufal untuk pemeriksaan jaundis. Perbualan ringkas dan katanya mahu datang ke rumah pada hari Isnin untuk sesi temubual.

Sebenarnya tiada sebarang persiapan dilakukan. Hatta tiada ayat atau skrip yang saya rangka untuk bercerita. Kerana setiap apa yang berlaku masih kuat utuh dalam ingatan saya. Bagai putaran wayang kembali tatkala saya menutur ayat-ayat penceritaan tentang kisah Nabila. Sayu, sedih, geram usah cerita. Banyak pahit dari manisnya...

Namun, bila melihatkan Hasfizza, dia sepertinya mengerti perasaan saya ketika itu. Tampak dirinya sayu memandang Nabila. Mungkin juga mengerti perasaan saya ketika itu...

Apapun, bukan glamor yang saya kejar. Hanya sedikit kisah saya untuk tatapan semua. Sebagai peringatan dan pengajaran pada mereka yang melahirkan anak-anak nanti. Sungguh hati saya sayu melihatkan nasib Nabila akan datang. Tak tahu apa yang akan terjadi kepada Nabila kelak. Kalau boleh kisah saya dijadikan iktibar pada semua. Teringat sewaktu melahirkan Naufal, saya menceritakan juga kisah saya kepada mereka yang sedang menunggu saat kelahiran anak mereka. Ya, pada mereka amat mengerikan, namun mereka harus tahu kesan-kesan anak lemas dalam kandungan. Agar nasib anak mereka tidak seperti Nabila...


Sedikit video untuk tatapan semua. Sori rakaman tak berapa jelas. Susah nau nak rekod..hehe..

p/s : Nama Abang silap la pulak..huhu...

05 November 2012

Bila sudah beranak dua...

Hurm..Aktiviti dalam pantang memang sangat membosankan. Apatah lagi itu dan ini memang tak boleh dilakukan. Bab makan apatah lagi.. Dek kerana risaukan luka c-sear yang belum pulih sepenuhnya, saya pendamkan saja hasrat untuk makan makanan sedap-sedap. Bayangkan sajalah, waktu Hari Raya Haji lepas, saya baru saja seminggu dalam tempoh pantang. Mak pulak masak sedap-sedap.. Nasi impit, kuah kacang, lodeh, bihun sup...Adoiyaiiii..telan air liur sajalah. Semalam, mak buat laksa..Aromanya..adoiiii..menusuk kalbu.. Sabar jelah Noina oiiii!!!

Tapi yang tak bosan aktiviti dalam pantang ni, dapat melihat kedua-dua anak kecil saya. Memang tak menang tangan dibuatnya. Lagi-lagi si Naufal yang 'cerdik akalnya'.. Suka benar menjerit mengeliat macam nak marah pun ada..lepas tu diam sambung tidur.  Kadang-kadang naik confuse saya di buatnya. Naufal ni bangun menangis nak susu ke hapa? Bila dah dtg dekat, dia diam lena tidur..Aisshhhh...

 ::peluklah saya..::

Yang si Kakak Nabila, bila adik menangis, dia diam. Pastu senyum-senyum. Bila letakkan adik di pangkuannya, agak buas si Nabila ni. Agaknya dia ingat anak patung kut..main tolak je si adik. Adoiii..Tak boleh biar begini. Yelah, saya faham. Nabila kan corticall blindness. Hurm..Bab objek tak taulah progress mata dia camne. Nampak ke tidak.. saya tak pasti.

Tapi bila dua-dua mintak perhatian, mulalah saya kalut. Rasa mau dua-dua saya peluk dan layan. Tapi kakak kompem kalah dengan si adik. Lebih-lebih lagi si adik breastfeeding. Hurm..memang tak boleh gerak ke manalah. Dah jadi patung ibu. Terpaksalah mintak bantuan mak atau ayah Nabila untuk layan si kakak..huhu...

Ok..ni bukan komplen yek. Cuma tengah sesuaikan dengan suasana beranak dua ni. Lagi-lagi anak tipikal dan anak istimewa yang sama-sama penting pada saya. Hurm..terfikir rasa mau Naufal cepat-cepat besar. hehe.. Senang sok nak mintak tolong si adik tolong ibu jagakan kakak.. :) Dan paling best, mungkin perkembangan si kakak lebih baik dari sekarang. Manakan tau?

InsyaAllah... :)

02 November 2012

Resah hati ibu..Sendu di hati Nabila..

Sudah hampir 10 hari Naufal jaundice.. Dan dalam 10 hari juga hati ibu risau..Bermacam cara dan kaedah saya lakukan. Minum susu kambinglah, air kuninglah, makan anggurlah, mandi daun kucai..macam-macam petua saya cuba, tapi jaundice naufal tetap diangka yang sama.

Walaupun sudah turun sedikit, tapi angkanya masih 200++ . Dan sebenarnya, saya sudah tidak berani untuk melakukan pelbagai perkara lagi. Breastfeeding? Usah cakaplah. sekerap mungkin saya bagi. Sejam ke sejam setengah, pasti Naufal bangun untuk menyusu. Tak perlu tunggu saya mengejutkannya.

Susu saya pula? Banyak..dan saya siap minum susu, horlick dan makan sayuran untuk menambahkan susu badan saya. Benda yang berkaitan dnegan lada hitam, halia atau jamu-jamu ubat-ubatan memang saya tolak ke tepi. Tak makan..semata-mata kerana Naufal. Mujur badan takdelah sakit sangat, cuma saya terasa sakit di bahagian tulang punggung dan pinggang.. :(

Tadi ke klinik, dan doktor klinik kesihatan menyarankan saya ke HKL untuk pemeriksaan lanjut. Hurm..maybe ambil darah lagi dan tengok apa yang patut pada Naufal. Dalam waktu-waktu berpantang ini, rasanya tak sanggup turun naik rumah mak. Cukup letih merasainya sewaktu Nabila dilahirkan dulu, rupanya kelahiran Naufal juga saya terpaksa laluinya sekali lagi. Berpantang serupa tak pantang!

Moga semuanya baik-baik saja untuk Naufal..Amin..

.

Malam tadi, syahdu saya rasakan. Melihatkan kakak Nabila..

Malam jam 3 pagi, Nabila terjaga. Saya tersedar ketika itu dan melihat dirinya resah. Pasti mahu susu..bisik hati saya. Lantas saya bangun dan terus menyiapkan susu untuk Nabila.

Minumnya agak perlahan dan kadangkala matanya terlelap. Mengantuk barangkali.. Dan tiba-tiba sang adik bergerak-gerak. Juga minta disusui.. Saya paling resah saat ini bila kedua-dua anak minta perhatian dari saya. Sedih bila terpaksa menyatakan ini..

"Nabila minum cepat yek..adik nak susu pulak.."

Dan saat saya melafazkan ayat itu, Nabila berhenti minum. Dan sepertinya tahu saya harus segera bergerak ke arah adiknya.

"Nabila nak lagi tak? Meh minum cepat..."

..dan Nabila tidak mahu meneruskan penyusuan. Hanya diam dan tanda isyarat dia mahu berbaring semula di tilam. Saya meletakkan Nabila kembali dari pangkuan saya, dan bergegas menuju ke katil untuk mecapai Naufal. Mata saya tak lepas memandang Nabila. Dan saya lihat Nabila hanya diam membisu. pandangannya kosong..

Dalam hati sebak bila memandang susu yang diminum. Hanya sedikit! Saya turun ke tilam semula sambil memangku Naufal. Saya cuba menyusukan Naufal dan tangan kiri saya mencapai botol susu Nabila untuk disuapkan ke mulutnya. Namun mulut Nabila hanya terkunci diam. Saya cuba memujuknya, namun tiada sebarang respon..

Sedih usah cerita. Saya tahu Nabila cuba untuk mengalah demi adik. Tapi dirinya juga perlukan perhatian. Faham saja dilema hati saya ketika itu. Kedua-duanya anak saya. Air mata ini mengalir..dan terus mengadu pada Abang. Akhirnya, Nabila terlelap tidur di buaian tanpa menyambung minum susunya tadi...

Pagi..Bila abang sampai ke rumah mak, katanya sedih bila membaca BBM saya semalam. Sedih melihatkan Nabila. Apa saja pilihan yang saya ada. Kesian kamu nak!!

Abang bercakap dengan Naufal .. "Adik, kesian kakak semalam, tak minum susu..Kita patutnya mengalah dengan kakak. Bila kita tolong kakak kita dapat pahala. Adik jangan ragam-ragam lagi yek.."

Sebak bila Abang mengeluarkan ayat-ayat tersebut. Ya, setiap apa yang saya dan abang lakukan untuk Nabila, semuanya ganjaran 'di sana' kelak. Dalam hati tak mahu Nabila terasa di abaikan. Bila ada saja masa terluang, adiknya tidur, saya akan cepat-cepat berlari ke arah Nabila. Memeluk dan menciumnya. Dan tak putus-putus kata "ibu sayang Nabila.." . Saya tak mahu kerana Naufal, Nabila terasa di sisihkan. Andai Naufal dapat mebaca coretan ibu nanti..fahamilah sayang, kedua-dua anak ibu, ibu paling sayang. Ini saja harta yang ibu ada. Dan moga Naufal mengerti perasaan dan pengorbanan ibu pada kakakmu..

 kakak dalam pelukan ibu..

Di hari Jumaat ini..air mata ibu menitis lagi...jauh disudut hati ingin mahu kedua-duanya puas merasai kasih-sayang ibu kepada kalian berdua. Moga Allah sentiasa permudahkan jalan ibu buat anak-anak ibu tersayang... Amin...




30 October 2012

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal ( finale)

...Terasa seperti perut direntap..

Dan kedengaran suara anak ibu yang dah lama ibu nantikan selama ini. Alhamdulillah. Seperti tak percaya saya sudah berjaya melahirkan dia. Dan syukur Alhamdulillah..Allah permudahkan urusan pembedahan saya. Doktor Sarah berjaya mengeluarkan adik baby selama 12 minit sahaja.

Setelah itu, proses menjahit bermula. Dan tangisan adik baby kuat kedengaran. Kuat betul tangisannya. entah apa yang dilakukan di dalam perut, tiba-tiba disentap keluar dari perut ibu, mesti menjerit marah..hehe..

Dan apabila pembantu bilik pembedahan menunjukkan adik baby pada saya, air mata seakan mengalir. Dan dia dibalut kemas dan mereka menyuruh saya meneka jantina adik baby. Apa yang saya tahu, kata doktor adik baby berjantina lelaki. Dan bila ditunjukkan pada saya, syukur Alhamdulillah rupanya betul.. :)
Lahir pada jam 2.47 petang seberat 3.42kg . 

Selesai semua lebih kurang jam 3.30 petang. Saya ditolak keluar dan menanti di satu sudut untuk melihat keadaan saya stabil atau tidak. Saya muntah beberapa kali dan terasa wajah saya gatal-gatal. Kata mereka, itu adalah kesan dari ubat bius.

Hampir 20 minit kemudian, saya di tolak keluar. Dan dibawa pulang oleh nurse wad 6D. Dan Abang rupanya setia menanti saya di ruang menunggu luar bilik pembedahan. Saya bertanya kenapa tak ke labour room melihat anak. Rupanya Abang nampak 2-3 baby yang keluar dari bilik pembedahan, namun kurang pasti yang mana satu anaknya. Nak tergelak pun ada. Dan akhirnya Abang mengambil keputusan menanti saya keluar dari bilik pembedahan saja.

Sampai di wad, Abang dikehendaki ke labour room untuk mengazankan adik baby. Dan saya, keadaan mabuk-mabuk kepayang berehat di atas katil. Tidak dibenarkan bangun sehingga jam 8 malam. Makan dan minum juga begitu. Takut muntah.







Adik baby : beberapa jam selepas kelahirannya..



Sejam kemudian, adik baby di bawa masuk ke sisi saya. Dan nurse terus menyuruh saya memberikan susu badan. Dengan keadaan separuh sedar, mujur Abang membantu saya menjaga adik baby. Jam 7 Abang terpaksa pulang kerana waktu melawat tamat. Nurse kerap ke katil saya dan jam 8 malam, barulah saya dibenarkan minum. Terasa ada sedikit kekuatan. Saya menyusukan adik baby dan selebihnya tidur berehat disisinya.

Esoknya, saya cuba untuk bangun dan berjalan. Terasa kepala ini berat, namun saya gagahkan juga. Kalau dilayan sangat mesti susah untuk saya uruskan adik baby.

Saya bertanya Abang. Untuk confirm kan nama adik baby. Dan akhirnya seperti yang di rancang.. Nama Yasier Naufal telah kami pilih untuk nya. Yang bermaksud Yang Memudahkan/Yang Senang (Yasier) Dermawan/Pemurah (Naufal) .

Alhamdulillah..Tak lama..hanya 3 hari di hospital, saya dibenarkan pulang. Cuma saya risaukan penjagaan luka dan jaundis Naufal. Hari ke-5, Naufal menunjukkan tanda-tanda jaundis. Dan kami disuruh rujuk pada klinik kesihatan Setapak.

Kakak Nabila? Alhamdulillah..jika beberapa hari sebelum saya bersalin, keadaan kakak Nabila memang menduga hati saya. Pernah menangis pada hari khamis sehari sebelum pembedahan kerana Abang khabarkan keadaan Nabila agak teruk ketika itu. Air mata saya mengalir bila saya mengucapkan kata-kata semangat buat Nabila. Tak pasti sama ada dia dengar atau tidak, namun jauh disudut hati saya, saya tahu Nabila merindui saya.

Moga kedua beradik ini hidup dalam keadaan baik-baik saja dan dapat membantu antara satu sama lain. Hati saya sayu melihatkan keadaan Nabila dan berharap agar adiknya naufal dapat membantu kakaknya dari segi perkembangannya. InsyaAllah...

 2 YN dalam hidup ibu dan ayah : Yasmin Nabilah dan Yasier Naufal

29 October 2012

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal (part 3)

19 Oktober 2012 (Jumaat)

Hari yang dinanti. Hati saya berdebar usah cakaplah..Saya bersiap untuk mandi, dan menunggu arahan dari nurse. Saya memandang baju OT yang perlu saya pakai nanti. Namun, melihatkan baju kecil berwarna pink diselitkan bersama, saya cuba kuatkan semangat. Ya, saya mahu lahirkannya hari ini juga. Tak mahu bertangguh lagi. Dan hati ini seakan tidak sabar untuk menciumnya...

Abang hanya menanti di rumah. Menanti panggilan saya. Jika diikutkan saya adalah orang ke-3 untuk jalani pembedahan pagi ini. Alahai..lambatnya. Perut pedih usah katalah. Memang tak makan apapun. Hanya bergantung pada drip semata-mata.

Orang di hadapan saya telah ditolak ke dewan pembedahan. Hati saya bertambah debarannya. Kerana selepasnya adalah saya. Namun selang 10 minit kemudian, dia dimasukkan kembali ke wad. Katanya nurse, doktor terpaksa menjalankan 3 pembedahan kecemasan kerana 2 bayi sudah lemas, dan seorang lagi songsang. Aduhai..moga bayi-bayi itu selamat hendaknya..

Petang jam 2. Tiba-tiba saya terdengar call dari kaunter nurse mengatakan seorang dah boleh ditolak ke bilik OT. Saya berdebar. Dan tak sampai 10 saat, nurse sudah muncul di hujung katil saya. Dan kata, ok puan. Bersedia ye. Pakai baju OT ni..

Masa itu..entah macamana saya nak describe perasaan saya ketika itu. Bercampur-campur! Teruja pun ada, cuak pun ada. Adoiii... Selesai menukar baju, saya di tolak dengan katil ke bilik pembedahan. Abang mengiringi saya ketika itu. Mujur baru habis waktu melawat dan Abang belum sempat untuk keluar. Saya hanya mendiamkan diri, terus mengucap kalimah-kalimah Allah di dalam hati..Dan berdoa pembedahan saya berlangsung dengan baiknya.

Pemandangan di luar menuju ke bilik pembedahan seperti saya ingat-ingat lupa. Ya, ada lorong yang saya ingat di mana saya di sorong ke bilik pembedahan semasa kelahiran Nabila dulu. Menjerit kesakitan di hadapan pintu masuk bilik pembedahan kerana kontraksi. Merayu pada nurse ketika itu. Ya, saya masih ingat ketika itu. Namun, kali ini keadaannya agak tenang. Tidak lagi menjerit kesakitan. Hanya debaran yang menanti saya di dalam sana.

Menunggu hampir 20 minit membuatkan saya jemu. Sempat saya memandang Abang. Dan meminta ampun padanya dan memintanya mendoakan keselamatan saya di dalam sana. Sayu rasa.

Saya di tolak dan dibawa masuk. Saya didaftarkan dan menanti di satu sudut sebelum di tolak ke bilik pembedahan. Kemudian, saya bertemu dengan pakar bius dan setelah diterangkan prosedur penggunaan epidural, saya di tolak masuk ke dalam bilik pembedahan. Teringat suasana bilik. Dan saya disuruh duduk sambil memeluk bantal. Sesi tusukan epidural bermula. Sakit saat ubat bius dimasukkan memang saya terasa. Beberapa kali saya tersentak kerana terasa aliran ubat masuk. Dan kaki sehingga ke pinggang saya mula mengebas....

Bila saya mula berbaring, Doktor Sarah masuk ke bilik pembedahan. Saya lihat sibuk masing-masing melakukan persediaan. Bunyi alatan usah ceritalah. Terpandang pelbagai alatan, namun saya memandang sebentar kerana tidak mahu hati ini gerun melihatnya. Saya disuruh mendepangkan tangan dan tangan kanan saya diletakkan alatan untuk bacaan tekanan darah saya.

Di sebelah kiri saya lihat ada jam yang menunjukkan jam 2.35 petang. Dan pabila Doktor Sarah menyatakan " Boleh kita mulakan sekarang" ..dan ada yang menyahut boleh, saya bertambah kecut. Kalimah-kalimah Allah dan doa tak putus-putus keluar dari bibir saya. Dan tiba -tiba saya terasa pening. Saya bertanya pada seorang pembantu perubatan yang ada di sisi saya, mengapa kepala saya terasa pening. Lantas dia menambah sesuatu yang saya kurang pasti apa kandungannya bagi menstabilkan saya. Beberapa kali juga ianya berlaku, dan akhirnya saya stabil kembali.

Saya sedar setiap tindakan mereka. Sempat saya berbual dengan pembantu perubatan di situ bagi menghilangkan rasa gugup. Bagus jugak budak-budak ini.. :)

Dan tiba -tiba saya terasa sesuatu yang menekan perut saya...Ianya kuat di atas perut ini..

....bersambung...

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal (part 2)

18 Oktober 2012 (Khamis)

Pagi sesudah bangun, saya termenung di katil. Melihatkan gelagat nurse yang mundar-mandir membacakan laporan pertukaran shift. Saya mendengar perbualan mereka. Dan hari ini, saya akan melakukan ultrasound neck untuk melihat keadaan thyriod saya.

Jam 9, saya ditolak menggunakan wheel chair oleh nurse untuk ke tempat x-ray. Sekali lagi kenangan menjengah. Melihat ruang MRI dan katil dimana Nabila ditempatkan untuk melakukan ujian MRI nya. Sedih bila mengingatkan apa yang telah berlaku dulu. Teringat Nabila 'pengsan' akibat penangan 3 dos ubat tido diberikan padanya. Dan terbayang saat saya duduk di sisi Nabila di dalam bilik 'mesin terowong' itu. Tubuh kecil itu sudah merasai pelbagai perkara yang tak terjangkau dek akal saya. Dan saat itu, saya bangga dengan Nabila. Semangatnya nan kuat untuk terus hidup bersama ibu dan ayah...

Saya ditolak ke ruang menunggu yang mempunyai TV. Mata menatap televisyen , namun hati saya lebih tertarik dengan gelagat orang keliling saya. Ada juga orang awam yang memandang saya yang sedang berbaju hospital berwarna pink. Saya hanya mendiamkan diri di situ dan mendoakan keputusan thyroid saya tidak menjejaskan kesihatan saya..

Nama dipanggil, dan saya ditolak ke satu bilik. Dan di situ, pakar ultrasound sedia menanti saya. Sesudah baring, beliau menunjukkan gambaran besar thyroid saya dan menasihatkan saya untuk melakukan surgery sesudah saya bersalin nanti.

Selesai ultrasound, saya pulang semula ke wad. Dan sebaik saja saya pulang, rakan di hadapan katil saya, ditolak masuk ke bilik pembedahan bagi elective c-sear. Anak songsang. Dan akak tu memang teruja untuk menyambut kelahiran kali ini kerana mahukan anak perempuan. Bila melihatkan akak tu berpakaian lengkap untuk ke OT membuatkan hati saya kecut. Mampukah saya untuk laluinya esok..?

Tengahari dan petang, saya dikunjungi oleh mak mertua dan adik ipar saya. Berbual sehingga selesai waktu melawat. Dan malamnya, sepi kerana saya keseorangan. 3 katil di kanan dan hadapan saya kosong tiada penghuni. Akak yang menjalani pembedahan pagi tadi telah dipindahkan ke wad 6C kerana komplikasi pembedahan. Dan hampir malam, seorang kakitangan HSB duduk di katil akak tersebut kerana pembedahan elective c-sear bersama saya esok pagi.

Kami berbual kosong dan tengah malamnya, jam 12.30 pagi nurse mengejutkan saya untuk memasukkan air. Dan saya dikehendaki berpuasa sehinggalah tiba waktu pembedahan nanti..

....bersambung..

28 October 2012

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal (part 1)

17 Oktober 2012 (Rabu)

Pagi jam 9.30 . Saya dan Abang menyelesaikan perihal Nabila sebelum menuju ke Hospital Sungai Buloh. Hari ini saya akan dimasukkan ke wad terlebih dahulu bagi melihat keadaan kesihatan saya sebelum dibedah. Dan malamnya saya akan berpuasa selama 6 jam. Dalam hati sedikit resah, kerana esoknya saya akan dibedah. Banyak perkara yang bermain di minda saya ketika itu. Dengan keadaan Nabila yang agak kurang sihat membuatkan hati saya sedih meninggalkan dirinya. Berkaca mata ini bila mana saya menciumnya di dalam buaian. Doa ibu agar pembedahan ibu berjaya dan ibu masih dapat menatap wajahmu sayang...

Sampai di hospital, keadaan agak tenang. Selepas melapor diri, saya disuruh masuk ke ruang menunggu bersalin. Abang menantikan saya diluar. Saya berpesan padanya untuk membelikan saya roti dan sebotol air kosong untuk saya mengalas perut hari ini. Kata nurse kemungkinan saya hanya menunggu di ruang bilik bersalin lebih lama kerana kesukaran mendapatkan katil di wad. Faham sajalah, Hospital Sungai Buloh memang dah jadi tumpuan sekarang. Ramai nak bersalin kat sini. Ada yang saya tanya, sudah berhari-hari di ruang bilik bersalin kerana tidak dapat wad. Aduhhh..

Selesai melakukan CTG, saya hanya menunggu di ruang bilik TV. Sesekali terdengar suara nurse menjerit memberi sokongan pada  ibu-ibu yang bakal melahirkan dan kemudian tidak lama, saya dengar suara bayi menangis. Saat itu, sebak rasa hati. Kerana saya masih teringat tentang Nabila. Saya berjuang di situ juga, namun Nabila gagal keluar dari perut ibu dan menyebabkan kami berdua ditolak ke bilik pembedahan bagi mengeluarkan Nabila secara kecemasan...

Melihatkan kiri dan kanan orang mengerang kesakitan akibat kontraksi, membuatkan hati saya kecut. Kesian pada mereka yang mana sudah overdue dan berhari-hari menahan kesakitan. Untuk menghilangkan kebosanan, saya berbual dengan mereka yang berada di situ. Sehinggalah petang menjelang...

Saya agak hairan kerana nama saya tidak dipanggil untuk berjumpa dengan pakar bius. Sedangkan beberapa rakan yang sama seperti saya akan menjalani pembedahan secara elective telah dipanggil untuk diperiksa kesihatan oleh pakar bius. Sudahnya, saya menemui Abang yang telah membawakan makanan untuk saya. Agak lapar kerana makanan tengahari di hospital agak kurang menyelerakan tekak saya.

Saya berbual dengan Abang di luar, dan kemudian Abang pulang ke rumah. Kata saya tak perlu menunggu saya di sini, kerana mungkin saya akan dapat wad malam ini. Kesian pulak pada Nabila yang sedang menunggu di rumah. Sejurus Abang pulang, nama saya dipanggil. Rupanya doktor yang akan operate saya iaitu Dr. Sarah (doktor yang sama menyambut Nabila dulu) nak berjumpa dengan saya. Rupanya dia masih belum boleh melupakan kejadian Nabila. Mungkin itu antara pengalaman pahitnya sepanjang perkhidmatan dia sebagai doktor.

Kata saya, lupakan apa yang telah berlalu. Dan dia berjanji akan cuba melakukan yang terbaik pada kandungan saya kini. Mungkin ingin menghilangkan rasa bersalahnya atas apa yang terjadi pada Nabila. Dan pada saya , apa yang terjadi pada Nabila adalah suratan takdirnya. Ya, mungkin perit mengenangkan apa yang terjadi pada Nabila, namun sebagai manusia, saya tahu Allah telah merancang sesuatu yang hebat buat saya dan Abang. Saya yakin tentang itu...

Saya diperiksa oleh Doktor Sarah. Scan adik baby dan melihat keseluruhan keadaan saya. Tiba-tiba saya teringat tentang thyroid yang saya hadapi yang masih pending lagi status ujian darah saya. Lantas saya bertanya terus pada Doktor Sarah. Mujur saya beritahu dan katanya jika saya lalui pembedahan esok pasti akan ada kesulitan nanti.

Rupanya nama saya tidak dipanggil untuk diperiksa pakar bius tadi adalah kerana nama saya diletakkan pada hari Jumaat untuk pembedahan. Aduhai..Tapi menurut doktor Sarah, ada baiknya saya dibedah pada hari Jumaat kerana dia masih mempunyai masa untuk memeriksa thyroid saya esok...

Dan saya terus dimasukkan ke wad 6D di katil 14..Menanti apa yang bakal berlaku esok...


.....bersambung..