Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

31 December 2012

Tinggal 2012..

Baru selesai bercuti-cutian hujung minggu di Melaka. Sempena hari keluarga rakan-rakan sekerja abang. Alhamdulillah,mujur mood si kakak baik-baik saja. Seperti percutian kami di Jakarta awal tahun dulu. Berjalan dengan lancar,namun kali ini agak berbeza kerana kehadiran Naufal!

Alhamdulillah, kencang surut dada ini menjalani kehidupan penuh liku sepanjang 2012. Pada awal tahun ini dikhabarkan mengandung dan sepanjang tempoh hamil sangat menduga jiwa. Apatah lagi Nabila masih belum dapat membuat kejutan untuk ibu dengan langkah pertamanya. Masih lagi dalam dukungan ibu. Merasai betapa hebatnya dugaan mengandungkan Naufal tatkala Nabila penuh dengan ragamnya dan hanya mahu berdukung di saat Naufal sudah 8 bulan dalam kandungan. Dalam hati hanya mampu berdoa agar bayi yang saya kandung ini sihat dan baik- baik sahaja.

Dan dalam saat mengandung, akhirnya saya mengakui yang saya sudah tidak mampu untuk membawa Nabila ke sekolah lagi. Perjalanan yang jauh tidak berbaloi untuk saya yang ketika itu sudah mengandung 6 bulan. Perut yang kecil,namun 'isinya' padat membuatkan saya termengah-mengah keletihan.

Dan saat saya sarat,saya masih lagi cuba untuk.menjalankan.tanggungjawab saya sebagai ibu untuk memberikan sesi terapi yang terbaik buat Nabila. Bergelut dengan perasaan tatkala tubuh Nabila dicucuk dengan jarum halus hasil rawatan akupuntur,dan saya rasakan kesannya kini pada Naufal pula. Seingat saya,saat Nabila menangis meraung,tendangan kecil di dalam perut saya menandakan Naufal juga turut merasa pedihnya mendengar jeritan kakak di luar. Dan sehingga kini,Naufal menangis sama seperti kakaknya yang sepertinya menjerit kesakitan :(

Ditahun ini juga saya menyaksikan perkahwinan satu-satunya adik perempuan saya. Alhamdulillah,Kanging sudah bertemu jodoh dengan pilihan hatinya dan saya mendoakan agar dirinya kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Selamat tinggal 2012. Selamat datang 2013. Moga kehadiran di tahun baru ini memberikan sinar bahagia buat kami sekeluarga dan rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih pada rakan-rakan yang masih setia mengunjungi blog ini walaupun tak banyak dapat sya coretkan sepanjang 2012 dan perkongsian maklumat mengenai Nabila kepada umum. Moga tahun ke 5 Nabila di dunia ini akan memberikan sedikit cahaya untuk dirinya terus maju lagi. INSYAALLAH.

Dan buat anakku Naufal,moga dikau terus membesar dengan sihat dan harapnya sepanjang 'percutian' ibu dalam membesarkanmu sentiasa dipermudahkan. Agar dirimu dapat yang terbaik dari ibu dan sentiasa dibawah lindungan rahmat-Nya. Amin..

Moga 2013 memberikan sinar bahagia dan apa yang dihajati akan diperoleh dan dipermudahkan segala urusan.

No comments: