Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

26 November 2012

Kisah kakak Nabila..

Sejak adik lahir, barulah mulut ibu panggil Nabila dengan panggilan kakak. Entah kenapa bila adik Naufal dalam perut, berat pulak mulut nak sebut kakak. Agaknya tak mau beria-ia sangat menyambut kegembiraan berita adik Naufal dalam perut ibu. Orang tua-tua kata tak baik... Buat biasa-biasa saja sudah. Janji doa agar Naufal sentiasa sihat dalam perut ibu ketika itu..

Sebenarnya lama tak update tentang Nabila. Perkembangan terkini?  Rasanya dari segi fizikal tetap sama. Masih dalam proses untuk meniarap sendiri. Masih cuba untuk bangun sendiri apabila badan sudah penat berbaring di tilam. Ya..ibu terlupa, berat badan dan ketinggian saja yang sudah berubah. Sejak duduk rumah nenek, badan semakin berisi dan kaki semakin panjang... :)

Sejak saya balik dari hospital, belum lagi Nabila diserang sakit demam. Cumanya serangan sawan kerap berlaku. Memang risau dibuatnya kalau Nabila diserang sawan. Lagi-lagi selepas serangan, saya terpaksa menghadap amukan menggila Nabila..Aduhai..sakit jiwa rasa.. Kalaulah Encik Sawan tu ada pipi..dah lama ibu tampar sawan tu..huhu...

Mulut semakin bising. Kadang-kadang si adik sedang sedap lena tidur mulalah suara si kakak kedengaran. Membebel seorang diri di dalam buai. Padahal sebelum tu, kemain lagi bagi signal melentik badan, buat gaya-gaya mengantuk sebab nak suruh ibu letak dia dalam buai. Ingatkan nak tido..rupanya nak menggedik dalam buai..hehe.. Si adik pun tak boleh kalah gak. Buat teran-teran suara macam orang kata meneran isi sebab nak besar lagi..Uiiii makkkk..riuh rendah jadinya...

Apa yang saya khuatir sekarang ini tentang ini..






Bila dah lama tak buat terapi, kaki Nabila pun beginilah..

Minggu ni merupakan minggu terakhir saya berpantang. Dan tak tahu bila nak balik Rawang untuk start sesi terapi Nabila di rumah sana. Kompem busy melayan budak berdua ni lebih-lebih lagi si Naufal yang susah nak 'let go' ibu dia buat kerja rumah..Aduhai...

22 November 2012

Susu ibu..pilihan saya untuk Naufal tersayang

Sebenarnya, tahap pengetahuan saya mengenai susu ibu amat cetek sekali. Apatah lagi ketika Nabila lahir dulu, saya tidaklah bersungguh-sungguh seperti sekarang mahu breastfeed Nabila. Agaknya dah sampai seru kut bila Naufal lahir..hehe..

Sebelum bersalin haritu, saya ada order ini..

Medela Freestyle.. :)

Pada awalnya memang agak blur gak la nak pakai..sebab aksesorinya agak banyak (pada sayalah) dan gaya pemakaiannya ala-ala robot gitu..hehe..

Gambar minah salleh mana tah..amek kawww..hehe...Ala-ala gitu lah pemakaiannya.

1st day dapat, terus bukak kat office. Kebetulan kat office memang ada sorang pegawai saya, Kak Ida memang pengguna tegar freestyle ni. Jadinya, dialah sebagai pakar rujuk saya. Dan dia jugaklah yang menyarankan saya beli di mybreastpumpshop.com . Pakej yang ditawarkan agak menarik gak..hehe..

Kak Ida lah tolong tunjukkan cara nak gantung benda alah tuh..hehe. Berkali-kali saya buat kat rumah. Asik tak jadi je. Puas saya eksperimen macamana nak guna handsfree nya..Sebelum ni, saya naik fed up saya guna je tangan untuk pegang botolnya. Abis tu, payah sangat nak gantung..Asik meleleh je...huhu..

Bila dah pandai, mulalah eksyen..hehe..Sampai tertumpah susu tadi sebab sibuk nak tutup tingkap dek kerana hujan. Nasib baik sempat diselamatkan. 

Susu dalam masa pantang ni takdelah banyak sangat. Sekali pum adalah dalam 2-3 oz. Agaknya saya stress dan penat berulang alik ke klinik sebab jaundis Naufal. Saya cuba untuk pam dengan kerap dan minum banyak air masak. Disamping tu makan makanan yang boleh menambahkan susu badan..

Cumanya sekarang ni, saya keliru sama ada perlu untuk buat stok atau tidak. Sebab memandangkan saya tak bekerja selama setahun, mungkin ada baiknya saya bagi secara direct je. Tapi kalau takde stok susah gak. Kut kena tinggalkan budak kecik ni sebab nak bawak kakak dia ke terapi payah gak ek. Entahlah..

Boleh tak sesiapa bagi cadangan untuk saya pikirnya cara penyelesaiannya. Plus nak tau gak patut ke saya beli deep freezer? terima kasih atas cadangan..:)

19 November 2012

Kakak dan Adik together-gether.. *pelik aihhh bahasa ibu neh*

Owh rupanya saya belum letak gambar kakak Nabila dan adik Naufal dalam blog yek untuk tatapan umum.. :P

Hehe..Payah sebenarnya nak amik gambar mereka berdua ni sama-sama. Kalau nak amik, mesti kena ada orang tolong pegangkan si kakak. Sebabnya, si kakak pun agak-agak 'cepat' tangan dia melepuk adik. Tapi ibu tau kakak Nabila bukan sengaja nak lepuk adik pun. Pasal excited sangat, tangan pun libas kiri-kanan. Tak tau adik dok melekat sebelah kakak..hehe..

Yelah, ibu faham Kakak Nabila tak faham kenapa ada suara budak kecik menangis. Selalu dia ingat bunyi permainan je. Bila dah sebulan adik Naufal asik meneran isi, menangis..Mungkin dia dah faham sikit kut. Dia tau budak kecik tu mesti ada kat sebelah dia atau berhampiran dengan dia. Dan selalu jugaklah ibu cakap, ni adik Naufal..tu kakak Nabila...hehe..Ibu cakaplah tanpa jemu..sampai kakak tau yang dia dah ada adik..

*mesti si Nabila dok pikir..pehal la ibu asik ckp nama adik Naufal..*

Apapun, adik Naufal dah genap sebulan hari ini..19hb bulan lepas..ibu dah gabra nk masuk bilik OT untuk keluarkan Naufal. Satu pengalaman yang ibu rasakan syahdu buat ibu dan ayah. Debaran usah cerita. Hanya mampu berdoa agar Allah permudahkan jalan ibu dan panjangkan umur kami berdua agar masih kesempatan untuk memeluk Abang dan Nabila..



Pengarang jantung hati ibu..



15 November 2012

Gathering Super Mum's & Super Dad's Angel Group






Pernah dulu saya cerita tentang kumpulan sokongan ini bukan? Ianya salah satu kumpulan sokongan yang saya sertai sejak tahun lepas untuk anak-anak istimewa. Banyak ilmu yang saya peroleh sejak menyertai group ini. Alhamdulillah, bila bersama rakan 'sekapal' saya tidak rasa kesunyian. Banyak perkara yang saya pelajari tentang keadaan anak istimewa. Malah ibu bapa dalam kumpulan ini tidak lokek berkongsi ilmu yang mereka ada demi anak-anak istimewa di sini..

Dan kali ini, kami berjumpa sekali lagi. Seperti tahun lepas, banyak aktiviti bermanfaat akan kami lakukan sepanjang perjumpaan kali ini. Cumanya, kami memerlukan sedikit sumbangan bagi menjayakan aktiviti ini agar dapat dimanfaatkan oleh lebih kurang 26 keluarga (sehingga hari ini) yang akan menyertai program ini. Dan aktiviti bukan bertumpu pada anak istimewa. Anak-anak tipikal lain juga boleh turut serta dalam aktiviti ini. Dan paling best, anak-anak tipikal akan didedahkan dengan dunia anak-anak istimewa yang bukan saja terdiri dari adik beradik mereka sendiri, malah mereka boleh melihat anak-anak istimewa yang lain juga.

Bukan mudah untuk menjayakan program sebegini. Saya kagum dengan semangat rakan-rakan ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus mencari idea dan mencari sponsor untuk menjayakan program ini. Niat dihati mahu program ini mendapat tempat di mata masyarakat dan seterusnya membuka hati mereka menerima kehadiran anak-anak istimewa ini.

Dengan perjumpaan seperti ini, kami juga dapat menyuarakan suara dan hak-hak kami seperti bantuan kewangan, peralatan dan kemudahan persekolahan kepada yang berkenaan. Dan kami boleh bertukar-tukar pendapat mengenai cara penjagaan anak-anak istimewa kami. Seperti tahun lepas, memang berbaloi bila saya dapat menyertai perjumpaan seperti ini.

Antara acara yang bakal diadakan adalah seperti berikut..

a) Sesi bersama pihak JKM
b) Sesi bersama Dato. Dr. Fazley - Pakar Motivasi
c) Sesi bersama pihak MOE
d) Sesi bersama Encik Hassan Suyut - Buku Kembara Atiq Wazif
e) Sesi bersama Encik Maniam - Teknik Dohsa Hau
f) Sesi Bacaan Yassin dan Tahlil
g) BBQ dan Nite Show bersama Tam Spider
h) Game show dan Magician
i) Sesi terapi di Great Life PhysioTherapy

Andai ada yang ingin menderma untuk anak-anak kecil kami, tak kisahlah dalam bentuk wang atau dalam bentuk barangan untuk program kami, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Puan Khairun Darwani binti Khairuddin talian 012-4874264 . Atau terus saja bank in pada bendahari program iaitu Puan Mazzlinda binti Yatim di akaun bank Maybank 102102151493 sebelum 30 November 2012


Program ini akan diadakan pada 15-16 Disember 2012 bertempat di Intekma Resort, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Secara amnya, kos – kos yang terlibat bagi menjayakan program ini termasuklah seperti penginapan dan makanan, bilik seminar dan yuran profesional, peralatan permainan dan hadiah cenderamata. Di anggarkan lebih 150 org akan menghadiri majlis ini.

Pada mereka ynag diluar sana mempunyai anak istimewa, boleh juga sertai program kami dengan menghubungi founder iaitu Puan Khairun Darwani untuk turut serta dalam kumpulan kami.. :) Boleh juga turut serta di dalam facebook kami di http://www.facebook.com/groups/supermum/

Boleh lihat juga di entry lama saya mengenai Group Supermum di dalam entry ini yek..1st Gathering SMSD

Pada yang menderma, terima kasih kami ucapkan..Moga Allah saja yang membalas jasa dan budi baik tuan/puan terhadap anak-anak istimewa kami.. :)




12 November 2012

Si Jaundis yang degil !!

Hehe..memang degil pun..asik nak melekat kat Naufal je ek?!

Serius, stress tahap gaban dah daku neh. Melihatkan jaundis Naufal yang susah benar nak berlalu pergi. Hari Rabu lepas, bacaan 197. Jumaat buat pemeriksaan lagi.. 192. Aikk..turun sikit sangat.. Dan tadi darah naufal diambil lagi. Dan paling mengejutkan... 204.1. Terkejut beruk!!

Adoiyaiii.. kami laki bini garu kepala. Saya dan Abang termenung di dalam kereta mengenangkan result jaundis Naufal. Sakit hati usah cerita. Dan mulalah fikiran ni dok memikir-mikir apa yang telah saya makan sepanjang 2 hari lepas..

Agak stress lagi di situ. Dan akhirnya saya dimarahi oleh abang. Katanya usah diingat apa yang telah dimakan. Sebab semuanya tiada kaitan. Saya tahu Abang juga tertekan dengan keadaan Naufal. Dan last..air mata saya gugur lagi.... :(

Bila saya up status di facebook.. "Hati di duga lagi..sampai bila ianya akan berakhir naufal syg..? Tak lalu dah ibu nak hadap hari2..huhu.." banyak juga komen yang saya terima. Ada yang mencadangkan beberapa petua untuk diamalkan, namun kebanyakannya telah saya lakukan sejak hari pertama Naufal disahkan jaundis. Memanglah nurse dan doktor melarang melakukan perkara-perkara lain melainkan penyusuan yang kerap..namun bila dah bertegang urat dengan ayah sendiri buat saya terpaksa mengalah dan lakukan apa yang di suruh oleh ayah. Ayah pulak keluarkan statement "Anak ayah 5 orang..semuanya elok je minum susu kambing.." kata ayah bila sibuk saya menegakkan pendirian tentang susu ibu. Adoiyaiiii....

Penyusuan saya, setiap sejam ke dua jam sekali. Memang kerap. Naufal pula memang tak payah di kejut-kejut. Terus je bangun nak menyusu bila dah tiba masa hausnya. Tapi bila tahap jaundis tak turun, manalah hati tak stress..



Dan tadi, saya terpandang wall kak Azwana tentang kisah jaundis oleh Dr. Zubaidi. Terus saya share dan baca apa yang telah di tulis oleh Dr. Zubaidi. Ok..saya paste kan apa yang beliau tulis di sini..Klik pada tajuk di bawah yek..

Kekuningan pada bayi : Normal atau Bahaya 

Terima kasih pada Dr. Zubaidi tentang ilmu ini. Moga-moga Jaundis Naufal berlalu pergi dengan cepat.. Amin..

08 November 2012

Nabila @ Wanita Hari Ini TV3

Semalam, wajah Nabila di Wanita Hari Ini. Tajuk Bayi Lemas Dalam Kandungan...

Macamana boleh keluar TV lak neh?!

Sebenarnya, saya dikhabarkan oleh rakan-rakan yang pengacara WHI Hasfizza mencari maklumat mengenai pengalaman ibu yang mempunyai anak lemas dalam kandungan. Teringatkan kisah Nabila, maka saya cuba e-mel pada Hasfizza untuk bercerita mengenai pengalaman saya. Niat hanya mahu memberikan info padanya saja. Tak terlintas langsung untuk masuk tv atau sebagainya. Dan saya selitkan nama blog ini untuk memudahkan beliau mencari maklumat dan pengalaman saya mengenai anak lemas.

Namun, tak sampai 2 minit selesai saya e-mel padanya, telefon saya berbunyi. Private number? Dalam hati meneka-neka lah sapa yang call. Rupanya Hasfizza si pengacara..

Dia bertanya saya tinggal di mana dan kemudian mahu menemubual saya. Katanya mahu mengambil gambar saya dan Nabila sekali. Saya agak terkejut pada awalnya. Namun, bila memikirkan untuk berkongsi pengalaman saya bersama orang lain, tak salah untuk saya menerima pelawaannya. Lantas, saya bersetuju. Cumanya, saya beritahu yang saya masih dalam pantang, dan jika mahu wawancara, hanya di rumah sajalah...

Dan Jumaat 2 November, dia call saya lagi. Kebetulan saya sedang sibuk berada di klinik membawa Naufal untuk pemeriksaan jaundis. Perbualan ringkas dan katanya mahu datang ke rumah pada hari Isnin untuk sesi temubual.

Sebenarnya tiada sebarang persiapan dilakukan. Hatta tiada ayat atau skrip yang saya rangka untuk bercerita. Kerana setiap apa yang berlaku masih kuat utuh dalam ingatan saya. Bagai putaran wayang kembali tatkala saya menutur ayat-ayat penceritaan tentang kisah Nabila. Sayu, sedih, geram usah cerita. Banyak pahit dari manisnya...

Namun, bila melihatkan Hasfizza, dia sepertinya mengerti perasaan saya ketika itu. Tampak dirinya sayu memandang Nabila. Mungkin juga mengerti perasaan saya ketika itu...

Apapun, bukan glamor yang saya kejar. Hanya sedikit kisah saya untuk tatapan semua. Sebagai peringatan dan pengajaran pada mereka yang melahirkan anak-anak nanti. Sungguh hati saya sayu melihatkan nasib Nabila akan datang. Tak tahu apa yang akan terjadi kepada Nabila kelak. Kalau boleh kisah saya dijadikan iktibar pada semua. Teringat sewaktu melahirkan Naufal, saya menceritakan juga kisah saya kepada mereka yang sedang menunggu saat kelahiran anak mereka. Ya, pada mereka amat mengerikan, namun mereka harus tahu kesan-kesan anak lemas dalam kandungan. Agar nasib anak mereka tidak seperti Nabila...


Sedikit video untuk tatapan semua. Sori rakaman tak berapa jelas. Susah nau nak rekod..hehe..

p/s : Nama Abang silap la pulak..huhu...

05 November 2012

Bila sudah beranak dua...

Hurm..Aktiviti dalam pantang memang sangat membosankan. Apatah lagi itu dan ini memang tak boleh dilakukan. Bab makan apatah lagi.. Dek kerana risaukan luka c-sear yang belum pulih sepenuhnya, saya pendamkan saja hasrat untuk makan makanan sedap-sedap. Bayangkan sajalah, waktu Hari Raya Haji lepas, saya baru saja seminggu dalam tempoh pantang. Mak pulak masak sedap-sedap.. Nasi impit, kuah kacang, lodeh, bihun sup...Adoiyaiiii..telan air liur sajalah. Semalam, mak buat laksa..Aromanya..adoiiii..menusuk kalbu.. Sabar jelah Noina oiiii!!!

Tapi yang tak bosan aktiviti dalam pantang ni, dapat melihat kedua-dua anak kecil saya. Memang tak menang tangan dibuatnya. Lagi-lagi si Naufal yang 'cerdik akalnya'.. Suka benar menjerit mengeliat macam nak marah pun ada..lepas tu diam sambung tidur.  Kadang-kadang naik confuse saya di buatnya. Naufal ni bangun menangis nak susu ke hapa? Bila dah dtg dekat, dia diam lena tidur..Aisshhhh...

 ::peluklah saya..::

Yang si Kakak Nabila, bila adik menangis, dia diam. Pastu senyum-senyum. Bila letakkan adik di pangkuannya, agak buas si Nabila ni. Agaknya dia ingat anak patung kut..main tolak je si adik. Adoiii..Tak boleh biar begini. Yelah, saya faham. Nabila kan corticall blindness. Hurm..Bab objek tak taulah progress mata dia camne. Nampak ke tidak.. saya tak pasti.

Tapi bila dua-dua mintak perhatian, mulalah saya kalut. Rasa mau dua-dua saya peluk dan layan. Tapi kakak kompem kalah dengan si adik. Lebih-lebih lagi si adik breastfeeding. Hurm..memang tak boleh gerak ke manalah. Dah jadi patung ibu. Terpaksalah mintak bantuan mak atau ayah Nabila untuk layan si kakak..huhu...

Ok..ni bukan komplen yek. Cuma tengah sesuaikan dengan suasana beranak dua ni. Lagi-lagi anak tipikal dan anak istimewa yang sama-sama penting pada saya. Hurm..terfikir rasa mau Naufal cepat-cepat besar. hehe.. Senang sok nak mintak tolong si adik tolong ibu jagakan kakak.. :) Dan paling best, mungkin perkembangan si kakak lebih baik dari sekarang. Manakan tau?

InsyaAllah... :)

02 November 2012

Resah hati ibu..Sendu di hati Nabila..

Sudah hampir 10 hari Naufal jaundice.. Dan dalam 10 hari juga hati ibu risau..Bermacam cara dan kaedah saya lakukan. Minum susu kambinglah, air kuninglah, makan anggurlah, mandi daun kucai..macam-macam petua saya cuba, tapi jaundice naufal tetap diangka yang sama.

Walaupun sudah turun sedikit, tapi angkanya masih 200++ . Dan sebenarnya, saya sudah tidak berani untuk melakukan pelbagai perkara lagi. Breastfeeding? Usah cakaplah. sekerap mungkin saya bagi. Sejam ke sejam setengah, pasti Naufal bangun untuk menyusu. Tak perlu tunggu saya mengejutkannya.

Susu saya pula? Banyak..dan saya siap minum susu, horlick dan makan sayuran untuk menambahkan susu badan saya. Benda yang berkaitan dnegan lada hitam, halia atau jamu-jamu ubat-ubatan memang saya tolak ke tepi. Tak makan..semata-mata kerana Naufal. Mujur badan takdelah sakit sangat, cuma saya terasa sakit di bahagian tulang punggung dan pinggang.. :(

Tadi ke klinik, dan doktor klinik kesihatan menyarankan saya ke HKL untuk pemeriksaan lanjut. Hurm..maybe ambil darah lagi dan tengok apa yang patut pada Naufal. Dalam waktu-waktu berpantang ini, rasanya tak sanggup turun naik rumah mak. Cukup letih merasainya sewaktu Nabila dilahirkan dulu, rupanya kelahiran Naufal juga saya terpaksa laluinya sekali lagi. Berpantang serupa tak pantang!

Moga semuanya baik-baik saja untuk Naufal..Amin..

.

Malam tadi, syahdu saya rasakan. Melihatkan kakak Nabila..

Malam jam 3 pagi, Nabila terjaga. Saya tersedar ketika itu dan melihat dirinya resah. Pasti mahu susu..bisik hati saya. Lantas saya bangun dan terus menyiapkan susu untuk Nabila.

Minumnya agak perlahan dan kadangkala matanya terlelap. Mengantuk barangkali.. Dan tiba-tiba sang adik bergerak-gerak. Juga minta disusui.. Saya paling resah saat ini bila kedua-dua anak minta perhatian dari saya. Sedih bila terpaksa menyatakan ini..

"Nabila minum cepat yek..adik nak susu pulak.."

Dan saat saya melafazkan ayat itu, Nabila berhenti minum. Dan sepertinya tahu saya harus segera bergerak ke arah adiknya.

"Nabila nak lagi tak? Meh minum cepat..."

..dan Nabila tidak mahu meneruskan penyusuan. Hanya diam dan tanda isyarat dia mahu berbaring semula di tilam. Saya meletakkan Nabila kembali dari pangkuan saya, dan bergegas menuju ke katil untuk mecapai Naufal. Mata saya tak lepas memandang Nabila. Dan saya lihat Nabila hanya diam membisu. pandangannya kosong..

Dalam hati sebak bila memandang susu yang diminum. Hanya sedikit! Saya turun ke tilam semula sambil memangku Naufal. Saya cuba menyusukan Naufal dan tangan kiri saya mencapai botol susu Nabila untuk disuapkan ke mulutnya. Namun mulut Nabila hanya terkunci diam. Saya cuba memujuknya, namun tiada sebarang respon..

Sedih usah cerita. Saya tahu Nabila cuba untuk mengalah demi adik. Tapi dirinya juga perlukan perhatian. Faham saja dilema hati saya ketika itu. Kedua-duanya anak saya. Air mata ini mengalir..dan terus mengadu pada Abang. Akhirnya, Nabila terlelap tidur di buaian tanpa menyambung minum susunya tadi...

Pagi..Bila abang sampai ke rumah mak, katanya sedih bila membaca BBM saya semalam. Sedih melihatkan Nabila. Apa saja pilihan yang saya ada. Kesian kamu nak!!

Abang bercakap dengan Naufal .. "Adik, kesian kakak semalam, tak minum susu..Kita patutnya mengalah dengan kakak. Bila kita tolong kakak kita dapat pahala. Adik jangan ragam-ragam lagi yek.."

Sebak bila Abang mengeluarkan ayat-ayat tersebut. Ya, setiap apa yang saya dan abang lakukan untuk Nabila, semuanya ganjaran 'di sana' kelak. Dalam hati tak mahu Nabila terasa di abaikan. Bila ada saja masa terluang, adiknya tidur, saya akan cepat-cepat berlari ke arah Nabila. Memeluk dan menciumnya. Dan tak putus-putus kata "ibu sayang Nabila.." . Saya tak mahu kerana Naufal, Nabila terasa di sisihkan. Andai Naufal dapat mebaca coretan ibu nanti..fahamilah sayang, kedua-dua anak ibu, ibu paling sayang. Ini saja harta yang ibu ada. Dan moga Naufal mengerti perasaan dan pengorbanan ibu pada kakakmu..

 kakak dalam pelukan ibu..

Di hari Jumaat ini..air mata ibu menitis lagi...jauh disudut hati ingin mahu kedua-duanya puas merasai kasih-sayang ibu kepada kalian berdua. Moga Allah sentiasa permudahkan jalan ibu buat anak-anak ibu tersayang... Amin...