30 May 2011

Mujur kami berdua tak hangus terbakar!!

Semalam, selepas pulang dari membeli barang, saya mengemas rumah dan melipat kain baju yang menggunung. Faham sajalah, melipat baju untuk seminggu. Memang penat!! Nabila pula sedang bermain di dalam buai sementara saya sibuk di atas. Mengemas beg untuk saya bawa ke rumah mak esok. Abang pula sibuk bersiap untuk ke tempat kerja.

Saya teringat esok ada majlis hari lahir bos saya dan esok juga ada majlis makan-makan sempena hari lahir tersebut. Dan saya telah menawarkan diri untuk memasak nasi impit untuk dimakan bersama hidangan lain. Saya turun ke bawah sebentar dan memasak nasi impit dan membiarkannya di atas dapur sementara saya menyelesaikan baki pakaian yang belum dilipat lagi.

Entah kenapa saya agak keletihan semalam dan mengantuk yang amat, dan tanpa saya sedar saya terlena di katil. Walhal ketika itu saya sedang memasukkan pakaian semua di dalam almari. Saya pun tak sedar kenapa saya berbaring dan saya lihat ketika itu jam sudah menunjukkan angka 11.30 malam.

Saya bermimpi, dan tiba-tiba saya terbau asap. Saya bangun dan lihat keliling bilik saya yang sudah dipenuhi asap. Saya pelik dan tiba-tiba saya teringat yang saya sedang memasak nasi impit. Terus saja saya bangun dan hati saya berdebar-debar untuk ke bawah. Saya nampak Nabila sedang lena tidur di buaiannya dan TV serta komputer masih lagi terpasang. Saya terus ke dapur dan terkejut melihat air dalam periuk sudah kering dan nasi impit sudah hangus. Masya-Allah..terus saja saya memadamkan api dan membawa Nabila ke atas.

Bau asap memang melemaskan. Bercampur dengan bau plastik terbakar membuatkan saya terpaksa membuka tingkap dan pintu untuk mengelakkan dari saya dan Nabila sesak nafas. Terduduk saya di sofa. Termenung. Mujur saya sedar. Andai saya hanyut dibuai mimpi, saya sendiri tak dapat bayangkan apa yang bakal terjadi pada saya dan Nabila. Sudahlah si kecil tu tidur di bawah dan saya di atas. Memang bahaya. Cukup bahaya!

Terus sahaja saya menelefon Abang, menceritakan segalanya yang berlaku. Hampir jam 2.30 pagi, barulah mata saya terlelap. Itupun sisa-sisa asap masih ada. Mujur Nabila tidur bagai tidak sedarkan diri . :)

Tak sangka saya boleh secuai ini. Mungkin keletihan membuatkan saya terlena di katil. Andai benar rumah saya terbakar, rasanya saya pun tiada kesempatan untuk menulis entry ini pada pagi ini. Syukur Alhamdulillah...

29 May 2011

Si kecil sudah pandai mahu main di luar..!!

Selalu beginilah..Bila dah bosan..mesti merengek-rengek mahu keluar. Nak duduk kat luar ambil angin. Kan senang kalau adik boleh jalan. Boleh ibu bawak adik jalan-jalan kat depan rumah.. :) Takpelah..duduk kat buaian pun takpe kan..hehehe..

Dah bosan duduk luar, ibu ajak masuk..main puzzle..ok jugak!!

Hurm..Biasalah, Nabila belum boleh untuk guna tangannya sendiri mengangkat blok-blok tersebut. Perlukan bantuan ibu untuk lakukan semua itu. Huhu..Tapi takpelah..Ajar pelahan-lahan. Lama-lama mesti Nabila boleh. Saya nampak ada perubahan bila saya ajar puzzle ini padanya. Selain dari dia memandang warna-warna pada puzzle itu, skill memegang Nabila sudah nampak kemas. Jika dulu, puas saya membentuk tangannya untuk menggenggam. Kini, bila diletakkan pada tombol puzzle tersebut, dia cuba untuk menggenggam. Yeahh!!!!

~Aik..awatnya pandang ibu adik..? Dengar ibu sebut yek.. :)~

P/s: Air liur meleleh-leleh..hurm..susah juga nak ajar Nabila untuk control air liurnya.. :(

28 May 2011

Meraikan Hari Ulangtahun kami...

Khamis lepas merupakan hari ulangtahun perkahwinan saya dan Abang. Genap 4 tahun!! Serasa saya sudah pelbagai dugaan yang saya dan Abang lalui sepanjang kami bersama. Suka duka ketawa marah semuanya sudah menjadi adat resam berumahtangga. Yelah..kalau tak pernah bergaduh atau bermasam muka bukan suami isteri namanya kan?

Apa yang saya rancang bersama Abang dan Nabila ketika hari tersebut?

Pada awalnya memang buntu bab nak plan ni. Sebab sebelum ini pun memang tiada kesempatan untuk celebrate semua ni. Tapi memandangkan saya pun tak pernah nak buat hal-hal begini..(yolah mokcik ni bukannya sentimental punya orang..hehehe..) jadi saya ambil kesempatan ini untuk merancang sesuatu untuk hari istimewa kami. Biar pun ianya biasa bagi orang lain, tapi bagi saya, kalau tak pernah buat mesti rasa seronok dan teruja bukan..(ibu Nabila gayat..hehehe..)

Apapun layankan saja gambar ini yek.. :) Malas pulak nak cerita panjang..hehe.

~Teruja nak tengok fish~

~Tak ingat tengok apa time nih..Tapi saya perasan Nabila macam memandang ke arah dalam akuarium itu. Apakah itu tanda Nabila nampak sebenarnya?~

~Dan ketika waktu ini juga..! Nabila nampak khusyuk..~

~Marah bila ibu suruh berdiri..hehe~

~suka time ni..time ikan-ikan makan..~

~Banyak betul ikan-ikan..Macam-macam species..Cantikkk!!!!~

~pari yang tersangat la besar..siap ada nama lagi..Khudsia..hehehe...~

~Kepenatan..Mood dah ke laut..haha..Moncong bila suh balik..!!~


Sesudah itu kami hantar Nabila ke rumah mak dan masa untuk kami berdua pula 'dating'

~Makan di sini~

~Menu simple..(abis diet aku!!!)~

Selesai makan, kami ke One Utama. Buat sesuatu yang sudah lama kami tak buat..

Menonton wayang!!!!!

~Tak tau nak tengok cerita apa sebenarnya, last-last pilih cerita ni. Tapi best tau..ketawa sampai keluar air mata..hehe..~


....................


Doa saya, moga hubungan kami kekal hingga ke akhir hayat ini. Amin.. :)

26 May 2011

Yeah..kita dengar Nabila jerit ok!!

Entry semalam, saya tak dapat nak masukkan video Nabila menjerit ketawa mengekek dalam kereta kan. Jadi saya sempat untuk masukkan video itu hari ini.. Tapi visual memang gelap sebab kami dalam perjalanan pulang ke rumah. Cuma ada nampak sikit bayang-bayang Nabila. hehe.. :)

Tahan telinga ok!!

video 

25 May 2011

Menjerit!!!!!!!!!!!

Sejak kebelakangan ini saya perasan, Nabila memang suka menjerit. Saya nak attach video semalam, tapi tak dapat. Video yang saya ambil sewaktu saya dan Nabila dalam perjalanan pulang ke rumah kami.

Serius..Mau berdesing telinga dengar budak kecik ni menjerit. Suara kanak-kanak perempuan kalau menjerit memang nyaring! Dan jerit-jerit lepas tu ketawa mengekek. Saya pun geli hati tengok gelagat Nabila. Entah mana dia belajar menjerit, saya tak pasti. Tapi memang hobi Nabila sekarang bermain di buaian dan menjerit ketawa mengekek. Kadang-kadang saya pun dah naik hairan, kenapalah di menangis lepas mandi. Ingatkan nak tidur. Rupanya nak main dalam buai. Huhu...

22 May 2011

Bila kemudahan yang digunakan tidak bersesuaian..

*WARNING : maaf entry yang agak tidak menyelerakan*

Semalam, saya, Abang dan Nabila keluar membeli belah. Tak perlu lah untuk saya sebut mana shopping mall yang kami kunjungi. Dan sebenarnya perkara ini sering berlegar-legar dalam sanubari saya bila saya membayangkan Nabila besar kelak.

Saya tak pasti sama ada masalah ini turut di rasai oleh ibu-ibu yang punya anak sama seperti Nabila. Apa yang saya coretkan di sini adalah atas dasar rasa ketidakpuasan hati saya. Bukan ada unsur nak salahkan sesiapa ok!

Sewaktu kami berjalan, Nabila pada awalnya baik saja, dan sewaktu saya sibuk memilih seluar, Nabila membuang. Dan Abang mengisyaratkan saya supaya berhenti dari memilih dan terus ke baby room bagi menggantikan lampin dan seluarnya.

Sebenarnya sudah beberapa kali saya pergi ke shooping mall yang menunjukkan tempat baby room yang 'agak tidak selesa' bagi pengguna seperti Nabila. Saya tahu, Nabila memang sudah besar. 3 tahun ok! Tapi keadaan fizikal yang tidak boleh untuk duduk sendiri di mangkuk tandas, membuatkan saya memilih untuk membersihkan Nabila di baby room jika dibandingkan di dalam tandas OKU.

Bukan saya menidakkan ketidakupayaan Nabila sebagai OKU, tetapi bila melihatkan kemudahannya membuatkan saya rasa tidak sesuai untuk Nabila menggunakan tandas OKU. lebih-lebih lagi bila saya terpaksa membaringkan Nabila dan memakaikan lampin kepadanya.

Boleh bagitahu saya cara bagaimana untuk memakai lampin jika kita berada di tandas OKU?

SUSAH BUKAN? (lainlah kalau ada yang tak pernah masuk tandas OKU!)

Memanglah kemudahan tersebut sesuai untuk orang OKU tapi untuk anak kecil OKU? Ada ke yang sesuai?

Kebanyakan baby room pula, singki agak kecil. (paip tak panjang), hanya muat untuk cuci tangan. Saya tahu singki bukanlah tempat yang sesuai untuk mencuci dan sebagainya, tapi takkan nak lap-lap jer! Hish..itu bukan saya ok. Dan saya pasti Nabila juga tidak selesa!

Mungkin cara saya agak keterlaluan atau saya tidak tahu bagaimana cara untuk 'handle' masalah ini. Mungkin ada yang kata "Apalah ibu Nabila ni. Bukan susah pun..". atau " Benda kecik! Apa ada hal! "

Saya membayangkan andai Nabila saya ini boleh duduk dengan sempurna atau berjalan, sudah pasti saya tidak menaip entry ini. Tidaklah saya susah payah untuk merungut pada Abang semalam tentang sukarnya saya semalam untuk membersihkan Nabila. Dan yang paling saya tak suka, saya terpaksa menahan hati bila ada ibu-ibu memandang Nabila. Bukan pandangan jelek, tapi pandangan tertanya-tanya dengan keadaan Nabila. Saya tak suka!

Kadangkala saya rasa tak adil untuk Nabila. Adakah saya terlalu 'menjaganya'? Sehingga tidak memberikan Nabila peluang untuk merasai sama seperti insan lain? Saya tahu Nabila juga bukan mahu merasai keadaannya menyusahkan orang lain, lebih-lebih pada ibu sendiri.

Takkan lah kerana itu saya mahu Nabila berada di rumah sahaja? Tidak keluar dan bercampur dengan orang lain?

Itu bukan saya!

Saya tahu, Nabila akan membesar lagi. Dan mungkin satu hari perkembangan dia lebih baik berbanding kini. Amin! Jika benar hal demikian, bagaimana pula dengan anak-anak lain? Yang mungkin senasib dengan Nabila. Ya! mungkin Nabila akan datang tak perlukan singki untuk mencuci sebagainya, namun, untuk anak lain? Bagaimana?

Ini luahan hati seorang ibu. Bukan mahu mengada-ngada, namun saya tahu ia perlu untuk anak-anak seperti Nabila.

~GAMBAR LAMA: Nabila yang memang suka shopping! Sikit pun tak berdecit suara bila ibu dan ayah sibuk pilihkan baju untuknya. Aduhai anak! Tapi kalau bab-bab ini ibu memang tak suka. Sori yek sayang!~

19 May 2011

Nabila yang saya kenal..

Selama saya menjadi ibu kepada Yasmin Nabilah, sedikit sebanyak saya mempelajari perihal si kecil ini. Walaupun dirinya tidak seperti insan lain, namun saya tahu nalurinya agak sama seperti anak-anak normal yang lain.

1. Marah bila kehendaknya tidak dituruti - Benar! Nabila sudah t ahu untuk memarahi orang bila apa kemahuannya tidak dapat dituruti. Siap mengenggam tangan dan meneran suara bila marah. Saya tidak pasti dari mana dia belajar cara untuk meluahkan ekspresi tersebut, namun saya rasa syukur. Sekurang-kurangnya Nabila tahu untuk marah (walaupun caranya agak merisaukan saya!)
2. Ketawa bila saat bermain - Jika dulu, saya masih ingat, Nabila sedikit pun tidak menunjukkan respon terhadap sekeliling. Buatlah apa pun, matanya hanya meliar memandang sekeliling tanpa sebarang perasaan. Sedih bila mengenangkan saat itu. Namun kini, Alhamdulillah. Nabila tahu saat bila dirinya gembira dan ketawa bila bermain.. :)


3. Menyampuk bila orang bercerita tentangnya - Ya, mulutnya sibuk juga menyampuk bila saya dan mak sibuk berbual perihal dirinya. Lebih-lebih lagi jika berbual dihadapannya. Atau bercerita tentang sekolah. Mulalah mulutnya bising.."Hua aa..waaa...uuuu". Semua disebutnya. Mukanya berkerut-kerut. Macam mengomel..hehe. Tapi serius..nampak Nabila comel!

4. Akan turuti apa yang kita mahu darinya andai kita memujinya - Haaa.. ni satu cara untuk tackel Nabila. Saya perasan Nabila suka bila dirinya dipuji. Contoh paling dekat sewaktu di PDK tadi. Saya mengajarnya cara untuk bangun dan duduk. Dan setiap kali di berjaya melakukannya, saya akan memuji.. " Yeah..Nabila pandai..Bijak lah dia.. " Dan reaksi Nabila? Senyum sampai ke telinga. hehe..

5. Tidak suka dirinya dipegang selalu - Sesetengah budak memang suka dipegang. Tapi tidak pada Nabila. Dia lebih suka bebas baring dan berpusing ikut suka hatinya. Dia akan cuba meronta untuk melepaskan diri jika saya memegangnya terlalu lama. Dan saya tahu jika dipegang selalu sebenarnya tidak bagus kerana dia tidak akan belajar bagaimana untuk meneroka keadaan sekelilingnya. Saya agak kesal kerana memperkenalkan rocker chair kepadanya. :( Andai saya tahu, adalah lebih baik, saya biarkan saja Nabila di lantai dan membiarkan dirinya belajar untuk berpusing dan sebagainya..


6. Tidak suka dipaksa - Nabila paling tak suka jika dirinya di paksa. Lebih-lebih lagi dengan sesi terapi yang dijalaninya. Saya tahu, Nabila boleh lakukannya kerana saya sering lakukannya di rumah. Dan saya nampak Nabila pasti beri kerjasama andai saya melakukannya tanpa sebarang paksaan. Siap pakej dengan senyuman lagi.. :) Namun, bila dirinya dipaksa sudah pasti air mata mengalir dan jeritannya? Masya-Allah..hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu.. :(


7. Mempunyai mood untuk makan - Kadangkala saya sendiri harus membaca rentak pemakanan Nabila. Satu masa, Nabila akan lebih suka makan dari minum susu, dan ada satu masa lagi dia hanya suka susu lebih dari makan. Puaslah beri makanan yang sedap, andai dia tidak mahu, usah haraplah Nabila akan buka mulutnya. Dan sudahnya? Makanan akan dibuang begitu saja. Sayang bukan? (sebab tulah badan tak besar-besar..kecik je mac am baby..huhu)

8. Tahu bila bersama rakan-rakan senasib dengannya - Bila berjumpa kawan-kawan Superkids, Nabila nampak lebih behave dari biasa. Cuma kadangkala ada beberapa perkara yang buat dia tak selesa dan mengamuk. Namun, bila dibaringkan semua kawan-kawan Superkids disebelahnya, pasti dia akan diam. Sepertinya Nabila tahu dia b ukan keseorangan di dunia ini. Sama juga di sekolah, ada abang-abang dan kakak-kakak yang boleh bergerak melayan kerenahnya.


9. Tidak suka ditinggalkan sendirian - Jika di rumah mak, Nabila akan menjerit atau mengeluarkan bunyi bila dia tahu tiada orang sekelilingnya. Walaupun Nabila punya masalah untuk fokus (saya sendiri tidak pasti tahap mata Nabila) namun saya tahu Nabila mempunyai deria rasa yang sangat kuat. Dan pendengaran yang sangat taja m.Nabila akan cuba menarik perhatian saya atau mak untuk duduk disebelahnya. Bijak bukan?

10. Sangat takut pada bunyi yang kuat - Benar! Nabila pernah diserang sawan kecil dek kerana ayah Nabila terhempas tong gas di hadapan rumah. Sudahnya ayah Nabila kena bebel dengan saya. Nabila memang cepat terkejut kalau terdengar bunyi yang kuat. Kata mak, perangai yang satu ini sama sebijik macam saya sewaktu saya kecil dulu. Ya, saya takut dengan petir..hehe.. Kalau saya jadi Nabila pun pasti saya akan terkejut. Dengan masalah mata, manakan boleh untuk saya tahu dari mana arah bunyi itu datang. Tau-tau je berdentum kuat. Pastinya terkejut bukan?
:)


Sebenarnya saya merasakan begitu lama saya bersama Nabila. Menjaga dirinya seperti anak kecil. Andai ditakdirkan Nabila sihat seperti anak normal yang lain, saya mungkin tidak mengingati setiap kerenahnya ini. Biarpun nampak sukar pada mata kasarnya, saya tahu ia sedikit sebanyak mengajar saya satu perkara. Iaitu SABAR. Kerana SABAR itulah yang menjadikan diri saya seperti sekarang ini. Lebih kuat dan terus kuat lagi demi Nabila tersayang..

18 May 2011

Tinggal dengan linangan air mata..

Pagi tadi..
Nabila terlena di dalam kereta..
Ketika dalam perjalanan ke sekolah..
Senyap..
Sunyi..
Hanya dengar bunyi radio..
Kasihan Nabila..
Pagi-pagi sudah meredah jalan sesak..
Tidur pun tak lena..
Kepala asyik tersengguk-sengguk..
Sebab kereta asyik berhenti..
Sampai sekolah..
Ibu angkat Nabila..
Bila diletakkan ke atas tilam..
Nabila menangis..
Terjaga dari lena..
Ibu tengok jam..
Ibu dah lambat...
Nabila menangis lagi..
Ibu cuba pujuk..
Aduhai sayang, mimpi burukkah?
Ibu cuba pujuk lagi..
Nabila mencebik..
Wajahnya sedih..
Air mata meleleh di hujung pipi..
Ibu kesat..
Ibu kucup dahi Nabila..
Dan ibu berlalu pergi..
Dalam hati ibu sedih..
Ibu pandang sekilas di hujung pintu..
Ibu nampak Nabila menangis..
Hati ibu sayu..
Kerna terpaksa membiarkan Nabila..
Kalau ikut hati, mahu terus memeluk Nabila..
Apakan daya ibu..
Dalam kereta..
Ibu hanya mampu berdoa..
Agar Nabila berhenti menangis..
Sabarlah sayang..
Ibu pergi tak lama..
Petang nanti pasti kita jumpa...

15 May 2011

Menangis sampai tinggal tulang!!

Nabila menangis sampai tinggal tulang...

....

Huh? Tak percaya?

....

Ok.

...

Taraaaa....


~hehe..Nak keluar pergi jalan-jalan dengan ibu, tapi marah kat ibu bila ibu nak sepit rambut dia. Almaklum sajalah, rambut dah panjang. Mengamuk sakan bila ibu pegang kepala dia.. Pantang tau!!~

14 May 2011

Ala-ala serabut gitu...!!

Bukan serabut apa pun..

Cuma....

~Rambutnya yang sudah terlalu panjang. Nak potong sayang.. !!~

Huhu..Memang sayang rambut anak dara ni. Asyik dengan fesyen rambut pendek, teringin pula nak biarkan rambutnya panjang. Tapi kesian, setiap kali nak sikat, sure kena hati-hati..Sebab Nabila ni rambutnya ikal..Macam ayah dia!! Tapi kalau bela panjang sure cantikkan. Ala-ala ikal gitu.. :)

~sabar ek ibu..rambut Nabila nanti sure boleh ikat punya..muah untuk bebear ummi..~

:)


p/s: makan bubur ayam + sayur bayam. Sedap tapi makan sikit jer. Agaknya tak 'buang' lagi. Tu pasal tak lalu nak makan..huhu..

13 May 2011

Rasa bersalah..

Entah kenapa pagi tadi saya rasa bersalah.. :(

Saya menerima panggilan dari seorang rakan. Dan dia memang sangat berpengalaman tentang anak istimewa. Dan alhamdulillah, anaknya kini sudah mampu untuk berdikari.

Dia bertanya pada saya perkembangan Nabila. Adakah Nabila semakin baik atau sebaliknya?

Saya cuba mencari-cari apa yang pernah saya katakan padanya mengenai perkembangan Nabila. Seingat saya, Nabila belum menunjukkan perkembangan terkini, cuma Nabila kini agak riuh suaranya. Lebih-lebih lagi tatkala dia bermain sendirian. Akan mengeluarkan bunyi dan ketawa berdekah-dekah..

Saya mengatakan kesibukan saya kebelakangan ini untuk bermain bersama Nabila. Ya, saya akui masa bersama Nabila tidak cukup. Ke atau saya yang tak pandai bahagi masa?

Sabtu Ahad juga begitu. Kami jarang sekali berada di rumah. Ada saja aktiviti yang dilakukan. Kadangkala saya pula yang rasa seperti tak bernafas dek kerana tiada rehat di waktu cuti hujung minggu.

Timbul rasa bersalah kerana sudah jarang aktiviti stimulasi tidak dilakukan pada Nabila. Terasa seperti Nabila ketinggalan jauh. Tiada input diberikan kepadanya.

Nampaknya saya harus ubah semula jadual harian saya. Dan saya kena force sedikit diri untuk lakukan perkara-perkara yang membabitkan Nabila. Orang kata memaksa diri memang tak baik, tapi bila jadi situasi seperti saya, adakah saya harus membiarkan ianya berlarutan? Saya boleh nampak kesannya pada Nabila andai saya tidak memberikan sebarang input padanya. Dan lebih-lebih lagi saya baru tahu, bahawa serangan sawan kecil yang terjadi pada Nabila lebih memberikan kesan buruk berbanding serangan sawan yang agak besar skalanya. Saya masih ingat bulan lepas, beberapa kejadian serangan sawan yang terjadi pada Nabila dan ia membuatkan saya lebih takut lagi bila memikirkan perkembangan Nabila. Sudahlah rancangan untuk ke Kak Raw asyik tertunda saja. Sudah lama benar Nabila tidak ke Kak Raw..huhu.

Saya cuba untuk membuat jadual stimulasi Nabila seperti dulu. Dan sedang merangka-rangka aktiviti yang harus dilakukan. Hurm..harapnya boleh dimulakan secepat mungkin..

12 May 2011

Persepsi..

Semalam, saya melihat Bersamamu. Pada awalnya saya mahu pulang awal, tapi terlekat di hadapan TV rumah mak. Dan tiba-tiba saya teringat kata salah seorang kakak di PDK Kamii minggu lepas. Katanya anaknya masuk TV rancangan Bersamamu minggu ini. Terus saja saya menonton rancangan tersebut. Dan saya nampak wajah Hazim, kawan sekolah Nabila di PDK.

Air mata ini bergenang melihat anak-anak di dalam rancangan tersebut. Dan pabila saya melihat semangat ibu-ibu itu, saya nampak diri saya. Saya juga seperti mereka. Mahu kehidupan Nabila lebih baik dari hari ke hari.

Mata anak-anak itu penuh dengan harapan. Harapan agar masyarakat menerima keadaan mereka. Tanpa rasa hinaan dan cacian.

Bagi saya, bukan semua ibu bapa mahu menyorokkan anak mereka. Tapi disebabkan keadaan sekeliling, memandang anak mereka serupa makhluk asing membuatkan si ibu dan bapa terasa hati. Saya juga sering mengalami situasi begitu tatkala membawa Nabila keluar. Namun, ada juga yang menyapa..

"Cantiknya dia..umur berapa..?" .

"3 tahun. Dia special kak.."

Selalu itu yang sering saya katakan pada orang yang saya tak kenali. Kerana saya tahu bukan semua tahu keadaan Nabila. Saya tidak mahu orang lain berfikir bukan-bukan tentang Nabila. Saya tak malu untuk mengatakan Nabila special. Kerana saya tahu Nabila adalah anugerah yang tak ternilai buat saya dan Abang. Mengapa harus saya sorok kondisi Nabila pada orang lain?

Dan reaksi mereka yang mengetahui keadaan Nabila?

"owh yeke..tak nampak macam special la dik.."

"Alahai kesiannya, Sayang..muka dia cantik sangat.."

"Owh yeke..kuatkan semangat ye dik..Ahli syurga ni.."

Selalunya saya akan balas dengan senyuman dan anggukan. Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Cuma ada juga yang terus bertanya bagaimana ianya boleh terjadi pada Nabila. Pada yang nampak bersungguh bertanya, saya ceritalah..Pada yang tak bersungguh? Saya cerita jugak! Biar orang di luar tahu disebalik wajah anak CP ini.

Biarlah apa orang nak kata dik, ibu tetap akan bersama adik. Biarlah sejuta orang memandang adik, ibu tak kisah. Yang ibu tahu, ibu mahu membahagiakan anak ibu. Ibu mahu yang terbaik buat anak ibu. Biarlah sesusah mana pun kita, asal kita tidak menyusahkan orang lain.

Moga Nabila terus melangkah lagi. Moga Allah terus beri kekuatan buat kami untuk menempuhi segalanya..Amin..

11 May 2011

10 kg sudah!!!

Seronok + hati berbunga-bunga kerana usaha hampir 2 bulan telah pun membuahkan hasil :)
Cik Abang pun seronok juga.. :)

Dah boleh pakai baju-baju lama balik.. :)

Hurm..hampir 2 bulan saya ke gym. Hampir setiap hari saya workout untuk kembali kepada tubuh yang lebih kecil. Serius! Bukan mudah tau. Penat ditambah dengan target yang perlu dicapai membuatkan saya berusaha untuk kurus.

Minggu lepas, saya mencuba baju kurung yang sudah lama saya tinggalkan. Memang lama. Sudah 2 tahun! Saya menjeling pada baju itu. Adik saya pernah pakai baju tersebut setelah dia kurus. Ya..dia muat! Walhal dulu dia lebih besar dari saya. Wah..tak boleh jadi ni. Saya nak cuba jugak!!

Sekali pakai..muat you!! heheheh..seronoknyer...!! Happy sangat. Terus cakap kat Abang yang saya dah boleh pakai baju lama.. :)

Ahad lepas, saya mencuba jeans yang saya beli tahun lepas. Kali terakhir saya pakai tak silap beberapa bulan lepas. Saya frust tak dapat pakai jeans itu lagi kerana tak muat bahagian peha dan pinggang. Dan ketika ke majlis FAMEkids, saya cuba lagi seluar itu. Kali ini..Dengan mudahnya saya dapat menyarung kembali seluar tersebut. Malah pada bahagian peha lebih longgar berbanding semasa saya membeli seluar ini..hehehe.. :)

Semalam, sampai saja di rumah, saya bermain-main sebentar dengan Nabila. Lama tak buat aktiviti, jadi saya gagahkan jugak bermain dengan Nabila biarpun saya sudah kepenatan semalam. Saya teringat nota dari Kevin Zahri, bermain dengan anak juga boleh membakar kalori tau.. :) Dan sesudah itu, saya berehat sambil menonton TV. Abang ternampak seluar jeans lama yang saya pakai sudah longgar banyak.

" Tu kenapa seluar tu? Longgar semacam jer.." tanya Abang

" Aik..perli apa? macam tak tahu plak..bini abang ni perlukan seluar baru. Tak suka ke?"

"Eh..maunye tak suka..mestilah suka...". Abg siap senyum meleret lagi.. :) Pastu siap pegang-pegang lutut saya. Amboi mentang-mentang dulu dia kata saya tak de lutut. Huhu..

Ada juga kawan-kawan kat pejabat tegur.. "Eh ina..Nampak dah kurus sket. Makan ubat ke? "

Adoii..saya sikit pun tak makan ubat. Cuma workout dan jaga makan. Itu saja. Kalau dulu makanan yang saya ambil tinggi macam gunung, tapi kali ni, saya ambil sedikit saja. Dan saya sibuk dok kira-kira kalori yang ada dalam makanan. Sibuk search internet tentang kalori makanan dan diet yang sesuai.

Pernah dulu saya diet makan. Tak buat senam. Huh! mana lah nak dapat burn fat semua bagai. Kemudian, saya bertambah gemuk lagi. Sebab tak tahan dengan makanan yang sedap-sedap terhidang di depan mata.

Adik saya selalu berpesan, kata dia.. " Alah yong, semua makanan ni kita pernah rasa kan. So takde ruginya kalau kita tak makan sekarang ni".

Itulah yang selalu saya sematkan dalam hati ini. Kadang-kadang tak tahan, saya rasa sikit. Ala secubit dua je. Agar hilang rasa kempunan. Tak boleh nak paksa-paksa sangat. nanti stress. Nanti sakit lain pulak yang datang..huhu..

Harapnya dapat turun lagi sebelum saya mengandung anak kedua. Ya, saya tau..dah kurus-kurus pastu nak mengandung pulak. Tak berbaloi. Tapi berbalik semula niat saya untuk ke gym. Semuanya untuk bakal anak saya dan juga kesihatan saya. Terlalu gemuk memang tak baik untuk kesihatan ibu mengandung. Lebih-lebih lagi saya ada sejarah diebetis sewaktu mengandungkan Nabila. Lagipun semua ini untuk kebaikan juga kan.. :)

Abang pun saya dah bising suruh gi gym. Katanya ada gym kat Perodua. Dan malam ni dia nak start main futsal semula. Hehe..Bagus bukan..?

p/s: Baju kurung saya semua dah longgar. Dah macam pakai baju orang lain pulak. Huhu..Abang beli nak shopping baju baru ni...?

09 May 2011

Hanya mak...!!

Belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Ibu,Mama,Mummy,Ummi untuk semua. :) Dan terutama pada semua supermom yang saya kenali. Anda memang ibu yang terhebat di mata saya!

Pengalaman saya sebagai anak kepada Puan Sa'adiah memang tiada nilainya. Saya tahu mak saya memang agak garang semasa saya kecil-kecil. Kerana anak-anak yang agak lasak ketika itu dan saya sebagai anak sulung sememangnya tugas saya membantu mak menguruskan hal rumah dan adik-adik saya.

Pernah mak menjerit dari tingkat 4 (dari rumah) ke bawah semata-mata memanggil saya yang ketika itu bermain di bawah bersama kawan-kawan. Pada ketika itu, saya geram. Kenapa saya yang perlu lakukan semua ini. Sayalah yang kemas rumah, sayalah yang menjaga adik, sayalah yang menukar lampin adik (time tu takde pampers..huhu), sayalah yang melipat kain, sayalah yang sidai kain. Segalanya-galanya SAYA!! Saya pernah merasakan tidak adil..malah kata mak, dia teringat sewaktu saya kecil, saya selekeh dan sering dimarahi oleh mak.

Tapi faham-faham sajalah mak dulu-dulu kan.. Semuanya garang-garang..hehe..Cuba tengok sekarang. Semua mak baik je..mana ada jerit-jerit marah kat anak dah..hehe..

Saya ingat lagi, bila saya belajar di Shah Alam, ketika itu mak masih lagi bekerja. Membantu ayah mencari rezeki. Mak ketika itu bekerja di Gleneagles Intan Medical Center di Ampang. Mak kurus. Badan mak susut. Mak saya memang gemuk sebelum itu. Dan bila saya lihat dia kurus, saya takut. Dan rupanya mak sakit. Buah pinggang mak mengecut. Dan mak dikehendaki menjalani Hemodialysis setiap 3 kali seminggu. Saya kesian tengok mak. Bila tangan mak penuh dengan kesan cucuk. Tangan, leher, perut semua pernah kena tebuk. Saya tahu ia sakit.

Untuk tidak mahu mak merasai susah menaiki bas ketika ke pusat dylisis, saya belajar bawa kereta. Saya ambil lesen memandu. Dan saya menjadi driver mak ketika itu. Membawa mak ke pusat dylisis yang berhadapan dengan HKL.

Bila kahwin dan dapat Nabila, mak lah yang susah payah menjaga saya dan Nabila. Lebih-lebih lagi dengan keadaan Nabila yang begitu. Mak pernah menangis kerana saya membawa 'lari' cucunya kerana niat di hati saya tidak mahu menyusahkan mak lagi. Saya tak nak mak rasa penat menjaga Nabila. Namun, nasib tak menyebelahi saya. Saya terpaksa memberikan Nabila pada mak untuk dijagainya semula kerana pusat jagaan Nabila yang tidak begitu memuaskan hati.

Saya sering terfikir, andai mak tiada nanti, bagaimanakah kehidupan saya dan adik-adik selepas ini? Pasti hidup kami suram tanpa mendengar bebelan mak. Tiada lagi suara mak menyanyi untuk Nabila. Tiada lagi tunjuk ajar dari mak untuk saya teruskan hidup bersama Nabila.

Bila pagi tadi saya mendengar radio seorang wanita menangis kerana maknya dimasukkan ke hospital kerana sakit, saya sebak. Saya sendiri merasai perasaan wanita tersebut.

Andai mak membaca catatan ayong, Ayong nak mak tahu, Ayong sangat-sangat berterima kasih pada mak kerana melahirkan dan menjaga Ayong selama ini. Mak banyak bantu Ayong dalam menjaga Nabila. Ayong mahu mak sentiasa berada bersama kami. Ayong nak mak hidup lama lagi dengan Ayong. Masih banyak yang Ayong belum dipelajari dari mak. Terima kasih mak atas segala-galanya. Maafkan Ayong atas apa yang Ayong lakukan sama ada dalam keadaan sedar atau tidak sedar. Ayong sayangkan mak. Moga mak sentiasa diberikan kekuatan menempuh dugaan ini. Amin..

Selamat Hari Ibu juga pada ibu mertuaku, Puan Atun. Mak, terima kasih atas tunjuk ajar mak. Terima kasih atas doa-doa mak dan sokongan mak pada Abg, Ina dan Nabila. Moga mak sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa bahagia disamping ayah dan anak-anak tersayang. Amin..

Nabila & FAMEKids

Siang tadi memang acara yang saya nantikan dari hari Selasa lepas. Jemputan ke majlis Pelancaran FAMEKids yang telah di adakan oleh Puan Watie dan Mommy Lyna.

Agak meriah..dan seronok bila dapat berjumpa rakan-rakan senasib. Dan tak sangka rupanya Kak Watie sama sekolah dengan aku dan merupakan senior sekolah di Convent dulu.. :) Dan pulak dapat jumpa semula dengan kakak-kakak senior sekolah.. :) hehe.. :) Memang wajah Kak Watie tetap sama seperti waktu sekolah dulu.. :) (sebab tu saya ingat!!)

Apapun layan saja gambar ini yek.. Dan saya tahu ramai family yang senasib dengan kami memerlukan group support seperti ini. Memang bagus tau..Banyak info yang saya dapat tadi.. :)

Jom lah ramai-ramai join group support ni. Melalui facebook ini ye.. :)


Last.. dapat jugak jumpa Ida & Along.. :) Takpe..next time kita date lagi yek Ida.. :)

06 May 2011

Ragam si kecil! Kadang-kadang tak faham!!!

Semalam Nabila buat hal lagi. Tidur seawal jam 9.00 malam dan tersedar jam 11.00 malam. Saya bermain sebentar dengannya. Sudah lama juga tiada aktiviti malam kerana setiap kali saya pulang, Nabila pasti sudah tidur.

Dan jam 12.00 tengah malam, mata saya sudah mengantuk. Namun si kecil ini sukar sekali untuk melelapkan matanya. Saya tak sedar bila masa saya terlelap. Dan sedar-sedar saja Nabila menangis di buaiannya.

Puas saya pujuk. Malah saya dimarahinya lagi adalah. Nabila buat tanda protes. Bukan main lagi marahkan ibu. Sudah pandai ye nak!!

Saya bancuh susu. Tak mahu..
Saya bagi air milo. Tak mahu...
Saya bagi makan. Tak mahu..

Last-last saya check perut Nabila. Agaknya dia sakit perut. Sebab kata mak, Nabila asyik 'membuang' sepanjang hari. Agaknya kesan dari ubat Skilax yang di makan semalam. Tu yang asyik membuang je tuh.

Saya cuba pujuk. Marah benar Nabila. Kesabaran saya di tahap puncak. Sudahnya, suara saya tinggi memarahi Nabila. Bukan tak kesian padanya, cuma kadangkala sikapnya agak melampau. Dipujuk baik-baik tak mahu diam. Anak ini sudah pandai bermain emosi. Sudah pandai memanipulasi si ibu. Huhu...

Kadangkala saya tak faham dengan Nabila. Entah apa yang dimarahkan saya tak tahu. Puas turun naik buai, saya dukung, saya meniarapkan dia, usap-usap belakang..semua tak jalan. Kalaulah Nabila boleh berkata-kata, alangkah baiknya. Mungkin ini yang akan dikatakan oleh Nabila.. "Bu, adik sakit perut..Bu, adik nak makan..Bu, adik nak susu.."

Aduhai..

Jam 2.30 pagi, Nabila masih lagi belum melelapkan matanya. Mata saya memang dah tak larat nak buka dah. Sudahnya saya berbaring di katil dan membiarkan Nabila di buaian. Dan ketika itu dia sudah senyap.

Tiba-tiba....

"aaaaa...kekekekeke....aaaaa...kekekeke..."

Adoi..Nabila ketawa pula. Main dengan sapa tu? Saya tegur..

" Adik..tido yek..Tak mo ketawa-ketawa. Esok nak sekolah kan..."

Dan lastnya saya terlelap. Tak pasti si kecil ini tidur pukul berapa.

Jam 3 pagi saya tersedar. Terus saya mengangkat Nabila tidur di sebelah saya.

.............................................................................

Bangun je jam sudah menunjukkan pukul 6.45 pagi. Alamak, dah lambat! Sudahnya Nabila tak ke sekolah hari ini. Saya terus bersiap ke pejabat. huhu..

p/s: seronok pagi ni, saya dah boleh pakai baju lama balik. Baju yang dah lama saya tak pakai. Baju 2 tahun lepas. Akhirnya... :) Hurm..baru sikit.. Kena usaha lagi. yeah..go Noina..!! Go!!!

04 May 2011

Ibu Nabila berlanggar dengan motorcar!!

Huhu..semalam, cuaca agak sejuk. Baru lepas hujan. Saya baru lepas pulang dari Wangsa Walk. Hanya seorang diri. Dan hala tujuan saya adalah pulang ke rumah mak.

Saya melewati jalan di hadapan masjid besar di Seksyen 2 Wangsa Maju. Traffic light sedang merah. Dan faham sajalah di situ. Kawasan menuruni bukit. Sedang menunggu lampu hijau menyala, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman. Dan kereta saya bergerak sedikit ke hadapan.

Argghhh sudah!!! Sapa pulak yang langgar nih!!

Saya lihat dari cermin belakang. Nampak kereta belakang sangat rapat dan cuba mengundur ke belakang semula. Adoiiii!! Habis kereta aku!!!

Pada awalnya saya cuak gak. Agak lama untuk saya ambil keputusan untuk keluar dari kereta.

Yelah, sekarang ni macam-macam hal. Nak samun la, nak rompak la. Huh, macam-macam taktik. Saya lihat dari cermin sisi. Mana orang kereta belakang ni? Tak keluar pulak!

Saya terus mencapai telefon. Terus menelefon Abang. Kalau jadi apa-apa at least Abang ada dengar suara saya. Dengan bacaan bismillah, saya keluar dari kereta. Dan kemudian, barulah nampak pemandu yang melanggar kereta saya.

Proton Waja. No. Plate WJ..... Dan pemandunya lelaki cina. Muda lagi. Nampak macam budak pun ada. Terus saja dia minta maaf pada saya. Nampak muka dia panik.

"Sori la kak..Tak sengaja..Saya cepat-cepat tarik handbrake tadi".

"Aiiyaa..abis kereta saya" . Saya check reverse sensor saya sebelah kiri pecah. Dan sedikit calar.
Saya mintak RM 100. Dia kata tak boleh. Kalau nak RM 100 gak terus gi balai. Saya kata ok. Apahal pula saya nak takut. Bukan saya yang langgar dia!

Lastnya kawan dia pujuk. Tak payah gi balai. Dia nak bagi RM 10. Saya cakap..

" Hello kawan..ini kereta baru. I baru pakai 3 bulan. U sedap-sedap dah langgar kereta I. Ingat langgar plastik ke? "

Kereta dah banyak kat belakang. Tengok drama kami. Last-last saya malas nak bertekak. Ambil RM 20 kat tangan dia, dan pergi. Menyesal pulak tak mintak RM 50. Tapi tengok muka masing-masing dah pucat. Kesian la pulak. Agaknya tu je yang ada kat tangan. Entahlah.. Dah nasib. Terima ajelah. Yang kenanya kereta saya lah. Tak pasal-pasal kena ganti reverse sensor. Tak nampak teruk, tapi tak syok la kereta baru pakai dah kena langgar. Adoiiii!!

Tadi, saya dok perhati kereta belakang saya. Tak suka orang berhenti rapat-rapat. Huhu.. Sangat risau dan berhati-hati. Jangan saya pulak yang sondol kereta orang!

p/s : rasa nak tampal je kat cermin belakang.. "Jangan Rapat Dengan Kereta Aku!! Ko langgar Ko Bayar!"..huhu...

02 May 2011

Majlis Hari Lahir Nabila

Sabtu lepas, majlis kecil-kecilan sempena hari lahir puteri kami yang ke 3 tahun. Walaupun pada awalnya cuaca agak tidak mengizinkan, mujur hujan tidaklah selebat selalu. Hanya renyai-renyai saja dan ramai tetamu datang ke rumah. Lebih-lebih tetamu cilik di sekitar kawasan rumah kami.

Selalu nampak anak-anak itu bermain di hadapan rumah, dan kehadiran mereka memang memeriahkan suasana. Sungguh saya seronok melihat anak-anak ini menyanyikan lagu "Happy Birthday" untuk Nabila. Dan paling saya terharu, mereka datang pada waktu malam pula dan memberikan hadiah untuk Nabila :)

Gambar yang saya letak di dalam entry ini hanyalah gambar dari kamera kami sendiri atas hasil usaha adik ipar saya , Ejah. Ada photographer profesional untuk majlis ini, namun gambar masih belum ada di tangan kami. Jadi, tunggu sahaja gambar di FB yek.. :)

~ibu dan Nabila posing sebelum majlis~

~Birthday cake si Princess~

~Nampaknya ibu dengan ayah juga la yang kena tiup lilin..~

~Nabila terkebil-kebil bila kena potong kek. Last-last tangan dia terkena krim cupcakes..hehe~

~Bila suap kek menangis pulak..Adoiyaii...~

~cheese cake hadiah dari Mak Lang~

~Nabila selepas majlis birthday party. Tersenyum tersengih di pagi Ahad..~

01 May 2011

Maaf

Saya mohon maaf andai ada yang cuba untuk menjengah Nabila 2 hari ini. Saya terpaksa private kan blog seketika kerana masalah teknikal di dalam blog ini. Entah kenapa blog sudah menjadi carca merba..dan saya hampir untuk convert kan blog saya kepada wordpress. Sudah membuka akaun, tapi tak sempat untuk pindahkan semuanya kepada wordpress..!

Aduhai..maaf sekali lagi ya..Bukan niat dihati mahu tutup blog ini. Apatah lagi saya sangat rindukan blog ini. Kerana di sini jua lah saya meluahkan segala apa yang saya alami bersama Nabila. Cumanya rasa menyampah setiap kali saya cuba untuk menukar kembali semua kepada asal, ianya menjadi lebih teruk lagi. Saya menukar alamat email saya dan semua bloglist saya hilang! Huhu.. Tak tau camner nak detect balik semua bloglist saya..huwaaa!!

Hurm..ini sajalah yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan blog ini. Tiada fancy-fancy gadget dah! Hurm..simple jer..(tapi sangat tak puas hati..!!)

Untuk gambar Majlis Hari lahir Nabila semalam, saya akan update pada next entry..Semalam sangat-sangat sibuk, malah sangat gembira kerana ramai anak-anak datang pada majlis ini.Pada yang tidak dapat hadir, tak mengapa..Memadai doa kalian buat Nabila. Terima kasih diucapkan.. :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...