Malam ni sudah malam kedua Nabila di Institut Pediatrik HKL. Serangan sawan di alami Isnin lepas membuatkan dirinya terpaksa 'check-in' di sana.
Hujung minggu sebelum kejadian, kami sekeluarga pulang ke kampung. Perjalanan bermula sedari Jumaat lepas. Pulang ke Rawang menjemput abang dan kemudiannya terus ke Ipoh. Atas tujuan keesokan harinya menghadiri majlis kenduri kahwin sepupu saya di Sg. Petani.
Dan keadaan Nabila sememangnya sihat. Tiada demam. Tiada selsema. Dan tiada penyakit lain yang datang menjengah.
Sabtu selesai majlis perkahwinan sepupu, kami pulang lewat. Sampai di Ipoh sahaja sudah pukul 11 malam. Nabila sudah tidur waktu itu dalam kereta. Kiranya sudah 2 malam Nabila tidur di dalam kereta yang serba tak selesa.
Ahad : Kami hanya lepak sahaja di rumah. Makan minum semuanya baik. malah, Nabila sempat lelap seminit dua di waktu petang. Dan malamnya kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur.
Keadaan jalan agak sesak malam ahad itu membuatkan kami agak letih sebenarnya. Sampai sahaja di Gombak pun sudah jam 12 malam. Nabila tidur dengan nyenyaknya. Tiada gangguan.
Pagi Isnin : Sempat Nabila bangun jam 5 pagi dan minta susu. Saya bancuh dan menyuruh ayahnya beri pada Nabila. Sempat dia main di atas katil sebelum terlelap dalam dakapan ayahnya.
Jam 7, saya tersedar dan terus bangun. Sudah terlewat sebenarnya. Saya sibuk di dapur menyiapkan sarapan serta bekal makan tengahari dua beradik ni. Saya tak sempat melihat dalam bilik apa yang Nabila buat ketika itu. Dan pabila saya masuk, untuk menggosok baju, saya lihat Nabila sudah bangun. Terkebil-kebil sendirian di atas katil. Sempat saya mencium pipinya...
5 minit berselang. Saya masuk semula ke bilik setelah selesai menggosok baju. Dan terkejut melihat Nabila sedang menggeletar dan mulutnya penuh air liur berbuih. Melompat saya ke katil mendapatkan Nabila dan terus mengejutkan ayahnya yang sedang tidur di tepi katil. Ayah Nabila berlari ke kereta untuk dapatkan diazepam (beg dalam kereta lagi sebab malam tu tak larat nak angkut semua beg naik ke atas rumah mak).
Diazepam di masukkan dan saya menunggu respon untuk sawannya berhenti. Namun, tiada tanda-tanda untuk berhenti. Kami mengambil keputusan untuk membawa Nabila ke hospital. Saya memandang jam ketika itu. Saya tak fikir untuk ke hospital menaiki kereta. Jalan Gombak-Jalan Setapak-Jalan Pahang sudah tentu sesak ketika ini. Terus Abang mencapai telefon dan menghubungi kecemasan 999.
Hampir 45 minit sejak serangan sawan bermula, barulah ambulans sampai. Saya sampai terpaksa meletakkan sudu di mulut Nabila kerana dia dah mula menggigit lidah dan dinding pipinya. Sungguh saya takut ketika itu. Saya menangis sambil meriba Nabila. Naufal yang berada di sebelah saya ketika itu terkebil-kebil. Saya terus menghantar Naufal ke rumah babysitter . Sian adik. Tak sempat menyusu pagi itu dengan ibu.. :(
Bila ambulans sampai, nurse terus set kan line untuk Nabila jika dia masih diserang sawan ketika itu. Sempat Nabila diserang sawan lagi di dalam ambulans sebelum tiba di HKL. Keadaan Nabila di emergency room ketika itu tak sedarkan diri. Sesekali dia mengeliat dan resah. Mungkin tak selesa barangkali.
Nabila di tempatkan di wad KK6. Sehingga petang, barulah Nabila sedar dari lenanya..
Masih mamai ketika ini.. Sian kakak...
Sehingga kini (entri ditaip) Nabila sudah berada dalam keadaan baik walaupun saya perasan ada beberapa benda yang kini mengganggu perkembangan dia. Contoh ketara droolingnya kembali. Memang Nabila ada drooling sikit, tapi takdelah macam kena lepasa sawan ni, meleleh je keje air liurnya.. Aduh..
Muka mengantuk dek penangan ubat sawan dan ubat demam...
Harapnya Nabila dah boleh keluar esok. Nak tunggu doktor neuro je datang check je pun. Saya dan suami pun dah takde cuti ni. Kalau admit lama-lama pun buat letih badan je sebab Nabila dan pulih sebenarnya..
Terima kasih pada semua yang mendoakan kesihatan Nabila, sampaikan mesej dan kata-kata semangat. Terima kasih semua!! Moga sawan Nabila tak kembali lagi...
4 comments:
Syafakallah la ba'sa tohur insya Allah, puan. Saya doakan Nabila dan puan sekeluarga sihat..
ish..saya terbayang andai saya berada di situasi anda..Allahuakbar
salam perkenalan..
InshaAllah akak sekeluarga sentiasa kuat dengan setiap cubaan. Setiap kali baca pasal adik nabila tiap kali tuh bergenang air mata teringat arwah abang. Arwah abang pon budak CP. Sama macam nabila. InshaAllah nabila akan terus diberikan kekuatan sama dengan arwah abang saya.
assalam,macam mana keadaan Nabila skrg? anak sy dh tiga kali diserang sawan separa,sy cadang nak rujuk ke HKL utk second opinion,skrg treatment di sebuah hospital swasta under paeds dept.
Post a Comment