Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

28 June 2010

Bercerita tentang Nabila..

Aduh..kepenatan masih bersisa walaupun sudah pulang ke rumah. Sempat juga meminta Abg untuk memicit kaki sebelum dia ke tempat kerja tadi. Sakit segala sendi dek kerana tubuh yang sudah tidak kuat seperti dulu. Jika dulu..aku sememangnya suka dengan aktiviti lasak.. namun kini sudah seperti 'pancit' . Usahkan lari, buat senam sikit sahaja sudah termengah-mengah. Mungkin juga berat badan yang kian bertambah sejak melahirkan Nabila dan kurang bersenam dek asyik menumpukan perhatian pada si anak.. :)

Entry ini bukanlah untuk aku menceritakan perihal kursus yang sudah aku jalani selama 5 hari 4 malam di Pasir Salak. Tetapi lebih kepada Nabila... :) Suka benar bercerita tentang anak ini. Ada yang muntah hijau baca kisah Nabila..namun aku tak peduli. Blog ini sememangnya untuk dia. Aku menciptanya hanya untuk menyimpan segala kenangan aku dalam membesarkannya.

Kemana sahaja aku pergi..sudah pasti aku akan mencerita perihal Nabila pada rakan-rakan. Pada aku..tiada apa yang perlu di sorokkan tentang Nabila. Malah aku berbangga dapat bercerita tentang dirinya kepada rakan-rakan walaupun mereka baru saja ku kenali.

Bukan meminta simpati..cuma tidak mahu berbohong pada mereka. Aku andaikan, jika aku berbohong..satu hari pasti mereka akan tahu juga. Adalah lebih baik mereka mengetahui dari aku diamkan sahaja hal tentang Nabila.

Bagi aku..bercerita bukanlah membuka pekung di dada. Andai mereka yang mendengar tersalah tafsir..aku tidak ambil pusing. Aku biarkan sahaja. Buat apa kita takut. Anak itu darah daging kita.. :) Kita sepatutnya berbangga dengannya. Bukan semua ibu dapat merasai nikmat menjaga anak istimewa. Walaupun pada zahirnya nampak kami derita..pada hakikatnya anak inilah yang membawa tuah kepada kami. Rezeki yang melimpah ruah diberikan..buat aku cukup sayang pada Nabila. Sehinggakan ketika berkursus di Pasir Salak, ada yang bertanya.."TIDAK MAHU MENAMBAH LAGI KAH?"

Aku hanya tersenyum pabila diajukan soalan begitu. Bagi aku dan Abg, kami belum bersedia lagi. Aku tahu Nabila masih memerlukan aku. Dan aku perlu memberikan tumpuan lebih padanya lagi. Aku tidak mahu 'KUANTITI'. Aku mahukan ' KUALITI'.

Kerna itulah aku mengambil keputusan untuk memasang perancang selama 3 tahun. Segalanya demi Nabila dan juga kesihatanku. Aku juga turut 'trauma' dengan kejadian yang menimpa Nabila. Hancur luluh hatiku tatkala mengetahui Nabila tidak dapat 'diselamatkan'. Tidak menjangka perkara ini berlaku. Lama masa diambil untuk memulihkan diri. Aduh..sesungguhnya pengalaman itu sangat menakutkan..

Andai ada yang kurang senang dengan cerita tentang Nabila..aku tak kisah. Mungkin di luar sana ada yang tidak suka dengan kisah-kisah anak ini. Bagiku dialah pembakar semangatku. Dialah yang mengajar aku erti ketabahan dan kesabaran dalam membesarkannya. Dia juga mengajar aku erti syukur dalam hidup ini.

Nabila..ibu sangat berterima kasih padamu. Tanpa Nabila di sisi Ibu, hidup Ibu pincang. Ibu sangat menyayangimu dan andai diberi pilihan, Ibu sanggup bertukar tempat denganmu. Ibu mahu Nabila hidup ceria seperti mana sewaktu ibu kecil-kecil dahulu. Maafkan Ibu sayang. Tidak dapat memberikan kebahagiaan kepadamu. Tidak dapat nenberikan kehidupan yang lebih baik seperti kawan-kawan sebayamu.

Aduhai hati..rindu benar pada tawamu ini..




p/s : Esok akan ke PD pulak..Kursus Induksi Khusus sehingga Jumaat ni..Adoiiii penatnyer...!

24 June 2010

Saat ku berjauhan denganmu..

Begitu sukarnya berpisah dengan orang tersayang. Begitu juga dengan aku.Saat semalam meninggalkan nabila di bawah jagaan mak, adalah sesuatu yang sukar ku lakukan. Hati tiba-tiba sebak saat diri di hadapan pintu.Andai diberi pilihan sememangnya aku tak ingin! Apakan daya..hanya makan gaji.

Setibanya di rumah, aku memandang sepi buaiannya. Jika ada dia ketika itu, sudah pasti dia sibuk nak masuk buai. Sudah bkising mahu minta susu. Sudah pasti dia sibuk meminta aku untuk mendukungnya.

Aduhai Nabila.. sememangnya ibu tidak boleh berjauhan denganmu. Belum sampai 24 jam pun berpisah,sudah mula merinduimu.Hanya video dan gambar saja pengubat rindu.

Sayang Nabila sangat-sangat..

22 June 2010

Kesal, keluh , resah..semuanya bercampur baur..!

Berat benar rasa hari ini. Entah kenapa sejak dari pagi..seperti tiada mood. Kebetulan juga Nabila punya temujanji dengan pediatrik hari ini. Aku dan Abg tidaklah tergesa-gesa seperti selalu. Bermalas-malasan sebenarnya. Sebab tahu pastinya ramai membuat temujanji hari ini.

Betul sangkaan aku. Sewaktu di kaunter pendaftaran begitu sesak dengan orang yang sedang menunggu giliran masing-masing. Sudahnya kami hanya menunggu di luar. Abg mengajak aku ke kedai makan dulu sementara menanti giliran dipanggil.

Selesai saja sarapan pagi, rupanya giliran masih lagi belum dipanggil. Aduh..lambat benar mereka nih.. Sebelum sampai di kaunter, Abg mencari kad temujanji. Seluk punya seluk..rupanya aku tinggalkan kad itu di dalam beg tangan aku. Aku sememangnya jika mahu keluar kemana-mana , tidak akan membawa beg tangan aku. Leceh..! Senang lagi memasukkan semua barang di dalam beg Nabila.. :)

Sedikit gusar apabila tertinggal kad temujanji. Pernah juga terjadi perkara sedemikian ketika Nabila punya temujanji bersama physiotherapy. Tapi alangkah senangnya hati apabila kerani di kaunter itu hanya meminta nombor pendaftaran Nabila saja. Mudah..! Dan terus saja masuk ke dlam gym untuk memulakan sesi terapi. Namun situasi kali ini agak berbeza. Tiba giliran kami dipanggil. Terdengar suara abg menyatakan bahawa kami tertinggal kad di kaunter itu. Namun dari jauh aku dapat melihat situasi yang agak tegang di situ. Kebetulan juga aku tidak membawa kad OKU Nabila bersama. Kerani itu seperti marah tatkala kami menyatakan kami ketinggalan kad itu juga. Sudahnya , aku menyatakan untuk melihat GL aku melalui sistem HRMIS. Nasib baik juga aku sentiasa mengemaskini maklumat data ahli keluarga di dalam HRMIS. Yeah..katapun aku yang menjaga sistem aplikasi itu untuk seluruh jabatan aku. Mujur juga boleh bukak. Dan aku lihat kerani itu cuba memcetak data di dalam aplikasi itu.

Apa yang aku kesalkan, kerani itu sepertinya tidak percaya yang Nabila punya kad OKU. Apa gunanya aku menipu dalam hal-hal begini? Kalaulah rawatan itu aku tak mampu nak bayar, lain jugak la. Ini tidak. Kalau setakat tak tunjuk Kad OKU, tak dapat nak baca sistem Aplikasi HRMIS, dia sudah mula menunjukkan belangnya. Apa..! Kamu ingat kamu bagus duduk di dalam itu! Geram rasa hati..tanpa sedikit senyuman dan ucapan terima kasih pun aku tinggalkan untuk WANITA yang duduk di KAUNTER 3 itu. Dalam hati..mahu saja aku membuat aduan.. Namun akal ini menghalang. Malas nak fikir panjang tentang perempuan yang reti budi bahasa itu.!

Masuk sahaja di klinik pead, mulutku tak henti-henti mengomel tentang tindakan perempuan tadi. Begitu juga dengan abg. Geram rasnya dengan tindakan perempuan itu. Dan tiba di kaunter klinik peadiatrik, nurse di situ bertanyakan kad Nabila juga. Dan Abg memberikan jawapan yang sama kepadanya.. Tertinggal..! Dan terus sahaja nurse disitu mencari maklumat di dalam sistem. Katanya nama Nabila tak keluar di dalam sistem. Dan nurse itu bertanya adakah benar Nabila punya temujanji hari ini.

Tak puas hati dengan jawapan aku, nurse itu cuba mencari maklumat di dalam komputer di salah satu bilik di situ. Dan tak lama selepas itu, ternampak dia memegang sehelai kertas. Dan tanpa soal jawab terus dia memberikan kertas nombor giliran kepada Abg. Pada mulanya aku rasa 'panas ati' juga dengan tindakan mereka. Namun Abg memujuk aku agar tidak melanjutkan lagi amarah ini. Aku hanya mendiamkan diri sahaja. Untuk menghilangkan rasa tegang, kami berbual dengan seorang bapa yang membawa anak yang obesiti untuk berjumpa dengan doktor.

Tak lama selepas itu, giliran kami dipanggil. Bersama Dr. Maryam, aku rasa belum pernah melihat wajah doktor ini. Barangkali doktor baru. Sempat dia berbual dengan seorang doktor pakar sewaktu kami sedang masuk ke dalam biliknya. Di situ aku terdengar, mereka sedang mencari sepasang suami isteri yang anaknya dipercayai sakit jaundis dan berusia 2 bulan. Menurut kata Dr. Maryam, kondisi anak itu agak teruk kerana kemungkinan akan berlaku 'liver transplant' kepadanya andai lewat diberi rawatan.. Aduh..kasihannya. Pihak hospital cuba memujuk keluarga tersebut menjalani rawatan di hospital. Namun kedegilan bapa bayi itu mungkin juga bakal mengundang maut kepada bayi itu.

Aku hanya mendengar butiran kedua doktor itu. Sedikit kesal di wajah mereka. Aku hanya mampu berdoa di dalam hati agar ayah kepada bayi itu berubah fikiran. Dan kemudian, doktor beralih kepada kami. Bertanya pelbagai soalan yang aku rasa agak sama seperti temujanji yang lepas. Bercerita tentang cara pemakanan Nabila dan doktor telah mencadangkan sesuatu yang aku rasakan tak pernah terlintas dek akal fikiran ini untuk melakukannya. GASTROSTOMY TUBE ! Dr. Maryam bertanya aku, adakah aku mahu melakukan itu kepada Nabila. Terus sahaja kepala ini teringatkan Ammar, bayi kepada Asz . Katanya, Nabila perlu makanan yang banyak untuk meningkatkan tumbesarannya. Dengan corak pemakanan Nabila sekarang ini sememangnya tidak cukup untuknya untuk terus membesar.

Aduh..berat benar keputusan itu. Aku sendiri tahu betapa seksanya Ammar dengan tiub itu. Betapa sukarnya dia bergerak aktif. Aku hanya menggelengkan kepala dan menyatakan ketidaksetujuan aku untuk melakukan itu semua. Aku tidak kuat..! Abg juga sependapat dengan aku.

Aku menyatakan yang aku masih akan mencuba untuk merangsang cara pemakanan Nabila. Cuba merangsang bahagian muka. Kali ini seperti aku rasakan aku patut berkorban demi Nabila. Aku sudah memikirkan cara..namun masih buntu sama ada mahu melakukannya atau tidak.Masih meminta pendapat dan pandangan yang lebih berpengalaman tentang hal itu.

Doktor Maryan cuba menyejukkan hati aku. Dengan memberi kata-kata semangat agar tidak 'jatuh' dengan segala yang aku lalui selepas ini. Aku faham maksudnya. Akan ku cuba sedaya upaya demi Nabila.

Selesai dengan urusan Nabila bersama Dr. maryam, kaki ini melangkah keluar. Tidak mahu berfikir lanjut tentang apa yang dibualkan sebentar tadi. Dan kemudian ternampak Dr. Sarah. Doktor yang menyambut kelahiran Nabila dahulu. Dia berada di pediatrik? Apa pula yang dia buat di sini?

Rupanya Dr. Sarah baru sahaja melahirkan bayi. Dan anaknya jaundis. Mungkin juga berjumpa dengan doktor di klinik. Dan kami bertegur sapa. Aku tidak pasti sama ada dia ingat atau tidak akan kami. Dan dia bertanyakan keadaan Nabila. Mungkin ada yang fikir kami masih lagi menyalahkan dia dalam soal menyambut kelahiran Nabila. Bagi aku memang dia salah tapi itu dulu. Sekarang aku faham situasi dia ketika itu. Aku dapat rasakan dia telah cuba sedaya upaya menyelamatkan Nabila. Entahlah..segalanya sudah tersurat. Tiada apa yang aku sesalkan. Hanya perlu teruskan perjalanan ini demi Nabila.

Sangat letih hari ini. Aku sendiri hampir demam ketika ini. Mungkin juga telah berjangkit dengan Nabila. Aduh..sudahlah khamis nanti aku akan mula berkursus. Boleh ke? Harapnya boleh la..huhu..

p/s : membeli sesuatu untuk Nabila..tapi menangis apabila dia menggunakannya. Adui..terasa sangat rugi..namun tak cepat mengalah. Akan aku cuba lagi sehingga Nabila mahu main dengan 'benda itu. Nanti sajalah aku coretkan tentang 'benda' itu ok.. :)

21 June 2010

Pulang ke kampung.

Sudah lama juga tidak pulang ke kampung. Kebetulan sepupu Abg bertunang Sabtu lepas, kami terus bergegas pulang selepas abang pulang dari kerja. Namun tak sempat bertemu dengan rombongan pihak lelaki. Kami tiba jam 2 petang. Majlis sudahpun selesai dan aku lihat jiran-jiran sedang membungkus lauk untuk di bawa pulang.

Meriah suasana. Menurut mak mertua aku, hampir 15 buah kereta dari pihak rombongan lelaki yang datang ke majlis ini. Teringat pula ketika zaman aku dahulu. Meriah walaupun ketika itu baru bertunang. Almaklum sajalah sedara mara ramai.. Jiran tetangga lagi sibuk membantu mak dan ayah. Yelah..kalau tiada mereka, mau pengsan mak dan ayah aku melayan tetamu.. :)

Namun kegembiraan tak mana. Nabila tak sihat dek kerna cuaca agak panas ketika itu. Entah berapa kali Nabila bersin dan sudahnya keluar cecair di hidungnya. Dan aku dapat rasakan Nabila mula tak keruan. Merengek dek kerna selsema itu.

Selesai majlis kami ke rumah ibu saudara abg. Hatiku sayu melihat Wah (Ibu saudara Abg) terlantar sakit di katilnya. Air mataku jatuh..namun ku tahan. Aku letakkan tangan Nabila pada Wah. Sedih memikirkan dirinya tidak seperti dulu. Seorang yang ceria kini sedang bertarung kesakitan. Seorang yang tidak lokek dengan senyuman. Redup hati ini melihat wajahnya. Jauh di sudut ingin benar dia sembuh. Mahu dia seperti dulu.

Kemudian kami terus bergerak pulang ke Ipoh. Dan aku singgah sebentar ke klinik. Mengambil ubat untuk Nabila. Dan malamnya, Nabila mula sukar untuk tidur. Kebetulan pula ayahnya tak bawak pulak buai. Berjaga malam aku dibuatnya dek kerna Nabila yang tak henti-henti merengek. Sudahnya opahnya terjaga kerana terdengar suara tangisan Nabila. Menjelang pagi, aku bawanya keluar di ruang depan. Cadang mahu menidurkan dia..namun gagal. Dan aku letakkan Nabila di ruang tamu. Opah Nabila tolong dodoikan Nabila. Aku pula entah tidak sedar terlelap di hadapan Nabila dan opahnya.

Dan tengahari, kami singgah sebentar ke Sg. Chepor. Mandi-manda di situ. Nabila menangis. Takut dengan air sejuk. Puas juga kami memujuknya. Sudahnya..tak lama di situ, kami terus bersiap-siap untuk pulang. Dan Abg terus menyiapkan barang-barang untuk pulang ke Rawang kerana takutkan jalan sesak sepanjang Ipoh ke Rawang. Sampai sahaja di highway..sudah nampak banyak kereta yang berjalan menuju ke Kuala Lumpur. Pada mulanya aku mahu tidur.Mengantuk dek tak cukup tidur malam sabtu itu. Tapi melihatkan Abg yang mula mengantuk, tak jadi aku nak tidur. Temankan Abg. Berbual sehinggakan kami membincangkan satu perkara yang serius tentang Nabila. Tentang masa depannya. Nanti sajalah aku coretkan di entry yang lain. :)



P/s Nabila masih lagi tidak sihat sehingga saat enry ini ditulis. Sukar benar untuk dia melelapkan mata sehinggakan aku menyuruh Abg membentangkan saja tilam di ruang tamu kerana Nabila mahu tidur di buai sepanjang malam tadi. Aduh..anakku. Lekas sihat yek. Ibu pun tak senang hati nak tinggalkan kamu nanti..

18 June 2010

Progress tentang mata Nabila..

Sedia maklum mengenai mata Nabila yang punya masalah fokus untuk melihat. Namun itu bukanlah bermakna Nabila betul-betul nampak. Aku sendiri tidak pasti adakah Nabila nampak sebenarnya atau dia hanya menggunakan deria pendengaran untuk membalas segala tindakan yang ingin di lakukan.

Sehingga hari ini..ophthalmologist masih lagi memberikan jawapan yang samar buat aku. Tidak dapat dipastikan Nabila nampak atau tidak sebenarnya. Seperti yang pernah aku ceritakan pada entry sebelum-sebelum ini, mata Nabila mudah teransang dengan cahaya. Kerana aku dapat melihat sendiri Nabila cuba mengelak dari matanya terkena sinaran cahaya lampu atau cahaya matahari. Begitu juga dengan cahaya lampu di bilik. Matanya akan terkedip-kedip terlebih dahulu jika lampu dipasang di bilik gelap.

Namun aku mula perasan sejak seminggu ini. Sedang bermain-main dengan Nabila sambil memanggil namanya dari belakang, dia akan menoleh mengikut arah bunyi. Dan kemudian tersenyum. Aduh..sangat menusuk kalbu!

Aku cuba meneliti pandangan matanya. Matanya yang juling juga tak nampak ketara seperti dulu. Aku perasan yang Nabila memandang tepat ke arah aku. Cuma ia bukannya sering berlaku setiap hari. Ada masa Nabila akan pandang..dan ada masanya tidak.

Pagi tadi semasa di sekolah, aku berbual dengan therapist Nabila di situ. Dan bercerita mengenai mata Nabila. Mereka juga mengakui Nabila punya masalah penglihatan. Dan mereka memberi kata-kata semangat dengan menceritakan kisah salah seorang anak di situ yang kini sudah mula pulih penglihatannya. Dan mereka mahu aku terus menerus merangsang penglihatan Nabila. Aduh..aku punya masalah tentang itu..

Seperti ibu-ibu bekerjaya yang lain..masa bersama dengan anak sememangnya terhad. Lebih-lebih lagi yang bekerja jauh seperti aku. Sejak Nabila mula bersekolah, aku sudah merasakan kurangnya masa aku untuk Nabila. Hanya mengharapkan masa di hujung minggu. Itupun jika tidak kemana-mana.

Mohon kepada-Nya dipermudahkan segala urusan untuk Nabila. Mahu kembali seperti dulu. Waktu malam punya masa yang banyak untuk bermain dengan Nabila. Kini malam aku semakin singkat. Hanya sempat memainkan satu CD untuk Nabila. Itupun tanpa bermain dengan alat mainan. Belum di tambah untuk sesi motor kasar dan halus lagi. Mahu saja menjadi surirumah sepenuh masa. Sangat cemburu pada ibu-ibu yang punya anak istimewa yang menjadi surirumah sepenuh masa. Alangkah bagusnya mendidik anak dengan tangan sendiri. Sungguh aku cemburu!


Mahu Nabila lihat seperti ini dan berkata..Ibu , Nabila sayang Ibu.. :) So sweet!

17 June 2010

Ceria..Tenang..Gembira..wahai bidadari hatiku..

Salam semua..beberapa hari aku cuba untuk mengisi entry..namun idea tak kunjung tiba.. :(

Sejak Jumaat lepas..aku agak sibuk sebenarnya. Pulang saja dari pejabat , terus melawat jiran yang baru sahaja melahirkan bayi seminggu yang lalu. Dan kemudian terkocoh-kocoh pulang ke Rawang kerana bersiap sedia untuk ke Gedangsa. Nabila akan mandi tengah malam di rumah Kak Raw nanti.

Selesai urusan mandi..kami tido di rumah Kak Raw dan esoknya Nabila, Alisya dan Aiman bersiap sedia untuk dibalut. Dan kemudian kami terus pulang ke rumah masing-masing. Abg pula sibuk nak masuk kerja. Agak terlewat tapi katanya dia sudah berpesan pada rakannya yang dia akan lewat nanti.

Dan malam sabtu..rumah ini dikunjungi Ayu, Syarul dan Nadime.. Seronok bukan kepalang aku melihat mereka bertiga. Sebab sebenarnya selepas hari pengebumian arwah Alanna..aku memang tak berkesempatan untuk berjumpa dengannya. Dan rasanya aku perlu memberi ruang pada Ayu untuk merehatkan diri.

Telatah Nadime yang cukup mencuit hati ..ada kala mengundang gerimis di hati. Sedangkan hati aku tersentuh dengan perbuatan Nadime yang sering bertanya tentang adiknya..inikan pulak Ayu yang sering berhadapan dengan soalan-soalan Nadime itu. Aduhai sahabat..tabahkan hati..kuatkan semangat..Segala yang berlaku pasti ada sinar yang menanti nanti..

Esoknya kami keluar..bersama Ayu dan Ita sekeluarga.. :) Ke Sunway Piramid. Agak lewat juga kami berjumpa kerana menunggukan Ita selesai kerja di pejabat. Makan dan bermain permainan di situ antara aktiviti kami. Seronok benar lebih-lebih lagi melihatkan telatah Nadime yang mencuit hati. Melihatkan Nadime..pastinya aku terkenang..Andai Nabila sihat..sudah pasti Nabila berlari sama seperti Nadime bermain mainan.

Nabila pula..pantang berada di Shopping Mall..telatahnya pasti menghiburkan. Senyum sengih sepanjang berjalan. Tak merengek langsung. Mungkin juga seronok berjalan bersama Alisya dan Nadime. :) Bijak sungguh.. :)

Dan cerita untuk 2 hari ini..Nabila nampak tenang. Sihat dan ceria sepanjang di sekolah semalam. Hari Isnin, sekolahnya tutup dan tadi jalan sesak di Ampang menyebabkan aku mengambil keputusan untuk TIDAK menghantar Nabila ke sekolah. Terpaksa berpatah balik ke Wangsa Maju untuk ke rumah mak.Aduh..bazir minyak sungguh..!

p/s : telah menyiapkan video untuk anakku Alanna Qish.. :) Air mata mengalir sepanjang meng' edit' video ini.Rindu pada arwah barangkali...

12 June 2010

Terlalu Istimewa..



Ku tak tergambar wajahmu
Sinar mata itu
Lirik senyumanmu
Pesona yang membelai
Wajahmu bercahaya
Memberi bahagia
Tiap yang memandang
Hati jadi salju

(Korus)
Kau terlalu istimewa
Kasih dan sayangmu terpancar
Seikhlas tiada batasan
Terus membara
Terkilan rasa jiwa
Ingin ku lihat mu dewasa
Apa daya
Tuhan lebih menyayangimu

Ku pasti kau berbahagia
Duduk di sampingnya
Mendengar cerita
Sekadar rahsia

(Ulang korus)

Tak tertanggung rindu…
Mendengar suaramu…
Tawa mengusik jiwa…
Oh…

(Ulang korus)

Lagu yang sangat mengusik jiwa aku ketika ini. Teringatkan arwah Alanna..
Sudah seminggu anak ini pergi meninggalkan semua yang dikasihi. Semalam aku tersentuh dengan entry Ayu. Dan lantas aku ke surau..di pejabat menangis di situ semahu-mahunya. Membelek wajah anak itu di dalam telefonku.

Sakit dan pedih hati ini..sakit lagi hati sang ibu. Mahu hati ini berbicara dengan Ayu..namun akal ini menghalang. Mahu memberikan Ayu masa untuk memulihkan semangat diri.Tidak mahu menggangu masa 'privasi' nya bersama keluarga tercinta.

Duhai hati..cepat benar engkau tersentuh. Naluri ibu membuatkan hati ini pantas sekali membuai rasa. Pantas menyelami hati-hati ibu yang lain.

Mohon saja kepada- Nya memberi kekuatan pada Ayu. Dan juga pada ibu-ibu yang pernah kehilangan anak tersayang. Aku cuba membayangkan andai aku juga berada di situasi itu. Pastinya hidup ini tidak keruan mengenangkan nasib anak.

Tabahnya kamu semua. Kekuatan seorang ibu yang tiada tolok bandingannya.....

Kembara Atiq Wazif..

Sabtu lepas aku membeli sesuatu yang aku cari selama ini. Ini dia..


Buku yang banyak memberi aku semangat sebenarnya.Dalam buku ini juga menceritakan teknik rawatan yang sesuai untuk anak-anak yang 'delay' macam Nabila.

Sungguh aku kagum dengan semangat si ayah yang sanggup berhabis duit demi anak tercinta. Begitu juga dengan luahan hatinya.Mungkin kerana berada di landasan yang sama.Sangat mengerti setiap apa yang dirasai oleh si ayah dan ibu ini.

Antara salah satu rawatan yang telah di cuba oleh Encik Hasan ialah Pusat Rawatan Kak Raw.Sememangnya ramai yang cuba 'merasa air tangan' kak raw.Dan bagi aku,rawatan kak raw banyak mendatangkan kesan yang baik pada Nabila. Berubat ini sebenarnya memerlukan keyakinan kepada pengubatnya.Bila yakin, pasti akan mendatangkan kesan yang mujarab kepada pesakit.

Berbalik kepada isu kandungan buku ini,Encik Hasan membawa Wazif serata dunia mencari perubatan yang terbaik untuk memulihkan anaknya.Sewaktu kecil,hospital menjadi rumah kedua Wazif.Sering sakit dan doktor cuba mengesan penyebab Wazif berkeadaan demikian.Dari kaedah perubatan tradisional hinggalah perubatan canggih dan moden,semua di cubanya.Dan segalanya membuahkan hasil apabila Wazif sudah berjaya untuk berjalan sendiri dan menguruskan diri.

Pada mereka yang ingin mendapatkan buku ini mungkin boleh bertanya sendiri kepada Galeri Ilmu Sdn Bhd atau di website ini .Search nama judul buku dan buku ini boleh dibeli secara online.Aku sendiri mendapatkan buku ini dari Kak Raw.Pernah juga mencari di MPH Wangsa Maju ,namun hampa.Tidak ketemu juga . Mungkin juga rezeki Nabila..akhirnya dapat juga aku membaca buku ini. Akan ku jadikan panduan dan semangat untuk diri demi Nabila!

10 June 2010

Rezeki..rezeki..

Petang tadi, rumah mak dikunjungi posmen. Satu bungkusan yang datangnya dari Papa Aicha.. :)

Meriahkan patung-patung ini.. :) Tak sangka sekotak Papa Aicha bagi kat Nabila..

Encik Mahathir @ Papa Aicha ada mesej pada aku minggu lepas..Niat mahu memberikan sesuatu untuk Nabila . Terima kasih banyak-banyak. Tak sangka Nabila dapat banyak patung ..hehe..Untung betul Nabila..Rupanya di luar masih ramai yang sayang padanya walaupun tak pernah bersua muka.. Terharu betul rasa.. :)

Papa Aicha ni ada kedai tau..Jual permainan secara bundle.. klu sesiapa nak singgah membeli..silalah ke blog dia yek.. :) ni link dia.. (promote sket yek Papa Aicha..)..

Rezeki masa di Teluk Senagin pun banyak gak..Hurm..happy giler..sebab dapat hadiah banyak..Hadiah gathering plus ngan hadiah birthday Nabila dan aku.. :)  ( Patutnya dimasukkan masa entry Teluk Senangin aritu..tapi..tah terlupa pulak..hehe)

Banyak kan..semua rezeki Nabila.. Alhamdulillah.. :)

p/s : Betul kata mak..rezeki anak istimewa ni murah betul..Tak pernah rasa susah sejak Nabila lahir ke dunia ini. Ada saja jalan Allah berikan buat kami sekeluarga dalam membesarkan Nabila. Syukur.. Alhamdulillah.. :)

07 June 2010

Alanna, Kau Pergi Jua..

Seperti yang telah semua ketahui.. Alanna telah pun pergi meninggalkan kita semua buat selama-lamanya. Maaf entry agak lambat kerana mencari kekuatan untuk menulis kali ini. Pada sesiapa yang mahu membaca entry-entry tentang Alanna dari blog geng superkids dan bloggers yang lain.. ni link nyer..

http://puteri-nuur.blogspot.com/2010/06/alanna-qish-dia-dihati-saya-selalu.html
http://shahzurahabib.blogspot.com/2010/06/al-fatihah.html
http://umisofie.blogspot.com/2010/06/dia-telah-pergi.html
http://zamieda-lifeline.blogspot.com/2010/06/salam-takziah.html
http://mylife-asz.blogspot.com/2010/06/dia-sudah-tiada-al-fatihah.html
http://itafed.blogspot.com/2010/06/syurga-menanti-mu.html
http://chasingpelangi.blogspot.com/2010/06/terima-kasih-alanna-qish.html
http://ssasliza.blogspot.com/2010/06/al-fatihah-buat-alanna-seorang-bidadari.html
http://kernakasihkita.blogspot.com/2010_06_01_archive.html#7281181703721659968
http://kernakasihkita.blogspot.com/2010_06_01_archive.html#4866399287455200424

Mengenali Ayu & Alanna Qish merupakan satu perkara yang terindah yang berlaku dalam hidup ini. Saban hari Si Ibu ini cuba mengumpul maklumat tentang Cerebral Palsy dari teman-teman senasib. Namun sangkaan doktor Sungai Buloh meleset apabila Alanna bukan Cerebral Palsy.

Pertama kali saya berjumpa dengan keluarga ini, saya dapat rasakan Ayu sedang berusaha demi anak yang dikasihi. Lantas saya perkenalkan Ayu kepada rakan-rakan yang lain demi bersama-sama membina semangat agar tidak 'jatuh' dek penangan dugaan dari Ilahi. Syukur..semua menyayangi Alanna seperti anak sendiri.

Masih segar dalam ingatan ini melihat Alanna senyum apabila bermain dengan mummy. Masih teringat kata-kata Ayu apabila Nadime cuba menyusun mainan di hadapan Alanna dan bermain bersama adiknya. Masih teringat saat mula-mula Alanna di rumah Kak Raw. Dan yang paling saya ingati, saat mula-mula Alanna di masukkan ke Sg. Buloh 2 bulan lepas. Pilu rasa hati, wajah si kecil ini dipenuhi wayar.

Kini nama Alanna Qish tinggal kenangan buat saya dan juga keluarga superkids. Penangan kehilangan anak ini sangat meninggalkan kesan kepada kami semua. Sungguh..saat saya mengetahui berita itu, saya pilu. Kerana ketika itu, saya yakin yang Alanna kembali berjuang untuk hidupnya. Namun..apa yang Alanna lakukan hanyalah untuk memberitahu kami yang dia tidak mahu kami risau tentangnya. Syukur sebab semua superkids member sempat berjumpa dengan anak ini. Kerana sejurus sahaja kami keluar dari rumah Ayu..Alanna telah pergi meninggalkan segalanya di dunia ini. Mungkin juga Alanna ingin mengucapkan terima kasih kepada semua superkids member yang tak putus-putus melawat dan memberi sokongan kepadanya.

Sehingga saat saya menulis entry ini, saya masih terbayang-bayang saat diri ini mencium anak itu untuk kali yang terakhir. Paling meninggalkan kesan adalah saya sempat mengambil gambarnya memakai baju pemberian saya.Itulah hadiah terakhir dari ibu buatmu sayang..

Wajah Alanna 2 jam sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir..Baju pemberian saya..Terima kasih Ayu..menyarungkan pakaian ini untuk Alanna..

p/s : sedih menyelubungi diri sepanjang hari ini. Rakan-rakan di pejabat juga mengucapkan salam takziah buat Ayu sekeluarga.. Hampir semua staff di pejabat mengetahui kisah perjuangan anak ini sehingga ada yang menangis bila mendengar kisah Alanna.Hebat kan penangan anak ini..!

Alanna Qish..
24 Ogos 2009 - 5 June 2010...
Al-Fatihah..

05 June 2010

Air mata ini..

Tengahari tadi, aku ke HKL. Mahu melawat anakku yang sedang berjuang.. Alanna Qish. Hati agak berdebar-debar dan seperti tidak sabar mahu mengetahui keadaan Alanna. Dan sebaik saja masuk ke wad KK5, mataku meliar mencari katil Alanna.

Sah, Ayu dan Syarul sedang duduk di katil. Sedang menatap anak itu. Terus saja kaki melangkah laju. Ingin menatap wajah anak ini. Aduhai sayang..Nampak tenang kamu. Kata Ayu, sudah 2 hari Alanna berkeadaan demikian. Aku sentuh tangannya. Aku rasakan jari jemari tangan kiri bergerak. Aku usap ubun-ubun kepalanya. Menatap sayu pada wajah anak ini. Aduh..tak terhingga rasa sedih perasaan menyelubungi hati ini.

Dan kami terus berbual. Bercerita tenatang keadaan Alanna semasa di hospital. Air mataku tumpah sekali lagi. Maafkan Ibu sayang..Ibu tak sepatutnya menangis depan kamu. Tapi Ibu tak tahan. Ibu sedih bila kamu berusaha untuk melawan kesakitan itu.

Dan kali ini jelas kelihatan Ayu begitu redha dengan Alanna. Mungkin juga Ayu tak sanggup lagi melihat Alanna terseksa. Wahai sahabat, aku faham niatmu itu. Pedulikan sahaja apa yang orang katakan padamu. Yang penting niat kita. Apapun berlaku, Alanna tetap anakmu. Alanna tahu segala tindak tandukmu. Alanna tahu itulah tanda kasih ibu padanya. Kasih hingga ke syurga.

Sempat aku memeluk Alanna. Cantik sungguh anak ini. Sungguh.! Wajahnya tenang sangat ketika itu. Tidak mengerang kesakitan seperti sebelumnya. Ketika aku memegang jari jemarinya, aku dapat rasakan genggaman yang kuat.. Dan ketika itu pulak nurse datang. Alanna seperti tidak mahu melepaskan jariku. Aduhai sayang..ralat rasa hati terpaksa melepaskan tangan ini. Alanna seperti mahu berkata " Ibu jangan tinggalkan Alanna. Nurse datang.. Alanna takut..! ". Sungguh Ayu! Ina rasa seperti Alanna berkata begitu.

Alanna sayang..perkenalan dengan mu membuatkan ibu rasa kagum dengan semangat mu. Walaupun kamu kecil, Ibu tahu kamu anak yang kuat.Teruskan berjuang sayang. Mummy, Daddy dan Abg Nadime sentiasa bersamamu. Begitu juga dengan Ibu, Ummi, Mama. Kami akan sentiasa mendoakan kesejahteraan mu sayang.

p/s : esok ada bacaan Yassin untuk Alanna di Wad KK5. Jam 10 pagi. Dan mungkin juga mesin Alanna akan di matikan. Aduhai..berat sungguh keputusan ini. Aku yakin Ayu telah buat perkara yang terbaik dalam hidup Alanna.

03 June 2010

Malangnya nasib..

Entah kenapa sejak kebelakngan ini dirundung malang. Malang yang menimpa tak sudah-sudah. Mungkin Allah mahu aku lebih memperingati-Nya.

Dengan dari Nabila yang sedang sakit, kehendaki menjalani kursus Biro Tatanegara dan Induksi Khusus..ditambah dengan berita yang sedih dari Alanna,dan juga beg duit aku yang hilang tadi..buat segalanya menjadi serba tak kena dalam seminggu dua ini. Aduhai... apakah yang telah aku lakukan sehingga dapat segalanya serentak begini? Tak tertanggung rasa jiwa ini mengenangkan semua itu.

Ya Allah..ampunkan hambamu yang lemah ini. Andai hambamu ini kurang mengingati-Mu.Aku bermohon pada-Mu , berikanlah aku kekuatan untuk menjalani kehidupan pada hari-hari seterusnya. Kuatkan semangatku Ya Allah..Tetapkan imanku. Teguhkan pendirianku. Engkaulah Maha Pengasih dan Maha Penyayang..Amin Ya rabbal alamin...

p/s : Tolonglah pulangkan semula Kad Pengenalan, kad Nikah dan Lesen saya. Hilang ketika sibuk menghantar Nabila ke Aniza Medical Centre. Kali terakhir nampak beg duit itu di hadapan kaunter ubat..Tolonglah..!

01 June 2010

Adakah dia trauma?

Pagi sewaktu menghantar Nabila ke sekolah, segalanya nampak baik sahaja. Tiada suara tangisan Nabila kedengaran. Sempat senyum lagi...

Entah petang tadi, kata adikku, Nabila menangis di dalam van sewaktu dia mengambil Nabila pulang dari sekolah. Di dalam van lagi, Nabila sudah menangis sehingga bengkak matanya. Kata adikku, tak tahu punca mengapa Nabila menangis ketika itu.

Sampai sahaja di rumah mak, aku lihat Nabila di dalam buai. Sedang membuai perasaan. Semuanya kembali elok ketika itu. Aku mengambil keputusan untuk pulang lewat ke rumah kerana malas untuk menempuh kesesakan trafik di Rawang.

Dan sewaktu aku makan, tiba-tiba Nabila menangis. Suara seakan merajuk, marah dan takut. Puas mak dan adik perempuan aku memujuknya, namun gagal. Agak lama juga Nabila menangis. Sehinggakan masing-masing sudah tidak tahu nak buat apa.

" Yong, tak yah hantar la Nabila gi sekolah. Tah hapa-hapa tah dorang buat Nabila kat situ", kata adik perempuan aku.

Aku hanya mendiamkan diri. Memandang Nabila yang cuba menyatakan sesuatu melalui tangisannya. Aduh.. Nabila, Kenapa ni sayang.. Adakah kamu takut?

Bila memikirkan perasaan takut Nabila, aku terbayang kisah semalam. Adakah Nabila teringat kisah semalam? Atau Nabila dipaksa melakukan sesuatu ketika di sekolah?

Aku tahu apa yang mereka lakukan di sekolah. Sebab aku sendiri melihat cara mereka melakukan segala aktiviti. Memang mereka memaksa, namun segalanya adalah untuk kebaikan anak itu. Jangan fikir anak istimewa tak pandai menipu. Mereka sangat bijak. Pandai bermain emosi supaya kita rasa kasihan pada mereka. Begitu juga dengan Nabila. Menangis adalah senjatanya untuk mematahkan hati ibu ini.

Mak juga sependapat dengan adikku. Mahu Nabila dihantar lewat sedikit berbanding sekarang. Aku serba salah. Aku juga tak sanggup bila memikirkan Nabila di bawah jagaan orang lain, bukan dengan mak aku. Tapi bila di fikirkan, aku rasa memang patut Nabila berada di sekolah. Sekurang-kurangnya, dia tak dimanjakan sangat oleh neneknya. Tahu membawa diri jika kemana-mana.

Aduh..terasa goyang lagi hati ini. Sangat ralat jika aku tidak dapat memahami apa yang tersurat dalam hati Nabila. Ralat kerana aku adalah ibunya. Tidak memahami hati anak ini.

p/s : Masih lagi belum sihat. Batuk masih ada. Cuma bunyi tidaklah sekuat semalam.. :(