Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

23 February 2011

Kemahuan mengatasi segalanya..

Saya sebenarnya agak kepenatan sepanjang hari. Namun, saya cuba mencoret sesuatu di dalam ini kerana mahu meluahkan rasa hati dan kepenatan saya di dalam entry ini.

Bukan mahu merungut, namun kadangkala saya seperti robot. Dan berkejaran ke sana kemari. Andai letih, saya set kembali minda saya untuk meneruskan setiap apa yang saya mahukan pada Nabila.

Agak melampaukah saya ? Mahu segala permintaan hati ini tertunai? Bukankah itu satu kebaikan? Adakah ianya akan mengganggu emosi dan kesihatan saya pula?

Sebetulnya saya ke HSB tadi. Nabila ada appointment bersama ENT dan Audiologi. Saya malas untuk menceritakan tentang keadaan saya di situ, kerana segalanya berjalan dengan baik. Arghh..mungkin entry-entry seterusnya saya ceritakan tentang kata-kata doktor mengenai keadaan Nabila. Namun usah risau.Segalanya baik-baik saja!

Saya sebenarnya memerhatikan seorang anak kecil yang sedang terkedek-kedek berjalan di sepanjang ruang di dalam klinik. Comel. Dan serasa saya, anak itu baru saja 'mendapat kaki'.

Lantas, melihatkan keadaan tersebut, saya berdirikan Nabila. Mujur juga saya memakaikan 'special shoes' Nabila hari ini. Entah kenapa, saya mahu Nabila memakainya pagi tadi.

Saya sandarkan Nabila di dinding. Pada awalnya Abg marah kerana mengangkat Nabila. Katanya biarlah anak di dalam stroller. Budak tengah diam. Buat apa diusik-usik!

Nabila yang sedang bermain, saya angkat. Saya memangkunya, dan kemudian saya berdirikannya. Nabila tersenyum. Dan saat itu, saya membayangkan Nabila bertatih, berjalan di ruang klinik. Alangkah bahagianya nikmat itu.

Nabila masih lagi berdiri, dan saya masih lagi mengelamun. Entah kenapa hati saya sayu. Saya sedih. Saya mahu Nabila berjalan tapi...

Saya cuba pujuk hati. Ya, saya harus berusaha ke arah itu. Dan saya mahu Nabila dapat menunaikan kemahuan saya.

Melampaukah saya?

Entahlah, kadang-kadang terasa badan ini sangat penat. Penat memikirkan apa yang harus saya lakukan untuk Nabila setiap hari supaya Nabila tidak tertinggal sedikitpun untuk dirinya. Namun saya harus akui kekurangan Nabila. Bukan saya sedih dengan kekurangannya, saya kesal kerana saya tidak dapat menutup kekurangan Nabila itu.

Duhai hati..mengapa hati ini berdetik begitu. Sedangkan saya tahu tahap Nabila. Saya tak patut memaksa dirinya dan juga diri saya. Saya harus menerima seadanya.

Saya tak mahu berbohong mengatakan saya tidak sedih bila melihat anak sebaya Nabila yang sihat berjalan ke sana kemari di hadapan saya. Saya cuba menyembunyikan rasa gelodak hati, namun kadangkala saya tak berjaya. Dan pastinya air mata ini tumpah bila mengingatkan nasib si anak. Dan kemudian itu, saya terus mencapai Nabila, dan terus melakukan apa saja aktiviti untuknya. Seperti saya cuba untuk menutup kembali rasa kecewa saya dengan membantu Nabila untuk terus maju ke hadapan.

Maafkan ibu sayang. Kadangkala ibu tewas dengan perasaan ibu sendiri. Kadangkala ibu berasa seperti ibu menyakitimu dengan semua aktiviti ini. Maafkan ibu sayang.....

4 comments:

Nonie said...

Akak pun kadangkala merasai perkara ysng sama mcm Ina...tapi cepat-cepat lawan perasaan tu...di sebalik kekurangan itu , anak aku pun ada kelebihan jugak...Nabila pun cam tu gak...ada kelebihannya yg tersendiri..Hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui..:-)

Jue-Isteri_Ibu said...

ina, bykkan bersabar...saya pun rasa cam yg ina rasa..tu yg kdg2 saya rasa cam nak marah2 jer..tp sbnrnya saya stress sbb tak mampu wat yg terbaik utk ainie..insya allah ina, anak2 kita akan berjalan satu hari nanti..

Azma said...

Rasanya Ina sendiri tahu kdg2 tindakan ina agak 'terlebih' kan!! Jgn mcm tu ye.. kesian nabila. Memang kdg2 kita tersangat stress, tapi nabila akan jadi semakin stress coz dia pun ada perasaan. Dia pun nak bergerak, berjaln, berlari mcm org lain cuma dia belum mampu lagi.. Bila ibu dia duk paksa2 sgt, perkembangan emosi dia boleh terencat nanti ina.. be careful kay!

Bicara hati ibu aisya said...

Ina..seriusly tetiba airmata ayu jatuh baca entry ina nih.Sebaknya hati dengan luahan ina.Sakit sangat!Memang kadang2 sebagai ibu, kita mahu yang TERBAIK untuk anak kita :) Ayu juga xterkecuali.Apa yang ina rasa tulah yang selalu ayu rasa.Terasa terlalu amat memaksa dan mengharapkan yang terbaik sehingga kita penat, stress dan kecewa.Sabar ye ina..kuatkan hati ina.insyaallah setiap apa yang ina buat untuk nabila pasti akan berbalas.Percayalah.Allah Maha Mengetahui Apa Yang Terbaik Untuk Hambanya.
Huhuhu..rasa sekarang ni gak nak jmpa n hug ina.Keep strong friend!