Pernah dulu saya menangis dalam hati bila Nabila lahir dengan keadaan wayar berselirat. Dibantu dengan oksigen untuk terus hidup. Diserang sawan setelah 3 hari lahir ke dunia. Menangis dalam hati kerana di marahi
nurse kerana dia merasakan saya penyebab keadaan Nabila begini..
.
Pernah dulu saya menangis dalam hati tatkala dikhabarkan Nabila tidak akan mampu untuk menjadi sempurna seperti insan lain. Bagai bumi menghempap kepala saya bila doktor menyuruh saya menerima hakikat bahawa Nabila akan menjalani hidup penuh dengan rawatan fisioterapi, terapi carakerja dan lain-lain..
.
Pernah dulu saya menangis dalam hati melihat Nabila menangis kesakitan setiap kali menjalani rawatan fisioterapi, Kak Raw, pemeriksaan mata, ENT dan lain-lain. Dalam hati ini, seperti mahu bertukar tempat dengannya biar saya yang merasai kesakitan semua itu. Namun, apakan daya saya....
.
Pernah dulu saya menangis dalam hati melihat Nabila menangis tanpa henti dan tanpa puncanya. Sehinggakan membawa kereta, air mata ini mengalir sambil berzikir mahu Allah kurangkan kesakitan Nabila. Dalam fikiran ini, puas berfikir salah sayakah menyebabkan perasaan Nabila menjadi tak tentu hala.
.
Pernah dulu saya menangis dalam hati bila menghitung setiap hari kelahiran Nabila, perkembangannya tidak begitu memberangsangkan. Hati saya dipagut rasa bersalah kerana sepertinya saya mementingkan diri dengan menghantarnya ke sekolah tanpa memikirkan apa yang telah mereka lakukan pada Nabila setiap hari. Andai diberi pilihan, saya mahu Nabila membesar di hadapan mata saya..
.
Pernah dulu saya menangis dalam hati bila menghantar Nabila ke Tasputra untuk pertama kalinya. Usianya yang baru mencecah 2 tahun, serasa sungguh kecil dirinya untuk ke sekolah. Risau di hati usah cerita, kerana Nabila sendiri tak pernah berpisah dengan nenek yang menjaganya. Pernah saya melihat mak menangis sedih bila mengetahui saya akan menghantarnya ke sekolah untuk pertama kalinya.
.
Pernah dulu saya menangis dalam hati kerana gagal mengawal penyakit sawannya. Sedih setiap kali terjadinya sawan, saya memikirkan berapa banyak sel di dalam otaknya yang akan rosak akibat serangan tersebut. Bertambah sedih bila perkembangannya menjadi bertambah perlahan dan semakin perlahan.
.
Pernah dulu saya menangis dalam hati kerana tidak dapat membawa Nabila ke tempat rawatan yang bagus untuk dirinya. Hanya mengharapkan hospital yang tak sudah suka menjatuhkan harapan saya sendiri terhadap perkembangan Nabila. Andai diri ini jutawan, pasti berhabis duit saya membawanya untuk menjalani rawatan.
.
Dan semalam.. saya menangis dalam hati lagi.. Kerana begitu sukar sekali membuat keputusan antara kerjaya dan anak. Saya risau andai tindakan saya ini bakal mengundang masalah lebih buruk di masa hadapan. Dalam hati saya yakin, Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Semahunya saya bersabar dengan segala ketentuan-Nya. Namun kali ini, saya mahu lakukan yang terbaik buat bintang kecil hati saya.
Hidup tidak selalu indah. Adakala turun, adakala naik. Mungkin Allah berikan rezeki yang baik buat saya andai saya korbankan segalanya demi Nabila..