Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

28 October 2012

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal (part 1)

17 Oktober 2012 (Rabu)

Pagi jam 9.30 . Saya dan Abang menyelesaikan perihal Nabila sebelum menuju ke Hospital Sungai Buloh. Hari ini saya akan dimasukkan ke wad terlebih dahulu bagi melihat keadaan kesihatan saya sebelum dibedah. Dan malamnya saya akan berpuasa selama 6 jam. Dalam hati sedikit resah, kerana esoknya saya akan dibedah. Banyak perkara yang bermain di minda saya ketika itu. Dengan keadaan Nabila yang agak kurang sihat membuatkan hati saya sedih meninggalkan dirinya. Berkaca mata ini bila mana saya menciumnya di dalam buaian. Doa ibu agar pembedahan ibu berjaya dan ibu masih dapat menatap wajahmu sayang...

Sampai di hospital, keadaan agak tenang. Selepas melapor diri, saya disuruh masuk ke ruang menunggu bersalin. Abang menantikan saya diluar. Saya berpesan padanya untuk membelikan saya roti dan sebotol air kosong untuk saya mengalas perut hari ini. Kata nurse kemungkinan saya hanya menunggu di ruang bilik bersalin lebih lama kerana kesukaran mendapatkan katil di wad. Faham sajalah, Hospital Sungai Buloh memang dah jadi tumpuan sekarang. Ramai nak bersalin kat sini. Ada yang saya tanya, sudah berhari-hari di ruang bilik bersalin kerana tidak dapat wad. Aduhhh..

Selesai melakukan CTG, saya hanya menunggu di ruang bilik TV. Sesekali terdengar suara nurse menjerit memberi sokongan pada  ibu-ibu yang bakal melahirkan dan kemudian tidak lama, saya dengar suara bayi menangis. Saat itu, sebak rasa hati. Kerana saya masih teringat tentang Nabila. Saya berjuang di situ juga, namun Nabila gagal keluar dari perut ibu dan menyebabkan kami berdua ditolak ke bilik pembedahan bagi mengeluarkan Nabila secara kecemasan...

Melihatkan kiri dan kanan orang mengerang kesakitan akibat kontraksi, membuatkan hati saya kecut. Kesian pada mereka yang mana sudah overdue dan berhari-hari menahan kesakitan. Untuk menghilangkan kebosanan, saya berbual dengan mereka yang berada di situ. Sehinggalah petang menjelang...

Saya agak hairan kerana nama saya tidak dipanggil untuk berjumpa dengan pakar bius. Sedangkan beberapa rakan yang sama seperti saya akan menjalani pembedahan secara elective telah dipanggil untuk diperiksa kesihatan oleh pakar bius. Sudahnya, saya menemui Abang yang telah membawakan makanan untuk saya. Agak lapar kerana makanan tengahari di hospital agak kurang menyelerakan tekak saya.

Saya berbual dengan Abang di luar, dan kemudian Abang pulang ke rumah. Kata saya tak perlu menunggu saya di sini, kerana mungkin saya akan dapat wad malam ini. Kesian pulak pada Nabila yang sedang menunggu di rumah. Sejurus Abang pulang, nama saya dipanggil. Rupanya doktor yang akan operate saya iaitu Dr. Sarah (doktor yang sama menyambut Nabila dulu) nak berjumpa dengan saya. Rupanya dia masih belum boleh melupakan kejadian Nabila. Mungkin itu antara pengalaman pahitnya sepanjang perkhidmatan dia sebagai doktor.

Kata saya, lupakan apa yang telah berlalu. Dan dia berjanji akan cuba melakukan yang terbaik pada kandungan saya kini. Mungkin ingin menghilangkan rasa bersalahnya atas apa yang terjadi pada Nabila. Dan pada saya , apa yang terjadi pada Nabila adalah suratan takdirnya. Ya, mungkin perit mengenangkan apa yang terjadi pada Nabila, namun sebagai manusia, saya tahu Allah telah merancang sesuatu yang hebat buat saya dan Abang. Saya yakin tentang itu...

Saya diperiksa oleh Doktor Sarah. Scan adik baby dan melihat keseluruhan keadaan saya. Tiba-tiba saya teringat tentang thyroid yang saya hadapi yang masih pending lagi status ujian darah saya. Lantas saya bertanya terus pada Doktor Sarah. Mujur saya beritahu dan katanya jika saya lalui pembedahan esok pasti akan ada kesulitan nanti.

Rupanya nama saya tidak dipanggil untuk diperiksa pakar bius tadi adalah kerana nama saya diletakkan pada hari Jumaat untuk pembedahan. Aduhai..Tapi menurut doktor Sarah, ada baiknya saya dibedah pada hari Jumaat kerana dia masih mempunyai masa untuk memeriksa thyroid saya esok...

Dan saya terus dimasukkan ke wad 6D di katil 14..Menanti apa yang bakal berlaku esok...


.....bersambung..

2 comments:

...mommy jue... said...

selamat berpantang dan jaga diri baik2 ye...

idura said...

Alhamdulillah....
dah slamat bersalin n dapat sepasang dah... =)) selamat berpantang.... mesti nabila gembira dapat baby baru.