28 May 2013

Rawatan Stimulatherapy

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, kesihatan anak-anak baik-baik sahaja. Baik Nabila atau Naufal, masing - masing sama naik. Kakak Nabila serasa semakin berisi tubuhnya. Otot-otot mulai kelihatan. Dan paling ketara kaki Nabila mulai lembut setiap kali saya lakukan streching.

Sejak berulang-alik dari Klang kerana membawa Nabila menjalani rawatan stimulatherapy di sana, membuatkan rutin harian saya juga sudah berubah. Malah Naufal juga seakan sudah mengerti dan biasa dengan keadaan di klinik. Perjalanan yang jauh dari Bukit Beruntung ke Klang memang menyukarkan saya membawa 2 anak kecil saya bersama. Namun, kerana azam untuk pulihkan Nabila, saya cekalkan hati.

Memang tak terjangkau dek akal fikiran saya untuk ke sana. Lebih-lebih lagi sendirian tanpa ditemani Abang. Hanya sekali sekala Abang dapat menemani saya. Selebihnya hanya kami bertiga. Dalam hati, saya turut berdoa agar perjalanan saya bersama anak-anak sentiasa selamat. Faham sajalah keadaan jalan di Klang. Dengan lori kontena, lori pasir, entah segala jenis kenderaan di atas jalanraya. Berselisih dengan kenderaan-kenderaan tersebut memang mengerikan.

Sehingga entri ini ditaip, serasa saya sudah lebih 20 kali Nabila lakukan sesi stimulatherapy itu. Ada juga kak Ija ajarkan saya beberapa teknik untuk saya buat di rumah. Dengan syarat, hanya boleh dilakukan untuk Nabila sahaja. Bukan untuk anak-anak lain. Bukan kedekut. Kerana tidak mahu aura tubuh anak orang lain masuk ke dalam tubuh kita.

Selain rawatan stimulatherapy, saya tak lakukan perkara lain. Saya ingin buat semula jadual home programme saya bersama Nabila, namun tak dapat laksanakan kerana kekangan masa. Faham sajelah klu ada budak botak Naufal ni kan. Memang tak jadi apa rumah.

Saya dah mula nampak kesan-kesan positif pada tubuh Nabila. Menangis juga tidak berlaku kerana tubuh Nabila sudah biasa dengan tekanan yang diberi oleh kak ija. Moga perubahan ini berterusan hendaknya. Amin.

P/s : gambar dibawah, Nabila semakin kerap mengangkat kepala bila diletakkan dalam posisi meniarap. Good gurl kakak Nabila!!

Alamat Pusat Rawatan Stimulatherapy (Terbaru- bermula 1 November 2013) :

No. 29 , Jalan 35/25,
Canting, Alam Impian
Shah Alam, Selangor.
No.Tel : 012-9137266 (kak Ija)
 

26 May 2013

Hari cinta kami..6 tahun, masih segar dalam ingatan..

Setiap kali tiba hari ulangtahun perkahwinan kami, pastinya saya teringat saya saya dan Abang diijabkabulkan. Bersahabat dengannya sahaja mencecah angka 5 tahun. Berkenalan semasa kami belajar sama di ADTEC Shah Alam dan kebetulan kami sekelas. Bersahabat dan kemudian bercinta.

Kami mengambil masa untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi alam berumahtangga. Bukan mudah. Namun, kami cuba hadapi dengan penuh rasa syukur. Kerana penuh onak untuk sebelum kami bersatu dan akhirnya saya sudah menjadi milik si dia.

Tibanya Nabila dalan hidup kami berdua memang merubah segalanya. Namun saya kagum dengan Abang. Tidak melatah bila kami di duga sebegini rupa. Alhamdulillah. Dia masih setia di samping saya mengharungi dugaan ini. Terima kasih Abang, kerana telah memberi kekuatan pada diri ini untuk terus berjuang demi anak kita.

6 tahun, orang kata peringkat pra sekolah. Begitulah hubungan kami. Perjalanan masih jauh. Namun onak duri sesungguhnya mematangkan kami berdua. Kami sedaya upaya mengayuh bahtera kami agak tidak tersasar dari laluannya.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dipertemukan dengan Abang. Doa seorang isteri agar si suami sentiasa terus menjadi sumber kekuatannya untuk terus melangkah ke hadapan lagi.

Terima kasih Abang.. Moga hubungan suci kita sentiasa utuh dan kasih makin bercambah hari demi hari.. Maafkan ibu andai selama ini ibu tak pandai untuk menjadi isteri yang terbaik untuk Abang. Namun, ibu tetap akan usaha agar ibu sentiasa menjadi yang terbaik di mata Abang.

Selamat ulangtahun ke-6 sayang..

21 May 2013

Sudah 7 bulan..

Assalamualaikum..

Cepat benar masa berlalu. Sudah 7 bulan saya menjadi surirumah tangga. Hanya tinggal 5 bulan sahaja lagi untuk saya menjejakkan kaki ke pejabat semula. Malas usah cerita lah. Memang seronok di rumah. Tapi yang tak seronoknya, tak bergaji. Hihi..

Lama tak cerita tentang dak demok sorang ni. Sape lagi klu bukan si Naufal. Fuh fuh fuh!! Ibu sekarang dok melayab jelah kerenah budak sorang ni. Lagi-lagi sekarang sudah mula nak duduk. Mengesot kemain laju lagi. Abis dah satu rumah dia jelajah. Bontot pun angkat-angkat. Merangkak dapat la 2-3 step pastu mengesot balik. Sangat aktif.

Jatuh, terhantuk usah cerita la. Banyak kali sampai lebam-lebam pun ada. Orang ingat macam tak jaga anak. Padahal dah terlebih jaga pun iya. Dah nama pun budak. Payah nak halang-halang. Kang halang lebih-lebih jadi lain pulak. Huhu..

Gigi dah tumbuh 4 batang. Pada saya as a normal baby, nampak macam luar biasa sikit. Sebab si kakak dulu pun tumbuh gigi atas bila nak masuk 8 bln. Hurm!! Naufal kira champion la ek? Hihi..

Panjat atas badan ibu, badan kakak dah lama dah buat. Menyusu pun sambil meniarap. Tah hape punya style la budak sorang ni. Layankan jelah tembam!!!

Last check up berat Naufal pun dah cecah 9.3kg. Rasa dah sebulan ni mau-mau 10kg kut. Tambah plak dah start solid food. Kejenya asik lapo jelah. Tengok ibu makan,mulut pun chupp chapp.. Macam anak burung. Hihi. Tapi makan-makan pun, bila dah keje asik menyarap panjat sana sini, badan tu dah mula la cam panjang sikit. Takdelah demok sgt dah!! Tapi still sedap peluk dia. Hihi..

Apapun ibu harap Naufal sentiasa diberikan kesihatan baik. Aritu ada demam sekejap. Panas giler kepala dia. Pastu dok lap ngan air asam jawa. Semalaman tido tak pakai baju. Ibu sangat risau bila demam panas ni. Tak nak jadi macam kakak ye sayang. Adik mesti kena sihat sebab adik nanti kena jaga kakak..

Moga terus membesar bagai juara ek nak!!

20 May 2013

Anugerah tak ternilai.. Yasmin Nabilah

Sejak Nabila dilahirkan sehingga kini, rupanya saya telah bertemu ramai orang. Bermacam ragam, bermacam rupa. Kelahiran Nabila merupakan satu rahmat buat saya rupanya. Bukan kesedihan hati. Bila difikirkan kembali, andai Nabila tidak dilahirkan begini, mungkin saya tidak menulis di sini. Dan mungkin juga anda semua tidak membaca coretan saya.

Tak pernah terjangkau dek akal fikiran, saya akan bertemu ramai rakan. Lebih-lebih lagi senasib. Malah, ada di antara rakan semasa saya belajar dan sekolah dulu kembali menghubungi saya kerana ingin mengetahui lanjut tentang Nabila. Perasaan saya? Syukur kerana tali silaturrahim rupanya tak terputus. Hadirnya Nabila sebagai penyambung silaturrahim persahabatan kami.

Begitu juga dengan rakan-rakan senasib. Sungguh saya katakan, saya bukanlah seorang yang ramah di zaman sekolah. Atau sewaktu sebelum saya melahirkan Nabila. Namun, kehadirannya merubah segalanya. Merubah Noina dari A ke B . Totally different!! Saya lebih menghargai orang yang sentiasa memberi sokongan pada saya dan Nabila.

Alhamdulillah, saya dikelilingi oleh orang yang positif. Saya tak perlukan bantuan wang ringgit. Cukup sekadar mendoakan kesihatan saya agar dapat terus menjaga amanah Allah ini. Dan turut mendoakan Nabila agar terus kekal sihat hendaknya.

Serius saya katakan agaknya sudah beratus anak-anak istimewa saya jumpa. Atau mungkin sudah mencecah ribuan anak istimewa saya jumpa. Bukan setakat di Kuala Lumpur, malah merata seluruh pelusuk tanah air. Dan tak lupa juga di negara jiran. Rata-rata mereka mengenali Nabila melalui penulisan ini. Tiada apa yang saya bantu, hanya sekadar memberi pendedahan dan pengalaman saya dalam membesarkan Nabila.

Saya tahu, sulit untuk ibu bapa yang baru sahaja mengetahui anak mereka tidak sama seperti kanak-kanak lain. Saya sendiri pernah melalui perasaan itu. Malah ketika itu saya hanya keseorangan. Tanpa bantuan dari laman web atau blog-blog tentang penceritaan anak istimewa. Dan dari situ saya mula menulis tentang anak kecil ini. Tentang perjuangannya. Walaupun tak sehebat anak-anak istimewa lain, tapi dalam hati saya,Nabila tetap pejuang hebat. Berjuang demi hidupnya bersama keluarga.

Pada mereka yang sekasut dengan saya, memang kadangkala kita akan rebah. Tak salah kita rebah, namun cepat-cepatlah bangkit demi anak kita. Walaupun pencapaian ada pasang surutnya disebabkan masalah kesihatan yang sering mengganggu, teruskan usaha lagi.

Dulu saya akan sedih bila tahu perkembangan Nabila turun dan naik. Sangat tak konsisten. Apatah lagi bila kekerapan penyakit sawannya sering muncul. Penat bilamana Nabila sudah mencapai sesuatu pencapaian yang boleh dibanggakan, namun dek serangan tersebut, Nabila kembali zero. Penat belum habis, sudah kena mulakan semula.

Buat mereka yang baru bergelar ibu bapa anak istimewa, percayalah.. Setiap yang berlaku pasti ada rahmatnya. Saya kini sedang merasai nikmat bergelar ibu pada anak istimewa. Sedang menikmati jalan penuh cabaran demi membesarkan anak ini. Moga kekuatan terus berpihak pada saya. Saya tahu, anda juga insan terpilih oleh Allah untuk menjaga amanatnya. Hargailah anak ini. Sesungguhnya, pasti ada hikmah disebaliknya. Insyaallah..

P/s : gambar suatu ketika dulu, Nabila hampir boleh menyebut perkataan ibu dan nenek. Hampir mampu untuk mengimbang badan untuk duduk..

14 May 2013

Temuduga Pen. Peg Tadbir N27

Assalamualaikum..

Maaf lama tak bersiaran. Ibu Nabila ni kalah Perdana Menteri. Sibuk memanjang. Tapi, tulah. PC kat rumah rosak. Memang tak dapat la nak online. Nak menaip entry dalam tablet ni memang malas. Tengok orang lain punya blog berduyun entry. Blog ni je sunyi sepi, tuan rumah bizi. Hihi..

Alhamdulillah, minggu lepas agak kalut juga. Sebenarnya hati saya sedang gundah gulana. Memikirkan tentang kos terapi untuk Nabila. Al maklumlah, saya sedang bercuti tanpa gaji. Memang pening memikirkan mana nak cari duit tambahan untuk meneruskan sesi terapi Nabila. Sehingga terjadinya satu kejadian syahdu antara saya dengan pengamal perubatan. Menitis air mata kami berdua. Tak usah bercerita lanjut. Rasanya mungkin ada yang faham..

Namun, disebalik duka, rupanya Allah selitkan sedikit rasa gembira. Serius saya katakan minggu lepas memang minggu air mata. Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya dikhabarkan oleh sahabat, kak wati, bahawa keputusan panggilan temuduga N27 telah diumumkan. Debar hati usah cerita. Memang takut sangat masa nak buka website SPA. Berulangkali saya cuba semak namun pihak SPA belum lagi mengemaskini maklumat dalam portalnya. Last saya give up. Saya berikan nombor kad pengenalan saya kepada kak wati untuk di semak.

Namun, hati masih mahu mencuba untuk menyemak sendiri. Saya cuba sekali lagi dan tiba-tiba 'tupppp'.. Nama saya terpampang bersama butiran tarikh temuduga. Alhamdulillah. Namun, hati sedikit celaru. Tarikh diberikan tak sampai seminggu untuk lakukan persediaan. Sungguh!! Lagi-lagi saya sedang bercuti. Terpaksa berkejaran ke pejabat untuk menyediakan maklumat yang diperlukan oleh pihak SPA.

Serius, saya memang tak baca aa. Hanya mengetahui tugas-tugas utama jawatan yang dipohon dan sedikit mengenai jabatan saya kini. Takutnya mereka ' berminat'untuk tahu lebih lanjut. Sebabnya jabatan saya antara jabatan yang popular. Hihi..

Tiba hari temuduga, saya hanya memandu sendirian ke Putrajaya. Saya tinggalkan Naufal dan Nabila.bersama ayah mereka dengan rasa tawakal dan berharap Naufal tak merengek mintak ayah dia susu badan. Manalah nak cari susu. Bukannya nak botol budak kecik ni..

Ketika masuk di dewan temuduga, saya lihat calon sudah agak ramai. Namun,keadaan agak tenang. Masing-masing hanya mendiamkan diri sambil menghafal. Saya memilih tempat duduk di tengah-tengah dengan harapan takde sapa kacau atau tegur saya. Sebab tengah dok release rasa gundah tu. Huhu

Nama saya dipanggil untuk diberi angka giliran dan menyusun dokumen-dokumen mengikut cara SPA mahukan. Nombor 404 bilik D . Saya mengambil tempat duduk dan memerhati keliling. Dihadapan dan kiri kanan saya masing-masing berwajah pucat. Takut barangkali. Saya cuba berbual dengan harapan perasaan takut saya hilang. Alhamdulillah, saya berjaya mengawal perasaan gementar saya. Saya cuba senyum sebanyak mungkin. Dan terus berdoa agar rezeki berpihak pada saya.

Saya melihat 2 penemuduga masuk ke bilik D. 2 wanita. Wajah tampak biasa-biasa saja. Saya cuba tenangkan hati. Dan bila giliran saya dipanggil, saya masuk ke dalam bilik dengan perasaan berdebar.

Soalan demi soalan diajukan. Alhamdulillah, saya dapat jawab dengan baik. Soalan banyak berkisar tentang pekerjaan yang saya lakukan kini di jabatan saya. Dan penemuduga juga cuba memancing tahap pengetahuan saya mengenai jawatan yang dipohon.

Andai ada rezeki anak-anak,insyaallah dapat merasai suasana baru. Saya mahu menambah lagi tahap pengetahuan dan pengalaman saya. Moga ada rezeki nanti insyaallah. AMIN. Doakan saya ek. :)

03 May 2013

3 series..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, masih punya kesempatan untuk menulis di sini lagi. Dan masih lagi cuba menjadi ibu yang terbaik pada Nabila dan Naufal. Tak lupa isteri yang setia dian  samping suami tercinta, Abang..

Jumaat lepas, 26 April, genap sudah usia memasuki alam 30 an.. Alhamdulillah. Kerna masih diberi kesempatan merasai nikmat orang berumur angka 3 ni..

Dulu saya ingat lagi, masa kecik-kecik..bila saya tengok orang yang berumur 30 an ni mesti dah nampak matang. Tapi bila saya melalui fasa tersebut, rupanya tak. hihi.. Macam tak matang lagi pun iya. Tapi tak sedar anak dah 2.. hehe..

Apapun, istimewa pada hari itu, Abang tetap belikan kek untuk saya walaupun tak dibawa ke mana-mana. Sibuk dengan terapi si kakak Nabila, makanya hanya makan dirumah sajalah. Ada Abang bertanya, mahu kemana..namun saya hanya mendiamkan diri. Tak perlu berlebih-lebih kerana faham keadaan kewangan kami yang tidak mengizinkan untuk bersuka ria di luar. Lagipun, kesian pulak nak tinggalkan kakak dan adik.. Mana mungkin tinggalkan budak berdua ni..huhu..

Malam tu, konon-konon abang nak keluar beli roti. Nak buat sandwich untuk dijual esok. Saya yang memang dah mengantuk, terlelap sebentar bersama Naufal. Kakak pula di buaian. Memang terlena semasa ketiadaan Abang.

Balik saja, terus kejutkan saya. "Ibu jom makan.." Saya yang dok terpisat-pisat ni bangunlah..Mata memang tak larat nak bukak. Sampai tingkat bawah, Abang terus menuju ke peti sejuk.. "Tengoklah apa abang beli ni..Saje je tadi nak kuar..nak belikan kek.. "

Aduhai, sebak rasa. Terus segar bijik mata ni. Memang tak harap apa pun untuk hari itu. Hanya mahu Abang doakan supaya saya terus sihat dan dapat menjaga keperluannya serta anak-anak.

Apapun...

Happy BornDay Noina Ali.. :P

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...