Bersiaran dari pejabat..masih belum pulang walaupun jam dah menunjukkan pukul 8.00 malam. Sepanjang minggu ini penuh dengan kerja-kerja yang perlu disiapkan sebelum Jumaat ini. Ada majlis dari kementerian yang perlu kami sertai.
Dan sepanjang minggu..berada di rumah mak. Tak lalu pula rasanya meredah jalan yang gelap pekat ke Rawang. Dan badan ini terasa begitu penat melayan kerenah kereta yang dah semakin semput. Kebetulan pula, Abg bekerja malam sepanjang minggu ini. Sudahpun meminta keizinan untuk bermalam di rumah mak. Mujur Abg faham. Dia juga risau melihat aku berulang alik dan duduk berdua di rumah bersama Nabila pada waktu malam.
Dan 2 minggu ni..2 majlis perkahwinan bakal berlangsung dalam keluarga kami. Satu sebelah aku dan satu lagi sebelah Abg. Kedua-duanya sepupu kami. Dan keadaan agak sibuk. Sepupuku, Mimi sibuk melakukan persiapan akhir sebelum majlisnya. Sempat aku berjumpa dengannya semalam untuk menghantarkan tudung dan selendang yang pernah ku gunakan dulu sewaktu akad nikahku berlangsung. Rupanya sudah 2 pengantin termasuk sepupuku menggunakan tudung dan selendang tersebut. Dahulu sebelum Mimi, pengapitku juga pernah menggunakannya. Dan sayangnya, pengapitku, Ija telah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya setelah berkahwin dengan suaminya genap 2 bulan. Sedih bila mengenangkan saat-saat bersama dengan Ija yang juga kawan baikku sewaktu kecil. :(
Dan minggu ini, aku tak pasti sama ada aku dapat membawa Nabila ke hospital atau tidak. Nabila ada appointment dengan Fisio dan OCC Jumaat ini. Semua ini disebabkan majlis yang bakal berlangsung pada Jumaat ini . Aduhai..Kalau kancil ok, sudah tentu ayah Nabila boleh membawanya ke hospital. Masih terfikir-fikir sama ada mahu menukar appointment atau tidak.
Dan rasanya pasti sekarang ini Nabila sedang mencari aku. Semalam pulang lewat juga, Nabila sudah memanggil-manggil namaku.. "bu..bu..." Dan neneknya pula menjawab.. "Bu tak balik lagi.." Aduhai..kesiannya Nabila.. harap sangat kerja-kerja ini diselesaikan dengan cepat.. :(