Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

18 April 2011

Birthday Girl tersenyum sepanjang hari...

Semalam, tiada apa yang kami lakukan di rumah. Kerna ayah Nabila bekerja. Jadi yang tinggal hanya kami berdua tanpa sambutan istimewa..

Cumanya, saya sibuk mengemas rumah setelah sekian lama tidak pulang ke Rawang. Habuk bukan main banyak lagi. Jangan harap lah ayah Nabila nak sapu-sapu sampah. Mengemas apatah lagi. huhu...

Tiada gambar birthday girl di hari ulangtahunnya. Saya sedang merangka-rangka untuk melakukan party di rumah kami pada hujung bulan ini. InsyaAllah..Andai ada rezeki, kami akan jemput semua.. :)

Semalam juga, Nabila nampak ceria. Asyik dengan tawanya bilamana saya sibuk mengemas sana-sini. Saya biarkan dia bermain sendirian, dan kadangkala saya terdengar hilai tawanya. Amboi..kemain lagi. Pulak tu saya dah janji dengannya untuk membeli kek dan membuat goodies pack untuk Nabila bawa ke sekolah hari ini. Dan sejurus ayah Nabila pulang dari kerja, terus kami keluar membeli barang-barang yang patut termasuk menempah kek untuk hari istimewanya nanti.

Sewaktu saya sibuk menyiapkan gooodies pack untuk kawan-kawan sekolah Nabila malam tadi, Nabila bukan main seronok. Agaknya dia tahu esok kawan-kawannya nak nyanyi lagu Birthday untuknya. Tadi pun sewaktu saya sampai ke sekolah, saya terus menyerahkan semuanya kepada staf di situ. Kata mereka, tidak mahukah saya menunggu untuk sama-sama menyambutnya. Saya tak dapat nak turut serta memandangkan saya tidak bercuti. Tak sedap pula kalau saya lama-lama di sekolahnya. Itupun sesudah saya mencium Nabila, saya terus bergegas ke pejabat. Takpe kan Nabila. Nabila nyanyi kan kawan-kawan ek..

p/s: Semalam Nabila tidur lewat. 4 pagi baru tidur. Huh! Dah besar umur tidur pun dah lewat ek.. Mana taknyer..asik ketawa mengekek jer..huhu..Nasib baik tak mengigau..hehe

17 April 2011

3 Tahun Bersamamu Nabila...

Nabila Sayang,

3 tahun bukan mudah untuk ibu lalui bersamamu sayang. Banyak yang telah kita lalui. Suka duka pahit getir ibu membesarkanmu tanpa penat dan jemu. Seringkali air mata ini mengalir keranamu. Tak kira air mata sedih atau air mata gembira.

Nabila Sayang

Tak terucap dek kata-kata bahawa ibu teramat sayang padamu. Sungguh hati ibu tak keruan pabila dirimu jatuh sakit atau saat dirimu bersedih. Dan ibu akan pastikan anak ibu ini sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan ceria biarpun hidup ini bukannya seperti insan-insan lain.

Nabila Sayang,

Ibu tidak pasti lama bila lagi ibu akan dapat bersamamu. Andai nyawa ibu ini tak panjang, ibu mahu anak ibu ini boleh berdikari sendiri. Mampu untuk bangun dan makan minum sendiri. Mahu anak ibu ini boleh menguruskan diri tanpa bantuan sesiapa. Ya, kita sedar sayang. Tiada siapa yang suka dirinya terbeban dengan keadaanmu. Kerna itu ibu mahu kita usaha sendiri demi diri kita.

Nabila Sayang,

Biar lelah ibu, biar bergadai harta ibu, namun ibu mahu Nabila sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Ibu mahu Nabila merasai alam persekolahan bersama rakan-rakan biarpun anak ibu ini hanya terlantar dan tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Ibu mahu Nabila merasai nikmat berjalan di tempat awam, membeli pakaian yang cantik, makan makanan yang sedap sama seperti anak lain. Kerna itu adalah hajat ibu. Ibu tak mahu sedikit kekurangan pada anak ibu ini.

Nabila Sayang,

Ibu tahu anak ibu telah lakukan yang terbaik. Ibu tahu kemampuan anak ibu. Ibu tahu sedaya upaya anak ibu cuba untuk bangun dan lakukan segala terapi. Ibu tahu anak ibu cuba bercakap dengan ibu biarpun ibu tak tahu apa yang diucapkan olehmu sayang. Ibu cuba memahaminya sayang.

Nabila Sayang,

Andai ibu terpaksa mendukungmu untuk sepanjang hayat ibu, ibu rela. Andai ibu terpaksa menyuapkanmu makan, ibu masih rela. Dan andai ibu terpaksa memandikanmu untuk selamanya, ibu pastinya rela jua. Kerna ibu tak pasti sampai bilakah anak ibu ini akan dipinjamkan oleh Allah. Dan ibu juga tidak pasti adakah nanti ibu masih punya kesempatan untuk lakukan semua itu untuk Nabila.Semuanya kerana kasih ibu pada Nabila yang tiada penghujungnya

Nabila Sayang,

Duniamu tidak gelap. Ibu akan sentiasa memimpin tanganmu. Ibu akan sentiasa menyokongmu. Ibu akan sentiasa menjagamu. Ibu tahu Allah telah berikan yang terbaik buat ibu. Iaitu kamu sayang. Allah pasti akan membantu kita walau kita berada dalam keadaan sulit sekalipun. Ibu yakin tentang itu. Anak ibu ini adalah anugerah terindah yang pernah terjadi dalam hidup ibu.


Selamat Hari Lahir yang ke 3 sayang. Moga pelangi nan indah akan terus menyinari hidup kita. Moga anak ibu ini terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam hidup ini. InsyaAllah..

Salam sayang buat Nabilaku,

IBU

16 April 2011

Kadang-kadang ibu pelik....

Ibu selalu perhatikan Nabila..
Nabila suka pandang atas...
Mata hitamnya ke atas..
Ibu tak tahu apa yang Nabila cuba pandang..
Tapi ibu tahu mata Nabila tidaklah sebaik mata anak berusia 3 tahun..
Dan ibu tahu pandangan Nabila kabur semata-mata..
Tapi mengapa Nabila pandang atas..
Ada apa-apakah di atas itu..
Nabila nampak sesuatu kah..?

Ibu selalu perhatikan Nabila..
Nabila suka ketawa seorang diri..
Ibu tak tahu siapa yang geletek Nabila..
Yang ibu pasti Nabila akan tersenyum seorang diri..
Sambil memandang satu arah..
Kadangkala ketawa mengekek..
Sampai ibu rasa gelihati..
Namun, ibu fikir kembali..
Kenapa Nabila ketawa?
Adakah Nabila sedang bermain dengan seseorang..?

Ibu selalu perhatikan Nabila...
Nabila bangun tidur..
Tiba-tiba Nabila menangis..
Ibu cuba pujuk..
Tapi Nabila tetap menangis..
Ibu peluk Nabila erat-erat..
Ibu usap belakang Nabila..
Ibu cuba tenangkan Nabila..
Dan Nabila terlena kembali di bahu ibu..
Anak ibu mimpi burukkah?
Siapakah yang mengganggu tidur Nabila..?

..........................
.....................
.................
..........
....
.

Kadangkala ibu pelik..Ibu cuba untuk fahami dirimu sayang. Ibu tetap akan cuba walaupun ianya sukar untuk ibu fahami....

14 April 2011

Nabila hampir tiada di dalam rahim ini..

Hati saya sedang risau mengenangkan rakan saya, sedang mengandung 39 minggu dan mengalami pendarahan ketika ini. Di tahan di wad pada Jumaat lepas dan doktor pakar menyarankannya supaya balik ke rumah. Bukaan sudah 3 cm. Semalam, menurutnya bayi tidak bergerak, dan hari ini khabarnya bayi bergerak semula. Namun pabila saya tanya sudah cukup kiraan 10 atau belum, katanya dia tidak pasti. Kini sakit kontraksi tiada, namun hatinya gusar untuk ke hospital semula. Saya doakan rakan saya selamat melahirkan bayinya. Saya pula yang panas punggung bila tahu keadaannya nih..hehe...

Bila cerita tentang mengandung dan bersalin, saya teringat kisah saya yang saya hampir kehilangan Nabila ketika dia berusia 8 minggu di dalam rahim saya.

Saya ingat lagi, saya sedang bekerja. Dan tiba-tiba mahu ke tandas. Dan sewaktu saya membuang air kecil, saya ternampak tompokan darah pada seluar saya, dan saya nampak titisan darah mengalir di celah kelangkang saya. Saya benar-benar panik. Dan semahunya saya berlari menuju ke arah rakan saya, Lisa. Saya berbisik dan pada masa yang sama, saya hampir menangis. Kerana menyangkakan Nabila sudah pergi meninggalkan saya.

Lisa cuba memujuk saya, dan beberapa rakan saya, Lily,Huda dan Aisyah juga menemani saya ke hospital. Sungguh hati saya tak keruan ketika itu. Dan pertama kali itu juga saya diperiksa oleh doktor lelaki. Malu, tersangat malu apatah lagi ramai doktor pelatih turut mengerumuni saya. Dan saya terdengar perkataan polip. Dan kemudiannya saya di suruh berehat di rumah.

Kejadian tersebut tidak mendatang apa-apa yang membahayakan nyawa Nabila ketika itu.
Kejadian kedua terjadi lagi. Dan kali ini sangat menggerunkan saya. Ianya seperti ketulan daging terjuntai di saluran faraj saya. Ya Allah..memang menakutkan ketika itu. Lantas, saya bergegas ke Hospital Kuala Kubu. Dan saya di tahan di sana untuk sehari.

Selepas di periksa oleh doktor di situ, mereka terpaksa memindahkan saya ke Hospital Sungai Buloh kerana di sana peralatannya lebih lengkap. Dan setelah di periksa, ianya adalah 'Threatened Misscarriage' atau dalam bahasa melayunya kehamilan yang hampir gugur. Dan setelah di tahan di wad, dan keadaan saya stabil, saya dibenarkan pulang dan kembali untuk pemeriksaan semula pada kehamilan saya berusia 20 minggu.

Alhamdulillah, Nabila saya masih bernyawa dan keadaannya sangat baik sekali. Namun, bila mengenangkan saat kelahirannya, saya diuji lagi. Dan ujian kali ini benar-benar membuatkan kehidupan kami bertiga berubah sama sekali. Namun saya tahu Allah telah berikan yang terbaik buat saya dan saya redha dengan ketentuan-Nya.

Oleh kerana itu, untuk kelahiran seterusnya, saya harus menjaga sebaik mungkin kesihatan saya. Diebetis yang saya alami ketika hamilkan Nabila membuatkan saya risau andai ianya hadir sekali lagi untuk anak yang kedua. :(

Nabila berusia 7 bulan di dalam rahim saya..:)

p/s: terima kasih pada rakan-rakan yang memberi pendapat tentang keadaan kawan saya di facebook hari ini. Saya sendiri sedang menunggu berita darinya. Doakan segalanya baik untuk kawan saya dan bayinya yek.. Terima kasih..:)

12 April 2011

Mahu pendapat kalian...

Sebenarnya saya memang perlukan pendapat kawan-kawan semua. Saya ada bertanya pada Abang perkara ini. Tapi bila di tanya, dia tanya kita balik..siap kata "confirm ke nak bukak?"..

Huh..bukak apa tu?

BUKAK IMPLAN!

Sebenarnya saya bukan sengaja nak mengada-ngada untuk buka alat perancang ini. Semua ini gara-gara saya ke gym baru-baru ini. Dan apabila saya melakukan exercise yang berkaitan dengan lengan..saya akan terasa sakit di bahagian bawah lengan di mana alat itu berada. Walhal pada area lengan lah yang paling penting untuk saya kecilkan . (faham sajalah..lengan je dah sebesar betis..huhu).

Dan saya ke gym memang tidak menggunakan khidmat trainer(mahal ok!). So saya tak pasti ianya adalah baik atau sebaliknya.

Saya telah menggunakan implan tersebut sejak 2008 lagi. Dan dijangka dibuka pada bulan 11 tahun ini. Namun apa yang saya khuatiri adalah keberangkalian untuk mengandung sebelum saya berjaya menurunkan berat badan mungkin ada. Dan rasanya nak kata saya bersedia dari segi mental juga nampaknya mungkin belum ada.

Apa pendapat kawan-kawan? Adakah saya patut tanggalkan saja alat perancang ini atau membiarkan sehingga tarikh yang telah ditetapkan untuk menanggalkannya? Buntu juga memikirkannya. Lagi-lagi saya sedang teruja untuk menurunkan berat saya apatah lagi baru 3 minggu di gym saya sudah turun sebanyak 6 kg. Adoi..tak tahu yang mana 1 pilihan hati..:(

Bila rasa gelodak hati mahu anak lagi..

Sewaktu Nabila berada di wad, saya nampak pelbagai gelagat anak-anak kecil yang kesemuanya mempunyai masalah hampir sama dengan Nabila. Semuanya berpunca dari demam. Melihatkan satu persatu wajah anak-anak itu, rasa kasihan melihat mereka. Ada yang sedang bermain, ada yang terbaring lesu kerana cirit birit dan muntah-muntah. Ada yang baru lepas dibedah dan banyak lagi.

Hati saya tersentuh bila melihat jiran sebelah katil saya. Dimasukkan ke hospital kerana sudah sebulan demamnya on dan off. Dan menurut ibunya, sakitnya tiba dikemuncak apabila nanah mengalir keluar dari telinganya. Kata doktor, mungkin sudah dijangkiti kuman, dan yang pasti terus saja doktor memberikan antibiotik dan di tahan beberapa hari untuk pemerhatian.

Melihatkan telatah anak itu, walaupun sakit, namun lihat sangat cergas dan sangat bijak. Saya turut memujuk si kecil itu pabila dia menangis merengek mahukan mainan. Dan mata saya tak lepas memandang kedua beranak itu sedang sibuk makan dan berbaring di atas katilnya. Saya berbual dengan si ibu sambil menghilangkan rasa bosan berada di wad.

Saya sempat berbisik pada Abang, betapa seronoknya melihat si ibu melayan kerenah si anak. Kebetulan sekumpulan pelajar praktikal (maybe doktor) sedang melakukan beberapa kajian dan praktikal terhadap anak-anak di situ. Praktikal tentang kelakuan anak-anak mengikut peringkat umur.

Teruja melihat salah seorang pelajar memberi arahan pada si ibu dan si ibu pula cuba memberi arahan kepada si anak . Entahlah..apa yang saya fikirkan ketika itu saya tak pasti. Walhal dahulu, bukan tak pernah saya menjaga kanak-kanak tipikal. Oh ya, baru saya teringat. Saya pernah rasa teruja dulu bila melihat adik lelaki saya sudah boleh berjalan. Dan pabila saya tahu dia boleh melangkah setapak dua, saya akan mengajarnya berjalan lagi sehingga pandai. Hati saya sangat gembira ketika itu.

Untuk sekarang, saya masih lagi belum merasai nikmat mempunyai anak normal. Namun, kata orang, untuk sekali dua memang seronok melayan anak-anak ini. Namun, bila sudah jemu, pastinya kita tak mampu melayan kerenah mereka.

Benarkah ia begitu? Saya tidak pasti tentang itu, namun apa yang saya rasakan, saya begitu gembira jika apabila si anak dapat bermain dengan baik dan bijak menggunakan idea kreativiti mereka. Entahlah..mungkin juga saya belum merasainya. Kalau sudah merasa nanti pasti saya sama seperti ibu-ibu lain. Hurm...mungkin.. :)

Saya menyatakan hasrat pada Abang untuk membuka perancang yang saya gunakan ini lebih awal dari tarikh yang telah ditetapkan. Tetapi, saya punya objektif lain untuk dicapai sebelum saya mengandung lagi. Iaitu menurunkan sedikit berat badan ini. Namun, saya tak pasti bilakah ianya akan tercapai. Mungkin memakan masa yang agak lama. Saya juga harus bersiap sedia dari segi kewangan dan mental saya sendiri. Bersedia untuk anak kedua dengan keadaan Nabila yang masih belum berjalan, adakah mampu untuk saya lakukan?

Maka, saya hanya berbisik di dalam hati supaya bersabar. Pastinya ia akan menjadi satu kemanisan yang paling bermakna dalam hidup saya dan keluarga andai saya bersiap sedia dari awal dan tidak tergopoh-gopoh untuk menurut kata hati ini.. :)

11 April 2011

Teruja melihat aksinya..

Sebenarnya saya dalam perasaan keterujaan. Semua kerana kisah semalam...

Semalam pada awalnya saya dan Abg memang tidak bercadang untuk membawa Nabila ke mana-mana. Dan kemudian saya membaca mesej di facebook dan rupanya Nabila ada jemputan ke majlis hari lahir Hazim, anak kak Faizah. Berkali juga Kak Faizah menelefon saya menjemput datang ke rumah, makanya saya mengambil keputusan untuk datang bertemu Hazim.

Dan selesai di majlis Hari Lahir Hazim, kami ke Sunway Pyramid. Bertemu Ummi Alisya. Rindu pada di kecil itu dan menurut Ita, Alisya sudah mulai bersuara. Alhamdulillah. Saya sendiri nampak Alisya menggerakkan mulutnya, seolah-olah mahu bercakap dengan saya..Aduhai..comelnya.. :)

Nabila pula, sepanjang perjalanan ke Sunway, asyik tersenyum dan ketawa berdekah-dekah. Dia sudah mendapat satu lagi skill baru. Mengajuk cakap ibu! hehe..

Nabila suka benar sebut "Aaaaaaaaa...." Dan kemudian dia akan ketawa. Entah apa yang menggelikan hatinya , saya tak pasti. Dan saya cuba mengajuk kembali katanya.. "Aaaaaaaaa..." Dan kemudian saya tak sangka rupanya Nabila juga menyebut kembali perkataan yang sama. Dan kemudian kami ketawa bersama. Sangat comel sekali... :)

Entah berapa kali dia lakukan perkara tersebut, saya tak kira pula. Tapi memang banyak! Seolah-olah dia tahu apa yang diucapkan dan tahu perasaan gelihati. Saya tak sempat merakamnya, kerana terlalu teruja bermain dengan Nabila.

Mungkin inilah yang Nabila bayar sewaktu dia demam sebelum ini. Saya tidak pasti adakah perkara ini akan berterusan, namun saya gembira dengan perubahannya. Tidak banyak, sedikit pun membuatkan hati saya cukup-cukup gembira. Alhamdulillah...:)