Sedang rehat-rehat dan berbual dengan Ayu, Aku menjeling melihatkan Nabila sedang baring dalam keadaan telentang. Sama seperti biasa.
Leka berbual dengan ayu, dalam tak sedar, aku lihat Nabila sudah mengiring. Sudah biasa melihat perkara itu kerna sejak 2-3 bulan lepas aku membiasakan Nabila tidur dalam posisi mengiring. Dan dia begitu selesa dengan keadaan itu.
Aku hanya melihat tanpa membetulkan apa-apa posisi. Mulut ini masih lagi sibuk tak henti-henti berbual dengan Ayu. Dan tiba-tiba, Nabila memusingkan badannya, dan terus Nabila dalam keadaan posisi meniarap.
Aku menjerit melihat Nabila. Abg, Ayu dan Syarul menjadi saksi Nabila berpusing dengan sendirinya. Nabila pula ketika itu diam. Sedikit suara pun tak keluar dari mulutnya. Aku sememangnya dalam keadaan tergamam dan terus berkata yang aku tak percaya apa yang aku lihat tadi.
Benar..tidaklah sehebat mana meniarap bagi budak normal. Tapi bagi aku..entahlah. Tak tergambar perasaan bila Nabila dapat berpusing dengan sendirinya. Sudah lama aku menantikan saat itu. Namun, selepas kejadian pusing memusing di rumah Ayu, tiada lagi kejadian serupa berlaku pada hari ini....
Sehinggalah pagi selepas aku ke tempat kerja....
Abg seperti memberi laporan apa yang dia dan Nabila lakukan sepanjang hari di rumah. Katanya sudah 2 kali Nabila berpusing sendiri. Dan waktu maghrib..semasa aku sedang berbuka puasa, memang aku pasti Nabila dalam keadaan telentang.
Dan tiba-tiba..dia melakukan lagi aksi itu. Cuma tidak secara terus menerus. Dia mulakan dengan meletakkan badannya dalam keadaan mengiring dan kemudian dia cuba berpusing sekali lagi untuk posisi meniarap. Namun, tersilap langkah kerana tangannya terhimpit di atas badannya. Agak lama juga Nabila cuba mengeluarkan tangannya , namun tidak berjaya. Dan akhirnya ayahnya membantu mengeluarkan tangan di tindih oleh tubuhnya.
Aku ketika itu? Meleleh air mata sambil mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberi peluang pada Nabila untuk terus maju lagi. Namun, ini tidak bermakna Nabila sudah bagus. Nabila masih lagi belum betul-betul mahir untuk berpusing. Dan rasanya tak sabar menanti esok untuk aku mengulit lagi bersama Nabila pabila cuti.
Semalam hatiku di pagut sayu. Mummy Ayu memberikan sesuatu buat Nabila. Carborie powder untuk Nabila. Dan di tin itu tertera tag kepunyaan arwah Alanna Qish yang aku amat aku sayangi. Sayu..memang sayu. Dan tarikhnya ditulis sebelum beberapa hari arwah meninggalkan kami semua.
Aduhai hati..sayu benar. Rindukan si kecil itu. Dan kataku kepada Ayu, seperti sudah lama benar kami berkawan. Padahal, kami baru saja kenal pada bulan Mac yang lalu. Dan kaki ini melangkah ke rumah Ayu buat pertama kalinya kerna menghadiri majlis hari lahir Abg Nadime.
Sungguh..melihatkan Nadime bermain patung pemberianku buat arwah membuatkan hatiku luluh. Betapa Nadime merindu adiknya. Dan tatkala Nabila memeluk 'adik nun' itu, Nadime ketawa girang. Barangkali suka benar dia melihat Nabila memeluk 'adik nun'.
Dan Nabila ketawa girang sepanjang di rumah Ayu. Adakah dia nampak kehadiran Adik Nun? Entahlah..sukar untuk merungkai setiap persoalan itu. Yang aku pasti Adik Nun bahagia di sana..
Apapun..aku gembira dengan perkembangan Nabila. Terubat juga hati dengan apa yang telah aku lalui sepanjnag 2-3 minggu lepas tentang berita yang kurang menyenangkan tentang Nabila. Sekurang-kurangnya, ia memberi semangat untukku terus berjuang untuk Nabila. Kawan-kawan..mohon doakan agar mudahkan perjalanan anak ini. Amin...