Semalam, selepas pulang dari membeli barang, saya mengemas rumah dan melipat kain baju yang menggunung. Faham sajalah, melipat baju untuk seminggu. Memang penat!! Nabila pula sedang bermain di dalam buai sementara saya sibuk di atas. Mengemas beg untuk saya bawa ke rumah mak esok. Abang pula sibuk bersiap untuk ke tempat kerja.
Saya teringat esok ada majlis hari lahir bos saya dan esok juga ada majlis makan-makan sempena hari lahir tersebut. Dan saya telah menawarkan diri untuk memasak nasi impit untuk dimakan bersama hidangan lain. Saya turun ke bawah sebentar dan memasak nasi impit dan membiarkannya di atas dapur sementara saya menyelesaikan baki pakaian yang belum dilipat lagi.
Entah kenapa saya agak keletihan semalam dan mengantuk yang amat, dan tanpa saya sedar saya terlena di katil. Walhal ketika itu saya sedang memasukkan pakaian semua di dalam almari. Saya pun tak sedar kenapa saya berbaring dan saya lihat ketika itu jam sudah menunjukkan angka 11.30 malam.
Saya bermimpi, dan tiba-tiba saya terbau asap. Saya bangun dan lihat keliling bilik saya yang sudah dipenuhi asap. Saya pelik dan tiba-tiba saya teringat yang saya sedang memasak nasi impit. Terus saja saya bangun dan hati saya berdebar-debar untuk ke bawah. Saya nampak Nabila sedang lena tidur di buaiannya dan TV serta komputer masih lagi terpasang. Saya terus ke dapur dan terkejut melihat air dalam periuk sudah kering dan nasi impit sudah hangus. Masya-Allah..terus saja saya memadamkan api dan membawa Nabila ke atas.
Bau asap memang melemaskan. Bercampur dengan bau plastik terbakar membuatkan saya terpaksa membuka tingkap dan pintu untuk mengelakkan dari saya dan Nabila sesak nafas. Terduduk saya di sofa. Termenung. Mujur saya sedar. Andai saya hanyut dibuai mimpi, saya sendiri tak dapat bayangkan apa yang bakal terjadi pada saya dan Nabila. Sudahlah si kecil tu tidur di bawah dan saya di atas. Memang bahaya. Cukup bahaya!
Terus sahaja saya menelefon Abang, menceritakan segalanya yang berlaku. Hampir jam 2.30 pagi, barulah mata saya terlelap. Itupun sisa-sisa asap masih ada. Mujur Nabila tidur bagai tidak sedarkan diri . :)
Tak sangka saya boleh secuai ini. Mungkin keletihan membuatkan saya terlena di katil. Andai benar rumah saya terbakar, rasanya saya pun tiada kesempatan untuk menulis entry ini pada pagi ini. Syukur Alhamdulillah...