28 July 2011

Kaki oh kaki...

Saya ada bercerita tentang mimpi saya pada entry lepas bukan? Mimpi saya melihat Nabila berjalan.

Sebenarnya tadi di PDK saya dan cikgu banyak bercerita tentang kaki Nabila. Dan kebetulan ada seorang akak yang mempunyai anak berusia 16 tahun. Disahkan Cerebral Palsy akibat jatuh dari buai sewaktu berusia 7 bulan. Sayu saya bila mendengar kisahnya. Anak itu sihat semasa kelahirannya dan pabila perkara itu terjadi, semuanya bagai direntap..

Katanya, sepanjang usia 16 tahun, sudah berulang kali anak itu menjalani pembedahan. Doktor mengesan tulang pada kaki sebelah kiri agak pendek berbanding kaki kanan. Dan banyak kali pembedahan di bahagian lutut dan juga bahagian buku lali. Katanya kakinya tegak, lurus dan ketat.

Saya terfikir tentang Nabila. Kakinya juga keras bila saat saya berdirikannya. Jika dulu tapak kakinya boleh diluruskan. Namun kini agak sukar.

Hati mana tak gusar bila melihatkan keadaannya begitu. Tadi, saya cuba berdirikan Nabila di katil (sebab standing frame Nabila tak boleh guna dah..). Kaedahnya? Saya sandarkan Nabila ada kaki katil. Saya tekan punggung rapat pada katil dan juga tapak kakinya rapat ke lantai. Nabila cuba untuk melawan. Ya, saya gunakan sehabis daya saya untuk membantunya meluruskan kakinya. Keras!!

Saya takut. Saya takut lihat kaki Nabila. Sungguh saya rasa bersalah. Kerana membiarkan kakinya sehingga jadi begitu.

Saya berkata pada Nabila...

"Dik, jangan keraskan kaki tu. Adik kata adik nak jalan kan. Adik suka berdiri kan. Kalau kaki keras, camner adik nak jalan sendiri. Adik kena jalan sendiri tau. Nanti takde sapa nak dukung adik..."

Respon Nabila..?

Hanya memandang tepat pada arah saya sambil senyum.. :)

(senyum-senyum gak adik oii..Ibu takut nih.. )

Saya tak mahu Nabila sampai ke tahap untuk menyuntik botox atau menjalani pembedahan. Cukuplah apa yang saya rasa dulu. Sakit Nabila, pedih saya. Saya tak mahu melihat kesakitan si kecil ini. CUKUPLAH!!

Jauh di sudut hati saya, selagi nyawa dikandung badan, saya cuba untuk usahakan segalanya yang saya rasa baik untuk Nabila. Itu janji saya pada Nabila. Biarlah susah saya, sakit saya, saya rela. Demi Nabila.......


 ~kaki yang pernah cedera satu ketika dulu akibat kecuaian saya..aduh..pedih..!!!

p/s: Akak yang anak dia umur 16 tahun tu, sampai sekarang takde anak lain selain anaknya nan satu itu. Mungkin niatnya tidak mahu ada anak lagi. Mahu menumpukan sepenuh perhatian dan kasih sayang buat anaknya tercinta. Kasih ibu... :(

Terfikir nak mohon standing frame untuk Nabila. Saya mahu mohon alat bantuan itu. Tapi saya tak tahu bagaimanakah caranya. Saya mahu gunakan kemudahan yang telah diberi sebagai penjawat awam. Ada sesiapa tahu caranya? boleh email kat saya di antu_suci83@yahoo.com atau leh saja komen kat bawah entry ni...Manalah tau komen tu boleh bantu yang lain juga...terima kasih.. :)

27 July 2011

Matanya cantik, tapi....

Pada mereka yang mengikuti blog ini sedari 2009 lagi, mungkin ada yang pernah baca entry ini.. Dan masih ingatkah lagi dengan gambar ini?
~gambar yang diambil pada tahun 2009. 3 bulan selepas kami membeli rumah ini.Pebenda tuh?Gelap semacam je kan.hehe..~

Ini antara salah satu ikhtiar saya buat Nabila. Nak buat Snoozelon Room untuk Nabila tak mampu. Maka saya cuba kaedah ini (walaupun saya tidak tahu keberkesanannya)

Pada yang belum baca entry lama itu, saya terangkan ok..!

Saya sengaja meletakkan lampu-lampu di dalam bilik supaya Nabila boleh meransang matanya dengan melihat warna-warna pada lampu-lampu tersebut. Ala, lampu yang orang letak kat luar rumah, berkelip-kelip, orang pasang time raya tuh...

Entah macaman boleh terfikir idea ni, saya tak pasti..hehe...Apa yangs aya fikir hanya mahu Nabila untuk mampu melihat seperti anak-anak lain. Itulah impian saya.

Hampir 2 tahun ianya terpasang di bilik. Adakah saya gunakan?

Sebenarnya agak lama tidak digunakan. Lebih-lebih lagi Nabila dan saya duduk di rumah neneknya. Memang takde peluang lah nak guna semua ni.

Dan sejak semalam, saya cuba pasangkan kembali lampu itu. Saya biarkan Nabila di atas katil sementara menantikan saya mandi. Saya lihat dari jauh. Dan saya perasan perubahan Nabila.

Rupanya Nabila sedang kusyuk memandang ampu-lampu yang berkelip itu. Serius wooo Nabila tak penah nak pandang lama tau kat lampu tu masa saya mula-mula pasang dulu. Alih-alih saya nampak Nabila pandang ke arah lampu-lampu itu.

Dalam hati..Nabila nampakkan? Adakah dia mula tahu objek di pandangnya itu sedang berkelip cantik dihadapannya.

Sebenarnya, saya sudah mulai nampak perubahan Nabila sedikit demi sedikit. Saya yakin Nabila nampak saya. Kalau tak, macamana dia pandang saya ketika saya berborak dengannya di dalam kereta. Setiap kali saya berbual dengannya, Nabila pasti akan pandang kepada saya. Siap jelingan tuh..hehe..

Saya fikir brain Nabila mulai develop sedikit demi sedikit. Saya tahu, semuanya perlukan kesabaran dan usaha untuk Nabila. Dan pabila ianya berhasil, saya lega.

Harapnya mata Nabila nan cantik itu dapat melihat dengan baik nanti. Saya masih lagi tak cofirm condition Nabila ok atau tidak. Pakar mata pun suruh tunggu tengok perkembangn mata Nabila bagimana. ?  Kawan-kawan tolong doakan ek.. :) terima kasih dari Nabila buat semua.. :)



26 July 2011

Kembali ke Rawang...

Bermula semalam, saya sudah kembali semula ke rumah kesayangan saya di Rawang. Tidak lagi berada di rumah mak seperti dulu. Kali ini, Nabila hanya akan dihantar ke rumah mak pada hari Khamis dan juga pada hari saya ada kelas menjahit. Sure mak rindu kat budak kecik nih..huhu..

Mengapa saya berulang lebih jauh?

Sebenarnya saya sendiri kurang selesa dengan rumah mak. Memang saya akui seronok duduk dengan mak, tapi bila dah kahwin, perasaan itu kurang. Saya selesa dengan rumah saya sendiri. Lagipun rumah mak yang agak sempit dan kerana kasihan adik perempuan saya yang tidur tanpa katil..maka saya ambil keputusan untuk pulang ke Rawang. Itupun Abang tak bagi sebenarnya. Kerana kasihankan saya meredah pagi-pagi dalam perjalanan jauh ke USJ bersama Nabila.

Tapi bila dah lama-lama travel RAWANG-USJ-JALAN DUTA-USJ-RAWANG.. takdelah teruk sangat. Orang kata 'alah bisa tegal biasa'.. :)

Cuma perbelanjaan memang meningkat lah. Nak buat camner..Inilah yang dikatakan pengorbanan. Demi anak..saya pejamkan jelah mata nih..hehe..

Moga perjalanan seharian saya bersama Nabila tidak mengundang sebarang malapetaka atau apa jua yang sulit untuk saya menghantarnya ke sekolah dan juga ke pejabat untuk mencari rezeki.Amin..

Hurm..tentang gym? Aktiviti petang saya yang dulu-dulu..konon-konon nak kuruskan badan..? Apa cer?
Hehehe...masih lagi diteruskan. Cuma berat saya dah statik..sebab sebulan lepas, saya kurang ke gym. Akibat penat berkejaran mengambil Nabila ke sekolah. Sekarang pun berat saya sudah 66kg. Dah 16 kg pergi..hehe..Tapi itu tak cukup lagi buat saya.

Solutionnya..saya beli satu mesin untuk saya exercise di rumah. Crosstrainer. Pada awalnya nak beli treadmill..tapi bila fikirkan kalau kat gym orang kata guna crosstrainer lagi bagus..maka saya ambil keputusan untuk beli. Lagipun Abang pun boleh exercise gak. Sibuk kata gym kat perodua penuh..huhu..

Lepas ni boleh la buat exercise kat rumah dan Nabila juga berada di depan mata saya. Takdelah saya rasa bersalah sebab sibuk pentingkan hal diri tanpa ingat pada anak..huhu..

24 July 2011

Nabila berjalan....

Ya Allah..serius!! Saya gembira.. :)

?

Betul ke Nabila dah jalan?

???

hish..takkan lah kut?

:)

Saya pegang Nabila. Dan tiba-tiba kakinya melangkah. Satu persatu..dan makin lama makin cepat.
Saya jerit panggil Nabila.
Nabila ketawa..
Saya senyum..
Gembira sangat
Syukur kerana akhirnya Nabila melangkah berjalan.
Hati saya lega
Kerana apa yang saya impikan tercapai.....

....
...
..
.








Saya tersedar...rupanya saya mimpi. Saya ingatkan ianya benar-benar terjadi. Dan tiba-tiba hati saya sayu.

Lantas saya menjenguk ke dalam baby coat Nabila. Nyenyak tidurnya. Saya kembali berbaring. Mata saya sukar untuk lelap. Hati saya terasa masih berdebar keriangan. Adakah nanti itu akan terjadi bila Nabila sudah mulai berjalan?

Seringkali saya bermimpi sedemikian. Bukan saya saja, malah dan yang lain-lain juga pernah bermimpikan perkara yang sama. Adakah ianya akan menjadi realiti? Wallahualam..

Serius saya teruja di dalam mimpi tersebut. Mungkin saya terlalu mengimpikan perkara itu. Ya..mungkin juga..sehingga terbawa ke dalam mimpi.

Moga mimpi nan indah ini akan jadi kenyataan. Amin..

21 July 2011

Hari ni Nabila good gurl..!!

Ya..Memang good girl dia hari ini. Tersenyum saya melihat telatahnya tadi..
 
Hari ini Nabila tidak ke IMC. Dan seperti biasalah, khamis adalah hari di PDK nya. Sampai di PDK, matanya agak layu. Kerana 'mabok' ubat selsema dan antibiotik *aduhai..selsema masih degil tak mahu hilang lagi dari hidung Nabila*.
 
Di PDK pun takde orang lain di Kelas Cerdas selain Nabila. Kata Cikgu Gayah, ramai yang datang hari Rabu semalam. Takpelah.. Ok saja takde orang pun. :)
 
Pagi tadi seperti biasa sesi urut dimulakan. Menggeletek suka bila Cikgu Gayah mengurut badannya. Penggeli Nabila ni sebenarnya. Pantang orang usik belakang dan tengkuk..sure ketawa kegelian..hehe. Dan aksi mengamuk tak berlangsung hari ini. Mood baik.. :) Mata pun kuyu je..agaknya sedap badan kena urut.. :)
 
Lepas urut..terus masuk bilik spa. Macam biasalah. Cuma saya perasan Nabila nampak lebih kerap memandang tepat ke arah saya bila dia berada di dalam tub. Nabila memandang saya kah? Saya tak pasti. Tapi tadi kerap betul. Kejap-kejap dia pandang saya. Adakah dia benar-benar melihat saya? Wallahulam..
 
Lepas mandi, saya bawa ke bilik snoozelen pula. Hurm..bila pasang je lagu-lagu bunyi ombak dan burung, ditambah pulak dengan suasana malap-malap cahaya lampu..terlena dia di dalam bilik itu. Hurm..Sudahnya sesi terapi saya tamatkan sendiri. Dah selamat tidur..nak tunggu pun nak buat apa kan.Kemas-kemas terus balik lah! hehe..
 
Cikgu Gayah terkejut bila saya cerita Nabila dulunya tak boleh berpusing mengiring sendiri dan mengangkat badan untuk bangun. Tadi sewaktu Cikgu Gayah sibuk urut badan, Nabila cuba mengangkat kepala untuk bangun. Nampak kuat sedikit banding dulu. Agaknya sesi di sekolah banyak membantu badan Nabila terus kuat dibahagian pinggang dan tulang belakangnya. Ya..perlu usaha lagi. Dan tak lupa juga doa terus-menerus semua pembaca blog Nabila. Alhamdulillah..terima kasih atas doa kalian buat Nabila saya.. :)
 
 

20 July 2011

Sayu je bila lihat wajah si kecil ini..


~gambar petang tadi saya ambil sewaktu dalam perjalanan ke rumah. Nabila sebelum itu menangis tanpa sebab. Namun bila melihatkan keadaannya ini, saya sudah tahu punca dia menangis di sekolah tadi.
 NAK TIDOOO!!!!

Sebetulnya saya tahu kenapa. Sepanjang hari ini aktiviti di sekolah agak memenatkan. Tadi teacher Nabila kata Nabila dah start kelas swimming. Faham sajalah kalau berenang-renang nih. Sure badan letih. Selalu kalau saya ambil Nabila pulang dari sekolah, siap senyum-senyum lagi. Ni, dari luar dah dengar suara dia melalak..Aiyyooyoo..kalau dah letih..semua di haruknya..

Rasa tenang jiwa tengok anak ini tidur. Walhal ketika ini saya sedang kepenatan. Bila tengok rasa sayu pun ada. Agaknya mesti letih di sekolah sampai saya letakkan bantal di kepala pun tak sedar.

Moga mimpi-mimpi indah hadir dalam tidurnya.. :)

19 July 2011

Tukar kepada lain?

Saya membaca entry Jiey yang ini. Dan banyak menceritakan tentang khasiat susu yang di minum oleh Rayyan.

Pernah dulu saya berkira-kira untuk menukar susu Nabila. Susu sekarang? Rasanya antara susu termahal kot kat Malaysia. Tapi mahal pun tak guna bila berat badan Nabila tak naik-naik. Kata doktor itu adalah susu terbaik untuk anak lebih-lebih lagi untuk anak seperti Nabila.

Ini bukanlah masalah kewangan yang ingin saya ceritakan. Ini lebih berkisar tentang kesihatan Nabila. Saya tak kisah duit keluar banyak mana janji Nabila benar-benar sihat dan dapat cukup nutrien yang diperlukan dalam badan.

Bila saya utarakan masalah ini kepada doktor peads, mereka memarahi saya. Sepertinya mereka mahu saya meneruskan susu jenama Pediasure kepada Nabila. Semuanya kerana berat badan.

Ya, dengan berat sebanyak 8 kg..dan umur 3 tahun, sah-sahlah doktor bising kenapa Nabila tak naik beratnya. Habis tu, apa lagi yang harus saya buat? Nabila bukan tak makan nasi. Makan tau! 3 kali lagi kalau kat rumah. Tapi kat sekolah rasanya 2 kali kut. Tapi kira tetap 3 kali jugak lah sebab saya akan bagi makan lagi selepas pulang dari sekolah.

Saya memikirkan untuk menukarkan susu kerana Nabila kini kerap sangat demam dan selsema. Hampir setiap bulan pasti akan demam. Nampak sangat antibodi tak berapa nak kuat... :(

Ada cadangan tak susu khas untuk antibodi ni? serius blur. Kalau ok..boleh syorkan pada Abang untuk dipertimbangkan penukaran susu Nabila.

p/s: pediasure pun buat Nabila sembelit gak nih..huhu..

18 July 2011

Antara gadjet yang mahal atau berbaring saja di tilam..?



Ya, saya rasa perkara ini banyak difikirkan olehh ibu bapa yang inginkan yang terbaik buat anak. Lebih-lebih lagi khas untuk anak-anak istimewa.

Saya tak terkecuali dalam hal ini. Ada yang bertanyakan kepada saya apa yang harus dibeli untuk anak mereka. Supaya nampak lebih selesa dan  membentuk postur yang betul.

Saya tak mencadangkan apa-apa jenama yang sesuai walaupun saya sendiri suka pada jenama-jenama tertentu. Namun sejak kebelakangan ini, saya merasakan adalah lebih baik andai saya tidak mengajar Nabila dengan apa jua jenis barangan yang dijual di Malaysia ini.

Kenapa?

Untuk anak istimewa, adalah lebih baik diletakkan di bawah, ditempat yang rata agar mudah untuk mereka 'explore' perkara disekeliling mereka. Seperti contoh, buaian atau rocker. Dulu, saya beria-ria mahu Nabila berada dalam rocker. Dan saya gembira bila nampak Nabila selesa dan mudah untuk dia melelapkan matanya. Namun, apa sudah jadi pada Nabila? Memusingkan badan dan meniarap adalah perkara paling sukar untuk dia lakukan sehingga dia berumur 2 tahun.

Agak menyesal juga saya bila difikirkan hal sedemikian. Agaknyalah, kalau saya tak ajar rocker padanya, mungkin Nabila boleh berpusing dan mengesot lebih awal bukan? Sebab saya pernah nampak Nabila meniarap sendiri sewaktu dia bayi (walaupun sekali dua) dan cuba untuk mengangkat kepalanya tinggi ketika meniarap.

Begitu juga dengan buaian. Sejak diajar buai, Nabila sering menangis di sekolah kerana mahukan buaiannya untuk bermain (Nabila nih buainya di buat main..bukan untuk tido..hehe). Dan agak runsing juga bagaimanakah caranya untuk memberhentikan tabiat berbuai ini. Dan akhirnya saya tekad, bilamana Nabila bersekolah di tempat baru, saya berhentikan buaianya. Dan kini sudah hampir 2 minggu Nabila tidak berbuai, dan nampak Nabila makin baik. Tidak suka mengamuk-ngamuk seperti dulu. Dan tidurnya juga mudah. :)

Pernah dulu ada kawan saya bercerita tentang semua gadjet-gadjet ini. Kawan saya pernah ke satu centre di mana tempat tersebut tidak mengalakkan penggunaan buai dan sebagainya. Untuk anak-anak istimewa, biarlah berada di bawah. Diletakkan di atas tilam yang nipis bagi memudahkan dia untuk berpusing sendiri. Walaupun anak itu masih belum boleh berpusing sendiri, tapi bila lama-lama pasti dia akan cuba menggerakkan tubuhnya. Ini berdasarkan pengalaman saya menjaga Nabila. Tak pasti pula kalau ada yang lain.

Mungkin juga ada segelintir anak-anak yang memang mahukan buai untuk tidur dan sebagainya. Tidur tak lena kalau takde buai katanya. Ok je bagi saya. takde masalah pun. Cuma kalau boleh janganlah dibiarkan selalu di dalam buai itu. Kadang-kadang nak juga mereka berbaring di lantai atau dudukkan di kerusi. Macam Nabila pun, saya sendalkan bantal-bantal di sekelilingnya atau duduk saja di bumbo chairnya.. :) Cuma sejak tak berbuai ni, Nabila lebih suka duduk di Doomoo chairnya.. :) Selesa.. :) Saya pun kadang-kadang tumpang baring kat situ..hehe..

Itu hanya pendapat saya. Maaf kalau pendapat saya berbeza dengan pendapat orang lain. Kerana semua ini hanyalah berdasarkan apa yang saya alami bersama Nabila sepanjang 3 tahun ini.. :)

16 July 2011

Nabila dan aktiviti sekolahnya...

Petang tadi, saya ambil Nabila agak awal dari kebiasaan. Dan bila saya bertanyakan pada teacher Nabila apa yang sedang dia lakukan, dia sedang duduk bersama Aimy di dalam stroller sementara menantikan saya menjemputnya pulang. Alisya pula tidak kelihatan, dan kata mereka Alisya tak datang. Aimy terlelap di dalam stroller sambil mulutnya sedang minum air kosong dalam botol. :) Comel saja budak berdua ini. Dan bila terdengar suara saya, terus saja Aimy tersedar dari tidurnya. Ibu bising yek sayang..

Teacher Nabila sibuk menunjukkan kepada saya apa yang dilakukan Nabila sepanjang hari ini. Rupanya mereka mengambil gambar Nabila.. :) Hurm..bila difikirkan itulah jauhnya perbezaan sekolah lama Nabila dan sekolah sekarang ini. Teacher yang sangat peramah dan tak takut untuk berhadapan dngan parents. Ini bila jumpa parents semua takut-takut. Macamlah semua parents nak marah-marah.

Saya tepekkan gambar Nabila sepanjang minggu ini..


~aktiviti di pagi hari..hehe..nampak muka Nabila takut-takut..kaki tu keras..susah betul nak tegakkan tapak kaki.. :( ~


~Antara pic feveret ibu.. Aktiviti yang selalu saya lakukan di rumah bersama Nabila. Tapi dah lama tak buat..huhu..~


~aktiviti yang buat saya kagum.. Nabila melukis dengan bantuan teacher nya..hehe..boleh la kan..dari asyik terbaring je..huhu. Kusyuk betul si Nabila nih.. Entah apa la yang difikirkan Nabila agaknya bila teacher pegang tangan dan lukis.. :)


~Hamboi..!!sampai terlena bila teacher suh buat kerja sekolah. Dasat Nabila nih..~


~ sekolah main-main yek Nabila..kemain lagi gelaknya..sure mengekek ketawa nih..hehe~

Bila melihat semua ini saya bersyukur. Serius saya katakan banyak perbezaan antara sekolah lama dan baru. Pada saya aktiviti inilah yang saya mahukan untuk Nabila selain dari fisioterapi. Kerana perkara-perkara inilah yang akan mengajar Nabila untuk berdikari sendiri. Ya, saya tahu walaupun sudah terlambat untuk budak 3 tahun memasukkan blok-blok mainan ke dalam sebuah bakul, namun dari situ dia kan belajar pelbagai perkara. Memegang, mengangkat, dan meletakkan sesuatu benda di tempat yang sepatutnya. Semua itu basic kehidupan harian bukan?

Agak menyesal kerana terlambat memasukkan Nabila ke sini. Tapi better late than never, right? hehe..



video

~on the way nak balik rumah. Entah apa yang dia suka saya tak pasti. tapi serius macam Nabila sedang berkomunikasi dengan saya. Terutama bila saya cakap saya nampak kereta besar mewah di hadapan saya. :) Dan bila saya nyanyi, dia dah tahu itu lagu feveret dia. Lagu klasik tepuk amai-amai.. Hurm..abaikan je suara saya yang sumbang mambang itu ok. Fokus saja pada Nabila yang ketawa mengekek tu..hehe...Hurm babak akhir pun sama. Tetiba polis dok ushar ibu..kelam kabut simpan hp..hehe~

15 July 2011

Nabila berfesyen baru lagi...

Tak sempat nak amik gambar.. Tapi kalau tengok sure kesian kat Nabila..huhu..

Semalam Nabila tidak ke sekolah. Gara-gara demam dan ibu yang tak nampak jalan (spek tertinggal kat PNM..tak boleh nak drive malam dan subuh) makanya semalam adalah hari Nabila bersama neneknya.

Alhamdulillah, pagi ini nampak Nabila kembali sihat. Itupun berulang kali makan ubat dan selsemanya sudah nampak kurang berbanding kelmarin.

Semalam, kata mak dia geram tengok rambut Nabila. Nampak sudah mengembang sedikit. Tak silap saya, saya baru sahaja memotong sedikit rambutnya pada bulan lepas. Dan cepat benar rambut itu tumbuh kembali..

Zaassssssss... habis rambut Nabila dikerjakan neneknya. Hurm..kalau betul potongnya takpe..ni habis senget benget dikerjakan mak saya. Bila saya balik saja, habis tengok belakang rambutnya senget. Dan nampak ada yang panjang dan ada yang pendek. Aduhai..kesiannya si kecil ni. Kalau Nabila boleh cakap..sure dia kata.. "Nenek tak cantiklah!!"

Adoii..hilang kecomelan Nabila. Dan sudahnya, saya terus menyuruh adik lelaki saya membeli gunting rambut (yang khas untuk menipiskan rambut) di kedai. Dan jam 8 malam, rambut Nabila dikerjakan lagi oleh saya dan adik lelaki saya.

Takpelah..Nak buat camner. Habis semalam nenek Nabila kena bebel dengan saya semalam. Kata saya, mak yang tak sabar-sabar. Tunggulah anak-anak balik rumah dulu, baru potong. Huhu..Tapi biasalah mak saya. Sure pertahankan dirinya..hehe..Katanya cucunya panas. Nak tunggu saya, entah bilalah dapat potong. Sibuk je memanjang.. :(

p/s : bercakap tentang sibuk..ya, saya memang tengah sangat-sangat sibuk sekarang ni. Saya mahu cepat-cepat selesaikan kelas menjahit saya. Barang-barang kraf hasil tangan saya pun belum dapat buat stok baru. Ada 2 tempahan menanti ni. Nak kejar jahit baju kurung mak dan adik yang sibuk dah suruh saya jahit. Ini pun dah start jual baju-baju baby..hurm..rasa tak menang tangan pulak. Ni ada rasa nak hired assistant la..huhu..

13 July 2011

Memandu tanpa kacamata..huh! sangat bahaya..

Selama 3 hari ini saya berada di Perpustakaan Negara (PNM) kerana berkursus. Tapi entry ini bukanlah nak bercerita tentang kursus yang saya hadiri, tapi nak cerita tentang apa yang terjadi pada saya tadi..

Ya tentang cermin mata..

Saya sememangnya memakai cermin mata. Cuma saya pakai sewaktu memandu sahaja. Waktu-waktu lain saya membiarkan mata saya tanpa rasa rimas dengan bercermin mata.

Serius..saya sangat rimas. Saya mengesan kerabunan saya sewaktu saya berada di tingkatan 2. Saya masih ingat lagi, saya duduk paling belakang. Tepi pintu. Pada waktu itu saya tidak tahu mengapa mata saya kabur bila saya memandang papan tulis. Saya seringkali meniru apa yang rakan sebelah saya tulis. Tiru nota je ok..bukan tiru time peksa..hehe..

Dan di tingkatan 3, saya duduk paling hadapan. Konon-konon nak score banyak A dalam PMR. Nak tumpuan lebih la konon..Walhal mata tu memang dah tak nampak..

Ayah pula belikan cermin mata yang besar. Tak comel saya..huhu..Muka ala-ala skema jer..Pakwe pun tak nak dekat.. :(

Oleh kerana itu saya tak suka memakai cermin mata. Dan sehinggalah kini. Power mata saya takdelah tinggi sangat. Sebelah kanan dalam 200++ dan sebelah kiri 150++ . Tapi tu cermin lama. Tak taulah power sekarang berapa. Sebab power saya ini sama saja seperti masa sekolah dulu..

Cuma tadi, selepas habis kursus, saya tertinggal cermin mata saya di bilik komputer PNM. Dah sampai kereta baru perasan. Nak naik balik ke PNM malas. Saya tawakal saja untuk memandu ke USJ. Bila melihatkan waktu yang masih cerah lagi, saya yakin saya nampak jalanraya. Jangan memandu waktu malam. Sure tak nampak punya...huhu..

Tadi pun sewaktu sampai di sekolah Nabila, teacher kata Nabila demam. Lemah saja saya melihat tubuh badannya. Teacher kata dia tuamkan badan Nabila dan beri ubat demam. Kesian Nabila. Demam sentiasa on off. Malam tadi pun sama. Jam 4 pagi bangun kerana tak sedap badan. Saya beri ubat dan Nabila kembali tidur dengan tenang.

Dalam perjalanan tadi, saya tak putus-putus doa agar perjalanan saya baik-baik saja. Namun, sampai saja di highway NPE, Nabila muntah. Penuh habis bajunya. Kereta dan penuh bau muntah. Saya buka tingkap sebab naik pening bau muntahnya. Saya cuba mencari tempat untuk berhenti dan sudahnya saya berhenti di tepi pintu utama Angkasapuri. Saya mencari baju Nabila, rupanya habis. Teacher sekolahnya menggunakan semua baju yang saya bekalkan pagi tadi.

Alamak, macamana ni? Baju dah kotor. Sudahnya saya tanggalkan juga bajunya dan Nabila hanya berseluar saja. Saya selimutkan dadanya takut dia sejuk.

Sampai rumah, nenek Nabila pelik. Apa pasal pula cucunya tak berbaju? Huhu..

Dan sekarang ini, Nabila nampak lemah. Saya sudahpun memberikan ubat padanya. Dan esok saya terpaksa ponteng sekolah Nabila gara-gara tak dapat memandu di waktu subuh hari kerana tertinggal cermin mata. Adoi..Tapi ada hikmahnya cermin mata tu tertinggal. Nabila pun tak berapa sihat. Kesian pula kalau dia bersekolah. Mujur neneknya tak dylisis esok..huhu..

11 July 2011

Hilang rasa gusar hati ini..

Nabila, petang tadi Mama Aimy ada tag kat gambar kat facebook ibu. Nampak comel je Aimy dan Nabila berdua di luar laman sekolah pagi hari. Hurm..ibu tak pasti apa aktiviti Nabila ketika ini, tapi ibu rasa gembira sangat. At least Nabila tak lagi membuang masa terbaring di tilam. Duduk-duduk di luar menikmati cahaya matahari... :)

~Nabila termenung tengok apa tah..Aimy ceria duduk di kerusi dengan teacher.. :) ~

p/s : Dalam hati ibu berbunga-bunga. Rasa penat berbaloi bila lihat Nabila happy.. :)

10 July 2011

Sudah mula menjual.. :)


Ya..atas permintaan rakan-rakan saya mula menjual hasil kerja tangan saya. Dan semuanya boleh dilihat disini...

Hurm..hanya kecil-kecilan. Dan pasti saya akan menambah lagi hasil kerja tangan saya. :)

Jika ada yang berkenan boleh email pada saya yek di antu_suci83@yahoo.com .
Details semua ada pada facebook.
Cuma item adalah terhad.

Saya pun baru selesai menyiapkan order rakan-rakan sepejabat saya. 30 biji sepit jenis snap clips untuk mereka beri pada anak-anak buah mereka sewaktu raya puasa nanti. Hurm..idea yang menarik sebenarnya. Kata kawan saya, dia tak bagi duit raya. Bagi sepit je..hehe..jimat kos.. :P

Ok..pada yang berminat boleh email atau mesej saja di facebook yek.. :) Selamat menjamu mata.. :)

09 July 2011

Berpijak pada dunia realiti



Seringkali saya termenung dan memikir tentang kehidupan saya. Lebih-lebih lagi tentang Nabila. Bilamana mata ini memandang anak-anak kecil seusia Nabila berjalan dengan penuh keriangan.

Tipu saya katakan saya tak cemburu dengan anak itu. Kadangkala saya terfikir, mengapa Nabila dipilih untuk hidup dengan cara begini?

Saya sering membayangkan andai kehidupan Nabila adalah sebaliknya. Iaitu menjadi seorang yang normal. Pastinya kini saya sedang sibuk melayan keranahnya yang mahukan itu dan ini, dan juga pastinya mulutnya riuh bercerita apa yang ada disekelilingnya.

Mungkin juga kehidupan saya dan abang berubah.
Mungkin Nabila sudah punya adik di bawahnya.
Mungkin saya tidak akan duduk di rumah mak dan sentiasa bersama abang.
Mungkin saya tak perlu susah payah untuk menghantar Nabila ke sekolah lagi.
Mungkin Nabila tidak duduk bersama neneknya sedari kecil. Hantar ke nursery barangkali..
Mungkin Nabila tidak perlu melalui sesi terapi yang menyakitkan dan juga beratus-ratus temujanji yang sedia menanti sejak dari lahir lagi..

Segala itu hanya kemungkinan dan hanya angan-angan saya saja. Takkan ianya terjadi..

Bila saya kembali ke dunia realiti, Nabila masih dalam dukungan saya. Masih lagi dalam pelukan saya. Masih lagi perlukan saya untuk makan, minum dan mandi.

Allah tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Biarpun ianya sulit bagi mereka yang di duga, namun pasti ada manisnya di sebalik segala yang berlaku itu.

Andai Nabila sihat seperti anak-anak lain, pastinya saya tidak akan puas menjaga dirinya seperti anak kecil. Dan pastinya juga kasih sayang dan pengorbanan saya tidak sehebat sekarang ini. Sanggup lakukan apa saja demi mencari yang terbaik buat si kecil ini.

Saya syukur kerana terpilih menjadi ibu kepada Yasmin Nabilah. Kerananya, saya belajar menjadi extraordinary. Luar biasa dari biasa. Dan pastinya sifat sabar saya lebih teruji dengan kehadiran anak ini.

Terima kasih Allah kerana memberikan kehidupan ini kepada hamba-Mu ini. Aku syukur kerana Kau masih memberi peluang padaku untuk hidup sempurna biarpun di mata lain tidak sesempurna mereka.

08 July 2011

Ibu terpaksa sayang... :(

Semalam, nampak tanda Nabila bakal selsema. Sewaktu Nabila mandi dalam jakuzzi, kelihatan beberapa kali Nabila bersin.
 
Dan pulang dari pejabat semalam, kata mak Nabila mengamuk. Tak selesa dengan hidungnya. Sempat mak masukkan Nabila dalam buai. Kata mak tak tahan mendengar jeritan Nabila. Bila dimasukkan ke dalam buai, dia seolah-olah tercengang. Lupa sebentar dia di dalam buainya.
 
Namun, saya melarang untuk mak melakukannya lagi. Dikhuatiri Nabila akan ingat kembali pada buaiannya. Hurm..sukar sekali rasanya. Kerana sedari kecil kami sudah mengajarnya untuk duduk atau baring dengan menggunakan rocker atau buai. :( Sepertinya sudah menjadi kebiasaan pula bila Nabila menangis meraung, kami memasukkan ke dalam buai atau rocker..
 
Dan tadi saya lewat ke pejabat. Pada awalnya saya sudah bersiap seawal jam 6 pagi untuk ke IMC. Namun, bila melihatkan keadaan Nabila yang serba tak selesa, jadi saya mengambil keputusan untuk ke klinik terlebih dahulu. Di rumah semalam pun hanya makan ubat lama saja. Tadi pun saya sempat mengambil suhu badan Nabila. Mujur tak  demam. Tadi saya ke klinik pun hanya mengambil ubat tanpa berjumpa doktor. Hanya mengambil ubat demam dan selsema. Kerana saya fikir mungkin Nabila hanya selsema. Ubat demam hanya sebagai standby saja.
 
Lantas saya terus membawanya ke sekolah. Pada awalnya saya mahu membawa Nabila ke pejabat sementara menantikan mak selesai dengan urusan dylisisnya. Namun, bila memikirkan suhu dalam pejabat saya teramatlah dingin (semalam berlapis-lapis baju saya pakai..sejuk amat-amat...!) Jadi saya mengambil keputusan untuk menghantar Nabila ke sekolah saja. Saya sudahpun berpesan pada teacher Nabila andai Nabila demam atau keadaan bertambah buruk, terus saja menelefon saya.
 
Dan kini hati saya risau melihatkan keadaannya di sekolah. Saya sempat melihat Nabila tersenyum dalam pelukan teacher bersama anak-anak lain. Doa saya agar Nabila baik-baik saja di sekolah hendaknya.. Amin..

06 July 2011

Pengorbanan kami berdua..Impaknya?

*dedikasi khas buat Abang..Ibu sayang pada Abang...*

Sebenarnya pagi tadi saya dihidang dengan cerita yang agak kurang menarik perihal rumah tangga orang. Dan lantas saya mudah membuat kesimpulan.

Bukan kerana berfikiran negatif terhadap lelaki, cuma kadangkala saya jelik dengan sikap segelintir lelaki yang mengambil kesempatan atas kehidupan yang memaksa dia dan isteri berjauhan kerana keadaan yang menghimpit. *faham ke maksud saya?*

Kisah sepasang suami isteri yang kini dalam proses penceraian. Sang suami sudah berkahwin lain dan menipu isteri pertama selama 2 tahun. Kesian bukan. Walhal menurut rakan saya, si isteri masih muda. Belum pun masuk 40-an. Cantik lagi.. :) Persis Shierly Merlis *(betul ke aku spell nih?)*

Saya melihatkan kisah saya sekarang. Saya tak mahu bercerita perihal orang lain. Bila saya mendengar kisah tersebut dari rakan, terus saja teringatkan Abang. Mahu menelefon Abang, tapi saya tak mahu mengganggu waktu kerjanya. Sebab saya tahu Abang sedang sibuk.

Lantas saya ambil keputusan untuk menulis entry ini. Ianya sebagai ingatan saya di kemudian hari. Saya teringat kata-kata Abang minggu lepas.

Saya mahu berulang dari Rawang ke USJ. Saya tahu perjalanan itu jauh, tapi demi kasihkan Abang, saya sanggup. Tak mengapalah letih, janji saya disampingnya.

Namun, kata Abang, dia menghalang untuk saya balik ke Rawang. Bimbangkan saya letih dan perbelanjaan makin meningkat bila saya pulang ke Rawang. Hati saya berkeras mahu pulang, tapi bila Abang mengatakan demikian, saya hanya mendiamkan diri. Saya tidak mahu membangkang apa katanya kerana saya tahu dia sudah fikirkan yang terbaik untuk kami bertiga.

Kata Abang lagi..

"Ibu jangan risau. Tahulah Abang jaga diri. Pedulikan apa kata orang. Orang bukannya tahu masalah kita. Orang pandai cakap saja..."

Ayat itu merujuk pada perkara yang terjadi pada saya beberapa minggu lepas, bilamana ada jiran di rumah mak mengatakan saya tidak patut meninggalkan suami saya sendirian di rumah.

"Jangan Yong..tinggalkan Zul sorang-sorang kat rumah..Kita tak tahu apa dia buat.. Bila-bila masa saja dia boleh curang..pasang lain.."

Saya hanya tersenyum mendengar katanya. Pada awalnya saya mahu menegakkan Abang kerana saya tahu Abang bukanlah jenis begitu orangnya. Saya kenal Abang. Dan saya tahu tindak tanduk Abang. Namun kata-kata saya bukanlah saya mempercayai Abang 100% . Saya pernah kata pada Abang yang saya tidak mempercayainya 100%. Kerana jika saya percayakannya, saya takut saya kecewa...*Abang masih ingatkan kata-kata ibu ni..?*

Sejujurnya saya tahu tindak tanduk Abang. Dan kami berdua telah memikirkan segala kesan bila saya mengambil keputusan untuk berada di rumah mak pada hari bekerja dan pulang ke Rawang pada hujung minggu. Saya tahu isteri seharusnya ada di samping suami. Tapi adakah saya punya pilihan? Jawapan saya tidak!!

Jauh bukan bermaksud tak sayang..Malah jauh juga telah mengajar saya erti rindu dan kasih lebih mendalam buat Abang.

Buat Abang, ibu akan pastikan pengorbanan kita ini akan membuahkan hasil bila kita dapat melihat perkembangan Nabila satu persatu nanti. Ibu yakin tentang itu Abang. Maafkan ibu andai ibu tidak dapat jadi isteri yang terbaik buat Abang. Dalam hati tiada sesempurna cinta Abang buat Ibu. Benar kata Abang, mereka semua yang berkata tentang kita tidak faham tentang masalah kita. Kita harus saling ingat mengingati tentang itu sayang. Dan Ibu akan cuba berusaha menjadi isteri yang lebih baik dari sekarang di sisi Abang dan juga menjadi ibu yang lebih baik buat benih cinta kita..Yasmin Nabila. Moga cinta kita terus utuh dan kasih kekal abadi dalam hati ini..Amin..

Nabila semakin happy.... :)

Ya..saya juga tersenyum lebar bila mana saya cuba untuk menaip entry ini. Manakan tidak, saya teringat kejadian semalam tentang Nabila. Sungguh saya rasa seronok!!
 
Semalam, Nabila menunjukkan satu perubahan lagi. Selepas Nabila pulang dari sekolah, mak memberinya makan. Dan kemudian adik lelaki saya gatal pula nak beri Nabila minum air teh. Saya kata hati-hati takut tersedak. Bukan menggunakan botol, tapi menggunakan cawan. Bukan cawan kanak-kanak, cawan orang dewasa..
 
:)
 
'Bercepak-cepuk' mulut Nabila minum. Amboi..sejak bila pula tahu nak minum guna cawan ni. Jika dulu saya bagi, habis di geleng dan dilarikan kepalanya tanda tidak mahu. Kali ini, tanpa paksaan, Nabila membuka mulut dan minum sendiri. Adakah dia belajar semua ini dari sekolah? Saya tak pasti tentang itu. Sebetulnya pagi tadi tak sempat bertanyakan sekolah Nabila sama ada mereka mengajar Nabila minum menggunakan cawan atau tidak. Tapi dari pengamatan saya, saya lihat Nabila semakin bijak. Lebih-lebih lagi bermula sesi persekolahan di tempat baru dan tidak lagi menggunakan buai untuk tidur.. :)
 
Saya sempat bertanya pada pengasuh sekolah sama ada Nabila mengamuk lagi atau tidak di sekolah. Katanya tidak seperti hari pertama persekolahan. Dan saya sudah tahu puncanya. Tiada buai sepanjang 6 hari, dan saya yakin Nabila sudah melupakan tempat mainannya itu.. :) Dan mereka juga menyatakan Nabila baik bila melakukan fisio. Hurm..saya tahu anak dara saya sudah pandai. Lebih-lebih lagi sentiasa bertemankan Alisya. Rupanya dia memang nak ada kawan sama-sama rasa sakit bila fisio.. :) Tambah lagi ada seorang adik baru. Aimy Sofia baru baru masuk di sekolah itu juga. Nampaknya mereka bertiga boleh berkawan baik nanti.. :)
 
Saya juga rasa agak tenang sejak Nabila bersekolah baru. Biarpun rasa susah berulang-alik dari pejabat ke USJ, tapi bila melihatkan pengasuh di situ yang sentiasa tersenyum sewaktu mengambil dan menghantar Nabila pulang membuatkan saya rasa mereka memang kakitangan yang baik. Jika tidak, bagaimana pula saya dapat lihat senyuman Nabila sewaktu pulang dari sekolah dan nampak Nabila happy sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Agaknya benarlah firasat saya, Nabila gembira di situ.
 
Moga Nabila terus happy di situ. InsyaAllah... :)
 
p/s: semalam ummi Alisya nampak Nabila, katanya Nabila tengah duduk kat kerusi sambil termenung berkhayal..hehe..Hurm..siang pun dah jarang tidur..sebab ibu dah pesan, sekolah IMC tak sama macam Tasputra. Tasputra asyik tidur je..IMC kena buat aktiviti. Nampak macam Nabila faham..Bila selalu cakap dengan Nabila begitu, saya yakin Nabila pasti faham dengan situasi di sekolah barunya.. :)

03 July 2011

3 hari tanpa buaian..

Selamanya saya tak pasti adakah Nabila benar-benar boleh hidup tanpa buaian. Sebetulnya, saya baru mencuba selama 3 hari. Sebaik balik dari sekolah Jumaat lepas, saya tekad untuk tidak memberikan buaian padanya.

Jika dulu pantang! Asal mahu main saja, Nabila mahu di buaiannya. Asal lepas mandi dan makan, mesti mahu naik buai lagi. Kadangkala naik rimas pun ada. Kalau dulu lepas balik dari sekolah, badan mesti lentok-lentok mengamuk dekat neneknya nak naik buai. Sebab kat sekolah tak dapat naik buai.. Aduhaiii.....!!!

Dan kali ni, saya tak bagi peluang. Saya tekad, tidak mahu lagi mengajarnya buai lagi. Mahu Nabila lupakan terus buainya itu. Agar senang nanti berada di sekolah.

Cuma agak sukar untuk melelapkan mata si kecil ini. Selalunya pasti dia akan berangan-angan dulu di dalam buai sebelum tidur. Tidurnya juga nyenyak. Bila dah di ajar tidur bawah, suasana tidur pula nak kena senyap. Kalau dulu nak tidur di buai, bisinglah bunyi petir berdentum sekali pun, langsung tak di pedulikannya.

Dan saya perasan, Nabila hanya tidur sekali dalam hari ini. Dan selebihnya hanya berjaga dan bermain. Jika dulu, kejap-kejap tidur, kejap-kejap tidur. Hurm..takut pula kalau-kalau Nabila tak cukup tidur.. :(

Dan untuk mengelakkan Nabila letih, saya seringkali berinya duduk dan meniarap. Hurm..rasanya ianya lebih bagus banding dulu. At least skill untuk mengangkat kepala dan duduk lebih baik lagi jika dibandingkan hanya berbaring di buaian saja.. :)

Dan inilah aksinya tadi..

~duduk di Doomoo chair sambil tonton TV. Asyik bukan..~

Doakan moga hasil usaha saya ini membuahkan hasil yek.. :) Amin...

01 July 2011

Di tempat baru..

Pagi tadi sesudah subuh, saya dan Nabila membelah angin sejuk pagi ke USJ. Mungkin ada yang belum tahu apa yang berlaku sebenarnya mengapa saya ke USJ pagi-pagi buta.. :)

Nabila secara rasminya telah bertukar sekolah. Bersekolah sama dengan kembarnya, Alisya. Pada awalnya memang sukar untuk saya buat keputusan ini memandangkan sekarang ini saya sedang cuba untuk berjimat, namun bila berlaku hal seperti Isnin lepas, saya tak mahu ianya menjadi lebih teruk lagi. Lebih-lebih lagi saya nak Nabila dapat lebih dari yang sekarang ini.

Memang kalau diikutkan agak gila saya sebenarnya. Travel sepanjang hari pergi dan balik dari Gombak-USJ-USJ-Jalan Duta-Jalan Duta-USJ-USJ-Gombak. Penat bukan? Ya, saya akui penat, namun inilah pengorbanan saya buat Nabila. Bukan mahu balasan. Saya hanya fikirkan semuanya untuk kebaikan dia. Tentang saya? Tolak tepi dulu...

Semuanya kerana apa?

Cinta dan kasih saya pada Nabila... :)

Untuk hari pertama, tiada apa yang boleh saya katakan. Apa yang saya tahu, Nabila menangis. Ya..pastinya suasana baru membuatkan dia rasa tidak selesa. Cumanya saya harap dengan adanya Alisya, Nabila tahu dia tidak keseorangan. Si kembar yang sentiasa berada di sisinya... :)

Doakan anak berdua ini mendapat yang terbaik di IMC nanti..InsyaAllah..doa ibu buat Nabila dan Alisya agar kalian dapat belajar sedikit demi sedikit untuk diri sendiri. Amin...

p/s: saya sedang dalam usaha untuk memberhentikan Nabila dari terus menggunakan buai untuk tidur. Malam ini, Nabila nampak resah. Tapi Alhamdulillah, sewaktu entry ini di taip, Nabila sedang nyenyak tidur di atas katil bersebelahan saya. Doakan untuk saya yek agar usaha saya berhasil..Amin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...