Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

13 November 2014

Nabila Naufal dan Chicken Pox

Assalamualaikum,

Lama betul tak menulis di sini. Memang agak sibuk kebelakangan ini, macam-macam hal yang jadi pada anak-anak. Sampai tak sempat nak mencoret kisah mereka dalam blog ini..

Alhamdulillah, anak-anak sihat cuma si Kakak Nabila, baru sahaja hilang penyakit yang paling saya takuti iaitu - CHICKEN POX. Al maklumlah, saya sendiri belum kena..huhu..

Pada mulanya Naufal yang dijangkiti. Nampak bijik-bijik tumbuh di area 'bebird' nya. Saya ingat kan apa. Yelah, takde pengalaman. Selang 2 hari, nampak lagi banyak dan mula tumbuh di bahagian muka, tangan dan badan. Terus bawa ke klinik untuk confirmation. Betul ke chicken pox ni? Kat kepala ni asyik fikir manalah nak korek cuti kalau betul si Naufal kena penyakit tu. Skali bila doktor sahkan, terduduk kejap la ibu. Manalah nak cekau cuti paling koman pun 2 minggu nak bagi si Naufal pulih.

Last, saya mesej pegawai saya dan maklumkan saya mula bercuti esok. TANPA GAJI. Hurmmm, penyudahnya, 15 hari gak terperuk di rumah dengan anak-anak. Kuarantin punya pasal, naik tepu gak otak ni. Cuti tetap cuti, tapi keja kena jalan gak. Pinjam laptop office, buat kerja dari rumah. Nasib baik line internet ok dan sistem pun tak kacau sangat. Tu pun dapat buat kejap-kejap je. Selebihnya masa saya dihabiskan melayan kerenah si Naufal yang asyik nak suruh garu je...huhu...

 Budak yang sememangnya tak reti dok diam.. ada je benda nak dimainnya.. Jangan tanya kenapa saya pakaikan dia baju. Sebab chicken pox tu pecah2 dan air bisa dia kang kena plak si kakak..

Naufal kena penyakit ni pada 10.10.2014 . Cantik nau tarikh tu.. Tahun lepas sebelum nak sambut birthday pertama kena asthma.. tahun ni kena chicken pox pulak. Macam kena bayar plak sebelum naik umur kan...


Seb baik Opah Atun, Atok Halim, Nenek Saadiah dan Mak Nyah Nurul datang sambut birthday budak kecik ni. Sian adik, Kononnya nak buat la grand sikit. Lastnya, buat kecil-kecilan jelah. Tu pun selected person je boleh datang. Kang jangkit kang naye pulak..huhu..

Kasi senyuman manis sikit... gaya orang dah nak pulih dari penyakit chicken pox nya..

Main kereta dengan kakak. Rasanya masa nilah Nabila kena jangkit dengan Naufal..huhu..

Ni kat rumah mak, sibuk buai kakak Nabila. Waktu ni Naufal dah betul-betul pulih. Kat rumah mak sebab nak bergerak ke Kuala Kurau untuk menghadiri majlis pertunangan adik saya yang no. 4 . Arif Yazid  dan pasangannya An. 

Time kat Kuala Kurau tu nampak 2-3 biji tumbuh kat badan Nabila pulak. Masa tu memang berdoa sangat la bukan chicken pox. Skali masa nak bertolak ke majlis pertunangan tu, nampak tumbuh biji-bijian tu makin banyak di badan Nabila. Aduh..

Waktu tu, Nabila diam je tak meragam. Esoknya bagi air kelapa, mulalah tumbuh bak cendawan liar di badan, muka, tangan dan kaki. Merebak punyalah banyak sampai takde tempat nak cium dia. Mulah episod memberitahu pada bos yang saya bakal menyambung CTG saya selama 2 minggu lagi.

Tetiba dapat call, mak mertua saya offer nak jaga Nabila. Pada mulanya memang berat nak bagi mak mertua saya jaga. Almaklumlah, Nabila ni pun ada ragamnya gak. Lagipun kesian kat mak mertua sebenarnya. Tapi bila mak dah offer, aku terfikir balik keje kat opis melambak-lambak menunggu aku tu, terpaksa gak la terima offer mak. Memang sangat bersyukur dapat mak mertua yang sangat understanding.. hehe..Terima kasih Mak Atun sebab sudi jaga Nabila..

Dan bermula episod merawat si Nabila pulak. Sungguh entah berapa kali air mata saya mengalir  kerana kakak. Tak sanggup melihat dia menangis kesakitan kerana chicken pox itu. Agak lama gak Nabila nak pulih. Hari ini merupakan minggu ke 3 Nabila kena penyakit tu.Alhamdulillah dah surut banyak dan mula nampak senyumannya. 4 hari lepas, kena ketumbit pulak.. Asyik menangis je sakit.. macam2 dugaan kamu ni kakak..huhu..

Hari kedua selepas jangkitan penyakit tu.. Muka nampak bersih lagi. Tak nampak banyak sangat.. Cuba tengok ni...

Penuh muka badan tapak tangan kaki kepala (kepala paling teruk. besar dan bernanah di 3-4 tempat). Sungguh hati ini menangis melihat keadaan dirinya. Tak sangguppppp!!

Harapnya penyakit ni pergi jauh-jauh dari keluarga saya. Tak sanggup melihat mereka merengek, merintih sakit gamaknya. Lagi-lagi si kakak. Manalah dia nak bagitahu tempat mana sakit, tempat mana gatal.. kan kakak???

Terima kasih pada kawan-kawan yang sentiasa mendoakan kesihatan anak-anak ini..

18 July 2014

Hilang gigi...

Assalamualaikum semua..

Tengah malam tadi saya dikejutkan dengan insiden MH17 yang terhempas di Ukraine. Sungguh sayu melihat bangkai pesawat yang hancur berkecai. Dan di fikiran ini terbayang-bayang sanak-saudara kenalan yang telah kehilangan ahli keluarga yang mereka sayangi. Lebih-lebih lagi kita bakal menghampiri Syawal..

Al-fatihah dan salam takziah buat semua..

Bercerita tentang kakak Nabila. Alhamdulillah, anak itu sihat-sihat sahaja. Cuma kejadian 2 minggu ini membuatkan saya terfikir sejenak tentang dirinya yang sudah semakin membesar. Baru-baru ini suami saya mengesan sebanyak 3 batang gigi susu Nabila goyang. Sedia maklum, gigi Nabila memang cantik. Hanya ada masalah pada geraham kerana dia suka menggesekkan giginya. Sudah menjadi habit pula sewaktu dia kecil dulu.

Nabila yang sentiasa tersenyum.. :)

Dan pada awalnya, saya sudah menghubungi pihak hospital bagi meminta mereka mempercepatkan temujanji bersama doktor gigi. Namun, entah kenapa nurse yang menjawab panggilan itu seolah-olah tidak tahu apa yang perlu dibuat dan sudahnya saya mengambil keputusan untuk ke klinik gigi swasta untuk proses cabutan.

Pertama kali Nabila cabut gigi di klinik di Rawang. Doktor hanya memulas sedikit sahaja gigi Nabila di bahagian bawah dan proses cabutan itu sangat cepat. Agak ngeri saya melihat Nabila. Dan kemudian Nabila menangis kesakitan. 

Doktor menyarankan saya agar memberikan aiskrim sejurus sahaja cabutan dibuat. Dan kembali semula ke klinik untuk proses cabutan 2 batang gigi di sebelah atas pula. 

Dan Selasa lepas, Nabila tidak mahu minum susu. Sakit barangkali dan sewaktu saya memberinya makan nampak sedikit darah di keliling giginya. Terus saja mengajak Abang ke klinik gigi yang berdekatan (area Gombak- sebab lepas tu nak gi rumah mak). Sampai saja, doktor bertanya mengapa saya tidak membawa dia ke hospital sahaja. Kerana memandangkan nabila adalah anak istimewa dan saya perlu membawanya ke hospital untuk cabutan gigi tersebut.

Namun setelah berbincang, akhirnya doktor itu bersetuju mencabut gigi Nabila dengan charge bayaran sebanyak RM 100 untuk 2 batang gigi. Agak melampau juga. Mujur boleh claim dengan Perodua..

Dan kini, selamat tinggal gigi cantik Nabila. Yang tinggal hanya rongak di hadapan dan pastinya Nabila kelihatan lain menjelang syawal nanti. Alahai, tak comey dah anak ibu tak de gigi nak amik family photo nanti..

Gambar semalam.. :)

Owh ye..Nabila masuk newspaper tau hari Rabu lepas. Dalam Berita Harian... :)

Glem kakak dan ayah..hihi..

Ok, sampai sini saja.. Daa.. 

11 July 2014

Ramadhan datang lagi...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, bulan mulia ini datang lagi. Maaf lama tak menjengah dan mencoret sesuatu. Almaklum saja, sudah hampir sebulan lebih saya berpindah ke Jalan Duta. Dan sebulan lebih juga Nabila dan Naufal di letakkan di rumah pengasuh baru. 

So far, nampak anak-anak baik-baik saja di sana. Walaupun ada kala rasa resah hati saya lagi-lagi keadaan kakak yang ada kalanya sukar untuk difahami, namun dalam hati tetap terus berdoa agar Allah permudahkan babysitter baru Nabila menguruskan dirinya. Dan mujur kak Ida memahami. 

Dan berita baru.. InsyaAllah bermula bulan September nanti, Nabila akan bersekolah semula. Sekolah dan pusat jagaan baru di Kota Damansara. Pada awalnya saya tak berniat langsung untuk menghantar kakak ke sana. Namun bila mengenangkan kakak sudah jarang-jarang sekali berterapi, maka saya cuba untuk menghantarnya ke sana. Cumanya rutin berulang-alik akan jadi seperti dulu.

Bila difikir-fikirkan semula banyak sebenarnya masa yang saya buang untuk Nabila. Melihatkan orang lain berlumba-lumba membawa anak terapi ke sana sini, saya jadi segan. Jika dulu banyak perkara yang saya buat untuk Nabila. Namun kini, kekangan masa menjadi masalah pada saya. Dan harapnya nanti di sekolah baru, Nabila kembali berterapi secara intensif.

Alhamdulillah, Selasa lepas, wheelchair yang saya mohon dari JPA telahpun siap. Pada awalnya, saya kurang bersetuju dengan pemilihan wheelchair ini..


Saiz yang agak besar agak menyukarkan saya untuk memasukkan dalam kereta. Tapi bila berkali-kali cuba memasukkan wheelchair ini, barulah boleh masuk elok dalam bonet. Faham sajalah. Proton Iswara besar mana saja bonetnya jika dibandingkan dengan kereta lain. Sejak myvi diisytihar total lost, saya memang tak bercadang untuk membeli kereta lain. Memadailah hanya menggunakan sebuah kereta. Banyak lagi keperluan lain yang perlu saya fikir untuk anak-anak banding membeli sebuah kereta baru.

Bulan Ramadhan juga mengingatkan saya kisah lalu. Bercerita tentang kemalangan suami bersama myvi tahun lepas, cukup menggerunkan saya. Setahun sudah berlalu.Rasa cepat benar masa berlalu..

Ok, cukup sampai sini saja. Tak terlewat untuk saya dan keluarga mengucapkan Salam Ramadhan buat semua pembaca di sini.. 

Bye!!

15 May 2014

Rezeki Kakak Nabila..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk menulis di sini lagi. Sabtu last week Ibu, Kakak, Ayah dan Adik dapat jemputan khas sempena Hari Ibu di PWTC. Anjuran IKIM.FM. Kak Raja Rohaisham yang menjemput saya sebenarnya. Dan rezeki ini juga dirasai oleh Alisya Ummi Ita dan Habib Ibu Zura. Sebenarnya memang tak sangka kami antara tetamu khas yang dijemput. Segan rasa bila ada mata-mata memerhati kami tatkala saya menyorong Kakak Nabila masuk ke dewan.

Untuk pertama kalinya ibu melihat artis, Hafiz Hamidun di hadapan mata saya. Dan dia datang pada saya dan bertanya beberapa soalan. Kaget sekejap saya dibuatnya. Nabila pula mujur diam ketika itu.Sebelum tu menangis sewaktu seseorang (tak ingat sapa nama) sedang bacakan sajak Hari Ibu. Dan ketika itu, kakak Nabila menangis beria-ia.. Konon-konon sedih sangat sajak tu. tapi memang sedih pun.. Dok cover je jangan menangis depan orang..huhu..

Masa ni DJ-DJ radio IKIM tengah buat gimik sempena hari Ibu..

Nombor meja kami.. Jemputan Khas -Ibu Anak Istimewa...

Ayah dan Adik.. tumpang tuah kakak.. Alhamdulillah...

Terima kasih kakak Nabila.. Rezeki kami wahai anak.. Alhamdulillah..

Pencetus Ummah Rahmat . Comey je orangnya.. Sejuk mata memandang. Harpnya Naufal akan jadi sepertinya..hehe..

Taraaa.. Hafiz Hamidun. Tengah nyanyi dari album zikir terapi dia.. sejuk je rasa dewan.. :) Rasa nak lolap pun ado.. hahaha.. sebab zikir dia memang saya slalu pasang untuk budak2 ni dengar sebelum tido.. :)

 Adik Naufal macam-macam gaya dibuatnya.. Siap baring2 atas karpet lagi.. adoiyaiii anak..

Paling tak disangka, rupanya ada sedikit sumbangan dan IKIM untuk kali berlima family.. Opss lupa.. Keluarga yang turut sama hadir juga ialah Encik Hasan Suyut, Ayah kepada Atiq Wazif dan juga tuan punya badan yang menjemput, Kak Sham, Abang Fendi dan Annur. Terharu rasa bila menerima sumbangan ini. Ketar gak lutut nak amik sumbangan di atas pentas..

Dan akhir sekali, bergambar kenangan bersama semua yang terlibat. Seronok.. 

Terima kasih pada Kak Sham kerana beri peluang ini. Memang tak terpikir langsung nak hadir ke majlis begini. Tambahan pulak harga tempahan meja makan ni mencecah ratusan ringgit...

Kenangan takkan saya lupakan buat selamanya.. :) Alhamdulillah...

06 May 2014

Kisah kami...

Assalamualaikum..

Lama sungguh tak update blog. Entry birthday Nabila tu ibu buat schedule. Lama dah tak bercerita-ceriti tentang kami sekeluarga.

Alhamdulillah, usia saya naik setingkat lagi. Walaupun sudah mencecah 3 series tapi terasa masih muda lagi youuu!! Muahaha.. Takdelah.. Bila fikir-fikir balik tak sangka sebenarnya Allah berikan saya umur sepanjang ini untuk meneruskan kehidupan di samping keluarga tersayang. Dalam hati ini sangat bersyukur, Allah berikan saya kekuatan, kesihatan yang baik demi anak-anak dan suami saya.

Bulan lepas, saya telah menerima kehadiran ahli anggota baru dalam keluarga Pak Ali. Adik saya selamat melahirkan baby girl yang diberi nama Nursafiya Alisha. Alhamdulillah, baby dan mak baby pun sihat. Dan seronok hati ni usah ceritalah sebab teringin sangat nak anak perempuan. Masa dapat Naufal dulu memang teruja, tapi tak seteruja dapat anak perempuan. Sebab apa? Geram nak pakaikan baju cantik-cantik macam Kakak Nabila dulu.. Macam ni...

Comel tak kakak Nabila dulu.. Baby paling cantik yang pernah ibu jumpe di dunia ini... Muahhhh!!!

Dan ini antara gambar Nursafiya Alisha..

 Yang 1st tu masa first day kelahirannya. Muka dah macam muka mak dia.. Yang gambar kedua tu dah 2 minggu selepas lahir.. dah macam muka ayah dia pulak.. yang ke 3 ni, macam muka mak dia balik.. hahaha.. tengah cari identiti gamaknya.. Maknya baru nak merasa tak tido malam jaga anak.. hihi.. Good Luck Kanging!! Aku dah puas merasa dah semua tu.. hehe..

Ok.. Kisah rumah saya pula.. Sekarang ni, saya sudahpun berpindah ke Jalan Duta. Permohonan Kuarters saya telah pun diluluskan dan haritu, bertungkus-lumus mengemas barang-barang untuk pindah. Rumah Rawang still lagi ada, cuma masih tak fikir lagi sama ada nak sewa atau tidak. Kut plan saya, rasanya nak buat homestay je. Ok tak? Kalau ada idea nanti komen kat bawah ek. Saya tak tahu prosedur nak buat homestay ni. Kut ada rezeki kakak Nabila nak tambah pendapatan sampingan. Alhamdulillah.. :)

Cuma sekarang ni, saya masih belum duduk sepenuhnya rumah di Jalan Duta. Hanya datang pada hujung minggu. Mulai bulan hadapan, Naufal dan Nabila akan duduk bersama babysitter baru. Mudah untuk saya sebenarnya menghantar mereka. Jika stay dengan babysitter lama, susah juga untuk berulang alik ke Gombak mengambil menghantar anak-anak. Makanya, terpaksalah saya merelakan hati melepaskan anak-anak dibawah jagaan orang baru. Harapnya Naufal dan Nabila serasi dengan babysitter baru..

Trima kaseeeyyyy!! hihi...

Kisah anak kecil ini. Yasier Naufal kini disahkan penghidap Asthma. Sungguh saya tak tahan rasa hati ini bila doktor HKL sahkan Naufal dengan penyakit barunya. Kekerapan di nebulizer membuatkan Naufal dapat penyakit itu. Dan tahun ini saja sudah 2 kali Naufal dimasukkan ke wad kerana jangkitan kuman paru-paru.

Doktor menyarankan Naufal untuk menggunakan ubat sedut berwarna biru bagi mengatasi masalah Asthmanya. Walaupun ubatnya tak selalu digunakan, saya cuba untuk elakkan Naufal kerap menggunakan ubat sedut itu. Saya sebenarnya tak sangka Naufal akan mengikut jejak langkah pakcik dan makciknya sebagai penghidap Asthma. Dan hati saya seringkali rasa bersalah kerana tidak menjaga anak ini dengan sebaik-baiknya. Kata mak, mana nak larang bila semua benda dimasukkan ke dalam mulut. Tambahan pula keadaan rumah mak yang sering berbau asap rokok. Atok Naufal la.. huhu...

Apapun, kalian doakan anak ini sentiasa diberikan kesihatan baik. Sedih bila tengok dia kurus kering bila penyakitnya menyerang. Dan lagi sedih bila lihat Naufal sukar bernafas walaupun dalam hatinya melonjak-lonjak nak main dengan atok dan neneknya..

Dan Akhir sekali..kisah si puteri cantik ini...

Alhamdulillah, kakak sihat sentiasa. Yelah, sejak-sejak jadi kakak ni, nampak sangat kakak behave. Pandai bawak diri sebab tahu ibu memang terkejar sana-sini menguruskan semua hal terutama hal adik. Kadang-kadang bila Naufal admitted, ibu akan teringat-ingat kakak. Selalu bertanya pada ayah Nabila, apalah yang anak dara tu tengah buat kat rumah neneknya. Sedih kadang-kadang sampai menitik air mata ibu mengenangkan kamu wahai kakak.. Apakan daya ibu. kalau boleh dibelah badan ni kan senang!! 

2 minggu lepas, ibu berdebar sebenarnya. Kakak batuk-batuk sepertinya kurang sihat. Dan kemudian diikuti dengan demam. Ibu risau kakak kena jangkitan kuman macam adik. Rasanya banyak juga ubat ibu beri namun tak pulih-pulih. Lastnya, ibu dan ayah bawak kakak ke klinik di Rawang. Barulah hilang segala penyakit kakak. Ubat klinik sebelum ni memang tak lut langsung untuk kakak. Ibu ada terfikir nak bawak ke rawatan alternatif, namun bajet tak berapa cantik, ibu pendamkan saja hasrat itu. Ya, kakak sudah lama tak berterapi. Rasa bersalah penuh dalam dada ibu ini. Kakak doakan ibu dapat cari duit banyak-banyak untuk kakak. Supaya kakak terus dengan sesi terapi kakak lagi..

Apapun, terima kasih pada pembaca blog ini yang sering datang berkunjung ke sini walaupun sekarang ni saya jarang sangat dah update blog. Lagi-lagi yang nak tahu tentang Nabila. Sungguh saya cuba juga mencuri masa untuk mencoret sedikit buat tatapan semua. Dan juga mungkin ia akan menjadi coretan-coretan terindah dalam saya membesarkan Nabila dan Naufal. 

Terima kasih atas ucapan birthday Nabila. Andai Nabila dapat membaca setiap doa yang diberikan oleh semua, pasti bergenang air matanya. Saya sendiri sebak melihat ucapan doa tak putus-putus di dalam facebook saya dan Nabila. Terima kasih.. :)

17 April 2014

Selamat Ulangtahun ke-6 Yasmin Nabilah!!

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, kakak sudah menginjak ke angka 6. Dan selama 6 tahun juga Allah pinjamkan kakak untuk ibu.. Terima kasih Allah kerana mengurniakan anak ini buat hambamu ini..

6 tahun berlalu. Jika benar kakak sihat, sudah pasti kakak sibuk di alam persekolahan. Pasti riuh mulutnya bercerita hal sekolah. Bercerita hal rakan sekelas. Dan mungkin saya juga sibuk mencari sekolah yang terbaik buat puteri ini.

Namun perancangan Allah Maha Hebat. Kakak lebih rela terlantar terbaring begitu. Ya, saya sememangnya sudah lama redha dengan ketentuanNya.

Kalau nak diikutkan hari lahir Nabila memang betullah jatuhnya pada hari khamis. Dan hari ini juga adalah hari khamis. Masih terasa sungguh di perut ini bagaimana keadaan Nabila ketika itu. Dengan rasa kontraksinya, dengan rasa resah gelisahnya.. Semuanya cukup. Kesakitan yang ibu alami sewaktu melahirkan kakak membuatkan ibu gerun untuk mengahadapinya sekali lagi tatkala adikmu lahir sayang. Andai ibu tahu, ibu rela dibelah perut ini. Biarlah ibu yang sakit, bukan dirimu yang menanggung semua ini.

Apa yang terjadi pada Nabila ada hikmahnya. Sungguh besar sekali nikmat yang Allah beri pada saya ketika itu. Adanya Nabila cukup memberikan satu erti pengorbanan tentang hidup ini. Suka duka bersama anak ini sangat mendebarkan dan ada kalanya sangat menggembirakan saya.

Biarlah apa yang berlalu terus berlalu. Yang pasti saya akan terus menjaga anak ini sebaik mungkin. Maaf kan ibu andai ibu tak dapat berikan yang terbaik untuk kakak. Adakala ibu mungkin mengabaikanmu sayang. Namun tidak sedikitpun luruh kasih ibu terhadapmu. Malah bertambah lagi. Moga kakak terus diberikan kesihatan baik dan dapat bersama-sama dengan ibu, ayah dan adik Naufal..

Selamat Hari Lahir Sayang..


Love, 
~ibu~

24 February 2014

Realiti kisah anak istimewa

Assalamualaikum..

Cerita yang bakal saya coretkan kali ini bukan ingin meraih simpati sesiapa. Ianya realiti yang pernah saya lihat dalam kehidupan ini..

Anak istimewa, siapa yang mahu anak mereka menjadi insan istimewa. Mereka juga manusia. Ingin dimanja, dibelai dan diberi kasih sayang sepenuhnya. Bukan itu sahaja mereka perlukan perhatian kerana mereka tidak mampu untuk lakukan perkara sepertimana insan normal yang lain buat sehari-hari.

Bila kehidupan mereka tidak diingini oleh orang sekeliling, mulalah kisah sedih menjelma. Lagi-lagi mereka dibuang oleh ahli keluarga sendiri. Apakah mereka mampu bersuara? Sudah tentu tidak. Bayangkan jika ianya terjadi pada anda. Pasti menyedihkan kan?

Saya tak dapat membayangkan andai Nabila merasai semua itu. Mungkin sekarang perkara itu agak mustahil kerana Nabila masih mempunyai saya. Andai saya dijemput Tuhan? Adakah Nabila akan mendapat kasih sayang sama seperti yang saya curahkan padanya?

Saya melihat sendiri seorang anak dibuang oleh ayahnya. Dan anak itu telah kehilangan ibu sewaktu dirinya dilahirkan. Seorang ayah yang tak mampu untuk manjaga anaknya (konon-kononlah tu pada dasarnya..walhal sememangnya tak dapat menerima hakikat anaknya seorang anak istimewa). Dimanakah perasaan kasih seorang ayah, sanggup memberikan anak itu kepada insan lain untuk menjaganya. Dan kini insan itu telah pergi buat selama-lamanya..

Apa hal pula dengan anak istimewa itu? Apa untung nasibnya kini? Dia punya adik beradik yang lain namun tiada seorang pun datang menjengah. Begitu juga dengan si ayah. Tidak ada sedikit rasa simpati dan kasih untuk melihat anaknya.

Pada saya, "Esok kau jawablah dengan Allah di sana nanti.."

Dulu saya tak mengerti perasaan anak istimewa ini. Hadirnya Nabila memberi seribu rahmat buat saya. Kerana Nabila sifat ihsan kasih sayang wujud dalam diri ini. Dan sepertinya memahami keadaan anak-anak istimewa lain. Begitu juga hati seoang ibu bapa istimewa. Hati mereka rapuh.. Namun dalam kerapuhan itu terselit sedikit kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Anak diumpamakan seperti bidadari dari langit. Ya begitu juga perasaan saya terhadap Nabila.

Pernah saya terfikir tentang keadaan Nabila selepas ketiadaan saya nanti. Ada kala saya terfikir untuk mahu Nabila pergi dahulu dari saya. Tapi tak sampai seminit, air mata bergenang. Saya tak mampu untuk membayangkan perasaan bila saat itu datang. Bagaimana keadaan saya tanpa Nabila? Kejamkah saya untuk berfikir sedemikian? Kerana takut Nabila kurang kasih sayang dan tiada siapa yang mahu menjaganya dan kerana itu saya mahu dia pergi dulu? Terukkah saya sebagai seorang ibu berfikir begitu? Cuba letakkan diri anda pada kasut saya. Adakah anada akan fikir perkara yang sama?

Saya pernah rasa kehilangan. Walaupu cuma anak orang lain. Sahabat paling rapat dengan kami. Kehilangan anak itu sepertinya pedih luka dalam hati ini. Walaupun anak itu bukan darah daging saya. Namun ianya sudah saya anggap seperti anak sendiri.

Andai Nabila pergi, saya tak pasti akan kuatkah saya ketika itu. Anak yang sentiasa dalam dukungan saya. Makan, minum, mandi, duduk, baring, tidur semuanya dia atas pangkuan saya. Susah untuk saya bayangkan. Dan kemudian saya berhenti untuk berfikir. Tak mahu berfikir lagi tentang itu. Takut!!

Jika ada yang membaca coretan ini, ketahuilah saat tikanya anak itu di istilahkan anak istimewa, mereka sememangnya istimewa di mata kita semua. Layanan yang diberikan haruslah setimpal dengan gelarannya '"Istimewa". Mereka istimewa di dunia, dan istimewa di syurga juga.

Buat anakku Yasmin Nabilah, ketahuilah ibu dan ayah bersyukur dengan kehadiranmu banyak mengajar kami erti hidup yang sebenar...

Air mata saya dan suami berguguran bila mengetahui anak ini adalah anak cerebral palsy... Moga dirinya sentiasa dilindungi Allah s.w.t ..

23 February 2014

Bila si adik sudah bisa berbicara..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, dapat juga luangkan masa menulis di sini. Minggu ni kami dikhabarkan dengan berita sedih kerana telah kehilangan Atok (sebelah ayah saya) pada Khamis lepas 20.2.2013 . Mujur sempat untuk melihat wajah arwah sebelum dikebumikan. Al-fatihah buat arwah atok. Moga arwah atok berada bersama-sama dengan orang-orang mukmin.. Aamiin..

Kisah adik..

Kebelakangan ni, saya perasan Naufal sudah membunyikan beberapa perkataan yang mudah disebut. Termasuklah Ibu, Ayah dan Kakak. Ayah dialah yang paling 'frust' sebab Naufal bukannya sebut Ayah.. tapi sebut Abah!! Hahahaa.. berpuluh kali gak la si ayah Naufal memperbetulkan sebutan dia. Tapi budak biasalah..makan masa nak pandai!! hihi..

Dan paling best ibu tengok Naufal dan mula pandai nak ajak kakak Nabila main. Dan kemudian bila disuruh cium kakak, kemain lagi cium sampai keluar bunyi 'muaaahhhh'. Selama ni, dia macam takut-takut nak dekat kakak sebab kadang-kadang kakak agak ganas gak. Tangan kaki meraban sana sini. Sekarang ni dah berani dah pegang tangan kakak. Siap borak-borak lagi..

Naufal dan mula sebut perkataan Kakak. Tapi biasalah budak..sebutan pun bukan betul sgt. Jadinya 'Tatak' . Nasib baik tak 'Katak' hihi...

Alhamdulillah. Nikmat rasa mempunyai anak tipikal. Dan perasaan ini sepertinya satu gantian bila dibandingkan perasaan saya kepada kakak dulu. Bukan kesal namun lebih kepada perasaan sedih. Ya, saya pernah berharap kakak bertutur dengan baik juga. Pernah dulu kakak menyebut 'Ibu' . Dan kemudian ianya hilang. Mungkin kerna serangan sawan dulu membuatkan kakak tidak lagi mampu bertutur memanggil ibu.

Moga adik terus membesar dengan sihat. Dan mampu membantu dari segi perkembangan kakak nanti. InsyaAllah.. Aamiin..




28 January 2014

Epilim, Clonazepam dan Lactul

Assalamualaikum w.b.t ..

2 minggu lepas, saya ada bercerita tentang ubat sawan Nabila yang telah diubah dos nya oleh doktor pakar Neuro di HKL. Sejak 2 minggu lepas juga, saya menampakkan sedikit demi sedikit perubahan pada tubuhnya.

Pada awalnya, memang saya tidak mahu memberikan ubat sawan kepada Nabila. Oleh kerana penyakit sawannya masih belum berkesudahan, lebih-lebih lagi menjadi lebih teruk, jadi saya ambil keputusan untuk memberikan ubat itu semula kepada Nabila. Bersama juga ubat Lactul yang perlu Nabila ambil bagi mengatasi masalah sembelitnya.

Sungguh sayu hati ini bila terpaksa memberikannya pelbagai ubat. Cukuplah sedari lahir tubuh Nabila dipenuhi ubat. Kini, masih lagi bergantung pada ubat sepenuhnya.. Tiada pilihan !! Maka, saya terpaksa teruskan juga.

Namun, bila melihatkan tubuh dan keadaan Nabila ketika ini, sepertinya saya harus mengucapkan tanda syukur. Kerna apa yang saya lihat kali ini, masalah sembelit Nabila sudah HILANG.. Setiap hari dia akan membuang. Nak kata ubat Lactul tu berkesan atau tidak, seingat saya, saya pernah memberikan sebanyak 20ml sehari bagi mengatasi masalah sembelitnya. Namun masih TAK BERJAYA. Bezanya kali ini, dos yang doktor berikan adalah HANYA 10ml sehari.

Berbalik pada kisah ubat sawannya, Epilim dan Clonazepam. Jika dulu, Nabila pernah makan Epilim sebanyak 8ml (dos paling tinggi pernah dia makan dulu - diberikan oleh doktor HSB) namun masalah sawannya tetap ada. Sebelum ini juga Nabila pernah makan Clonazepam sahaja sebanyak 8ml sehari namun, sawan tetap ada. Oleh kerana itu, doktor Neuro HKL telah modified  kuantiti ubat yang Nabila ambil kini. Pengambilan Epilim sebanyak 4 ml (dos tertinggi setakat kini) dan Clonazepam sebanyak 2.5ml telah diambil Nabila setiap hari sebanyak 2 kali. Dan alhamdulillah, jerking dan spasm Nabila juga turut hilang.

Dan harapan saya, agar sawannya pulih dan dos ubat dikurangkan atau lebih senang, terus dihentikan. Kalau nak diikutkan hati, tak nak bagi dah..tapi bila memikirkan kalutnya saya ketika Nabila diserang sawan pada hari Krismas lepas, membuatkan saya jadi fobia.

Apapun, saya hanya merancang dan cuba memberikan yang terbaik pada anak saya. Memang banyak kaedah perubatan kini, namun saya perlu memikirkan pula kos dan keadaan yang sememangnya sedikit sebanyak memberi impak kepada kami sekeluarga. Ramai yang cuba mencadangkan beberapa rawatan kepada saya, namun saya terpaksa menolak dengan baik. Terima kasih pada mereka yang tak putus-putus mendoakan kesejahteraan dan kesihatan anak saya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian..

wajah ceria anak ini pengubat hati saya di kala sedih dan pilu mengenang nasibnya akan datang..


21 January 2014

Dugaan hebat di permulaan tahun baru 2014..

Assalamualaikum..

Maaf, lama sungguh meninggalkan rumah ini. Banyak perkara yang berlaku dalam hidup kami anak beranak sepanjang bulan ini. Bagi mereka yang menjadi rakan dalam facebook, pastinya sudah tahu apa yang terjadi pada kami semua... Pada yang  belum..meh saya cerita.. 

Last entri berkenaan serangan sawan Nabila yang sangat mengejutkan saya. Sungguh itulah penghujung tahun yang saya rasakan penutup dugaan kami 2013. Memang banyak perkara yang berlaku sehinggakan tak termampu pula untuk dicoretkan di sini. Sebab kenangan pahit itu biarlah berkubur begitu sahaja. Dan semoga ianya menjadikan diri kami lebih TABAH !!

Permulaan di tahun baru 2014 menyaksikan sebanyak 3 kali saya dan Abang berkejaran ke hospital. Gara-gara kesihatan anak-anak kami yang kurang baik. Sungguh hati saya tak mampu untuk melihat kesakitan anak-anak dek penangan demam selsema batuk yang berpanjangan. 

Bermula pada 2 Januari Naufal dimasukkan ke wad KK1 kerana masalah Bronchopneumonia. Nafas Naufal sangat laju ketika saya membawanya ke wad kecemasan. Dan Naufal di letakkan gas oksigen kerana bacaannya 'kurang cantik' .

Malam itu, Naufal tak lena. Sekejap-sekejap menangis sehinggakan saya sendiri letih melihatnya menangis kerana tidak selesa. Tak mampu untuk saya lakukan apa-apa melainkan hanya breastfeeding!! Dengan harapan susu saya akan mengurangkan kesakitan dan serangan kuman bertubi-tubi dalam paru-parunya...

Wajah adik sebelum dimasukkan ke hospital. Dan ketika ini, Naufal masih belum sihat walaupun dah diberikan nebulizer..

Hati ini bagai di carik-carik bilamana anak yang riang ini terlantar terbaring diam di atas katil hospital...


Naufal yang tidak seperti selalu. Tiada senyuman. Tiada gelak tawanya. Hanya terbaring lesu di sisi saya...

5 hari berkampung di hospital. Dan hari ke 3, saya pula dijangkiti demam selsema batuk. Saya cuba menelan paracetamol yang dibawa oleh Abang kerna mahu lebih kuat untuk menjaga Naufal di wad. Mujur malam itu, Naufal baik-baik sahaja. Hanya tidur dan minum susu sahaja. 

5 hari berselang, kami dibenarkan pulang. Dan ketika itu Naufal kelihatan baik sekali. Sudah mampu untuk berjalan sendiri dan merengek mahu main di taman. Perasaan saya ketika itu? Teramat lega bila saya dapat melihat dia senyum bermain di hadapan mata saya.

Pulang ke rumah dan hanya selang sehari, Naufal cirit-birit pula. 4 hari saya menunggu di rumah dan ke klinik mengambil ubat untuk Naufal, namun tidak berjaya. Dan pada hari Sabtu 12 Januari (sepatutnya kami ke Pulau Pangkor atas unrusan hari keluarga anjuran rakan-rakan se 'kilang' Abang - trip cancelled- hanya ayah Naufal je pegi sbb dia urusetia..huhu) saya membawa Naufal ke Hospital Kuala Lumpur sekali lagi kerana Naufal kelihatan tidak bermaya akibat cirit-birit yang melampau.

Dapat je katil kat wad, lena tido setelah dimasukkan air.

Dan di situ, hampir 2 hari juga saya berkampung... :(

Bila doctor sahkan Naufal boleh keluar wad pada keesokan harinya, mak saya menelefon dan menyatakan Nabila muntah-muntah sehingga menampakkan sedikit darah ketika muntah. Dan Abang ketika itu baru sahaja pulang dari Pulau Pangkor, bergegas ke hospital dan kemudian balik rumah untuk membawa Nabila ke hospital pula. Kesian Abang ketika itu...

Kakak Nabila di tahan di Wad KK2 pulak. Tak dapat satu wad sebab kakak Nabila juga pernah dimasukkan ke wad KK2 kerana sawannya itu. Alhamdulillah, rupanya ada hikmah kakak masuk wad. Doktor review semula ubat sawannya dan memberikan kuantiti yang betul. Ubat epilim syrup sebanyak 2 ml dan kemudian dinaikkan sedikit demi sedikit. Manakala ubat clonazepam diturunkan dos nya dari 4ml ke 2.5ml
Bila kedua-duanya masuk hospital serentak, kalut juga saya dan Abang dibuatnya. Dan hari 3 Naufal di hospital, saya terus mohon pada doktor untuk discharge kerana khuatir keadaan dalam bilik itu yang semenangnya banyak kuman. Naufal sudah mula menunjukkan tanda-tanda selsemanya kembali..
Moment paling syahdu adalah bilamana Nabila rupanya menantikan saya untuk diberikan susu dan makan. Nabila dijaga oleh ayahnya kerana Naufal mahukan saya untuk menyusu. Sungguh jika diberi pilihan, mahu sahaja dibelah badan ini agar saya dapat menjaga kedua-dua anak saya.
4 hari Nabila di hospital, akhirnya keluar juga. Nabila juga disahkan brochopneumonia namun tidaklah seteruk Naufal yang perlu di neb setiap 4 jam sekali. Nabila di jangkiti kuman pun mungkin kerana sewaktu Naufal sakit, mereka berdua  baring bersama. Dan Nabila juga ada melawat Naufal di wad. Saya sepatutnya melarang Nabila ke hospital, namun kerinduan pada anak ini tak terhitung banyaknya. Padahnya, Nabila juga di syaki brochopneumonia...

Selesai keluar hospital, anak-anak ini masih belum pulih sepenuhnya. Naufal masih batuk dan sudah 2 kali saya membawanya ke klinik. Risau bertapak kembali dalam hati saya kerana khuatir Naufal dijangkiti kuman lagi. 

Siapa yang mahu anak sakit? Semua tak mahu kan? Pastinya!! Namun saya mengharapkan agar semua ini berlaku ada hikmahnya. Agar saya lebih berhati-hati dan sentiasa memastikan kedua beradik ini berada dalam kesihatan yang baik.

Dua beradik nak gaduh..hihi.
p/s: Kuarters telah berjaya di perolehi, namun kerana sibuknya saya di wad ketika itu, rumah kuarters saya dinaiki air dan meranapkan lantai parkir 2 bilik saya. Sudahnya, masih belum ada jalan bila untuk saya pindah ke Jalan Duta... :(