30 August 2011

Selamat Hari Raya..

Salam Aidilfitri buat semua. Awalnya ibu Nabila wish.. :) hehe..Agak sibuk. Jadi ada kesempatan terus ucap disini. Boleh kan... :)

Kami sekeluarga mohon ampun dan maaf andai ada tersalah kata, tersilap bicara sepanjang menulis di dalam blog ini. Moga kalian berbahagia di hari raya ini. Pada yang berjalan jauh, saya doakan perjalanan kalian selamat pergi dan balik. Amin...

Kami juga akan pulang beraya di Ipoh. InsyaAllah, Ahad kami sudah gerak pulang ke sana. Doakan perjalanan kami selamat pergi dan balik ye.. :)

SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Ikhlas dari,
Zul, Ina dan Nabila.. :)

26 August 2011

Inai di jari...

Ceh..sapa lak nak kawin nih..

Anak dara saya lah....

........
.....
....
...
..
.

muahahahahahahhahahahahahahahhahahahhahahaha!!!!!!!!!

.............
..........
......
...
...
..
.

Saya ada sorang je anak dara..

Sapa lagi kalau bukan Cik Bella..

:)

Tak datang sekolah 2 hari...

ni dapatnya....

Santek ke? hahaha!! Lantak ko ler dik..Beraya ngan kaki biru..!! hehe..

Entah apa yang dilakukan di sekolah, saya kurang pasti..tapi faham saja sekolah nabila..Macam-macam aktivitinya. Saya tak marah..Lagi suka adalah..Huh!! Lantak la kaler biru ke..merah ke..hijau ke..janji ada aktiviti dia buat.. :)

p/s : Nabila kata ni inai raya...Selamat Hari Raya Aunty semua.. :)

21 August 2011

Cuba membayangkan andai Nabila kini punya adik...


Bila tengok budak berdua ni, elok je baring sama-sama. Masa ni adik Ra'id Nabila ni kecik lagi. baru berapa bulan tah.. Tak ingat pula bila masa saya mengambil gambar mereka berdua ni.

Bila lihat Ra'id atau baby lain, saya selalu membayangkan andai saya dikurniakan seorang lagi anak. Adik kepada Yasmin Nabilah. Agaknya bagaimanakah lagak saya ketika itu? Kelam kabutkah? Hurm..rasa tak terbayang pula bila mengenangkan ini semua.

Memanglah kata orang, belum cuba manalah tahu kita boleh melaluinya atau tidak. Takkan awal-awal lagi dah 'surrender'. Dalam hati memang teringin la sesangat. Tapi bila fikir-fikir balik, berat je rasa apatah lagi dengan keadaan Nabila.

Beberapa hari lepas, saya memegang lagi bayi kecil. Berusia 3 bulan. Anak kepada jiran saya. Comel. Tembam bulat. Rasa nak geget-geget je. Lagi bertambah geram bila saya usik dia, dia ketawa sambil memandang tepat pada saya. Yelah, dulu Nabila manalah tahu nak buat itu semua ketika berusia 3 bulan. Entah kan nampak saya ke tidak, saya tak pasti. Yang dia tahu, hanya menangis tak henti-henti ketika itu.

Bila tengok budak kecil bermain, seronok sangat. Sebab saya belum punya kesempatan merasai itu semua bila bersama Nabila. Sampai ada kawan saya kata, seronok memang seronok melayan budak-budak, bila dah lama-lama bosan. Hish..betul ke? Mungkin juga kut....

Moga hati saya terus terbuka untuk berikan Nabila adik..Moga trauma saya cepat-cepat pergi dalam hati ini....

20 August 2011

Shopping Raya..Huh!! Penuh dengan lautan manusia..

Semalam, saya bersama adik dan mak ke Jusco Wangsa Maju. Mencari T-Shirt sehelai dua untuk Nabila. Juga mencari kasut raya saya. Mak dan adik juga sibuk memborong. Jusco penuh semalam walaupun jam sudah menunjukkan angka 9.30 malam. Rasanya makin ramai pulak yang shopping lepas berbuka puasa.

Sebenarnya, saya memang tak biasa shopping raya last-last minit. Seminggu sebelum raya, bagi saya itu adalah last minit. Hehehe.. Sebab saya sebenarnya lebih suka shopping sebelum bulan puasa. Atau 2-3 bulan sebelum puasa. Itu untuk baju kurung saya. Sebab mahu menempah awal. Jadi nak tak nak kain kenalah beli awal. Tapi lepas ni dah tak payah nak sibuk nak cari tailor untuk jahitkan baju. Apa guna pergi kelas jahit. Gunakan ilmu yang telah diberikan....hehehe...

Baju raya Nabila pun tak banyak saya beli. Kebanyakannya semua baju Nabila hadiah dari kawan-kawan. Jadi, tak perlu membazir. Lagipun baju lama-lama yang diberi oleh rakan juga masih belum dipakai Nabila. Saiz besar..Budak kecik ni badan pulak stail tak naik-naik tembamnya. Lagi kurus adalah. So tahun ni ada la beberapa pasang yang sudah boleh dipakai oleh Nabila. Alhamdulillah..jimat duit ibu..hehehe...

Baju kurung Nabila saya sudah tempah dengan makcik saya. Kebetulan baju kurung saya juga dijahit oleh makcik saya. Tadi sebelum ke Jalan TAR, saya singgah sebentar ke rumah makcik untuk mengambil kain perca untuk dijadikan contoh warna tudung saya. Serius, saya tak ingat warna baju kurung saya. Yelah, beli dah berbulan-bulan. Hantar untuk tempahan pun dah lama. Manalah nak ingat.hehe.. Kain yang dah setahun lebih beli pun tak berjahit lagi. Alamatnya tu baju Raya Haji sekalilah..hehe..

Jalan TAR tadi, mak aiiiii..penuh dengan orang. Saya pula memang first time berjalan shopping hari Sabtu. Selalunya, saya memang tak nak pergi sana kalau shopping hari Sabtu atau hari nak dekat-dekat raya ni. Baik masa bujang dulu atau dah kawin sekarang ni, saya suka beli awal-awal. Tak suka nak berhimpit dengan orang ramai.

Tadi mujur tak bawa Nabila bersama. Saya dan adik saya saja berdua berjalan meredah Jalan TAR. Hasrat mencari tudung untuk baju raya kami dan baju raya Abang. Masuk Sogo, mak datukkkkk!! Penuh orang!! Mujur seawal jam 10 pagi kami dah terpacak di Jalan TAR. Kalau lewat sikit, sure dah tak boleh nak cari parking.

Huh..cam  serik je nak pegi time-time nak raya nih. Semua dok berpusu-pusu.Saya lihat anak-anak kecil pun dok melalak menangis kepenatan..huhu..Tapi tadi, Alhamdulillah..semua dah dapat dah. Kira dah lengkap dah. Best!! Lega semua dah settle.. :)

19 August 2011

Mana Mak?

Saya dapat kisah ini melalui email di pejabat. Sangat menyayat hati. Bergenang air mata saya bila membacanya....
 

Jam 6.30 petang.

 

Mak  berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, "Along mana?'

Mak jawab, "Ada di dapur tolong siapkan makan."

Ayah tanya Mak lagi," Angah mana?"

Mak jawab, "Angah mandi, baru balik main bola."

Ayah tanya Mak, "Ateh mana?"

Mak jawab, "Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?"

Ayah tanya lagi, "Adik dah balik?"

Mak jawab, "Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik."

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

 

Dua puluh tahun kemudian

 

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, "Mana Mak?"

Along sedang membelek-belek baju barunya.  Along jawab, "Tak tahu."

Ayah tanya Angah, "Mana Mak?"

Angah  menonton tv.  Angah jawab, "Mana Angah tahu."

Ayah tanya Ateh, "Mana Mak?"

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh  yang  asyik membaca majalah.  

 Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"  Ateh  menjawab, "Entah." 

 Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, "Mana Mak?"

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, "Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!"

Tersentap hati Ayah mendengar  kata-kata Adik. 

 

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

 

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah.  Mak  resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak  mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"  

 

Semakin anak-anak  Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

 

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan  memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan  bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.  

 

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak  lakukannya.

 

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

 

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi. 

 

Mak letakkan  bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus  kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda  faham. 

 

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak  sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

 

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

 

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

 

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur.  Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi. 

 

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. 

 

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira  dan  berlari mendakapnya seperti dulu. 

 

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan  setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak  masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. 

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak  berangkat." 

 

Mak  minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan  balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.  Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak. 

 

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak  ingat kata-kata ayah, "Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun.  Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa  menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang  merasa anak-anak   mengangkat kita kat bahu mereka." Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak. 

 

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. 

 

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

 

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya  Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, "Mana mak?".

Hanya Adik yang jawab, "Mak dah tak ada." 

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit. 

 

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi. 

 

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak.  Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa  Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

 

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.  

 

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak.. 

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?".  Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini  tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

 

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

 

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.. 

 

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"    

 

Ayah  tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?"  masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia. 

 

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

 

17 August 2011

Ibu 'menyogok' Nabila

Huh..hari yang membosankan sebenarnya. Cik Abang kerja.. dan kami hanya berada di dalam rumah sepanjang hari. Melayan si kecil Cik Bella. Nak duduk depan rumah main buai pun tak boleh . Pasal ada orang Indon kat depan rumah tengah renovate laman kami. Bosan..Sangat bosan..huhu...

Huhu..Apa kes menyogok si Cik Bella nih..?

Takdelah..Tadi masa makan, macam biasalah..payah benar si Bella ni nak buka mulutnya. Huh!! Macam ada intan emas dalam mulutnya. Karang tak bagi makan nanti, kata ibu dera anak pula. Perut lapar. Tapi tak mahu makan. Padahal menu sedap je..Sup Ayam..!! Ibu pula yang naik terliur...Haishhhhh!!

Puas la memujuk. Sudahnya saya petik la dua nama ni. Adik Ra'id nya dan Alisya. Huh.. Bila ibu cakap..

"Adik Ra'id..Adik Ra'id mamam ni... Sedapnyer...." Siap buat mulut berdecap-decip lagi. Hehehe.. Yang si Bella ni terpinga-pinga la bila dengar saya sebut nama Adik Ra'id nya. Tercari-cari la konon.. Hahaha..

"Ok..Adik Ra'id mamam ni...Tengok Kak Min tak nak makan ni..Adik Ra'id makan..sedap...!!"

Si Bella ni barulah nak buka mulut. Itupun ciput je.. Huh!! Tekan sikit sudu..dapat pun masuk ke dalam mulutnya.. :)

Lepas tu, sogok lagi.. Kali ni nama Alisya pulak..

"Alisya..Alisya mamam ni.. Sedap ibu suap.."

Muahahaha..Bella terus buka mulut. Heheh..Pastu tersengeh-sengeh dengar nama Alisya..Huh!! Nama pun kembar..Rindulah tu..Padahal baru je jumpa Ahad lepas..

Huh! Bukan mudah tau. Lebih-lebih lagi Nabila yang memang cerewet bab makan ni. Nak yang sedap je. Saya baru perasan. Rupanya Nabila memang suka kicap. Huh! Sebijik ayahnya. Kalau saya memang tak suka kicap. Entah. Takde rasa originalnya kalau tambah kicap. Hehe..

~Muka masam je..Tapi perut sudah kenyang..Nak lelap lah tuh..hehe..~

p/s: Alhamdulillah..Demam Nabila sudah kebah. Pagi tadi Nabila menangis. Macam 'cik **wan' dia datang. Saya teringat kata-kata Kak Yusnita yang urut Nabila dulu. Dia kata kalau 'cik **wan' datang, cari  sehelai rambut yang tegak mencacak. Lepas tu cabut. Saya cuba pagi tadi. Nampak ada satu rambut yang tegak mencacak. Saya cuba cabut. Lepas cabut tu dia diam. Terus ok.. Hurm..Tak pasti ianya ok ke tidak..Cuma saya cuba je. Alhamdulillah..Nabila nampak better dari sebelumnya..



Sakit..hati saya lagi sakit melihatnya....

Semalam, memang sangat menguji saya. Seawal pagi saya bersiap untuk ke tempat kerja, Nabila mencebik seperti mahu menangis di dalam kereta. Tatkala saya memegang tangannya dan mengusap perlahan, terus saja air matanya mengalir laju. Bunyi tangisannya juga lain. Seolah-olah seperti takut....

~ Tak suka bila nampak wajah Cik Bella nanes..Tak comey..~

Dan bila saya pulang dari kerja, kata mak, Nabila baru saja menangis. Kata mak lagi, dia tak pasti mengapa Nabila menangis. Seolah-olah seperti ada yang memukulnya. Suara tangisannya juga lain.

Dan sewaktu perjalanan pulang, saya nampak Nabila terkejut-terkejut, setiap kali kereta melanggar lubang atau kereta bergoyang. Sungguh saya takut melihatnya.Tangisan Nabila juga lain. Seperti orang ketakutan. Pada saya bukanlah takut dengan 'benda tu' dan kemungkinan besar yang berlegar di kepala saya ini adalah 'cik **wan' dia  datang. Kerana dengan suhu badan yang tak turun-turun sejak petang semalam membuatkan saya yakin ianya datang menyerang. Cuma ianya berlaku dalam tempoh sekejap saja.

Saya buntu. Saya tidak tahu nak luahkan pada siapa. Lantas saya teringat dua nama ini. Pada awalnya saya cuba menelefon Jiey untuk mendapatkan pandangannya sama ada perlu di bawa ke hospital atau tidak. Namun talian tidak berjawab dan terus saya mendail orang kedua iaitu Ita. Bila diluahkan barulah lega sedikit. Terima kasih Ita...

Sampai dirumah, suhu badan Nabila masih lagi tidak turun walaupun sudah di sponge berulang kali. Tangisannya menggila di tengah malam. Saya dah naik risau. Diberi ubat punggung, antibiotik pun tak turun suhunya. Lantas saya bercadang untuk ke hospital. Saya terfikir untuk memandikan Nabila. Memang gila kut nak mandikan dia malam-malam tapi mengenangkan badannya panas, saya dan Abang tak peduli. Janji suhunya turun.

Selesai mandi, barulah nampak Nabila lega. Dan tertidur keletihan di sebelah saya. Tak sampai hati saya untuk mengangkat Nabila ke katilnya. Sudahnya berhimpit 3 orang tidur di atas katil. Dan sehingga subuh ini, Nabila masih lena. Dan tadi bila saya ambil suhunya, Alhamdulillah, sudah nampak kurangnya.

Saya rindukan senyuman Cik Bella. Rindukan ketawa mengekeknya..Ya Allah, sembuhkanlah Nabila.. Amin..

~Rambut kembang dengan suara mengekek ketawa..Saya rindu..~

15 August 2011

Bila si ibu sakit..anak turut sakit..

Sudah hampir seminggu badan saya tak tentu hala. Sepanjang kursus minggu lepas, alhamdulillah, takdelah nampak teruk sangat. Masuk saja Jumaat, dengan suara yang serak dan kepala pening membuatkan saya layu di pejabat. Sudahnya, saya mohon pada bos untuk pulang awal. Tak tahan dengan keadaan pejabat yang sangat-sangat sejuk..

Hujung minggu, kami pulang ke Ipoh. Kerna sudah berjanji dengan mak mertua untuk pulang. Maklum saja, kami sudah lama benar tidak pulang ke Ipoh. Abang yang sibuk bekerja, saya yang sibuk dengan kelas menjahit membuatkan opah Nabila sudah sangat rindu pada Nabila.

Semalam, Nabila meragam. Dan saya sudah menjangkakan Nabila demam. Hasil dari berjangkit dengan saya. Itulah padahnya kalau si ibu demam. Anak turut dijangkiti. Yelah, Nabila apa-apa pun mesti dengan saya, makan, minum semua bersama saya. Batuk selsema saya pun dah merebak pada dia.. :(

Semalam, sewaktu famili Ita & Farid dan Abang Long & Kak Long datang ke rumah untuk berbuka puasa, badan Nabila dedau. Dan saya sempat mengelap tubuhnya yang mulai panas. Dan sesudah mereka pulang, Nabila terus tertidur di buaianya. Dan tak sedar sehingga jam 7 pagi.

Dan hari ini, saya dan Abang sama-sama E.L. Saya juga masih belum sihat sepenuhnya walaupun dan berbiji ubat dimakan. Kepala masih pusing, namun masih gagah lagi untuk menguruskan Nabila. Nabila? Sangat-sangat lembik tubuhnya. Sepanjang hari (sehingga entry ini ditaip) Nabila tidur. Hanya sesekali lagi terjaga. Itupun saya paksa Nabila makan nasi kerana mahu memberinya ubat. Takkan nak makan ubat dengan perut kosong.

Bila lihat dirinya, kesian pula saya tengok..Mujur tak sekolah hari..andai ke sekolah, pasti dia mengamuk di sana... :(

~Bila pegang..lembik sungguh badan..Ayik nak tido je...huhu..Moga anak ini lekas-lekas sembuh..~

11 August 2011

Hati sakit..siapa tahu..?

Lanjutan dari entry lepas, serius..sebenarnya saya agak tertekan... :( Tak tahu pada siapa saya mahu luahkan..Sebab saya tahu bukan semua mahu dengar cerita saya..Masing-masing juga ada masalah. Dan pada blog ini jugalah saya meluahkan rasa hati saya...

Bila saya menceritakan perihal semalam kepada mak dan ayah saya, bising mulut orang tua saya bila mereka mengingat kembali apa yang telah terjadi pada Nabila. Ya..100% mereka menyalahkan doktor yang menyambut Nabila. Hati saya? Usah di cerita lah. Perasaan bersampur baur..ditambah pula saya ingat kembali setiap detik itu..membuatkan hati saya geram.

Mengapa perlu sehingga 3 tahun baru nak geram?

Ya, selama ini, saya susah untuk meluahkan segalanya kekesalan saya yang bersarang dalam hati ini. Pada yang tertentu saja saya luahkan. Disebalik diri saya yang kononnya nampak kuat..sebenarnya saya lemah. Ya, saya memang lemah! Kerana tidak berdaya menyelamatkan anak saya....!!

Saya tahu, saya perlu redha dengan ketentuan-Nya. Namun, pasti bohong lah mereka andai tidak terbit rasa kesal dalam diri bilamana anak mereka sama seperti Nabila. SAMA SEPERTI NABILA.LEMAS KETIKA DILAHIRKAN!

Bukan saya tak redha, cuma kadangkala ada masanya timbul rasa kurang enak dalam hati, apatah lagi terkenangkan kisah dulu. Mudah untuk kita melempiaskan kata-kata redha dan terima segala ketentuan-Nya, namun sebagai hamba yang lemah, pasti hati kita terdetik rasa kesal dan geram dengan apa yang berlaku. BIARPUN SEDIKT, pasti ada bukan?

Ya, saya sedar siapa saya. Bukannya insan yang mungkin nampak kuat pada luarannya. Kadangkala saya rebah, lemah, tak berdaya untuk bangun demi Nabila. Ada masa saya juga down seperti orang lain.

Maafkan saya atas coretan saya yang mungkin menyinggung sesetengah pihak. Fahamilah, saya juga insan biasa. Ada masa saya sendiri tidak mampu untuk menanggung dan terus melihat apa yang telah terjadi pada Nabila. Saya takut..Saya tak mahu membayangkan perkara yang buruk mengenai Nabila. Cukuplah dengan apa yang Nabila, saya dan Abang lalui selama ini. Kalau ada yang mengatakan saya lemah, tak kuat semangat..ya, saya akui. Andai ada yang mengata saya suka menjaja cerita tentang Nabila, saya tak peduli. Kerana dengan menjaja itu akan membuang sedikit demi sedikit rasa 'sakit dan bersalah' saya pada Nabila. Bukan dengan cara menyorokkannya dari mata umum..

Maafkan saya...

10 August 2011

Bila melihatnya, saya teringat kenangan itu...

Tadi Nabila ke HSB. Temujanji bersama Pediatrik. Hasil dari temujanji tersebut akan saya ceritakan kemudian..

Sewaktu kaki melangkah masuk ke ruang menunggu klinik Peadiatrik, saya terpandang seorang bayi bersama ibunya. Bayi yang saya fikir kecil lagi dalam lingkungan 3 bulan.

Lagak bayi itu persis Nabila sewaktu kecil. Ya, saya nampak kesan kepala bayi itu di vakum. Saya sangat kenal tandanya. Kerana Nabila punya tanda yang sama seperti anak itu. Saya takkan lupakan sampai bila-bila tanda lekuk di bahagian kepala Nabila akibat di vakum.. :(

~Ya, lekuk inilah yang membuatkan saya trauma. Tidak mahu lagi anak -anak saya di vakum.. :(~

Saya mahu saja bertegur sapa dengan ibu tersebut. Namun, malangnya dia hanya sebentar duduk di sebelah saya. Maka, saya hanya dapat memandangnya dari jauh saja.

Serius, wajah anak itu sebijik macam Nabila sewaktu kecil. Dengan pipi labuhnya, leher tak kuat, dan nampak diam di sisi ibunya. Abang terdengar perbualan si ibu itu dengan orang di sebelahnya. Kata Abang, si ibu itu melalui fasa yang sama seperti saya. Vaccum Failed and emergency c-sear.

Masya-Allah, saya tak sangka masih ada lagi kes sama seperti saya. Dan pastinya hospital yang sama juga. Serasa saya, pasti si ibu membawa anak untuk check up perkembangannya. Saya masih ingat dulu, sewaktu membawa Nabila untukl pertama kali check-up nya. Hati saya tenang. Kerana saya yakin anak saya ok. Begitu juga saya lihat wajah ibu itu. Nampak tenang. Tapi saya tak pasti adakah dia setenang saya? Rasanya dia juga risau melihat keadaan anaknya... :(

Doa saya buat ibu itu, agar anaknya tidak seperti Nabila. Andai disahkan CP sekalipun, biarlah keadaannya lebih baik dari Nabila..Tak sanggup rasanya ada insan lain yang melalui nasib yang sama seperti saya.. :(

Ok..stop kisah anak itu..berbalik pada perihal Nabila dengan doktor peadiatriknya...

Saya menunjukkan video yang saya ambil bulan Februari lepas kepada doktor. Dan menurut doktor, Nabila di serang sawan. Dan doktor telah memberi pilihan kepada saya untuk sama ada start ubat sawan atau tidak. Saya menolak untuk memberi ubat kerana saya fikir Nabila tidaklah seteruk yang disangkakan. Doktor juga sependapat dengan saya, Dia juga memberi pilihan pada kami untuk melakukan EEG test sekali lagi atau tidak. Saya bersetuju, namun akhirnya doktor memberitahu bahawa, EEG test tidak perlu dilakukan dulu, dan tugas saya, saya perlu memerhati siri sawan Nabila dalam tempoh 4 bulan. Andai terjadi lagi dalam masa tempoh 4 bulan ini, kemungkinan Nabila akan di berikan ubat dan melakukan EEG test sekali lagi. Yelah..last EEG pun buat pada tahun 2009. Lama bukan. Report pun tak jelas....huhu..

Tentang report mata, saya agak sedih bila mana doktor menulis dan menyatakan Nabila kemungkin tidak nampak. Aduh..kenapa dia tulis begitu...? Bila doktor peads baca tadi, muka saya berubah. Saya rasa nak sangkal saja apa yang dikatakan oleh doktor. Namun, bila difikirkan semula, saya tak patut nak melenting. Kerana ada benarnya kata Ophtalmologist itu. Rasa mahu je cakap, Nabila dah boleh nampak sikit-sikit. Kalau tak, macamana dia boleh pandang bila saya bercakap dengannya? Matanya tepat memandang saya!!

Apapun, hari ini banyak perkara yang saya lalui. Lebih-lebih lagi bersama si kecil ini. Rasanya tiada air mata untuk hari ini. Adakah hati saya sudah keras? Atau telinga ini sudah bisa mendengar apa jua yang diucap oleh doktor...? Mungkin ya.....

Bella's Closet & Crafts

Officially saya buka "Bella's Closet & Craft" . Sebetulanya saya sudah lama untuk melakukan ini semua. Alhamdulillah. Akhirnya impian ini terlaksana. :)


Mengapa nama Bella? Kerana anak inilah saya dapat merealisasikan impian saya. Moga anak ini terus memberi tuah pada saya.

Silalah berkunjung ke link ini


Kawan-kawan..sokong saya yek.. :) Terima kasih

p/s: sticky post..untuk entry baru sila scroll ke bawah yek..


09 August 2011

Hati ini gusar..

Tadi selepas memandikan Nabila, terjadi lagi perkara itu. Perkara yang saya sendiri tak pasti adakah ianya benar-benar 'benda alah' itu atau tidak. Ya, saya tak confirm. Doktor belum lagi mengesahkannya... :(

Last video saya ambil sewaktu bulan Februari. Dan entah kenapa saya tak ingat adakah itu kali terakhir serangannya. Kerana saya tak suka untuk ingat semua itu. Kerana ia menyakitkan hati saya.

Tadi bila mak dan ayah saya melihat untuk pertama kalinya ia menyerang Nabila, naik panic juga mereka. Saya cuba buat wajah tenang. Namun dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya takut, dan dalam masa yang sama saya pujuk hati saya. Saya kata ianya mungkin sebentar saja. Dan saya akan cuba dapatkan jawapannya esok..!

Mengapa esok?

Nabila akan bertemu janji dengan doktor peadiatrik untuk kesekian kalinya. Serasa saya mahu menjerit pada doktor mahu mereka menerangkan mengapa dengan Nabila. Serius saya rasa macam orang bodoh. Kerana saya tak tahu apa yang berlaku pada anak saya, sedangkan saya ibunya. Saya perlu tahu apa yang terjadi padanya walaupun perkara itu tidak membimbangkan.

Tadi sewaktu 'benda alah' itu berlaku, badannya keras. Tapak kakinya membengkok ke dalam. Dan tangannya menggenggam kuat. Badannya saya rasa lain. Macam takut pun ada. Mata dok terkedip-kedip macam ada benda masuk mata. Dok tahan-tahan nafas. Sekejap, namun bagai nak putus nyawa saya melihatnya kerana berlaku kerap.

Saya mahu menunjukkan video yang saya rakam bulan 2 lepas. Tapi memandangkan video itu panjang dan perlu di edit, maka saya tidak dapat menunjukkan pada semua. Dan doa saya harapnya ianya bukan 'benda alah' itu. Saya mahu anggap saja ia gangguan dari saraf otaknya. Entahlah..pening pulak saya fikir perkara ini.

Dan kini, bila melihatnya tidur tenang, saya kembali lega. Mungkin dia letih tadi. Sepanjang hari tidak tidur dan terkejut bangun seaktu melelapkan mata petang tadi. Entahlah..blur plak rasa. Doakan yang terbaik buat Nabila esok..Amin..
~Budak kecik temankan nenek dan aunty ke Klinik tadi. Kemudian ke NSK membeli belah. Kata mak Nabila suka benar tadi. 1st time dok dalam troli. Mak dok pegang ketiak Nabila jangan bagi dia jatuh. Risau pulak mak kata begitu, Yelah..budak kecik ni pinggang dia bukan kuat pun, duduk kena support lagi. Tapi tadi konon-konon macam dah kuat pinggang dia. Tegak je kepala. Ke mmg pinggang dengan tengkuk dan benar-benar kuat..Wallahualam...

06 August 2011

Menjadi sebahagian dari mereka...

Sedang saya leka memotong kain baju kurung tadi, saya terpandang gambar ini...

Hasil tangan Ummi Alisya tanda kenangan kami sekeluarga di Teluk Senangin.. :) Memori ketika pertama kali gathering bersama Superkids... :) Indah sekali...

Serius saya rindu pada anak-anak ini. Biarpun baru saja bersua hujung minggu lepas, namun bila melihatkan mereka di dalam gambar ini..rupanya sudah hampir 2 tahun kami semua bersama.. Sudah lama bukan? Pahit getir dilalui bersama menjadikan kami teguh seperti satu keluarga.

Tiba-tiba saya rindukan kenangan lama. Bergelak tawa bersama. Bersedih juga bersama. Kerana keluarga ini juga saya peroleh banyak ilmu dari mereka. Dengan mereka juga saya bersama-sama mereka membawa Nabila ke rawatan-rawatan yang diperlukan. Dan pada mereka juga saya merujuk pelbagai perkara mengenai Nabila. Sungguh, tanpa mereka saya hilang arah....

Syukur kerana dipertemukan dengan mereka ini. Yang sama-sama berkongsi rasa hati kerana kami di jalan yang sama. Semuanya kerana anak-anak kami. Tanpa anak-anak ini, sudah pasti kami semua tidak akan bersua. 

Moga ikatan ini berkekalan buat selamanya.. InsyaAllah.. :)

05 August 2011

Kejutan buat mak..

Ala..sebenarnya bukan kejutan apa pun. Sebenarnya, mak yang terkejut tengok Nabila semalam...

Lama mak tak jaga Nabila. Yelah, sekarang ni saya hanya menghantar Nabila ke rumah mak pada hari Khamis saja. Selebihnya, Nabila akan berada di sekolah dan di rumah Rawang.. :)

Bila semalam kaki melangkah saja ke rumah mak, dia terkejut melihat Nabila. Muka habis digigit nyamuk. Semuanya berlaku di sekolah sampaikan cikgu Nabila pun minta maaf sebab nyamuk banyak gigit Nabila di sekolah. Hurm..nak buat camner..Nabila ni memang digemari oleh nyamuk. Dulu kat Tasputra pun begitu gak. Balik sekolah je mesti ada satu dua gigitan hinggap kat badan dan muka. Dan sudahnya, bila tersentuh sikit sibuk merengek suruh saya tolong garukan. Siap buat muka sedap kena garu pulak tuh..hahaha! Comel!!

Tengahari, Nabila nampak diam di rumah neneknya. Petang, tetiba pulak emosi. Mencebik dan menangis. Macam merajuk pun ada. Nampak takut pun ada kat rumah neneknya. Semalam hujan petir guruh berdentum kuat. Sibuk nak ajak adik lelaki saya duduk kat luar rumah. Mak saya dah naik geram dengan Nabila. Entah kenapa banyak pe'el pulak semalam. Ke dah lama tak pegi rumah nenek terus lupa nenek tuh..Adoiiii!!!

Mak saya nampak perubahan Nabila. Nampak makin bijak dan pandai respon apa yang kami katakan padanya. Kalau nak mengumpat kata Nabila itu ini, usah haraplah. Sure dia jeling pandang kami. Pastu buat nada geram..hahaa!!!

Jiran saya pun mengakui, nampak Nabila makin cerdik. Hurm..saya memang akui semua pendapat mereka. Memang benar, sejak sekolah ni, Nabila nampak perubahannya. Teacher Nabila ada bagitau haritu, dia diam bila buat aktiviti. Jaranglah menangis sekarang ni. Tak macam dulu. :) Agaknya dah besar dan mulai memahami mengapa perlu ke sekolah kut.

Harapnya ada lagi perubahan positif lagi.. InsyaAllah..Amin.. :)

p/s : Agak sibuk 2-3 hari ini. Stok pakaian kanak-kanak melambak dalam bilik dan sibuk untuk proses mengambil gambar. Singgah le ke fb saya dan like ke page ini . Banyak baju comel-comel untuk anak-anak. Saya bleh bagi diskaun best punya sempena raya ni. Jemput ye... :)

02 August 2011

Bulan Ramadhan tiba lagi...

Beberapa hari yang agak sibuk. :( Tidak terlambat untuk saya ucapkan Selamat Berpuasa pada semua.. :) Moga kita dapat menjalani ibadah dibulan Ramadhan ini dengan sempurna..
 
Sekejap benar masa berlalu. Ya, pejam celik pejam celik, sedar-sedar bulan Ramadhan muncul kembali. Saya bersyukur kerana masih lagi punya kesempatan untuk bertemu dengan bulan ini. Ya, bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan!
 
Sepanjang bulan puasa, rutin saya tetap sama. Masih berulang dari Rawang menghantar Nabila ke sekolah. Semalam, puasa pertama, saya agak keletihan. Saya terpaksa ke Cyberjaya atas tuntutan kerja. Mujur tak lama di sana. Dan petangnya saya agak kelam kabut mengambil Nabila di sekolah kerana jalan agak sesak semalam. Maklum saja hari pertama berpuasa. Maka semuanya terkocoh-kocoh mahu pulang awal.
 
Nampaknya saya hanya dapat menyediakan juadah yang simple ketika berbuka. Memang tak sempat nak masak itu ini. Sampai saja di rumah sudah pukul 7 semalam. Mujur Abang balik awal semalam. Itu pun kerana ada orang datang rumah nak pasang aircond. Jadi Abang lah yang banyak membantu saya semalam membeli dan menyedia juadah untuk berbuka.
 
Teringat pula saya pada tahun lepas, dimana saya dan Abang jarang berkesempatan berbuka bersama-sama. Kerana saya masih di rumah mak, tak sempat nak berulang dari Rawang pun. Dan yang kesiannya, Abang terpaksa berbuka bersama-sama kawan-kawan bujangnya di kilang. Saya pula terpaksa berbuka bersama adik-adik, menyediakan juadah kerana mak saya terlantar di hospital hampir 2 minggu lamanya. Kesian pula pada adik-adik kerana tiada siapa yang dapat menyediakan juadah berbuka untuk mereka. Dan tahun ini, saya harap saya dapat berbuka dan bersahur bersama Abang. Tidak mahu jadi seperti tahun lepas... :(
 
Hurm..tentang Nabila, saya perasan Nabila sudah kurang makan sekarang. Adakah di sekolah di jarang makan atau dia tidak berselera, saya tak pasti. Apa yang saya tahu, Nabila tidak mahu makan bila waktu malam seperti kebiasaan. Dan bila saya teacher nya, mereka kata Nabila makan sedikit saja. Hati saya agak gusar... :( Tak mahu Nabila turun beratnya lagi... :(
 
Rasanya perlu lakukan sesuatu untuk Nabila...huhu..
 
p/s: Saya sedang sibuk uruskan baju kanak-kanak untuk dijual dalam fb dan blog saya. Rasa tak cukup tangan. Gambar akan diupload dan satu lagi blog akan dibuat.. :) Penuh dalam bilik jahit saya stok pakaian kanak-kanak yang saya ambil sabtu lepas..Tunggu ya..!!
 
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...