Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

22 June 2011

Mari kita menjahit....

Sejak kebelakangan ini, saya sibuk dengan hal perihal saya bersama sepit-sepit kesayangan saya. Saya masih hutang dengan anak-anak Ayu Aisya, Kak Nanie, Anim dan Kak Pnut. Huhu..nanti ye anak-anak ku sayang. Ibu dah siapkan sepit-sepit tu. Tiba-tiba ada pula kawan yang beli..Walhal ibu tak niat nak menjual lagi...Nanti ibu buatkan yang lain yek..
 
Dan tadi saya buat satu perkara lagi. Sudah lama saya mengidam mahu ke kelas menjahit pakaian. Dan akhirnya terlaksana juga. Baru sebentar tadi saya mendaftar kelas tersebut. Dan kelas akan bermula hari Sabtu ini. Cepat bukan?
 
Kebetulan saya datang dengan langkah kanan. Kelas ada kosong untuk seorang lagi peserta dan terus saja saya mendaftarkan diri. Kalau diikutkan kelas bermula bulan 8. Mujur ada kosong lagi. Bolehlah saya mulakan secepat mungkin.. :)
 
Tujuan saya hanya satu. Menjahit untuk diri sendiri dan keluarga. Nak mengambil tempahan tu tak terfikir lagi. Tapi kalau dah mahir apa salahnya kan..Buat pendapatan sampingan.. :)
 
Saya bukannya ada basic menjahit sangat. Ya, dulu saya pernah menjahit baju kurung. Memang menjadi baju kurung saya, namun tak berapa kemas. Saya mahu belajar betul-betul. Baru best!!
 
Harapnya saya dapat manfaat dari kelas ini. InsyaAllah. Sudah lama inginkan dan saya rasa tibalah masanya untuk saya belajar itu dan ini. Yelah, kalau nak tempah semuanya mahal belaka. Sampai bila nak tempah. Lagipun bukannya susah nak jahit sehelai baju kurung. Dan kalau kelas ok nanti, mungkin saya akan sambung untuk jahit jenis-jenis pakaian lain pula.. :) Doakan saya yek..!!
 

20 June 2011

Cuak!!

Pernah tak kalian cuak bila orang berhenti rapat sangat dengan belakang kereta kita bila waktu jalan sesak...? Mesti ada kan...

Itulah yang saya rasa tadi sewaktu bawa kereta untuk pulang ke rumah. Bayangkan sajalah, dari simpang flyover depan Kolam Air Panas Selayang tu, sampai ke Kg. Melayu depan Tesco tu jalan sesak ya amat. Kalau berjalan takpe lah juga..Ni jalan slow macam siputttt!!!

Tambah pula belakang saya sebuah lori kecil. Entah kenapa bengong sangat (marah tahap gaban dah ni+cuak ya amat), boleh pula dia berhenti rapat dengan kereta saya. Kalau tercium macamana? Nak bayar ke?

Hati saya berdebar. Entah kenapa saya takut sangat. Walhal bukanlah baru dapat lesen kereta pun. Pengalaman bawa kereta kat KL ni memang boleh tahan la lamanya..tapi bila berhadapan dengan perkara tadi, saya naik cuak. Yelah..terbayang pula insiden kereta saya 'dicium' sebuah kereta Waja beberapa bulan lepas. Marah betul saya ketika itu. Baru pakai beberapa bulan kereta sudah kena 'cium'.Mau tak geram..huhu...

Dan hati saya memang rasa berdebar. Saya rasa takut setiap kali lori itu berhenti rapat dengan saya. Serius..rasa berpeluh badan ni. Dan akhirnya, saya terpaksa menggunakan lane kecemasan. Pada awalnya nak berhenti. Tapi bila melihatkan tiada tempat yang sesuai untuk berhenti, saya nekad untuk teruskan perjalanan. Saya ikut sebuah kereta Kenari yang 'tak+makan+saman' sebab potong line kecemasan. Marah penunggang motorsikal sebab guna laluan mereka. Dalam hati saya minta ampun pada mereka. Yelah saya tiada pilihan.

Kenapa pula tak nak guna lane kanan?

Huh..usah harap la nak masuk potong line orang..makin himpit, makin mereka rapat tak bagi jalan... :(

Bila dah jauh dari lori, saya rasa lega sedikit. Saya terus-terus berdoa agar perjalanan saya dan Nabila selamat. Hati saya memang tak sedap tadi. Sebab firasat hati saya memang kuat. Pernah dulu, saya kemalangan dilanggar motor (motor tu langgar kereta saya..bukan saya yang langgar ok!!) sewaktu selepas menghantar Nabila ke sekolah. Sebelum kemalangan itu, hati saya memang tak sedap. Berdebar je. Muka rasa panas. Dan last, betul sangkaan saya. Memang ada yang bakal terjadi pada saya hari itu..

~hancus kereta masa ni. Kelu tak terkata rasa. Mamat motor tu patah tangan. Nasib baik dia tau dia yang salah. Motor dia sikit pun tak rosak. Patah side mirror je. Tapi nasib baik dia bayar separuh gantirugi kereta saya. Kira settle secara baik..~

Lama saya tersangkut dengan jalan sesak tadi. Bayangkan 2 jam perjalanan dari Gombak ke Bukit Sentosa. Mak aiii..macam balik kampung..!! Nabila mula-mula nak merengek. Saya pujuk dia, tanya tentang sekolah. Nabila marah bila cerita tentang sekolah. Saya pegang tangannya. Nabila genggam jari saya dan cakar tangan saya. Kemudian, saya berlakon..konon-konon sakit. Hehehe..apa reaksi Nabila?

Elok-elok dia nak menangis, terus diam. Ceh..pandai nak main rupanya. Hurm..bagus-bagus..!!

Tapi memang benarlah..saya cuak tadi. Kalau saya tak bertindak tukar laluan, pasti saya macam cacing kepanasan dalam kereta.. Cuma saya kesal tindakan saya tadi memang tindakan kurang bijak sikit la. Huhu... :(

19 June 2011

Bilik untuk si kecil..

Beberapa minggu ini saya terfikir untuk menukar katil Nabila. Anak dara ini sudah semakin panjang. Makanya katil bayi sudah tidak sesuai lagi untuknya.

~gambar lama..Nabila masa ni kecik lagi. Hurm..umur baru 2 tahun..Tapi dalam masa umur 2 tahun nak ke 3 tahun ni, badan dia cepat plak bertambah panjang. (ikut sapa tah panjang- manjang nih..mak ayah pendek je..hehehe)~


Namun, bila difikirkan ruang di rumah ini, lebih-lebih lagi bilik saya, manalah boleh nak letak 2 katil sekaligus. Bilik saya bukanlah besar mana pun. Hanya muat untuk sebuah katil saiz queen (kalau king memang tak muat la kot), almari pakaian, meja solek dan sedikit ruang untuk saya letak katil bayi Nabila dan almari pakaiannya yang kecil. Kalau nak beli katil besar untuk Nabila, memang tak muat!!

Saya terfikir juga, bagaimana agaknya kalau Nabila tidur sendirian di bilik sebelah? Adakah dia akan menangis bila tidur sendiri? Atau tidurnya tidak lagi tenteram seperti dulu, kerana merasakan tiada ibu disisinya. Nabila bukanlah jenis tidur yang suka dipeluk. Sedari kecil bayi lagi saya membiarkan dia tidur sendirian di sebelah saya. Kerana bagi saya lebih selesa begitu. Kalau saya peluk, takut saya yang tak sedar, saya himpit Nabila. Hurm..nanti dah jadi kes lain pula..huhu..

Namun, bila difikirkan kembali andai saya tidak mengajarnya dari sekarang, sampai bilakah Nabila boleh tidur sendirian di biliknya. Mungkin ada yang fikir saya gila kerana membiarkan anak sekecil Nabila lebih-lebih lagi istimewa untuk tidur sendirian di kamarnya. Hurm..memang mengarut kot ibu Nabila ni... :P

Hurm..Saya masih mempertimbangkan lagi untuk membuat bilik khas untuk Nabila. Tapi, bila mengenangkan badannya yang sudah tidak sesuai menggunakan katil bayi..saya rasa kesian pula padanya. Susah nak pusing ke kanan dan ke kiri.. :(

Tadi saya ke Ikea bersama Abang. Cuba mencari katil yang sesuai untuk Nabila. Tapi bila tengok jenis-jenis katil yang sedia ada di pasaran, saya merasakan begitu sukar untuk memilih. Kerana struktur rekaan katil itu tidak menunjukkan ianya praktikal digunakan untuk anak seperti Nabila. Cuma ada satu jenis katil yang menarik perhatian saya. Harganya agak mahal, namun saya rasa ianya berkualiti. Dan paling penting ianya selamat digunakan oleh Nabila.

Design katil untuk anak yang berusia 3 tahun ke atas kebanyakan jarang ada palang di sisi katil. Puas saya cari, hanya ada satu yang boleh digunakan. Tapi saya belum fikir untuk membelinya kerana bilik Nabila belum lagi diubah suai. Bukan nak ubah suai beria pun, saya nak pindahkan barang-barang dalam bilik itu ke tempat lain. Tapi mana pula saya nak campak barang-barang itu? Aduhai..

~Bukan penuh dengan barang lain..penuh dengan mainan..Ni gambar lama jugak..Sekarang bilik ni saya ubah balik jadi bilik tetamu. Dan ada katil saiz queen di bilik ini juga. Hurm..kalau bilik ini ditukarkan ke bilik Nabila, mana saya nak campak katil tu? Ada bilik lagi satu, tapi itu saya jadikan bilik solat. Hurm..bilik tu lagi kecik..adoiyaiiii...~


Alamatnya semua ini bertangguh dululah. Tak boleh nak buat apa-apa lagi. Lagipun saya tengah merencanakan sesuatu untuk kami bertiga. Dan harapnya ianya lebih memberi keselesaan pada saya, Nabila dan Abang. Mohon kawan-kawan doakan agarnya ianya tercapai dan dipermudahkan..Amin.. :)

Aktiviti di malam hari...

Memandangkan Nabila tak berapa sihat sedari kelmarin, saya tidak tahu apa yang harus saya buat dengan Nabila. Dan malam tadi, Nabila nampak bosan. Badan dah tak panas, cuma ragamnya saja yang belum kurang.

Dan melihatkan mood Nabila agak baik, saya memberikannya mainan ini...

~lama dah tak main laptop ni..kat rumah nenek ada satu lagi..yang Mamanurin bagi.. :)


Aktiviti ni pun dah lama sangat tak buat.. :( (ibu sibuk sangat ler tuh.. )

~muka muncung jer.. Nabila tengah dengar bunyi 'theta wave'.. Ala bunyi ombak, kicauan burung..tapi patutnya muka tu tenang..Ni nampak stress je dik..hehe..~

Sempat juga mengurut Nabila. Ala buat urut biasa je..Nampak dia lega sangat. Agaknya penat kot berbaring sebab demam.. Sian Nabila. Last ibu plak yang sakit pinggang. hehe...

18 June 2011

Penerimaan anak istimewa...

Sejak kebelakangan ini, saya lihat banyak drama berkisar tentang anak istimewa. Tak kisahlah apa jua jenis keistimewaan anak tersebut, dan jalan ceritanya banyak bertumpu pada penerimaan orang lain terhadap anak-anak seperti ini.

Saya baru sahaja melihat kisah 'Sedepa ke Syurga' . Rasanya cerita ini dah lama ditayangkan di Astro, tapi saya baru ada kesempatan untuk melihat cerita ini. Mungkin ada yang pernah tengok cerita ini kan?

Serius, saya menangis tengok cerita ini. Walaupun jalan ceritanya takdelah buat saya sampai meraung, tapi ianya cukup menyentuh rasa. Sebab saya sendiri tahu bagaimana perasaan anak itu. Ya, bukannya dia mahu untuk lahir ke dunia dengan keadaannya begitu. Dihina dan dicaci.... :(

Kadangkala saya tak faham. Mengapa masih ada lagi diluar sana yang masih belum menerima keadaan anak bila diketahui anak itu anak istimewa? Adakah salah dia lahir berkeadaan begitu? Memang sulit untuk menjaga anak istimewa. Saya akui! Namun, adakah kita patut sebagai insan normal memperlakukan anak seperti itu? Allah berikan kita akal. Harus digunakan sebaiknya dan tahu bagaimana cara untuk handle anak istimewa. Bukan dengan cara marah atau pukul.

Anak istimewa memang perlukan perhatian yang lebih dari kita sebagai ibu bapa. Kerna itu saya memilih untuk tidak memberikan Nabila adik untuk 3 tahun pertama selepas kelahirannya. Kerana saya mahu menumpukan lebih perhatian saya pada Nabila.

Adakalanya saya sendiri sebagai ibu yang melahirkan Nabila tidak memahami kehendak anak itu. Seperti contoh tadi, Nabila mengamuk sakan. Saya puas memujuk dan memeluknya agar dia diam dari menangis. Namun Nabila meronta, malah menunjukkan tanda-tanda marah yang amat pada saya dan Abang. Buntu. Serius saya buntu. Tak tahu apa yang harus dilakukan. Makan, minum, ubat, duduk di luar, naik buai, picit badan dan kepala..segalanya saya buat. Namun entah apa yang dimahukan lagi saya tak pasti.

Memang ada kalanya saya hilang sabar dengan Nabila. Ada juga kadangkala saya 'lepuk' di punggungnya. Kerana geram dengan tingkah lakunya yang suka mengamuk marah bila tak dapat apa yang dihajatinya. Namun, bila sudah marah, saya kesal dengan apa yang saya lakukan. Apalah dia tahu tentang hukuman. Biarpun Nabila sudah berusia 3 tahun, namun akalnya? Seperti bayi lagi...

Anak-anak ini memang perlukan pengorbanan yang lebih dari kita sebagai ibu bapa. Tak kiralah pengorbanan harta, masa dan diri sendiri. Diri sendiri? Yelah, kadangkala kita sendiri perlu masa untuk diri sendiri. Tapi saya? 98% adalah untuk Nabila dan ayahnya. Kira sajalah baki untuk diri sendiri. Sebab itulah 2-3 tahun selepas kelahiran Nabila diri saya kelihatan tidak terurus..

Bila diri dikhabarkan Nabila adalah insan istimewa, saya seperti tidak percaya. Bukan mudah untuk saya menerima keadaan dirinya. Namun, kerana kasih, saya terima semua ini. Dan saya tahu Allah telah merencanakan sesuatu yang terbaik buat saya. Dan hasilnya..Alhamdulillah. Saya lebih positif berbanding saya yang dulu sebelum berkahwin. Sikap saya juga berubah.

Anak ini tidak pernah lahir untuk menyusahkan kita. Malah anak inilah pemberi rezeki kepada kita. Rezeki yang tidak putus-putus. Syukur Alhamdulillah..

Andai ada yang baru tahu anak yang dilahirkan atau dikandung adalah istimewa, jagalah anak itu sebaik mungkin. Kerana mereka adalah sumber kekuatan kita. Walaupun serba kepayahan, hasilnya kita tahu menghargai setiap apa yang kita lakukan demi dirinya.....


~hadiah hari lahir yang terhebat dalam hidup saya. Gambar diambil sehari sebelum hari lahir saya. Untuk pertama kalinya saya memegang Nabila. Sangat syahdu kerana seminggu selepas dilahirkan, barulah saya ada kesempatan untuk memegang Nabila.Terharu... :( ~

17 June 2011

Nabila demam lagi..

Sebenarnya saya tak menyangka Nabila akan demam hari ini. Patutlah mak kata Nabila asyik minum air kosong semalam. Makan pun tak mahu.
 
Semalam jam 3 pagi, Nabila terbangun dari tidur. Saya fikir Nabila mahu susu. Bila saya pegang tubuhnya..MasyaAllah..tersangatlah panas. Saya ambil suhu. Dan ia menunjukkan 38 darjah. Sah Nabila demam. Dan terus saja saya berikan ubat demam kepadanya. Dan Nabila kembali tidur..
 
Jam 5, Nabila terbangun lagi. Dan saya tak pasti kenapa. Dan saya rasa kakinya sejuk sekali. Saya terus memakaikan stokin (selalu pakai..tapi semalam agak panas jadi saya tak pakaikan) dan menukar lampinnya. Saya peluk Nabila sebab saya fikir Nabila mungkin sejuk. Tapi Nabila merengek mahu tidur di buaiannya.
 
Jam 6.30 pagi, saya bangun dan mahu bersiap untuk ke tempat kerja. Saya rasa suhu badan Nabila. Sudah kurang panasnya. Dan saya fikir mungkin demamnya sudah kebah. Dan saya terus menyiapkan Nabila ke sekolah. Nabila pula sedikit pun tak merengek. Dan di dalam kereta dia diam. Sewaktu saya hantar pun senyap saja.
 
Dan jam 9.45 pagi, saya terima panggilan dari sekolah. Arghh..apahal pulak ni. Hati saya risau. Rupanya badan Nabila panas kembali. Terus saja saya keluar pejabat menuju ke sekolahnya. Sewaktu saya sampai, saya dengar jeritan tangisan Nabila di dalam sekolah. Rupanya kakitangan di situ sedang mengelap tubuh Nabila dengan tuala basah. Dan kata mereka suhu yang mereka ambil tadi adalah 38.8 darjah celcius. MasyaAllah..panasnya.
 
Terus saja saya membawanya ke Klinik Kita Wangsa Maju. Nabila tertidur keletihan dan tiba-tiba dia tersedar. Nabila menangis sekuat hati, sampaikan nurse keluar bertanya adakah giliran saya lama lagi. Mujur ketika itu giliran kami selepas itu, cuma yang tak seronoknya saya tunggu agak lama juga. Tak sangka pula pagi-pagi ramai pula ke klinik.
 
Saya pegang Nabila pun terasa badannya hangat betul. Bila doktor check suhu, demamnya masih tinggi. 38 darjah dan doktor terus menyuruh nurse memasukkan ubat punggung. Saya risau andai serangan sawan ada bila dah kena demam ni. Mintak-mintak dijauhkan... :(
 
Dan sewaktu saya meninggalkan Nabila untuk ke tempat kerja semula, Nabila masih lagi menangis. Memang gaya Nabila tak selesa dengan keadaan tubuhnya yang panas. Saya tanggalkan pakaiannya dan hanya memakaikannya lampin saja. Ayah saya sudah standby air asam jawa untuk dilumur andai badan Nabila panas lagi selepas ini. Harapnya demamnya lekas-lekas kebah. Risau betul kalau si kecil ni demam... :(

16 June 2011

Nabila & Acik Alisa..

Kelmarin, saya ke rumah makcik saya di Sentul. Mahu menghantar baju kurung untuk hari raya nanti. Baju saya beserta baju Nabila. Hurm..Nak kata sakan beraya tu takdelah..sebab saya ni jenis tempah baju kurung setahun sekali. Sekali tempah tu banyak berpasang-pasang. Nabila hanya 2 pasang untuk tahun ini. Sebab faham sajalah budak kecil ni. Bukan selesa sangat nak pakai baju kurung tengahari rembang ni. Comot sikit terus tukar skirt atau seluar. Senang!!

Nak dijadikan cerita, makcik saya mengambil ukuran melalui baju lama saja. Jadi, untuk saya agak susah sikit. Maklum saja badan sudah kecik (cewaahhhh..). Baju lama semua dah bagi orang. Nasib baik ada sehelai baju yang saya simpan. Dan baju itulah dijadikan ukuran untuk semua baju raya saya nanti.

Untuk Nabila pula, baju tahun lepas memang tak boleh nak pakai. Bukan sebab badannya yang membesar. Tapi tingginya yang sudah bertambah. Tubuh kecil tetap begitu juga. Dan akhirnya, Nabila mengambil contoh ukuran baju Acik Alisa nya yang dipakai pada tahun lepas.

Acik Alisa Nabila ni kira pangkat sepupu dengan saya. Umur Alisa dan Nabila ni sebaya. Lahir pun selang 2-3 minggu je mereka berdua ni. Saya ingat lagi ketika saya dalam wad NICU menjaga Nabila, makcik saya bertarung melahirkan Alisa. Makcik saya koma kerana masalah komplikasi sewaktu melahirkan Alisya. Mujur Alisa dan makcik saya selamat.. :)

Dan sewaktu saya datang ke rumah makcik saya, Alisa teruja melihat Nabila. Habis dipeluk, diciumnya dan berbaring sebelah Nabila..(Tak sempat nak ambil gambar). Yolah, dah kata Nabila ni macam baby, Alisa ingat Nabila ni lagi muda la dari dia. padahal sebaya tuh.. :) Si Nabila pula, bila Alisa peluk-peluk-cium ni, bukan main suka lagi. Senyum-sengih-senyum-sengih..Dia dah tahu nak berkawan. Cuma tak reti nak bercakap je. Kalau pandai bercakap, mau riuh satu rumah..hehe...

Saya sempat berkata pada makcik saya, andai Nabila ditakdirkan sihat, sudah tentu mereka berdua sahabat baik. Bermain bersama-sama. Dan tiba-tiba timbul pula rasa ralat di hati.. :(

Saya sempat memberikan sepit rambut buat Alisa. Sepit yang saya buat khas untuk Nabila, namun melihatkan rambut Alisa yang sudah panjang, jadi saya berikan sepit itu kepadanya. Bukan main suka lagi anak dara itu. Dan sudahnya dia sibuk nak duduk di riba saya. Dan saya pula mulalah berangan. Andai Nabila sihat, agaknya beginilah perangai Nabila agaknya.... :) Nabila pula bila tengok Alisa dah bermanja-manja dengan saya, mulalah nak terpekik. Jeles ke dik? Ala, ibu pegang Alisa kejap je...

Bila kami nak pulang, Alisa sibuk nak ikut. Tambah pula saya mengajak dia datang ke rumah. Kata mainan banyak pula kat rumah. Apa lagi, meraung peluk kaki tak nak lepaskan kami pergi. Huhu..Kesiannya..Meleleh air mata dia. Aduhai....