31 March 2011

Firasat ibu..

Sedari pagi tadi hati saya tak keruan.Apatah lagi melihatkan keadaan Nabila semalam. Kata mak,sejak pulang dari sekolah semalam Nabila terus menerus merengek.Mahu tidur! Awal.Memang awal. Tidur di jam 6 petang.

Dan Nabila tersedar pada jam 11 malam. Nabila merengek,suaranya mendesah seolah-olah tidak selesa. Saya membetulkan kedudukan kepalanya dan menyentuh dahinya. Panas. Kebetulan pula Abg menelefon saya namun saya terpaksa meletakkan panggilan tersebut kerana mahu memberikan Nabila ubat.

Mujur juga masih ada simpanan ubat demam.Dan sesudah itu sepanjang malam Nabila di dalam buaiannya.Tak sampai hati pula saya untuk mengejutkannya...

Dan pagi,sewaktu dalam perjalanan ke sekolah, saya perasan Nabila tampak tidak selesa. Beberapa kali Nabila bersin dan batuk di dalam kereta. Perasaan khuatir timbul dalam hati ini. Perlukah saya menghantarnya ke sekolah? Serasa tidak sempat untuk berpatah balik saya teruskan perjalanan ke sekolah. Bisik hati mungkin Nabila hanya batuk-batuk biasa.

Sepanjang pagi saya sibuk dengan meeting. Pada awalnya hati entah ke mana. Tidak fokus langsung pada meeting yang sedang berlangsung.Dalam fikiran saya hanyalah Nabila! Dan tidak lama sesudah itu saya kembali bertenang. Fokus terhadap kerja. Saya cuba untuk pujuk diri sendiri untuk bertenang.

Dan petang jam 2, saya menerima panggilan dari Tasputra.Katanya badan Nabila panas. Huh..sudah saya jangkakan.Benar kata hati saya. Nabila tidak sihat.Kata mereka,mereka cuba untuk memberi ubat, namun tidak tahu mana satu ubatnya.Sudahnya saya meminta keizinan pada bos untuk pulang awal.Kerna mahu membawa Nabila ke klinik. Ubat yang lepas pun sudah habis.

Saya ke Klinik Kita Wangsa Maju. Saya ke sana kerana nama Nabila memang sudah tersedia register di situ. Cumanya saya terpaksa membayar tunai. Tidak dapat menggunakan panel.Mujur juga baru gaji. Kalau tengah bulan macamana?

Suhu badan Nabila tadi mencecah 38.9 . Panas sangat. Saya sendiri rasakan badannya hangat. Pulang saja tadi saya terus menjirus badannya dengan air dan memberinya ubat. Nampak mulutnya merah sangat.Kesian anak ibu!!

Harapnya demannya akan kebah. Saya cukup risau kalau dia demam. Lagi-lagi tentang sawannya. Ya Allah..sembuhkanlah Nabila..Amin...

30 March 2011

Bila Nabila emosi...Bila Nabila ketawa..

Kadang-kadang saya perhatikan tingkah laku anak dara saya ini. Kadangkala saya faham apa kehendaknya, kadangkala langsung tak faham!! Padahal anak sendiri tu. Macamana boleh tak faham dengan 'pe'el' si Nabila ni?

Bayangkan, kalau tidak dapat satu benda atau kehendaknya tidak dituruti, mahu dimarahnya kita. Kadangkala dia menggenggamkan tangannya dan buat nada geram. Siap bunyi pulak tu.."ghhhuuuu..huhhhhhhh" . Amboi! Garang betul.. (hehe..macam ibu dia).

Dengan neneknya juga begitu. Kalau nak susu atau tidur, asal lambat je, mesti nak mengamuk. Aduhai..Kadang-kadang habis di sepaknya perut saya dan neneknya. Kuat pulak tuh. Senak perut dibuatnya. Kadangkala saya pukul juga kat betis dia. Mengajar agar jangan buat begitu. Tapi faham sajalah anak-anak CP ini. Kalau dilarang lagi dibuatnya. Lagipun apalah yang mereka tahu tentang pukul memukul ni. Buat sakit tangan je..hehe...

Namun, kadangkala Nabila bukanlah selalu menunjukkan tanda-tanda geramnya terus menerus. Dia akan memberikan 'hint' terlebih dahulu. Seperti dia akan merengek terlebih dahulu, menunjukkan rasa tidak selesa dan pabila kehendaknya tidak dilayan, barulah suara nyaringnya akan keluar..hehe..

Itu bila menangis, bila Nabila ketawa pula, lain halnya. Sejak kebelakangan ini saya perasan, Nabila memang suka orang geleteknya. Ingat saya semalam, sewaktu temujanji bersama doktor ENT. Doktor merapati Nabila dengan tujuan mahu memeriksa telinganya. Entah kenapa tiba-tiba Nabila bersuara nyaring. Dan ketawa mengekek. Doktor ENT memang 'impressed' tengok Nabila. Dan doktor menggalakkan saya terus usaha memantap skill pendengaran dan pertuturannya. Habis semua nurse kat dalam bilik doktor gelakkan Nabila bila dengar suara dia. Sepertinya Nabila mahu mengajak orang bermain pula.

Ada juga ketika di OT. Orang sibuk nak buat exercise, dia pulak ketawa mengekek. Sebab Nabila memang tak boleh orang usik perut dia. Pasti dia akan ketawa kegelian. Kadangkala kami sekeluarga seronok bila lihat dia ketawa sambil tangan kanannya dimasukkan ke dalam mulut. Macam malu-malu kucing gitu.

Sesungguhnya,besar pengertian perilaku Nabila buat saya dan Abang. Sekurang-kurangnya Nabila boleh meluahkan ekspresi emosinya, gembira atau sedih pada kami. Cumanya, kami harus banyak bersabar melayan kerenahnya. :) InsyaAllah...

29 March 2011

Saya nampak pelikkah?

Saya ke hospital bersama ibu dan ayah..
Bila kaki ibu dan ayah melangkah masuk, banyak mata yang memandang saya..
Saya menangis mahu susu..
Ibu beri saya susu..
Saya minum sepuas-puasnya..
Dan setelah itu, saya menangis lagi..
Ibu cuba pujuk..
Tapi saya masih belum diam..
Ibu angkat saya..
Saya berada di ribaannya..
Saya nampak ada mata memandang saya lagi..
Melihat badan saya yang masih belum kuat untuk duduk..
Melihat kepala saya yang kecil..
Ada kawan sebaya saya..
Dia kembar..
kedua-dua kembar itu memandang saya..
Saya meronta mahu ibu lepaskan saya..
Saya mahu berdiri macam kembar itu..
Akhirnya ibu akur dengan kehendak saya..
Ibu pegang kuat badan dan tangan saya..
Saya memijakkan kaki ke lantai..
Ya..saya berdiri..
Saya tersenyum mendongak memandang ibu..
Ibu juga turut tersenyum sambil menghadiahkan ciuman di pipi..
Kembar itu masih memandang saya..
Sepertinya mahu bermain dengan saya..
Namun bila saya berdiri tanpa kekuatan..tubuh bergoyang-goyang..
Kembar itu tidak jadi datang merapati saya..
Saya lihat bapa si kembar mengangkat mereka jauh dari saya..
Kerana tidak mahu saya berada disisi mereka..

....................
.................
.............
........
.....
...
.
Alangkah indahnya andai kaki ini boleh melangkah..
Pastinya tiada orang memandang aneh pada saya..

28 March 2011

Temujanji demi temujanji...Apa kebaikannya?


Jumaat lepas saya bercuti. Kerana temujanji dengan Audiologi (seperti entry lepas..). Pagi ini saya ke pejabat. Seperti biasa saya akan melihat kalendar saya. Rutin saya, saya akan menulis semua temujanji Nabila di kalendar atas meja saya.

Pagi tadi baru saya perasan, bahawa Nabila punya temujanji berturut-turut selama 2 hari (hari ini dan esok ) bersama speech therapist nya dan juga berjumpa semula dengan doktor ENT nya. Serius saya terkejut. Kerana selalunya saya akan bersedia awal dan berpesan pada sekolah Nabila yang saya akan mengambilnya tengahari nanti. Aduhai....

Bekas susu dan air panas juga saya tak sempat siapkan pagi tadi. Sudahlah pagi tadi saya kelam kabut. Kerana saya pulang ke Rawang semalam. Mengemas rumah dan membeli barang-barang keperluan Nabila semalam. Dan pagi jam 5, elektrik di rumah saya tiada pula. Sudahlah baju kurung pun tak bergosok lagi. Jam 5 pagi, saya sudah redah jalanraya yang gelap pekat menuju ke rumah mak. Abg pula bersiap-siap ke tempat kerjanya. Risau betul drive subuh-subuh tadi. Banyak lori!!!

Alamatnya petang nanti saya terpaksa pulang ke rumah mak sebentar sebelum ke sekolah Nabila untuk mengambilnya pulang... :(

Bila melihat temujanji Nabila sejak lahir dulu, saya kadangkala sepertinya tidak mahu untuk kerap ke hospital. Jika dulu, saya memang suka refer apa saja yang saya ingin tahu di hospital. Namun kini tidak lagi..

Entahlah..Mungkin juga saya sudah bosan dengan keadaan hospital kerajaan dan seringnya perkara yang sama diutarakan kepada saya. Jadi saya jemu!!

Kalau nak tengok kad temujanji Nabila, tak silap saya, kadnya sudah masuk kad yang ke-5. Banyak! Memang banyak temujanjinya, tapi progress Nabila..? Aduhaiiiii... Malas nak cakap!! Memanglah tak boleh nak harapkan sangat hospital, sebab bukan Nabila seorang saja yang sakit, ramai lagi yang lebih memerlukan rawatan dari Nabila.

Makanya, saya ambil pendekatan. Tak kisahlah jauh tarikh temujanji berikutnya, kerana saya tahu mereka pun buat ala kadar saja pada anak saya. Jadi, buat apalah saya membazir masa saya untuk datang kerap ke hospital.

Saya jarang untuk skip temujanji, melainkan ada tugasan yang menghalang saya untuk membawa Nabila ke hospital. Dan selalunya juga nurse atau therapist yang set kan temujanji memang tiada masalah dengan saya. Sebab saya tak kisah kalau-kalau temujanjinya tarikhnya jauh-jauh belaka.

Tapi walaupun semua tarikh jauh-jauh, sebulan hampir 3-4 kali saya ke hospital. Semuanya berlainan temujanji. Physio, OT, Speech, Dietetic, Peads, ENT, Audiologi dan Mata kadangkala menuntutnya saya untuk kerap ke hospital. Bukanlah saya merungut tentang semua temujanji ini, kerana saya tahu ini adalah tanggungjawab saya. Jadi, nak tak nak saya mesti laluinya.

Bagi saya, bukanlah semua temujanji ini tidak mendatangkan apa-apa kesan langsung dari segi developmental Nabila. Mesti ada sedikit yang membantu saya untuk mengurus Nabila. Dan ada banyak juga input yang saya dapat dari semua temujanji ini. Lagipun saya tak mahu nanti dipersalahkan atas sebab malas untuk ke hospital atas semua temujanji ini. Jika diikutkan temujanji Nabila ini sedikit jika dibandingkan anak-anak istimewa yang lain yang lebih banyak temunjanji di sana-sini..

Apapun, harapnya saya masih lagi mampu untuk membawa Nabila ke hospital. Tidak jemu dan bosan menanti. Kerana saya tahu semua ini adalah kebaikan untuk anak saya, Nabila....

27 March 2011

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih ada harapan..

Jumaat lepas, kami ke Hospital Sungai Buloh. Nabila ada temujanji bersama Audiologi. Seawal pagi kami keluar rumah memandangkan saya dari Gombak, sudah pastinya jalan sesak di Kepong sana.

Dalam hati saya serasanya tiada gentar. Entah kenapa saya nampak tenang. Mungkin juga saya bakal mengetahui berita baik? Saya tidak mahu berfikiran bukan-bukan malah terus berfikiran positif. Saya tahu ada sinar untuk Nabila.

Pada awalnya ujian biasa saja dilakukan. Sebagai langkah untuk memastikan mereka tidak salah. Dan kemudian kami ke bilik lain pula untuk ujian yang kami tunggu-tunggu sebelum ini.

Ujian ABR.. iaitu Auditory Brainstem Response. Ujian ini dilakukan dari gegendang ke otak. Untuk mengetahui bunyi-bunyian tersebut sampai ke otak atau tidak. Mengapa pula saya lakukan ujian ini..?

Sebenarnya saya ingin memastikan bahawa pendengaran Nabila baik. Bukan setakat hanya di gegendang, malah sampai ke otak. Sewaktu bayi, Nabila tidak melakukan exam ini. Hanya pemeriksaan biasa saja. Saya juga kurang pasti Nabila boleh mendengar atau tidak sebelum ini. Ini kerana dia hanya mendiamkan diri pabila di panggil dan tidak memandang kami. Mungkin ini juga berkaitan dengan mata, namun kami perlukan kepastikan. Tak salah bukan?

Dan ujian ini memerlukan Nabila untuk tidur. Dan seperti biasa juga, Nabila sememangnya sukar untuk tidur sendiri, apatah lagi dia baru saja melelapkan matanya di dalam kereta tadi. Makanya, terpaksa kami memberikan unbat tidur kepadanya. Nak buat camner dek..Ibu terpaksa..sebab kamu meronta-ronta... :(


~sedas ubat tidur..selamat Nabila tidur~

Dan keputusannya, saya dapat masa itu juga. Nampak pendengaran Nabila sangat baik. Maka saya perlu teruskan untuk sesi terapi pertuturannya.. :)

Lega..memang lega. Walaupun saya tahu nasib untuk mata Nabila belum lagi ketahui..namun saya lega kerana salah satu deria pentingnya berfungsi baik. Sekurang-kurangnya, saya akan cuba memberikan stimulasi untuk deria yang satu ini. Tak mengapalah dik, syukur Alhamdulillah, Allah memberikan pinjam pada kita satu anggota ini..Kita gunakan sebaik mungkin yek..

Sempat staf-staf praktikal masuk ke bilik dan melihat ujian yang sedang dilakukan. Ddan semuanya memuji si kecil ini. Waktu tidur pun comel kah? hehe.. Nabila sememangnya comel di mata mereka yang memandangnya. Saya terdengar perbualan mereka..sepertinya mereka tidak percaya Nabila Cerebral Palsy. Aduhai..

Dan sewaktu kami melangkah kaki keluar dari bilik tersebut, saya nampak mereka masih lagi memuji-muji Nabila dan mata mereka tidak lepas memandang kami bertiga sehingga kami keluar.. :)

Nabila dah discharge dari Audiologi, namun masih lagi ada rawatan susulan dari ENT iaitu terapi pertuturannya... :) Syukur.. :)

24 March 2011

Soalan cepumas lagi!!

Hari ini 2 kali saya diberi soalan cepumas..

"Bila nak bagi Nabila adik.."

Adoiii..tulah orang kata..

Bila tak kawin mesti tanya bila nak kawin..
Bila dah kawin org mesti tanya bila nak dapat anak..
Bila dah ada anak pun masih org tanya bila nak tambah anak lagi..

Macam biasalah jawapan saya..

"Hurm..tunggu abis pakai perancang ni.."

atau..

"Tunggu kurus dulu.."

Seseorang telah berpesan pada saya tadi, berikan Nabila adik. Nanti boleh adik-adik menjaga Nabila..
Tapi saya terfikir..

Boleh ke adik Nabila menjaganya nanti? Tidakkah adiknya rasa terbeban bila lahir sahaja adiknya di dunia..harus menjaga kakaknya..!

Bukanlah untuk saya menidakkan kehadiran adik beradik Nabila dalam hidupnya, namun kenapa harus membebani adik-adiknya menjaga kakaknya.Saya tahu fungsi si adik memastikan kakaknya berada dalam keadaan baik, namun sebolehnya saya mahu Nabila berdikari sendiri. Saya tidak mahu ada masalah lain dibelakang hari..

Apa masalahnya?

Katakanlah, adik Nabila berkahwin. Dan mungkin juga kami ibu dan ayah telah menutup mata. Mahukah adiknya menjaga kakaknya dan pada yang sama mahu menjaga isteri/suaminya? Itupun kalau ipar Nabila sanggup menerima keadaan Nabila. Kalau ada yang tak terima? Ish..macam cerita drama pula.. Tapi kadang-kala bila difikirkan, saya rasa itu adalah realiti. Bukan semua orang boleh menerima keadaan oarang istimewa dalam hidupnya. Macam entry Ayu mummy Alanna semalam. Ada kawannya tidak mahu anak istimewa. Bagaimana?

Saya pernah bertanya pada adik beradik saya, yang mana saya berkeras mahu menghantar Nabila ke sekolah, mereka menghalang. Kata saya, kalau tidak di didik dari sekarang, bila saya tiada esok, adakah kalian mahu menjaga Nabila. Semuanya terdiam. Saya tahu bukan semua mampu menjaga Nabila. Sebab itu saya berusaha sendiri untuk membiarkan Nabila berdikari. Menangis di sekolah adalah satu pelajaran padanya bahawa dia perlu belajar untuk hidup sendiri.

Mungkin keras apa yang saya katakan. Atau mungkin salah pandangan saya. Saya mahu adik beradik Nabila menerima keadaan kakaknya itu. Dan saya tak mahu mereka menolak untuk menjaga kakaknya. Namun saya tak mahu anak-anak saya yang lain berfikir "Adakah kami lahir semata-mata untuk menjaga kakak" . Kasihan mereka..mereka juga punya kehidupan sendiri.

Kadangkala saya rasa tersepit dengan perasaan saya sendiri. Saya takut. Tapi saya mahu Nabila punya adik-beradik. Adakah saya terlalu negatif? Mungkin ya...

Agaknya apalah perasaan Nabila bila dia tahu keadaannya ini. Dia sendiri tidak mahu hidupnya menyusahkan orang lain. Saya tahu itu. Jauh disudut hatinya, saya tahu Nabila mahu berusaha sendiri untuk kehidupannya. Mungkin masa sahaja yang akan menentukan segalanya. Saya mengikut sahaja aliran perjalanan ini yang telah ditentukan-Nya...

23 March 2011

Antara anak dan diri sendiri..

Sejak kebelakangan ini rutin harian saya berubah. Saya sedang sibuk untuk diri sendiri. Namun saya kini berada di dalam dilema... :( Dilema tentang Nabila.

Selepas habis waktu bekerja, saya ke Wangsa Walk, Wangsa Maju. Ke Celebrity Fitness. Saya ingin cuba untuk mengurangkan berat badan saya yang sudah obes. Serius saya katakan, berat terakhir saya adalah 82 kg. Amat menakutkan saya. Saya dapat rasa saya semakin sukar untuk bergerak. Apatah lagi berjalan jauh. Berjalan sedikit sudah buat saya mengah.

Jika dulu saya masih ingat lagi, saya boleh memakai baju saiz M, blouse pun kecil, pinggang pun takdelah sebesar sekarang ini (sebab masa sebelum kahwin pun badan dah nampak berisi..hehe). Namun bila melihatkan orang lain yang lebih cantik dan bergaya dari saya walaupun anak sudah 2-3, saya cemburu!! Cik Abg pun selalu bising, sebab kena urut kaki dan pinggang saya setiap kali pulang dari kerja. Katanya, "Mana lutut awak ni? Dah tak nampak lutut dah!!" . Huhu...Lutut dah diselaputi lemak!!

Dan saya lihat adik saya sendiri sudah susut tubuhnya. Katanya mahu memakai pakaian yang cantik ketika majlis perkahwinannya nanti, dan yang baiknya, adik saya benar-benar sudah kecil. 10 kg turun dalam masa sebulan! Bukan mudah tau. Nak jaga makan dan workout gila-gila punya!!

Saya sendiri merasakan penat pada minggu pertama saya ke gym. Namun, setelah 2-3 hari saya ke sana, peluh pun dah banyak keluar, saya dapat rasakan saya semakin sihat. Yelah, nak turun tu bukan senang. Dalam seminggu ini, dapat turun 2kg. Dan setiap masa saya perlu pertingkatkan lagi aktiviti di gym. Tidak boleh di takuk yang sama saja. Mana nak turun macam tu!!

Walaupun ada yang kata membazir, tapi bagi saya tidak. Sebenarnya bila kita melakukannya di gym, kita akan rasa lebih bersemangat lagi. Lagi-lagi bila kita di treadmill, sebelah kita orang yang lari lebih laju dari kita. Kita sendiri akan segan untuk berjalan, dan sedikit sebanyak akan cuba menyaingi orang disebelah kita.. :) Dan saya aims mana-mana perempuan yang bertubuh cantik. Mahu jadi seperti perempuan itu..ahaks!! Saya juga jadikan adik saya sebagai sumber inspirasi saya. Andai dia boleh, saya juga pasti boleh..!!

Cuma bila sibuk tentang diri sendiri, saya rasakan Nabila sudah mulai kurang perhatian saya padanya. Tidak seperti dulu, saya akan lakukan aktiviti untuknya. Kali ini saya buat setakat yang mana saya mampu. Mujur juga nenek Nabila sudi membantu. Dia memberikan puzzle untuk Nabila bermain setiap hari. Bila saya pulang, Nabila sudah tidur keletihan. Kesian Nabila...

Mungkin ada yang kata saya pentingkan diri. Namun, saya harus menjaga kesihatan saya juga. Saya mahu sihat untuk menjaga Nabila. Namun bila keadaan Nabila berterusan begini, saya risau. Ini pun saya tidur di rumah mak sepanjang 2 minggu ini.Takkanlah saya nak terus-menerus tidur di Gombak pula. Aduhai...!!

Mujur Abang memahami. Yelah, nak isteri cantik, kenalah berkorban. Sebab itu saya terpaksa pergi setiap hari. Lagi cepat berat saya turun, lagi cepat saya dapat pulang ke rumah. Kesian Abang. Lagipun ini untuk kami berdua juga.

Andai kami diberi rezeki untuk menimang cahaya mata sekali lagi, saya akan pastikan saya telah berjaya menurunkan berat badan saya terlebih dahlu. Kerana sewaktu saya mengandungkan Nabila, makan saya langsung tak terjaga. Semua saya makan. Dan sudahnya, badan saya umpama belon! Dan kesannya juga saya mendapat kencing manis ketika hamil. Sangat menakutkan bukan?

Moga semangat saya terus kuat. Memang tak tahan godaan bila lalu depan fastfood, namun bila mengenangkan saya berlari di treadmill, cycling dan lain-lain, saya jadi fobia pula nak makan banyak. Hehehe... :)

22 March 2011

Nabila tetap maintain 'slim'..

Cerita bab makan lagik... :) hehe...

Sejak kebelakangan ini, saya nampak Nabila begitu berselera untuk makan. Cuma kadangkala barangkali kenyang, dia cuba menolak dengan tangannya, tanda tidak mahu makanan atau susu di suap ke mulutnya.. :) Comel!! Sudah pandai menepis bila tidak mahu sesuatu dan terus cuba untuk bangun dari ribaan saya!

Walaupun banyak mana Nabila makan, badannya tetap kurus. Malah nampak panjang dan tinggi. Dan pastinya mengikut gen atuk-atuknya yang tinggi lampai.. :) Saya dan Abg sememangnya 'kementot'. Tak cukup ketinggian!

Namun, bila dipandang ibunya, ibunya yang naik berat berkilo-kilo. Entahlah. Mungkin juga kesan dari pemakaian alat perancang menyebabkan hormon saya berubah mendadak. Terlalu obes! Saya risau dengan kesihatan saya kini. Saya dapat rasakan gaya hidup saya sudah berubah. Dan penampilan saya..MasyaAllah..buruk sangat!!

Tapi bila saya pandang Nabila, mungkin juga Nabila tidak akan mengikut jejak langkah saya. Pastinya dia kurus dan tinggi. Dan saya tidak kisah andai berat Nabila tidak naik. Sebab saya tahu, Nabila mungkin memahami saya. Jika beratnya yang melampau, bagaimanakah agaknya untuk saya mendukungnya? Meribanya bila memberinya susu dan makan? Saya berfikiran disudut positif. Tidak mahu perkara negatif tentang berat Nabila membebani fikiran saya.

Tapi saya tidak mahu pula orang berfikir bahawa hanya saya sahaja yang makan. Bukan Nabila. Aduhai.. Bukan saya pinta untuk bertubuh begini. Nabila pun bukannya saya tak bagi makan langsung sampai dia kurus kering begitu. Mungkin perutnya kecil. Dan mungkin juga mengikut perangai ayahnya yang makan suka tidak menambah. Makan hanya sedikit saja. Jika begitu, apa lagi yang perlu saya katakan.. Aduhai !!

Apapun, anak dara saya tetap comel di mata saya, walaupun beratnya hanya 8kg je.. :)

21 March 2011

No more hard stool? Eh..yeke..?Ni just solution jerkkk ok..!!

Hurm..Bila bercerita tentang cara Nabila makan, memang menyeronokkan. Namun bila disentuh bab membuang.. NABILA GAGAL!!

Sebenarnya, sedari Nabila bayi lagi, Nabila agak senang membuang. Namun pabila diperkenalkan dengan makanan pejal, dia mulai sukar untuk membuang. Sudahnya doktor memberikan ubat Lactul pada Nabila.

Namun bila sudah besar ni, macam-macam hal la pula bila nak makan. Agaknya sudah tahu rasa ubat tersebut, Nabila banyak membuangkan itu dari memakannya. Geram pun ada pada si kecil ini. Jika diberi, dibuangnya. Jika tak diberi, nanti poo poo keras pula.

Semalam saya melihat ubat yang Alisya gunakan. Ita sudah lama memberikan ubat itu pada Alisya. Lantas, saya memberikan juga pada Nabila. Dan saya mahu lihat kesannya nanti. Adakah serasi dengan Nabila atau sebaliknya.

Saya tak perasan pagi tadi Nabila sebenarnya sudah poo poo. Bila saya membuang pampersnya, hah..memang terkejut sangat-sangatlah. Namun, Nabila senyap. Tiada tangisan sewaktu membuang. Selalunya Nabila memang pantang kalau ada poo poo di punggungnya. Kali ini agaknya dia tidur, dan saya pula memang tak bau langsung poo poo nyer..hehe..

Apa ubatnya?

SKILAX. Hanya titikkan pada mulut si kecil. Nampak lebih mudah jika dibandingkan dengan memakan Lactul. Bila nampakkan keberkesanannya, maka saya mahu mencari produk ini. Lactul sudah tidak serasi untuk Nabila. Lactul sudah tidak memberi kesan kepadanya.

Begitulah kalau ada anak seperti Nabila. Memang tidak lari dengan masalah sembelitnya. Walhal Nabila minum air kosong berteguk-teguk..berbotol-botol..Buah pun makan, cumanya saya tak pasti di sekolah Nabila makan buah atau tidak. Hurm..Tak mengapalah, dari asyik keras dan sukar untuk dia meneran. Saya fobia bila melihat darah mengalir keluar dari punggungnya. Kesian Nabila.... :(

20 March 2011

Hujung minggu kami..

Hujung minggu kami yang agak sibuk. Kedatangan keluarga superkids ke rumah ini memeriahkan suasana biarpun hanya 5 keluarga sahaja yang dapat berkumpul... :)

Aktiviti di hari Sabtu adalah BBQ. Seperti biasalah rumah saya menjadi tempat untuk kami semua berkumpul.. :)

~ibu-ibu di dalam rumah sementara ayah-ayah sibuk dengan ayam & ikan untuk di panggang..~

~best :)~

Dan tadi kami ke rumah Ita Ummi Alisya. Pada awalnya kami bercadang untuk berkelah, namun memandangkan cuaca tak berapa baik, jadi kami hanya berada di rumah. Dan hasilnya, kami telah merancang sesuatu untuk aktiviti tahunan kami..iaitu GATHERING!!!! :)

~lepaks-lepaks~

~Kesayanganku..Nabila & Alisya~

19 March 2011

Andai ada alat bantuan untuk mata Nabila..

*Ada ke?*

Entahlah..kadang-kadang terfikir. Andai hilang pendengaran, boleh saja menggunakan hearing aid.. Tapi kalau masalah fokus pada mata? Ada alatnya? Hurm..saya tak pasti tentang itu.

Mata memang penting. Lebih-lebih lagi untuk anak-anak seperti Nabila. Saya tak kata Nabila buta..Cuma fokusnya kadang-kadang hilang. Cuma kadang-kadang sahaja bila saya memanggil namanya, dia akan menoleh. Selebihnya, matanya akan memandang ke sana ke sini.

Bermain juga sangat penting untuk membantu peningkatan motor kasar dan motor halusnya. Namun, bila diusik bab mata, saya sepertinya gagal. Sepertinya mengajar si anak seperti orang buta.

Bagaimana Nabila belajar?

Saya banyak menggunakan deria sentuhan dan pendengarannya. Mujur juga pendengaran Nabila tidak terjejas. Namun, saya sentiasa berdoa agar mata Nabila dapat dipulihkan.

Saya pernah bertanya pada Jiey Mama Rayyan. Bagaimanakah cara yang paling efektif untuk melakukan stimulasi terhadap mata Nabila. Menurutnya, dia belajar melalui Kak Reenaz Mama Ridhwan. Semuanya melalui flash cards..

Saya cuba menggunakan kaedah yang sama. Dan seperti biasa, ianya memerlukan kesabaran yang tinggi. Tak silap saya hampir setahun lebih saya cuba praktikkan. Namun, mungkin juga latihan yang agak kurang. Dan sekali lagi saya mengeluh..Kan bagus kalau tak bekerja?. huhu...

Entahlah..Agaknya saya terlalu keras pada diri sendiri dan juga Nabila. Saya tahu ianya tak baik untuk kami.. :(

~mata yang sangat cantik..seperti anak patung!!~

18 March 2011

Kehilangan..

Pernah terdetik di hati ini membayangkan andai Nabila pergi dari sisi saya. Ya Allah..entah kenapa saya berfikiran sedemikian. Namun, saya cuba tidak mahu memikirkan lebih lanjut.

Saya tahu..setiap manusia akan pergi mengadap-Nya. Namun kehilangan orang yang paling saya sayangi merupakan sesuatu perkara yang perit untuk ditelan.

Saya belum pernah kehilangan anak, namun saya pernah merasai kehilangan anak-anak sahabat rapat saya. Sungguh perit untuk ditelan. Air mata ini tak sudah menitis mengenangkan mereka. Dan melihat kekuatan dan ketabahan ibu bapa mereka yang berjuang sebelum anak itu pergi.

Sahabat saya, Ain telah kehilangan 3 anaknya. Setiap kali dikhabarkan anak-anaknya pergi, saya sayu. Hanya doa saya panjatkan kepadanya. Mahu Ain terus kuat dan tabah. Dan Alhamdulillah, hidupnya kembali ceria. Ditemani 2 orang cahaya mata kini. Lama sungguh tidak bertanya khabar. Barangkali sibuk menguruskan rumahtangga.

Sahabat kedua saya, Eawan. Kehilangan baby Aqil membuatkan hati saya luruh sekali lagi. Pabila dikhabarkan Aqil pergi setelah hampir seminggu berjuang di NICU, saya menangis. Ya Allah, saya pilu. Setiap hari saya mengikuti perkembangan Aqil. Dan akhirnya Aqil pergi jua.

Sahabat saya juga, Ayu. Juga telah kehilangan Alanna buat selama-lamanya. Entah kenapa saya jatuh cinta dengan Alanna. Pertama kali Ayu menyapa saya di chat room, membuatkan saya ingin terus berkawan dengannya. Dan pertemuan kami yang pertama berlangsung ketika hari lahir Nadime. Dan pertama kali itu juga saya melihat Alanna. Cantik. Secantik namanya. Dan hati ini terus berdoa agar Ayu dan Alanna terus diberi kekuatan. Dan pabila mengetahui Alanna ditahan ke hospital, saya bergegas ke sana. Dan pabila melihat wayar-wayar yang berselirat di tubuhnya, saya rasa sakit. Dan pabila Ayu khabarkan pada saya yang Alanna telah pergi meninggalkan kami semua, saya menangis semahu-mahunya. Saya terpaku. Kerna saya baru saja melihat wajahnya. Baru sahaja meletakkan tangan Nabila pada Alanna untuk memberikan semangat Nabila kepada adiknya. Saya pilu...

Moga ahli-ahli syurga ini terus berada dalam ingatan ini....

Bila melihatkan Nabila, saya terbayang. Andai saya seperti Ain, Eawan dan Ayu. Apakah saya akan sekuat mereka? Bagaimanakah hari-hari yang bakal saya lalui tanpa Nabila. Subhanallah..Sudah jauh akal ini melangkah. Tak terbayang rasanya bila tiba saat kehilangan itu.

Moga Nabila terus dipinjamkan kepada saya. Dan andai Nabila pergi, saya rela. Kerna hidup di sana lebih membahagiakan dirinya andai di dunia ini penuh dengan caci dan nista terhadap dirinya.... :(

Al-fatihah pada insan-insan yang telah pergi meninggalkan kita..Amin..

17 March 2011

Luahan hati si ibu & Bercerita tentang Nabila

Pagi tadi, saya ke PDK. Kali ini nampak meriah sedikit PDK KAMII. PDK telah dikunjungi oleh kakitangan PDK Sarawak. Dan mereka juga akan melawat PDK Selayang.
Sambil menunggu untuk masuk ke bilik Snoozelon, saya dan Nabila duduk di luar. Sambil menikmati pemandangan sekitar PDK. Kebetulan pula bekalan elektrik terputus. Maka kami ibu-ibu menanti di luar saja. Duduk di dalam pastinya panas!
Sambil berbual, ada seorang kakak ini, mengadu nasibnya kepadaku. Katanya dia telah ditipu oleh seseorang yang menjual barang-barang terapi. Kakak itu menempah standing frame untuk kegunaan anaknya. Namun, setelah duit diberi, si penjual itu hilang entah kemana. Kakak itu kehilangan RM 4000++. Sedih bukan. Sampai hati si penjual itu melakukan perkara sedemikian pada kakak itu. Sudahlah duit syarikat digunakan untuk membeli barang tersebut, barangnya langsung tidak kelihatan.
Malangnya lagi, kakak itu sendiri tidak mengenali sepenuhnya si penjual. Nama penuh dan alamat tempat tinggal juga tidak tahu. Hanya mengetahui bahawa si penjual sebagai supplier barang-barang di PDK. Alasan diberikan juga tidak munasabah. Kerana terguna duit yang telah kakak itu berikan, makanya barang itu tidak berkunjung tiba. Dan saya lihat wajah kakak itu buntu. Niat dihati mahu berikan terbaik pada si anak, tapi telah ditipu pula..Aduhai!!!
Sedih bila ada orang-orang yang tak berperikemanusiaan melakukan sebegini kepada keluarga orang yang kurang bernasib baik. Sudahlah nasib anak begitu, boleh pula ditipu orang. Tak patut betul. Saya mendengarnya juga geram. Bukan sedikit duit yang telah dikeluarkan. :( Nasib..Nasib..
Kadang-kadang sukar untuk lari dari masalah sebegini. Terhimpit dengan masalah kewangan, mahu berikan yang terbaik untuk sang anak, namun bila sudah jadi begini, rasanya gelap dunia seketika.
.........................................................................
Bercerita tentang Nabila, Alhamdulillah, anak itu semakin ceria. Seronok melihat wajahnya yang tersenyum manja bila saya dan keluarga memanggil namanya. Bak kata orang minah tergedik-gedik..hehe.. :)
Semalam kami ke hospital. Temujanji bersama OT. Pagi berada di sekolah, dan petang di hospital. Saya ingatkan Nabila akan meragam. Kerana letih sepanjang hari badannya 'bekerja' . Namun, bila saya sampai di sekolah semalam untuk mengambilnya, Nabila sedang bermain dengan rakan-rakan lain dan beberapa staf. Duduk sambil tubuhnya di geletek. Nampak dari pintu senyumnya meleret.. :)
Dalam hati..mood tengah baik..kalau tak ada saja yang tak kena!
Teringat pula kata-kata staf sekolah dia kelmarin. Mereka kata pemilik sekolah mahu Nabila berada di biliknya jika Nabila menangis. Dan anak daraku pandai!! Bila berada di dalam bilik Puan Elahe, dia diam. Agaknya sedap duduk kat air cond kot..hehe.. Kat rumah mak, selalunya bila panas-panas, mak akan masukkan Nabila ke dalam bilik dan di pasangnya air cond. Aduhai anak. Sudah pandai ye!!
Berbalik pada perihal di OT semalam, appointment Nabila akan dijarakkan. Menurut kata therapist Nabila, disebabkan dia ke sekolah, jadi aktiviti juga turut dilakukan setiap hari di sana. Dan pihak hospital hanya akan memantau perkembangan Nabila saja. Hurm..saya tak pasti itu adalah perkara yang terbaik untuk Nabila atau sebaliknya, namun saya juga tidak mengharapkan sangat apa-apa dari hospital.
Jika dulu, saya masih ingat lagi, saya terlalu mengharapkan pihak hospital melakukan segalanya untuk Nabila. Namun semakin lama, hati saya pudar bilamana saya melihat cara mereka. Saya tahu patient bertambah dan seharusnya saya tidak lagi perlu mengharapkan mereka untuk melakukan itu dan ini kepada Nabila.
Entahlah, bagaimanalah agaknya jika saya masih berterusan berfikiran begitu? Sudah pasti Nabila tidak seperti sekarang!
p/s : Saya ingin menunjukkan peningkatan Nabila dalam soal bab makan. Sempat tadi saya mengambil video Nabila sedang disuap oleh neneknya. Nampak berselera sekali..:) Alhamdulillah.. :) Nantilah saya masukkan video tu. Teringat saya, jika dulu susah benar untuk anak ini makan..kini rasanya Nabila tidak lagi seperti dulu..Alhamdulillah..

16 March 2011

Alamak..sudah salah anggap la..

Huhu..Minta ampun semua..hurm..entry lepas mencetuskan kontroversi !! hehe...
Sebenarnya semalam saya memang muntah-muntah. Entah kenapa kepala pusing dan terasa loya. Dan bukanlah disebabkan saya mengandung. Saya salah makan semalam. Perut masuk angin dan sudahnya begitulah yang terjadi pada saya semalam.
Agak mustahil untuk saya mengandung ketika ini kerana saya masih lagi dalam tempoh 'berpantang' . Saya masih lagi memakai Implan iaitu perancang kehamilan. Sudah masuk tahun ke 3 saya menggunakannya dan dijangka akan dibuka pada November ini.
Bukan tidak mahu menambah anak ketika selepas kehadiran Nabila, saya dan Abang tersangatlah mahu. Cuma keadaan membataskan kami. Melihat orang lain sibuk menambah, lagi-lagi mereka yang seangkatan dengan saya (yakni berkahwin pada tahun 2007) sudah mempunyai 2-3 orang anak. Ada yang pernah bertanya pada saya, sudah berapa orang anak. Dan saya hanya menjawab 1. Satu sahajakah? Tidak mahu menambah?
Hurm..bila sudah ditanya sebegini, serasanya susah untuk saya menjawab. Lebih-lebih lagi ia melibatkan soal Nabila. Namun jauh di sudut hati saya, saya mahukan Nabila mempunyai adik beradik yang lain. Cuma saya khuatir apakah nanti adik-adik Nabila akan menerima kehadiran kakaknya yang serba kekurangan itu?
Entahlah. Dan saya bermohon apa yang saya rancang bersama Abang akan dipermudahkan. :) Amin...

15 March 2011

Mabuk? Muntah-muntah?

Alahai..

Pening kepala...
Muntah-muntah....

Mengandungkah?

?????????????????????????
....................................
..................................
...............................
...........................
.....................
.............
..........
.....
..
.
atau mengandungi...hehe...

14 March 2011

Kesakitan? Sikit pun saya tak rasa tau!!!

~Entry khas untuk kaum ibu saja~ :P

Sedia maklum, saya melahirkan Nabila dalam keadaan emergency c-sear . Bila mengingatkan saat itu saya rasa seperti tidak menyangka bahawa perut ini telah dibelah kerana ingin menyelamatkan satu nyawa. Bak kata orang, tak dapat keluar ikut pintu, keluar pula ikut tingkap pula..huhu.

Pada awalnya, Nabila dipaksa keluar secara normal. Ianya siap digunting lagi bagi membesarkan bukaan. Faham sajalah kan. Namun, Nabila masih gagal untuk keluar dari rahim saya. Sakit bukan kepalang. Hanya tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu.

Namun, bila diberitakan saya akan di bedah, saya menjadi sangat takut. Selagi mahu saya meneran Nabila keluar. Namun, doktor melarang kerana Nabila telah dimasukkan kembali ke dalam. Dan terus saya ditolak ke bilik bedah.

Sepanjang perjalanan saya menjerit kesakitan. Tambahan pula bila di cucuk untuk bius, prosedurnya sangat lambat. Kata pakar bius, saya terlalu gemuk untuk mencari urat dibelakang saya. Saya rasa seperti serik untuk bersalin lagi. Pada saya cukup satu anak saya . Ia membuatkan saya berperasaan ngeri bila saya mengenangkannya, saya perlu melalui kesakitan ini sekali lagi.

Lahir saja Nabila di dunia, saya lega. Biarpun saya belum mengetahui keadaan Nabila ketika itu, saya syukur. Kedua-duanya selamat setelah hampir 4 jam bertarung di bilik bersalin, dan 2 hari menahan kesakitan akibat kontraksi. Badan saya benar-benar lemah!

Dan esoknya, saya dapat berjumpa dengan Nabila. Biarpun keadaan saya ketika itu masih lemah, namun gelodak hati mahu berjumpa Nabila sangat kuat, saya gagahkan badan ini juga. Sakit? Hurm..Alhamdulillah. Agaknya naluri untuk berjumpa Nabila lebih kuat membuatkan kesakitan itu hilang :)

Saya pernah berjalan sendirian untuk mengepam susu. Bilik penyusuan yang agak jauh, saya gagahkan juga untuk berjalan walaupun saya berjahit di bahagian perut dan bawah. Semuanya demi Nabila. Mahu anak itu dapat apa yang sepatutnya seperti bayi lain walaupun Nabila terlantar di NICU.

Saya pernah turun dan naik tangga di rumah mak. Rumah flat DBKL! Tiada lif! Berada di tingkat 4, saya tetap gagahkan diri juga untuk melangkah naik. Biarpun kata orang payah dan sakitnya keadaan ketika itu, namun saya sedikit pun tak merasai kesakitannya. Kata orang terasa ngilu dan seperti menyucuk-nyucuk.. Tapi sedikit pun saya tak rasa. Entahlah. Mungkin Allah tahu kemampuan saya. Jika saya merasai sakitnya, bagaimana untuk saya pergi melihat Nabila, berulang alik setiap hari ke hospital? Sudah tentu saya patah semangat dan asyik mengerang kesakitan yang amat.

Penjagaan luka? Saya mengambil kurang saja dari segi penjagaannya. Cuma sebaik saja mandi, saya mengelap kering-kering. Luka diperut paling amat saya takuti. Andai terbuka aatau bernanah, sudah pasti akan menyusahkan saya nanti. Makan ubat jelly gamat juga jarang-jarang. Sampaikan saya dimarahi ayah. Kerana mengabaikan kesihatan saya sibuk dek berulang alik melihat Nabila.

Sudah hampir 3 tahun ianya berlalu. Dan Alhamdulillah, saya masih lagi jarang merasai kesakitannya. Kadangkala rasa menyucuk, namun hanya seperti gigitan semut. Cuma dalam fikiran saya, saya harus menjaga kesan luka di perut ini. Kemungkinan ianya akan dibelah sekali lagi untuk adik Nabila. Saya serik untuk bersalin keadah normal. Tak mengapalah saya merasai sakitanya. Janji adik Nabila selamat.

Bila kenangkan semula, tak terbayang saya bila perut di toreh satu persatu lapisannya. Huhu..takutt!!!!!!

12 March 2011

For The Rest of My Life..

Terjumpa satu video ini dari Facebook Kak Zaidah.. :) Dan mahu share dalam blog ini.


video

~Sesungguhnya saya tersentuh dengan video ini. Dan mahu kasih sayang itu sama seperti saya dan Abang. Sentiasa bersama sehingga hujung nyawa~

p/s: Adegan pecah tabung tu..sama la macam kami..hehe..kumpul2 duit syiling dalam tabung..kalau terdesak..pecah gak tabung..hehe..

11 March 2011

Bila mahu mencari yang terbaik..

Dua hari ini, berfikir panjang tentang sekolah Nabila.. (Hurmm..sekolah lagi..Takde topik lain ke ibu Nabila nih?)
Semalam berbual dengan Jiey. Masing-masing bercerita tentang keadaan anak di sekolah. Ini semua gara-gara insiden Nabila di cakar oleh rakan sekolahnya beberapa hari lepas.
Bila mahu tukar ke sekolah lain, saya sangat sukar untuk mencari yang sesuai untuk Nabila. Semuanya tak seperti yang saya mahukan. Tapi tidak pula saya terus memberhentikan Nabila dari sekolahnya sekarang.
Bukan tak nampak langsung perubahan pada Nabila sejak bersekolah. Banyak perubahan dia. Cuma saya ni yang tak sabar! Huh!! Susah la kalau hati mahu yang terbaik saja!
Saya bersyukur, Nabila punya peluang untuk bersekolah. Namun bila mengenangkan insiden-insiden yang terjadi pada Nabila, membuatkan saya takut! Saya rasa tak percaya pada staf di situ. Dan saya lebih berhati-hati. Cuma kadangkala terlepas pandang juga!
Tadi berbual dengan Ayu Ibu Aisya. Bertanya khabar Aisya. Dan Alhamdulillah, Aisya semakin baik. Cuma masih lagi meneruskan ubat antibiotiknya.
Kata Ayu, dia tak bersetuju andai saya berhentikan Nabila sekolah. Ya, saya akui. Saya juga sependapat dengan Ayu. Saya tidak mahu kejar benda yang belum tentu saya dapat. Saya cuba pujuk hati untuk menerima seadanya sekolah Nabila itu..
Mohon segalanya dipermudahkan. Hilangkan rasa gundah hati ini.. Amin..
p/s : nabila nampak macam dah baik..cuma suaranya serak. kata doktor semalam, tekaknya merah..huhu..

10 March 2011

Saya tengah stress..ada siapa-siapa boleh tenangkan saya..?

Saya bosan!
Saya stress!
Saya penat!
Saya malas!
Saya Bosan..
Bila bosan..semuanya tak menjadi..Nak blogging pun malas. *padahal hari-hari update* . Boleh ke saya tutup saja blog ini? Atau saya private? Saya tulis untuk diri saya sendiri? huhu... :(
Saya bosan dengan kerja. Rasa mahu duduk rumah. Tapi kalau income masyuk..boleh je saya duduk rumah sampai lebam dengan Nabila..hehe..
Saya stress..
Saya tak dapat apa yang saya mahu semalam. Nabila diserang selsema semalam. Pagi sebelum saya menghantarnya ke sekolah, dia kelihatan baik sekali. Dan pulang, Nabila sudah terbersin-bersin. Dan hingus meleleh di hidungnya.
Malamnya, tidur kami dua beranak tidak lena. Ayah Nabila pula kerja shif malam. Maka saya seorang saja yang menjaga Nabila. Dan seperti biasalah, jika tidak dapat melelapkan mata, Nabila akan mengamuk sakan :(
Pagi tadi saya lewat ke PDK. Dan sudahnya sebaik tiba di PDK, cikgu Ayu tiada. Bercuti kerana maknya sakit.. :( Lagilah saya stress.. Satu aktiviti pun tak dapat di lakukan.. *Sure Nabila urut dada..lega tak perlu wat terapi..hehehe*
Saya penat..
Berlanjutan dari malam tadi, saya tak cukup tidur! Dan badan saya sakit kerana tidur di ruang tamu hanya beralaskan karpet ABC Nabila. Dan kesejukan kerana lupa untuk menutup air cond! Aduhai..
Saya malas..
Dan tengok keadaan rumah yang agak tunggang langgang kerana ayah dan Abg semalam sibuk melakukan 'upgrading' untuk tangga rumah kami, membuatkan saya bertambah malas untuk mengemas rumah. Ibu Nabila memang tengah malas sekarang ni!
Adoiyaiii..Apa nak jadi nih?!

09 March 2011

Pagi-pagi sudah dengar nasihat!

Ya, pagi-pagi lagi sudah mendengar saya berkata macam-macam pada Nabila. Kerana Nabila masih dalam mood tidak stabil! Entah kenapa malam tadi, Nabila mengamuk sakan kerana sukar untuk melelapkan mata. Sudahnya saya berkata..

" Adik..kalau nak tidur, tidur jelah. Pejam mata tu..Jangan menangis. Tak eloklah. Jiran kita semua nak tidur! " .

Ayat terakhir saya setelah puas memujuk Nabila malam tadi. Dan saya memasang ayah-ayat Ruqyah untuk menenangkan Nabila. Dalam hati memikir puncanya. Makan sudah, susu sudah, baju dan pampers juga sudah di tukar. Apa lagi ragamnya?

Dan bangun pagi, Nabila tetap dengan mood gelora ! :(

Dan langkah terakhir, saya bercakap dengannya ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi tadi..

Adik, napa menangis? Adik penat yek. Adik nak tidur ke? Adik tidurlah. Ibu nak bawak kereta ni. Dah 3 hari dah ibu asyik lewat gi office. Nanti bos ibu marah kat ibu. Nanti bos ibu berhentikan ibu kerja. Nanti macamana ibu nak belikan adik baju baru, nak beli susu adik, nak bawa adik gi jalan-jalan kalau ibu takde duit. Ke adik tak nak gi sekolah ni? Adik tak suka sekolah tu yek? Ok, ibu janji, ibu akan tukarkan sekolah adik, itupun kalau adik boleh berjalan nanti. Kalau adik dah boleh berdikari, ibu daftar kan adik gi sekolah lain yek. Sekolah lain tak nak kat adik. Sebab adik tak boleh jalan lagi. Kalau adik dah boleh jalan mesti ada sekolah yang nak kat adik.. *masa ni rasa nak bergenang air mata* . Ibu sayang sangat kata adik. Sikit pun tak pernah ibu rasa tak sayang kat adik. Semua orang sayang kat adik. Adik jangan kamok-kamok yek. Esok kita gi sekolah PDK. Kita mandi jakuzzi. Pastu adik duduk rumah nenek. Nanti adik rehat banyak-banyak kat rumah nenek yek..

Panjang lebar saya menerangkan kepada Nabila. Entah dia faham atau tidak saya tak pasti. Yang saya nampak, Nabila menjeling ke arah saya. Seakan memahami apa yang saya katakan tadi.

Kadang-kadang sampai satu tahap, saya rasa saya perlu berkata-kata seperti ini pada Nabila. Biarlah dia tak faham..Biarlah dia tidak ambil peduli. Yang saya tahu, saya akan terus berkomunikasi dengan anak ini. Jauh di sudut hati saya saya tahu Nabila memahaminya. Dan saya nampak sendiri kesannya selepas saya mengucapkan kata-kata tersebut. Nabila hanya mendiamkan diri dan merenung ke arah saya!

.................................................................................................

Saya tahu Nabila letih. Sepanjang hari berada di sekolah, pastinya dia juga fizikal dan mentalnya keletihan. Dan sekarang ini, Nabila sudah jarang benar tidur di waktu siang. Hanya tidur sekali pada siang hari. Dan saya nampak Nabila kepenatan bila menjelang malam. Seperti semalam, langsung tidak mahu membuat aktiviti bersama saya. Saya juga kepenatan semalam. Entah kenapa semalam letih sangat. Walhal, kerja di pejabat tidaklah banyak sangat!

Malam ini saya mencuba lagi. Melakukan lagi aktiviti. Sangat rugi bila tidak melakukan sebarang stimulasi. Biarlah saya penat. Saya akan cuba juga. Berfikir tentang anak sememangkan kita akan lakukan apa saja untuknya biarpun kita sendiri rasa terseksa.. :)

08 March 2011

Amukan si anak!

Entah kenapa pagi tadi, mood Nabila kurang baik. Pada awalnya saya bangun seperti biasa pada jam 5.00 pagi. Melihatkan Nabila sudah bangun, saya terus sahaja menyiapkan susu untuk diminum.

Dan seperti biasa rutin pagi, mengemas beg pakaian Nabila dan memandikannya. Sementara saya bersiap, pada ketika inilah Nabila merengek. Agaknya mahu tidur di buaian.

Salah saya juga, saya hanya memujuknya supaya sabar menanti saya bersiap. Dan rengekannya mulai kedengaran. Perlahan dan kemudian makin kuat. Kelam kabut saya mengenakan tudung, dan terus berlari ke bawah dan cuba memujuknya untuk tidur di buaian.

Laungan Nabila makin kuat. Rasanya 2-3 rumah dengar jeritan Nabila. Cepat sahaja saya melangkah kaki masuk ke dalam kereta. tidak mahu tangisan Nabila menggangu jiran sekeliling. Aduhai!

Dan di dalam kereta, laungan semakin nyaring. Dan tiba-tiba hati rasa tak sabar. Puas saya istighfar..mengucap panjang mendengar laungan Nabila. jeritannya saja boleh dengar dari luar kereta. Huh! kuat benar amukannya.

Tangan di hayun menunjukkan rasa protes. Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya pagi tadi. Hampir saja tangan ini mahu menepuk Nabila. Ya Allah, manakah kesabaran ini?

Sudahnya saya berhenti di tepi jalan. Itupun setelah puas saya memujuknya sambil memandu. Saya tidak mahu lambat ke pejabat. Cadangnya mahu awal kerana mahu bertanya soal kejadian yang menimpa Nabila semalam. Namun, bila jadi perkara sebegini, membuatkan saya terpaksa berhenti untuk memujuknya.

Faham sajalah si kecil ini. Lagi di pujuk lagi kuat laungannya. Seolah-olah menyalahkan saya kerana gagal menurut kata hatinya. Aduhai anak..mengapa Nabila sedegil ini.

Mulalah hati ini berfikir yang bukan-bukan. Salah saya kerana ketika mengandung, saya memang kuat merajuk. Merajuk dengan Abg! Dan kesannya ada pada Nabila kini. Menyesal tak sudah rasanya..!!

Akhirnya saya tetap meneruskan perjalanan walaupun tangisan Nabila masih berkumandang. Dan hati saya mulai gerimis. Hampir saja air mata ini jatuh. Dan kemudian, saya langsung tidak mendengar tangisan Nabila lagi.

Saya toleh melihat si kecil itu. Tangisannya itu digantikan dengan senyuman. Ya Allah, tak terkata pabila saya melihat senyumannya. Nabila sengaja menduga saya di pagi hari! Dan kemudian mulutnya riuh. "Buuuu..aaaa..uuuuuu..oooo"

Kepala saya menggeleng-geleng.. Nabila..Nabila...

07 March 2011

Nabila bertinju?

Petang tadi, saya menerima panggilan dari sekolah Nabila. Berdebar juga hati bila ingin mengangkat telefon. Dalam hati berdetik. Tak pernah sekolah telefon pada jam ini. ( 5.15 petang) Dan setahu saya Nabila sudah pulang dari sekolahnya.

Di hujung talian saya mendengar suara Grace. Katanya, ada anak lain telah mencederakan Nabila. Saya terkejut. Bagaimana boleh jadi begitu? Katanya lagi, hanya luka seperti di cakar kelihatan di tubuh Nabila. Dan mereka telahpun menyapu ubat ke badan Nabila.

Lantas , saya terus menelefon mak. Dan bertanya luka yang dialami oleh Nabila. Walaupun tak berdarah, namun dapat dilihat kulit sedikit terkoyak. Dan saya tahu pastinya Nabila menangis sewaktu anak itu melakukannya.

Saya tidak menyalahkan anak itu. Saya tahu keadaan kanak-kanak di situ. Di marah pun tiada gunanya. Saya kesal kakitangan situ membenarkan anak itu bermain dengan Nabila. Kata Grace, Nabila kena sewaktu dia sedang nyenyak tidur.

Entahlah. Saya tak pasti tentang itu. Dan esok saya akan cuba mendapatkan jawapan. Walaupun nampak tidaklah memberi kesan yang besar, namun saya tetap risau kan keadaan Nabila. Anak kecil ini, manakan tahu untuk bercakap atau melawan sesiapa yag lebih besar darinya. Yang Nabila tahu hanyalah menangis bila dirasakan dirinya di ancam!

Saya juga tak ingin ianya terjadi pada anak-anak lain. Mak saya sangat bising bila mengetahui hal ini. Yelah, dibawah jagaannya, tak pernah sedikit calar pun di tubuh Nabila. Mengamuk sakan mak saya tadi. Dan saya, haya mendiamkan diri. Tak mampu untuk berkata apa-apa. Hanya terpaku melihat luka-luka di tubuh Nabila.

Harapnya ia tidak akan terjadi lagi... :(


~hurm..rasanya kuku yang agak tajam menggores tubuh Nabila. Merahnya sudah kurang sedikit jika dibandingkan sewaktu mula-mula di lihat. Mujur saya ada membawa krim luka untuk Nabila.~

~di bahagian pinggang. Hurm..depan dan belakang kena? Macam kena belasah je adik nih..huhu..~

Soalan yang kadangkala sukar untuk dijawab!!

Soalan yang sering diajukan kepada saya adalah..
a) Nabila dah pandai buat apa dah?
b) Nabila macamana? Dah ok ke?
Hurm..biarpun hanya 2 soalan sahaja, namun kadangkala sukar untuk saya menjawab soalan itu walaupun ianya semudah ABC!
Bukan tidak mahu menjawab, tetapi saya tidak tahu bagaimanakah cara untuk saya menerangkannya. Adakah saya perlu mula dari kisah Nabila lahir? Atau terus saja menjawab yang ringkas-ringkas?
Selalunya saya akan menjawab..
"Nabila macam tu lah. Kadang-kadang boleh pusing..kadang-kadang tak boleh"
atau yang ini..
"Nabila ok. Hurm..macam biasalah, semuanya memakan masa. Kalau usaha lebih, InsyaAllah.."
Benar! Biarpun saya menjawab dengan nada biasa..namun adakah ramai yang tahu gelora hati saya? Adakah ramai yang tahu apa yang tersirat dalam hati saya?
Saya sendiri kadangkala gagal mengawal perasaan saya. Saya cuba menjawab dengan baik, cuma kadangkala muka merah padam bila menjawab soalan itu. Saya mahu menjawab...
"Oh..Nabila sudah pandai itu..pandai ini..." * kembang kempis hidung saya bangga menceritakan kepandaian Nabila.*
Namun, berpijak pada bumi yang nyata. Saya masih belum boleh mengatakan sedemikian pada Nabila. Bukan tidak bangga dengan pencapaian Nabila sekarang, saya mahu lebih lagi. Saya tamak..Ya! Saya tamak! *huhu..bercakap tak ingat dunia..*
Dan cuba memujuk diri. Ya..InsyaAllah, Nabila mesti boleh! Saya akan terus cuba dan mencuba lagi..Mendaki bersama insan kecil ini....

Saya rindukan bau Nabila ketika bayi!

Benar! Melihatkan wajah-wajah Nabila ketika bayi, menggamit rindu saya pada kenangan lalu.

~Baby Nabila yang sangat tembam!~

~pic feveret saya!~

Selamanya Nabila tetap baby di mata saya....... :)

06 March 2011

Kesabaran harus dipupuk lagi!

*Mood Nabila tak stabil..Agaknya mahu keluar berjalan-jalan!huhu..~

Sepanjang hari berada di rumah. Sudah tentu membosankan buat si kecil ini. Namun apakan daya, si ayah sibuk nak gi kenduri kahwin kawan sekerja. Saya? Duduk diam-diam saja di rumah. Malas benar untuk ke kenduri. Cuaca yang panas bukanlah sesuatu yang baik untuk Nabila. Cukuplah minggu lepas kami menghadiri satu majlis perkahwinan kawan sekerja Abg juga. Penat ditambah dengan amukan Nabila yang menggila. Huh! Baik saja saya duduk diam-diam di rumah, dan lakukan stimulasi untuk Nabila.. :)

Sepanjang 3 hari saya ke Cherating, Nabila nampak baik bersama neneknya. Alhamdulillah. Mujur Nabila tak kisah jika ditinggalkan. Cuma kata mak, hari Jumaat (malam) Nabila tidur nyenyak bersama adik saya, Ain. Agaknya dia rindukan saya. Dia menyangkakan Ain adalah saya. Tubuh kami yang hampir serupa..hehe..

Dan hari ini, saya kembali melakukan rutin biasa ketika bercuti. Bermain dan melakukan beberapa aktiviti untuk Nabila. Habis bersepah mainan di ruang tamu.

~adoii..ni rumah ke hapa nih? Ni bukan budak kecik yang sepahkan..ni ibu dia yang sepahkan..hehehe~

Dalam banyak-banyak toys yang saya sepahkan kat gambar atas ni..ada satu toys yang sangat mencabar kesabaran saya untuk mengajar Nabila. Wooden Motor Skill Board (yang bulat-bulat warna warni atas board tu..) membuatkan saya perlu menanam lebih banyak kesabaran dalam mengajar motor halusnya.

Sebenarnya, Nabila memang memerlukan perhatian lebih dari segi motor halusnya. Nabila sendiri masih belum mampu untuk memegang sebarang benda. Hanya mampu untuk meraba-raba jika diberi sesuatu untuk dipegang. *semuanya bergantung pada matanya juga.. * :(

Jari-jemari halusnya agak sukar untuk saya bentukkan untuk memegang bulat-bulat kecil itu. Tapi kata orang, practice makes perfect! Makanya..berusahalah selagi mampu.. :)

Begitu juga dengan yang lain. Bertahun lamanya saya mengajar Nabila untuk duduk tanpa sokongan. Namun, Nabila masih lagi belum menguasainya. Cumanya jika dulu, Nabila langsung tidak tahu bagaimana untuk menggunakan tangan sebagai support. Namun kini, jika saya kata..

"Adik..Ibu nak pinjam tangan boleh..?"

..terus saja dia melembutkan tangannya untuk membolehkan saya membetulkan posisinya. :)

...................................................................................

Perjalanan anak ini jauh! Benar. Saya merasakan begitu lama sekali saya menjaganya seperti bayi. Mendidiknya untuk pandai dalam sesuatu perkara. Bagi saya, sememangnya Nabila banyak ketinggalan jauh. Namun, jauh disudut hati saya, saya tahu Nabila telah sedaya upaya mencuba. Bukan mudah untuk mengajar brain injured child !

Sabar dan terus sabar..Hanya itu sahaja kunci saya untuk Nabila... :)

04 March 2011

Rindu..air mata mengiringi perjalanan ini..

Semalam, sebelum berangkat ke Cherating, saya berbual dengan Abg. Berkisar hal Nabila.

Saya meluah rasa hati saya pada Abg mengenai sekolah Nabila. Kami berbincang, dan cuba mencari penyelesaian kepada hal sekolah Nabila.

Sebenarnya, saya agak kecewa. Kelmarin, saban waktu saya mencari maklumat mengenai sekolah lain. Dan hasilnya tidaklah seperti yang saya jangkakan.

Dan kata Abg, dia hanya menurut kemahuanku. Dan cuma, ada beberapa perkara tidak dipersetujuinya. Abg tahu saya melakukannya kerana memikirkan mahu yang terbaik buat Nabila. Cuma Abg risau andai ianya berlebih dari kemampuan kami.

Ya, saya tahu batas-batasnya. Entah kenapa air mata saya mudah benar mengalir semalam. Saya memandang sayu wajah Nabila sedang lena di dalam kereta. Maafkan ibu adik, Ibu bukanlah ingin menunjukkan rasa hati ibu pada adik. Namun semalam, hati ibu rapuh sangat bila mengenangkan dirimu.

Dan semalam juga, Nabila bertemu janji dengan pakar dietetik. Kata dietician tersebut, bilangan skop susu Nabila perlu ditambah. Sebenarnya dietician tu pelik, kenapa kami mengurangkan skop susu Nabila. Kami tidak mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Rupanya baru saya ingat. Saya mengurangkannya kerana risaukan badannya yang tidak boleh menerima susu tersebut. Dan sekarang, selepas pulang esok dari Cherating, saya akan cuban menukarkan menu untuk Nabila.

Semuanya perlu di tambah dengan Carborie. Dan juga MCT oil. Makanan seperti bubur nasi untuk Nabila juga perlu saya letakkan Carborie dan minyak zaitun. Seperti biasa juga, roti yang selalu Nabila makan, Butterscotch dari Gardenia adalah merupakan pilihan jenis roti yang tepat untuk anak-anak seperti Nabila. Hurm..standard la budak suka manis. Bagi aiskrim sundae coklat Mac D pun dah pandai demand. Nak yang coklat je.. Siap mulut tu bercepak-cepuk bila dapat rasa coklat tu..hehe..

Dan malam tadi, saya menelefon rumah mak. Mahu mendengar suara si kecil ini. Bila gangang bertukar tangan, saya mendengar suara Nabila..

"Buuuuu...uuuuuuu...huuuuuuu"

Ya Allah, rasa nak menitis air mata ni bila mendengar suara halusnya. Nabila pasti mencari saya sekarang ini. Saya tahu itu! Serasanya mahu balik ke KL malam itu juga.

Takpe..esok ibu balik yek dik..Ibu dah rindu sangat kat adik.. :)

02 March 2011

Bila hati rasa tak puas..

Fikiran saya agak berkecamuk sepanjang hari ini. Memikirkan soal Nabila yang tak sudah-sudah..

Entah kenapa saya mencari 3 orang ini. Jiey Mama Rayyan, Ayu Ibu Aisya dan Ita Ummi Alisya. Ketiga-tiganya saya cuba hubungi. Alhamdulillah, mendengar suara mereka membuatkan saya lega.

Meluah rasa hati tentang Nabila kepada mereka membuatkan saya rasa lebih lega. Dan inilah hasil kesimpulan yang saya dapat sepanjang saya berfikir tentang Nabila. Saya sepatutnya lebih bersyukur dengan apa yang saya peroleh sekarang. Entah kenapa hari ini saya tidak begitu senang untuk menghantar Nabila ke sekolah.

Bukan kerna sekolah Nabila yang tak bagus. Saya sendiri merasakan sepertinya Nabila tidak mendapat segalanya di situ. Entahlah... Agaknya saya terkenang apa yang pernah kakitangan disitu katakan pada Nabila.

Pabila Nabila mengamuk atau menangis, mereka tidak akan membuat sebarang aktiviti untuk Nabila. Dan saya rasa kesal apabila ianya diutarakan kepada saya. Kerna saya mempunyai harapan tinggi pada pusat tersebut. Saya menghantar Nabila kerna mahu dia mendapat yang terbaik. Namun pabila ianya berlainan daripada apa yang saya harapkan, saya rasa ianya seperti tidak berbaloi langsung.

Bukanlah saya ingin melepaskan segalanya kepada pihak sekolah. Saya juga berusaha sendiri di rumah. Namun, apa yang saya harapkan adalah Nabila dapat selebihnya di sekolah. Kerana masanya lebih banyak di sekolah berbanding di rumah.

Saya bersyukur kerana Nabila dapat peluang lebih jika dibandingkan dengan anak-anak lain yang seusia dan senasib dengannya. Namun, jika kalian berada di tempat saya juga, pastinya akan bertindak sama seperti saya. Mencari dan terus mencari.

Dan pabila mahu yang terbaik, pastinya duit juga perlu berkoyan-koyan. Puas saya meneliti website untuk mencari sekolah-sekolah lain, namum semuanya agak menghampakan. Seperti biasa, mahu anak berusia lebih 4 tahun. Ada yang mahu boleh berdikari, dan ada juga tempat-tempat yang 'tidak sesuai' untuk Nabila.

Bak kata Jiey, semuanya bergantung pada duit. Jika ada duit lebih, sudah pasti tempat tuju kami yang pertama adalah di WQ Park.. :) Itupun kalau kami tidak mempunyai masalah kewangan. Dan tadi muncul satu idea. Namun, ianya bukanlah idea yang praktikal untuk kami lakukan.

Apapun, saya masih berfikir-fikir untuk mencuba di tempat lain pula. Ada terfikir untuk menghantar nabila ke Pusat Spastik. Tapi saya tak pasti bagaimanakah kaedahnya.

Moga segalanya kembali tenang dan dipermudahkan....

p/s: 3 hari meninggalkan Nabila di rumah mak. Again? Ya , kursus yang tak sudah-sudah!

01 March 2011

Terima kasih kerana telah memberi peluang pada diri ini merasainya..

Semalam, kediaman kami dikunjungi sahabat lama. Sahabat sewaktu bersama-sama belajar di Shah Alam dulu.
Walaupun rumah kami berdekatan, namun jarang-jarang sekali dapat berjumpa dengan rakan ini. Masing-masing sibuk dan tujuan kedatangan mereka adalah untuk menjemput kami menghadiri majlis meraikan rumah baru mereka.
Sempat juga saya bermain dengan anak sahabat saya, Aisyah. Aisyah yang hanya muda setahun daripada Nabila, bermain bersama adiknya Darwish. Saya mengajak Aisyah bermain semua mainan Nabila dan sempat melayannya minum.
Sungguh saya teruja. Melihatnya minum, bermain, membuatkan hati saya berbunga-bunga. Dan rupanya rasa itu turut terkesan di dalam hati Abg.
Kata Abg, akhirnya mainan Nabila terusik juga. Nampak sedikit gaya anak-anak kecil bermain. Seronok. Memang seronok. Saya berkata pada sahabat saya,
"Seronoknya layan Aisyah..."
:)
Serius! Saya seronok sangat!
Mungkin saya sudah mula merindui melayan anak kecil. Dalam hati teruja untuk memberikan adik pada Nabila, namun mengenangkan kisah Nabila, saya kembali takut! Mungkin saya sendiri sebenarnya sudah tidak sabar, dan melihatkan orang di sekeliling saya yang mempunyai anak sihat membuatkan saya lebih teruja.
Jauh di sudut hati ini, saya berdoa agar kami di permudahkan jalan untuk bakal adik Nabila.

Featured Post

Kronologi Kisah Yasmin Nabilah..

Assalamualaikum.. Lama betul nak menaip satu-satu entry.. Maaf la yek.. memang tak berkesempatan. Sekarang memang tengah busy nak final...