Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

30 December 2010

Kami menangis bersama-sama...

Sudah beberapa hari meninggalkan blog tanpa sebarang update. Entah kenapa jari-jari malas benar untuk menaip. Padahal ada kisah yang ingin ku ceritakan pada semua.

Kejadian yang berlaku pada minggu lepas, bagiku sangat menakutkan. Waktu itu, aku sedang drive untuk pulang ke rumah. Nabila pula ketika itu sedang tenang berada di dalam car seat nya.

Dan bila tiba di satu lampu isyarat, aku berhenti. Dan kemudian aku menarik hand brake . Faham-faham sajalah kereta Abg. Kalau tarik hand brake bunyinya mmg kuat. Entah apa yang melekakan Nabila ketika, membuatkan dia terkejut betul bila mendengar bunyi hand brake tu. Padahal bukannya tak pernah dia mendengarnya. Dan sudahnya, mulutnya mulalah mencebik. Dan diikuti tangisan yang kuat.

Pada mulanya aku memujuk seperti biasa. Tapi bila tangisan Nabila sukar berhenti dan malah lebih kuat lagi, aku terus panik. Dan sempat aku menjeling-jeling pada Nabila dan dalam kesamaran gelap malam pekat, aku dapat lihat Nabila menggenggam kedua tangannya dengan erat ke dadanya. Matanya terkedip-kedip seperti takut untuk memandang dan seperti orang menahan nafas. Aku terus berhenti di stesen minyak dan terus memeluknya. Aku cuba untuk menyedarkan tindakan Nabila, namun raungannya makin kuat. Malah kaki dan tangannya keras kejang. Matanya masih lagi berkeadaan kedip-kedip. Dan perkara itu berlangsung selama setengah jam. Aku sendiri tak tahu apa yang harus ku lakukan, Sudahnya air mata ini mengalir melihatkan keadaan Nabila. Aku peluk Nabila erat.

Puas aku memujuk, namun gagal. Dan lantas aku menghidupkan enjin semula dan terus pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan aku tawakal dan berdoa agar tiada perkara yang buruk berlaku pada Nabila.

Sampai saja dirumah, Abg terkejut melihat keadaan Nabila. Dan kata Abg, dia mahu membawa Nabila ke hospital. Aku melarang kerana aku tak pasti apa yang berlaku pada Nabila. Aku sendiri tidak tahu apa yang harus ku katakan pada doktor. Dan terus aku mencapai telefon dan merakam apa yang berlaku pada Nabila.

Dan hampir sejam juga kami menenangkannya. Dan tak lama selepas itu, Nabila kelihatan tenang semula. Itupun setelah aku berikan ubat demam kerana aku rasa badannya mulai hangat. Dan malam itu Nabila tidur dengan lena.

Esoknya aku memantau keadaan Nabila. Alhamdulillah, Nabila sudah kembali normal. Namun, hati ini masih gusar dan menjadi tanda tanya. Apa yang berlaku pada Nabila sebenarnya? Aku menceritakan keadaan itu kepada Puan Zu, therapist untuk OCCT. Katanya kemungkinan Nabila diserang sawan. Entahlah. Aku sendiri tak pasti. Dan cadangnya, aku akan menunjukkan hasil video yang aku ambil ketika kejadian itu untuk ditunjukkan kepada doktor peads nya nanti.
Risau hati hanya tuhan saja yang tahu........

p/s : Selamat Tahun Baru pada semua rakan-rakan bloggers.. :) Sekejap benar masa itu berlalu. Moga tahun hadapan lebih baik dari tahun ini. InsyaAllah.. :)

25 December 2010

Manakan tahu kesusahan itu akan membawa kesenangan...

Melihatkan kisah Ahmad Albab di TV yang menangis tiada henti mengingatkan aku tentang Nabila sewaktunya kecil dahulu.

Nabila juga dahulunya begitu. Menangis sedari umur 1 bulan sehinggalah berusia 5 bulan. Pantang saja maghrib menjelang, tangisannya kedengaran sehinggalah tengah malam. Pelbagai cara dilakukan, namun tangisannnya sukar dihentikan.

Aku sendiri kurang pasti apa yang tak kena pada anak ini. Sehinggalah aku sendiri menangis tatkala melihat dirinya menangis tak henti-henti. Dan masih ku ingat ketika itu. Bulan puasa tahun 2008. Aku sudahpun pulang ke rumah ku di Rawang. Kononnya mahu hidup sendiri berdikari. Baru saja nak berbuka puasa, Nabila sudah terpekik-telolong. Sampai aku dan Abg terpaksa berbuka puasa secara bergilir kerana terpaksa menjaga Nabila.

Dan, ketika itu juga aku menghantar Nabila ke taska. Akibat penjagaan di taska yang tidak sempurna, aku terus pulang ke rumah mak semula di Gombak. Mak lah yang mengasuh Nabila sehingga Nabila berusia 2 tahun.

Dan tatkala kembali semula ke Gombak, Nabila sudah berhenti dari menangis. Mungkin juga dia tidak mahu berpisah dengan neneknya. Kata adik, mak menangis bila aku mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke Taska. Katanya Nabila masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Tak susuai untuknya dijaga disitu.

Dan kini, usianya hampir menginjak 3 tahun. Segala kenangan tangisan Nabila tetap kukuh dalam ingatan ini. Bagiku kesukaran untuk menjaga Nabila dulu, sudah nampak kesenangannya kini. Rezeki yang melimpah ruah, malah jalan untukku membesarkan anak ini dipermudahkan lagi. Anak ini pembawa rezeki pada kami. Alhamdulillah....

23 December 2010

Kini dia tidak menangis lagi...

Andai ada yang perasan pada sebelah kanan dibahagian 'Label' aku meletakkan label Makan di situ. Sebenarnya sudah lama aku menceritakan tentang cara makan Nabila yang tak sudah-sudah 'sukar' untuknya berbanding dengan anak-anak yang lain.

Dan Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini , cara makannya semakin menyenangkan. Malah, lebih baik berbanding dulu. Jika dulu, waktu makan Nabila keadaannya seperti 'berperang' , namun kini tidak lagi.

Caranya? Hanya dengan kaedah 'SABAR'...

Sebenarnya, aku bukanlah dikategorikan sebagai seorang yang sabar. Sememangnya dulu apabila tiba waktu memberi makan pada Nabila, aku lebih stress berbanding si kecil ini. Dirinya yang sukar untuk menelan dan terlalu memilih makanan menyebabkan aku fed up dengan situasi itu. Malah pernah juga aku kecewa dan berhenti berharap pada Nabila untuk mampu makan semua makanan seperti anak-anak normal yang lain.

Dan aku marah andai ada ibu yang tak suka memberi anak makan bila anak sudah pandai meminta itu dan ini. Bagiku, tak salah bila anak itu ingin merasa dan berpadananlah kuantitinya. Biarlah anak itu tahu rasa dan tekstur makanan itu. Dan bersyukurlah anak sudah pandai meminta makanan, dibandingkan Nabila yang masih belum mengerti apa maksud makanan...

Berbalik pada Nabila, aku sangat-sangat bersyukur bila lihat perubahan ini dalam dirinya. Jika dulu, aku sangat risau bila Nabila menangis ketika makan. Risau andai makanan itu masuk ke dalam paru-parunya. Namun, jika tak diberi makan, apa kesudahannya? Sudah pasti Nabila tidak dapat menguatkan otot mulutnya untuk mengunyah. Malah tiada tenaga untuk melakukan aktiviti seperti fisio dan OT..

Kata mak, dia kini sangat seronok bila memberi Nabila makan. Apa yang diberi semuanya dihabiskan. Dan diselang-seli bersama susu. Terasa badan Nabila semakin berat. Tadi, sewaktu mengangkat Nabila untuk naik ke rumah mak, aku terasa sangat lelah. Aku dapat rasakan tubuhnya semakin berisi.

Cuma satu saja yang masih mengganggu aku. Nabila masih lagi dengan sembelitnya. Lactul sudah sepertinya tidak berfungsi lagi. Kesian Nabila.... :(

Moga perubahan ini kekal dan bertambah baik lagi..Amin.. :)

p/s : Kawan-kawan..Plz vote Nabila.. saja nak test masuk contest ni. Manalah tau ada pulak rezeki si kecil ni..

Klik saja link ini.. http://www.facebook.com/babymanjafansclub#!/photo.php?fbid=179959292023898&set=a.179959028690591.44880.152878094732018

dan kemudian klik 'LIKE' pada gambar Nabila.. :) . Terima kasih.. :)

22 December 2010

Rasa bersalah menyelubungi diri..

Andai di beri pilihan aku tidak mahu menghantar Nabila ke sekolahnya hari ini. Sudah 2 hari Nabila tidak bersekolah. Ini semua gara-gara bercuti pada hujung minggu lepas. Cuaca yang agak mendung dan sejuk menyebabkan Nabila diserang selsema 2 hari ini. Tambah pula aku rendamkan Nabila di laut dan kolam renang. Hanya 2 kali saja ku rendamkannya, dengan alasan mahu menguatkan otot-ototnya. Namun, apa yang aku mahukan tidaklah seperti yang kuharapkan.
Semalam, mak menyalahkan aku dalam hal ini. Katanya, semalam Nabila kelihatan murung. Tidak mahu bergelak tawa seperti selalu. Tiada ukiran wajah ceria diwajahnya. Dan bila aku menyambutnya semalam sebaik pulang dari kerja, Nabila seperti nampak sihat semula. Kata mak, dia memberikan ubat sebanyak 2 kali. Dan bila petang, barulah selera makannya muncul. Lapar barangkali..
Aduhai..serba tak kena aku hari ini. Bertanya pada mak andai ada sesiapa di rumah. Malangnya yang tinggal hanya adik-adik lelaki ku di rumah. Ayah sibuk menguruskan hal sepupuku manakala mak pula ke dylisis. Boleh saja aku berikan Nabila kepada adik-adikku untuk dijaga..tapi faham-faham sajalah budak lelaki. Waktu pagi pastinya masih diulit mimpi. Matahari mencacak diatas kepala, baru nak sedar diri!!
Sudahnya, aku mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke sekolah. Dan pesanku pada staff di situ, andai Nabila berada dalam keadaan tidak selesa, berikan saja ubat yang telah ku bekalkan di dalam begnya. Dan ada pula suara sumbang yang berkata,
"Mesti ko asik nangis je arini. Jangan nangis. mak ko nak gi keje!!"..
Huhu..sebak hati bila dengar kata-kata itu tatkala kaki ini melangkah keluar dari pintu. Mahu saja aku lari mengambil Nabila semula, namun, apakan daya. Dalam hati ini hanya berdoa agar Nabila tidak membuat masalah di sekolah nanti.
Dan di tika ini, hati masih gusar. Hati masih tak senang duduk. Terfikir-fikir apalah yang Nabila lakukan saat ini di sekolah. Aduhai....

20 December 2010

Princess Bella @ Port Dickson..

Hujung minggu bersama keluarga sebelah mak. Bercuti di Port Dickson. Meriah.. :) Hampir semua adik beradik mak berkumpul. Semua ini sempena hadiah dari keluarga sepupuku..Mimi yang berkahwin 2 minggu lepas. Keluarga Mak Long ku sponsor percutian ini kerana semua ahli keluarga telah bertungkus-lumus untuk majlis perkahwinan Mimi yang lalu.. :)

`~luv this pic..Princess Bella in da' house!!~

17 December 2010

Tiba-tiba hati ini rindu..

Entah kenapa pagi ini, tiba-tiba rindu pada Nabila. Semalam, seperti tidak puas memegangnya. Semalam agak lewat aku pulang dari pejabat. Jam menunjukkan angka 9 malam, baru berkemas untuk pulang ke rumah. Hujung tahun, kerja yang banyak hingga tak terkejar dibuatnya. Tambah pula sistem aplikasi yang agak lembap menambahkan lagi bebanan kerja yang sedia ada. Nak tak nak terpaksa pulang lewat kerna selepas jam 6 petang barulah sistem dapat digunakan dengan lancar.

Setibanya di rumah mak, Nabila kelihatan mengantuk. Lantas aku terus memandu pulang ke rumah. Tak sabar rasanya untuk berehat setelah seharian bergelumang dengan masalah-masalah di pejabat. Selang beberapa minit selepas memulakan perjalanan pulang, kulihat Nabila sudah tertidur di dalam car seat nya. Nampak keletihan. Mungkin sepanjang hari tak tidur. Mujur juga tak bersekolah semalam. Kalau tak mesti Nabila lebih letih.

Sampai sahaja di rumah, Nabila tersedar dan cuba mahu tidur kembali. Namun gagal. Nabila merengek kecil, aku cuba meletakkan Nabila atas katilnya tapi matanya sukar untuk dipejamkan. Dan sudahnya aku memeluknya sambil menggoyang-goyangkan tubuhnya. Rupanya Nabila mahu tidur dalam pelukanku. Abg bertanya kenapa tidak diletakkan Nabila di atas katilnya. Dan aku menjawab, mungkin mahu ibu memeluknya.Mungkin dia menunggu ibu balik kerja dari petang tadi. Kecewa agaknya ibu pulang lewat.

Kesian pun ada bila lihat Nabila. Dan sehingga subuh tidur tak bangun-bangun. Nyenyak barangkali. Dan pagi tadi, sewaktu menghantar Nabila ke sekolah, dia tidur lagi di dalam car seatnya. Hanya sedar bila aku meletakkannya di atas kerusi di sekolahnya. Celik tetapi dengan wajah terpinga-pinga. Aku mengambil tangan kanannya, bersalaman dan meletakkan tanganku di bibirnya. Lembut sekali tangannya. Tanpa rasa paksaan. Agaknya mamai baru sedar dari tidur.. :)

Dan sekarang, rindu pula pada si kecil ini. Dan terasa seperti menyanyi kecil lagu ini......

Cinta Untuk Nabila

Cinta untuk Nabila
Aku ciptakan sepanjang hidupku ini
Telah lama aku mencari
Kemana menghilangnya puteri

Apakan daya
Sudah suratan tertulis kita bertemu
Hingga kini setelah berpisah
Salju yang beku terlerai sudah

( korus )
Oh Nabila...
Lambang cintaku kepadamu
Hingga kini oh Nabila takkan lupa
Mengingatimu

Oh Nabila...
Lambang cinta yang telah layu
Hingga kini oh Nabila
Agar kau dapat mengerti
Kepada mu puteri
Kusanjung tinggi

Lagu untuk Nabila
Aku ciptakan bila mata
Kuterpejam lena
Kuutuskan bayu yang bertiup
Menyatakan cinta untuk Nabila

( ulang korus hingga akhir )
Menyatakan cinta untuk Nabila
Takpe dik..sok kita jalan-jalan yek.. :). Gi PD.. leh gi swimming.. :)

15 December 2010

Mahu duit turun jatuh atas bumbung kereta aku!!!

"Masalah tak putus-putus..risau kalau2 nabila x dpt bersekolah pasni klu masih kenakan yuran mahal. adoiyaii..kan bagus klu kaya..tak pening pasal duit..huhu.. "

Kemelut yang melanda aku pagi tadi. Tak senang duduk aku dibuatnya sepanjang hari berada di pejabat. Sampai Abg di rumah pun naik tension dengan aku. huhu....

Sebenarnya ini berkenaan dengan sekolah Nabila. Sedia maklum, sekolah seperti Nabila memang perlukan duit untuk menampung perbelanjaan kakitangan, makan minum, sewaan tempat-tempat terapi dan sebagainya. Namun, pada awalnya, aku tak bersetuju dengan yuran yang dikenakan kepada kami oleh pihak pengurusan. Namun, aku beralah dan bersetuju juga akhirnya kerana tidak mahu permohonan untuk memasukkan Nabila di situ di tolak gara-gara aku tidak dapat menyediakan yurannya.

Untuk 3 bulan pertama, masih boleh digagahkan lagi. Namun, masuk saja bulan keempat, aku mula terasa peritnya. Tambah pula Abg ketika itu kurang membuat OT di tempat kerjanya. Dan terdesak dan tersepit, lalu aku cuba meminta pengurangan pembayaran yurannya. Aku berjumpa sendiri dengan pihak pengurusan. Pihak pengurusan memohon aku agar menulis surat untuk permohonan tersebut. Aku akur dan menulis surat, namun tiada jawapan selepas itu. Pihak pengurusan tidak mengatakan 'Ya' mahupun 'Tidak' . Cuma kata mereka, mereka akan cuba meminta bantuan bagi menampung segala keperluan Nabila di situ. Aku tak pasti sama ada surat aku itu dieksploitasi atau tidak, aku tidak mahu mengambil pusing tentang perkara aku. Janji Nabila boleh berada di sana. Itu sudah memadai buatku.

Namun, pagi tadi, kakitangannya meminta aku membayar yurannya. Dan sudahnya, aku cuba menelefon orang kanannya. Dan rupanya, mereka juga menanti jawapan dariku. Mereka ingin mengetahui jumlah yang mampu ku bayar untuk Nabila terus berada di sana. Alahai..aku ingatkan mereka masih lagi dalam tempoh perbincangan. Rupanya mereka menunggu jawapanku.

Dan kami telah menemui jalan penyelesaian. Dan pengurangan telah berjaya ku minta. Alhamdulillah. Sememangnya aku segan menghantar Nabila sepanjang 4 bulan tanpa sebarang bayaran. Dan pasti, rupa-rupanyanya kedua-dua pihak ' salah faham' .

Dan sedikit sebanyak masih mengganggu perbelanjaan kami. Aku terfikir-fikir, bagaimanakah hidup orang lain yang sudah mempunyai 2-3 anak? Sedangkan aku , baru Nabila seorang pun dah pening kepala. Dan sebenarnya, perbelanjaan untuk anak istimewa sememangnya lebih banyak berbanding dengan anak normal. Rawatan saja sudah memakan belanja ratusan ringgit. Belum dicampur ubat-ubatan dan alat-alat bantuan yang lain. Sememangnya setiap ibu bapa yang punya anak istimewa wajib diberi bantuan. Kerana, kos sara hidup semakin meningkat.

Untuk Nabila, sememangnya aku tidak mendapat mana-mana bantuan. Sungguh!! Kerana kesukaran untuk berurusan dan selebihnya kakitangan yang banyak songeh membuatkan aku meluat untuk berurusan dengan pihak yang berkenaan. Dan sudahnya, sehingga kini aku hanya mengambil insiatif dengan menggunakan duit sendiri andai Nabila memerlukan rawatan. Namun bukit jika sentiasa ditarahnya, pastinya akan habis jua. Mujur juga aku seorang kakitangan kerajaan. Dan Abg juga mempunyai klinik panel andai Nabila sakit demam.

Dan aku berharap Nabila boleh meneruskan persekolahannya di situ. Sebab aku sudah nampak sedikit demi sedikit perubahan Nabila sejak mula bersekolah. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan.. Amin..

~Hari pertama di sekolah..sangat behave dan tahu membawa diri. Dan niat dihati sebaik saja melangkah kaki di sini adalah mahu Nabila mendapat apa saja yang boleh membantunya untuk menjadi lebih baik lagi~