Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

18 February 2013

Bertemu doktor mata....

Temujanji untuk sekian kalinya..Ditunda kerana temujanji sepatutnya pada bulan 11 tahun lepas. Tapi sebab dalam keadaan berpantang dan ayah Nabila tak boleh nak handle anak daranya seorang diri, maka temujanji tersebut di bawa ke hari ini.

Kalau nak diikutkan hati, mahu saja ditinggalkan Naufal pada nenek. Tapi disebabkan nenek a.k.a mak saya  ke dylisis hari ni, makanya tak dapatlah nak tinggalkan dak debab ni. Tapi saya memang susah hati kalau nak tinggalkan Naufal pada mak. Sebabnya......

"dak debab ni TAK mahu hisap susu melalui botol...."

Sebab itulah saya masih lagi mengusung Naufal ke sana ke mari. Agak susah untuk handle kedua-duanya serentak. Saya belum lagi dapat membawa Nabila ke pusat terapi dek memikirkan aksi si Naufal. Takpelah kakak..kita terapi kat rumah jelah...

Progress mata Nabila..? Buat hati saya sayu sekali lagi.  Kesal kerana masih disahkan corticall blindness. Kata optometrist, andai 2-3 tahun lagi power mata Nabila di takuk yang sama, bersedialah saya untuk memakaikan Nabila kacamata. Aduhai..pedih saya rasakan. Saya cuba untuk berfikir positif. Yakin mata Nabila takkan apa-apa. Tak perlu kacamata untuk melihat segalanya..

Doktor mengandaikan mata Nabila seperti kamera. Gambar sudah ditangkap cantik, namun filem sepertinya blur atau rosak. Pedih hati saya tatkala mendengar abang mengulangi ayat itu kepada saya. Selama ini , saya, abang , doktor tak pasti apa yang dinampak oleh anak ini. Dan pabila saya bertanya, adakah doktor itu pernah mendapat anak CP yang mempunyai masalah seperti Nabila, punya harapan untuk pulih? Katanya agak mustahil namun dia tak menolak andai ada keajaiban berlaku..Kuasa Tuhan...

Air mata saya sudah lama tidak mengalir. Dan hari ini saya sepertinya down. Air mata mengalir bila bait-bait ayat ini ditulis. Sayang, matamu cantik nak...Namun tidak dapat melihat ibu, ayah dan adik Naufal..

Lebih pilu bila kini adik Naufal sudah mula memandang kakaknya. Cara seperti mahu bermain dengan kakak. Kesian kamu adik..Fahamilah kakakmu sayang...Doa ibu tak putus-putus untuk kalian berdua. Moga kasih ini tetap terus utuh.

Takpelah nak, dunia ini kotor. Tak perlulah kakak melihat semua kekotoran di bumi ini. Pandanganmu hanya untuk syurga sayang....

suatu ketika dulu..agak juling sedikit namun tetap comel di mata ibu..

17 February 2013

Pulang ke kampung + Check up Adik Naufal 3 bulan!!

Agak lama kami tidak pulang ke kampung. Keadaan tak berapa mengizinkan kami untuk menjenguk mak dan ayah di Ipoh. Tambahan pula saya kini sudah tidak bergaji. Perbelanjaan agak terhad dan Abang sibuk mengejar overtime bagi menampung perbelanjaan kami..

Saya pula kini sibuk mencuba resepi itu dan ini. Dalam kepala ligat mencari apa jua resepi yang boleh di masak untuk dijual di kilang. Hurm...Bila memasak memang seronok kalau ada yang suka makan hasil air tangan kita. Tapi kat rumah ni hanya saya dan Abang saja yang makan. Memang tak lalu nak habiskan. Plus, saya berjinak-jinak dengan puding dan kek.. Lagilah muak kalau makan selalu...

Saya juga sibuk mencari resepi untuk Nabila dan Naufal. Resepi kanak-kanak. Apatah lagi saya melihat Naufal seperti berminat melihat saya dan Abang makan. Susu kakak dan beberapa kali terkena di bibirnya..Menjilat sedikit puting botol susu kakak..namun tak tergodaaaa!! hihi... Susu ibu jugak yang terbaik buat Naufal..

Dan bercerita tentang check up bulanan Naufal, suntikan 3 bulan sudah melekat di pehanya. Menjerit sedikit kemudian dipujuk, Alhamdulillah dia baby yang kuat. Alahai..kata anak jantannnnnn!!

Beratnya sudah mencecah 7.7 kg menjelang usianya 4 bulan minggu hadapan. Hurm..teringat masa Nabila dulu..berat itu sewaktu Nabila berusia 7 bulan. Dan statik sehingga berusia 2 tahun. Aduhai kakak...

Apapun saya berharap Naufal terus membesar dengan sihat. Besar sungguh harapan saya pada anak ini. Agar dirinya mampu untuk menjaga kakaknya kelak...

Melihatkan moment ini rasa-rasa apa yang difikirkan oleh mereka berdua.. (dah perasan sekarang Naufal dan mula memerhati si kakak. Nak ajak main... :)

p/s : Naufal sudah mula meniarap. Kadangkala dapat kadangkala tidak. Dan pabila ditiarapkan, punggung juga terangkat. Seolah-olah mahu mengesot.. Yess go Naufal go!!!

07 February 2013

Yeahh..hari-hari bersama kamu wahai anak-anakku..

Takde perkara yang best bila dapat bersama dengan anak..hari-hari rasa tenang walaupun kadang-kadang agak gila kalut menguruskan Nabila dan Naufal..

Minggu ini giliran saya berada di Rawang. Ingat entry minggu lepas? Bungkus baju balik Gombak? Hihi...mak saya terkejut tengok saya anak beranak pulang ke Gombak. Dan terdengar suara perlahan mak kata.."sunyi budak-budak ni takde.." huhu....

Minggu ni saya mencuba lagi. Tapi Abang ada di rumah pada sebelah siang. So senang sikit nak urus budak berdua ni.

Hari Isnin.. serius kalut!! Hari Selasa? Pun sama..... Rabu? Tadi Abang tinggalkan saya anak beranak di rumah sendirian. Kerana membantu rakannya menghantar kereta ke bengkel. Nabila dan Naufal? Ehhhhh... ok pulak hari ni. Takde pulak ngamuk-ngamuk. Fuhhhhhh..legaaaaaaaaa....

Sebenarnya semalam dan kelmarin dua-dua tak sihat. Terkena selsema. Saya sendiri hampir saja selsema dan sakit tekak. Cepat-cepat makan ubat..Namun, setelah berusaha untuk elak si Naufal terkena jangkitan dari kakaknya, akhirnya terkena gak virus selsema. Kesian si kecik ni dok tahan nafas masa tidur. Puas letak kunyit, sedut hingus, letak ubat titis..Nampak macam dah kurang sikit..Adoiii camner la kamu tido Naufal!!

Tadi dok main-main dengan budak-budak ni..layankan sajalah gambar-gambar ni...

Nampak tak Naufal? Sedang meniarap sebelah saya? Menantikan saya untuk memasang cerita 'budak kembar botak' Tau-tau je dia bila saya pegang tablet mesti nak tengok Upin Ipin...hihi... Dimana Nabila ketika ini?
 
Tengah beristerirehat di kerusi malasnya.. Dek kerana pernah terjatuh dari feeder seat ini, maka saya menempah strap yang baru untuk Nabila. Barulah ok sikit...huhu..

Bila ibu tak layan cerita Upin Ipin, Naufal saya baringkan semula. Bila nak meniarap ni sayang...?

Si kakak di dalam buai..Kaki panjang terjulur terjelir di buai memang bahaya. Dah umur 5 tahun pun still dalam buai.. Apa ada hal..Janji ko senyap kakak...hihi..

Nak tayang storage baru.. Bila kemas-kemas, rupanya banyak betul mainan si Nabila ni. Naufal dok perhati je rack ni. Sok-sok dia pulak la mengerjakan mainan kakak..hihi.. Ada sesapa minat rack ni? Saya jual tau.. Sila add dalam fb saya yek bellaclosetcraft ..

01 February 2013

Bila jiwa berbagi dua...

Entry terakhir saya menceritakan saya telah pulang semula ke Rawang. Kononnya ingin berdikari dan mahu menguruskan Nabila dan Naufal secara sendirian. Namun, ianya tidaklah semudah yang disangkakan. Mempunyai anak tipikal dan istimewa membuatkan ianya menjadi satu cabaran berliku buat saya menguruskan kedua putera puteri saya.

Alah..orang lain elok je..siap anak berdedai lagi..takde masalah punnnnnn!!!!

Owh!! Lupa nak bagitau! Saya ni memang jenis tak sampai hati bila tengok anak-anak kecil menangis. Mulalah hati tak keruan dan tensi! TEKANAN YA AMAT ok!! Hati ni tak boleh melihat yang sorang melalak minta didukung dipegang dan sorang lagi cam dah terbiar takde mak ayah dah...huhu...

budak yang buat hati ibu tak keruan....

Sungguh! Hanya mampu bertahan selama 2 hari tanpa bantuan Abang. Laungan tangisannya bergema di segenap ruang yang ada. Malah mungkin sampai ke rumah jiran-jiran. Pantang saya baringkannya dan meninggalkannya sendirian. Pasti meraung!

Dan si kakaklah paling kesian. Hanya diam di sudut tepi memandang sepi. Berdiam diri melihat ibu kalut menyiapkan segala keperluan. Makan, minum, mandi, bermain, mengemas, membasuh dan sebagainya..Dan bila melihatkan keadaan ini, hati saya sayu. Dan mulalah juga teringat rumah mak. Sampai tercium-cium bau haruman rumah mak..Rinduuuuuuu

Serupa orang gila saya, akhirnya Isnin petang, saya mengambil keputusan untuk kembali semula ke Gombak. Atas keizinan Abang juga yang kesian melihat saya kelam kabut menguruskan anak-anak. Dan beg pakaian dikemaskan kembali, terus bergerak ke rumah mak.

Janji saya, saya akan kembali bila Abang bekerja shift malam. Kerana di waktu siangnya dia ada di rumah. Saya tak mahu rumah terabai seperti dulu. Abang juga perlu perhatian. Andai badan boleh dipisah tiga.... Mahu je pinjam kuasa 3 boboboi..hihi...

Dan hari ini, Nabila pula diserang selsema. Sewaktu menaip entry ini, dia di sebelah saya sedang bersin. Risau pula kalau-kalau Naufal berjangkit sama. Lama juga Nabila tak demam selsema. Last saya ingat sewaktu saya melahirkan Naufal dulu. Itu paling teruk. Dan kemudian langsung tiada. Sihat hendaknya. Hati saya tak keruan kembali. Terasa banyak kahak Nabila kali ini. Harapnya Naufal tak berjangkit sama...

Kata saya, Nabila dah jadi big sister. So, jangan kamok-kamok lagi yek. 

25 January 2013

Sudah kembali ke sarang.....

Genap 3 bulan minggu lepas Naufal lahir ke dunia. Alhamdulillah, keletahnya semakin bijak, sudah mula berbunyi...riuh bila melihat orang bercakap dengannya. Seolah-olah cuba menyatakan sesuatu..

Melihatkan itu, teringat dahulu Nabila pernah melakukan perkara yang sama. Tak silap ketika dia berusia setahun dua dulu. Riuh sekali bunyinya. Namun kini, agak senyap. Hanya senyum dan ketawa saja yang kedengaran. Sedih bila melihatkan perkembangan Nabila yang kadangkala jatuh menjunam...

Sudah beberapa kali juga saya membawa kereta sendirian bersama Naufal. Dan paling saya tak keruan bila melihat Naufal memandang tepat kearah saya ketika saya membawa kereta. Sungguh tajam dan mendalam pandangannya. Kata saya pada Naufal "silap-silap ibu langgar lubang dik tengok renungan kamu". hihi.....

Nikmat bila melihat sang anak melihat diri ini. Sedih tetap berkunjung tiba bila mengenangkan si kakak. Agaknya bilalah Nabila akan memandang saya begitu. Ya Allah, perkenankan doaku agar Nabila mampu untuk melihat dengan baik, terutama aku yang telah melahirkannya. Agar dirinya dapat melihat siapa yang telah melahirkannya ke dunia ini...

Dan kini, saya sudah kembali ke Rawang. Bersama abang dan anak-anak sendirian. Tanpa emak yang sentiasa membantu saya dalam menguruskan Nabila dan Naufal. Sebak hati saya bila melihat emak mencium Naufal. Sungguh saya sangat berterima kasih pada mak. Bergenang air mata saya melihat emak, tapi saya larikan mata saya. Tak mahu emak nampak saya menangis. Pasti emak kesunyian tak mendengar suara cucu-cucunya lagi..

Bila mengemas barang tadi, saya mencium haruman baju yang dicuci di rumah mak. Dan tiba-tiba saya rindu. Lantas saya berfikir, mampukah saya menguruskan kedua-dua anak saya ini sendirian? Mungkin mudah andai Nabila sihat, namun bila kedua-duanya memerlukan saya membuatkan saya serba tak kena dan cuba memberikan yang terbaik buat kedua putera puteri saya.

Buat emak, terima kasih kerana menjaga Ayong, Nabila dan Naufal sepanjang berada di Gombak. Sungguh saya hargai jasa mak membantu saya sepanjang tempoh berpantang. Emak doakan anak mak ini kuat dalam mengharung kehidupan terutama dalam membesarkan Nabila....

Tepat jam 2 pagi, saya menaip entry ini. Saya menyudahkan kerja-kerja mengemas barang-barang yang dibawa dari Gombak. Rupanya banyak betul barang saya. Patutlah penuh sendat rumah mak dengan barang-barang kami anak beranak.

Esok, saya akan ke Hospital Sungai Buloh atas pemeriksaan tiriod saya yang dikesan semasa mengandungkan Naufal dulu. Risau, namun saya tak mahu berfikir lanjut tentangnya. Hanya menanti apa kata doktor dan apa yang perlu saya lakukan... Doakan yang terbaik buat saya yek..

15 January 2013

Tooth Mousse - Auuuchhhh!! Gigi sudah ditampal!

Ya ampunnnnn!! Sejak cuti tanpa gaji ni hidup memang agak sibuk. Sibuk mencari duit tambahan dan mengisahkan perihal anak-anak yang semakin bijak bermain emosi. Terutama Naufal..

Entri ini di taip pun kerana saya berjaga subuh hari kerana breast yang membengkak dek pam medela fs saya buat hal! Entah kenapa payah sangat nak suck nipple. Mulalah hati ni bengang bila dah berbelanja ribuan ringgit untuk sebuah pam yang saya sendiri masih geram tak dapat nak gunakan sepenuhnya.

Takpe,cerita bab susu akan menyusul kemudian. Pahit terasa tentang pam saya,tapi bila tengok limpahan susu dalam deep freezer buat saya hati saya sesejuk peti beku itu. Hurmmmmm!!!

2 minggu lepas,Nabila ke Hospital Sungai Buloh. Untuk pemeriksaan gigi yang sebenarnya patut dihadiri pada bulan November tahun lepas. Tapi dek kerana saya dalam tempoh berpantang,ayah Nabila menukarkan tarikh tersebut kepada tahun baru 2013.

Alhamdulillah,gigi anak dara saya memang tiada masalah yang serius. Seperti saya katakan dulu,memang dah menjadi rutin wajib menggosok gigi setiap hari. Dari tak tahu menganga,kini dah pandai sua mulut bila setiap kali mandi. Tahu rutin hariannya menggosok gigi. Biarpun keadaan Nabila tidak boleh mengurus diri,saya tetap pentingkan kebersihan dirinya. Yelah,tak mahu Nabila dalam keadaan comot. Sudahlah keadaan dia begitu,bila dengan keadaan comot dan busuk sudah tentu mengundang pelbagai penyakit lagi.

Cuma kata doktor,geraham sebelah kiri dan kanan bahagian bawah sudahpun berlubang. Tak besar,namun harus ditampal bagi mengelakkan masalah jadi lebih buruk lagi. Makanya si ayah terpaksa bergelumang memegang Nabila bagi mententeramkan cik mek ni kerana dek kepantangan beliau dalam hal pegang memegang kepala ni! Ibu memang tak boleh buat apa sebab dak Naufal sedang sibuk diam memerhati keadaan si kakak yang sedang terbaring di atas kerusi bersama ayah. Heh!! Kalau kamu tahu,kompem kamu takut Naufal. Hihi

Selesai prosedur menampal,Nabila diberikan belon untuk mententeramkannya. Perghhh!!! faham sajalah Nabila kalau menangis. Memang bergegar HSB. Ayah siap sound lagi, " Kakak,kalau kamu nangis nanti orang lain takut nak masuk klinik gigi."  Betul gak ek. Kang budak-budak lain ingat doktor gigi dah pulas gigi Nabila dengan playar! Hehe..

Kami diberi satu ubat kalsium untuk disapu pada gigi Nabila sesudah membersihkan gigi di waktu malam. Agak mahal kata doktor tersebut. Lebih kurang dalam RM 70 satu tiub itu. Dan untuk permulaan,ianya adalah percuma. Katanya lagi,memang susah nak cari kat pasaran luar. Hanya di prescribe oleh doktor yang merawat sahaja.

Tak rugi jika lakukan pemeriksaan gigi seawal usia muda lagi. Sekurang-kurangnya kita tahu tahap kesihatan gigi anak kita. Jika Nabila di refer ke doktor gigi pediatrik kerana masalah suka menggesekkan gigi ketika bermain, mungkin anda boleh minta klinik kesihatan untuk rujukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut tentang gigi anak. Dan saya sangat mencadangkan jika sesiapa di Kuala Lumpur,boleh terus je ke HKL. Memang servis tip top kat klinik gigi HKL.

Ok,hopefully Nabila baik-baik sahaja..InsyaAllah.

03 January 2013

Bila si adik jelesss!!

Selamat Tahun Baru 2013 buat semua pembaca blog picisan saya ini. Seronok dah masuk tahun baru,tapi terasa agak gerun bila memikirkan umur yang semakin meningkat. Tambahan pulak,saya dah masuk angka 3 siri tahun ini. Hurm,dah naik umur,amal ibadat pun kena naik dan bertambah-tambah jugak la kan?

Entri pertama tahun ini,tak lain tak bukan bercerita kisah anak-anak. Alahai,blog ni memang cerita tentang Nabila dan Naufal je kan. Apalagi yang nak ibu cerita dalam blog ini.

Alhamdulillah,perkembangan Naufal makin hari makin bagus. Bila di ajak berborak,mulutnya juga sama riuh. "uhhh ahhhh buuuu" . Siap angkat-angkat kening lagi. Bila ibu tegur tanya " kenapa menangis kuat- kuat ni?" . Tau senyap sekejap,pandang muka saya lepas tu sambung menangis balik. Sampai naik merah muka tu menangis. Sebijik cam kakak menangis dulu- dulu. Alahai!!!!

Pantang tengok orang takde,mulalah terjerit-jerit. Asyik nak berenjut je dalam rocker. Makk aiii,geget kang baru tau. Langsung tak leh nak bergerak buat kerja! Dan tadi,geram jugak rasa hati. Dah nampak saya sedang memangku si kakak untuk menyusu,elok diam-diam baring,tengok saya start pegang kakak mulalah nk bukak mulut nangis. Padahal sebelum tu dah menyusu kenyang! Nak apa lagi dik oiiii!! Penyudahnya,dua-dua atas riba ibu. Aisshhhhh!!"

Tengok gaya si Naufal ni dah mula nak mengiring. Kaki dah angkat tinggi. Sampai merah muka dia mencuba untuk berpusing dek marah tak dapat-dapat untuk meniarap. Bahaya gak dak Naufal ni. Kena sendal dengan bantal,takut jatuh dari katil.

Kisah si kakak pulak. Sekarang ni ibu dah mula rasa kuat untuk start balik segala terapi mak nenek Nabila. Kebetulan,seorang rakan bermurah hati meminjamkan standing frame hasil buatan suaminya untuk kegunaan anak tersayang. Tq Kak Jue. Aiman,Nabila pinjam kejap ek.

Dan tadi jugak,Nabila memulakan sesi terapi di PDK Kamii semula. Setelah hampir setahun berhenti kerana mengandungkan Naufal. Seronok benar cik kak kecik ni bermain air dalam tub jakuzzi.

Alhamdulillah,sejak berada di rumah mak,kesihatan Nabila bertambah baik. Tambahan pulak ramai yang melayan. Makin gedik la cik kak ni.

Apapun,memang seronok melayan anak-anak. Tau-tau je dah besar! Rasa mau berenti keje saja.