Belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Ibu,Mama,Mummy,Ummi untuk semua. :) Dan terutama pada semua supermom yang saya kenali. Anda memang ibu yang terhebat di mata saya!
Pengalaman saya sebagai anak kepada Puan Sa'adiah memang tiada nilainya. Saya tahu mak saya memang agak garang semasa saya kecil-kecil. Kerana anak-anak yang agak lasak ketika itu dan saya sebagai anak sulung sememangnya tugas saya membantu mak menguruskan hal rumah dan adik-adik saya.
Pernah mak menjerit dari tingkat 4 (dari rumah) ke bawah semata-mata memanggil saya yang ketika itu bermain di bawah bersama kawan-kawan. Pada ketika itu, saya geram. Kenapa saya yang perlu lakukan semua ini. Sayalah yang kemas rumah, sayalah yang menjaga adik, sayalah yang menukar lampin adik (time tu takde pampers..huhu), sayalah yang melipat kain, sayalah yang sidai kain. Segalanya-galanya SAYA!! Saya pernah merasakan tidak adil..malah kata mak, dia teringat sewaktu saya kecil, saya selekeh dan sering dimarahi oleh mak.
Tapi faham-faham sajalah mak dulu-dulu kan.. Semuanya garang-garang..hehe..Cuba tengok sekarang. Semua mak baik je..mana ada jerit-jerit marah kat anak dah..hehe..
Saya ingat lagi, bila saya belajar di Shah Alam, ketika itu mak masih lagi bekerja. Membantu ayah mencari rezeki. Mak ketika itu bekerja di Gleneagles Intan Medical Center di Ampang. Mak kurus. Badan mak susut. Mak saya memang gemuk sebelum itu. Dan bila saya lihat dia kurus, saya takut. Dan rupanya mak sakit. Buah pinggang mak mengecut. Dan mak dikehendaki menjalani Hemodialysis setiap 3 kali seminggu. Saya kesian tengok mak. Bila tangan mak penuh dengan kesan cucuk. Tangan, leher, perut semua pernah kena tebuk. Saya tahu ia sakit.
Untuk tidak mahu mak merasai susah menaiki bas ketika ke pusat dylisis, saya belajar bawa kereta. Saya ambil lesen memandu. Dan saya menjadi driver mak ketika itu. Membawa mak ke pusat dylisis yang berhadapan dengan HKL.
Bila kahwin dan dapat Nabila, mak lah yang susah payah menjaga saya dan Nabila. Lebih-lebih lagi dengan keadaan Nabila yang begitu. Mak pernah menangis kerana saya membawa 'lari' cucunya kerana niat di hati saya tidak mahu menyusahkan mak lagi. Saya tak nak mak rasa penat menjaga Nabila. Namun, nasib tak menyebelahi saya. Saya terpaksa memberikan Nabila pada mak untuk dijagainya semula kerana pusat jagaan Nabila yang tidak begitu memuaskan hati.
Saya sering terfikir, andai mak tiada nanti, bagaimanakah kehidupan saya dan adik-adik selepas ini? Pasti hidup kami suram tanpa mendengar bebelan mak. Tiada lagi suara mak menyanyi untuk Nabila. Tiada lagi tunjuk ajar dari mak untuk saya teruskan hidup bersama Nabila.
Bila pagi tadi saya mendengar radio seorang wanita menangis kerana maknya dimasukkan ke hospital kerana sakit, saya sebak. Saya sendiri merasai perasaan wanita tersebut.
Andai mak membaca catatan ayong, Ayong nak mak tahu, Ayong sangat-sangat berterima kasih pada mak kerana melahirkan dan menjaga Ayong selama ini. Mak banyak bantu Ayong dalam menjaga Nabila. Ayong mahu mak sentiasa berada bersama kami. Ayong nak mak hidup lama lagi dengan Ayong. Masih banyak yang Ayong belum dipelajari dari mak. Terima kasih mak atas segala-galanya. Maafkan Ayong atas apa yang Ayong lakukan sama ada dalam keadaan sedar atau tidak sedar. Ayong sayangkan mak. Moga mak sentiasa diberikan kekuatan menempuh dugaan ini. Amin..
Selamat Hari Ibu juga pada ibu mertuaku, Puan Atun. Mak, terima kasih atas tunjuk ajar mak. Terima kasih atas doa-doa mak dan sokongan mak pada Abg, Ina dan Nabila. Moga mak sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa bahagia disamping ayah dan anak-anak tersayang. Amin..
1 comment:
hargailah ibu sementara hayatnya masih ada...bila ibu dah tiada...it's just a complete loss.
Post a Comment