Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

31 March 2011

Firasat ibu..

Sedari pagi tadi hati saya tak keruan.Apatah lagi melihatkan keadaan Nabila semalam. Kata mak,sejak pulang dari sekolah semalam Nabila terus menerus merengek.Mahu tidur! Awal.Memang awal. Tidur di jam 6 petang.

Dan Nabila tersedar pada jam 11 malam. Nabila merengek,suaranya mendesah seolah-olah tidak selesa. Saya membetulkan kedudukan kepalanya dan menyentuh dahinya. Panas. Kebetulan pula Abg menelefon saya namun saya terpaksa meletakkan panggilan tersebut kerana mahu memberikan Nabila ubat.

Mujur juga masih ada simpanan ubat demam.Dan sesudah itu sepanjang malam Nabila di dalam buaiannya.Tak sampai hati pula saya untuk mengejutkannya...

Dan pagi,sewaktu dalam perjalanan ke sekolah, saya perasan Nabila tampak tidak selesa. Beberapa kali Nabila bersin dan batuk di dalam kereta. Perasaan khuatir timbul dalam hati ini. Perlukah saya menghantarnya ke sekolah? Serasa tidak sempat untuk berpatah balik saya teruskan perjalanan ke sekolah. Bisik hati mungkin Nabila hanya batuk-batuk biasa.

Sepanjang pagi saya sibuk dengan meeting. Pada awalnya hati entah ke mana. Tidak fokus langsung pada meeting yang sedang berlangsung.Dalam fikiran saya hanyalah Nabila! Dan tidak lama sesudah itu saya kembali bertenang. Fokus terhadap kerja. Saya cuba untuk pujuk diri sendiri untuk bertenang.

Dan petang jam 2, saya menerima panggilan dari Tasputra.Katanya badan Nabila panas. Huh..sudah saya jangkakan.Benar kata hati saya. Nabila tidak sihat.Kata mereka,mereka cuba untuk memberi ubat, namun tidak tahu mana satu ubatnya.Sudahnya saya meminta keizinan pada bos untuk pulang awal.Kerna mahu membawa Nabila ke klinik. Ubat yang lepas pun sudah habis.

Saya ke Klinik Kita Wangsa Maju. Saya ke sana kerana nama Nabila memang sudah tersedia register di situ. Cumanya saya terpaksa membayar tunai. Tidak dapat menggunakan panel.Mujur juga baru gaji. Kalau tengah bulan macamana?

Suhu badan Nabila tadi mencecah 38.9 . Panas sangat. Saya sendiri rasakan badannya hangat. Pulang saja tadi saya terus menjirus badannya dengan air dan memberinya ubat. Nampak mulutnya merah sangat.Kesian anak ibu!!

Harapnya demannya akan kebah. Saya cukup risau kalau dia demam. Lagi-lagi tentang sawannya. Ya Allah..sembuhkanlah Nabila..Amin...

30 March 2011

Bila Nabila emosi...Bila Nabila ketawa..

Kadang-kadang saya perhatikan tingkah laku anak dara saya ini. Kadangkala saya faham apa kehendaknya, kadangkala langsung tak faham!! Padahal anak sendiri tu. Macamana boleh tak faham dengan 'pe'el' si Nabila ni?

Bayangkan, kalau tidak dapat satu benda atau kehendaknya tidak dituruti, mahu dimarahnya kita. Kadangkala dia menggenggamkan tangannya dan buat nada geram. Siap bunyi pulak tu.."ghhhuuuu..huhhhhhhh" . Amboi! Garang betul.. (hehe..macam ibu dia).

Dengan neneknya juga begitu. Kalau nak susu atau tidur, asal lambat je, mesti nak mengamuk. Aduhai..Kadang-kadang habis di sepaknya perut saya dan neneknya. Kuat pulak tuh. Senak perut dibuatnya. Kadangkala saya pukul juga kat betis dia. Mengajar agar jangan buat begitu. Tapi faham sajalah anak-anak CP ini. Kalau dilarang lagi dibuatnya. Lagipun apalah yang mereka tahu tentang pukul memukul ni. Buat sakit tangan je..hehe...

Namun, kadangkala Nabila bukanlah selalu menunjukkan tanda-tanda geramnya terus menerus. Dia akan memberikan 'hint' terlebih dahulu. Seperti dia akan merengek terlebih dahulu, menunjukkan rasa tidak selesa dan pabila kehendaknya tidak dilayan, barulah suara nyaringnya akan keluar..hehe..

Itu bila menangis, bila Nabila ketawa pula, lain halnya. Sejak kebelakangan ini saya perasan, Nabila memang suka orang geleteknya. Ingat saya semalam, sewaktu temujanji bersama doktor ENT. Doktor merapati Nabila dengan tujuan mahu memeriksa telinganya. Entah kenapa tiba-tiba Nabila bersuara nyaring. Dan ketawa mengekek. Doktor ENT memang 'impressed' tengok Nabila. Dan doktor menggalakkan saya terus usaha memantap skill pendengaran dan pertuturannya. Habis semua nurse kat dalam bilik doktor gelakkan Nabila bila dengar suara dia. Sepertinya Nabila mahu mengajak orang bermain pula.

Ada juga ketika di OT. Orang sibuk nak buat exercise, dia pulak ketawa mengekek. Sebab Nabila memang tak boleh orang usik perut dia. Pasti dia akan ketawa kegelian. Kadangkala kami sekeluarga seronok bila lihat dia ketawa sambil tangan kanannya dimasukkan ke dalam mulut. Macam malu-malu kucing gitu.

Sesungguhnya,besar pengertian perilaku Nabila buat saya dan Abang. Sekurang-kurangnya Nabila boleh meluahkan ekspresi emosinya, gembira atau sedih pada kami. Cumanya, kami harus banyak bersabar melayan kerenahnya. :) InsyaAllah...

29 March 2011

Saya nampak pelikkah?

Saya ke hospital bersama ibu dan ayah..
Bila kaki ibu dan ayah melangkah masuk, banyak mata yang memandang saya..
Saya menangis mahu susu..
Ibu beri saya susu..
Saya minum sepuas-puasnya..
Dan setelah itu, saya menangis lagi..
Ibu cuba pujuk..
Tapi saya masih belum diam..
Ibu angkat saya..
Saya berada di ribaannya..
Saya nampak ada mata memandang saya lagi..
Melihat badan saya yang masih belum kuat untuk duduk..
Melihat kepala saya yang kecil..
Ada kawan sebaya saya..
Dia kembar..
kedua-dua kembar itu memandang saya..
Saya meronta mahu ibu lepaskan saya..
Saya mahu berdiri macam kembar itu..
Akhirnya ibu akur dengan kehendak saya..
Ibu pegang kuat badan dan tangan saya..
Saya memijakkan kaki ke lantai..
Ya..saya berdiri..
Saya tersenyum mendongak memandang ibu..
Ibu juga turut tersenyum sambil menghadiahkan ciuman di pipi..
Kembar itu masih memandang saya..
Sepertinya mahu bermain dengan saya..
Namun bila saya berdiri tanpa kekuatan..tubuh bergoyang-goyang..
Kembar itu tidak jadi datang merapati saya..
Saya lihat bapa si kembar mengangkat mereka jauh dari saya..
Kerana tidak mahu saya berada disisi mereka..

....................
.................
.............
........
.....
...
.
Alangkah indahnya andai kaki ini boleh melangkah..
Pastinya tiada orang memandang aneh pada saya..

28 March 2011

Temujanji demi temujanji...Apa kebaikannya?


Jumaat lepas saya bercuti. Kerana temujanji dengan Audiologi (seperti entry lepas..). Pagi ini saya ke pejabat. Seperti biasa saya akan melihat kalendar saya. Rutin saya, saya akan menulis semua temujanji Nabila di kalendar atas meja saya.

Pagi tadi baru saya perasan, bahawa Nabila punya temujanji berturut-turut selama 2 hari (hari ini dan esok ) bersama speech therapist nya dan juga berjumpa semula dengan doktor ENT nya. Serius saya terkejut. Kerana selalunya saya akan bersedia awal dan berpesan pada sekolah Nabila yang saya akan mengambilnya tengahari nanti. Aduhai....

Bekas susu dan air panas juga saya tak sempat siapkan pagi tadi. Sudahlah pagi tadi saya kelam kabut. Kerana saya pulang ke Rawang semalam. Mengemas rumah dan membeli barang-barang keperluan Nabila semalam. Dan pagi jam 5, elektrik di rumah saya tiada pula. Sudahlah baju kurung pun tak bergosok lagi. Jam 5 pagi, saya sudah redah jalanraya yang gelap pekat menuju ke rumah mak. Abg pula bersiap-siap ke tempat kerjanya. Risau betul drive subuh-subuh tadi. Banyak lori!!!

Alamatnya petang nanti saya terpaksa pulang ke rumah mak sebentar sebelum ke sekolah Nabila untuk mengambilnya pulang... :(

Bila melihat temujanji Nabila sejak lahir dulu, saya kadangkala sepertinya tidak mahu untuk kerap ke hospital. Jika dulu, saya memang suka refer apa saja yang saya ingin tahu di hospital. Namun kini tidak lagi..

Entahlah..Mungkin juga saya sudah bosan dengan keadaan hospital kerajaan dan seringnya perkara yang sama diutarakan kepada saya. Jadi saya jemu!!

Kalau nak tengok kad temujanji Nabila, tak silap saya, kadnya sudah masuk kad yang ke-5. Banyak! Memang banyak temujanjinya, tapi progress Nabila..? Aduhaiiiii... Malas nak cakap!! Memanglah tak boleh nak harapkan sangat hospital, sebab bukan Nabila seorang saja yang sakit, ramai lagi yang lebih memerlukan rawatan dari Nabila.

Makanya, saya ambil pendekatan. Tak kisahlah jauh tarikh temujanji berikutnya, kerana saya tahu mereka pun buat ala kadar saja pada anak saya. Jadi, buat apalah saya membazir masa saya untuk datang kerap ke hospital.

Saya jarang untuk skip temujanji, melainkan ada tugasan yang menghalang saya untuk membawa Nabila ke hospital. Dan selalunya juga nurse atau therapist yang set kan temujanji memang tiada masalah dengan saya. Sebab saya tak kisah kalau-kalau temujanjinya tarikhnya jauh-jauh belaka.

Tapi walaupun semua tarikh jauh-jauh, sebulan hampir 3-4 kali saya ke hospital. Semuanya berlainan temujanji. Physio, OT, Speech, Dietetic, Peads, ENT, Audiologi dan Mata kadangkala menuntutnya saya untuk kerap ke hospital. Bukanlah saya merungut tentang semua temujanji ini, kerana saya tahu ini adalah tanggungjawab saya. Jadi, nak tak nak saya mesti laluinya.

Bagi saya, bukanlah semua temujanji ini tidak mendatangkan apa-apa kesan langsung dari segi developmental Nabila. Mesti ada sedikit yang membantu saya untuk mengurus Nabila. Dan ada banyak juga input yang saya dapat dari semua temujanji ini. Lagipun saya tak mahu nanti dipersalahkan atas sebab malas untuk ke hospital atas semua temujanji ini. Jika diikutkan temujanji Nabila ini sedikit jika dibandingkan anak-anak istimewa yang lain yang lebih banyak temunjanji di sana-sini..

Apapun, harapnya saya masih lagi mampu untuk membawa Nabila ke hospital. Tidak jemu dan bosan menanti. Kerana saya tahu semua ini adalah kebaikan untuk anak saya, Nabila....

27 March 2011

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih ada harapan..

Jumaat lepas, kami ke Hospital Sungai Buloh. Nabila ada temujanji bersama Audiologi. Seawal pagi kami keluar rumah memandangkan saya dari Gombak, sudah pastinya jalan sesak di Kepong sana.

Dalam hati saya serasanya tiada gentar. Entah kenapa saya nampak tenang. Mungkin juga saya bakal mengetahui berita baik? Saya tidak mahu berfikiran bukan-bukan malah terus berfikiran positif. Saya tahu ada sinar untuk Nabila.

Pada awalnya ujian biasa saja dilakukan. Sebagai langkah untuk memastikan mereka tidak salah. Dan kemudian kami ke bilik lain pula untuk ujian yang kami tunggu-tunggu sebelum ini.

Ujian ABR.. iaitu Auditory Brainstem Response. Ujian ini dilakukan dari gegendang ke otak. Untuk mengetahui bunyi-bunyian tersebut sampai ke otak atau tidak. Mengapa pula saya lakukan ujian ini..?

Sebenarnya saya ingin memastikan bahawa pendengaran Nabila baik. Bukan setakat hanya di gegendang, malah sampai ke otak. Sewaktu bayi, Nabila tidak melakukan exam ini. Hanya pemeriksaan biasa saja. Saya juga kurang pasti Nabila boleh mendengar atau tidak sebelum ini. Ini kerana dia hanya mendiamkan diri pabila di panggil dan tidak memandang kami. Mungkin ini juga berkaitan dengan mata, namun kami perlukan kepastikan. Tak salah bukan?

Dan ujian ini memerlukan Nabila untuk tidur. Dan seperti biasa juga, Nabila sememangnya sukar untuk tidur sendiri, apatah lagi dia baru saja melelapkan matanya di dalam kereta tadi. Makanya, terpaksa kami memberikan unbat tidur kepadanya. Nak buat camner dek..Ibu terpaksa..sebab kamu meronta-ronta... :(


~sedas ubat tidur..selamat Nabila tidur~

Dan keputusannya, saya dapat masa itu juga. Nampak pendengaran Nabila sangat baik. Maka saya perlu teruskan untuk sesi terapi pertuturannya.. :)

Lega..memang lega. Walaupun saya tahu nasib untuk mata Nabila belum lagi ketahui..namun saya lega kerana salah satu deria pentingnya berfungsi baik. Sekurang-kurangnya, saya akan cuba memberikan stimulasi untuk deria yang satu ini. Tak mengapalah dik, syukur Alhamdulillah, Allah memberikan pinjam pada kita satu anggota ini..Kita gunakan sebaik mungkin yek..

Sempat staf-staf praktikal masuk ke bilik dan melihat ujian yang sedang dilakukan. Ddan semuanya memuji si kecil ini. Waktu tidur pun comel kah? hehe.. Nabila sememangnya comel di mata mereka yang memandangnya. Saya terdengar perbualan mereka..sepertinya mereka tidak percaya Nabila Cerebral Palsy. Aduhai..

Dan sewaktu kami melangkah kaki keluar dari bilik tersebut, saya nampak mereka masih lagi memuji-muji Nabila dan mata mereka tidak lepas memandang kami bertiga sehingga kami keluar.. :)

Nabila dah discharge dari Audiologi, namun masih lagi ada rawatan susulan dari ENT iaitu terapi pertuturannya... :) Syukur.. :)

24 March 2011

Soalan cepumas lagi!!

Hari ini 2 kali saya diberi soalan cepumas..

"Bila nak bagi Nabila adik.."

Adoiii..tulah orang kata..

Bila tak kawin mesti tanya bila nak kawin..
Bila dah kawin org mesti tanya bila nak dapat anak..
Bila dah ada anak pun masih org tanya bila nak tambah anak lagi..

Macam biasalah jawapan saya..

"Hurm..tunggu abis pakai perancang ni.."

atau..

"Tunggu kurus dulu.."

Seseorang telah berpesan pada saya tadi, berikan Nabila adik. Nanti boleh adik-adik menjaga Nabila..
Tapi saya terfikir..

Boleh ke adik Nabila menjaganya nanti? Tidakkah adiknya rasa terbeban bila lahir sahaja adiknya di dunia..harus menjaga kakaknya..!

Bukanlah untuk saya menidakkan kehadiran adik beradik Nabila dalam hidupnya, namun kenapa harus membebani adik-adiknya menjaga kakaknya.Saya tahu fungsi si adik memastikan kakaknya berada dalam keadaan baik, namun sebolehnya saya mahu Nabila berdikari sendiri. Saya tidak mahu ada masalah lain dibelakang hari..

Apa masalahnya?

Katakanlah, adik Nabila berkahwin. Dan mungkin juga kami ibu dan ayah telah menutup mata. Mahukah adiknya menjaga kakaknya dan pada yang sama mahu menjaga isteri/suaminya? Itupun kalau ipar Nabila sanggup menerima keadaan Nabila. Kalau ada yang tak terima? Ish..macam cerita drama pula.. Tapi kadang-kala bila difikirkan, saya rasa itu adalah realiti. Bukan semua orang boleh menerima keadaan oarang istimewa dalam hidupnya. Macam entry Ayu mummy Alanna semalam. Ada kawannya tidak mahu anak istimewa. Bagaimana?

Saya pernah bertanya pada adik beradik saya, yang mana saya berkeras mahu menghantar Nabila ke sekolah, mereka menghalang. Kata saya, kalau tidak di didik dari sekarang, bila saya tiada esok, adakah kalian mahu menjaga Nabila. Semuanya terdiam. Saya tahu bukan semua mampu menjaga Nabila. Sebab itu saya berusaha sendiri untuk membiarkan Nabila berdikari. Menangis di sekolah adalah satu pelajaran padanya bahawa dia perlu belajar untuk hidup sendiri.

Mungkin keras apa yang saya katakan. Atau mungkin salah pandangan saya. Saya mahu adik beradik Nabila menerima keadaan kakaknya itu. Dan saya tak mahu mereka menolak untuk menjaga kakaknya. Namun saya tak mahu anak-anak saya yang lain berfikir "Adakah kami lahir semata-mata untuk menjaga kakak" . Kasihan mereka..mereka juga punya kehidupan sendiri.

Kadangkala saya rasa tersepit dengan perasaan saya sendiri. Saya takut. Tapi saya mahu Nabila punya adik-beradik. Adakah saya terlalu negatif? Mungkin ya...

Agaknya apalah perasaan Nabila bila dia tahu keadaannya ini. Dia sendiri tidak mahu hidupnya menyusahkan orang lain. Saya tahu itu. Jauh disudut hatinya, saya tahu Nabila mahu berusaha sendiri untuk kehidupannya. Mungkin masa sahaja yang akan menentukan segalanya. Saya mengikut sahaja aliran perjalanan ini yang telah ditentukan-Nya...

23 March 2011

Antara anak dan diri sendiri..

Sejak kebelakangan ini rutin harian saya berubah. Saya sedang sibuk untuk diri sendiri. Namun saya kini berada di dalam dilema... :( Dilema tentang Nabila.

Selepas habis waktu bekerja, saya ke Wangsa Walk, Wangsa Maju. Ke Celebrity Fitness. Saya ingin cuba untuk mengurangkan berat badan saya yang sudah obes. Serius saya katakan, berat terakhir saya adalah 82 kg. Amat menakutkan saya. Saya dapat rasa saya semakin sukar untuk bergerak. Apatah lagi berjalan jauh. Berjalan sedikit sudah buat saya mengah.

Jika dulu saya masih ingat lagi, saya boleh memakai baju saiz M, blouse pun kecil, pinggang pun takdelah sebesar sekarang ini (sebab masa sebelum kahwin pun badan dah nampak berisi..hehe). Namun bila melihatkan orang lain yang lebih cantik dan bergaya dari saya walaupun anak sudah 2-3, saya cemburu!! Cik Abg pun selalu bising, sebab kena urut kaki dan pinggang saya setiap kali pulang dari kerja. Katanya, "Mana lutut awak ni? Dah tak nampak lutut dah!!" . Huhu...Lutut dah diselaputi lemak!!

Dan saya lihat adik saya sendiri sudah susut tubuhnya. Katanya mahu memakai pakaian yang cantik ketika majlis perkahwinannya nanti, dan yang baiknya, adik saya benar-benar sudah kecil. 10 kg turun dalam masa sebulan! Bukan mudah tau. Nak jaga makan dan workout gila-gila punya!!

Saya sendiri merasakan penat pada minggu pertama saya ke gym. Namun, setelah 2-3 hari saya ke sana, peluh pun dah banyak keluar, saya dapat rasakan saya semakin sihat. Yelah, nak turun tu bukan senang. Dalam seminggu ini, dapat turun 2kg. Dan setiap masa saya perlu pertingkatkan lagi aktiviti di gym. Tidak boleh di takuk yang sama saja. Mana nak turun macam tu!!

Walaupun ada yang kata membazir, tapi bagi saya tidak. Sebenarnya bila kita melakukannya di gym, kita akan rasa lebih bersemangat lagi. Lagi-lagi bila kita di treadmill, sebelah kita orang yang lari lebih laju dari kita. Kita sendiri akan segan untuk berjalan, dan sedikit sebanyak akan cuba menyaingi orang disebelah kita.. :) Dan saya aims mana-mana perempuan yang bertubuh cantik. Mahu jadi seperti perempuan itu..ahaks!! Saya juga jadikan adik saya sebagai sumber inspirasi saya. Andai dia boleh, saya juga pasti boleh..!!

Cuma bila sibuk tentang diri sendiri, saya rasakan Nabila sudah mulai kurang perhatian saya padanya. Tidak seperti dulu, saya akan lakukan aktiviti untuknya. Kali ini saya buat setakat yang mana saya mampu. Mujur juga nenek Nabila sudi membantu. Dia memberikan puzzle untuk Nabila bermain setiap hari. Bila saya pulang, Nabila sudah tidur keletihan. Kesian Nabila...

Mungkin ada yang kata saya pentingkan diri. Namun, saya harus menjaga kesihatan saya juga. Saya mahu sihat untuk menjaga Nabila. Namun bila keadaan Nabila berterusan begini, saya risau. Ini pun saya tidur di rumah mak sepanjang 2 minggu ini.Takkanlah saya nak terus-menerus tidur di Gombak pula. Aduhai...!!

Mujur Abang memahami. Yelah, nak isteri cantik, kenalah berkorban. Sebab itu saya terpaksa pergi setiap hari. Lagi cepat berat saya turun, lagi cepat saya dapat pulang ke rumah. Kesian Abang. Lagipun ini untuk kami berdua juga.

Andai kami diberi rezeki untuk menimang cahaya mata sekali lagi, saya akan pastikan saya telah berjaya menurunkan berat badan saya terlebih dahlu. Kerana sewaktu saya mengandungkan Nabila, makan saya langsung tak terjaga. Semua saya makan. Dan sudahnya, badan saya umpama belon! Dan kesannya juga saya mendapat kencing manis ketika hamil. Sangat menakutkan bukan?

Moga semangat saya terus kuat. Memang tak tahan godaan bila lalu depan fastfood, namun bila mengenangkan saya berlari di treadmill, cycling dan lain-lain, saya jadi fobia pula nak makan banyak. Hehehe... :)