Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...

31 December 2012

Tinggal 2012..

Baru selesai bercuti-cutian hujung minggu di Melaka. Sempena hari keluarga rakan-rakan sekerja abang. Alhamdulillah,mujur mood si kakak baik-baik saja. Seperti percutian kami di Jakarta awal tahun dulu. Berjalan dengan lancar,namun kali ini agak berbeza kerana kehadiran Naufal!

Alhamdulillah, kencang surut dada ini menjalani kehidupan penuh liku sepanjang 2012. Pada awal tahun ini dikhabarkan mengandung dan sepanjang tempoh hamil sangat menduga jiwa. Apatah lagi Nabila masih belum dapat membuat kejutan untuk ibu dengan langkah pertamanya. Masih lagi dalam dukungan ibu. Merasai betapa hebatnya dugaan mengandungkan Naufal tatkala Nabila penuh dengan ragamnya dan hanya mahu berdukung di saat Naufal sudah 8 bulan dalam kandungan. Dalam hati hanya mampu berdoa agar bayi yang saya kandung ini sihat dan baik- baik sahaja.

Dan dalam saat mengandung, akhirnya saya mengakui yang saya sudah tidak mampu untuk membawa Nabila ke sekolah lagi. Perjalanan yang jauh tidak berbaloi untuk saya yang ketika itu sudah mengandung 6 bulan. Perut yang kecil,namun 'isinya' padat membuatkan saya termengah-mengah keletihan.

Dan saat saya sarat,saya masih lagi cuba untuk.menjalankan.tanggungjawab saya sebagai ibu untuk memberikan sesi terapi yang terbaik buat Nabila. Bergelut dengan perasaan tatkala tubuh Nabila dicucuk dengan jarum halus hasil rawatan akupuntur,dan saya rasakan kesannya kini pada Naufal pula. Seingat saya,saat Nabila menangis meraung,tendangan kecil di dalam perut saya menandakan Naufal juga turut merasa pedihnya mendengar jeritan kakak di luar. Dan sehingga kini,Naufal menangis sama seperti kakaknya yang sepertinya menjerit kesakitan :(

Ditahun ini juga saya menyaksikan perkahwinan satu-satunya adik perempuan saya. Alhamdulillah,Kanging sudah bertemu jodoh dengan pilihan hatinya dan saya mendoakan agar dirinya kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Selamat tinggal 2012. Selamat datang 2013. Moga kehadiran di tahun baru ini memberikan sinar bahagia buat kami sekeluarga dan rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih pada rakan-rakan yang masih setia mengunjungi blog ini walaupun tak banyak dapat sya coretkan sepanjang 2012 dan perkongsian maklumat mengenai Nabila kepada umum. Moga tahun ke 5 Nabila di dunia ini akan memberikan sedikit cahaya untuk dirinya terus maju lagi. INSYAALLAH.

Dan buat anakku Naufal,moga dikau terus membesar dengan sihat dan harapnya sepanjang 'percutian' ibu dalam membesarkanmu sentiasa dipermudahkan. Agar dirimu dapat yang terbaik dari ibu dan sentiasa dibawah lindungan rahmat-Nya. Amin..

Moga 2013 memberikan sinar bahagia dan apa yang dihajati akan diperoleh dan dipermudahkan segala urusan.

26 December 2012

Sudah berganti baru..

Alhamdulillah,beberapa bulan sudah, saya memohon gantian kad OKU baru Nabila. Memohon menggunakan online saja. Ramai rakan telah memohon kad yang baru. Cuma saya je yang belum berkesempatan untuk memohon kad gantian tersebut.

Melihatkan kad ini,buat hati rasa hiba. Cukup pedih bila Nabila disahkan sebagai anak istimewa. Berliku-liku jalan anak ini harus tempuh. Segala kesakitan harus diharungi.

Namun segalanya tak boleh kembali ke asal. Atau masa itu berpatah kembali ke waktu saat Nabila dilahirkan. Saya harus kuat untuk menempuhi saat mendatang demi Nabila.

Dengan adanya kad ini,mungkinkah Nabila akan dapat perkhidmatan lebih baik bagi pemulihan anggota tubuhnya? Tak terjawab rasanya. Moga kemudahan untuk anak- anak seperti Nabila bertambah baik. Amin

22 December 2012

2 bulan sudah..

Alhamdulillah,60 hari sudah berlalu *entry lambat taip* . Genap 2 bulan Naufal dilahirkan. Cukup bertuah kerana sudah menampakkan satu persatu kebolehannya. Namun jauh disudut hati saya,sayu melihat perkembangan Nabila. Jika dulu,tak berpeluang diri ini melihat hebatnya bayi kecil meneroka dunianya. Nabila dalam dunianya sendiri.

Tubuh Naufal juga yang semakin tembam :)

Naufal sudah mulai tersenyum dan mengagah apa yang orang lain katakan padanya. Dan sibuk memandang ibu dan orang lain. Merenung bila orang berborak. Macam nak mengecam orang pun ada. Kaki pun dah mula angkat tinggi. Seolah- olah cuba nak mengiring.

Seronok bila dapat tengok perkembangan anak depan mata. Tambah pulak,Nabila sendiri seperti ' terbela' berada di rumah. Makan minum cukup!

Nabila juga sudah mula membulat semula :)

Kelmarin, ada majlis makan- makan di pejabat. Saya membawa Naufal bersama. Dan bila ditanya,seronok tak duduk rumah? Jawapan saya : Heaven!!! Tak terkata seronok berada dirumah bersama anak- anak tanpa memikirkan hal kerja.

Owh ya,lupa nak cerita. Permohonan cuti menjaga anak selama 9 bulan telah diluluskan oleh kementerian. Makanya genap setahun saya bercuti membesarkan Naufal. 9 bulan tanpa gaji,mungkin agak sukar namun demi anak-anak saya sanggup. Duit masih boleh dicari. Dan saya sedang memikirkan apa yang patut saya lakukan di rumah untuk menampung belanja harian dan duit untuk bawa Nabila ke tempat terapi.

Mungkin saya perlu melakukan latihan terapi Nabila secara intensif bagi mengisi masa di rumah. Cuma mungkin tak dapat buat di luar seperti dahulu. Hanya di rumah barangkali. Sebab nak buat kat luar,kompem nak $$$$$$.

Bila memikirkan tentang hal terapi Nabila, sangat banyak yang tertinggal. Ada beberapa info rawatan terbaru yang dijalankan oleh rakan- rakan saya namun saya tak dapat membawa Nabila kerana masalah kewangan. Kalau nak ikutkan hati,serasa mahu buat tabung sumbangan khas untuk Nabila,namun akal ini menghalang. Jangan meminta- minta pada orang. :(

Ya Allah, permudahkan urusan ku untuk Nabila. Kau berikan kesihatan yang baik juga kepada kedua- dia anakku. Amin yarabbal'alamin..

13 December 2012

Mengajar si puteri berdikari..

Nama pun puteri a.k.a Princess Bella. Sebut bukan princess cam sebutan biasa tuh. Sebutnya begini..'PRINN+CHESS' . Hihi..

Sejak si adik Naufal lahir,Nabila memang tak berkesempatan nak berpeluk tidur dengan ibu. Di rumah mak,katil yang kami tido ni bersaiz queen. Kalau setakat si Nabila, Naufal dan saya tidur, memang takde masalah. Cumanya risaukan si kakak tersepak adik, si adik menangis sampai buat kakak kejut dari tidur. Saya tak mahu tidur kedua-dua mereka terganggu. Lebih-lebih lagi Nabila. Kurang Nabila tidur,maka peluang untuk sawan datang lebih cerah kerana Nabila memang tak boleh letih dan kurang tidur. Cukuplah saya bergelumang dengan amukan Nabila.

Bila tak boleh tidur dengan ibu,manalah nak ku letak si Nabila? Sudahnya,tilam dibentang di bawah sebelah katil dan Nabila akan tidur di situ. Andai di rumah Rawang nanti,terpaksa mencari satu katil baru untuk Nabila. *katil baby dah tak muat. Nabila dah panjang*

Mujur makcik kecik ni steady je tido sorang. Tak bangun-bangun sampai ke subuh. Nasib baik sebab maybe dia tau, pepagi dingin ibu bergelumang dengan si adik yang kerap bangun untuk menyusu. Kalau ayah dia tido sebelah lagilah..sedap lena dua beranak tido kat bawah :p

Bukan mudah ok nak ajar. Mudah untuk Nabila,tapi tak mudah untuk ibu. Aiikkk,pelik sudah. Nape tak mudah untuk ibu?

4 tahun beb! 4 tahun! 4 tahun saya peluk si cukudun Bella. Bau pun boleh kenal klu suh cam tutup mata. Tetiba tak dapat peluk tido dengan dia. Peluk lak dak debab Naufal yang suka 'mengerang' meneran isi badan untuk montel lagi. Sangat lain ok. Tapi dua-dua tetap anak ibu. :)

Seb baik Nabila tak banyak kerenah. Janji tidurnya tak dikacau oleh benda2 lain. Klu tak,mau mengamuk cik mek molek tu.

Begitu juga dalam kereta. Seb baik juga ajar Nabila duduk dalam car seat sejak baby lagi. Besar Naufal dah dok car seat dah. Tak de makne ibu nak pegang. Nak selamat,dok dalam car seat ok! Tapi dak Naufal ni tak tau boleh ke tak ajar duduk dalam car seat. Sebab apa yang saya tau, banyak anak tipikal tak mau duduk dalam car seat. Selagi boleh berlari dalam kereta, selagi tulah tak duduk diam.

Apapun,banyak benda saya nak ajar Nabila untuk urus diri sendiri. Lebih-lebih lagi untuk makan dan minum. Pandai suap makan sendiri pun ibu dah betul-betul puas hati. Malah rasa syukur jika Nabila diberi kebolehan untuk menyuap makanan sendiri.

Insyaallah. Moga apa yang dihajati dimakbulkan. AMIN..

Seronok dah ada dua,tapi..

Dalam hati saya kini berbunga- bunga. Bahagia hidup disamping suami tersayang,anak istimewa dan anak tipikal saya. Terasa lengkap. Alhamdulillah. Bukan semua org dapat merasai punya anak tipikal dan istimewa serentak. Lagi-lagi membesarkan mereka dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh kasih- sayang.

Saya cuba untuk menjadi ibu yang adil. Sayang si kakak, sayang juga si adik. Namun kadangkala saya tewas. Pasti salah seorang akan mengalah. Dan kerna itu, saya masih berada di rumah mak. Masih tidak mampu untuk handle kedua-duanya serentak. Masih kaku. Masih kekok.

Dalam hati, saya selalu berdoa. Agar anak-anak tidak merasa tersisih atau dipinggirkan. Lebih- lebih lagi Nabila. Kerana sudah terbiasa bermanja dengan saya,tiba- tiba hidupnya disamping saya hilang bila kehadiran Naufal dalam hidup kami bertiga. Pernah saya kaku, tidak tahu mana satu hendak dituju bila kedua-duanya menangis serentak mahukan perhatian saya. Mujur mak ada. Dialah yang mengambil Nabila dari sisi saya. Dalam hati saya sayu. Sedih kerana tidak dapat memenuhi tuntutan Nabila.

Kini Nabila menumpang kasih nenek. Maafkan ibu sayang. Adikmu belum mengerti apa. Sampaikan satu tahap pemikiran saya, tidak mahu berikan Nabila dan Naufal adik lagi. Kerana saya tak sanggup melalui fasa ini sekali lagi. Sedih kerana tak dapat berbagi kasih sayang!

Saya tahu suatu hari nanti semua ini akan indah kembali. Bilamana melihat Naufal membesar dan membantu kakaknya nanti. Ada seorang makcik yang punya anak istimewa juga, menasihati saya agar berikan Naufal adik. Biar banyak adik beradiknya. Agar mereka dapat menjaga si kakak bergilir-gilir.

Memang nampak mudah,namun setakat manakah mampu mereka jaga? Dapatkah mereka menjaga Nabila seperti saya menjaga Nabila dulu. Saya tak pasti.Rasanya kalian yang membaca juga tak pasti bukan?

Boleh diusahakan. Didik adik-adik untuk menyayangi si kakak sepenuh jiwa. Tapi mereka juga ada kehidupan sendiri. Pasti nanti ada isteri,suami,anak. Arrgghh,ibu Nabila sudah jauh menyimpang!

Semahunya hari- hari menadah tangan berdoa agar Allah sentiasa permudahkan urusan saya menjaga kedua amanah ini dengan baik dan sempurna. Agar mereka saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain tanpa rasa paksaan kerana saya.

Sayang kalian berdua ketat- ketat!

09 December 2012

Kisah seminggu..

Aduhai,bila tengok bilangan entry sepanjang tahun ni sikit bebenor.Sadis sungguh bila dibandingkan tahun 2011 yang lebih banyak coretannya dari tahun ni. Nak kata idea takde tu takdelah sangat. Mungkin sibuk dengan macam-macam urusan kut.huhu..

Ni tengah mood mencuba 'kekdah' terbaru menulis entry dlm blog. Laptop adik rosak ( tulah payahnya dok rumah mak,harapkan bb dan tab jelah nak main internet) akibat dari skrin lapotop dipijak oleh adik bongsu saya. Mengamuk sakan adik ketiga saya melihatkan laptopnya pecah.huhu. Dan saya mati kutu sebab tak dpt nk blogging lagi. Huhu

Sebenarnya 1hb lepas cukup 44 hari saya berpantang. Alhamdulillah, berjaya juga walaupun gaya saya tak serupa orang berpantang.huhu.. Yelah,selang sehari berulang-alik ke klinik kesihatan. Memang tak rasa pantang lah.  Dan untuk pertama kalinya Naufal pulang ke kampung opahnys di Ipoh. Sepanjang perjalanan hanya tidur di car seat dan sekali sekala di sisi saya kerana mahu menyusu.

Dan paling best sekali,Naufal telah bebas dari penyakit jaundisnya. Sekaligus discharge dari klinik peadiatrik HKL. Lega bila melihat keadaan Naufal sudah 'bermata biru' semula :)

Untuk pertama kalinya juga saya membawa Naufal berjalan di tempat umum. Tempat yang sama sewaktu kakaknya keluar berjalan untuk kali pertamanya. Niat mahu membeli baju baru untuknya. Namun mood si kakak yang tak berapa nak baik membantutkan hasrat kami. Sian adik tak dapat beli baju baru. Tadi nak keluar pun tak jadi sebab hujan. Entah kenapa kerap benar encik sawan datang menyerang Nabila. Aduhai sayang..

Seminggu sudah berlalu. Terasa cepat benar masa berjalan bila berada di rumah. Lebih-lebih lagi sibuk menguruskan kedua putera puteri saya. Pasti nanti terasa sekejap masa cuti saya akan berlalu nanti..

26 November 2012

Kisah kakak Nabila..

Sejak adik lahir, barulah mulut ibu panggil Nabila dengan panggilan kakak. Entah kenapa bila adik Naufal dalam perut, berat pulak mulut nak sebut kakak. Agaknya tak mau beria-ia sangat menyambut kegembiraan berita adik Naufal dalam perut ibu. Orang tua-tua kata tak baik... Buat biasa-biasa saja sudah. Janji doa agar Naufal sentiasa sihat dalam perut ibu ketika itu..

Sebenarnya lama tak update tentang Nabila. Perkembangan terkini?  Rasanya dari segi fizikal tetap sama. Masih dalam proses untuk meniarap sendiri. Masih cuba untuk bangun sendiri apabila badan sudah penat berbaring di tilam. Ya..ibu terlupa, berat badan dan ketinggian saja yang sudah berubah. Sejak duduk rumah nenek, badan semakin berisi dan kaki semakin panjang... :)

Sejak saya balik dari hospital, belum lagi Nabila diserang sakit demam. Cumanya serangan sawan kerap berlaku. Memang risau dibuatnya kalau Nabila diserang sawan. Lagi-lagi selepas serangan, saya terpaksa menghadap amukan menggila Nabila..Aduhai..sakit jiwa rasa.. Kalaulah Encik Sawan tu ada pipi..dah lama ibu tampar sawan tu..huhu...

Mulut semakin bising. Kadang-kadang si adik sedang sedap lena tidur mulalah suara si kakak kedengaran. Membebel seorang diri di dalam buai. Padahal sebelum tu, kemain lagi bagi signal melentik badan, buat gaya-gaya mengantuk sebab nak suruh ibu letak dia dalam buai. Ingatkan nak tido..rupanya nak menggedik dalam buai..hehe.. Si adik pun tak boleh kalah gak. Buat teran-teran suara macam orang kata meneran isi sebab nak besar lagi..Uiiii makkkk..riuh rendah jadinya...

Apa yang saya khuatir sekarang ini tentang ini..






Bila dah lama tak buat terapi, kaki Nabila pun beginilah..

Minggu ni merupakan minggu terakhir saya berpantang. Dan tak tahu bila nak balik Rawang untuk start sesi terapi Nabila di rumah sana. Kompem busy melayan budak berdua ni lebih-lebih lagi si Naufal yang susah nak 'let go' ibu dia buat kerja rumah..Aduhai...

22 November 2012

Susu ibu..pilihan saya untuk Naufal tersayang

Sebenarnya, tahap pengetahuan saya mengenai susu ibu amat cetek sekali. Apatah lagi ketika Nabila lahir dulu, saya tidaklah bersungguh-sungguh seperti sekarang mahu breastfeed Nabila. Agaknya dah sampai seru kut bila Naufal lahir..hehe..

Sebelum bersalin haritu, saya ada order ini..

Medela Freestyle.. :)

Pada awalnya memang agak blur gak la nak pakai..sebab aksesorinya agak banyak (pada sayalah) dan gaya pemakaiannya ala-ala robot gitu..hehe..

Gambar minah salleh mana tah..amek kawww..hehe...Ala-ala gitu lah pemakaiannya.

1st day dapat, terus bukak kat office. Kebetulan kat office memang ada sorang pegawai saya, Kak Ida memang pengguna tegar freestyle ni. Jadinya, dialah sebagai pakar rujuk saya. Dan dia jugaklah yang menyarankan saya beli di mybreastpumpshop.com . Pakej yang ditawarkan agak menarik gak..hehe..

Kak Ida lah tolong tunjukkan cara nak gantung benda alah tuh..hehe. Berkali-kali saya buat kat rumah. Asik tak jadi je. Puas saya eksperimen macamana nak guna handsfree nya..Sebelum ni, saya naik fed up saya guna je tangan untuk pegang botolnya. Abis tu, payah sangat nak gantung..Asik meleleh je...huhu..

Bila dah pandai, mulalah eksyen..hehe..Sampai tertumpah susu tadi sebab sibuk nak tutup tingkap dek kerana hujan. Nasib baik sempat diselamatkan. 

Susu dalam masa pantang ni takdelah banyak sangat. Sekali pum adalah dalam 2-3 oz. Agaknya saya stress dan penat berulang alik ke klinik sebab jaundis Naufal. Saya cuba untuk pam dengan kerap dan minum banyak air masak. Disamping tu makan makanan yang boleh menambahkan susu badan..

Cumanya sekarang ni, saya keliru sama ada perlu untuk buat stok atau tidak. Sebab memandangkan saya tak bekerja selama setahun, mungkin ada baiknya saya bagi secara direct je. Tapi kalau takde stok susah gak. Kut kena tinggalkan budak kecik ni sebab nak bawak kakak dia ke terapi payah gak ek. Entahlah..

Boleh tak sesiapa bagi cadangan untuk saya pikirnya cara penyelesaiannya. Plus nak tau gak patut ke saya beli deep freezer? terima kasih atas cadangan..:)

19 November 2012

Kakak dan Adik together-gether.. *pelik aihhh bahasa ibu neh*

Owh rupanya saya belum letak gambar kakak Nabila dan adik Naufal dalam blog yek untuk tatapan umum.. :P

Hehe..Payah sebenarnya nak amik gambar mereka berdua ni sama-sama. Kalau nak amik, mesti kena ada orang tolong pegangkan si kakak. Sebabnya, si kakak pun agak-agak 'cepat' tangan dia melepuk adik. Tapi ibu tau kakak Nabila bukan sengaja nak lepuk adik pun. Pasal excited sangat, tangan pun libas kiri-kanan. Tak tau adik dok melekat sebelah kakak..hehe..

Yelah, ibu faham Kakak Nabila tak faham kenapa ada suara budak kecik menangis. Selalu dia ingat bunyi permainan je. Bila dah sebulan adik Naufal asik meneran isi, menangis..Mungkin dia dah faham sikit kut. Dia tau budak kecik tu mesti ada kat sebelah dia atau berhampiran dengan dia. Dan selalu jugaklah ibu cakap, ni adik Naufal..tu kakak Nabila...hehe..Ibu cakaplah tanpa jemu..sampai kakak tau yang dia dah ada adik..

*mesti si Nabila dok pikir..pehal la ibu asik ckp nama adik Naufal..*

Apapun, adik Naufal dah genap sebulan hari ini..19hb bulan lepas..ibu dah gabra nk masuk bilik OT untuk keluarkan Naufal. Satu pengalaman yang ibu rasakan syahdu buat ibu dan ayah. Debaran usah cerita. Hanya mampu berdoa agar Allah permudahkan jalan ibu dan panjangkan umur kami berdua agar masih kesempatan untuk memeluk Abang dan Nabila..



Pengarang jantung hati ibu..



15 November 2012

Gathering Super Mum's & Super Dad's Angel Group






Pernah dulu saya cerita tentang kumpulan sokongan ini bukan? Ianya salah satu kumpulan sokongan yang saya sertai sejak tahun lepas untuk anak-anak istimewa. Banyak ilmu yang saya peroleh sejak menyertai group ini. Alhamdulillah, bila bersama rakan 'sekapal' saya tidak rasa kesunyian. Banyak perkara yang saya pelajari tentang keadaan anak istimewa. Malah ibu bapa dalam kumpulan ini tidak lokek berkongsi ilmu yang mereka ada demi anak-anak istimewa di sini..

Dan kali ini, kami berjumpa sekali lagi. Seperti tahun lepas, banyak aktiviti bermanfaat akan kami lakukan sepanjang perjumpaan kali ini. Cumanya, kami memerlukan sedikit sumbangan bagi menjayakan aktiviti ini agar dapat dimanfaatkan oleh lebih kurang 26 keluarga (sehingga hari ini) yang akan menyertai program ini. Dan aktiviti bukan bertumpu pada anak istimewa. Anak-anak tipikal lain juga boleh turut serta dalam aktiviti ini. Dan paling best, anak-anak tipikal akan didedahkan dengan dunia anak-anak istimewa yang bukan saja terdiri dari adik beradik mereka sendiri, malah mereka boleh melihat anak-anak istimewa yang lain juga.

Bukan mudah untuk menjayakan program sebegini. Saya kagum dengan semangat rakan-rakan ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus mencari idea dan mencari sponsor untuk menjayakan program ini. Niat dihati mahu program ini mendapat tempat di mata masyarakat dan seterusnya membuka hati mereka menerima kehadiran anak-anak istimewa ini.

Dengan perjumpaan seperti ini, kami juga dapat menyuarakan suara dan hak-hak kami seperti bantuan kewangan, peralatan dan kemudahan persekolahan kepada yang berkenaan. Dan kami boleh bertukar-tukar pendapat mengenai cara penjagaan anak-anak istimewa kami. Seperti tahun lepas, memang berbaloi bila saya dapat menyertai perjumpaan seperti ini.

Antara acara yang bakal diadakan adalah seperti berikut..

a) Sesi bersama pihak JKM
b) Sesi bersama Dato. Dr. Fazley - Pakar Motivasi
c) Sesi bersama pihak MOE
d) Sesi bersama Encik Hassan Suyut - Buku Kembara Atiq Wazif
e) Sesi bersama Encik Maniam - Teknik Dohsa Hau
f) Sesi Bacaan Yassin dan Tahlil
g) BBQ dan Nite Show bersama Tam Spider
h) Game show dan Magician
i) Sesi terapi di Great Life PhysioTherapy

Andai ada yang ingin menderma untuk anak-anak kecil kami, tak kisahlah dalam bentuk wang atau dalam bentuk barangan untuk program kami, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Puan Khairun Darwani binti Khairuddin talian 012-4874264 . Atau terus saja bank in pada bendahari program iaitu Puan Mazzlinda binti Yatim di akaun bank Maybank 102102151493 sebelum 30 November 2012


Program ini akan diadakan pada 15-16 Disember 2012 bertempat di Intekma Resort, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Secara amnya, kos – kos yang terlibat bagi menjayakan program ini termasuklah seperti penginapan dan makanan, bilik seminar dan yuran profesional, peralatan permainan dan hadiah cenderamata. Di anggarkan lebih 150 org akan menghadiri majlis ini.

Pada mereka ynag diluar sana mempunyai anak istimewa, boleh juga sertai program kami dengan menghubungi founder iaitu Puan Khairun Darwani untuk turut serta dalam kumpulan kami.. :) Boleh juga turut serta di dalam facebook kami di http://www.facebook.com/groups/supermum/

Boleh lihat juga di entry lama saya mengenai Group Supermum di dalam entry ini yek..1st Gathering SMSD

Pada yang menderma, terima kasih kami ucapkan..Moga Allah saja yang membalas jasa dan budi baik tuan/puan terhadap anak-anak istimewa kami.. :)




12 November 2012

Si Jaundis yang degil !!

Hehe..memang degil pun..asik nak melekat kat Naufal je ek?!

Serius, stress tahap gaban dah daku neh. Melihatkan jaundis Naufal yang susah benar nak berlalu pergi. Hari Rabu lepas, bacaan 197. Jumaat buat pemeriksaan lagi.. 192. Aikk..turun sikit sangat.. Dan tadi darah naufal diambil lagi. Dan paling mengejutkan... 204.1. Terkejut beruk!!

Adoiyaiii.. kami laki bini garu kepala. Saya dan Abang termenung di dalam kereta mengenangkan result jaundis Naufal. Sakit hati usah cerita. Dan mulalah fikiran ni dok memikir-mikir apa yang telah saya makan sepanjang 2 hari lepas..

Agak stress lagi di situ. Dan akhirnya saya dimarahi oleh abang. Katanya usah diingat apa yang telah dimakan. Sebab semuanya tiada kaitan. Saya tahu Abang juga tertekan dengan keadaan Naufal. Dan last..air mata saya gugur lagi.... :(

Bila saya up status di facebook.. "Hati di duga lagi..sampai bila ianya akan berakhir naufal syg..? Tak lalu dah ibu nak hadap hari2..huhu.." banyak juga komen yang saya terima. Ada yang mencadangkan beberapa petua untuk diamalkan, namun kebanyakannya telah saya lakukan sejak hari pertama Naufal disahkan jaundis. Memanglah nurse dan doktor melarang melakukan perkara-perkara lain melainkan penyusuan yang kerap..namun bila dah bertegang urat dengan ayah sendiri buat saya terpaksa mengalah dan lakukan apa yang di suruh oleh ayah. Ayah pulak keluarkan statement "Anak ayah 5 orang..semuanya elok je minum susu kambing.." kata ayah bila sibuk saya menegakkan pendirian tentang susu ibu. Adoiyaiiii....

Penyusuan saya, setiap sejam ke dua jam sekali. Memang kerap. Naufal pula memang tak payah di kejut-kejut. Terus je bangun nak menyusu bila dah tiba masa hausnya. Tapi bila tahap jaundis tak turun, manalah hati tak stress..



Dan tadi, saya terpandang wall kak Azwana tentang kisah jaundis oleh Dr. Zubaidi. Terus saya share dan baca apa yang telah di tulis oleh Dr. Zubaidi. Ok..saya paste kan apa yang beliau tulis di sini..Klik pada tajuk di bawah yek..

Kekuningan pada bayi : Normal atau Bahaya 

Terima kasih pada Dr. Zubaidi tentang ilmu ini. Moga-moga Jaundis Naufal berlalu pergi dengan cepat.. Amin..

08 November 2012

Nabila @ Wanita Hari Ini TV3

Semalam, wajah Nabila di Wanita Hari Ini. Tajuk Bayi Lemas Dalam Kandungan...

Macamana boleh keluar TV lak neh?!

Sebenarnya, saya dikhabarkan oleh rakan-rakan yang pengacara WHI Hasfizza mencari maklumat mengenai pengalaman ibu yang mempunyai anak lemas dalam kandungan. Teringatkan kisah Nabila, maka saya cuba e-mel pada Hasfizza untuk bercerita mengenai pengalaman saya. Niat hanya mahu memberikan info padanya saja. Tak terlintas langsung untuk masuk tv atau sebagainya. Dan saya selitkan nama blog ini untuk memudahkan beliau mencari maklumat dan pengalaman saya mengenai anak lemas.

Namun, tak sampai 2 minit selesai saya e-mel padanya, telefon saya berbunyi. Private number? Dalam hati meneka-neka lah sapa yang call. Rupanya Hasfizza si pengacara..

Dia bertanya saya tinggal di mana dan kemudian mahu menemubual saya. Katanya mahu mengambil gambar saya dan Nabila sekali. Saya agak terkejut pada awalnya. Namun, bila memikirkan untuk berkongsi pengalaman saya bersama orang lain, tak salah untuk saya menerima pelawaannya. Lantas, saya bersetuju. Cumanya, saya beritahu yang saya masih dalam pantang, dan jika mahu wawancara, hanya di rumah sajalah...

Dan Jumaat 2 November, dia call saya lagi. Kebetulan saya sedang sibuk berada di klinik membawa Naufal untuk pemeriksaan jaundis. Perbualan ringkas dan katanya mahu datang ke rumah pada hari Isnin untuk sesi temubual.

Sebenarnya tiada sebarang persiapan dilakukan. Hatta tiada ayat atau skrip yang saya rangka untuk bercerita. Kerana setiap apa yang berlaku masih kuat utuh dalam ingatan saya. Bagai putaran wayang kembali tatkala saya menutur ayat-ayat penceritaan tentang kisah Nabila. Sayu, sedih, geram usah cerita. Banyak pahit dari manisnya...

Namun, bila melihatkan Hasfizza, dia sepertinya mengerti perasaan saya ketika itu. Tampak dirinya sayu memandang Nabila. Mungkin juga mengerti perasaan saya ketika itu...

Apapun, bukan glamor yang saya kejar. Hanya sedikit kisah saya untuk tatapan semua. Sebagai peringatan dan pengajaran pada mereka yang melahirkan anak-anak nanti. Sungguh hati saya sayu melihatkan nasib Nabila akan datang. Tak tahu apa yang akan terjadi kepada Nabila kelak. Kalau boleh kisah saya dijadikan iktibar pada semua. Teringat sewaktu melahirkan Naufal, saya menceritakan juga kisah saya kepada mereka yang sedang menunggu saat kelahiran anak mereka. Ya, pada mereka amat mengerikan, namun mereka harus tahu kesan-kesan anak lemas dalam kandungan. Agar nasib anak mereka tidak seperti Nabila...


Sedikit video untuk tatapan semua. Sori rakaman tak berapa jelas. Susah nau nak rekod..hehe..

p/s : Nama Abang silap la pulak..huhu...

05 November 2012

Bila sudah beranak dua...

Hurm..Aktiviti dalam pantang memang sangat membosankan. Apatah lagi itu dan ini memang tak boleh dilakukan. Bab makan apatah lagi.. Dek kerana risaukan luka c-sear yang belum pulih sepenuhnya, saya pendamkan saja hasrat untuk makan makanan sedap-sedap. Bayangkan sajalah, waktu Hari Raya Haji lepas, saya baru saja seminggu dalam tempoh pantang. Mak pulak masak sedap-sedap.. Nasi impit, kuah kacang, lodeh, bihun sup...Adoiyaiiii..telan air liur sajalah. Semalam, mak buat laksa..Aromanya..adoiiii..menusuk kalbu.. Sabar jelah Noina oiiii!!!

Tapi yang tak bosan aktiviti dalam pantang ni, dapat melihat kedua-dua anak kecil saya. Memang tak menang tangan dibuatnya. Lagi-lagi si Naufal yang 'cerdik akalnya'.. Suka benar menjerit mengeliat macam nak marah pun ada..lepas tu diam sambung tidur.  Kadang-kadang naik confuse saya di buatnya. Naufal ni bangun menangis nak susu ke hapa? Bila dah dtg dekat, dia diam lena tidur..Aisshhhh...

 ::peluklah saya..::

Yang si Kakak Nabila, bila adik menangis, dia diam. Pastu senyum-senyum. Bila letakkan adik di pangkuannya, agak buas si Nabila ni. Agaknya dia ingat anak patung kut..main tolak je si adik. Adoiii..Tak boleh biar begini. Yelah, saya faham. Nabila kan corticall blindness. Hurm..Bab objek tak taulah progress mata dia camne. Nampak ke tidak.. saya tak pasti.

Tapi bila dua-dua mintak perhatian, mulalah saya kalut. Rasa mau dua-dua saya peluk dan layan. Tapi kakak kompem kalah dengan si adik. Lebih-lebih lagi si adik breastfeeding. Hurm..memang tak boleh gerak ke manalah. Dah jadi patung ibu. Terpaksalah mintak bantuan mak atau ayah Nabila untuk layan si kakak..huhu...

Ok..ni bukan komplen yek. Cuma tengah sesuaikan dengan suasana beranak dua ni. Lagi-lagi anak tipikal dan anak istimewa yang sama-sama penting pada saya. Hurm..terfikir rasa mau Naufal cepat-cepat besar. hehe.. Senang sok nak mintak tolong si adik tolong ibu jagakan kakak.. :) Dan paling best, mungkin perkembangan si kakak lebih baik dari sekarang. Manakan tau?

InsyaAllah... :)

02 November 2012

Resah hati ibu..Sendu di hati Nabila..

Sudah hampir 10 hari Naufal jaundice.. Dan dalam 10 hari juga hati ibu risau..Bermacam cara dan kaedah saya lakukan. Minum susu kambinglah, air kuninglah, makan anggurlah, mandi daun kucai..macam-macam petua saya cuba, tapi jaundice naufal tetap diangka yang sama.

Walaupun sudah turun sedikit, tapi angkanya masih 200++ . Dan sebenarnya, saya sudah tidak berani untuk melakukan pelbagai perkara lagi. Breastfeeding? Usah cakaplah. sekerap mungkin saya bagi. Sejam ke sejam setengah, pasti Naufal bangun untuk menyusu. Tak perlu tunggu saya mengejutkannya.

Susu saya pula? Banyak..dan saya siap minum susu, horlick dan makan sayuran untuk menambahkan susu badan saya. Benda yang berkaitan dnegan lada hitam, halia atau jamu-jamu ubat-ubatan memang saya tolak ke tepi. Tak makan..semata-mata kerana Naufal. Mujur badan takdelah sakit sangat, cuma saya terasa sakit di bahagian tulang punggung dan pinggang.. :(

Tadi ke klinik, dan doktor klinik kesihatan menyarankan saya ke HKL untuk pemeriksaan lanjut. Hurm..maybe ambil darah lagi dan tengok apa yang patut pada Naufal. Dalam waktu-waktu berpantang ini, rasanya tak sanggup turun naik rumah mak. Cukup letih merasainya sewaktu Nabila dilahirkan dulu, rupanya kelahiran Naufal juga saya terpaksa laluinya sekali lagi. Berpantang serupa tak pantang!

Moga semuanya baik-baik saja untuk Naufal..Amin..

.

Malam tadi, syahdu saya rasakan. Melihatkan kakak Nabila..

Malam jam 3 pagi, Nabila terjaga. Saya tersedar ketika itu dan melihat dirinya resah. Pasti mahu susu..bisik hati saya. Lantas saya bangun dan terus menyiapkan susu untuk Nabila.

Minumnya agak perlahan dan kadangkala matanya terlelap. Mengantuk barangkali.. Dan tiba-tiba sang adik bergerak-gerak. Juga minta disusui.. Saya paling resah saat ini bila kedua-dua anak minta perhatian dari saya. Sedih bila terpaksa menyatakan ini..

"Nabila minum cepat yek..adik nak susu pulak.."

Dan saat saya melafazkan ayat itu, Nabila berhenti minum. Dan sepertinya tahu saya harus segera bergerak ke arah adiknya.

"Nabila nak lagi tak? Meh minum cepat..."

..dan Nabila tidak mahu meneruskan penyusuan. Hanya diam dan tanda isyarat dia mahu berbaring semula di tilam. Saya meletakkan Nabila kembali dari pangkuan saya, dan bergegas menuju ke katil untuk mecapai Naufal. Mata saya tak lepas memandang Nabila. Dan saya lihat Nabila hanya diam membisu. pandangannya kosong..

Dalam hati sebak bila memandang susu yang diminum. Hanya sedikit! Saya turun ke tilam semula sambil memangku Naufal. Saya cuba menyusukan Naufal dan tangan kiri saya mencapai botol susu Nabila untuk disuapkan ke mulutnya. Namun mulut Nabila hanya terkunci diam. Saya cuba memujuknya, namun tiada sebarang respon..

Sedih usah cerita. Saya tahu Nabila cuba untuk mengalah demi adik. Tapi dirinya juga perlukan perhatian. Faham saja dilema hati saya ketika itu. Kedua-duanya anak saya. Air mata ini mengalir..dan terus mengadu pada Abang. Akhirnya, Nabila terlelap tidur di buaian tanpa menyambung minum susunya tadi...

Pagi..Bila abang sampai ke rumah mak, katanya sedih bila membaca BBM saya semalam. Sedih melihatkan Nabila. Apa saja pilihan yang saya ada. Kesian kamu nak!!

Abang bercakap dengan Naufal .. "Adik, kesian kakak semalam, tak minum susu..Kita patutnya mengalah dengan kakak. Bila kita tolong kakak kita dapat pahala. Adik jangan ragam-ragam lagi yek.."

Sebak bila Abang mengeluarkan ayat-ayat tersebut. Ya, setiap apa yang saya dan abang lakukan untuk Nabila, semuanya ganjaran 'di sana' kelak. Dalam hati tak mahu Nabila terasa di abaikan. Bila ada saja masa terluang, adiknya tidur, saya akan cepat-cepat berlari ke arah Nabila. Memeluk dan menciumnya. Dan tak putus-putus kata "ibu sayang Nabila.." . Saya tak mahu kerana Naufal, Nabila terasa di sisihkan. Andai Naufal dapat mebaca coretan ibu nanti..fahamilah sayang, kedua-dua anak ibu, ibu paling sayang. Ini saja harta yang ibu ada. Dan moga Naufal mengerti perasaan dan pengorbanan ibu pada kakakmu..

 kakak dalam pelukan ibu..

Di hari Jumaat ini..air mata ibu menitis lagi...jauh disudut hati ingin mahu kedua-duanya puas merasai kasih-sayang ibu kepada kalian berdua. Moga Allah sentiasa permudahkan jalan ibu buat anak-anak ibu tersayang... Amin...




30 October 2012

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal ( finale)

...Terasa seperti perut direntap..

Dan kedengaran suara anak ibu yang dah lama ibu nantikan selama ini. Alhamdulillah. Seperti tak percaya saya sudah berjaya melahirkan dia. Dan syukur Alhamdulillah..Allah permudahkan urusan pembedahan saya. Doktor Sarah berjaya mengeluarkan adik baby selama 12 minit sahaja.

Setelah itu, proses menjahit bermula. Dan tangisan adik baby kuat kedengaran. Kuat betul tangisannya. entah apa yang dilakukan di dalam perut, tiba-tiba disentap keluar dari perut ibu, mesti menjerit marah..hehe..

Dan apabila pembantu bilik pembedahan menunjukkan adik baby pada saya, air mata seakan mengalir. Dan dia dibalut kemas dan mereka menyuruh saya meneka jantina adik baby. Apa yang saya tahu, kata doktor adik baby berjantina lelaki. Dan bila ditunjukkan pada saya, syukur Alhamdulillah rupanya betul.. :)
Lahir pada jam 2.47 petang seberat 3.42kg . 

Selesai semua lebih kurang jam 3.30 petang. Saya ditolak keluar dan menanti di satu sudut untuk melihat keadaan saya stabil atau tidak. Saya muntah beberapa kali dan terasa wajah saya gatal-gatal. Kata mereka, itu adalah kesan dari ubat bius.

Hampir 20 minit kemudian, saya di tolak keluar. Dan dibawa pulang oleh nurse wad 6D. Dan Abang rupanya setia menanti saya di ruang menunggu luar bilik pembedahan. Saya bertanya kenapa tak ke labour room melihat anak. Rupanya Abang nampak 2-3 baby yang keluar dari bilik pembedahan, namun kurang pasti yang mana satu anaknya. Nak tergelak pun ada. Dan akhirnya Abang mengambil keputusan menanti saya keluar dari bilik pembedahan saja.

Sampai di wad, Abang dikehendaki ke labour room untuk mengazankan adik baby. Dan saya, keadaan mabuk-mabuk kepayang berehat di atas katil. Tidak dibenarkan bangun sehingga jam 8 malam. Makan dan minum juga begitu. Takut muntah.







Adik baby : beberapa jam selepas kelahirannya..



Sejam kemudian, adik baby di bawa masuk ke sisi saya. Dan nurse terus menyuruh saya memberikan susu badan. Dengan keadaan separuh sedar, mujur Abang membantu saya menjaga adik baby. Jam 7 Abang terpaksa pulang kerana waktu melawat tamat. Nurse kerap ke katil saya dan jam 8 malam, barulah saya dibenarkan minum. Terasa ada sedikit kekuatan. Saya menyusukan adik baby dan selebihnya tidur berehat disisinya.

Esoknya, saya cuba untuk bangun dan berjalan. Terasa kepala ini berat, namun saya gagahkan juga. Kalau dilayan sangat mesti susah untuk saya uruskan adik baby.

Saya bertanya Abang. Untuk confirm kan nama adik baby. Dan akhirnya seperti yang di rancang.. Nama Yasier Naufal telah kami pilih untuk nya. Yang bermaksud Yang Memudahkan/Yang Senang (Yasier) Dermawan/Pemurah (Naufal) .

Alhamdulillah..Tak lama..hanya 3 hari di hospital, saya dibenarkan pulang. Cuma saya risaukan penjagaan luka dan jaundis Naufal. Hari ke-5, Naufal menunjukkan tanda-tanda jaundis. Dan kami disuruh rujuk pada klinik kesihatan Setapak.

Kakak Nabila? Alhamdulillah..jika beberapa hari sebelum saya bersalin, keadaan kakak Nabila memang menduga hati saya. Pernah menangis pada hari khamis sehari sebelum pembedahan kerana Abang khabarkan keadaan Nabila agak teruk ketika itu. Air mata saya mengalir bila saya mengucapkan kata-kata semangat buat Nabila. Tak pasti sama ada dia dengar atau tidak, namun jauh disudut hati saya, saya tahu Nabila merindui saya.

Moga kedua beradik ini hidup dalam keadaan baik-baik saja dan dapat membantu antara satu sama lain. Hati saya sayu melihatkan keadaan Nabila dan berharap agar adiknya naufal dapat membantu kakaknya dari segi perkembangannya. InsyaAllah...

 2 YN dalam hidup ibu dan ayah : Yasmin Nabilah dan Yasier Naufal

29 October 2012

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal (part 3)

19 Oktober 2012 (Jumaat)

Hari yang dinanti. Hati saya berdebar usah cakaplah..Saya bersiap untuk mandi, dan menunggu arahan dari nurse. Saya memandang baju OT yang perlu saya pakai nanti. Namun, melihatkan baju kecil berwarna pink diselitkan bersama, saya cuba kuatkan semangat. Ya, saya mahu lahirkannya hari ini juga. Tak mahu bertangguh lagi. Dan hati ini seakan tidak sabar untuk menciumnya...

Abang hanya menanti di rumah. Menanti panggilan saya. Jika diikutkan saya adalah orang ke-3 untuk jalani pembedahan pagi ini. Alahai..lambatnya. Perut pedih usah katalah. Memang tak makan apapun. Hanya bergantung pada drip semata-mata.

Orang di hadapan saya telah ditolak ke dewan pembedahan. Hati saya bertambah debarannya. Kerana selepasnya adalah saya. Namun selang 10 minit kemudian, dia dimasukkan kembali ke wad. Katanya nurse, doktor terpaksa menjalankan 3 pembedahan kecemasan kerana 2 bayi sudah lemas, dan seorang lagi songsang. Aduhai..moga bayi-bayi itu selamat hendaknya..

Petang jam 2. Tiba-tiba saya terdengar call dari kaunter nurse mengatakan seorang dah boleh ditolak ke bilik OT. Saya berdebar. Dan tak sampai 10 saat, nurse sudah muncul di hujung katil saya. Dan kata, ok puan. Bersedia ye. Pakai baju OT ni..

Masa itu..entah macamana saya nak describe perasaan saya ketika itu. Bercampur-campur! Teruja pun ada, cuak pun ada. Adoiii... Selesai menukar baju, saya di tolak dengan katil ke bilik pembedahan. Abang mengiringi saya ketika itu. Mujur baru habis waktu melawat dan Abang belum sempat untuk keluar. Saya hanya mendiamkan diri, terus mengucap kalimah-kalimah Allah di dalam hati..Dan berdoa pembedahan saya berlangsung dengan baiknya.

Pemandangan di luar menuju ke bilik pembedahan seperti saya ingat-ingat lupa. Ya, ada lorong yang saya ingat di mana saya di sorong ke bilik pembedahan semasa kelahiran Nabila dulu. Menjerit kesakitan di hadapan pintu masuk bilik pembedahan kerana kontraksi. Merayu pada nurse ketika itu. Ya, saya masih ingat ketika itu. Namun, kali ini keadaannya agak tenang. Tidak lagi menjerit kesakitan. Hanya debaran yang menanti saya di dalam sana.

Menunggu hampir 20 minit membuatkan saya jemu. Sempat saya memandang Abang. Dan meminta ampun padanya dan memintanya mendoakan keselamatan saya di dalam sana. Sayu rasa.

Saya di tolak dan dibawa masuk. Saya didaftarkan dan menanti di satu sudut sebelum di tolak ke bilik pembedahan. Kemudian, saya bertemu dengan pakar bius dan setelah diterangkan prosedur penggunaan epidural, saya di tolak masuk ke dalam bilik pembedahan. Teringat suasana bilik. Dan saya disuruh duduk sambil memeluk bantal. Sesi tusukan epidural bermula. Sakit saat ubat bius dimasukkan memang saya terasa. Beberapa kali saya tersentak kerana terasa aliran ubat masuk. Dan kaki sehingga ke pinggang saya mula mengebas....

Bila saya mula berbaring, Doktor Sarah masuk ke bilik pembedahan. Saya lihat sibuk masing-masing melakukan persediaan. Bunyi alatan usah ceritalah. Terpandang pelbagai alatan, namun saya memandang sebentar kerana tidak mahu hati ini gerun melihatnya. Saya disuruh mendepangkan tangan dan tangan kanan saya diletakkan alatan untuk bacaan tekanan darah saya.

Di sebelah kiri saya lihat ada jam yang menunjukkan jam 2.35 petang. Dan pabila Doktor Sarah menyatakan " Boleh kita mulakan sekarang" ..dan ada yang menyahut boleh, saya bertambah kecut. Kalimah-kalimah Allah dan doa tak putus-putus keluar dari bibir saya. Dan tiba -tiba saya terasa pening. Saya bertanya pada seorang pembantu perubatan yang ada di sisi saya, mengapa kepala saya terasa pening. Lantas dia menambah sesuatu yang saya kurang pasti apa kandungannya bagi menstabilkan saya. Beberapa kali juga ianya berlaku, dan akhirnya saya stabil kembali.

Saya sedar setiap tindakan mereka. Sempat saya berbual dengan pembantu perubatan di situ bagi menghilangkan rasa gugup. Bagus jugak budak-budak ini.. :)

Dan tiba -tiba saya terasa sesuatu yang menekan perut saya...Ianya kuat di atas perut ini..

....bersambung...

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal (part 2)

18 Oktober 2012 (Khamis)

Pagi sesudah bangun, saya termenung di katil. Melihatkan gelagat nurse yang mundar-mandir membacakan laporan pertukaran shift. Saya mendengar perbualan mereka. Dan hari ini, saya akan melakukan ultrasound neck untuk melihat keadaan thyriod saya.

Jam 9, saya ditolak menggunakan wheel chair oleh nurse untuk ke tempat x-ray. Sekali lagi kenangan menjengah. Melihat ruang MRI dan katil dimana Nabila ditempatkan untuk melakukan ujian MRI nya. Sedih bila mengingatkan apa yang telah berlaku dulu. Teringat Nabila 'pengsan' akibat penangan 3 dos ubat tido diberikan padanya. Dan terbayang saat saya duduk di sisi Nabila di dalam bilik 'mesin terowong' itu. Tubuh kecil itu sudah merasai pelbagai perkara yang tak terjangkau dek akal saya. Dan saat itu, saya bangga dengan Nabila. Semangatnya nan kuat untuk terus hidup bersama ibu dan ayah...

Saya ditolak ke ruang menunggu yang mempunyai TV. Mata menatap televisyen , namun hati saya lebih tertarik dengan gelagat orang keliling saya. Ada juga orang awam yang memandang saya yang sedang berbaju hospital berwarna pink. Saya hanya mendiamkan diri di situ dan mendoakan keputusan thyroid saya tidak menjejaskan kesihatan saya..

Nama dipanggil, dan saya ditolak ke satu bilik. Dan di situ, pakar ultrasound sedia menanti saya. Sesudah baring, beliau menunjukkan gambaran besar thyroid saya dan menasihatkan saya untuk melakukan surgery sesudah saya bersalin nanti.

Selesai ultrasound, saya pulang semula ke wad. Dan sebaik saja saya pulang, rakan di hadapan katil saya, ditolak masuk ke bilik pembedahan bagi elective c-sear. Anak songsang. Dan akak tu memang teruja untuk menyambut kelahiran kali ini kerana mahukan anak perempuan. Bila melihatkan akak tu berpakaian lengkap untuk ke OT membuatkan hati saya kecut. Mampukah saya untuk laluinya esok..?

Tengahari dan petang, saya dikunjungi oleh mak mertua dan adik ipar saya. Berbual sehingga selesai waktu melawat. Dan malamnya, sepi kerana saya keseorangan. 3 katil di kanan dan hadapan saya kosong tiada penghuni. Akak yang menjalani pembedahan pagi tadi telah dipindahkan ke wad 6C kerana komplikasi pembedahan. Dan hampir malam, seorang kakitangan HSB duduk di katil akak tersebut kerana pembedahan elective c-sear bersama saya esok pagi.

Kami berbual kosong dan tengah malamnya, jam 12.30 pagi nurse mengejutkan saya untuk memasukkan air. Dan saya dikehendaki berpuasa sehinggalah tiba waktu pembedahan nanti..

....bersambung..

28 October 2012

Kelahiran yang dinanti : Yasier Naufal (part 1)

17 Oktober 2012 (Rabu)

Pagi jam 9.30 . Saya dan Abang menyelesaikan perihal Nabila sebelum menuju ke Hospital Sungai Buloh. Hari ini saya akan dimasukkan ke wad terlebih dahulu bagi melihat keadaan kesihatan saya sebelum dibedah. Dan malamnya saya akan berpuasa selama 6 jam. Dalam hati sedikit resah, kerana esoknya saya akan dibedah. Banyak perkara yang bermain di minda saya ketika itu. Dengan keadaan Nabila yang agak kurang sihat membuatkan hati saya sedih meninggalkan dirinya. Berkaca mata ini bila mana saya menciumnya di dalam buaian. Doa ibu agar pembedahan ibu berjaya dan ibu masih dapat menatap wajahmu sayang...

Sampai di hospital, keadaan agak tenang. Selepas melapor diri, saya disuruh masuk ke ruang menunggu bersalin. Abang menantikan saya diluar. Saya berpesan padanya untuk membelikan saya roti dan sebotol air kosong untuk saya mengalas perut hari ini. Kata nurse kemungkinan saya hanya menunggu di ruang bilik bersalin lebih lama kerana kesukaran mendapatkan katil di wad. Faham sajalah, Hospital Sungai Buloh memang dah jadi tumpuan sekarang. Ramai nak bersalin kat sini. Ada yang saya tanya, sudah berhari-hari di ruang bilik bersalin kerana tidak dapat wad. Aduhhh..

Selesai melakukan CTG, saya hanya menunggu di ruang bilik TV. Sesekali terdengar suara nurse menjerit memberi sokongan pada  ibu-ibu yang bakal melahirkan dan kemudian tidak lama, saya dengar suara bayi menangis. Saat itu, sebak rasa hati. Kerana saya masih teringat tentang Nabila. Saya berjuang di situ juga, namun Nabila gagal keluar dari perut ibu dan menyebabkan kami berdua ditolak ke bilik pembedahan bagi mengeluarkan Nabila secara kecemasan...

Melihatkan kiri dan kanan orang mengerang kesakitan akibat kontraksi, membuatkan hati saya kecut. Kesian pada mereka yang mana sudah overdue dan berhari-hari menahan kesakitan. Untuk menghilangkan kebosanan, saya berbual dengan mereka yang berada di situ. Sehinggalah petang menjelang...

Saya agak hairan kerana nama saya tidak dipanggil untuk berjumpa dengan pakar bius. Sedangkan beberapa rakan yang sama seperti saya akan menjalani pembedahan secara elective telah dipanggil untuk diperiksa kesihatan oleh pakar bius. Sudahnya, saya menemui Abang yang telah membawakan makanan untuk saya. Agak lapar kerana makanan tengahari di hospital agak kurang menyelerakan tekak saya.

Saya berbual dengan Abang di luar, dan kemudian Abang pulang ke rumah. Kata saya tak perlu menunggu saya di sini, kerana mungkin saya akan dapat wad malam ini. Kesian pulak pada Nabila yang sedang menunggu di rumah. Sejurus Abang pulang, nama saya dipanggil. Rupanya doktor yang akan operate saya iaitu Dr. Sarah (doktor yang sama menyambut Nabila dulu) nak berjumpa dengan saya. Rupanya dia masih belum boleh melupakan kejadian Nabila. Mungkin itu antara pengalaman pahitnya sepanjang perkhidmatan dia sebagai doktor.

Kata saya, lupakan apa yang telah berlalu. Dan dia berjanji akan cuba melakukan yang terbaik pada kandungan saya kini. Mungkin ingin menghilangkan rasa bersalahnya atas apa yang terjadi pada Nabila. Dan pada saya , apa yang terjadi pada Nabila adalah suratan takdirnya. Ya, mungkin perit mengenangkan apa yang terjadi pada Nabila, namun sebagai manusia, saya tahu Allah telah merancang sesuatu yang hebat buat saya dan Abang. Saya yakin tentang itu...

Saya diperiksa oleh Doktor Sarah. Scan adik baby dan melihat keseluruhan keadaan saya. Tiba-tiba saya teringat tentang thyroid yang saya hadapi yang masih pending lagi status ujian darah saya. Lantas saya bertanya terus pada Doktor Sarah. Mujur saya beritahu dan katanya jika saya lalui pembedahan esok pasti akan ada kesulitan nanti.

Rupanya nama saya tidak dipanggil untuk diperiksa pakar bius tadi adalah kerana nama saya diletakkan pada hari Jumaat untuk pembedahan. Aduhai..Tapi menurut doktor Sarah, ada baiknya saya dibedah pada hari Jumaat kerana dia masih mempunyai masa untuk memeriksa thyroid saya esok...

Dan saya terus dimasukkan ke wad 6D di katil 14..Menanti apa yang bakal berlaku esok...


.....bersambung..