Di PDK, anak ini semakin banyak akal. Seperti biasa aktiviti di dalam jakuzzi diteruskan. Sampai tertidur di dalam bathtub kerana keasyikan tubuhnya berada dalam air suam dan gelombang air yang memukul tubuhnya. Namun berhenti saja mesin itu, terus saja menangis. Mahu duduk lagi di dalam bathtub itu. Puas ku pujuk, tapi faham-faham sajalah perangai Nabila. Mengamuk sakan. Sampaikan bila ku bawa ke bilik snoozelon pun tak mampu untuk memujuknya. Dan sudahnya, terus aku mengangkat beg dan pulang ke rumah mak.
Dan petangnya, aku bergegas ke sekolah Nabila. Sesi pendaftaran sudahpun bermula sejak pagi. Namun, aku mengambil keputusan untuk datang pada waktu petang. Selesai membayar yuran pendaftaran, terus berjumpa dengan OT dan Fisio therapistnya. Dan kami berbincang pelbagai perkara tentang Nabila. Macam hari perjumpaan ibu bapa. Cumanya, kami bukanlah berbincang tentang akedemik, tapi bercerita tentang perkembangan fizikal Nabila sepanjang berada di sekolah :)
Dan selesai urusan di Tasputra, aku pulang semula ke pejabat untuk menyiapkan baki-baki kerja sehingga jam 8.30 malam. Dan sewaktu pulang, badan memang dah tak larat nak bawa kereta ke Rawang. Dan sudahnya, aku mengambil keputusan untuk tidur saja di rumah mak.
..........................................................................
Untuk sepanjang 2010 ini, ku rasakan banyak perkara yang berlaku pada kami sekeluarga. Dan beberapa perubahan tentang Nabila tentang keputusan berat yang kami ambil demi kebaikan dia. Bagiku, bukan mudah untukku membuat keputusan ini, namun, demi kebaikan bersama, adalah lebih baik aku lakukannya.
Seperti sedia maklum Nabila sudah memulakan sesi sekolahnya di Tasputra Perkim di Ampang Hilir pada April yang lalu. Pada mulanya hati ini agak berat untuk meletakkannya di bawah jagaan orang lain, namun bila kufikirkan sedalam-dalamnya, sampai bila untuk aku memanjakannya di bawah jagaan neneknya. Sudahlah fisioterapi jarang-jarang sekali diadakan di hospital. Menunggu temujanji dengan Jabatan Rehabilitasi membuatkan masa itu terlalu panjang buatku. Dan aku tekad mahu menghantar Nabila ke sekolahnya.
Begitu juga dengan makan. Nabila sudah kurang menangis ketika makan. Malah, aku dapat rasakan Nabila semakin kuat makan. Tubuhnya tampak berisi sedikit berbanding dulu. Syukur .. :)
Untuk pertama kalinya, kami bermalam di HKL. Semua ini gara-gara Nabila yang menangis tak tentu hala membuatkan semua orang tak tahu apa punca yang menyebabkan anak ini menangis berterusan. Namun aku menjangkakan Nabila mempunyai masalah sembelit. Hampir 3 hari juga kami ditahan, dan Alhamdulillah, Nabila semakin pulih. Cuma sejak kebelakangan ini, Nabila dilanda sembelit semula. Dan Selasa lepas, Nabila mengeluarkan najis berdarah. Sangat menakutkan bilamana najis Nabila tersekat di lubangnya. Dan kemudia ku nampak darah mengalir meleleh di celah pehanya. Aku menangis bila melihat keadaan Nabila. Seminggu sebelum itu, Nabila di serang sawan. Pernah kami berkejaran ke Sungai Buloh kerana sawan Nabila menyerangnya kembali. Namun, kami mengambil keputusan untuk tidak ditahan di wad.
Banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun ini, namun semua di atas adalah beberapa perkara yang kurasakan aku tak boleh untuk melupakan setiap detik gembira dan cemas bersama Nabila.
Dan ku harapkan tahun depan lebih menyinar dari tahun ini. Moga perjalanan bersama anak bernama Yasmin Nabilah akan terus lurus dan lancar hendaknya. Moga rezeki yang diberikan bertambah-tambah dan melimpah-ruah buat kami sekeluarga.. Amin..
Selamat Tahun Baru buat semua. Moga kalian diberi keceriaan yang lebih di tahun baru ini. InsyaAllah.. :)