Sejak Nabila dilahirkan sehingga kini, rupanya saya telah bertemu ramai orang. Bermacam ragam, bermacam rupa. Kelahiran Nabila merupakan satu rahmat buat saya rupanya. Bukan kesedihan hati. Bila difikirkan kembali, andai Nabila tidak dilahirkan begini, mungkin saya tidak menulis di sini. Dan mungkin juga anda semua tidak membaca coretan saya.
Tak pernah terjangkau dek akal fikiran, saya akan bertemu ramai rakan. Lebih-lebih lagi senasib. Malah, ada di antara rakan semasa saya belajar dan sekolah dulu kembali menghubungi saya kerana ingin mengetahui lanjut tentang Nabila. Perasaan saya? Syukur kerana tali silaturrahim rupanya tak terputus. Hadirnya Nabila sebagai penyambung silaturrahim persahabatan kami.
Begitu juga dengan rakan-rakan senasib. Sungguh saya katakan, saya bukanlah seorang yang ramah di zaman sekolah. Atau sewaktu sebelum saya melahirkan Nabila. Namun, kehadirannya merubah segalanya. Merubah Noina dari A ke B . Totally different!! Saya lebih menghargai orang yang sentiasa memberi sokongan pada saya dan Nabila.
Alhamdulillah, saya dikelilingi oleh orang yang positif. Saya tak perlukan bantuan wang ringgit. Cukup sekadar mendoakan kesihatan saya agar dapat terus menjaga amanah Allah ini. Dan turut mendoakan Nabila agar terus kekal sihat hendaknya.
Serius saya katakan agaknya sudah beratus anak-anak istimewa saya jumpa. Atau mungkin sudah mencecah ribuan anak istimewa saya jumpa. Bukan setakat di Kuala Lumpur, malah merata seluruh pelusuk tanah air. Dan tak lupa juga di negara jiran. Rata-rata mereka mengenali Nabila melalui penulisan ini. Tiada apa yang saya bantu, hanya sekadar memberi pendedahan dan pengalaman saya dalam membesarkan Nabila.
Saya tahu, sulit untuk ibu bapa yang baru sahaja mengetahui anak mereka tidak sama seperti kanak-kanak lain. Saya sendiri pernah melalui perasaan itu. Malah ketika itu saya hanya keseorangan. Tanpa bantuan dari laman web atau blog-blog tentang penceritaan anak istimewa. Dan dari situ saya mula menulis tentang anak kecil ini. Tentang perjuangannya. Walaupun tak sehebat anak-anak istimewa lain, tapi dalam hati saya,Nabila tetap pejuang hebat. Berjuang demi hidupnya bersama keluarga.
Pada mereka yang sekasut dengan saya, memang kadangkala kita akan rebah. Tak salah kita rebah, namun cepat-cepatlah bangkit demi anak kita. Walaupun pencapaian ada pasang surutnya disebabkan masalah kesihatan yang sering mengganggu, teruskan usaha lagi.
Dulu saya akan sedih bila tahu perkembangan Nabila turun dan naik. Sangat tak konsisten. Apatah lagi bila kekerapan penyakit sawannya sering muncul. Penat bilamana Nabila sudah mencapai sesuatu pencapaian yang boleh dibanggakan, namun dek serangan tersebut, Nabila kembali zero. Penat belum habis, sudah kena mulakan semula.
Buat mereka yang baru bergelar ibu bapa anak istimewa, percayalah.. Setiap yang berlaku pasti ada rahmatnya. Saya kini sedang merasai nikmat bergelar ibu pada anak istimewa. Sedang menikmati jalan penuh cabaran demi membesarkan anak ini. Moga kekuatan terus berpihak pada saya. Saya tahu, anda juga insan terpilih oleh Allah untuk menjaga amanatnya. Hargailah anak ini. Sesungguhnya, pasti ada hikmah disebaliknya. Insyaallah..
P/s : gambar suatu ketika dulu, Nabila hampir boleh menyebut perkataan ibu dan nenek. Hampir mampu untuk mengimbang badan untuk duduk..
No comments:
Post a Comment