Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

16 February 2011

Sememangnya bukan mudah perjalanan ini.. !!

Saya menerima beberapa mesej dari beberapa rakan senasib yang ingin berkenalan dan ingin mengetahui lanjut tentang rawatan yang telah Nabila jalani sepanjang anak ini dilahirkan. Saya sendiri sebenarnya bukanlah seorang yang arif tentang bab-bab rawatan Nabila. Cuma saya banyak bertanya kepada rakan-rakan lain melalui penulisan di blog atau bertanya sendiri kepada doktor dan therapist Nabila.

Sebenarnya dahulu, saya sendiri terkapai-kapai mencari jalan sendiri untuk Nabila. Hampir setiap hari saya melayari internet semata-mata mencari maklumat mengenai Cerebral Palsy. Dan cuba mencari rakan-rakan senasib dan berkongsi pendapat tentang Nabila. Dan orang pertama yang saya jumpa adalah Ita Ummi Alisya.

Ita membaca luahan hati di dalam blog picisan saya ini dan lantas menulis email kepada saya untuk berkenalan. Dan hati ini melonjak-lonjak mahu mengetahui tentang diri wanita ini dan mencari wajah Alisya yang dikatakan sama persis Nabila sewaktu kecil. Dan ya, saya akui..Nabila dan Alisya sememangnya seperti kembar! Wajah yang hampir serupa dan semahunya hati ini mahu berjumpa dengan sahabat ini.

Dan dari situ semakin ramai rakan-rakan yang mula menyapa di dalam blog. Semuanya senasib seperti saya. Mempunyai anak kecil istimewa. Dan hati ini mula rasa kuat. Hati ini berkata.. "Saya bukan keseorangan..!"

Perjalanan bersama Nabila saya kongsi di dalam blog ini. Segalanya saya ceritakan tentang Nabila. Dari apa yang saya buat di rumah, tentang rawatan sehinggalah segala yang berkaitan tentang Nabila saya kongsikan. Niat dihati cuma satu. Mahu mereka di luar sana mengetahui perjalanan hidup si kecil ini sebagai anak istimewa serta berkongsi maklumat apa yang saya tahu tentang anak istimewa ini.

Ya, saya akui sememangnya sukar membesarkan anak ini. Pelbagai dugaan dan cabaran harus saya tempuh demi keselesaan anak ini. Berhabis ribuan ringgit untuk si anak demi kesihatannya. Pelbagai cara di cuba dilakukan untuk rawatannya. Berhasil atau tidak? Itu belakang kira!

Jika dulu, saya memang hanya memandang enteng hal perihal anak istimewa. Ambil tahu tapi tidak mendalam. Di keliling saya di penuhi dengan anak istimewa sebelum Nabila di lahirkan. Cumanya saya tidak menyangka saya terpilih di antara ibu-ibu di luar sana yang mempunyai anak istimewa. Sukar mempercayainya namun, lama-kelamaan sudah menerima hakikat keadaan Nabila.

Ramai yang bertanya, bagaimana kehidupan Nabila sehari-hari? Sukarkah menjaganya? Bagaimanakah caranya untuk saya menghadapi dugaan ini?

Ia bukanlah semudah ABC. Bak kata orang, Allah takkan memberikan ujian itu kepada hambaNya andai hambaNya tidak mampu untuk melaluinya. Saya bukanlah mengatakan saya kuat, namun jika kalian di tempat saya pun, pastinya kalian akan melakukan sama seperti yang saya lakukan pada Nabila.

Hidup saya segala-galanya untuk Nabila. Tak tergambar rasa kasih ini kepada si kecil itu. Kehadirannya banyak menyedarkan saya dan suami. Sungguh hati ini merasai hebatnya penangan si kecil ini dirinya hadir dalam hidup kami berdua. Sesekali bila di renung wajah mulus anak ini, hati ini terdetik. Semahunya saya menyelami hati kecil Nabila. Mahu tahu segala rahsianya....

Moga diri ini akan terus melangkah jauh demi anak itu. Dan mahu terus memberikan yang terbaik buat Nabila tersayang..InsyaAllah..

2 comments:

Jue-Isteri_Ibu said...

dulu saya pun cam ina..ingat kita jer yg ada anak istimewa.. ita n ina adalah yg terawal saya kenal. dan sedikit demi sedikit semangat ina saya kutip. tima ksh ina sbb sudi syer segalanya di sini. amat lah bermakna bg saya.

mamasoffy said...

semoga terus kuat ina..setiap pagi masuk ofis..mesti kena tengok dulu muka Alisya dan kembornya..Nabila...Semoga terus maju Nabila...